rss

IRAMA gesekan biola dan petikan gitar berpadu, menghasilkan alunan harmoni dalam bilik muzik berkeluasan sederhana itu. Masing-masing yang berada di dalam bilik tersebut ikut sama terbuai dalam pesona indah alunan yang dimainkan oleh seorang pemuda berkemeja kotak dan gadis yang mengenakan blaus lengan panjang rona biru itu. Usai muzik berhenti, tepukan gemuruh mula menggamatkan bilik tersebut.

“Syabas! Saya yakin persembahan kita semasa karnival muzik minggu depan pasti dapat sambutan hangat. Azhar, Farida, kamu berdua sememangnya pasangan yang ideal!” ujar Puan Najihah, pensyarah muzik bagi kelas tersebut.

Kata-kata Puan Najihah mendapat tepukan daripada para pelajarnya. Ada juga yang bersiul dan menjerit memanggil nama Azhar dan Farida, membuatkan kedua-duanya tersipu malu.

“Baiklah, semua boleh bersurai. Jangan lupa minggu depan kita akan mulakan latihan koir pula. Jumpa lagi,” ucap Puan Najihah lalu melangkah keluar, meninggalkan bilik muzik itu.

“Isha dah agak you all berdua mesti boleh punya. Best student katakan,” ujar seorang gadis berambut pendek separas bahu pada Farida yang sedang memasukkan biolanya ke dalam sarung.

“Awak pun apa kurangnya Felisha... Tak ada siapa di fakulti ni yang boleh menandingi awak bila bermain piano,” balas Farida dalam senyum kecil.

“Iyalah tu. Jom, pergi minum. Hauslah...” ajak gadis yang dipanggil Felisha itu.

“Jom, saya belanja,” celah Azhar yang sejak tadi mendiamkan diri.

“Yes!” jerit Felisha lalu mula berjalan meninggalkan kedua-dua rakannya itu.

Azhar menoleh ke arah Farida. Mata mereka bertentangan. Dikenyitkan mata kanannya. Pantas, Farida berpaling, malu. Sarung biola di tangan digenggam erat. Mereka mula berjalan beriringan, meninggalkan bilik muzik itu.

“Dengarnya awak tengah cipta lagu?” tanya Farida.

“Mana tahu?”

“Isha yang cakap. Dia nampak awak tulis lirik masa kat dalam kelas hari tu,” terang Farida.

Azhar mengangguk.

“Lagu apa?”

“Lagu cinta.”

“Iya? Apa tajuknya?” soal Farida lagi.

“Tajuk tak pasti lagi. Tapi kali ni lagu yang saya cipta tu special sikit,” ujar Azhar.

Special? Kenapa? Untuk siapa?” bertalu-talu Farida bertanya.

“Adalah. Rahsia!” usik Azhar.

“Ala...” Farida sudah tarik muka, pura-pura merajuk.

“Sampai masanya, awak akan tahu juga. Awak akan jadi orang pertama yang tahu. Janji!”

“Janji?” Farida meminta kepastian.

Azhar mengangguk sambil mengangkat telapak tangan seperti sedang berikrar.

“Hei, lambatnya you all berdua ni jalan! Macam siput! Cepatlah, Isha dah haus ni!” jerit Felisha yang sudah jauh ke hadapan.

Farida menggeleng sementara Azhar ketawa kecil. Mereka mempercepatkan langkah. Tidak mahu Felisha yang dianggap tuan puteri dalam kelas itu merungut lagi.

* * * * *

FARIDA yang sedang tekun mengelap biolanya terganggu dengan bunyi keriuk pintu ditolak dari luar. Tidak perlu dia berpaling kerana sudah tahu gerangan orangnya. Kawan sebiliknya itu memang tidak tahu mengetuk pintu dahulu sebelum masuk. Farida tidak kisah kerana bilik ini dikongsi bersama. Bukan hak miliknya seorang.

“Ida!” jerit Felisha lalu meluru ke arah kawan baiknya itu lantas memeluknya dari belakang.

“Eh, Isha! Kenapa ni?”

I’m so happy! Mama Isha baru telefon. Katanya ada special dinner Ahad ni,” jelas Felisha, masih tidak melepaskan pelukannya.

“Wah, special dinner! Untuk apa?”

“Entah, tak ada pula mama beritahu. Tapi, rasanya Isha dah boleh agak.”

“Apa dia?” tanya Farida, penuh teruja.

Felisha meleraikan pelukannya. Kerusi kosong di sebelah Farida ditarik lalu dilabuhkan punggungnya di situ. Farida menatap wajah kawannya yang kelihatan berseri, menanti bicara gadis tersebut.

“Seminggu lepas, mama pernah cakap nak kenalkan anak kawan baik dia pada Isha. A guy. And guess what? Lelaki tu memang Isha suka sangat,” ujar Felisha.

“Iya? Wah, saya tumpang gembira. Jadi, dinner tu untuk kenalkan awak berdualah ya?”

“Tepat sekali! Tak sabarnya nak tunggu Ahad ni...”

Farida mengukir senyum kecil. Sungguh dia gembira kerana kawan baiknya itu akan bertemu dengan kekasih hatinya. Pasti anak orang berada juga. Maklumlah, papa dan mama Felisha dari golongan korporat. Pangkat Tan Sri dan Puan Sri. Sementelah Felisha adalah anak tunggal. Dilayan bagai tuan puteri pula tu. Pasti ibu bapanya mahukan yang terbaik buat anak mereka.

Namun Farida bersyukur kerana Felisha tidak memandang darjat dan pangkat dalam berkawan. Buktinya, gadis itu adalah kawan baiknya. Gadis kampung sepertinya dirasakan amat bertuah mengenali Felisha, seorang yang manja dan cantik.

“Eh, ceritalah sikit tentang lelaki tu. Mesti handsome, kan?” sambung Farida.

“Em nak kata handsome tu bolehlah. Orangnya tinggi. Kulit cerah. Mata sepet macam orang Cina. Dah lama sebenarnya Isha minat kat dia. Mula-mula Isha tak tahu macam mana nak dekat dengan dia sehinggalah satu hari tu mama bawa kawan dia datang makan tengah hari. Tak sangka lelaki tu anak kawan mama. Isha apalagi, terus beritahu mama yang Isha suka lelaki tu.”

Farida tekun mendengar. Kalau sudah namanya jodoh, pasti dipermudahkan Tuhan. Teringat pula kisah cintanya. Pertama kali jatuh cinta, syukurlah ia juga tidak melalui jalan berliku. Ketika dilamar Azhar tiga bulan yang lalu, dia tidak terus menerima. Sebaliknya berfikir dan melakukan solat istikharah. Dan setelah yakin dengan kata hati, barulah huluran kasih Azhar diterima.

Memang dia sudah lama menyimpan rasa pada lelaki itu. Kata orang, cinta pandang pertama. Kali pertama melihat wajah itu, hatinya diterpa debar yang menggila. Jantung berdegup tidak sekata ketika mata mereka bertemu. Apatah lagi melihat senyuman manis yang terukir di bibir mungil Azhar, serasa mahu pengsan kala itu namun cuba dikawal diri.

Ketika Azhar melamarnya untuk menjadi kekasih, sungguh dia terkejut. Terasa seperti berada di awang-awangan sewaktu lelaki itu melafaz kata cinta. Tidak percaya lelaki itu turut menyimpan rasa yang sama dengannya. Dan kini, dua hari lagi, genaplah hubungan meraka tiga bulan. Kata Azhar, selepas tamat belajar semester depan, lelaki itu akan menghantar rombongan merisik dan seterusnya mereka akan bertunang.

“Ida! Ida! Farida!”

Panggilan Felisha menyentak lamunan Farida. Ah, bila teringatkan Azhar, bagai berada dalam dunia sendiri. Sebuah senyum kecil menguntum di bibirnya. Tumpuan kembali ke arah gadis berbaju T-shirt lengan panjang yang bercorak bunga kecil di depannya. Felisha mencebikkan bibir. Senyum Farida melebar.

“Orang tengah bercakap pun sempat dia mengelamun ya,” rajuk Felisha disambut dengan ketawa kecil Farida.

“Maaf, tak sengaja. Apa yang awak cakap tadi?”

“Tentang lelaki yang Isha suka tu. Farida kenal tau!”

Serentak, degupan jantung Farida terasa berhenti seketika. Kata-kata Felisha menerbitkan gusar. Dia kenal lelaki itu? Siapakah?

“Sa... Saya kenal?” soal Farida, gugup.

Anggukan Felisha semakin mendebarkan hati. Ligat fikirannya berputar. Mencari wajah-wajah kawan lelaki yang dia kenali. Tetapi hanya satu wajah sahaja yang muncul. Tuhan, janganlah lelaki itu...

“Si... siapa?”

“Adalah. Nanti kalau dah confirm, Isha beritahu ya. Okeylah, nak pergi washroom kejap,” ujar Felisha lalu bingkas bangun, meninggalkan Farida dengan rawan di hati.

Farida segera mencampakkan kain pengelap yang sejak tadi dipegang. Dia segera meluru ke arah katil, mencapai telefon bimbitnya. Keraguan yang bermaharajalela dalam jiwa perlu segera diusir pergi. Jika tidak, hatinya tidak akan tenang.

Pantas jari-jemarinya mendail lalu menanti penuh debar. Beberapa saat kemudian, panggilannya dijawab.

“Assalammualaikum,” ucap pemanggil di talian sebelah sana.

“Waalaikummussalam,” mendengar suara itu, ada ketenangan yang menjalar ke kalbu.

“Ada apa Ida?”

“Em... Err... Em...” lidahnya kehilangan kata.

“Kenapa ni?” tanya pemanggil itu lagi.

“Azhar...”

“Ya?” sahut Azhar.

“Azhar ada pergi mana-mana tak Ahad ni?”

“Hmm... Rasanya tak ada. Kenapa? Hah, nak sambut anniversary tiga bulan ke?” tanya Azhar dalam gelak.

Farida meletakkan tangan kiri ke dada. Seperti batu berat yang menghempap dadanya diangkat pergi. Lega. Dalam masa yang sama, jiwanya dibuai indah. Lelaki itu mengingati tarikh hubungan istimewa mereka terjalin.

“Awak ni... Baru tiga bulan nak anniversary apanya? Tak adalah, ingat nak ajak keluar makan,” dalih Farida.

“Boleh aje. Nanti Ida confirm nak makan kat mana ya. Okeylah, saya ada group discussion ni. Sleep tight. Good night!” ucap Azhar lalu mematikan panggilan.

Farida menghamburkan keluhan. Rawan yang menyelubungi kalbu sirna. Fikirannya mula diterpa sesuatu. Siapa agaknya lelaki yang disebutkan Felisha tadi?

Jam berbentuk segi empat yang dipaku pada dinding dikerling. Sudah menjangkau pukul 9.30 malam. Biola yang dipinjam dari fakulti untuk latihan sempena karnival muzik nanti dimasukkan semula ke dalam sarung. Entah bila dia dapat memiliki biola seperti ini. Keluarganya bukan orang senang. Dapat melanjutkan pengajian ke menara gading ini pun sudah cukup bermakna padanya.

Lebih-lebih lagi sebagai anak sulung, tanggungjawabnya besar dalam membantu meringankan beban keluarga. Adik-adiknya seramai dua orang itu masih perlu meneruskan pelajaran. Ayahnya sudah semakin lanjut usia. Setahun lagi akan bersara. Emak pula sudah tiga tahun menemui Ilahi kerana kanser rahim.

Farida membuang pandang ke luar. Langit malam hitam pekat. Tiada kerdipan bintang mahupun sinaran rembulan. Baru sahaja dia hendak bangkit, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Melihat nama yang tertera di skrin, Farida tersenyum. Namun senyumannya mati tiba-tiba apabila mendengar bait-bait kata si pemanggil. Tanpa sedar, telefon bimbit terlepas dari pegangan.

“Maaf, mama saya baru call. Ahad ni saya kena balik rumah. Ada hal penting kata mama.”

Itulah kata-kata akhir yang sempat ditangkap telinganya. Serta-merta tubuh Farida menggigil. Tuhan...

* * * * *

DEBARAN dalam hati usah diteka. Setiap saat matanya tidak lepas dari melihat jam di dinding. Menanti dengan penuh gementar. Beberapa minit menunggu, pintu bilik akhirnya ditolak. Pantas Farida bangun. Wajah ceria Felisha menyapa pandangan, membuatkan hati tambah berdebar.

“Hello!” sapa Felisha lalu duduk di atas katilnya sambil membuka kasut tumit tinggi yang dipakai.

“Macam mana dengan makan malam tadi?” Farida terus ke persoalan utama, tidak ada masa mahu berbasa-basi.

“Not bad.”

“Ceritalah, siapa lelaki tu?” tanya Farida lagi.

“Kalau Isha beritahu jangan terkejut ya,” ujar Felisha dalam senyuman.

“Siapa?” Farida menggesa walaupun dia seakan tahu nama yang bakal meniti keluar dari mulut gadis yang berblaus hijau ditaburi bunga putih itu.

“Azhar.”

Dup! Farida cuba mengawal tubuhnya dari terjelepok. Benarlah. Benarlah apa yang berlegar dalam fikirannya sejak Jumaat lepas. Tuhan, mengapa begini hebat dugaan yang diberikan padanya?

“Ida! Hello! Are you okay?”

“Ah, maaf. Awak serius Isha?” soal Farida, cuba mencari ketenangan.

“Hah, terkejut, kan? Isha pun tak sangka mulanya Azhar tu anak kawan mama Isha. Tadi masa makan malam, mama Azhar ada usik Isha. Katanya, bertuah dapat bakal menantu macam Isha,” terang Felisha.

Bakal menantu? Oh, kali ini Farida rasakan dia benar-benar mahu rebah namun segera dia duduk di kerusi belajar. Tidak, hal ini tak boleh dibiarkan. Azhar miliknya! Tapi... Bukankah Felisha adalah teman baiknya? Argh! Kusut!

Bunyi deringan telefon bimbit menarik perhatian kedua-dua gadis itu. Farida hanya membiarkan telefon bimbitnya menjerit nyaring dan akhirnya berhenti sendiri. Dia tahu benar siapa yang menelefon. Lagu “No Air” dari drama Inggeris ‘Glee’ itu merupakan kesukaan Azhar. Dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan lelaki itu. Telefon bimbitnya sekali lagi berbunyi.

“Kenapa tak angkat?” tegur Felisha.

“Orang tak kenal. Dari tadi asyik kacau. Malas nak layan,” bohong Farida.

“Hmm... Isha nak salin baju dululah. Lepas tu nak tidur terus. Penat drive,” ujar Felisha lalu melangkah ke almari pakaiannya.

Farida merenung telefon bimbit di atas meja. Fikirannya celaru. Antara kekasih hati dan sahabat baik, yang mana satu perlu menjadi korban?

* * * * *

“IDA, kenapa ni? Saya ada buat salah ke?”

Farida tidak hiraukan pertanyaan lelaki berkemeja kotak rona coklat itu. Dia melangkah laju, bimbang terserempak dengan Felisha yang masih berada di dalam bilik kuliah.

“Farida!” nada suara Azhar sudah naik satu oktaf.

Langkah Farida terhenti. Tanpa berpaling, dia bersuara, “Jumpa saya petang ni dekat taman mini pukul enam.”

Usai menyatakan ayat tersebut, Farida kembali menyambung langkah. Panggilan dari Felisha juga tidak dihiraukan. Setelah berfikir semasaknya, dia sudah membuat keputusan. Dia yakin, keputusannya ini akan memberi kebahagiaan pada Felisha, Azhar dan juga dirinya sendiri.

Farida terus melangkah tanpa hala tuju. Akhirnya, dia berhenti melepas lelah di bawah gazebo kecil berhampiran bilik muzik. Lantas, dihalakan kaki ke bilik tersebut. Pintu ditolak perlahan. Seorang petugas wanita yang duduk di kaunter dihampirinya. Selesai mendaftarkan nama dan meninggalkan kad pelajar, dia ke bilik yang menempatkan alat-alat muzik. Matanya terus tertancap pada piano yang tersergam megah di sudut kiri bilik tersebut.

Perlahan-lahan Farida menghala ke arah piano itu. Penutup papan kekunci dibuka. Lalu, jemarinya mula menari di atas papan kekunci. Matanya dipejamkan. Lagu bertajuk “Saat Terakhir” dendangan kumpulan dari seberang, ST12 dimainkan.

Tak pernah terfikir olehku

Tak pernah sedikit pun ku menyangka

Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri

Begitu sulit ku menyangkal

Begitu sakit ku rasakan

Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri

Inilah saat terakhirku melihat kamu

Jatuh air mataku menangis pilu

Hanya mampu ucapkan selamat jalan kasih

Satu jam saja ku telah bisa

Cintai kamu kamu kamu di hatiku

Namun bagiku melupakanmu

Butuh waktuku seumur hidup

Satu jam saja ku telah bisa

Sayangi kamu di hatiku

Namun bagiku melupakanmu

Butuh waktuku seumur hidup

Di nantiku

Belum habis lagu itu dimainkan, tiba-tiba Farida menekan kuat papan kekunci. Bergema bilik tersebut dengan bunyi piano yang kuat. Sekali lagi Farida membuat perilaku yang sama. Tanpa sedar, ada manik-manik jernih yang berjuraian di pipi. Sakit. Perit. Itulah yang dirasakan saat ini.

* * * * *

BANGKU kayu yang dicat kuning itu menjadi tempat pertemuan Farida dan Azhar petang itu. Tidak ramai pelajar yang berada di taman mini tersebut. Rata-rata lebih gemar ke pusat sukan untuk beriadah.

Semasa Farida sampai, Azhar sudah duduk menanti di bangku kayu tersebut. Pohon semarak api yang tumbuh berjajar di taman itu sudah mula rekah berbunga. Jingga dan merah warna bunganya. Semilir yang berpuput sedikit pun tidak menghantar tenang dalam hati Farida. Sebentar lagi dia akan mencampakkan diri ke lembah derita. Biarlah, dia rela. Asalkan mereka yang dia sayangi bahagia.

“Assalammualaikum, maaf saya lewat,” sapa Farida lalu duduk di bangku tersebut, sedikit jarak dari Azhar.

“Waalaikummussalam. Tak apa, saya pun baru sampai,” balas Azhar.

Sepi mula mengambil tempat. Masing-masing melayan perasan. Empat hari berlalu sejak Ahad lepas dan sepanjang empat hari itu Farida menjauhkan diri dari Azhar. Walaupun belajar di dalam kelas yang sama, Farida menganggap Azhar bagai orang asing. Ketika sesi latihan pula Farida buat tidak endah sahaja akan kewujudan Azhar. Apatah lagi melihat Felisha yang semakin mesra dengan kekasih hatinya itu.

“Kenapa jauhkan diri?” akhirnya Azhar memecah sunyi.

“Awak ke mana Ahad lepas?” soalan Azhar dijawab dengan soalan oleh Farida.

“Kan saya dah beritahu, saya balik rumah.”

“Buat apa di rumah?”

“Ada hal sikit,” jawab Azhar acuh tak acuh.

“Hal apa?”

“Ida nak tahu ke?”

“Kalau awak tak keberatan nak cerita,” jawab Farida, masih memandang ke hadapan.

Azhar menarik nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan.

“Saya ke rumah Felisha.”

Farida memejamkan mata. Dia perlu kuatkan semangat. Segala-galanya perlu ditamatkan.

“Kenapa tak cakap yang sebelum ni awak pernah ke rumah Felisha?” tanya Farida.

“Jadi, Felisha dah ceritakan semuanya?”

“Felisha bakal menantu yang baik. Mama awak sukakan dia,” ujar Farida.

“Tapi saya cintakan Ida.”

“Belum tentu keluarga awak terima saya. Keluarga awak dan Felisha dah kenal antara satu sama lain. Tentu mereka mahu hubungan persahabatan itu jadi lebih erat. Lagipun, awak berdua memang sepadan. Masing-masing dari golongan korporat. Saya ni hanya pipit sahaja. Yang menumpang kasih dengan enggang,” jelas Farida.

“Ida, kenapa cakap macam tu? Saya yakin keluarga saya tak anggap macam tu. Mereka beri kebebasan pada saya untuk pilih suri hidup saya sendiri. Saya dah pilih Ida. Hanya Ida,” tegas Azhar.

“Cukuplah Azhar. Anggaplah kita tiada jodoh. Felisha adalah pilihan yang baik. Saya tahu dia sayangkan awak. Dia mampu bahagiakan awak.”

“Jangan merepek Ida. Saya sayangkan Felisha sebagai seorang kawan. Tak lebih dari tu. Kenapa Ida nak undur diri pula?”

“Saya tak nak kehilangan Felisha. Dia kawan baik saya. Kawan yang sentiasa berada di sisi saya semasa susah mahupun senang,” terang Farida.

“Jadi awak sanggup kehilangan saya? Rupanya saya tak penting pada awak...” lemah suara Azhar.

Farida bungkam. Azhar silap. Lelaki itu sangat penting padanya. Lebih penting dari nyawanya sendiri. Apakah Azhar tidak tahu menilai kasih sayangnya pada lelaki itu selama ini?

“Maafkan saya. Walau apapun, kita tetap kawan, kan?” pinta Farida.

Azhar diam. Tidak sedikit pun memandang ke wajah gadis yang selalu menemani lenanya itu. Hatinya tercalar. Farida begitu mudah mengalah sebelum berlawan.

“Saya tahu saya dah lukakan hati awak. Saya juga terluka. Tapi percayalah, ini yang terbaik untuk kita. Saya sayangkan Felisha. Saya juga sayangkan awak. Namun untuk menyintai awak, saya rasa Felisha lebih layak. Maafkan saya...” ujar Farida, sayu.

Bunyi ranting kayu yang dipijak menarik perhatian Azhar dan Farida. Kedua-duanya lantas berpaling ke arah batang pokok semarak api itu. Azhar bangun begitu juga dengan Farida. Dapat dilihat seorang gadis sedang berlari meninggalkan kawasan taman mini itu. Mata mereka bertentangan. Azhar mengangguk. Farida terjelepok ke atas rumput yang menghijau. Mereka kenal benar gadis itu walau dipandang dari belakang. Habislah, Felisha sudah dengar semuanya...

* * * * *

SABTU tiba jua. Hari ini bermulanya karnival muzik yang setiap tahun diadakan. Karnival selama dua hari ini dianjurkan oleh Fakulti Muzik. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran, pertandingan nyanyian, garage sale dan sebagainya. Sebentar lagi majlis perasmian akan disempurnakan oleh pengarah kampus bersama-sama dekan fakulti. Usai majlis perasmian, persembahan dari pelajar-pelajar muzik tahun akhir akan diadakan.

Farida tidak punya semangat untuk meneruskan persembahan. Dua hari rakan sebiliknya tidak kelihatan. Felisha tidak pulang ke bilik mahupun menghadiri kuliah. Sesi latihan koir apatah lagi. Tiba-tiba sahaja Puan Najihah mengatakan yang Felisha menarik diri kerana faktor kesihatan.

Dia tahu itu hanya alasan yang direka oleh Felisha. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berbalas. Mungkin terlalu dalam luka di hati Felisha sehingga mengambil masa sebegini lama untuk merawatnya. Sungguh Farida risau akan keadaan kawan baiknya itu. Pasti Felisha kecewa. Gadis itu akan menganggap dia sebagai pengkhianat. Dia yakin, persahabatan yang terjalin hampir tiga tahun itu sudah berkubur. Felisha tidak akan mempercayai dirinya lagi.

Farida yang menunduk mengangkat wajah apabila dirasakan ada seseorang berada di hadapannya. Azhar menguntum senyum tawar. Ah, lelaki di hadapannya ini juga tidak dapat diteka perasaannya. Ternyata dia tidak mampu menahan gelora rindu yang bermukim di pantai hati. Dia tidak dapat menipu dirinya, perasaannya, jiwanya bahawa dia sangat merindui Azhar. Lelaki ini terlalu dekat namun sukar untuk digapai.

Tidak, dia tidak boleh lemah. Bukankah dia sudah nekad untuk melepaskan lelaki ini pergi? Tetapi, mengapa semakin jauh dia berlari, bayang-bayang Azhar semakin menghampiri? Ingatan dan kenangan indah bersama-sama lelaki ini kerap kali bertali-arus terlayar di ruang minda. Sekaligus mencarik rakus luka di hati.

“Bersedialah, sebentar lagi giliran kita,” ujar Azhar, mengembalikan Farida ke alam realiti.

“Felisha ada hubungi awak?”

Azhar hanya diam lalu berpaling pergi. Farida dicengkam rasa bersalah yang teramat. Kini dia bukan sahaja kehilangan kekasih hati, malah sahabat baik juga sudah menjauh pergi. Salah diakah kerana tidak pernah memberitahu Felisha akan hakikat hatinya telah dimiliki? Bukan dia tidak mahu menyampaikannya tetapi hubungan cintanya dengan Azhar masih hijau. Cadangnya, sebelum tamat semester, baru dia akan memberitahu Felisha. Tapi, nasi sudah menjadi bubur.

Suara pengerusi majlis kedengaran menjemput tetamu kehormat untuk memulakan majlis perasmian. Farida bangun dengan lemah. Dia menarik nafas panjang. Selepas tamat persembahan, dia nekad untuk mencari Felisha. Pasti gadis itu berada di rumahnya.

“Baiklah, sekarang kita akan disajikan dengan persembahan dari para pelajar tahun akhir yang akan mendendangkan beberapa buah lagu secara medley. Dengan segala hormatnya, dipersembahkan!” ujar pengacara majlis yang segak memakai kot hitam itu.

Semua peserta yang membuat persembahan bersiap-sedia. Farida mengikuti langkah Azhar ke atas pentas. Dewan besar itu kelihatan padat dengan orang ramai. Ada gemuruh yang menjalar dalam hati Farida. Pertama kali dia membuat persembahan di hadapan orang ramai sebegini.

Bagai menyedari gelisah yang melanda Farida, Azhar memetik gitarnya perlahan, membuatkan Farida menoleh ke arahnya. Dikenyitkan sebelah mata pada gadis itu lantas mengangguk. Farida mengukir senyum kecil. Matanya dipejamkan.Dia mula memegang biola di tangan kiri dan memulakan gesekan. Bergema dewan tersebut dengan irama merdu dari gesekan biolanya. Tenang dan mendayu.

Kemudian, diikuti dengan petikan gitar dari Azhar, menghasilkan kombinasi alunan gemersik yang membuai rasa. Perlahan-lahan tirai di belakang diangkat dan para peserta koir mula menyanyi.

Selesai membuat persembahan, Farida segera turun dari pentas. Dia mahu mencari sahabat baiknya. Biola dimasukkan ke dalam sarung lalu dia pantas belari namun terhenti apabila lengannya ditarik. Farida berpaling dan matanya membulat.

“Tunggulah, persembahan masih belum tamat.”

“Sekarang, persembahan istimewa dari Azhar dengan lagunya ‘Melodi Cinta’. Saksikanlah!” suara pengacara majlis menyapa telinga Farida.

“Lagu ini saya tujukan buat satu-satunya gadis yang saya cintai. Sebuah lagu yang dicipta istimewa untuknya. Kepada Farida, jangan pernah berhenti menyanyi lagu cinta kita,” ujar Azhar membuatkan seisi dewan kecoh.

Petikan gitar mula kedengaran. Farida rasakan jiwanya bergetar hebat. Suara Azhar terasa menusuk kalbu.

Kau bidadari terindah

Yang ku temu dalam lewat hariku

Kau yang satu antara seribu

Kau menawan hatiku


Saat bertentang mata denganmu

Seluruh jiwaku berlagu

Melodi cinta kucipta buatmu

Agar jadi pengubat rindu



Tiada kata yang mampu ku ucapkan

Untuk aku miliki seluruh isi hatimu

Agar dapat aku khabar pada dunia

Betapa kucinta kamu


Kau tercantik antara yang ada

Kau terhebat di dalam jiwa

Kau sempurna di pandang mata

Aku mahu kamu


Cintaku

Dengarlah lagu kucipta buatmu

Agar kau tahu

Rahsia hati ku

Betapa benar aku cintai kamu…

Usai petikan gitar berhenti, tepukan gemuruh kedengaran menguasai dewan. Farida memandang wajah di hadapannya penuh tanda tanya.

“Azhar hanya milik awak Ida. Melodi cintanya tidak akan merdu jika dinyayikan untuk Isha,” ucap Felisha, lembut.

Farida merangkul Felisha ke dalam pelukan. Air matanya lebat mencurah.

“Terima kasih Isha! Terima kasih!”

“Isha yang sepatutnya berterima kasih pada Ida. Kalau Isha tak ikut Ida hari tu, entah sampai bila Isha akan buat dua orang kawan baik Isha ni terseksa.”

“Ta... Tapi awak sukakan Azh...”

“Suka tak bermakna cinta. Mulanya Isha sakit hati, marah bila tahu kawan baik Isha turut menyayangi lelaki yang Isha suka. Tak dinafikan, Isha kecewa sebab terlewat. Cinta Azhar sudah dimiliki oleh gadis lain. Tapi, Isha bersyukur kerana gadis itu adalah kawan baik Isha sendiri. Isha yakin, hanya Ida yang dapat bahagiakan Azhar,” ujar Felisha lalu meleraikan dakapan Farida.

Farida menyeka air mata yang mengalir dengan jemarinya. Wajah Azhar menyapa ruang mata. Lelaki itu tersenyum lebar. Perlahan-lahan bibir Farida turut mengukir senyum. Manis. Ya, seperti kata Azhar, dia tidak akan sesekali berhenti menyanyi melodi cinta yang ditujukan istimewa untuknya!

::TAMAT::


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini