rss

Dia melipat beberapa helai baju, tudung, seluar dan sehelai baju panas untuk dipakai sepanjang perjalanan ke Pulau Pangkor malam esok. Maklum sahajalah, bertolak malam tentu sejuk. Tetapi wajahnya masam mencuka. Langsung tidak ceria. Semangatnya untuk bercuti terbantut kerana terlalu geram. Semuanya kerana kawan-kawan serumahnya yang membatalkan penyertaan pada saat-saat akhir. Untuk membuat keputusan serupa, rasanya tidak mungkin. Kerana sudah lama dia mengidamkan percutian di sebuah pulau yang indah dan damai. Untuk mengamuk juga, tidak munasabah rasanya kerana mereka terpaksa menumpukan perhatian kepada aktiviti persatuan yang lebih memerlukan komitmen. Peluang yang ada di depan mata tak boleh dilepaskan! Tetapi dia agak terkilan kerana kegembiraan ini akan dirasai seorang diri. Bukan untuk dikongsi bersama Wawa, Cah dan Meen yang memang rapat dengannya.

Sambil mengemaskan barang ke dalam beg Garfield kesayangannya, dia mengomel. Macam-macam perkara yang dibebelkan. Sampai Cah yang sedang bersantai di katil atas, menjengahkan kepala untuk mengintai gelagat rakan sebiliknya itu. Meen yang sedang melipat baju hanya tersenyum-senyum. Faham omelan itu ditujukan buat siapa. Siapa lagi jika bukan mereka? Ini pun belum didengari oleh Wawa. Gadis itu sedang membancuh air milo di dapur.
Kembang kempis hidung Ain menikmati aroma milo buatan Wawa. Memang lemak manis rasanya apabila milo dicampurkan bersama coffe mate. Tergoda!

“Nak?” Pelawa Wawa sambil menguntum senyuman paling manis. Seperti biasa, dia ceria dan pandai membuatkan semua orang tergelak.

“Weh! Mestilah aku nak,” selamba dia berkata.

Lantas meminta dengan penuh sopan daripada Wawa.

“Cik Ain Nasuha, kau ni tolak batu kayu je,” mereka hanya tergelak. Gamat bilik sederhana besar itu apabila empat anak dara ini mula berkumpul. Macam-macam cerita yang menjadi bahan perbualan. Malah, mereka tidak segan untuk berkongsi sebarang masalah bersama.

Lambat-lambat dia melangkah. Sedih untuk berpisah dengan Cah, Wawa dan Meen walaupun hanya tiga hari. Dan mereka akan menemaninya menunggu bas rapid sebentar lagi untuk pergi ke kolej. Rombongan ke Pulau Pangkor akan bertolak jam 10 malam. “Tulah korang, kesian aku kena pergi sorang-sorang. Doakan aku selamat ye,” ucapnya lalu memeluk mereka bertiga. Lambaian ala-ala ratu cantik mengiringi perjalanannya ke kolej pada malam itu.

Mata Ain melilau mencari-cari kelibat yang mungkin dikenalinya. Mana tahu ada seorang dua rakan-rakan sekelas yang tersesat. Namun hampa. Tiada seorang pun kawan-kawan yang boleh dijadikan teman berbual nanti. Lima jam perjalanan, takkan nak tidur sepanjang masa? Tapi malam, siapa nak kisah? Bagus juga tu. Mata pun dah rasa berat. Dia mengenakan baju panas Tropicana Life berwarna putih. Angin malam mula menggigit kulitnya. Tudungnya yang agak selebet dibetulkan agar kelihatan rapi. Tidak dilupakan novel yang setia menjadi bahan bacaannya.

“Syukurlah bas dah sampai. Boleh tidur!” dia bersuara girang lalu mengangkat beg dan menaiki tangga bas dengan penuh berhati-hati.

Seronoknya apabila berpeluang menaiki bas tetapi tempat duduknya boleh dipilih sesuka hati. Tanpa ragu-ragu, dia memilih tempat di tepi tingkap barisan paling belakang. Nak buat posisi macam mana pun takde orang nampak. Baru sahaja hendak melelapkan mata, hidungnya menangkap bauan yang aneh. Hampir tersedak Ain menahan nafas. Busuk betul! Kentut bau telur. Siapa yang bertanggungjawab ni? Dia ketap bibir. Kedatangan jejaka yang tiba-tiba duduk di sebelahnya ini seiringan dengan bauan tadi. Tetapi wajahnya selamba betul. Macam tak bersalah. Dia malas nak ambil pusing. Tidur lagi baik. Baru sahaja dia ingin melayari mimpi indah, keharuman melegakan semula saluran pernafasannya. Bau wangian itu datangnya daripada himpunan koleksi haruman Tommy Hilfiger. Ingin sahaja dia membuka mata dan melihat hanya sekali lagi jejaka yang mengambil tempat bersebelahan dengannya.

Bunyi telefon bimbit menandakan Wawa menelefon. Sambil tersenyum dia menjawab panggilan itu. Sedikitpun tidak marah kerana tidurnya terganggu.

“Ha! Aku lagi dua jam nak sampai. Tengah tidur tadi. Kau tak tidur lagi?”

“Okeylah. Selamat malam. Tata!” Lantas dia mematikan talian. Suasana yang gelap mengembalikan rasa mengantuknya. Namun matanya terbuka luas bila merasakan baju panasnya basah.

“Argh!” Jeritannya membuatkan jejaka yang masih lena itu terjaga. Setelah melihat baju panas gadis itu, dia baru perasan yang mulutnya terasa pedar. Mujurlah peserta lain tidur mati. Nasib baik juga kerana mereka duduk di barisan belakang sekali.

Jejaka itu segera mengesat bibirnya dengan tisu. Mereka saling berpandangan. Ain menahan rasa mual yang mula mengusik tekak. Dia tekup hidung.

Oh no! So sorry sweetie!” Wajah Ain merah padam bila mendengar perkataan sweetie. Tanda dia sedang menahan marah yang bukan sedikit. Memang dasar mulut manis.

“Apa sweetie  sweetie?Cakap mat saleh pulak.  Saya tengah marah tau tak? Habis kotor baju ni. Macam mana nak cuci, busuk!” Bentak Ain. Dia mencebik.

Sakit hati sungguh dia. Dahlah bawa baju panas sehelai sahaja. Dahlah jenis tak tahan sejuk. Macam mana nak tidur ni? Pening dia memikirkan semua persoalan itu. Dengan mata yang mengantuk, bertambah bingung dengan situasi sebegini. Bau muntah lagi satu hal.

“Jangan melenting. Saya tahu nak buat macam mana. Come,” dia ingin membantu Ain membuka zip baju panas tersebut tapi pantas ditepis oleh gadis itu. Segera dia membulatkan mata.

“Saya boleh buat sendiri!” tegas Ain.

Namun dia melapiskan jemarinya dengan tisu terlebih dahulu. Geli! Namun jejaka berwajah pan asia itu kelihatan bersahaja. Dia tidak berniat hendak mengapa-apakan gadis bermata bulat itu. Sekadar ingin membantu memandangkan wajah Ain menampakkan betapa dia tidak selesa tatkala memandang muntah yang bertepek di baju panasnya.

“Iyee!” Getus Ain lagi. Tetapi sedikitpun jejaka itu tidak berasa hati.

Aliff Joshua menatap gadis yang masih lena ini. Sudah jauh jauh perjalanan mereka. Seketika lagi sampailah ke destinasi yang dituju. Sesekali bibirnya menggeletar menahan kesejukan. Namun setelah memperlahankan penghawa dingin, dia cuba melelapkan mata. Aliff gembira kerana tidak perlu membiarkan Ain kesejukan setelah menyusahkannya. Dan sebagai ganti untuk sementara waktu, dia telah meminjamkan baju panas yang paling digemari kepada gadis ini. Sampai sahaja di Pangkor nanti, dia akan mencuci dan memulangkan semula kepada Ain.

“Terima kasih pinjamkan baju tu. Saya mintak maaf pasal semalam. Agak kurang ajar dengan awak,” ujar Ain sesopan yang mungkin.

Jejaka ini tersenyum senang. Lega kerana mood gadis ini telah pulih.

“Takpe. Saya dah susahkan awak. Tapi saya janji, lepas cuci baju ni saya akan pulang semula,” Ain tertunduk.

Dia segan apabila menyedari jejaka itu memiliki seraut wajah persis mat saleh. Tetapi rambutnya ala-ala pemuda Jepun yang terjurai di dahi menyelindungkan wajah unik itu. Patutlah semalam dia tak perasan. Jika tidak dia takkan mempersoalkan tindakan jejaka itu bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Tak payah. Awak buang jelah. Tak perlu susah-susah. Lagipun saya ada bawak baju lain. Cardigan,” balasnya sambil tersengih.

“Okey. Boleh kita mula dari awal?” Pertanyaan jejaka itu dijawab dengan anggukan.

“Nama apa?” Ain tergelak.

“Ain,”

Nice name,” celah jejaka itu.

“Awak?” soalnya pula.

“Joshua,” kedengaran perlahan namun cukup jelas. Berdebar kencang dada Ain. Memang dia bukan Melayu rupanya. Tapi yang mengagumkan adalah kefasihannya apabila berbahasa kebangsaan. Terpegun Ain dibuatnya.

“Owh! Sedap nama,” puji Ain jujur.

Joshua sengih nakal. Dia sengaja tidak mahu memberitahu nama pertamanya. Kerana orang sering kali mengandaikan dia berbangsa Inggeris sedangkan dirinya berdarah campuran Melayu dan Sepanyol. Jadi lebih senang dia merahsiakan nama pertama itu. Hanya kawan-kawan terapat mengenali siapa dirinya yang sebenar. Dan tentulah dia fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan juga Sepanyol kerana telah dididik sedari kecil bersama adik-adik seramai tiga orang oleh mama dan papanya. Setiap adik-adiknya mempunyai gabungan nama yang unik begini, kombinasi Sepanyol dan Melayu. Sebagaimana perbezaan budaya itu menyatukan kedua-dua ibu bapanya. Adik kedua bernama Faiz Raul, yang ketiga Dina Arianna serta yang bongsu Liana Marcella. Menarik bukan?

“Kita dah sampai, jom turun,” ajak Joshua.

Tersenyum dia bila dilihatnya Ain sedang menggeliat. Terbit rasa malu bila menyedari jejaka itu memerhatikan telatahnya.

“Oh ye, baju ni,” Ain menanggalkan baju panas itu lalu dihulurkan kepada Joshua.

Dia melabuhkan lengan baju yang dilipat sejak semalam. Terlupa pula hendak memulangkan baju panas itu sebelum turun. Selesa memakainya walaupun masih melekat bau minyak wangi. Dan saiz baju itu memang besar. Maklumlah, Joshua tinggi dan tegap orangnya. Dia pula hanya separas bahu jejaka itu. Lambat-lambat Joshua meyambut huluran Ain. Ekor matanya mengiringi langkah gadis ini menuruni bas.
Hasta la vista(jumpa lagi nanti),” ungkapnya perlahan. Tidak didengari oleh Ain yang semakin menjauh.

Kamera kesayangan setia menjadi penemannya kala bercuti. Asal ada pemandangan yang indah serta menarik perhatian, takkan dia lepaskan. Pasti akan diabadikan dengan cara yang penuh kreatif. Saat ingin merakamkan gambar air laut yang tenang berombak, dia terpandang kocakan air. Kaget sungguh Ain apabila menyedari seorang kanak-kanak hampir dihanyutkan. Lantas dia menjerit untuk meminta bantuan. Naik serak suaranya.

Pemuda itu meletakkan gitarnya tatkala sedang asyik melayan perasaan. Berterabur kod lagu More Than Words yang ada dalam kepala. Hilang tumpuannya apabila mendengar suara meminta tolong yang datangnya dari arah pantai. Kelibat gadis bertudung yang melompat-lompat kebimbangan membuatkan langkahnya semakin pantas. Berderau darahnya. Macam Ain sahaja…semakin laju jantungnya berdetap. Dia menanggalkan baju T dan seluar jeans yang sedang dipakai. Hanya seluar pendek yang tinggal. Tanpa mengendahkan keadaan sekeliling yang mula hiruk pikuk dia terjun dan segera berenang untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Ain tak henti-henti beristighfar sambil memegang pakaian Joshua. Dalam hatinya, dia berdoa agar kanak-kanak itu berjaya diselamatkan oleh Joshua. Melihat daripada cara jejaka itu berenang, rasanya dia memang tidak takutkan air. Sayangnya Ain tiada kemahiran berenang, jika tidak pasti dia akan menyelamatkan kanak-kanak itu.Ain menarik nafas lega bila Joshua semakin menghampiri pantai. Kanak-kanak yang kelihatan lemah itu selamat dalam pautannya.

“Nasib baik awak cepat mintak tolong,” ujar Joshua yang agak kepenatan. Ain hanya terpaku. Wajahnya pucat lesi.

“Saya pun tak tahu macam mana boleh jadi macam ni. Tengah nak ambik gambar, nampak dia dah terjatuh kat dalam air. Saya pun menjeritlah. Tak tahu dia datang dengan siapa,” terang Ain satu persatu.

Sedang Joshua memberikan bantuan CPR, sepasang suami isteri menerpa ke arah mereka. Pasti inilah ibu bapa kanak-kanak yang hampir lemas tadi. Joshua menggeleng kepala. Rasanya dia perlu mengingatkan makna tanggungjawab kepada suami isteri ini. Walaupun dia jauh lebih muda jika hendak dibandingkan dengan mereka.

“Abang, akak, saya ni bukan apa. Minta maaflah kalau saya biadap. Tapi saya cuma nak ingatkan. Bahaya biar anak main sendiri kat pantai tanpa pangawasan orang yang lebih dewasa. Saya tahu saya ni belum ada anak pun, tapi sebagai anak sulung memang saya dah dibiasakan untuk melindungi adik-adik. Jagalah anak kamu baik-baik. Kesian kalau jadi apa-apa kat dia,” habis sahaja mengucapkan kata-kata itu Joshua meninggalkan pasangan tersebut yang masih terpinga-pinga.

Ain mengekorinya dari belakang. Tak sangka, Joshua agak tegas orangnya serta langsung tidak gentar memberikan peringatan kepada sesiapa yang dirasakan perlu.

“Hebatnya awak tadi. Boleh basuh diorang macam tu je,” lancar bicara itu meniti di bibir Ain. Joshua yang tidak menyedari masa bila gadis itu di belakangnya mengurut dada.

“Kus semangat! Terkejut saya. Ingatkan siapa tadi,” balas Joshua dalam senyuman.

Ain tergelak melihat mimik mukanya. Lantas dihulurkan pakaian kepada jejaka itu.

“Alah ngan saya pun takkan nak terkejut jugak. Awak tengah buat apa kat sini?” Soal Ain sekadar ingin tahu.

Mungkin saja jeritannya menganggu tumpuan Joshua. Jejaka itu membulatkan mata. Rasanya dia ada tinggalkan sesuatu di sini tadi. Tetapi mana?

“Saya tengah main gitar. Tapi dah takde,” Ain terkebil-kebil. Mereka berpandangan.

“Alamak! Gitar awak dah hilang ke?” Menggigil suara Ain. Rasanya dia perlu bertanggungjawab di atas kehilangan ini.

I think so,” pendek sahaja jawapan Joshua. Terbayang di ruang matanya, gitar jenama Yamaha berwarna putih. Dibeli enam tahun lalu sebagai hadiah untuk diri sendiri sempena hari lahirnya yang ke empat belas. Dia terduduk, lemah tak bermaya. Ain ketap bibir. Rasa bersalah begitu mencengkam dirinya. Tiba-tiba dia jadi takut untuk menatap wajah Joshua. Saat seperti ini, dia merasakan jejaka itu akan menelannya kerana kesalahan yang telah dilakukan.

“Saya minta maaf Joshua. Awak dah hilang gitar sebab nak tolong saya selamatkan budak tu. Awak nampak sedih sangat,” Ujar Ain sebak.

Dia gagal menahan emosi. Rasa bersalah, takut dan gabra kini bercampur baur. Tanpa sedar, air matanya jatuh ke pipi. Tak sempat dia menyembunyikan wajah apabila pandangan jejaka itu memanah tepat ke arahnya. Joshua terkesima. Dia telah membuatkan Ain menangis. Hilang risaukan gitarnya yang dicuri, dia terpaksa memikirkan cara yang berkesan untuk menyakinkan Ain bahawa gadis itu tiada kena mengena dengan kejadian ini. Perkara dah nak jadi. Tetap tak boleh buat apa.

Dia membantu kerana ikhlas. Ini hanyalah sebahagian dugaan yang diberikan buatNya. Untuk menguji sejauh mana dia akan berkeluh kesah. Memang dia kecewa, tetapi dia masih mampu tersenyum kerana boleh membeli gitar lain. Walaupun kualitinya tak mungkin sama. Telah lupus nilai sentimentalnya.

“Ain, saya tak salahkan awak. Kita pun tak nak benda-benda macam ni jadi kan? Saya tak sedih pun. Awak jangan bimbang,” pujuk Joshua.

Ain tergeleng. Sedikit pun tidak terpujuk. Wajah jejaka itu mempamerkan betapa gitar tersebut bererti buat dirinya. Ain tahu, lain rasa yang terpendam di hati Joshua. Kata-kata jejaka itu hanya untuk menenangkan dirinya.

“Saya tahu awak sedih. Kalau pun mulut awak cakap macam tu, muka awak nampak jelas. Saya pun pernah hilang barang yang saya sayang. Memang kita akan berusaha untuk sedapkan hati orang, tapi hati kita sendiri? Saya faham,” tenang Ain berkata.

Dia menghela nafas panjang. Joshua tertunduk. Mengakui kebenaran bicara gadis ini dalam diam. Tetapi kehilangan barang kesayangannya ini tidak harus diletakkan di bahu Ain.

“Saya tak salahkan awak,” lemah nada Joshua. Ain sesungguhnya merasa terpukul. Tak sangka, sekelip mata dia meletakkan Joshua dalam kesedihan.

“Tapi saya rasa bersalah Joshua. Saya tak boleh nak pandang awak lagi. Takpelah, saya balik bilik dulu ye,” sebaik sahaja berpaling membelakangi Joshua, Ain menangis semahu-mahunya.
Teringat suatu ketika dulu, dia telah mengalami perkara yang serupa. Bezanya, barang itu merupakan CD kesayangannya. Dan dia tak berupaya menyalahkan sesiapa di atas kecurian yang berlaku. Apa yang dia rasa, samalah seperti keadaan Joshua sekarang. Kerana terlalu ramai manusia yang boleh disyaki. Kerugiannya hanyalah sekeping CD, terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan harga sebuah gitar.

Joshua meraup rambutnya. Hari ini, tak fasal-fasal persahabatan yang baru tercipta antara dia dan Ain nyaris berantakan. Malam ini pula merupakan malam terakhir untuk mereka berada di Pulau Pangkor. Semua peserta seramai 40 orang akan berkumpul untuk aktivti berbeku dan juga malam unggun api. Mengikut rancangan asalnya, dia akan mempersembahkan lagu More Than Words, namun gitar pula hilang. Tengoklah macam mana nanti.

Ain masih melayani kerisauannya. Dia tak lalu nak makan mengenangkan peristiwa yang berlaku tengahari tadi. Dalam asyik melayan menungnya, sapaan seseorang membuatkan dia tersentak.

“Untuk awak,” hulur Joshua. Ain memandang pinggan kertas berisi jagung dan kepak ayam itu tanpa perasaan. Joshua memandangnya dengan wajah penuh mengharap.

“Saya kenyang,” hanya itu yang mampu dijawab. Bersopankah dia?

“Tak kira, awak kena makan dengan saya. Kalau awak tak nak makan, saya pun tak nak makan,” Ain jungkit kening. Sakit ke mamat ni? Kalau lapar tu makan je lah. Ikut orang pulak. Kang kebulur.

“Duduklah,” pelawa Ain. Joshua sengih lebar hingga ke telinga. Berjaya juga dia paksa Ain makan. Bukannya dia tak tahu, dari tadi gadis ini asyik diam tak berkutik. Kenyang konon.

Semua peserta sudah bersila dalam bentuk bulatan dan mengelilingi unggun api. Acara pada malam ini adalah bebas. Sesiapa sahaja yang ingin membuat persembahan, dialu-alukan. Mereka banyak berkongsi cerita dan bergelak ketawa. Inilah masanya untuk mengenali rakan-rakan yang berbeza jurusan. Bukan selalu mereka menghabiskan masa beramai-ramai begini.
Ain mencari-cari kelibat Joshua. Dari tadi tak kelihatan pun kelibat jejaka itu. Bunyi petikan gitar membuatkan semua peserta tergamam. Setelah menyedari kehadiran Joshua, suasana menjadi riuh rendah. Masing-masing bersorak.

“Wah! Bakal chef kita nak buat persembahan ni!” pekik Lan, rakan sekelasnya yang nakal dan gila-gila. Dia kemudiannya bersiul. Menambahkan lagi keriuhan.

Saying I love you, Is not the words I want to hear from you, It's not that I want you
not to say, but if you only knew, how easy it would be to show me how you feel, more than words is all you have to do to make it real… Then you wouldn't have to say that you love me, cos I'd already know
,” serak-serak basah suara Joshua mengasyikkan rakan-rakan yang lain. Tak terkecuali Ain.

What would you do if my heart was torn in two, more than words to show you feel, that your love for me is real. What would you say if I took those words away, then you couldn’t make things new, just by saying I love you…” Tepukan berirama mula kedengaran. Ada juga yang mengeluarkan telefon bimbit masing-masing yang mempunyai pelbagai warna lampu. Mereka semua menghayati. Ada juga yang turut sama bernyanyi. Sungguh romantis suasana yang mengiringi persembahan Joshua. Mereka bagaikan terbuai dalam sebuah hikayat cinta.

More than words, now I've tried to talk to you and make you understand, all you have to do is close your eyes, and just reach out your hands and touch me, hold me close don't ever let me go, more than words is all I ever needed you to show, then you wouldn't have to say that you love me, Cos I'd already know….” Mereka mula bernyanyi bersama-sama. Ain hanya mematung. Dia seronok menjadi pemerhati.

Selesai sahaja membuat persembahan, Joshua merebahkan punggung di sebelah Ain. Sengaja dia menyibuk. Tak mahu gadis ini terus-terusan melayan perasaan.

“Macam mana tadi? Best tak?” Soal jejaka itu dengan muka confident. Ain mencebik. Takkan nak puji kot? Bangga pulak nanti.

“Bolehlah,” jawabnya acuh tak acuh. Jejaka itu tayang gigi. Gitar di tangannya dihulurkan kepada Lan. Ain dah dapat jawapan, rupanya Joshua pinjam gitar rakan sekelasnya itu.

“Hey, tak nak fikir pasal tu lagi ye. Saya tak suka,” kedengaran tegas suara Joshua. Ain memandang wajah jejaka itu. Memang serius betul. Takutlah pulak nak melawan. Buat biasa dah lah, bukan dia boleh baca fikiran aku pun.

Nope. I’m just thought about something else. None of your business,,” bidas Ain selamba. Joshua telan liur.     

Sesungguhnya percutian ke Pulau Pangkor meninggalkan memori yang sungguh bermakna buat Ain. Gempar satu rumah apabila dia membuka cerita mengenai Joshua. Macam-macam andaian yang Meen, Cah dan Wawa kemukakan. Dan semuanya langsung tak masuk akal. Yang dia tahu, dia hanya mahu melunaskan hutang kepada Joshua dan selepas ini antara mereka tiada apa-apa lagi. Punya latar agama dan bangsa yang berbeza, dia akan melarikan diri sejauh mungkin daripada pandangan jejaka itu. Walaupun kenangan indah di Pangkor sentiasa mekar di ingatannya.

“Wa, teman aku pergi Alam Sentral,” ajak Ain pada Wawa yang sedang terpaku di depan laptopnya menonton CD Coffe Prince.

“Nak buat apa? Malaslah,” Ain mengeluh. Nak biarkan segalanya menjadi rahsia ataupun tipu sunat? Jujur sahajalah.

“Aku nak beli gitar untuk Joshua. Nak langsaikan hutang,” Wawa serta merta mengeluarkan CD dan mematikan laptopnya. Tercengang Ain melihat telatah sahabatnya.

“Lah kenapa tak cakap awal-awal. Ha meh, sekarang jugak kita pergi,” Ain tergelak. Meen dan Cah yang kebetulan baru pulang, turut dipelawa untuk turut serta.
“Yok pergi yok! Aku pun nak cari barang,” serentak mereka bersuara. Ain menggeleng. Dan-dan ada barang yang nak dibeli. Padahal kelmarin baru pergi Giant.

“Harap-harap harganya tak over budget lah. Kebulur aku nak makan bulan ni,” rungut Ain. Wawa menepuk bahu sahabatnya itu.

“Rilekslah. Kitorang kan ada,” mereka sama-sama tersenyum penuh makna.

Sebuah gitar berwarna putih benar-benar menarik perhatian Ain. Boleh tahan harganya, tetapi masih mampu untuk dibeli. Dan walaupun tidak semahal yang asal, harapan Ain agar gitar ini mampu mengembalikan kegembiraan Joshua.

Jejaka ini masih tak lekang memegang baju panas Tropicana Life berwarna putih. Sungguh kelihatan polos dan perlu dihiasi dengan sesuatu agar tampak menarik. Lantas dia menuju ke bilik mama dan mengetuk pintu bilik dengan tergesa-gesa. Puan Ariela yang sedang menyanggul rambutnya bergegas membuka pintu.

“Joshua, que pasa(apa yang berlaku),”? soal mamanya.

Nada(tiada apa-apa),” jawab Joshua tenang. Dia tahu ketukannya telah membuatkan mama terkejut.

“Nak pinjam jarum lah mama,” malu-malu dia bersuara. Puan Ariela tergelak. Bertuah betul anak sulungnya ini. Hendak pinjam jarum pun ketuk pintu bilik macam nak roboh.

“Sekejap,” balas wanita berbangsa Sepanyol itu. Dia sudah fasih berbahasa Melayu. Ini semua adalah hasil daripada cantuman dua budaya yang unik. Di samping melatih anak-anak menguasai tiga bahasa, dia tidak mahu ketinggalan mempelajari bahasa Melayu. Malah suaminya kerap mengusik dia akan menjadi menantu yang lain daripada yang lain kerana tidak pandai berbahasa Melayu di awal perkahwinan dulu. Benar juga kata suaminya, lebih mudah dia berkomunikasi dengan ibu dan bapa mentua yang melewati usia senja di kampung.

Joshua mengeluarkan koleksi butang pelbagai warna. Terlebih dahulu, dia melakar bentuk sebuah gitar di penjuru kanan baju itu. Penuh teliti, dia menjahit butang-butang itu mengikut lakaran yang telah disiapkan.  Masih merasakan kekosongan pada baju itu, dia menyelongkar almari pula, mencari manik-manik kecil yang dihadiahkan oleh adik bongsunya tahun lepas. Dia ingin menceriakan gitar itu dengan beberapa corak hati. Barulah nampak keperempuanan sikit. Dan akhir sekali, dia akan meminta bantuan mama menyelesaikan satu lagi jahitan.

Tekun sungguh dia menumpukan perhatian terhadap jahitan. Meski letih matanya, dia mampu tersenyum puas. Siap juga corak yang dibayangkan olehnya ini. Hasilnya tidaklah secantik kerja tangan profesional namun untuk lelaki yang keras tangan sepertinya, kejayaan seperti ini boleh dibanggakan. Daya kreativitinya secara tiba-tiba melangkaui batas.

Deringan telefon bimbitnya membuatkan dia tersenyum. Nama Faiz yang terpapar di skrin cukup membuatnya tergelak besar. Semalam dia menghantar Dina Arianna pulang ke asrama. Malam ini, Faiz Raul pula menelefon. Hubungan mereka adik beradik sungguh akrab.  

Hola(hello),” jawabnya ceria.

Como esta(apa khabar)?”

Bien,” balas Faiz.

“Macam mana study? Okey?”

See the leg lah,” mereka sama-sama tergelak.

“Bila kau nak balik ni?”

“Minggu depan lah. Hey along, ambik aku. Malas lah naik tren. Lembap macam siput. Terkedu sana, terkedu sini,” meletus tawa mereka. Faiz memang nakal. Ada-ada saja lawak jenakanya.

“Tengoklah. Habis duit minyak aku,” mereka tergelak lagi. Macam-macam yang dua beradik ini bualkan. Soal hati dan perasaan tidak terkecuali. Dia senang meluahkan segalanya kepada Faiz. Termasuklah perihal Ain.

Cah, Wawa dan Meen tersenyum-senyum memandang Ain yang masih tidak mengetahui apa-apa. Sengaja mereka membiarkan gadis ini duduk bersendirian di restoran KFC. Masing-masing memerhatikan dari jauh gelagat Ain. Kawan-kawan serumahnya ini buat hal lagi ke? Takkan tiba-tiba tak nak datang kot? Dia memandang jam. Kata habis kelas pukul 1, pukul 1.30 pun belum sampai lagi.

“Hai, sorang je cik adik?” Jantung Ain rasa macam nak tercabut. Kenapa pulak lain yang ditunggu lain yang muncul? Cepatlah datang kawan-kawanku. Boleh jugak korang tengok muka si Joshua ni.

Mereka bertiga tak dapat menahan gelak. Muka Ain memang tak boleh blah. Cemas gila. Macam nampak hantu. Dengan bantuan salah seorang rakan yang mengenali Joshua, mereka dapat tahu bahawa jejaka itu berdarah campuran Melayu-Sepanyol dan beragama Islam. Paling penting, masih belum berpunya. Sebagai sahabat, mereka ingin membantu Ain menemui cinta yang sekian lama diimpikan.

“Ingat lagi awak kat saya erk,” saat itu terasa bagaikan darah menyerbu ke muka. Masa bila pulak mamat ni masuk? Ikut pintu depan ke belakang? Dia serba salah. Hendak menjawab atau tidak?

“Ha…. Ingat ke? Awak datang dengan siapa ni?” Tergagap-gagap Ain. Aliff Joshua berlagak selamba. Padahal dia menahan gelak melihat gelagat Ain. Pakatan sahabat-sahabat karib gadis ini dan seorang daripada sahabatnya menjadi.

“Datang sorang je. Saya nak jumpa awak. Rindu,” lagilah menggelebah Ain. Rasanya dia nak lari sekarang juga. Nak bagi gitar, tak bawak. Apa motifnya terus tunggu ni? Kawan-kawan pun belum datang.

“Ehm Joshua, saya kena balik ni. Nak cepat,”

“Eh tak nak minum dulu ke?” tanya Joshua sambil tersengih bodoh. Ain terus sandang beg.

“Saya pun nak balik jugak ni, jom!” ajak jejaka itu sambil mengenyitkan mata. Ain benar-benar keliru.

Pautan tangan Joshua yang meraih jemarinya secara tiba-tiba cukup membuntangkan mata Ain. Apa motifnya pegang tangan aku? Berdosa tau tak! Bentak hatinya.

“Jom!” Bicara Joshua sepatah sambil memimpin tangannya untuk melintas jalan. Mereka berkejar untuk menaiki bas rapid di seberang jalan.

Ain kelu. Berdiri di dalam bas bersama jejaka ini membuatkan dia gugup. Tambahan lagi, kepadatan bas yang bertahap sardin ini membuatkan kedudukan mereka bertambah rapat. Matanya tak mampu untuk menentang pandangan Joshua. Sesampai sahaja di sebuah hentian bas, jejaka itu menekan loceng untuk turun. Ain terpaksa menurut kerana tangannya masih lagi digenggam oleh Joshua.

“Nak gi mana ni? Saya nak balik!” Bentak Ain.

“Gi dating. Saya nak tunjukkan awak sesuatu,” Ain mencebik. Dia malas hendak melayan kerenah Joshua.

Sorry I’m single but not available,” lancar mulutnya membalas.

But you’re available for me. I’m very sure for this fact,” Ain meleraikan pautan tangan Joshua. Hilang kesabarannya.

We believe in different religion, Joshua. I don’t want to be with you. Sorry,” Joshua menghela nafas. Segera diseluk saku belakang seluar. Dia mengeluarkan dompet lalu menayangkan sesuatu di hadapan muka Ain. Terjojol mata gadis itu.

“Aliff Joshua bin Amir? Agama Islam?” Teriak Ain tanpa sedar. Matanya berkaca. Kad pengenalan jejaka itu ditatap semahunya. Macam nak tembus!

“Ada keraguan lagi tak? Saya berdarah Sepanyol. Dan family biasa panggil saya Joshua. Sekarang, awak nak saya tak?” Ucap Joshua serius. Ain terkedu, namun dia tetap mengangguk.

*********************************************************************************************************

“Abang, sejukkan tempat ni,” bicara Ain sambil menyarungkan baju panas kesayangannya. Sesungguhnya sehelai baju yang bersulam cantik ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Joshua memaut isterinya. Sengaja dia membawa isterinya untuk berbulan madu ke Pulau Jeju, kerana teringin menjejakkan kaki ke sini sejak dulu lagi.

“Ha ah. Memang sejuk. Meh abang peluk, kurang sikit sejuk,” ujar Joshua romantis. Mereka menghayati panorama matahari terbenam. Pulau Pangkor membawa hingga ke Jeju, kisah cinta suci mereka. Tiada bicara yang mampu dilafazkan untuk mengungkapkan betapa bahagianya mereka berdua. Malahan, gitar yang disayangi olehnya berjaya dimiliki semula. Malah bertambah nilai sentimentalnya kerana dihadiahi oleh wanita yang terlalu dicintai.   
 

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini