rss


MELUR senyum melihat ibu bersungguh meniup bara pada ranting kayu yang dijadikan kayu api. Sesekali dia ketawa mengekek bila melihat muka ibu sudah penuh dengan debu dari kayu api yang terbang bila ditiup. Selesai membasuh beras pulut, dia segera ke belakang dapur menolong ibu membakar lemang.

Selesai meletakkan daun pisang dalam buluh, Melur masukkan pula beras pulut dan sedikit santan. Memang setiap kali menjelang hari raya, seminggu sebelum itu mereka sudah mula menerima tempahan dari jiran yang suka lemang yang ibu buat.

Melur segera mengambil kipas tangan dan mengipas kayu api yang mula padam. Sesekali mereka ketawa bila wajah masing-masing hitam dek abu dari bara kayu api yang mula terbang.

“Bonda rehatlah..biar Melur yang buat semua ni..”

Melur terharu melihat kesungguhan ibu menyiapkan lemang yang ditempah. Tahun ini, tempahan yang diterima lebih dari tahun lepas. Pagi tadi, pagi-pagi lagi ayah sudah ke hutan mencari buluh untuk buat lemang. Kadang-kadang rasa kasihan melihat ibu dan ayah memerah keringat semata-mata untuk mencari rezeki halal dan menyara mereka sekeluarga.

Sejak dulu, ayah memang kuat bekerja. Orang kampung macam ayah, hanya kerja-kerja kampung saja yang mampu dia lakukan. Sekolah pun hanya setakat tingkatan lima. Sejak mendirikan rumah tangga dengan ibu, ayah begitu rajin mencari rezeki. Bermacam-macam kerja dia lakukan. Bila kami lahir, ayah semakin sibuk mencari rezeki. Dari seorang nelayan biasa, ayah melangkah setapak lagi menjadi seorang peniaga cendol. Modal yang diberi oleh pihak pengurusan zakat negeri, ayah gunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Bermula dari situ, perniagaan cendol ayah mendapat sambutan walaupun hanya kecil-kecilan. Ibu pula membuat nasi lemak dan lemang bila ramadhan menjelang setiap tahun. Kasih ayah pada ibu sungguh murni, tidak berbelah bagi. Walaupun sibuk, ayah tetap menolong ibu dalam apa jua keadaan. Pernah ayah bangun pukul tiga pagi semata-mata ingin membantu ibu menyediakan nasi lemak dan kuih untuk dihantar di kedai-kedai makan sekitar kawasan rumah mereka.

Bila ibu demam, ayah setia menanti di tepi katil ibu yang terlantar di situ. Malah ayah melarang kami dari membantu ibu menyediakan bubur nasi. Ayah akan membuat sendiri untuk ibu. Melur menyeka air mata melihat kasihnya ayah terhadap ibu. Pernah terlintas di hatinya suatu hari nanti, dia akan bertemu dengan lelaki yang mempunyai sikap seperti ayah.

Bila bulan ramadhan tiba, ayah akan bangun sepertiga malam untuk tahajud bersama ibu. Melur dan kembarnya, Mawar pula kadang-kadang ikut sama. Maklumlah masih muda remaja, baru tujuh belas tahun. Usia begitu, memang masa untuk berseronok. Itulah yang selalu difikir oleh Melur dulu. Dia dan Mawar selalu bergaduh bila disuruh membuat kerja rumah. Ibu dan ayah tidak pernah marah malah mereka menasihati dengan berhemah.

“Melur..Mawar..hanya satu pinta ayah..ayah tak minta kamu berdua membuat kerja rumah dengan terpaksa. Jika rasa terpaksa, tak usahlah buat kerana terpaksa itu tiada nilai di sisi Allah jika tidak dengan hati yang ikhlas.”

Melur senyum lagi. Selepas itu dia dan Mawar malu sendiri. Bukan mereka tidak tahu tapi sengaja buat tidak tahu. Bermula saat itu, Melur dan Mawar tidak lagi bergaduh. Mereka mula melakukan kerja rumah dengan rela hati, berbakti pada kedua orang tua.

“Kak..Mawar tengok bonda dan ayah macam loving couple! Kalaulah Mawar dapat suami macam ayah..kan best!” Mawar senyum sambil melihat ayah dan ibu sama-sama meniup kayu api untuk membakar lemang sambil bergurau.

“Ha’a ..akak pun suka tengok. Ingatkan akak je yang idamkan suami seperti ayah..hihihi..”

Melur senyum sambil menjeling ke arah Mawar yang muda hanya tiga minit darinya.

Melur dan Mawar sama-sama menyambung kerja memasukkan daun pisang dan beras pulut ke dalam batang buluh. Sesekali mereka ketawa melihat gelagat ibu yang mencubit paha ayah yang menyapu arang ke muka ibu.

MALAM itu mereka berbuka sama-sama. Ibu sempat masak lauk ayam kampung goreng berempah dan sayur pucuk ubi yang dipetik di belakang rumah. Sedikit sambal belacan bersama ulam raja. Mereka menikmati juadah berbuka dengan penuh selera dan sama-sama ke masjid menunaikan solat terawih.

Melur senyum lagi bila melihat ayah setia berada di sebelah ibu dalam perjalanan ke masjid yang hanya beberapa meter saja jaraknya dari rumah. Melur dan Mawar turut berpegangan tangan sambil berjalan di belakang ibu dan ayah.

Pulang dari terawih, ayah akan mengira duit hasil jualan untuk hari itu dan disimpan di dalam peti kayu empat segi yang diletak dalam almari bilik. Tidak mahu disimpan di bank katanya. Menurut ayah lebih senang untuk membeli ubat untuk ibu sekiranya ibu demam lagi. Ayah juga menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah. Itu yang ayah mampu. Bukan tidak terniat untuk mengerjakan haji namun jika dilihat hasil jualan memang tidak akan pernah cukup. Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat ayah untuk terus berusaha mencari rezeki. Ayah ingin menunaikan keinginan ibu yang begitu ingin melihat bumi suci. Siang malam ayah mencari rezeki.

Masih terngiang kata-kata ayah…

“Wahai anak-anakku…tanamlah dalam hati untuk melihat kebesaran Allah di bumi suci. Jika tidak mampu ke sana, cukuplah dengan amalan seusai solat subuh, bacalah Quran sehingga masuknya waktu dhuha, maka tunaikanlah solat dhuha semoga dimurahkan rezeki ..insyaAllah..dengan amalan itu juga sebenarnya kita mendapat pahala satu umrah sempurna..ingatlah wahai anak-anakku.”

Melur hanya tunduk sambil menyeka air mata mendengar tazkirah ringkas dari ayah tercinta setiap kali lepas solat. Dia pandang Mawar di sebelah yang manis dalam telekung putih. Dipandang ibu yang sentiasa mengukir senyuman kepada ayah. Betapa bahagia melihat ayah dan ibu.

MALAM itu, balik dari masjid, ayah akan tolong ibu menyiapkan tempahan. Seperti biasa ayah dan ibu akan bergurau senda. Mawar dan Melur juga turut tersenyum melihat gelagat kedua orang tua mereka.

“Bonda..mengapa nama kami seperti nama bunga..Melur dan Mawar?” Melur tiba-tiba teringat nama unik mereka pada zaman moden ini. Mawar turut mengangguk, ingin juga dia tahu kisah di sebalik nama unik itu.

“Melur..Mawar..nama itu ayah bagi sempena nama ibu kamu yang juga nama bunga..Kenanga..semuanya wangi. Ayah harap anak-anak ayah juga dapat menjadi anak solehah, biar wangi diri tatkala dijemputNya nanti!” Ayah senyum sambil melihat ibu yang tersipu malu.

Melur dan Mawar angguk sambil mengukir senyuman di bibir. Kini baru mereka faham mengapa. Mereka ketawa dan bergelak ketawa. Ayah paling gembira malam itu menyakat ibu yang sudah kemerahan di sebalik putih wajahnya yang tenang.

“InsyaAllah..esok kita sambung lagi…nanti kita tahajud sekali. Lepas tu kita solat sunat Aidilfitri sama-sama esok pagi di masjid ya.” Ayah senyum. Dia mula mengemas bila semua lemang dan kuih siap dibungkus.

Melur hanya memerhati ayah masuk ke bilik. Ibu pula bila siap berkemas mula mengikut ayah ke kamar.

“Sungguh bahagia akak tengok ayah dan bonda..” Melur pandang Mawar sambil senyum.

PAGI itu, Melur tidak sempat bertahajud bersama ayah dan ibu. Mereka tidak sedar jam sudah hampir waktu subuh. Sayup Melur dengar suara ayah melaungkan takbir raya bersama ibu. Dia cepat-cepat ke bilik air. Sempat dia kejutkan Mawar yang masih berselimut.

“Mawar! Bangunlah! Dah subuh la..nanti ayah marah!” Melur geleng melihat Mawar yang masih lena atas katil.

Mawar genyeh mata. Dia lihat sekitar bilik.

“Kak..kita kat mana ni?”

Melur mula pelik dengan pertanyaan Mawar yang masih termangu-mangu begitu. Mamai agaknya.

“Kat bilik kita la..kenapa?” Melur tarik selimut Mawar.

“Bilik kita? Err..tapi tadi Mawar rasa Mawar berada kat satu tempat lapang dan wangi. Ayah dan bonda pun ada sekali.”Mawar terpinga-pinga sambil memandang sekitar bilik.

“Mawar mimpi tu! Dahlah! Bangun cepat, kita jemaah sekali dengan ayah dan bonda. Mereka dah lama kat bilik solat tu!” Melur tarik tangan Mawar.

DALAM bilik air, Mawar masih bingung dengan apa dia alami. Dia sendiri berada di kawasan lapang dan penuh dengan bunga wangi yang ditanam ibu dan ayah. Masih terbayang, ayah dan ibu sungguh bahagia di situ sambil bergurau senda.

“Mawar! Cepatlah!”

Mawar cepat-cepat mandi dan mengambil wuduk bila mendengar Melur sudah menjerit begitu.

“Kau ni! Tengok, dah pukul enam suku dah! Mesti ayah marah kat kita!” Melur mula tarik tangan Mawar ke bilik solat. Mereka sudah siap bertelekung. Mawar mula muncung.

DI BILIK solat, Melur kuak pintu yang sedikit terbuka. Mawar turut menolak daun pintu. Wajah mereka pucat. Sejak kecil ayah begitu tegas bila menyentuh soal solat yang sengaja dilengah-lengahkan. Tapi kali ini mereka tidak sengaja. Mereka berdua tidak sedar. Mungkin kerana terlalu letih menyiapkan lemang dan kuih.

“Kak…ayah marah ke?” Mawar pandang Melur bila melihat kedua orang tua mereka masih diam.

Melur pandang ayah dan ibu yang masih di tikar sejadah. Namun ada sesuatu yang menyentap tangkai hatinya. Dia pandang Mawar. Mawar juga turut memandangnya dengan wajah pucat. Kepala ibu tersandar di bahu ayah. Ayah pula masih duduk bersimpuh seperti dalam keadaan tahiyat akhir solat. Kepala ayah tunduk.

Perlahan mereka menghampiri. Sejadah dihampar di sebelah ibu. Melur pegang tangan ibu. Mawar pula pegang bahu ibu. Sebaik disentuh, ibu jatuh ke riba ayah. Melur lihat pula ayah yang masih tunduk. Mata ayah pejam rapat sambil senyum.

“Ayah! Bonda!” Melur gerak-gerakkan tubuh kedua orang tuanya.

“Kak..kenapa ayah dan bonda kak…” Mawar mula menangis.

Melur terduduk di sisi ayah dan ibu. Dia kemudian peluk Mawar yang menangis teresak-esak.

“Mawar…Allah lebih sayangkan ayah dan bonda..mereka telah dijemput Ilahi dik…”

Mawar dan Melur masih berpelukan. Kedua orang tua mereka telah kembali kepada Allah di pagi raya. Kedua ayah dan ibu dibaringkan atas sejadah. Mawar dan Melur mula menunaikan solat subuh sebelum memanggil imam masjid.

MELUR pandang lemang dan kuih. Sayu hatinya mengenangkan pemergian ayah dan ibu yang pergi dengan tiba-tiba. Namun dia senyum bila mengenangkan ayah dan ibu pergi dengan tenang. Ada senyuman di bibir. Bau wangi menusuk ke hidung dari dalam bilik solat sehingga ke liang lahad. Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmatNya.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini