rss


Matahari terik memancar tembus ke celah-celah pokok-pokok. Suara burung berkicau jelas kedengaran. Sekawan burung riang berterbangan dan hinggap di dahan pokok yang lebat berbuah di hujung dahan.

“Hamba sungguh tenang melihat burung mematuk buah di atas dahan sana..” Daeng Kenut mendongak melihat burung asyik mematuk buah di atas pokok.

“Benar bagai dikata wahai tuan hamba. Penat meredah hutan bagai sudah tidak dirasa” Daeng Kesut turut mendongak.

Bila merasa penat sudah semakin reda, lalu mereka berdua pun segera menyambung kembali meredah hutan belantara. Tombak dan keris turut dibawa bersama. Sesekali Daeng Kesut betulkan tengkolok lusuh yang sudah semakin senget melurut. Semak samun di kiri kanan ditebas dengan keris. Peluh keringat di dahi dikesat dengan hujung baju Melayu yang disingsing hingga ke pangkal siku.

Setiba di hujung hutan, masih belum tampak kelibat ayam hutan berbulu pelangi sebagaimana yang diidamkan oleh permaisuri Sultan.

“Hamba rasa elok kiranya kita berehat barang sekejap di sini wahai Daeng Kesut.” Daeng Kenut mula melabuhkan punggung di tebing sungai.

Daeng Kesut hanya menurut langkah Daeng Kenut yang kelihatan sudah tidak bermaya. Sudah sepagi mereka meredah hutan mencari ayam hutan berbulu pelangi seperti yang dititahkan Sultan. Sudah banyak ayam hutan dijumpai namun masih belum ada tanda-tanda ayam hutan berbulu pelangi muncul di depan mata.

“Tuan hamba rasa ayam hutan berbulu pelangi itu masih wujudkah di hutan sebegini?” Daeng Kesut pandang Daeng Kenut yang mula membasahkan badan dengan air sungai yang mengalir perlahan.

“Hamba pun tidak berapa pasti wahai Daeng Kesut. Pada firasat hamba, ayam hutan berbulu pelangi memang payah ditemu. Err..apakah tuan hamba tahu warna pelangi itu bagaimana?”

Daeng Kesut mula menggaru kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rupa warna pelangi. Terkial-kial dia mencari jawapan. Sesekali dia memandang Daeng Kenut yang kelihatan serius merenungnya. Permintaan permaisuri Sultan dirasakan begitu pelik. Dia merenung air sungai yang mengalir perlahan menuju ke muara hilir. Sesekali air sungai berkocak bila menghempas batu dengan kuat di hujung sungai.

“Apa yang tuan hamba sedang fikir?” Daeng Kenut mula pandang Daeng Kesut yang masih menggaru kepala dari tadi.

“Hamba masih memikirkan permintaan permaisuri yang hamba rasa memang tidak munasabah. Seumur hidup hamba, tidak pernah hamba lihat warna pelangi. Hamba hanya tahu warna biasa-biasa sahaja. Pada hemah hamba, permaisuri Sultan mungkin sudah tidak siuman. ” Tutur Daeng Kesut penuh yakin.

Daeng Kenut angguk-angguk tanda setuju. Dia juga sebenarnya merasa begitu sejak dipanggil mengadap Sultan di istana kelmarin.

“Sungguh benar kata-kata tuan hamba. Hamba juga merasa tidak munasabah. Ayam hutan berbulu pelangi tidak pernah hamba jumpa seumur hidup hamba. Warna pelangi juga hamba tidak pernah lihat! Apakah warna pelangi benar-benar wujud atau hanya khayalan permaisuri sultan semata? Memang benar. Permaisuri Sultan sudah tidak siuman!”

Daeng Kesut dan Daeng Kenut meneruskan memburu ayam hutan berbulu pelangi. Mereka meredah lagi hutan belantara sambil mencari kelibat ayam hutan berbulu pelangi. Matahari masih terik memancar yang menembus ke celah-celah ranting pokok yang tinggi. Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula berlari untuk berteduh di bawah pokok yang rimbun bila hujan renyai mula turun.

“Wah! Cantiknya!” Daeng Kenut pandang ke arah langit.

Daeng Kesut turut mendongak ke langit bila melihat Daeng Kenut mendongak begitu.

“Sungguh cantik! Warna apakah itu wahai Daeng Kenut?”

“Hamba juga tidak pasti wahai Daeng Kesut! Tetapi warnanya sungguh cantik! Inilah pertama kali hamba melihat warna pelik sebegini!” Daeng Kenut masih melihat warna pelangi yang terbentuk akibat biasan cahaya matahari yang masih memancar terik dalam hujan renyai begitu.

“Benar sungguh bagai dikata! Sungguh cantik walaupun warnanya sungguh pelik!”

Mereka meneruskan lagi perjalanan memburu ayam hutan berwarna pelangi bila hujan sudah mula reda.

“Nampaknya hari pun sudah semakin senja. Hamba rasa elok kita bermalam di sini sahaja. Biarlah pemburuan itu kita teruskan sahaja sebaik matahari menjenguk esok.” Daeng Kesut pandang langit yang sudah mula kelihatan berbalam-balam menandakan hari sudah semakin merangkak senja.

Maka, bermalamlah keduanya di tepi sungai. Unggun api dibuat di celah batu untuk menghalau nyamuk dan unggas yang hinggap menyengat.

“Hamba hairan sungguh! Jika benar bagai dikata, mengapa masih belum ketemu ayam hutan berbulu pelangi di hutan ini? Masih ingatkan tuan hamba akan pesan sultan pada memanda menteri?” Daeng Kenut masih berkerut kening memikirkan segala kehendak permaisuri Sultan.

“Ya! Hamba masih ingat! Sultan telah memerintah memanda menteri mencari ayam hutan berbulu pelangi di hutan belantara ini. Disuruh pula kita berdua meredah hutan ini demi memenuhi kehendak permaisuri sultan. Tidakkah memanda menteri tahu, kita hanyalah orang biasa-biasa sahaja?” Daeng Kesut turut berfikir sambil menggosok-gosok dagu. Keris dan tombak diletak di tepi. Jika musuh datang menyerang, senjata sudah tersedia menyodok.

Daeng Kenut juga mengangguk. “Ya! Benar kata-kata tuan hamba! Kita bukan hulubalang yang gagah, bukan juga pemburu yang berani! Hamba sungguh hairan!”

“Hmm…hamba juga turut hairan. Apakah kelebihan kita hingga memanda menteri memberi kita tugas ini?” Daeng Kesut menoleh Daeng Kenut.

“Itu yang hamba tidak mengerti. Sepengetahuan hamba, hamba hanyalah seorang pengawal istana. Tuan hamba pula bagaimana?” Daeng Kenut pandang pula Daeng Kesut.

“Hmm..jika tuan hamba pengawal istana, maka hamba pula hanyalah penjaga taman bunga di istana!” Daeng Kesut juga turut hairan.

Masing-masing diam memikirkan titah memanda menteri. Keduanya tidak pernah memburu binatang di hutan apatah lagi keluar berperang. Daeng Kesut hanya pandai membela dan menjaga pokok-pokok bunga di taman istana. Daeng Kenut pula hanya pandai tercegat di depan pintu besar istana. Sultan juga tidak pernah tahu kewujudan mereka di istana.

“Apa..tuan hamba pernah melihat ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kenut pandang Daeng Kesut yang berbaring di sebelah berbantalkan lengan kanan.

Daeng Kesut hanya geleng. “Rupa ayam jantan hamba tahulah! Tuan hamba bagaimana pula?”

Daeng Kenut turut menggeleng. “Hamba pula hanya tahu terpacak di depan pintu istana sahaja!”

Kini kedua-duanya termangu-mangu memikirkan rupa ayam hutan berbulu pelangi. Hari sudah semakin gelap. Sultan memerintahkan mereka berdua memburu ayam hutan berbulu pelangi di hutan itu dan diberi tempoh hanya dua hari.

“Pelik sungguh permaisuri Sultan mengidam. Isteri hamba tidak pernah mengidam benda yang pelik-pelik begini.” Daeng Kesut teringat isteri yang ditinggal di hujung kampung.

“Hmm…isteri hamba pula hanya mengidam buah kelapa muda” Daeng Kenut turut merasa pelik dengan kehendak permaisuri Sultan.

Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memikirkan cara terbaik untuk memburu ayam hutan berbulu pelangi. Malam itu mereka berdua mula mencari jalan bagaimana untuk memerangkap ayam hutan berbulu pelangi.

“Hamba bingung wahai Daeng Kenut, apa yang kita boleh buru dengan hanya sebilah keris dan sebatang tombak! Ayam hutan pula lajunya begitu sukar dikejar. Hamba tidak berpuas hati!” Tiba-tiba Daeng Kesut mula merungut.

“Huh! Hamba juga begitu! Permintaan Sultan sudah keterlaluan rasanya. Elok jika kita batalkan sahaja memburu ayam hutan berbulu pelangi itu!” Daeng Kenut mula merengus sambil membelek keris pendek dan tombak kontot.

“Benar bagai dikata wahai Daeng Kenut! Ayuh! Kita buru sahaja ayam hutan yang ada! “ Daeng Kesut mula teringat ayam hutan berbulu hitam yang dijumpai banyak berkeliaran di dalam hutan.

“Ayuh!”

Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memburu ayam hutan di sekitar sungai. Berpeluh mereka mengejar dan mengepung ayam hutan yang mula berkeliaran di situ.

“Liar juga ayam hutan ini. Apa kata kita tunggu sahaja waktu malam?” Daeng Kenut mula semput mengejar ayam hutan yang begitu laju berlari.

“Waktu malam? Biar benar tuan hamba! Bukankah waktu malam tidak nampak?” Daeng Kesut menggaru-garu kepala.

“Apa yang hamba tahu, ayam akan bertenggek atas dahan pokok bila malam menjelma!” Daeng Kenut senyum.

Daeng Kesut angguk. “Jika benar, baiklah! Kita tunggu saja malam nanti!”

Mereka berdua mula berehat di perdu pokok tualang di tebing sungai sambil menanti hari gelap. Sebaik sahaja matahari mula terbenam, Daeng Kenut dan Daeng Kesut mula memerhati di atas dahan pokok.

“Ha! Itu dia ayam hutan bertenggek atas dahan sana!” Jerit Daeng Kesut sambil menuding ke arah dahan pokok di sebelah kanan.

Maka bermulalah mereka menangkap ayam hutan yang bertenggek di atas dahan pokok di tepi sungai. Beberapa ekor ikan juga turut ditangkap menggunakan tombak. Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memanggang ayam hutan dan ikan. Seharian mereka meredah hutan, perut mula terasa kosong. Permintaan permaisuri sudah tidak dihiraukan lagi.

“Hmm..hamba rasa, agaknya daging ayam hutan berbulu hitam ini sama sahaja rasanya dengan daging ayam hutan berbulu pelangi. Kita bawa sahaja ayam hutan yang sudah siap dipanggang. Tidakkah tuan hamba setuju?” Daeng Kenut mula beri cadangan.

“Hamba setuju dengan cadangan tuan hamba. Jika kita bawa pulang ayam hutan yang masih hidup, tentu kepala kita dipancung nanti! Di hutan belantara seperti ini, mana hendak dicari ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kesut senyum.

“Hamba rasa elok kita makan sahaja ayam hutan ini. Seekor lagi kita tambat di pokok sana. Perut hamba teringin benar menikmati daging ayam hutan ini. Jika tidak cukup, ikan di sungai juga kita boleh tangkap. Apa pandangan tuan hamba?” Daeng Kenut mula terliur dengan rasa enak ayam hutan.

“Hmm..bagus juga cadangan tuan hamba itu. Hamba juga teruja menikmati keenakan daging ayam hutan.” Daeng Kesut turut senyum.

Mereka berdua mula senyum sambil meratah daging ayam hutan yang sudah siap dipanggang tadi bersama beberapa ekor ikan.

“Eh! Apasal rasa ayam hutan ni macam ayam golek pasar malam je??” Daeng Kesut tenung paha ayam panggang di tangannya.

Ha’a la! Aku rasa macam ayam Kenny Rogers pun ada!” Daeng Kenut senyum.

*****************

CUT!!!

“Hoi! Mana skrip korang ambik ni?! Aku tahu la ayam tu aku beli kat pasar malam tadi sebelum datang shooting sini!”

Ayam panggang yang berada di tangan Kamil hampir terjatuh bila disergah pengarah. Dia pandang pengarah yang mula bercekak pinggang.

Sorry bos! Tak tahan la tengok ayam panggang ni! Err..boleh kita shoot semula scene ratah ayam tadi?“ Kamal pula menyampuk.

 


Sambungan Kuih! Kuih!

MALAM itu selepas habis berbuka dengan Kak Yati, Emi segera mengemas barang-barang yang digunakan untuk berniaga di bazar ramadhan petang tadi. Dia jeling Kak Yati yang juga sibuk menolongnya membersihkan bekas kuih yang digunakan tadi.

“Emi, pergilah solat dulu. Biar akak yang kemas. Dah lambat ni.” Kak Yati senyum.

Emi pandang jam di dinding dapur. Sudah hampir lapan malam. Dia segera ke bilik air membersihkan diri. Selesai solat maghrib, Emi kembali semula ke dapur membantu Kak Yati yang masih sibuk membasuh pinggan mangkuk.

“Err..kak dah boleh solat tak?” Emi pandang Kak Yati yang leka membasuh pinggan.

“Kenapa?”

“Malam ni..Emi ingat nak terawih tapi tak ada kawan la..” Emi jeling jam lagi. Sudah hampir lapan setengah malam.

“Macam ni..akak temankan Emi ke masjid. Lepas terawih nanti Emi baliklah ikut makcik yang tinggal dekat rumah kita ni.” Kak Yati senyum lagi. Kesian melihat Emi tiada teman untuk ke masjid.

Emi angguk tanda setuju. Walaupun jarak masjid dari rumahnya hanya 300 meter saja namun dia tidak berani berjalan seorang diri pada waktu malam begitu. Tambah lagi bila memikirkan bermacam-macam kejadian yang tidak diingini berlaku sekarang ini. Dia tahu makcik Nab yang tinggal sebelah rumah Shafiq yang selalu berjemaah di masjid. Hatinya mula lega bila Kak Yati sudi menemaninya ke masjid.

“Terima kasih kak. Nanti saya belanja akak ais krim abang yang jual depan masjid tu ek!” Emi cium pipi Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.

**************

EMI sudah siap bertelekung. Dia membawa sekali sejadah dan lampu suluh kecil yang dimasukkan dalam poket seluar sukan. Dia duduk di bangku di ruang laman sementara menunggu Kak Yati bersiap. Sempat jeling jiran sebelah.

“Dah ke masjid agaknya..gelap je..” Emi jenguk ke laman sebelah. Lampu di ruang tamu gelap sementara lampu di depan laman terang benderang.

“Jom!”

Emi terkejut, tiba-tiba Kak Yati sentuh bahunya.

“Akak ni! Terkejut saya tau!” Emi mengurut dada.

“Tu la! Terjenguk-jenguk rumah bujang tu kenapa? Rindu kat Shafiq ke?” Kak Yati sengih.

Emi muncung bila diusik begitu. Dia segera berjalan beriringan dengan Kak Yati ke masjid. Dia terpaksa melalui depan rumah Shafiq untuk ke masjid. Lampu di sekitar jalan hanya satu saja yang bernyala. Keadaan jalan agak gelap. Nasib baik dia bawa lampu suluh kecil.

“Kak..bila nak tambah lampu jalan ni? Gelap macam ni..risau saya. Buatnya kena culik ke apa ke..bukan sapa perasan pun dalam keadaan gelap macam ni!” Emi berjalan rapat dengan Kak Yati. Dia lihat kiri kanan. Sebelah kiri sederet rumah setingkat dan sebelah kanan pula hanya ada semak kecil yang berselang seli dengan pokok bunga. Dekat dengan masjid pula baru ada taman permainan kanak-kanak.

“Entahlah Emi. Jalan kat sini memang macam ni..sejak akak pindah rumah ni lagi! Tapi tak pa..tengok ramai yang berjalan kaki ke masjid. Janganlah risau!” Kak Yati turut menyuluh jalan dengan lampu suluh yang dibawanya.

“Err..kak..lepas hantar Emi nanti, macam mana akak nak balik?” Emi teringat Kak Yati nanti akan balik seorang diri selepas menghantarnya ke masjid.

“Jangan bimbanglah! Sebaik saja Emi dah sampai depan pintu pagar masjid, akak cepat-cepatlah balik. Masa tu kan masih ramai yang menuju ke masjid!” Kak Yati penuh yakin berkata sambil melempar senyuman.

Mereka berdua berjalan laju menuju ke masjid. Tiba di masjid, Kak Yati cepat-cepat berpatah semula ke rumah bila melihat masih ramai yang mula berjalan ke masjid. Kalau lambat nanti tentu sunyi jalan tadi.

“Eh! Kak Yati! Tergesa-gesa nampak!”

Kak Yati berpaling bila mendengar namanya dipanggil. Shafiq!

“Alamak! Aku kena buat tak kenal ni! Kalau dia banyak tanya nanti, aku nak jawab apa! Takkan nak cakap aku uzur..ish! ” Kak Yati laju melangkah membiarkan Shafiq dan Halim di situ.

“Eh, kenapa dengan kak Yati tu? Orang menghala ke masjid, dia pulak dari masjid menghala ke rumah!” Shafiq memandang Kak Yati yang laju melangkah seolah-olah cuba mengelak dari sesuatu.

Shafiq pandang pula ke arah masjid. Emi sudah berada di tangga masjid sambil meletakkan selipar merah jambu yang dipakai di tepi tangga.

“Oh..agaknya teman budak sombong tu la tu…” Fikir Shafiq sendiri sambil senyum penuh makna. Matanya melirik ke arah selipar merah jambu Emi.

********************

HABIS solat terawih, Emi masih di dalam masjid. Dia tidak mahu berasak-asak bersama jemaah lain berebut hendak keluar dari masjid. Sementara menunggu jemaah semakin berkurang, dia periksa lampu suluh kecil. Mana tahu kalau-kalau tak menyala. Tadi hanya lampu suluh Kak Yati yang digunakan masa meredah kegelapan di jalan menghala ke masjid. Bila dirasakan jemaah sudah semakin kurang, dia mula bangun dan mula keluar dari masjid.

“Eh! Mana pulak selipar aku ni?” melilau Emi mencari selipar yang seingatnya diletakkan di tepi tangga dekat dengan rak kasut sebelum masuk ke masjid tadi.

Dia terus mencari. Terbongkok-bongkok Emi mencari selipar di bawah rak kasut dan di bahagian tangga lain. Mana tahu seliparnya tercampak ke bahagian rak kasut lelaki pula. Dalam keadaan jemaah yang ramai, tidak mustahil seliparnya tersepak ke tempat lain.

“Ada orang hilang selipar la!”

Emi yang terbongkok-bongkok tadi mula menegakkan badan dan berpaling ke arah suara yang menegurnya tadi. Shafiq??

Dia tidak hiraukan kata-kata Shafiq sebaliknya dia teruskan mencari seliparnya yang masih tidak jumpa.

“Boleh aku tolong?” Shafiq menawarkan diri bila melihat Emi mula cemas.

“Tak payah! Kau bukan tahu pun selipar aku macam mana!” Emi jeling Shafiq yang berbaju Melayu hijau.

“Sombongnya! Macamlah selipar kau tu mahal sangat!” Shafiq sengih sambil jeling Halim di sebelahnya yang turut sengih.

“Eh! Suka hati aku la! Mahal ke murah ke..selipar aku!” Emi masih mencari. Kali ini dia baru jumpa sebelah seliparnya.

“Kau carilah! Sampai esok pagi pun takkan jumpa!” Shafiq masih berdiri di tepi tangga sambil memerhati Emi yang masih terbongkok-bongkok mencari.

Emi mula mendongak ke arah Shafiq. Dirasakan kata-kata Shafiq tadi ada sesuatu yang tidak kena. Dia perhati wajah Shafiq dan sesekali wajah Halim. Lagaknya seperti watak Detective Conan yang sedang mencari jawapan dari wajah-wajah yang mencurigakan itu. Teringat drama tv kegemarannya, Lie To Me. Emi masih merenung wajah-wajah yang mula dirasakan ada sedikit keraguan di hatinya. Mana tahu dia dapat baca riak wajah Shafiq dan Halim.

“Hmm..jadi kau la yang sorokkan selipar aku ya?” Emi cuba meneka kata-kata Shafiq tadi.

Shafiq hanya angkat bahu. Dia jeling Halim di sebelah yang turut terpinga-pinga.

Halim pula mula pandang Shafiq dengan wajah curiga. Kalau benar Shafiq yang sorokkan selipar Emi, bila masa pula Shafiq buat? Halim mula menggaru kepala. Kupiah atas kepala dibuka.

Emi pula pandang Shafiq yang masih tersengih begitu. Sakit hatinya melihat Shafiq buat tidak tahu saja pertanyaannya tadi. Dia jeling kakinya yang tersarung selipar yang dijumpainya tadi. Hanya sebelah, sebelah lagi masih hilang! Sekali lagi dia pandang Shafiq. Nyata wajah selamba Shafiq masih dalam keadaan sengih macam kerang busuk!

“Hoi! Aku tanya! Kau pekak ke? Sengih-sengih! Macamlah handsome sangat!” Emi tenung Shafiq lagi.

“Memang aku sangat handsome! Sebab tu kau suka cakap dengan aku! Hahaha!!” Shafiq mula ketawa. Dia sebenarnya suka melihat wajah Emi yang mula marah begitu. Merahnya sudah macam merah bunga kertas!

“Fiq, tak baik tau kau buat macam tu! Kesian dia. Mana kau sorok selipar dia?” Halim tepuk bahu Shafiq.

“Mana aku tahu! Aku saja je nyakat dia tadi!” Shafiq pandang Halim yang mula terpengaruh dengan kata-kata nya sebentar tadi.

“Tu la..sapa suruh baling senduk kat kita orang petang tadi! Sekarang selipar kau dah hilang!” Shafiq masih ketawa.

Emi mengetap bibir melihat Shafiq ketawa begitu. Dia genggam tangannya dengan kuat. Lampu suluh dikeluarkan dari dalam poket seluar sukannya. Kain telekung masih tersarung. Dia pandang kiri kanan. Jemaah masjid sudah tidak ramai. Dia lihat pula jam tangan. Sudah hampir sepuluh setengah malam.

“Macam mana ni…orang dah tak ramai ni. Makcik Nab dah balik agaknya. Mana selipar aku ni? Tadi aku letak kat anak tangga sana..” Emi merungut sendiri. Kalau tidak jumpa juga dia terpaksa balik ke rumah dengan berkaki ayam.

“Memanglah anak tangga! Takkan bapak atau mak tangga pulak cik Emi oi! Hahaha!” Shafiq sekali lagi menyakat Emi. Dia jeling Emi yang tercari-cari seliparnya dari tadi.

“Aku bukan cakap dengan kau lah!” Emi jeling Shafiq yang mencuri dengar rungutannya tadi.

Shafiq sengih lagi. Halim mula rasa bersalah melihat Emi masih mencari selipar seorang diri. Dia cuit lengan Shafiq supaya membantu Emi mencari seliparnya yang hilang.

“Ni hah! Aku dah jumpa!” Shafiq senyum.

Emi cepat-cepat berpaling. Dia lihat Shafiq senyum hingga ke telinga.

“Mana ?” Emi kerut kening bila melihat Shafiq tersengih-sengih dari tadi.

“Aku dah bagi kat abang long tadi!” Shafiq ketawa sambil menjeling Halim di sebelah.

Abang long mana pulak ni! Eii!!! Emi renung Shafiq dengan perasaan curiga. Dia pasti yang Shafiq sengaja sorokkan seliparnya. Kalau tidak takkan tak sampai seminit, Shafiq dah boleh jumpa seliparnya yang hilang.

“Abang long mana?” Emi mula geram.

Shafiq senyum sambil melirik ke arah Halim yang mula sengih. Dia biarkan Emi tertanya-tanya. Halim senyum. Faham benar dengan kata-kata Shafiq. Dulu dia juga pernah terkena.

“Apa sengih-sengih? Tak payahlah tunjuk muka tak sudah kau tu!” Emi semakin geram.

“Sengih aku ada makna tau tak! Hahaha!! Abang long tu dekat je..dia ada dekat-dekat sini je! Kau nak ke tak nak selipar mahal kau tu? Kalau tak nak..kau baliklah kaki ayam!” Shafiq mula ketawa.

Emi mula cekak pinggang. Sakit hatinya sudah membuak. “ Naklah! Mana abang long tu? Mana??”

“Abang longkang!!! Hahahah!!!” Shafiq ketawa berdekah-dekah dengan Halim. Sempat dia jeling muka Emi yang semakin merah. Dari merah bunga kertas sudah jadi merah bunga ros!

Emi mula jenguk ke dalam longkang. Seliparnya terapung dalam air longkang! Dia pandang semula Shafiq yang masih ketawakannya. Eiii!!!!

“Hoi! Tak kelakarlah!” Emi baling ranting kayu ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat mengelak.

“Kalau kau nak, kau ambik lah sendiri! Nah! Guna ni..” Shafiq hulur semula ranting kayu yang dilempar oleh Emi tadi.

Emi merenung Shafiq yang nyata telah membuang seliparnya ke dalam longkang. Dia tarik ranting kayu dari tangan Shafiq dan mula menguis seliparnya yang terapung dalam air longkang. Dia cepat-cepat ambil dan mula beredar dari situ. Sebelum beredar, sempat dia melempar satu lagi ranting kayu ke arah Shafiq.

****************

SHAFIQ masih ketawa. Gelihati melihat Emi beria tanya siapa abang long! Dia jeling Halim di sebelah yang juga turut ketawa melihat gelagat Emi yang menggelabah.

Dia turut melangkah meninggalkan masjid bersama Halim. Mereka berdua seronok bercerita tentang jiran sebelah kanan mereka. Sesekali Shafiq betulkan kupiah bila kupiahnya mula melurut jatuh.

“Weh! Seronok kau kenakan si Emi tu! Hahaha!” Halim sengih sambil menyuluh jalan yang gelap menuju ke rumah mereka.

“Hahaha!! Aku suka nyakat minah sombong tu!” Shafiq masih ketawa.

“Aduh!!” Shafiq pegang dahinya yang terasa sakit. Dia pandang kiri kanan. Dirasakan ada orang lempar sesuatu terkena dahinya tadi.

“Kenapa Fiq?”

Shafiq pandang bawah. Ada segumpal kertas berisi batu kecil berada di hujung kakinya. Dia cepat-cepat ambil. Kertas itu dibuka perlahan. Ada sesuatu yang tertulis di situ.

Sebagai balasan, nah ambik batu ni! Kirim salam kat abang long kau tu!

Shafiq segera pandang ke arah datangnya segumpal kertas yang tiba-tiba melayang terkena dahinya. Dia hanya nampak kelibat seseorang tengah berlari laju ke arah rumah sederet di depan.

“Nanti kau Emi!” Shafiq sudah dapat agak.

******************

TIBA di rumah, Emi segera masuk ke rumah. Termengah-mengah dia menahan nafas. Nak lari dari Shafiq punya fasal, lampu suluhnya terjatuh entah ke mana dalam perjalanan tadi. Dia lihat Kak Yati tengah seronok menonton tv.

“Eh! Emi! Dah balik?” Kak Yati berpaling.

Emi senyum. Dia masih tercungap-cungap.

“Kenapa tercungap-cungap ni?” Kak Yati hulur segelas air sirap kepada Emi.

Emi duduk di sofa sebelah Kak Yati sambil meneguk air sirap. Bila dirasakan sudah reda, dia mula senyum dan terus ketawa. Kak Yati pula terpinga-pinga melihat Emi yang tiba-tiba seperti orang gila. Ketawa sorang-sorang!

“Padan muka!”

“Apa yang Emi merepek ni? Siapa yang padan muka? Emi ni..ketawa macam orang putus fius ni kenapa?” Bertubi-tubi soalan Kak Yati.

“Saya puas kak! Shafiq sorokkan selipar saya tadi. Saya balas balik la!” Emi ketawa lagi. Terasa puas!

“Emi..Emi..apa yang Emi balas?” Kak Yati pandang Emi yang tak habis-habis bergaduh dengan jiran sebelah.

“Saya lontar segumpal kertas berisi batu kecil kepada Shafiq!” Emi tersenyum puas. Selepas beredar dari masjid tadi, dia menyorok di sebalik pokok kelapa di tepi jalan yang berhampiran dengan rumah hujung sambil menulis sesuatu atas kertas nota yang sentiasa dibawa untuk catatan tazkirah tadi. Bila saja ternampak Shafiq lalu di situ, dia segera baling.

“Tak baik Emi buat macam tu tau! Ni kan bulan puasa! Kalau kena mata macam mana? Esok akak nak Emi minta maaf dengan Shafiq!” Kak Yati mula berleter.

Emi akur. Dia mula rasa bersalah. Memang benar kata Kak Yati. Tidak sepatutnya dia melempar batu ke arah Shafiq tadi. Dia mula berkira untuk meminta maaf esok.

********************

PAGI-PAGI lagi Emi bangun. Kali ini dia ingin jumpa Shafiq dan minta maaf. Dia mula keluar ke laman depan. Terjenguk-jenguk rumah sebelah kirinya. Hmm..senyap. Emi betulkan tali kasut sukan. Dia lihat jam. Sudah tujuh pagi walaupun hari masih gelap. Hari itu hari minggu. Pagi itu dia bercadang untuk pergi joging. Pukul sebelas nanti dia akan mula membuat kuih untuk dijual di bazar ramadhan petang nanti.

“Hmm..tidur lagi agaknya..” Emi jenguk lagi sebelum menutup pintu pagar dan mula berlari perlahan mengelilingi kawasan taman.

Sudah satu pusingan Emi berlari. Dia mula merasa penat. Sempat dia berehat di taman permainan kanak-kanak. Suasana nyaman dan udara segar di pagi hari cukup menyihatkan. Habis berehat, dia menyambung semula berlari ke arah rumahnya.

“Alamak! Shafiq !” Emi jenguk ke laman rumah Shafiq. Keningnya berkerut bila melihat dahi dekat dengan kening sebelah kanan Shafiq berbalut dengan kesan merah.

Perasaan bersalah semakin terasa. Dia melangkah perlahan ke arah pintu pagar rumahnya. Dengan langkah longlai, Emi buka pintu pagar dan mula duduk atas bangku di tepi rak kasut. Dia termenung seketika. Sesekali dia jeling ke arah Shafiq. Kelihatan Shafiq sedang berehat di kerusi depan pokok bunga kertas. Mukanya berkerut menahan sakit.

“Err..sa..sakit ke?” Emi beranikan diri bertanya.

“Mestilah! Tak nampak ni! Darah pekat meleleh kat dahi aku ni!” Shafiq tunjuk dengan jari.

Emi diam. Dia seolah dapat merasakan kesakitan akibat terkena batu kecil malam tadi. Dia mendekati pagar yang memisahkan rumahnya dengan rumah Shafiq. Dia pandang lagi Shafiq, tidak berkelip. Terasa dia sudah buat kesalahan besar.

“Err..aku minta maaf..tak sangka sampai macam tu sekali..aku ingat tak ada apa-apa..” Emi renung muka Shafiq yang masih berkerut menahan sakit.

“Emm..ok! Apology accepted! Tapi aku nak kuih free!” Shafiq pandang Emi yang mula suram.

“Boleh! Boleh! Kau nak kuih apa?” Emi mula terasa bersemangat semula bila Shafiq sudi memaafkannya.

“Hmm..aku nak kaki gangster, minah seksi dan si cute berinti gula..” Shafiq sengih. Sesekali dia pegang dahi yang berbalut dengan muka berkerut.

Shafiq mula masuk ke rumah sambil tersenyum. Emi pula hanya pandang Shafiq dengan rasa bersalah. Kasihan melihat Shafiq luka berdarah begitu. Kalaulah dia boleh tolong ubatkan luka di dahi Shafiq.

Emi pandang dengan penuh sayu. Dia mula buka kasut dan diletak di atas rak. Dia capai pula kasut sukan jenama Nike pemberian ayahnya dulu. Masih cantik. Sudah lama dia tidak memakai kasut itu. Segera disarungkan ke kaki. Tiba-tiba terasa seperti ada benda lembik dan melekit. Cepat-cepat dia keluarkan kakinya dari kasut itu. Semerbak bau busuk menusuk hidung!

“Apa benda ni?” Emi cuba intai dalam kasut.

“Eiii!!! Macam mana tahi lembu ada dalam kasut aku ni???” Emi mula menyinga. Kasut kesayangannya sudah berbau dengan tahi lembu.

“Aaaaarrgggghhh!!!”

***********

SHAFIQ ketawa mengekek bila mendengar Emi menjerit begitu. Dia masih terhendap-hendap di sebalik langsir di ruang tamu. Perlahan dia pulas tombol pintu dan mula mengintai dari celah pagar di sebelah rumah. Terbongkok-bongkok dia mengendap Emi. Jelas wajah Emi sudah merah menyala! Kali ini sudah merah macam buah naga! Hahaha!!!

“Fiq! Apa yang kau mengekek sorang –sorang tu? Eh! Malam tadi elok je dahi kau?” Tiba-tiba Halim muncul di depan pintu.

Shafiq masih ketawa. Dia berpaling ke arah Halim yang sudah tercegat di muka pintu rumah. Dia mula bergerak ke arah Halim dengan terbongkok-bongkok, bimbang Emi akan nampak dia menyorok di sebalik pagar tadi.

Shh! Aku yang letak tahi lembu dalam kasut dia!” Shafiq pandang Halim yang terpinga-pinga.

Shafiq mula mencabut pembalut dan membasuh pewarna merah yang melekat di dahi. Dia terus ketawa. Lakonannya berjaya membuat Emi rasa bersalah tadi. Hahahaha!!



MELUR senyum melihat ibu bersungguh meniup bara pada ranting kayu yang dijadikan kayu api. Sesekali dia ketawa mengekek bila melihat muka ibu sudah penuh dengan debu dari kayu api yang terbang bila ditiup. Selesai membasuh beras pulut, dia segera ke belakang dapur menolong ibu membakar lemang.

Selesai meletakkan daun pisang dalam buluh, Melur masukkan pula beras pulut dan sedikit santan. Memang setiap kali menjelang hari raya, seminggu sebelum itu mereka sudah mula menerima tempahan dari jiran yang suka lemang yang ibu buat.

Melur segera mengambil kipas tangan dan mengipas kayu api yang mula padam. Sesekali mereka ketawa bila wajah masing-masing hitam dek abu dari bara kayu api yang mula terbang.

“Bonda rehatlah..biar Melur yang buat semua ni..”

Melur terharu melihat kesungguhan ibu menyiapkan lemang yang ditempah. Tahun ini, tempahan yang diterima lebih dari tahun lepas. Pagi tadi, pagi-pagi lagi ayah sudah ke hutan mencari buluh untuk buat lemang. Kadang-kadang rasa kasihan melihat ibu dan ayah memerah keringat semata-mata untuk mencari rezeki halal dan menyara mereka sekeluarga.

Sejak dulu, ayah memang kuat bekerja. Orang kampung macam ayah, hanya kerja-kerja kampung saja yang mampu dia lakukan. Sekolah pun hanya setakat tingkatan lima. Sejak mendirikan rumah tangga dengan ibu, ayah begitu rajin mencari rezeki. Bermacam-macam kerja dia lakukan. Bila kami lahir, ayah semakin sibuk mencari rezeki. Dari seorang nelayan biasa, ayah melangkah setapak lagi menjadi seorang peniaga cendol. Modal yang diberi oleh pihak pengurusan zakat negeri, ayah gunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Bermula dari situ, perniagaan cendol ayah mendapat sambutan walaupun hanya kecil-kecilan. Ibu pula membuat nasi lemak dan lemang bila ramadhan menjelang setiap tahun. Kasih ayah pada ibu sungguh murni, tidak berbelah bagi. Walaupun sibuk, ayah tetap menolong ibu dalam apa jua keadaan. Pernah ayah bangun pukul tiga pagi semata-mata ingin membantu ibu menyediakan nasi lemak dan kuih untuk dihantar di kedai-kedai makan sekitar kawasan rumah mereka.

Bila ibu demam, ayah setia menanti di tepi katil ibu yang terlantar di situ. Malah ayah melarang kami dari membantu ibu menyediakan bubur nasi. Ayah akan membuat sendiri untuk ibu. Melur menyeka air mata melihat kasihnya ayah terhadap ibu. Pernah terlintas di hatinya suatu hari nanti, dia akan bertemu dengan lelaki yang mempunyai sikap seperti ayah.

Bila bulan ramadhan tiba, ayah akan bangun sepertiga malam untuk tahajud bersama ibu. Melur dan kembarnya, Mawar pula kadang-kadang ikut sama. Maklumlah masih muda remaja, baru tujuh belas tahun. Usia begitu, memang masa untuk berseronok. Itulah yang selalu difikir oleh Melur dulu. Dia dan Mawar selalu bergaduh bila disuruh membuat kerja rumah. Ibu dan ayah tidak pernah marah malah mereka menasihati dengan berhemah.

“Melur..Mawar..hanya satu pinta ayah..ayah tak minta kamu berdua membuat kerja rumah dengan terpaksa. Jika rasa terpaksa, tak usahlah buat kerana terpaksa itu tiada nilai di sisi Allah jika tidak dengan hati yang ikhlas.”

Melur senyum lagi. Selepas itu dia dan Mawar malu sendiri. Bukan mereka tidak tahu tapi sengaja buat tidak tahu. Bermula saat itu, Melur dan Mawar tidak lagi bergaduh. Mereka mula melakukan kerja rumah dengan rela hati, berbakti pada kedua orang tua.

“Kak..Mawar tengok bonda dan ayah macam loving couple! Kalaulah Mawar dapat suami macam ayah..kan best!” Mawar senyum sambil melihat ayah dan ibu sama-sama meniup kayu api untuk membakar lemang sambil bergurau.

“Ha’a ..akak pun suka tengok. Ingatkan akak je yang idamkan suami seperti ayah..hihihi..”

Melur senyum sambil menjeling ke arah Mawar yang muda hanya tiga minit darinya.

Melur dan Mawar sama-sama menyambung kerja memasukkan daun pisang dan beras pulut ke dalam batang buluh. Sesekali mereka ketawa melihat gelagat ibu yang mencubit paha ayah yang menyapu arang ke muka ibu.

MALAM itu mereka berbuka sama-sama. Ibu sempat masak lauk ayam kampung goreng berempah dan sayur pucuk ubi yang dipetik di belakang rumah. Sedikit sambal belacan bersama ulam raja. Mereka menikmati juadah berbuka dengan penuh selera dan sama-sama ke masjid menunaikan solat terawih.

Melur senyum lagi bila melihat ayah setia berada di sebelah ibu dalam perjalanan ke masjid yang hanya beberapa meter saja jaraknya dari rumah. Melur dan Mawar turut berpegangan tangan sambil berjalan di belakang ibu dan ayah.

Pulang dari terawih, ayah akan mengira duit hasil jualan untuk hari itu dan disimpan di dalam peti kayu empat segi yang diletak dalam almari bilik. Tidak mahu disimpan di bank katanya. Menurut ayah lebih senang untuk membeli ubat untuk ibu sekiranya ibu demam lagi. Ayah juga menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah. Itu yang ayah mampu. Bukan tidak terniat untuk mengerjakan haji namun jika dilihat hasil jualan memang tidak akan pernah cukup. Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat ayah untuk terus berusaha mencari rezeki. Ayah ingin menunaikan keinginan ibu yang begitu ingin melihat bumi suci. Siang malam ayah mencari rezeki.

Masih terngiang kata-kata ayah…

“Wahai anak-anakku…tanamlah dalam hati untuk melihat kebesaran Allah di bumi suci. Jika tidak mampu ke sana, cukuplah dengan amalan seusai solat subuh, bacalah Quran sehingga masuknya waktu dhuha, maka tunaikanlah solat dhuha semoga dimurahkan rezeki ..insyaAllah..dengan amalan itu juga sebenarnya kita mendapat pahala satu umrah sempurna..ingatlah wahai anak-anakku.”

Melur hanya tunduk sambil menyeka air mata mendengar tazkirah ringkas dari ayah tercinta setiap kali lepas solat. Dia pandang Mawar di sebelah yang manis dalam telekung putih. Dipandang ibu yang sentiasa mengukir senyuman kepada ayah. Betapa bahagia melihat ayah dan ibu.

MALAM itu, balik dari masjid, ayah akan tolong ibu menyiapkan tempahan. Seperti biasa ayah dan ibu akan bergurau senda. Mawar dan Melur juga turut tersenyum melihat gelagat kedua orang tua mereka.

“Bonda..mengapa nama kami seperti nama bunga..Melur dan Mawar?” Melur tiba-tiba teringat nama unik mereka pada zaman moden ini. Mawar turut mengangguk, ingin juga dia tahu kisah di sebalik nama unik itu.

“Melur..Mawar..nama itu ayah bagi sempena nama ibu kamu yang juga nama bunga..Kenanga..semuanya wangi. Ayah harap anak-anak ayah juga dapat menjadi anak solehah, biar wangi diri tatkala dijemputNya nanti!” Ayah senyum sambil melihat ibu yang tersipu malu.

Melur dan Mawar angguk sambil mengukir senyuman di bibir. Kini baru mereka faham mengapa. Mereka ketawa dan bergelak ketawa. Ayah paling gembira malam itu menyakat ibu yang sudah kemerahan di sebalik putih wajahnya yang tenang.

“InsyaAllah..esok kita sambung lagi…nanti kita tahajud sekali. Lepas tu kita solat sunat Aidilfitri sama-sama esok pagi di masjid ya.” Ayah senyum. Dia mula mengemas bila semua lemang dan kuih siap dibungkus.

Melur hanya memerhati ayah masuk ke bilik. Ibu pula bila siap berkemas mula mengikut ayah ke kamar.

“Sungguh bahagia akak tengok ayah dan bonda..” Melur pandang Mawar sambil senyum.

PAGI itu, Melur tidak sempat bertahajud bersama ayah dan ibu. Mereka tidak sedar jam sudah hampir waktu subuh. Sayup Melur dengar suara ayah melaungkan takbir raya bersama ibu. Dia cepat-cepat ke bilik air. Sempat dia kejutkan Mawar yang masih berselimut.

“Mawar! Bangunlah! Dah subuh la..nanti ayah marah!” Melur geleng melihat Mawar yang masih lena atas katil.

Mawar genyeh mata. Dia lihat sekitar bilik.

“Kak..kita kat mana ni?”

Melur mula pelik dengan pertanyaan Mawar yang masih termangu-mangu begitu. Mamai agaknya.

“Kat bilik kita la..kenapa?” Melur tarik selimut Mawar.

“Bilik kita? Err..tapi tadi Mawar rasa Mawar berada kat satu tempat lapang dan wangi. Ayah dan bonda pun ada sekali.”Mawar terpinga-pinga sambil memandang sekitar bilik.

“Mawar mimpi tu! Dahlah! Bangun cepat, kita jemaah sekali dengan ayah dan bonda. Mereka dah lama kat bilik solat tu!” Melur tarik tangan Mawar.

DALAM bilik air, Mawar masih bingung dengan apa dia alami. Dia sendiri berada di kawasan lapang dan penuh dengan bunga wangi yang ditanam ibu dan ayah. Masih terbayang, ayah dan ibu sungguh bahagia di situ sambil bergurau senda.

“Mawar! Cepatlah!”

Mawar cepat-cepat mandi dan mengambil wuduk bila mendengar Melur sudah menjerit begitu.

“Kau ni! Tengok, dah pukul enam suku dah! Mesti ayah marah kat kita!” Melur mula tarik tangan Mawar ke bilik solat. Mereka sudah siap bertelekung. Mawar mula muncung.

DI BILIK solat, Melur kuak pintu yang sedikit terbuka. Mawar turut menolak daun pintu. Wajah mereka pucat. Sejak kecil ayah begitu tegas bila menyentuh soal solat yang sengaja dilengah-lengahkan. Tapi kali ini mereka tidak sengaja. Mereka berdua tidak sedar. Mungkin kerana terlalu letih menyiapkan lemang dan kuih.

“Kak…ayah marah ke?” Mawar pandang Melur bila melihat kedua orang tua mereka masih diam.

Melur pandang ayah dan ibu yang masih di tikar sejadah. Namun ada sesuatu yang menyentap tangkai hatinya. Dia pandang Mawar. Mawar juga turut memandangnya dengan wajah pucat. Kepala ibu tersandar di bahu ayah. Ayah pula masih duduk bersimpuh seperti dalam keadaan tahiyat akhir solat. Kepala ayah tunduk.

Perlahan mereka menghampiri. Sejadah dihampar di sebelah ibu. Melur pegang tangan ibu. Mawar pula pegang bahu ibu. Sebaik disentuh, ibu jatuh ke riba ayah. Melur lihat pula ayah yang masih tunduk. Mata ayah pejam rapat sambil senyum.

“Ayah! Bonda!” Melur gerak-gerakkan tubuh kedua orang tuanya.

“Kak..kenapa ayah dan bonda kak…” Mawar mula menangis.

Melur terduduk di sisi ayah dan ibu. Dia kemudian peluk Mawar yang menangis teresak-esak.

“Mawar…Allah lebih sayangkan ayah dan bonda..mereka telah dijemput Ilahi dik…”

Mawar dan Melur masih berpelukan. Kedua orang tua mereka telah kembali kepada Allah di pagi raya. Kedua ayah dan ibu dibaringkan atas sejadah. Mawar dan Melur mula menunaikan solat subuh sebelum memanggil imam masjid.

MELUR pandang lemang dan kuih. Sayu hatinya mengenangkan pemergian ayah dan ibu yang pergi dengan tiba-tiba. Namun dia senyum bila mengenangkan ayah dan ibu pergi dengan tenang. Ada senyuman di bibir. Bau wangi menusuk ke hidung dari dalam bilik solat sehingga ke liang lahad. Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmatNya.



*Sambungan cerpen Juadah Ku, Juadah Mu...

EMI mula senyum. Sejak dia pandai membuat kuih cek mek molek, dia merasakan ada satu keseronokan untuknya mencuba kuih lain. Otaknya mula ligat berfikir tentang rezeki bulan ramadhan. Balik dari kelas tadi, sempat dia mencari resipi di internet beberapa jenis kuih yang dirasakan dapat menarik pembeli untuk mencuba kuihnya nanti.

Kelasnya akan habis awal bila bulan puasa tiba. Tambah-tambah kalau pensyarah yang suka batalkan kelas. Seawal pukul empat dia sudah ada di rumah. Kesempatan itu dia gunakan sepenuhnya untuk mempelajari cara untuk membuat kuih. Mencari duit lebih untuk menampung pengajiannya di kampus nanti. Emi senyum lagi.

Maka bermulalah misi Emi untuk menjadi seorang peniaga kecil-kecilan. Dia mula berangan ingin menjual kuih pada hujung minggu saja. Kebetulan ada satu gerai yang sudi memberinya tumpang di situ dengan membayar sedikit sewa.

“Err..kak Eton..boleh saya tumpang berniaga kuih kat sini tak? Hujung minggu je. Nanti saya bayar sewa..boleh tak?” Emi mula bersemangat. Dia kenal kak Eton masa beli nasi lemak di gerai itu dulu. Kak Eton memang murah dengan senyuman.

Kak Eton yang pakai apron di depannya senyum.

“Boleh..kebetulan hari minggu akak tak banyak kuih. Bila nak mula?”

“Minggu ni!” Emi senyum lebar.

Pagi Sabtu, Emi bangun dengan perasaan semangat berkobar. Dia melangkah ke dapur dengan senyuman. Kak Yati hanya senyum melihat Emi yang tersenyum-senyum begitu. Nor, Alin dan Shidah pula tiada di rumah. Masing-masing berbuka di luar. Ada yang balik ke kampung masing-masing. Maklumlah rumah mereka dekat saja dengan kampus. Hari ini hanya dia dan Kak Yati saja yang lepak di rumah. Emi senyum lagi. Terasa tiada gangguan.

“Emi, nak buat apa dengan bahan-bahan yang banyak ni?” kak Yati garu kepala melihat banyak bahan untuk buat kuih atas meja makan.

“Hihihi..kak..saya nak berniaga. Bulan puasa ni banyak rezeki. Ni! Saya dah salin semua resipi kuih yang saya nak buat nanti!” Emi hulur buku nota resipinya kepada Kak Yati.

Kak Yati membelek helaian demi helaian. Ada senyuman di bibirnya.

“Hmm..not bad! Tapi..banyak ni, larat ke buat nanti? Nak akak tolong?” Kak Yati mula menawarkan diri.

“Eh! Akak tak sibuk ke? Terima kasih daun keladi!” Emi melompat gembira. Pembantu sukarela sudah ada.

Bertungkus-lumus Emi dan Kak Yati membuat kuih mengikut resipi yang ditulis dalam nota kecil itu. Satu persatu bahan-bahan yang dibeli dari pasar raya tadi diletak di sekelilingnya. Setelah memastikan semua bahan ada, Emi mula memakai apron dan sarung tangan. Kebersihan perlu dijaga.

“Ok Emi! Let’s start the mission! Cayok!” Emi senyum sambil memberi kata semangat kepada dirinya sendiri.

Kak Yati hanya gelak kecil melihat telatah Emi yang gila-gila. Happy go lucky orang putih kata! Dia segera menolong Emi membancuh tepung dan bahan-bahan lain mengikut sukatan. Ada lebih kurang sepuluh jenis kuih.

“Emi! Banyaknya! Sempat ke nanti?” Kak Yati pandang senarai kuih dalam nota kecil.

“Ala kak..kuih cek mek saya dah pandai. Yang lain tu kita ikut jelah resipi dalam tu! Macam kuih seri muka tu..kan akak dah expert!” Emi senyum lagi.

Kak Yati senyum. Begitu bersemangat melihat Emi yang sentiasa riang.

“Semangat nampak? Puasa ke tak ni?” Kak Yati mula bergurau.

“Eh! Saya puasa la kak! Akak tu yang tak puasa! Nanti boleh lah akak rasa kuih ni nanti!” Emi sengih.

Kak Yati turut sengih. Terlupa yang dia masih dalam keadaan uzur.

MEREKA mula menyediakan satu demi satu kuih yang dalam senarai tadi. Ada yang kena goreng, ada yang kena kukus dan ada juga yang kena bakar. Rumah mereka yang sememangnya lengkap dengan barang keperluan dapur seperti oven dan pengukus, membuatkan kerja mereka lebih mudah.

“Kak..terima kasih kerana beri pinjam barang akak ni..” Emi pandang Kak Yati yang begitu rajin menolong Emi.

“Ala..akak kan suka masak. Korang guna je..janji jangan jahanamkan barang tu sudah!” Kak Yati senyum lagi. Dia juga tidak berkira dengan teman serumahnya dalam banyak hal asalkan mereka tahu menghargai.

Hampir pukul tiga petang mereka baru siap buat semua jenis kuih. Masuk waktu zuhur tadi, Emi tinggalkan Kak Yati seorang diri sementara dia menunaikan solat zuhur. Semua kuih diletakkan dalam bekas plastik besar mengikut jenis kuih.

“Emi nak jual kat mana nanti?” Kak Yati betulkan urat bila terasa lama duduk bersila tadi.

“Kak Eton yang jual nasi lemak tu bagi tumpang kat Emi. Emi bayar sewa tapak tu..kongsi dengan kak Eton!” Emi mula mengemas dapur yang berselerak.

Kak Yati hanya angguk. Dia turut menolong Emi mengemas bila melihat jam di dinding dapur sudah hampir tiga setengah petang.

PETANG itu, Emi bersama Kak Yati mula bergerak ke bazar ramadhan berdekatan dengan rumah mereka dengan menaiki kereta kak Yati. Kak Yati pula menolong Emi mengangkat kuih-kuih ke gerai Kak Eton. Dari jauh Kak Eton sudah senyum.

“Wah! Banyaknya kuih ni Emi! Semua ni Emi buat sendiri ke?” Kak Eton terbeliak melihat pelbagai jenis kuih yang dibawa.

Emi angguk dan mula senyum sambil menjeling Kak Yati. “Saya dengan kak Yati ni yang buat.”

Kak Yati turut serta menjual kuih bersama Emi di gerai Kak Eton. Mereka mula menyusun semua kuih dengan kemas dan diletakkan nama pada setiap jenis kuih.

“Amboi! Peliknya nama!” Kak Eton ketawa.

Kak Yati juga turut ketawa melihat nama-nama yang diberi oleh Emi pada kuih-kuih yang mereka buat tadi. Dia pandang Emi yang tersengih-sengih.

“Emi ni suka buat lawak la!” Kak Yati masih menekan perutnya melihat nama-nama kuih Emi.

“Ala..kak..dengan nama pelik macam ni nanti..Emi harap orang akan beli! Rasa pun sedap..kak Yati dah rasa tadi kan?” Emi geletek Kak Yati di sebelah.

Emi mula melihat pengunjung bazar di situ mula membanjiri gerai-gerai. Dia segera memakai apron merah menyala dan mula senyum kepada pengunjung yang lalu di depan gerai Kak Eton.

“Abang, kakak, pakcik, makcik! Mari! Mari! Kuih bagus mari!” Emi sengih lagi.

Beberapa orang pelanggan di situ mula membeli kuih Emi bila terbaca nama-nama pelik pada setiap jenis kuih yang diletak di tepi kuih.

“Kuih! Kuih!” Emi melaung dengan kuat tanpa rasa malu. Teringat masa kecil dulu, dia sering membantu ibunya menjaja kuih di kampung sambil menjerit kuih!

Kak Yati senyum gelihati melihat gelagat Emi yang tidak segan menjual kuih. Laungannya cukup menarik pelanggan berkerumun di gerai Kak Eton. Nasi lemak Kak Eton turut terjual sama.

***************

SHAFIQ berjalan perlahan-lahan melalui gerai-gerai di sekitar bazar ramadhan. Hari ini dia tidak bercadang memasak. Dia masih tercari-cari juadah apa yang ingin dibeli untuk berbuka nanti. Teman serumahnya ada yang pulang ke kampung. Hanya dia dengan Halim saja yang ada di hujung minggu begini.

“Lim! Kau nak beli apa? Aku tak tahu nak makan apa!” Shafiq pandang Halim di sebelah.

“Alah..tinggal kita dua je kan? Kita belilah nasi apa-apa dan kuih sikit. Untuk sahur nanti, kita beli lauk je. Nasi kita masak sendiri!” Halim senyum. Dia pandang pula sekitar gerai.

“Eh! Tu bukan jiran kita ke?” Halim tuding ke arah satu gerai. Dia kenal dengan kak Yati.

“Mana?” Shafiq panjangkan tengkuk melihat gerai yang ditunjuk Halim tadi.

“Tuuu!! Tu Kak Yati kan?” Halim juga turut terjenguk-jenguk di sebalik orang ramai yang mula memenuhi bazar di situ.

“Yalah! Bila masa pulak kakak tu berniaga? Uih! Ramai la pelanggan dia! Jom-jom! Kita pergi tengok!” Shafiq menarik tangan Halim menuju ke arah gerai tadi.

Di celah-celah orang ramai, Shafiq dan Halim mula melangkah laju ke gerai Kak Yati. Pelanggan mula ramai. Shafiq dan Halim terjenguk-jenguk melihat apa yang dijual di situ.

“Eh! Tu kan budak perempuan yang bagi kita kuih cek mek inti budu hari tu kan?” Shafiq renung Emi yang sibuk melayan pelanggan.

“Apa? Cek mek inti budu? Bila kau makan?” Halim pula tercengang.

“Lupa..korang tak ada kat rumah masa tu! Aku yang makan..hihihi!” Shafiq senyum sendiri.

Shafiq dan Halim segera mendekati gerai setelah melihat pelanggan mula reda. Dia melihat Emi dan Kak Yati tak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli kuih mereka.

“Eh! Shafiq!” kak Yati mula senyum bila perasan jiran sebelah kirinya tercegat di situ.

Emi memandang Shafiq dengan muka tak bersalah. Agaknya dia sudah rasa cek mek inti budu aku tu..fikirnya sendiri.

“Nak beli kuih ke?” Kak Yati bertanya lagi setelah melihat Emi diam. Tadi bukan main lagi Emi menjerit memanggil pelanggan.

“Nak juga rasa..mana tahu kali ni inti cuka pulak!” Shafiq jeling Emi di sebelah Kak Yati. Wajah Emi sudah berubah.

“Wow! Pelik gila nama kuih korang ni!” Halim membaca satu persatu nama kuih.

Kaki Gangster Lompat Tikam

Minah Seksi Puteri Mandi

Si Keji Tahi Itik

Si cute Cek Mek Molek

Wahai alim Ketayap

Kaki pukul Kuih Lompang

Dari Zoo Badak Berendam

Si Tenteram Kuih Makmur

Awet Muda Seri Muka

Si Munafik Talam Dua Muka

Malas mandi Bau- Lu



“Hahaha! Nama tu Emi yang bagi!” kak Yati pandang Emi di sebelah.

Emi pula mula tunduk. Tidak sanggup melihat kuihnya nanti ditertawakan oleh Shafiq dan Halim.

Eii! Bila nak blah ni! Emi jeling lagi.

“Kak! Saya nak beli lah kuih ni. Nak rasa sedap ke tak!” Shafiq jeling Emi yang mula muncung.

“Nak kuih apa? Boleh campur! Lima biji dua ringgit!” Kak Yati pula terpaksa melayan bila Emi masam begitu.

“Hmm..bagi saya kaki gangster, minah seksi, si munafik, awet muda dan si keji! Err..kak! Si cute tu saya tak nak..takut ada inti budu!” Shafiq berkata sambil ketawa geli hati.

“Saya pula mestilah nak minah seksi tu! Bagi dua ringgit!” Halim turut ketawa.

Emi hanya jeling Shafiq dan Halim yang masih ketawa. Jaga korang! Emi ketap bibir menahan marah mendengar ketawa mengejek jiran sebelahnya.

“Nah! Ni Emi bagi free satu sorang!” Kak Yati letak dua biji kuih bahulu.

“Hmm..kuih ni namanya malas mandi..mesti Emi malas mandi kan kak? Sebab tu bau semacam je!” Shafiq mengusik Emi sambil memerhati nama kuih. Duit dihulur.

Tiba-tiba dirasakan satu senduk melayang ke arahnya. Shafiq cepat-cepat mengelak sambil berlari bersama Halim. Mereka ketawa berdekah-dekah. Puas dapat mengenakan Emi semula.


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini