rss

“Saya nak abang ceraikan saya!!!”

“Ah… aku tak akan ceraikan kau sampai aku mati!!!”

“Hidup saya dengan abang terseksa. Abang tak layak dipanggil suami!!!”

“Aku peduli apa!!!”

Kepala tali pinggang yang diperbuat dari besi hinggap ke badan Shareena. Berbekas biru kulitnya. Esak tangis Shareena tidak dipedulikan. Shareena bagaikan batang pisang dipukul tanpa belas kasihan. Biarlah hancur luluh sampai terkeluar isi kulit. Haikal langsung tidak ambil peduli. Nafsu amarahnya harus dipenuhi jikalau tidak tangannya akan menggigil. Salah Shareena juga yang minta cerai tidak tentu fasal. Mentang-mentang dia diam sahaja selama ini, terus Shareena naik kepala. Kali ini dia tak akan berlembut lagi makin lama dibiarkan Shareena, makin Shareena akan naik lemak. Shareena harus diajar. Cerai? Haikal tidak akan menceraikan Shareena walau apa pun terjadi. Shareena melutut merayu, menangis air mata darah sekalipun, Haikal peduli apa. Shareena tetap tidak akan diceraikannya walau Shareena bukan Shareena yang dahulu lagi. Haikal berlalu pergi meninggalkan Shareena menangisi nasib keseorangan di dalam bilik. Kedengaran daun pintu dihempas kuat. Potret perkahwinan mereka yang tergantung di dinding jatuh berderai di lantai bilik.

*****

Tangisan bisu Shareena menyuramkan suasana malam. Shareena sendirian dalam bilik. Habis basah bantalnya dek air mata yang mengalir tanpa henti. Matanya sudah bengkak menangisi nasib yang menimpa. Saat ini dia terkenangkan kedua-dua orang tuanya yang sudah tiada, dulu mereka adalah tempat dia mengadu segala masalah. Shareena mencapai bingkai gambar yang terletak di atas meja soleknya. Dia merenung potret arwah kedua-dua orang tuanya. Kehilangan mereka amat terasa. Kini Shareena terkapai-kapai dalam mengharungi gelora rumah tangga yang tiada penghujungnya. Pernah sekali dia terfikir untuk membunuh diri tapi dia tidaklah sebodoh itu. Dia masih boleh berfikiran waras walau seteruk mana sekalipun dikerjakan oleh Haikal. Shareena redha. Nasibnya tentu sudah tertulis dalam suratan takdir. Tetapi dia adalah manusia biasa yang ada fitrah. Hatinya sunyi, terlalu sunyi tanpa hilai tawa seorang anak dan belaian mesra seorang suami.

Shareena bangun dari perbaringan. Dia menghadap cermin almari  yang terletak di sebelah pintu. Seluruh tubuhnya diteliti dari bawah ke atas. Badannya masih seperti kerengga. Tiada sebarang lemak berlebihan. Mukanya dibelek-belek. Tiada seketul jerawat. Kulitnya masih licin walau usia sudah menjangkau 30-an. Ikatan pada rambutnya diurai. Rambutnya lurus mencecah bahu berwarna hitam pekat. Dikirai-kirai rambutnya ke kiri ke kanan.“Tidak cantikkah aku? Apa kurangnya aku?” bisik hati Shareena. Usia perkahwinan mereka dah mencapai angka empat belas tahun. Semenjak dia kahwin sehingga sekarang, Haikal tidak pernah menyentuh tubuhnya. Tidak bernafsukah Haikal melihatnya? Mungkin Haikal sudah mati pucuk? Dia juga ingin menimang cahaya mata seperti impian setiap wanita di dunia ini. Mungkin ini nasib dia berkahwin dengan duda.

“Reena kahwinlah dengan dia. Sebelum mak pergi, mak nak tengok Reena kahwin. Reena anak tunggal mak dan ayah. Tolonglah dengar cakap mak kali ni” ujar Mak Senah. Kedut-kedut di mukanya jelas kelihatan.

“Mak.. bukan Reena tak mahu kahwin tapi mak…” Reena menundukkan muka. Rasa bersalah pada orang tuanya tapi itulah perasaannya sekarang ini.

“Reena tak payah nak tapi-tapi lagi dengan mak… dari dulu sampai sekarang alasan Reena tu je. Belum sedia kan?” Mak Senah memeluk erat Shareena. Kasihan pula dia terhadap Reena. Jawapan Shareena sudah diagaknya. Dia tidak tahu mengapa anak kesayangan dia ni berkeras kepala tidak mahu berkahwin. Ini bukan kali pertama orang masuk meminang anaknya. Muka dia dah naik tebal menolak pinangan orang. Kali ini dia tidak mungkin lagi menolak. Shareena harus dikahwinkan!

“Mak… Reena belum sedia mak. Nanti Reena dah sedia, Reena kahwinlah. Reena baru masuk dua puluh empat tahun. Belum tua lagi mak. Ramai lagi yang kat luar sana umur tiga puluh lebih baru kahwin” Shareena memberi alasan.

“Dah dah… kita kahwinkan je dia dengan budak Haikal tu, maknya. Kalau ikut hati dia ni sampai ke sudah tak kahwin. Entah waktu tu aku ni hidup ke tidak lagi” sampuk Pak Din yang dari tadi yang senyap menonton televisyen. Pak Din mencapai remote control kemudian ditekannya punat berwarna merah.

“Budak Haikal tu nampak gaya macam baik orangnya. Tak kisahlah duda pun yang penting dia boleh tanggung Si Reena ni esok lusa” sambung Pak Din. Dia sudah membulatkan tekad.

“Ayah… mak… bagilah Reena masa untuk berfikir” 

“Berapa lama kau nak fikir Reena? Seratus tahun? Seribu tahun? Cukup? Kau ingat Reena,  kami ni entah esok entah lusa pergi” nada suara Pak Din semakin keras. Dia kini berdiri mencekak pinggang. Merenung tajam ke dalam anak mata Shareena.

“Tapi ayah…”

“Jangan tapi tapi lagi… minggu depan kau tunang dan terus kahwin. Faham?” bentak Pak Din. Mak Senah mengangguk kepala. Sedikit sebanyak terbingkis juga perasaan simpatinya pada Shareena. Tetapi apa dayanya tanggungjawab sebagai ibu harus ditunaikan. Hendak tidak hendak dia terpaksa juga bersetuju dengan pendapat suaminya.

Shareena menyeka air yang hangat menuruni pipinya yang gebu. Peristiwa empat belas tahun lepas masih segar berada di ingatan. Dia terpaksa juga menurut perintah orang tuanya. Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Kepahitan itu ditelannya tanpa rela.

****

Kehadiran Adrian sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Senyuman Adrian sudah cukup membuatkan hari-harinya yang selama ini mendung dan hujan tak tentu hala disinari pelangi. Memang sinaran pelangi itulah yang dicarinya selama ini. Kebahagiaan ini diharap akan berterusan selama-lamanya. Namun sampai bila dia harus merahsiakan hubungan ini dari suaminya? Dia sendiri tiada jawapan. Yang dia pasti Haikal tidak akan melepaskannya. Bayangan wajah bengis Haikal menghantui fikiran Shareena. Jari-jarinya kaku dari menekan keyboard. Skrin monitor di hadapannya memainkan screen saver. Matanya melirik pada ikan-ikan berwarna-warni yang sedang gembira berenang di skrin komputer.

“Rina.. dah sampai mana tu?” sapa Adrian yang muncul dari bilik pantri. Bilik pantri tersebut tidak jauh dari meja Shareena. Dari situ Adrian tidak berkelip melihat tingkah laku Shareena. Dia melihat Shareena termenung. Secuit perasaan simpati lahir di sudut hati Adrian.

“Adrian!! Buat saya terkejut je” lengan Adrian dicubit. Adrian tergelak kecil. Shareena menyambut secawan air milo yang dihulur Adrian. Adrian menolak dokumen yang berada di atas meja Shareena ke tepi kemudian melabuhkan punggungnya. Shareena mengambil dokumen tersebut kemudian di masukkan ke dalam fail kuning lalu disimpan ke dalam laci di sebelah kirinya. Memberi ruang pada Adrian untuk duduk lebih selesa.

“Lepas habis kerja nanti kita keluar makan nak?” ajak Adrian. Matanya memandang sekeliling pejabat. Melihat-lihat pekerja-pekerja lain yang sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Takut juga jika timbul pula gossip antara mereka.

“Erm..ok. Kita nak makan kat mana?”  soal Shareena. Matanya bertembung dengan mata Adrian yang berwarna coklat. Terasa seperti terkena kejutan elektrik. Shareena mengalihkan pandangannya ke arah lain. Pipinya kemerahan. Adrian tersenyum. Menampakkan kedua-dua lesung pipitnya

“Kita makan di Kampung Nelayan ok? Saya tunggu kat parking kereta lepas kerja”  Adrian melihat jam tangannya.

“Saya nak pergi meeting ni. Jumpa nanti.” Sekilas bayang Adrian menghilang dari pandangan Shareena. Shareena mengukir senyum.

*****

Shareena berjalan beriringan dengan Adrian menuju parking kereta. Makan malam sebentar tadi dirasakan sangat romantik. Malam ini adalah malam paling bahagia dalam diri Shareena. Selama tujuh tahun perkahwinan dengan Haikal tidak pernah sekali pun Haikal mengajaknya makan malam di luar. Dia tidak pernah dilamun cinta sebegini. Berkahwin dengan Haikal hanya keperitan dan kesengsaraan yang dikecap. Cincin pemberian Adrian yang disarung pada jari manis kirinya ditatap dan dimainkan dengan jari. Cincin emas bertakhtakan permata 16 karat tersebut bersinar tatkala disirami cahaya lampu jalan. Shareena tersengih sendirian. Lengan Adrian dipaut rapat ke tubuhnya. Dia masih ingat ketika berjalan bersama Adrian di Genting Highland. Adrian menyarungkan sweater waktu dia menggigil kesejukan kemudian dahinya dikucup. Terasa kehangatan kucupan tersebut mengalir ke dalam badan. Bibit-bibit cinta antara mereka berdua bermula dari situ. Setelah berkawan selama setahun, dia menerima cinta Adrian di dalam kereta kabel menuruni puncak Genting. Hari ini Adrian melamar dia untuk menjadi isteri kedua. Hatinya berbelah bagi. Terasa serba salah menduakan suaminya.

“Dish” satu tumbukan lekat pada batang hidung Adrian. Tersembur darah pekat merah keluar dari hidungnya. Adrian mengelap darah tersebut menggunakan tangan. Kelakiannya tercabar. Dia membalas tumbukan namun tumbukannya tersasar. Haikal lebih pantas. Lantas belakang Adrian menjadi mangsa siku Haikal. Terjelepok Adrian atas jalan tar.

“Adrian!!” Shareena mendapatkan Adrian yang bagai udang mengerekot kena goreng.

“Ah… kau ke tepi!” Haikal menarik lengan Shareena lalu dicampak Shareena ke tepi. Shareena terduduk. Tangannya meraba-raba kepala yang terhantuk pada pintu kereta.

“Pang” satu tamparan melekap pada pipi Shareena. Berpinar sekejap mata Shareena. Airin tersenyum. Puas hatinya.

“Berani kau nak merampas suami aku ?” gertak Airin. Tangannya menarik rambut Shareena.

“Eh… perempuan. Kau dengar sini baik-baik. Kau dah ada suami. Jangan nak menggatal dengan suami orang faham?” serentak amaran tersebut kepala Shareena dihempas pada pintu kereta. Tidak disangkanya makan malam bersama Adrian diakhiri dengan perkara sebegini. Entah macam mana Haikal dengan Airin boleh mengetahui hubungan rahsia antara dia dengan Adrian. Baru sahaja dia ingin mengecap bahagia dengan lamaran Adrian sebentar tadi. Malang pula menimpa.

“Dah ikut aku balik!” Haikal menyentap tangan Shareena. Shareena yang seperti lembu ditarik hidung menurut sahaja. Dia tahu kalau dia melawan lebih teruk dia kena. Airin sekadar tesenyum sinis. “Padan muka!”

*****

Bahang tengahari begitu terasa. Cahaya matahari menyusup masuk dari celah-celah langsir kuning langsat yang agak nipis. Angin lalu meresap masuk dari sliding door yang tidak ditutup. Shareena menyandarkan badannya pada sofa. Televisyen yang menyiarkan rancangan “Wanita Hari Ini” tidak menarik minatnya. Lantas dia menekan butang off. Matanya memandang kipas pada siling yang berpusing ligat pada lokus yang pegun. Hampir dua tahun dia duduk di rumah keseorangan. Haikal mengurung dia di dalam rumah dua tingkat selepas kes dia bersama Adrian. Sekali-sekala terbayang wajah kanak-kanak berlari-lari riang di ruang tamu tersebut. Sungguh dia rindu untuk mendapat cahaya mata.  Dia sudah naik gila dengan kebosanan terperap seorang-seorang di rumah. Mujur ada Maxis Broadband. Boleh juga dia melayan Yahoo! Messenger. Dia mencapai komputer riba yang terletak di bawah sofa. Kemudian diletak atas meja kaca di hadapannya. Perlahan-lahan dia menarik zip beg berwarna hitam tersebut.

Buzz~~” baru sahaja dia sign in sudah ada yang menegurnya. Dia tersenyum melihat nickname pada tab tersebut. “Al-Qamar”. Nama tersebut meniti di bibirnya. Sejak akhir-akhir ini lelaki tersebut sering menjadi teman sepinya. Sifat humor lelaki itu membuatkan dirinya terlupa kedukaan yang bersarang di hati. Sungguhpun belum bersua muka tetapi kemesraan antara mereka seperti sudah kenal lama. “Al-Qamar” lah yang membantunya mencari pekerjaan melalui emel. Kalau tidak Shareena pasti sudah menjadi seorang yang gila melayan bosan yang semakin tepu dimamah masa.

“ Al-Qamar: Salam. Dah makan?”

“Reena:Salam. Dah. Awak?”

“Al-Qamar: Belum. Tak slera nak makan dok teringat kat awak jer!”

“Reena: Apa pulak. G je la makan. Nanti kurus kering pulak”

“Al-Qamar: Saya nak makan dengan awak boleh? Kalau tak, saya tak akan makan sampai bila-bila.”

“Reena: Isk awak ni, nak makan kat mana?”

“Al-Qamar: Kita makan kat Chop n Steak nak? Saya tunggu awak pukul 8 mlm ni ok”

“Reena: Erm… ok. Tapi mcm mana saya nak kenal awak?”

“Al-Qamar: Saya pakai baju biru belang hitam, seluar jeans biru. Saya tunggu tau. Jangan tak dtg pula.”

“Reena: Ye..saya dtglah. Nombor telefon awak?”

“Al-Qamar: 017-2000010. Papehal nanti awak call saya k.”

“Reena: Cantik nombor.Okay”

“Al-Qamar: Boss nak jumpa ni. Nanti kita sambung k!”

Shareena bagai kerang busuk, tersengih seorang-seorang. Dia berkira-kira Haikal akan pulang bila. Kebiasaannya, Haikal akan pulang lewat dalam pukul 12 ke atas dengan keadaan mabuk. Mungkin sempat dia keluar sekejap bertemu “Al-Qamar”. Tidak sabar pula dia ingin menunggu malam tiba. Rasanya tiada masalah untuk dia bertemu dengan “Al-Qamar”.

*****

Shareena mengenakan baju blaus warna hijau daun pisang, bercorak bunga-bunga pada bahagian pinggang. Di leher baju tersebut dihiasi manik-manik halus yang bersinar-sinar. Blaus tersebut dipadankan dengan seluar slack putih. Lisptik merah jambu jenama Maybelline mewarnai bibirnya. Dia mengemam bibir beberapa kali bagi meratakan lipstik tersebut. Sedikit blusher disapu pada pipi. Sudah lama dia tidak berhias cantik sebegini. Dia bergaya seperti model di hadapan cermin almari. Sekejap pusing ke kanan sekejap pusing ke kiri. Terpamer keceriaan pada wajahnya. Dia mencapai tas tangan jenama Gucci di atas meja solek kemudian bergerak menuju ruang tamu. Kasut hitam tumit 3 inci jenama Guess yang terletak di rak kasut kayu bersebelahan pintu di sarung pada kaki.  Dia mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya. Kemudian mendial nombor perkhidmatan kereta sewa.

“Saya perlukan teksi, boleh ambil saya sekarang? Saya tunggu depan rumah ok. Erm.. Taman Universiti Serdang”  Shareena memberi alamatnya. Sebaik mendengar persetujuan dari corong telefon, Shareena menekan ikon gagang merah.

Tidak sampai lima minit teksi berwarna merah putih berada di hadapan pagar rumah. Shareena tergedek-gedek menuju ke pintu pagar. Selak pintu tersebut dibukanya berhati-hati. Hatinya berdebar-debar namun debaran tersebut dibuang jauh-jauh. Dia melangkah masuk ke dalam teksi yang pintunya sudah pun terbuka. Dia mengemaskan duduknya. Sesekali dia mengerling pada jam tangan. “Baru 8.30. Awal lagi” bisik hatinya. Teksi tersebut meluncur setelah mendapat arah yang ingin dituju. Tiada apa yang boleh dibualkan dengan pemandu teksi berbangsa Cina tersebut. Kebisuan memenuhi ruang teksi. Hanya lagu “Dan sebenarnya” nyanyian Yuna memecahkan benteng bisu. Mujur pemandu teksi tersebut tidak memasang saluran radio Cina.

Setelah lima belas minit berada dalam perut teksi. Akhirnya Shareena sampai di restoran yang dihias dengan roda kayu kereta lembu di hadapan pintu masuk restoran. Sebaik keluar dari teksi tersebut matanya meliar-liar sekeliling restoran. Restoran tersebut tidaklah besar mana. Tetapi sangat eksklusif dengan reka bentuk antik. Cahaya lampu berwarna kuning keemasan menerangi ruang restoran. Mata Shareena berhenti pada susuk tubuh yang memakai baju biru belang hitam. Lelaki tersebut duduk di meja sebelah tepi restoran. Betul-betul di satu penjuru yang jauh dari pelanggan lain.

“Assalamualaikum!!” sapaan Shareena membuatkan fresh orange yang disedut lelaki tersebut termasuk ke dalam saluran pernafasan. Lantas cecair kejernihan mengalir perlahan dari kedua lubang hidung lelaki tersebut. Shareena menekup mulut menahan tawanya dari berderai.

“Apa la awak ni Reena. Terkejut saya dibuatnya. Duduklah” lelaki tersebut bangun dari tempat duduknya lalu menarik kerusi untuk Shareena.

“Dah lama sampai?” soal Shareena sebaik duduk. Pandangan Shareena tumpah pada seraut wajah lelaki di hadapannya. “Handsome” puji Shareena dalam hati. Iras lelaki tersebut mirip wajah bekas kekasihnya, Adrian,  cuma anak mata lelaki tersebut berwarna hijau tua. Lelaki itu kelihatan kemas dengan rambut disisir rapi ke belakang. Kumis dan janggut seperti baru sahaja dicukur. Kulitnya yang sawa matang memang sesuai dengan pakaian yang dikenakan.

“Baru je sampai. Oh ya, saya Kamar Zaini. Panggil saja Kamar” ujar Kamar sambil membetulkan duduknya. Kamar mengambil jambangan bunga Ros merah di sebelah tempat duduknya lalu dihulur kepada Shareena.  Lagu “ Can’t Wait” berkumandang di udara menambahkan lagi suasana romantis malam itu. Angin malam sayup-sayup menghembus mengajak helai-helai rambut Shareena menari bersama.

“Awak nampak cantik malam ni” puji Kamar. Matanya mengamati setiap inci tubuh yang berada di depannya. Kecantikan Shareena membuatkan Kamar menelan air liur.

Thanks” ringkas sahaja jawapan Shareena. Pipinya kemerahan dipuji Kamar. Terasa sedikit punggungnya mengembang. Dipusar-pusar punggung menghilangkan ketidakselesaan yang dihidapi ketika ini. Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan lelaki menghampiri meja untuk mengambil pesanan. Selesai mengambil pesanan pelayan tersebut beredar.

“Tak sangka dah setahun berkenalan kat internet akhirnya berjumpa juga kita kan” Kamar cuba mengajak Shareena berbual. Dia tahu Shareena masih malu-malu untuk bersuara. Dia tidak mahu perjumpaan pertama ini hambar. Peluang yang ada ini tidak akan dipersiakan.

“Haah. Saya pun tidak sangka akan keluar malam ini bertemu awak. Erm, isteri awak tahu tak kita makan malam sama ni?” Shareena cuba memerangkap Kamar dengan soalan tersebut. Wajah Kamar berubah sedikit seakan terkejut dengan soalan Shareena.

“Mestilah tahu. Dia tak kisah pun. Suami awak macam mana?”  Kamar memulangkan paku buah keras.

“Dia tu tak tahulah balik pukul berapa. Kalau dia tahu mati saya” jawab Shareena bersahaja.
Bulan mengesot di balik awan perlahan-lahan. Cahaya bulan masih kelihatan samar-samar walau bulan sudah tidak kelihatan. Restoran tersebut sudah lenggang yang tinggal hanya pelayan-pelayan yang sedang sibuk menyapu lantai dan mengelap meja. Kerancakan mereka berdua berbual hanyut ditelan masa.

“Saya hantar awak balik” pelawa Kamar sebaik selesai membayar bil di kaunter.

“Isk… tak apalah saya boleh naik cab je” tolak Shareena dengan sopan. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya untuk menelefon perkhidmatan kereta sewa.

“Marilah saya hantar, dah lewat ni” ujar Kamar sambil melihat jam tangannya yang menunjukkan lagi sepuluh minit masuk pukul satu pagi. Dia sudah siap sedia dengan kunci keretanya di tangan.

“Erm… baiklah” telefon bimbit dimasukkan semula di dalam tas tangan. Shareena mengekori Kamar melangkah ke kereta yang diparkir di bawah pokok mangga tidak jauh dari restoran tersebut.

Sewaktu perjalanan pulang tidak banyak yang dibualkan. Hanya lagu “The Moment” tiupan seksofon Kenny G yang dimainkan pemain cakera padat memecah kebeningan dinihari. Kereta Mazda 3 berwarna perak terus memacu di jalan raya yang kian sepi. Di dalam hati Shareena sedang bersimpang siur perasaan gembira dan risau. Dia berdoa agar suaminya masih belum pulang.

“Eh, Kamar awak nak ke mana ni?” soal Shareena yang mula kaget dengan hala tuju kereta yang dipandu Kamar. Setahunya ini bukan arah ke rumahnya. Dia memerhati riak muka Kamar yang mengukir senyum sinis. Duduknya kian tidak selesa ditambah dengan hati yang sedang berderau.

“Saya hendak balik rumah saya sekejap, tertinggal barang. Kejap je” jawab Kamar. Matanya terus dipakukan pada jalan raya. Sesekali dia menoleh wajah Shareena yang semakin dilanda gusar sambil melempar senyum.  Kamar memusingkan stereng kereta ke kanan memasuki sebuah simpang menaiki sebuah bukit. Pemandangan sekitar kawasan adalah kawasan perumahan dua tingkat yang terbengkalai. Kawasan tersebut masih belum berpenghuni. Lampu-lampu jalan masih tidak berfungsi membuatkan kawasan tersebut hanya terang dek sinaran bulan yang samar-samar. Kamar memperlahankan kenderaan lalu berhenti di bahu jalan. Lampu sorot kereta dipadam. Seketika kemudian enjin kereta dimatikan.

“Dah sampai” ujar Kamar sambil menanggalkan tali pinggang keledar dengan tenang.

“Hah? Tak kan awak tinggal kat sini?” tanya Shareena. Riak wajah Shareena berubah. Jiwanya ditujah jutaan persoalan.

“Isk.. tak lah. Awak ni Reena. Tak mungkin saya tinggal kat sini” jawab Kamar. Matanya menacap lama pada dada Shareena. Dia tidak membuang masa lagi, bibir Shareena ditaut rapat. Shareena terpana.

*****

Petang itu cuaca agak mendung. Shareena sendirian di atas kerusi batu. Bunyi kocakan air dari kolam kecil di halaman rumahnya mendamaikan perasaan yang sedang galau. Ikan-ikan kap berenang bebas di dalam kolam tersebut mencuri perhatian Shareena. Hatinya mekar melihat ikan-ikan tersebut meliuk di celah-celah keladi bunting. Secuit roti di campak ke dalam kolam. Serta merta riak permukaan air berkocak. Deringan telefon bimbit meragut kedamainya.

You jangan kacau suami I!!!” gertak suatu suara dari corong telefon bimbit. Suara perempuan tersebut tidak dikenalinya yang mengaku sebagai isteri Kamar.

“Salam tak, apa tak terus serang orang. Gila apa?” getus hati Shareena.

I tak ada kuasa nak kacau suami you lah” balas Shareena.

“Oi perempuan tak sedar diri! Kalau you menggatal lagi dengan suami I. You akan terima akibatnya. Nahas you!!!” ugut perempuan tersebut.

“Eh, perempuan! Kalau you pandai jaga suami you, suami you tak kan menggatal dengan I ! Faham?” Shareena sudah hilang sabar. Talian terus dimatikan. Dia mendengus tidak puas hati. Bukan dia yang nak menggatal dengan Kamar. Jauh disudut hatinya hanya menganggap kamar sebagai kawan sahaja. Tidak lebih dari itu. Peristiwa kelmarin yang hampir meragut harga dirinya membuatkan dia tidak lagi berhubung dengan Kamar. Mungkin dia terhutang budi dengan Kamar yang selalu membantu dirinya yang tidak bekerja lagi. Tapi itu tidak bermakna dia sanggup menggadai diri demi budi.

Peristiwa hitam itu terbayang di tubir matanya. Malam itu, hampir sahaja dia terbuai dengan belaian mesra Kamar tetapi mujur akalnya masih menguasai nafsu.Dia meloloskan diri dari dakapan Kamar. Berlaku pergelutan antara dia dengan Kamar. Kamar seboleh-boleh ingin memaksanya melakukan perbuatan terkutuk. Habis koyak lengan blaus Shareena. Mungkin kekuatan selaku seorang perempuan tidak setanding dengan Kamar tapi dia bijak menggunakan akalnya. Dia menggigit lengan Kamar. Kamar menjerit kesakitan. Tas tangan digunakan untuk memukul lelaki keparat tersebut. Tak cukup itu, dia menggunakan kasut tumitnya pula. Dia gagahi diri berlari dalam gelap gelita berkaki ayam.  Nasib dia baik apabila sebuah kereta polis peronda sedang melalui kawasan tersebut.

“Ponnn… pon” bunyi hon kereta Nissan Impul Latio menerbangkan bayangan Shareena ke udara lalu lenyap ditelan angin. Mata Shareena mengekori kereta tersebut yang kemudiannya berhenti di bawah garaj. Kelibat Haikal muncul apabila pintu kereta terbuka.

“Shareena!” laung Haikal dari bawah garaj. Shareena tanpa berlengah berlari mendapatkan suaminya. Seperti kebiasaannya, dia akan mencium tangan suaminya. Kemudian dengan penuh hati-hati dia menanggalkan tali leher yang dari pagi sampai ke petang tergantung di leher suaminya. Beg bimbit dari tangan Haikal diambilnya.

“Masuk rumah. Abang nak cakap sikit!” tiada senyuman dari wajah Haikal. Mukanya bengis. Entah apa yang membuatkan hatinya begitu membenci Shareena. Mungkin cintanya masih milik Aryana, isterinya yang telah diceraikan dua puluh tahun lalu. Haikal melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menunggu Shareena yang seperti bibik membawa barang-barang kepunyaannya.

“Kenapa abang?” soal Shareena sebaik masuk ke dalam rumah. Beg bimbit dan tali leher diletakkan di atas meja kecil di sebelah televisyen. Kemudian dia melutut di hadapan Haikal yang sedang duduk bersandar di atas sofa berwarna hijau. Haikal sedang memejamkan matanya. Entah dengar entah tidak soalan Shareena tadi. Sarung kaki hitam yang disarung pada kaki Haikal ditanggalkan oleh Shareena satu persatu. Usai menanggalkan sarung kaki Haikal, Shareena terus berlalu ke dapur memasukkan sarung kaki tersebut ke dalam bakul yang berisi kain baju yang sudah dipakai.

“Abang nak air sejuk ke nak rotan?” tanya Shareena dari ruang dapur.

“Bagi aku rotan” jawab Haikal.

Shareena mencapai rotan yang tergantung pada dinding rumah. Rotan tersebut sepanjang satu meter. Dia berfikir apa pula kesalahannya kali ini. Dia menghulurkan rotan tersebut kepada Haikal lalu duduk bersimpuh di atas permaidani. Tidak semena-mena Haikal mencampak kertas putih ke muka Shareena.

“Apa ni? Kau dah pandai ye sekarang?” serentak kata itu satu libasan melekap pada belakang Shareena. Shareena mengaduh kesakitan. Tangannya meraba bahagian yang kena sebat. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

“Sejak bila kau pandai ke mahkamah ni?” satu lagi libasan mengenai belakang Shareena. Raungan pilu Shareena tidak dipedulikan. Kali ini Haikal bagai dirasuk syaitan dia melibas-libas Shareena bagai melibas punggung lembu. Haikal masih tidak puas hati. Dia menanggalkan tali pinggang Crocodile yang meliliti pinggangnya.

“Owh, kau nak cerai ye. Minta fasakh pula” getus Haikal seraya kepala tali pinggang hinggap pada badan Shareena. Shareena sudah meraung bagai nak gila. Dia mengaduh setiap kali libasan demi libasan hinggap ke tubuh. Sampai bila nasibnya harus begini? Dia mengumpul segala kekuatan untuk cuba berdiri. Tangan dan kakinya menggigil. Haikal masih tidak berhenti melibas tali pinggang.

“Abang, saya nak abang ceraikan saya! Abang lelaki tak guna!” pekik Shareena. Dia perlu melawan. Dia sudah hilang hormat pada suaminya.

“Kurang ajar!!”

Satu tamparan hinggap pada pipi Shareena. Kuat dan padat. Darah merah mengalir dari bucu bibir Shareena. Shareena menekup pipinya yang kemerahan. Shareena hampir tumbang. Pandangannya berpinar-pinar. Shareena memejam matanya. Saki-baki tenaga yang ada diikat bersama semangatnya yang masih membara. Shareena membuka mata. Dia melihat pintu rumah yang ternganga. Dia membuka langkah. Haikal cuba menarik lengannya namun Shareena lebih pantas melepaskan diri. Kasut-kasut yang berada di rak kasut kayu sebelah pintu dilempar ke arah Haikal. Tanpa berfikir panjang Shareena membuka selak pintu pagar dengan tergesa-gesa. Haikal cuba mengejarnya dari belakang. Sharenaa terus menerpa jalan raya.

“Streettttt! Gedegang!!

Tamat.

2 comments:

  1. what the.... takde sivik langsung laki mcm ni... dasar laki dayus!!!!

    apa sbnarnya motif citer ni..

    benar2 tergantung begitu saja!!!!

  1. apa ni??
    x kan x de smbungan kot??
    jln crita dah ok tp tgntung...

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini