rss

MENTARI senja memancar lembut.  Melempiaskan warna jingganya ke lembah dan lurah.  Simbahan kasihnya turut dirasai unggas dan agas.  Malam akan segera menjengah.  Sinar lembayung akan hilang beransur-ansur dan kegelapan akan mengambil alih.
            Nun di hujung permatang kelihatan berbalam-balam kelibat sepasang kekasih berjalan berpimpinan meniti batas yang selebar dua kaki itu.  Si dara berwajah duka dan sang teruna hanya menjeling tawar.  Relung sawah dan permatang menjadi saksi pertemuan mereka. 
Di tengah anjung, Mek Senah terbongkok-bongkok dengan jari tua melatah gementar menganyam sebidang tikar yang entah bila akan siapnya.  Ini bukanlah kali pertama Mek Senah singgah di bidang tikar yang baru sekangkang kera dianyamnya. Malam mengesot amat perlahan persis esotan malas sang siput yang laparkan pucuk muda di kebun sayur Ngah Seman. 
Di kaki tangga pondok tua yang sudah senget ke barat itu, Ngah Seman leka duduk menggosok sisa daki kering yang menambah legam lagi kulit keriput itu sambil menyedut dalam-dalam asap rokok daunnya.  Bau segar dari asap rokok daun Ngah Seman mencuit hidung pesek Mek Senah di anjung.
”Bang, ada lagi rokok daun awak tu?  Haus pula rasanya nak isap rokok daun tu”.  Sapa  Mek Senah dari anjung yang jaraknya hanya beberapa kaki.
”Ada”, jawab Ngah Seman sepatah sambil kembali menyedut asap rokok daunnya.  Mek Senah bangun terbongkok-bongkok meneleku kedua tangannya ke pinggang yang terasa lenguh menapak perlahan ke muka tangga.  Satu persatu anak tangga berkeriut dipijaknya sambil tangan kanannya menjinjing bakul bekas sirih beranyam cantik mendekati Ngah Seman yang sedang khusyuk menikmati sisa rokok daunnya.
”Eh, Idah mana?  Tak nampak-nampak dari tadi, dah senja ni”, Ngah Seman mula bersuara sambil menghulur kotak mancis Cap King Kong dan celapa tembakau yang diperbuat dari buluh kepada Mek Senah.  Mek Senah membuka celapa buluh dan menggentel secubit tembakau kering sambil memasukkannya dalam gelungan rokok daun. 
”Ke mana lagi kalau bukan jumpa Zainal tu.  Budak sekarang bang...”, jawapan Mek Senah penuh bermakna.
”Biarkanlah.  Minggu depan Idah nak ke Miri. Eh, Syitah kawan Idah tu jadi sambung Tingkatan Enam ke Miri?  Semalam abang dengar Haji Rosli kata Syitah tak mau sekolah lagi, betul?” pertanyaan Ngah Seman tu menimbulkan banyak persoalan di benak Mek Senah.  Namun pertanyaan Ngah Seman tadi tidak mendapat jawapan malah ditokok Mek Senah dengan pertanyaan dan hujah lanjutan.
”Abang tau naper Syitah tak mahu sambung sekolah lagi?  Rugi ’kan bang. Dari kampung kita ni cuma Idah dan Masyitah yang berjaya ke Tingkatan Enam. Dua tahun lepas hanya Kesuma, anak Brahim tu yang terpilih.  Tahun lepas tak ada langsung”, panjang lebar penjelasan Mek Senah.  Ngah Seman angguk tanda setuju.  ”Kak Sabar ada gak cerita kat saya pasal Syitah tu.  Katanya Syitah mau nikah”, sambung Mek Senah bila Ngah Seman diam saja.
”Apa, Syitah mau nikah?  Awak biar betul Senah.  Awak salah dengar tak?”
”Eh, bang!  Telinga saya ni masih elok lagi tau.  Kak Sabar sendiri yang cerita tadi, Idah pun ada sama.  Dia minta Idah pujuk Syitah tu.  Idah dah janji mau tolong pujuk Syitah kat Kak Sabar.  Harap-harap Idah berjaya pujuk budak tu nanti”. Kata-kata Mek Senah mengandungi pengharapan.  Dalam hatinya walau apa pun terjadi, budak-budak berdua tu mesti sambung sekolah lagi.  Budak-budak berdua itu adalah kebanggaan kampung.  Sejarah bagi Kampung Jepak terukir bila Kesuma menjadi budak lelaki pertama menjejak kaki ke Tingkatan Enam dua tahun lalu.  Tahun ini sejarah  berulang kembali, bila Syidah dan Masyitah terpilih ke Tingkatan Enam ke Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Miri.
” Senah, cerita pasal nikah ni kan, abang rasa..”
”Abang nak nikah lagi satu?  Abang jangan... Sedar ler diri tu dah tua gayut.  Tu hah, Bukit Kemunting dah melambai-lambai bang.  Geram nak menelan jasad abang tu”, pintas Mek Senah segera dengan wajah mencuka.
”Hish.. awak ni, ke situ pula difikirnya.  Abang cadangkan, apa kata kita tunangkan Idah dan Zainal tu sebelum Idah ke Miri?  Mereka berdua tu makin rapat abang tengok.  Kalau awak setuju nanti abang rundingkan dengan ayah Zainal tu, Haji Assan”.
”Eh, abang ni!  Kita kan pihak perempuan.  Takkan perigi mencari timba, nanti apa pula kata orang kampung?  Kita hidup bermasyarakat bang.  Apa yang kita buat akan jadi buah mulut orang”.
”Awak jangan dengar sangat kata orang Senah.  Hal ni Haji Assan dan Hajah Biah yang cadangkan dulu.  Abang cuma tunggu persetujuan awak saja.  Kalau awak setuju, kita teruskan. Macam mana Senah, awak setuju ker?” pertanyaan Ngah Seman seakan memancing persetujuan Mek Senah.  Mek Senah diam sahaja.  Namun  dari senyum yang terukir di bibirnya sudah cukup bagi Ngah Seman untuk mengatur langkah seterusnya.
”Nak ke mana pula tu bang?” tanya Mek senah kehairanan.
”Mandi. Lepas tu ke rumah Haji Assan tu.  Nak sampaikan berita baik ni”, jawab Ngah Seman sambil mencapai pelikat lusuh di hujung serambi.  Mek Senah tidak berkata apa-apa lagi, hanya menghantar suaminya lewat pandangan sambil menyucuh rokok daun yang telah lama digentelnya.
*  *  *  *  *  *
Dalam saat yang sarat dan berselirat dengan masalah yang berbirat, Syidah terkapar sendirian.  Mahu saja dibunuhinya kerinduan yang selama ini mengekang jiwa.  Rindu yang tercalar di dinding kenangan di hujung permatang.  Ya... permatang itu memang penuh dengan kenangan dan harapan.  Di sana pernah suatu ketika dulu, dua hati mengikat janji mahu sehidup dan semati.  Dan di sana juga pernah kelmarin dulu, dua jiwa berpadu satu berjanji untuk saling percaya.
’Inal, di mana Inal buang kemanisan cinta kita semalam?  Ke mana hilangnya janji sehidup semati kita kelmarin?  Ke relung sawah mana pula Inal campakkan kepercayaan yang kita pegang bersama selama ini?  Siapakah yang pertama membina harapan di hujung permatang ini dan siapa pula yang tergamak mengingkarinya?  Inal, Idahkah yang bersalah?’ Airmata Syidah mengalir deras di sudut pipinya.  Kesayuan meruntun hati Syidah tiap kali pulang ke kampung halaman.
”Idah, yang sudah tu sudahlah.  Usah di kenang lagi kisah lama.  Idah harus ingat, macam mana sekalipun Idah memikirkan kisah lama tu, keadaan tetap tidak akan berubah. Dah lima belas tahun berlalu, bukankah Idah kata yang Inal sudah ada anak tiga sekarang ni”, pujuk Hanim
”Bukan mudah Nim.  Kalau kami hanya setakat kawan, Idah tak kisah. Tapi kami dah bertunang sebelum Idah masuk kolej lagi.  Paling menghancurkan hati Idah adalah bila kawan karib Idah sendiri mengkhianati Idah”, kata-kata Syidah yang begitu bermakna mengundang tandatanya  di hati Hanim.
”Kawan karib Idah mengkhianati Idah?” spontan soalan itu terkeluar dari rekahan bibir Hanim.  ”Boleh Idah ceritakan apa yang berlaku sebenarnya?”  pertanyaan Hanim kali ini benar-benar meminta kepastian daripada Syidah. 
”Benar Nim. Sebelum Idah masuk kolej, ayah dan arwah mak tunangkan Idah dengan Zainal.  Hubungan kami bagai tak ada yang dapat memisahkan.  Idah masuk kolej sama dengan kawan karib Idah, Masyitah.  Lepas sebulan kami belajar di kolej, kami berdua dapat tawaran dari ITM.  Masyitah terima tawaran tu tapi Idah terpaksa menolak sebab tak mahu bebankan ayah”.  Syidah berhenti sebentar sambil menghela nafas panjang.  Pandangan matanya dilemparkan jauh ke hujung kaki Bukit Jepak.  ”Tiap kali cuti sekolah Idah balik kampung. Sememangnya kepulangan Idah dinanti-nantikan oleh Masyitah. Idahlah yang jadi orang tengah yang sering menghubungkan Masyitah dengan Jali kerana keluarga Masyitah tak merestui hubungan mereka berdua.  Setiap kali mereka hendak bertemu, Idah terpaksa buat helah dan beritahu yang Masyitah dan Idah mahu ke perpustakaan. Itulah alasan yang selalu Idah gunakan untuk mengelabui mata orang tua Masyitah. Bila dah sampai ke perpustakaan, Masyitah dan Jali akan ke tempat lain sementara Idah terpaksa tunggu seharian di perpustakaan itu sehingga Masyitah kembali”.
”Keluarga Masyitah tak tahukah yang Masyitah jumpa Jali? Apa mereka tak tahukah yang Idah tipu mereka? Idah pula tak jumpa Zainalkah?” tanya Hanim.
”Sehingga ke hari ini keluarga Masyitah masih tak tahu yang Idah menipu mereka.  Idah dah janji dengan Masyitah; biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Idah tetap pegang dengan janji Idah tu walau apa pun terjadi. Sesekali tu Idah jumpa  dengan Zainal di hujung permatang ni. Kadang-kadang Zainal bertandang ke rumah Idah atau dia bawa Idah ke rumahnya.  Beruntung rasanya bila hubungan kami direstui kedua keluarga. Lepas tamat Tingkatan Enam, Idah masuk Maktab Perguruan pula. Tahun pertama di maktab semuanya berjalan seperti biasa”,  Idah berhenti seketika dan menyambung, ”Bagaikan halilintar membelah bumi, suatu petang Jali datang jumpa Idah di gimnasium.  Kebetulan masa itu Jali adalah senior Idah di Maktab. Ketika dia sampai Idah sedang asyik main table tennis.  Idah tak tahu bahawa kedatangannya membawa berita luka”, Idah berhenti lagi sambil mengesat airmata dengan hujung lengan baju kurung berwarna biru muda.
”Berita apa yang dibawa oleh Jali tu Idah?”  Hanim semakin hilang kesabaran hendak mengetahui cerita seterusnya.
”Masyitah dan Zainal akan bertunang”, jawab Syidah pendek sambil menahan tangis.
”Apa?” Hanim terkejut dengan jawapan Syidah. 
”Benar Nim.  Mulanya Idah memang tak percaya. Selepas Idah terima surat ayah dari kampung yang memberitahu Zainal memutuskan pertunangan kami, baru Idah percaya.  Mereka nikah pada 25 Januari 1992, ketika itu Idah tahun akhir di maktab.  Idah ingin sekali menghadiri majlis pernikahan mereka tetapi pada tarikh yang sama Idah terpaksa ke Bandaraya Kuching kerana menghadiri majlis pemyampaian hadiah dan Idah telah memenangi salah satu hadiah utama peraduan menulis puisi”. Syidah terdiam seketika dan menyeka airmatanya entah buat kali ke berapa. ”Sejak itu Idah tak percayakan kawan dan Idah menjauhkan diri dari lelaki.  Cukuplah apa yang telah terjadi kepada Idah.  Idah tak mahu dikhianati dan dilukai lagi”, sambung Idah.
”Kerana peristiwa inikah Idah membawa diri sampai ke Johor?” tanya Hanim.
”Bukan. Selepas tamat pengajian di maktab, Idah mendapat tawaran mengajar di kampung Idah sendiri.  Seronok rasanya dapat berkhidmat dan berbakti di kampung sendiri. Idah fikir luka Idah dah benar-benar sembuh.  Rupanya perkiraan Idah silap. Tahun 2001 benar-benar menguji kesabaran Idah.  Seperti tahun-tahun sebelumnya, Idah memang ditugaskan menjadi guru kelas Tahun Satu. Begitu juga pada tahun tersebut  Mungkin sudah kehendak Allah, pada tahun tersebut, anak Zainal mendaftar masuk Tahun Satu, kelas 1 Hijau di mana Idah menjadi guru kelasnya. Idah jalankan tanggunggjawab Idah sebagai seorang guru tanpa ada rasa dendam pada anak Zainal.  Malah semakin hari semakin sayang Idah kepada budak itu. Mungkin sebab ibunya adalah kawan karib Idah.  Sejak sembilan tahun Idah mengajar di situ, Idah tak pernah terserempak dengan Zainal mahupun Masyitah.  Tapi sejak anak keduanya masuk kelas Idah, tiap pagi Idah terpaksa berdepan dengan Zainal”, cukup panjang penjelasan Syidah.
”Apa perasaan Idah bila terpaksa tengok muka Zainal tu tiap pagi?” tanya hanim lagi.
”Mulanya biasa saja sebab Idah dah dapat terima kenyataan bahawa jodoh itu ketentuan Allah.  Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Zainal sedaya upaya mencari peluang untuk berjumpa secara peribadi dengan Idah.  Idah elak sebab Idah tak mahu orang kampung sangka yang bukan-bukan. Tak cukup dengan percubaan itu, Zainal mengutus surat-surat minta hubungan kami dijalin semula. Sepucukpun suratnya Idah tak layan. Hingga ke suatu ketika, orang kampung mula bercakap. Cerita-cerita itu sampai ke telinga Masyitah.  Malam itu Masyitah menelefon Idah.  Dia mengingatkan Idah supaya jangan cuba merampas suaminya. Idah tak dapat berkata apa-apa lagi kerana kata-kata Masyitah itu terlalu menyengat perasaan Idah.  Kerana tak tahan, Idah minta pindah ke Semenanjung dan ditempatkan di Batu Pahat”.  Syidah menutup kisahnya dengan menarik nafas lega.  Selama ini Syidah terlalu tersiksa kerana memendam kesedihan dan kelukaannya. 
Senja ini segala kesedihan dan kelukaan Syidah telah Syidah luahkan kepada Hanim rakan seperjuangannya yang berasal dari Bahau.  Sesekali cuti sekolah Syidah akan balik ke kampung menjengah pusara arwah ayah dan ibu.  Hanimlah rakan yang begitu setia menemani Syidah balik ke kampung setiap kali cuti panjang persekolahan.  Syidah berharap agar luka lama itu akan tenggelam ke dasar sawah atau hilang bersama lenggokkan tari anak keli yang ligat bermain di air cetek yang berlumpur.

Entah sampai bila aku mahu meneruskan hidup aku begini. Hari ini aku bangun lewat lagi. 11.30 pagi. Itu bukan waktu yang awal bagi seorang pencari rezeki. Memang sampah. Subuh? Usah ditanya. Aku sampai malas bercakap mengenainya.

Wajahku terasa panas. Mungkin bahang bangun lewat. Mungkin bahang kemurkaan Tuhan. Aku tahu aku berdosa mengambil ringan hal solat. Neraka. Aku akan dibakar di sana. Namun entah mengapa, aku tidak berasa setakut yang sepatutnya kepada peringatan itu.

Kurang iman? Futur? Ah… Whatever.

Aku bangun dari katil. Bergerak ke bilik air untuk mandi dan mencuci muka. Kulihat wajahku di cermin bilik air. Gelap. Kusam. Buruk. Aku sendiri takut melihat wajahku yang tiada cahaya. Aku pasti manusia lain memandangku serupa. Oh ya, sudah berapa hari aku tidak ketemu manusia?

Selesai mandi. Aku berpakaian casual. Aku ambil kameraku. Menyiapkan apa yang patut. Beg kamera kusandang. Aku pakai stoking dan kasut pallas jazz kegemaranku. Aku ambil kunci Mini Cooperku di atas peti sejuk. Keluar dari pintu rumah. Pintu rumahku aku kunci sebaiknya.

Baru hendak melangkah, aku teringat. Oh sampah suci! Aku belum ganti solat subuh.
Ahh…Biarkan. Ini bukan pertama kali. Aku sampaikan sudah terlupa berapa banyak solat sudah aku tinggalkan-tanpa rasa bersalah-walaupun aku tahu ia memang tersangat salah. Aku tidak suka aku yang sekarang. Aku tahu aku akan ke neraka jika ini berterusan. Urgh…Apalah agaknya aku punya masalah?

Biarlah. Jangankan solat, malah berdoa juga malas. Sombong dengan Tuhan. Siapa yang akan membantuku selain Tuhan? Aku memang sampah. Tidak mengapa, nanti akan ada bidadari yang akan menarikku ke syurga. Itulah bisik hatiku. Namun aku tahu, ia adalah bisikan syaitan.

Keretaku aku letakkan di Mid Valley. Sebelum keluar, aku ambil iPadku dari dalam laci. Aku sisipkan di dalam jaketku. Berbekalkan beberapa gigabyte storan, aku sandang kameraku untuk menembak beberapa gambar manusia di Mid Valley itu.

Hobi. Kesukaan. Ketemu sedikit kepuasan di situ. Aku rasa seolah-olah gambar-gambar itu menyedapkan hati aku. Ada kepuasan pada setiap gambar cantik yang aku tangkap. Namun tidak pernah kurasa gambar-gambar itu memenuhi sesuatu yang aku inginkan.

Seolah-olah ada benda yang aku belum mampu capai walau secantik mana gambar yang aku tangkap. Ada kekosongan pada gambar-gambar yang aku tatap. Aku ingin benar mencari apakah perkara yang tiada pada gambar-gambar itu semua. Dan aku masih belum ketemu.

Tiba-tiba iPhoneku berbunyi. Kakakku menelefon.

“ Zul, nanti tolong ambik gambar untuk walimah kawan akak ya. Sabtu ni di Sentul,” kakakku Zai meminta tolong.

“ Ok. Nanti apa-apa hal akak inform la kat Zul.” Aku menjawab tanpa perasaan. Kakakku seorang guru tadika. Mengajar di sebuah tadika Islam yang terkenal. Kawan-kawannya semuanya seperti dia juga. Orang baik. Dan kebanyakannya lulusan agama. Kursus macam-macam.

Terus aku letakkan telefon.

Huh, satu lagi kenduri orang baik-baik.

Aku merenung diri. Aku pula bila?

Ahh… Tiada siapa yang mahukan sampah seperti aku. Apatah lagi orang-baik-baik seperti mereka. Biarlah.

Aku bergerak ke MPH Bookstore. Teringin menangkap gambar orang-orang yang obses terhadap buku. Aku sudah beberapa kali melihat kelibat A Samad Said di situ. Aku yakin, pencinta ilmu dan buku memang suka melepak di situ.

Mataku tertarik kepada gambar yang baru aku tangkap. Jauh di sudut kanan gambar itu, ada kelibat seorang gadis tekun membaca. Aku tidak nampak wajahnya. Gayanya menarik perhatian. Aku lantas bergerak ke tempat tersebut.

“ Can I take your pictures?”

“ I’m sorry… You mean me?”

“ Yeah. Do me a favor. Would you? Of course I can’t pay you. This is just a hobby,” aku melempar senyuman ringkas. Aku jangka dia bukan jenis orang yang akan menolak.

“ Wow. Am I worth a shot?” dia tersenyum.

“ Aha haa..” aku ikut ketawa.

“ Just act natural okay… Alright…Macam tu…”

“ Cun.” Ucapku seusai gambar diambil.

“ What’s this for?” tanya gadis tersebut.

“ Em. Saja. Saya ni photographer amatur. Baru nak belajar-belajar.”

Dia tersenyum. Wajahnya berseri. Astagfirullah. Aku pasti syaitan sedang bersuka-suka denganku. Celaka. Aku sudah tahu, ini merupakan salah satu perangkap syaitan untuk memasukkan manusia lelaki kesunyian sepertiku ke dalam fitnah.

Yang ajaibnya, aku terus melayan panahan syaitan itu, dengan diperkuatkan oleh satu lagi tipu daya yang membuatkan aku percaya bahawa taubat bisa ditangguh dan aku tidak akan mati sekarang.

“ Thanks.” Katanya sambil kembali membelek majalah.

“ Galaxie?” tanyaku sambil memandang tepat ke arah majalah yang diselaknya.

“ Awak boleh baca kan?” memandangku sambil ketawa kecil.

“ Hehe… Biasalah, skrip Melayu. Bertanya walaupun tahu, just to be friendly,” jawabku.

Dia menyambung tawa.

“ You’re welcome,” kataku.

“ Eh?” dia hairan dengan ucapanku.

“ Tadi kan awak kata thanks?” aku melirik senyum.

Gadis tadi ketawa sambil aku lantas mengambil gambarnya yang dihias keriangan.

“ Cari apa di sini?” tanyanya kepadaku.

“ Entah? Gambar I guess. Yang cantik-cantik.”

“ Ha ha ha. Dapat apa yang awak nak?”

“ Yes. Baru dapat. Thanks to you,” jawabku.

“ Wow, what a compliment,” jawabnya sambil mengukir senyuman riang. Dia nampak terhibur.
Hatiku cair memandang matanya. Kilaunya mengalahkan segala macam lensa yang ada. Silaunya mengalahkan mana-mana flash yang aku pernah temui.

“ You come alone?” tanyanya.

“ Of course. Dah lama tak keluar dengan manusia,” jawabku.

“ What a pity, and what a waste,”

“ Waste?” aku hairan.

“ That pretty face should earn you a girl’s heart. I’m assuming that you already won one, but she refused to go out with you. That’s a waste,” katanya.

“ Ow…You get that wrong.”

“ You’re single?”

“ So far, yes.”

“ Oh, I can’t trust you ahhaa…”

“ Why not?”

“ Cause you know how to flirt. Like right now rite?” katanya sambil menyelak kembali majalah dengan wajah Justin Bieber di kulitnya itu.

“ No, right now I’m just being nice. Like I always have.” Aku mengangkat bahu.

“ Bieber?” aku ketawa.

“ Kenapa gelak?”

“ Oh nothing. I’m just stunned at how he makes the world goes Bieber-fever. Guys like me just don’t buy that. Itu semua propaganda media je,” jawabku.

“ Jealousy?”

“ Jealous? No way! Haha!” Aku geli hati. Tidak mungkin aku akan iri hati terhadap Justin Bieber.
Dia ikut ketawa.

“ By the way, I’m Ai.” Dia memperkenalkan diri.

“ I? Like, iPhone?” Aku keliru dengan bunyi fonetiknya.

“ Haha! Of course not. Aisyah. Just call me Ai.” dia ketawa kecil sambil menutup wajahnya dengan majalah. Maka terlihat wajah Bieber dengan bunyi ketawa seorang gadis muda.

“ Hoho…Put that away. I don’t want to see Bieber,” kataku.

Tawanya reda. “ And you?”

“ Oh, sorry. I’m Zulkifli. Call me Zul.” Aku pula terlupa memperkenalkan diri.

“ Ai, you come with your parents?” tanyaku.

“ What makes you think so?” wajahnya ditarik sedikit.

“ You look like a school girl to me. Innocent. Pure.” Aku mengangkat bahu.

Dia ketawa.

“ Of course not. I came alone. By train.”

“ That’s dangerous. You should’ve brought some friends with you. Or your brother, if you have any.” Aku sedikit terkejut dengan kenyataan bahawa dia keluar sendirian. Aku dibesarkan dalam keluarga yang menjaga adab pergaulan, termasuklah tertib keluar rumah. Kakak-kakakku tidak pernah keluar sendirian sepertinya. Mesti ada rakan, atau aku yang ditugaskan untuk menemani mereka.

“ Conservative…” Dia memberi komen ringkas terhadap reaksiku.
Ya, memang aku berpandangan konservatif. Gadis sepertinya keluar sendirian, pada pendapatku bukan tindakan yang betul. Bimbang diganggu oleh lelaki hancur iman sepertiku, seperti sekarang.Namun perbuatanku sendiri ketika ini menyalahi prinsip yang pernah aku pegang. Inilah bukti kesampahanku.

Dan yang ajaibnya, aku tidak pula beristighfar dan menghentikan perbuatan nakalku.

“ Lunch sekali nak?” aku diajak tanpa disangka. Senyumannya sangat manis dan pandangan matanya mencairkan hati.

Aku tewas.

“ Sure!” jawabku serta merta. Kemudian, aku seolah-olah terdengar syaitan bertepuk tangan di tepi telingaku.

Oh sampah suci! Apa yang aku buat ni?”

Kami bersinggah di KFC. Aku menawarkan diri beratur dan memesan makanan sambil dia mencari tempat duduk. Ini juga adalah satu taktik untuk memastikan bahawa akulah yang akan membayar makanan dan menaikkan sahamku sebagai seorang lelaki bertanggungjawab.

“ Ok ke meal ni?” tanyaku sambil meletakkan hidangan di hadapannya.

“ I’m okay with anything,” jawabnya.

“ How’s that possible?” tanyaku. Cuba menambah kemesraan.

“ I went out feeling gloomy this morning. Now I feel happy. Probably the best day of the week. I can eat anything,” katanya. Wajahku merah menyangkakan akulah yang menyebabkan dia berasa gembira.

Aku pula memberikan reaksi. “ The same goes to me. Saya tak tahu macam mana nak berdepan dengan manusia pagi ini. Rasa macam ada macam-macam benda yang tak kena. Tapi sekarang, dah rasa okay.”

“ Eh, saya nampak awak berseri-seri saja di kedai buku tadi?”

Dah sah. Setan menghias mukaku dengan sihirnya untuk memerangkap Ai. Mungkin aku juga melihat Ai berseri-seri kerana aku juga disihir syaitan.

“ Ai, why choose Ai?” tanyaku.

“ Why choose you?” Dia tersalah dengar ‘Ai’ yang kusebut sebagai ‘I’. Mukanya merah kerana menyangka aku bertanya mengapa dia memilihku.

“ No, I mean, why choose Ai as your nickname. You got a good name. Nama isteri nabi tu…”
Dia ketawa selepas memahami maksud sebenar soalanku.

“ Haha… I know that. My parents gave me that name for the same reason. Nama isteri nabi. But I choose Ai because it’s shorter…and also because…”

“ Also because?” sampukku.

“ Because Ai means ‘love’” dia menyambung bicara.

“ And you, why don’t you let people call you Zulkifli? It’s a prophet’s name kan?” giliran aku pula ditanya.

“ Oh…Haha. Probably because it’s shorter. Actually my parents do call me Zulkifli. Only my kakak-kakak yang panggil saya Zul.”

“ Let me guess, you’re 27 rite?” Ai menduga usiaku.

“ Nope. 25. And you are… 18.” Aku menjawab dan terus meneka usia Ai pula.

“ Wrong. I’m 20. Wow, I should call you abang la kan?”

“ No, please don’t. I don’t want to feel so old.” Jawabku.

“ Haha… Ok abang… Sekarang kerja apa?”

“ HIS.”

“Apa tu?”

“ Hidup ikut suka,” jawabku.

Dia ketawa lagi. “ Peliknya! Dulu study apa?”

“ Syariah…” jawabku ringkas. Aku terasa malu amat. Dengan sikapku dan keadaanku dengan Ai sekarang, kursus syariah tidak sesuai dikaitkan dengan aku. Aku juga serba salah kerana menjadi wakil yang memburukkan nama kursus syariah.

“ Wah, Ustaz Zul. Untung siapa dapat awak. Boleh pimpin isteri kan?” tanya Ai dengan senyuman. Kalaulah dia tahu apa yang aku rasa ketika itu, mungkin dia tidak akan mampu tersenyum sedemikian rupa.

“ Insya Allah. Saya pun tak tahu.” Hatiku ditusuk duri tajam. Celaka. Sakit. Sungguh sakit rasanya. Namun aku terlalu lemah untuk menepis syaitan-syaitan yang sedang bergembira melungsuri pembuluh darah dan mengayun buaian di telingaku.

“ Dating ni haram ke?” tanya Ai. Aku nampak keikhlasan pada pertanyaannya. Darahku seperti terhenti mengalir. Aku tersentap.

Celaka. Apa yang patut aku jawab? Jika aku jawab ya, maka aku sedang melakukan kontradiksi dengan perlakuan aku ketika ini. Dan aku perlu bersedia menjawab soalan berbunyi “ macam yang kita buat sekarang ni, kira haram ke tak ya?”

Jika aku jawab tidak, maka aku berdusta dengan Allah dan diri sendiri. Aku mengkhianati amanah ilmu sebagaimana aku mengkhianati amanah solatku. Bertambah dosaku dan semakin hampir aku ke pintu neraka.

Dan atas nasihat setan dan atas keburukan imanku, aku pun menggunakan helah escapist. Aku mengalihkan soalannya dengan pertanyaanku pula.

“ Ai pula belajar kat mana?” aku bertanya dengan wajah sehabis natural, dengan kebimbangan bahawa Ai akan kembali bertanya soalan yang tidak kujawab itu.

“ Tak sambung belajar. Dulu masa SPM Ai demam panas. Lepas tu Ai pun dah tak nak ambik SPM lagi sebab dah tak ada kawan.”

“ Kesiannya. Mak dengan Ayah Ai tak kisah?”

“ Tak. Sebab Ai cakap Ai dah ada perancangan masa depan.”

“ Which is?”

“ Ai nak jadi penyanyi.” Jawabnya sambil memandang ke atas, tersenyum.

Aku diam. Aku pernah membenci orang yang bercita-cita menjadi penyanyi. Aku anggap mereka itu orang-orang yang gilakan pujaan.

“ Macam Justin Bieber?” tiba-tiba aku berseloroh, ingin menceriakan kembali suasana.

“ Haha!” Ai ketawa. Hatiku cair lagi. Terasa bagai wajahnya itu ingin kutatap sepanjang masa. Tawanya yang menghiburkan itu kurasa bagai ingin kurakam buat menemaniku dalam jaga dan lena.

Dan yang ajaibnya, aku tetap leka walaupun aku tahu setan sedang berpesta menyaksikan ketewasan seorang lelaki lulusan syariah dikelentongnya.

“ Zul, saya kena balik la. Petang nanti saya ada latihan vokal dengan mak cik saya.”

“ Oh. Baik. Saya boleh hantarkan.” Tawarku. Sebenarnya, aku masih belum ingin melepaskan dia pulang. Masih belum puas merasa nikmat berdua-duaan dengan gadis secantik Ai.

“ Eh susahkan awak je. Tak apalah.”

“ Eh tak apa. Tak susah pun. Jomlah. This might be the last time we meet.” Kataku.

Ai tersenyum. Diam mengangguk tanda setuju. Mungkin dia juga terasa berat meninggalkan aku.

“ Wah, Mini Cooper! My favourite! Tak rugi saya tumpang awak Zul.”

Aku hanya tersenyum. Terhibur melihat wajah comelnya yang sedang memegang pipi dengan mata yang membulat memandang Mini Cooperku.

Sampai ke hadapan rumahnya.

“ Tak nak masuk dulu ke?”


“ Eh tak apalah Ai. Saya seganlah,” aku melempar senyuman. Sebentar kemudian aku mengeluarkan kad namaku kepadanya. “ Ai, ini kad saya, wedding photographer. Ada contact number dan emel kat situ. Kalau nak kahwin nanti panggillah saya.”

“ Cakap amatur?” Ai mempersoalkan keamaturanku yang sudah menjalankan perniagaan fotografi perkahwinan.

“ Yang pro kawan saya. Saya ni amatur je. Hehe “ jawabku.

“ Ok. Nanti saya nak kahwin saya panggil awak ya…”

“ Oraait!” jawabku.

“…Saya panggil awak kahwin dengan saya, biar kawan awak yang pro tu ambil gambar kita.” Ai tersenyum nakal lalu terus berpaling dan masuk ke rumahnya sambil berlari anak.

“Err…” Aku terkedu. Akhirnya aku tersenyum sendiri.

What in the world… Haha… Seronok. Terhibur. Syok. Syahdu. No wonder la kawan-kawanku yang berpacaran ketika di university dahulu sukar meninggalkan maksiat ini. Kalau dahulu aku berada di barisan hadapan para pejuang menentang maksiat pacaran. Kini aku merasa. Dan aku tewas dengan penuh keaiban.

Dan yang ajaibnya, aku tetap merasa syok, dalam kefahaman bahawa aku baru sahaja melakukan sesuatu yang salah. Hatiku sakit. Dan kini bertambah sakit. Celaka. Aku tahu kau orang sedang berpesta wahai setan!

__________________________________________________

Menyampah…

“ Thanks for today. Really looking forward to seeing you again, Ustaz Zulkifli.”

Itulah bunyi mesej Ai apabila kubaca berulang-ulang kali. Apa agaknya yang dirasa oleh Ai?

Aku? Serba salah. Antara berhenti memenangkan setan, dan tewas dengan nafsu sendiri… Solusinya? Ambil wuduk dan solat? Solat sunat taubat, istighfar banyak-banyak dan buka Quran?

Oh, aku terasa amat lemah untuk itu semua. Aku sungguh sampah. Aku harap Tuhan tidak menyampah melihatku. Celaka. Sungguh celaka. Berbelah bahagi. Masihkah ada iman dalam dadaku? Sampaikan perkara sebesar solat pun tidak sanggup aku dirikan. Sampaikan perkara seremeh ‘dating’ pun tidak sanggup aku tinggalkan. Celaka. Sejak bila aku jadi begini?

Ya Allah, jangan cabut nyawaku sekarang. Malaikat Izrail, pergi kau jauh-jauh! Aku tak mahu mati sebagai sampah, aku tak mahu mati dalam keadaan Allah menyampah denganku. Tanpa sedar, aku berdoa. Rupa-rupanya, semalas manapun manusia mahu menadah tangan memohon, sebenarnya masih ada keperluan yang tinggi kepada Tuhan.

“ Ustaz, esok jom tengok Nur Kasih nak?” satu mesej dari Ai muncul ke telefonku.

“ Awak tak kerja ke esok?” aku buat-buat bertanya.

“ Mana ada kerja. Saya pun HIS juga. Hidup ikut suka. :P)”

“ Ada tiket?” tanyaku.

“ Ala…Checklah dengan iPhone ustaz tu…”

“ Baiklah Cik Ai. Saya ingat Cik Ai dah check guna AiPhone cik Ai tadi…”

“ Errmmm… Kite ni tak kaya macam dia... Hihi. Tolong periksa tiket ya. Saya teringin nak tengok cerita cinta Islamik. Teringin sangat. Mesti best kan?”

“ Ok nanti saya periksa,” jawabku.

Aku semakin menyampah dengan diri sendiri. Amat mudah tewas dengan godaan. Kali ini, dia mahu tonton filem cinta Islamik. Arghh… Tekanan. Rileks. Baik, why don’t we change this into something I can win?

Bawa dia tonton cinta Islamik. Bagi dia ada kesedaran Islam dan bagi dia merasa nikmat keindahan Islam. Kemudian, perlahan-lahan bawa dia menjiwai Islam. Ajar dia adab pergaulan, tutup aurat dengan baik dan tukar cita-citanya daripada artis kepada cita-cita yang lebih mulia di sisi agama. Ya, dengan cara ini Islam akan menang.

Hampeh. The end justify the means? Matlamatnya nampak cantik, namun sepanjang prosesnya, sampah bersepah! Buat maksiat untuk meningkatkan iman seorang gadis? Kalaupun dia menjadi lebih baik, aku pula bagaimana? Tertinggal diri. Kononnya sibuk membawa manusia kepada kebaikan namun diri sendiri tertinggal di lorong gelap penuh sampah.

Oh maaf. Itu formula syaitan.

Ia tidak sepatutnya aku turuti.

Namun, guess what?

Aku tewas. Walaupun dikurniakan dengan kesedaran terhadap bahaya formula syaitan itu, Allah tidak menurunkan rahmatnya untuk menyelamatkan aku dari terus-menerus memenangkan syaitan. Celaka!

Esoknya, aku keluar menonton wayang dengan Ai. Buat pertama kalinya sepanjang hidupku, aku akhirnya menemani seorang gadis menonton wayang, duduk bersebelahan dengannya dalam dewan gelap yang penuh syaitan.

Selesai menonton.

“ Sedih la… Isk isk…”

“Cool la… Kisah cinta memang camtu.” Jawabku sambil tersenyum. Ai berjalan betul-betul rapat denganku. Wajah comelnya dilap dengan tisu.

“Ai…”

“ Ya saya?”

“ Is this your first time going out with a man?”

Ai diam sejenak. Bagaikan malu untuk menjawab.

“ Ya. Kenapa?”

“ Kenapa awak boleh senang-senang saja keluar dengan saya?” Aku bertanya dengan serius.

“ Why? What’s wrong?” dia hairan.

“ No, nothing… I’m just… I…I’ts okay, nothing… Nothing….” aku tersenyum. Tidak tahu ingin memberikan sebab aku bertanya.

“ Well, I trust you.” Jawabnya. Dan dia tersenyum sambil tersipu-sipu malu memandang ke bawah sambil kaki melangkah maju menuju ke sebuah restoran.

Hatiku bagai disentap. Perasaan bercampu baur. Terasa bagai sedang mengkhianati Ai yang muda dan mentah itu. Aku yang sepatutnya menjaga batas pergaulan kini sedang mencemarkan Ai yang memberikan sepenuh kepercayaan kepadaku.

“ Zul…”

Aku memandang sambil mengangkat kening. Ai teragak-agak meneruskan bicara.

“ Can we be friends?”

“ Haha… Saspennya…Mestilah boleh,” jawabku.

“ I hope you understand. I don’t have many friends that I could hang out with. Most of them are studying. Dan yang lelaki pulak biasanya akan ada niat lain kalau berkawan dengan saya. I’m very happy to have met you.”

Oh Ai… Aku pun sama juga dengan kawan-kawan lelaki kau yang lain tu. You’re just too angelic to be resisted. I do have affection for you.

“ Saya pun lelaki jugak… “

“ But you are different. Somehow I know you won’t do anything stupid to me,” katanya.

“ What if I go further?”

“ You mean?”

“ Beyond friends…” Tanyaku. Dalam hati, aku gusar mengenangkan betapa jauh aku telah pergi untuk seseorang yang baru sahaja aku temui.

“ I think I don’t mind. I might even like it,” jawabnya sambil berpaling ke tempat lain dan tersenyum.

Celaka. Jantungku kencang.

Dan sungguh ajaib… Aku ditipu setan dan aku pasti mereka sedang berpesta besar dengan ketewasan aku.


_______________________________________________

Dustbin

Bakul sampahku penuh. Lakaran-lakaranku bersepah di atas lantai. Lukisan yang tidak menjadi aku lempar dengan tepat ke dalam bakul sampah kedua. Aku semakin hebat melontar sampah. Seraya aku terbayang, mungkin beginilah nasib sampah sepertiku yang dicampak ke neraka Allah di akhirat kerana tewas dengan syaitan dan hawa nafsu.

Wajah Ai berada di skrin komputerku. Tanganku ligat melakar wajahnya yang aku jadikan potret. Kononnya ingin dihadiahkan kepada Ai untuk menunjukkan betapa aku menghargai pertemuan kami. Banyak isu di situ. Melukis makhluk ciptaan Allah seumpama ingin menandingi keindahan ciptaanNya yang asli…Itu boleh jadi dosa.

Akhirnya kekeliruanku mendorong aku untuk berhenti. Namun hatiku kosong. Asyik teringatkan Ai dan keramahannya. Lalu sebagaimana gejala yang biasa melanda orang angau bercinta, aku utuskan mesej-mesej untuk melepas rindu. Gila.

Aku sudah hilang jati diri.

Dan perbuatanku terus direward dengan balasan mesej dari Ai. Semakin kami berbalas, semakin kuat syaitan memenangi peperangan ini. Ajaibnya, aku tidak mampu bertegas untuk menentang hasutan demi hasutan ini.

Seolahnya, aku tidak percaya kepada syurga yang menanti orang sabar, tidak percaya kepada nikmat yang akan Allah berikan kepada manusia yang mampu mengawal diri mengikut panduan Ilahi. Bidadari-bidadari syurga yang aku rindukan dahulu kini tenggelam dalam bayangan seorang manusia biasa, Ai.

Ai ai, adoi ayy… Bilalah aku akan keluar dari tong sampah ini?

Satu mesej tiba.

“ Awak, saya tangah baca satu buku best ni…”

" Ayat-ayat Cinta?” dugaku.“

“ Taklah… Itu minggu lepas. Ini buku Cinta dalam Islam. Nak berkawan dengan ustaz, kenalah baca buku agama…Hihi”

Entah mengapa aku jadi bimbang.

“ Apa yang bestnya?”

“ Dia bagi tahu nikmat bercinta mengikut cara Islam. Cinta selepas berkahwin.” Ai memberi jawapan yang sudah aku jangkakan. Bukan aku tidak pernah membaca buku itu. Malah buku itulah yang aku jadikan hujah untuk menasihati kawan baikku yang hanyut dalam percintaan di kampus dahulu.

“ Saya belum habis baca. Saya rasa kalau saya dah habis baca mesti saya akan jadi perempuan yang baik,” tambah Ai lagi.

Aku jadi bertambah bimbang. Dadaku sesak dan kepalaku mula pening. Tidak tentu arah. Serabut.

Kalau Ai dah sedar perkara yang betul…Maka… Lepas ini… Arrgghh!

Celaka! Mengapa aku berasa begini? Aku sudah menyayangi maksiat yang aku lakukan. Celaka. Biarkan! Biarkan sahaja Ai tahu kebenaran!

Biarkan sahaja Ai mengetahui jawapan kepada pertanyaannya yang aku abaikan tempoh hari. Apa kerugian aku? Ya, apa kerugian aku? Celaka…

Yang rugi adalah syaitan. Aku pula? Aku pula turut berasa rugi… Kenapa? Jelas.

Aku sudah menjadi khalifah syaitan.

Celaka. Biarkan kami berputus hubungan. Kerana kami sedari awalnya tidak seharusnya begini. Ini semua salahku. Akulah si sampah yang membusukkan manusia yang mengutipku. Bodoh! Ai, maafkan aku.

Aku tidak mahu membusukkan kau dan membawa kau ke neraka. Aku banyak dosa. Aku membusukkan keharuman maruah seorang muslimah. Aku menjadi manusia yang mencatatkan rekod yang mencacatkan catatan hidupnya.

Kali ini aku mahu syaitan tewas. Aku letih menjadi sampah. Ya. Ia memeritkan. Inilah mujahadah. Melawan perkara yang manusia pandang ringan. Inilah nilai mujahadah, remeh pada pandangan mata haiwani, mahal pada erti hidup seorang khalifah Allah, mengawal tingkah laku diri supaya buahnya yang berupa rahmat ketenangan dapat dikecapi sekalian makhluk di alam ini.

Aku ingin ketenangan itu. Kini aku lebih yakin, yang aku inginkan adalah ketenangan pada yakinnya aku bahawa apa sahaja yang aku lakukan tepat di atas landasan keredhaan Allah yang menjadi ilahku.

Biar keredhaan Dia yang meraja di hati. Biar ia kekal di hati, supaya aku bisa kekal dalam rahmatnya di dunia sini dan di akhirat sana. Biar. Biarkan! Apa sahaja ingin berlaku, biarkan! Pergi kau setan! Biarlah kesakitan meninggalkan orang yang aku sayang ini menjadi parut yang akan aku kenang sebagai ketewasan yang tidak akan aku ulangi di masa hadapan.

Cinta yang lahir kerana syaitan itu tidak akan aku biarkan terus hidup. Semoga Allah membunuhnya, atau menggantikannya dengan cinta yang selari dengan kemahuanNya. Allah, berikan aku kekuatan. Aku mahu keluar dari tong sampah ini, kitarkan aku semula menjadi hambaMu yang tetap atas jalanMu.

Selamat tinggal Ai. Semoga Allah menemani perjalanan tarbiahmu dan menunjukimu ke jalan menuju syurgaNya.

Berambus syaitan, aku tak mahu lagi tewas di tangan kamu. Cukuplah kau berpesta, kini aku sudah bertemu kekuatanku kembali.

Allah, peluklah daku dalam rahmatMu. Usah lepas lagi.


‘Ye kak. Nak minum ape?’ pelayan itu bertanya ramah-tamah.  ‘Eh, sorang je?,’ pelayan lelaki berambut perang bertanya lagi setelah menyedari siapa aku. Pastilah susah untuk melupakan wajah ini yang hampir setiap hari duduk di sini menikmati sarapan pagi.

  Mata kau dah kenape? Tak nampak ke kedai makan ko ni penuh dengan orang? Aku datang dengan diaorang la sebenarnya. Saja aku duduk sorang-sorang kat meja ni. Salah ke?
 
  Malang sebab itu cuma bisikan hati aku sahaja. Tak terluah dek mulut aku

  Aku senyum. ‘Biasa,’ sambil tangan dengan pantas membuka suratkhabar yang sebenarnya lebih layak untuk aku buat alas tempat duduk sahaja.

  Aku arif benar dengan maksud soalan tersebut, faham dia ingin bertanya tentang apa. Aku cuma tidak mampu berhadapan dengan soalan Si Rambut Perang tentang Hafiz. Aku tidak punya tenaga untuk bersoal-jawab dengan sesiapapun tentang di mana Hafiz. Di mana teman lelaki aku yang selalu aku usung ke sana ke mari.

  Mungkin sebab itulah emak berpesan supaya jangan asyik masyuk bercinta. Sebenarnya, ayat emak berbunyi begini:

  ‘Ha, masuk yunibersiti tu jangan mengada-ngada nak berboipren-boipren. Habiskan belajar dulu. Karang boo! sana boo! sini dengan boipren. Lepas tu tak habis belajar. Satu hape pun tak jadi.

  Sibuk sangat bercinta sampai lupa dunia, mak bapak, adik-beradik. Ingat sikit, kamu tu perempuan. Ape-ape jadi nanti susah. Sayang ke orang ni berpada-pada. Biar dia sayang kita lebih, jangan kita sibuk nak bergolok-gadai sebab dia. Nanti jadi apa-apa, kite yang susah.

  Fokus ceramah selalunya berubah-ubah. Kadangkala ia akan lebih kepada aku. Kemudian, ia beralih pula kepada kita. Kadang-kadang emak juga berusaha untuk memberi fokus kepada pemanasan global.

  Aku tersenyum sendiri mengingatkan tentang emak. Seorang jejaka yang duduk di depan aku memandang aku dengan  pelik. Aku pura-pura meneruskan pembacaan sedangkan aku terasa seperti sudah sampai waktu untuk aku memasukkan kepala ke dalam beg kerana malu.

  Terasa janggal duduk di meja ini seorang diri. Meja di sudut kedai, mengadap cermin. Meja kami. Meja kegemaran kerana kami suka dengan pemandangan di sini. Tidak ramai yang mengerti kenapa sudut ini sering jadi pilihan sedangkan ia terletak bersebelahan dengan kaunter.

  Muka aku jadi panas. Aku hirup kopi O laju-laju. Aku perlu pergi dari situ sebelum air mata aku tumpah dengan lancar dan laju. Aku tidak mahu dikenali sebagai ratu air mata di sini.

  Wang RM 5 aku letakkan di atas meja sambil melambai kepada Si Rambut Perang. Aku terlalu sibuk cuba menahan air mata dari jatuh. Aku biarkan sahaja laungan Si Rambut Perang bila dia berkata:

  ‘Akak! Ouh Akak! Baki ni macam mana?” Aku sekadar angkat tangan pada Si Rambut Perang. Aku pun tidak faham apa yang aku cuba sampaikan dengan mengangkat tangan tersebut. Tetapi aku pasti ia bermaksud aku tidak mahu berpatah kembali. Satu lagi, bila masa pula aku jadi kakak kepada Si Rambut Perang?

  Susup-sasap aku berlari pulang ke rumah. Rumah kecil sebesar kotak kasut kesayangan aku. Aku berlari ke dapur mencari kotak tisu, tiada. Dalam tandas, juga tiada. Sudahnya aku ke dalam bilik dan rentap sahaja tuala mandi. Aku sapu air mata beserta air hidung. Kemudian aku pesan kepada diri sendiri supaya membasuh tuala ini secepat mungkin.

  Kesunyian yang terisi dengan sedu-sedan aku diterjah deringan lagu A Million Ways dari kumpulan Ok Go. Aku pandang komputer riba aku. Skrinnya gelap. Maka aku yakin bahawa telefon bimbit aku yang berbunyi. Ah, siapa lagi. Siapa lagi yang cuba menelefon aku untuk kali kelima hari ini? Aku ambil keputusan untuk terima sahaja panggilan itu sambil menekap hidung dan mulut dengan kuat menggunakan tuala. Pedulikan kalau aku sesak nafas asalkan Hafiz tidak dengar aku menangis. Biar dia tahu yang aku kuat sekalipun aku menangis semasa menonton Madagascar 2 saat Melman meluahkan perasaan pada Gloria.

‘ Cah!’ suara itu menerjah gegendang telinga aku kali ini. Aku kuatkan diri menahan sedu sekalipun aku seperti terdengar jantung aku merayu minta oksigen.

  Aku diam. Sengaja tidak mahu mengalah. Sebenarnya lebih kepada tidak mampu bersuara kerana terlalu sibuk menangis.

  ‘ Takpe kalau kau tak nak cakap dengan aku, Cah. Tapi tolonglah jangan letak telefon lagi,’ suaranya sayu. Ah, jangan ingat aku boleh tertipu dengan lakonan Oscar sebegitu. Tidak mengapa, kali ini aku dengan murah hatinya bersedia untuk mendengar alasannya. Lagipun, dia yang telefon aku, bukannya aku.

   “Cah, aku tau aku bukan lelaki paling romantik dalam dunia ni. Aku faham kalau kau marah aku sebab tak ingat harijadi kau tapi aku tak nak kita habis di sini saja.

   Aku tau kau suka makan tomyam kalau kau demam, kau suka teh o campur air masak setengah cawan. Aku ingat yang ko mesti pakai eye-liner sebelum keluar rumah. Aku tau warna kegemaran kau adalah ungu.

  Sekalipun aku mungkin tak ingat hari lahir kau ataupun hari ulangtahun kita, aku ingat yang ko suka Cadbury Snack. Kau kata itu sebab kau suka kejutan. Kau suka ros warna biru sekalipun aku selalu usik kau mengatakan kau pelik. Aku tipu, kau sebenarnya unik, Cah.

  Aku minta maaf kalau tindakan aku selama ini bagi kau coklat atau bunga pada hari-hari biasa menyebabkan kau berharap aku akan beri benda yang lebih hebat pada hari istimewa kita sepanjang tahun, minta maaf Cah. Aku beri itu semua sebab aku tau yang aku akan terlupa bila hari anniversary kita atau pun tarikh ulangtahun perkenalan kita. Aku tak nak kau terlalu kecewa sebab aku takkan sambut Valentine’s Day. Sebab itu aku cuba menebus kesalahan dengan pemberian-pemberian sebegitu.’

  Sayu suaranya. Sayu juga hati aku dibuatnya. Aku tau semua ini; bukan aku tidak tahu. Hafiz sendiri mengatakan dan memohon aku supaya tidak mengharapkan dia ingat satu-persatu tarikh istimewa kami. Entah mengapa darah aku mendidih semalam sedangkan ini sudah masuk tahun kedua kami bersama. Dari kami masih pelajar hingga sekarang sudah bekerja. Aku kecewa amat kerana aku mahu dia berusaha kerana  tahun lepas aku sendiri ambil-alih tugas mengingatkan dia tentang hari lahir, ulang tahun kami dan juga tarikh ulang tahun perkenalan kami.

  ‘ Cah, aku rasa mengenali diri kau dan menerima kau itu lebih penting daripada meraikan setiap hari istimewa kita. Kenapa mesti kita sambut hari tertentu sahaja sedangkan bersama dengan kau sudah cukup untuk membuat aku rasa istimewa?’

  Hafiz bersoal jawab lagi. Kenapa perlu kau berikan soalan pada waktu ini Hafiz? Aku tidak mahu bersoal-jawab dengan kau, sekalipun ianya soalan beraneka jawapan. Aku tidak mampu kerana air mata terlalu laju mengalir dan aku sedang cuba untuk tidak menunjukkan yang aku sudah hampir mengangkat bendera putih. Apa yang kau kata ada benarnya.

  ‘ Sudahlah Cah. Aku tau kau pun sedih,’ yakin sekali Hafiz bersuara. Mana dia tau? Adakah dia menuntut ilmu hitam? Entah-entah aku sedang bersolek untuk keluar bertemu lelaki lain. Sengaja aku berdolak-dalik padahal aku sedang membasahkan sarung bantal yang aku sedang peluk erat.

  ‘ Bukan sehari dua aku kenal kau, Cah,’ suara itu tidak penat merayu. Itu adalah salah satu sifat Hafiz yang buat aku tertarik. Dia sentiasa sabar melayan kerenah aku yang tidak ubah seperti anak kecil. Dia akan terus-terusan memujuk dan untungnya, aku tidak memerlukan intan berlian untuk reda.

  Mengingatkan ini, aku tersenyum. Dan tidak sengaja, terkeluar bunyi sedu dari mulut aku. Tawa kecil Hafiz tercetus di hujung talian.

  ‘ Kau nangis Cah?’ suara Hafiz memujuk lagi.

  ‘ Tak la. Mane.. hic! ada,’ gagal disembunyikan di situ. Tawa Hafiz meledak lagi.

  ‘ Cah, maafkan aku ye?’ di hujung talian ini, aku cuma mampu tersenyum.

  Takkan semudah itu untuk aku buang semua kenangan kami. Takkanlah semudah itu aku ingin melupakan Hafiz. Ah, hati perempuan aku.

  Aku tahu aku bodoh kerana aku cemburu melihat Jurin mendapat sejambak bunga ros merah segar sempena ulang tahun percintaan dia dengan teman lelaki semalam. Aku terasa tidak adil bila aku tidak dapat pemberian yang sama dari Hafiz. Balik-balik coklat, biskut dan minyak wangi. Bilik aku sudah boleh jadi butik minyak wangi. Aku lupa untuk bersyukur yang sekurang-kurangnya aku tidak perlu menanti hari istimewa untuk mendapat sebarang pemberian dari Hafiz. Aku lupa yang Hafiz terima aku seadanya. Aku yang boleh jadi menjengkelkan dan memenatkan untuk dilayan. Aku yang cengeng, beremosi tidak menentu dan seringkali tertawa seperti Pontianak di khalayak ramai. Aku yang selalu paksa dia habiskan makanan setiap kali keluar.

  ‘ Tak, aku tak marah.’

  ‘ Esok kita jumpe ye? Tak biasalah makan sorang,’ Hafiz mengusik.

  ‘ Mengada,’ hati aku kembali berbunga.

  Yang aku tidak tahu, di hujung sana di bilik Hafiz, terdapat situasi lain.

  ‘ Amacam?’ rakannya Husni mengangkat kening, bertanya sama aku dapat dipujuk.

  ‘ Setel!,’ Hafiz menjawab dengan senyum lebar. Dipandangnya sekilas kertas yang berisi skrip perbualan tadi. Dia tersenyum lebar.

  ‘ Kan aku dah cakap? Senang je dude nak kaver. Yang penting, ayat kene power,’ siapa tak kenal Husni? Kasanova terkenal Kampung Kerinchi.

  ‘ Agak-agak kantoi tak aku lupe semalam sebab aku ada date ngan awek tingkat sepuluh?’ Hafiz kembali duduk di depan TV, mengadap game.

  Hampeh… Memang bukan seperti yang kita semua jangka.

Disclaimer : Kalau anda sedang bosan, tolong jangan baca cerpen ini kerana ia akan lebih meningkatkan tahap kebosanan anda.

Anjing yang versi haiwan MUNGKIN bakal berkata kepada anjing yg versi manusia ini -

“KAMU NI LEBIH ANJING DARI ANJING – MORE DOG THAN THE DOG. BUAT MALU ANJING VERSI HAIWAN SAHAJA – KAMI TAK LAH SE-ANJING KAMU…”

* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

Sebuah kenderaan MPV hitam berhenti di satu kaki lima. Enjin MPV itu segera dimatikan. Terlihat di dalam MPV itu seorang ayah dan anaknya, seorang gadis kecil.
Pintu kenderaan dibuka. Si ayah dan anak perempuannya keluar dari kenderaan dari pintu yang sama.

“Tunggu abah kat sini kejap! Lepas ni kita pergi kedai, okey! ” Kata si ayah kepada anak perempuan yang berusia dalam lingkungan 6 tahun, sambil tangan mengusap manja kepala si anak.

“Abah nak ke mana?” Rengek anak kecil itu. Berbaju kurung berwarna kuning. Matanya bundar. Rambutnya ikal panjang sampai ke bahu. Tangannya sedang memegang anak patung berupa seekor beruang kecil berwarna biru.

“Abah nak ke sana, sekejap. Nak bagi lebihan makanan kita ini pada anjing tu! Kasihankan, anjing tu mungkin kelaparan!” Jawab lembut si ayah pada pertanyaan anak perempuannya.

“Abah tak takut ke kalau anjing tu gigit tangan abah?” Balas si anak lagi.

“Ha ha ha, Ani pernah dengar peribahasa melayu, anjing tak akan mengigit tangan orang yang membaginya makan!” Jelas si ayah sambil tersenyum

“Pernah bah!. Cikgu tadika adik ada beritahu pasal tu. Kita  kena sayang pada semua binatang, kerana binatang pun hamba Allah juga.” Bersungguh si anak menerangkan kepada si ayah tentang kasih sayang kepada haiwan ciptaan Allah yang dipelajarinya di tadika.

Si ayah hanya tersenyum. Bersyukur kerana anaknya telah mengerti erti kasih sayang sesama mahkluk, bukan sahaja kasih sayang sesama manusia malah juga kasih sayang antara manusia dan haiwan, malah dengan alam juga. Itulah yang diharapkan, pusat didikan anak-anak kecil menjadi pusat untuk melahirkan anak-anak kecil yang masih putih mengerti erti kasih sayang.

”Abah! Ada tak anjing yang gigit orang?” Soal si anak tiba-tiba.

”Ada!. Tapi itu cuma pada ajing yang mengidap penyakit anjing gila. Penyakit anjing gila ini tak ada ubat. Anjing-anjing seperti biasanya akan dimatikan oleh pihak berkuasa. Itu pun bila ia mula mengigit orang. Ataupun dikurung dahulu dan diberikan terapi supaya tidak lagi membahayakan orang ramai.” Jawab si ayah tanpa bosan.

Sebungkus makanan dalam plastik merah lebihan makanan di tangan si ayah. Perlahan-perlahan melangkah menuju ke arah seekor anjing kurap yang sedang berbaring di kaki lima.

Plastik merah itu dibuka. Isinya dikeluarkan. Perlahan si ayah meletakan makanan itu betul-betul di mulut si anjing.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing bangun. Mengeleng-gelelngkan kepalanya. Lidahnya terjelir keluar. Ada air liur sama melilih. Kepalanya ditundukkan ke arah makanan yang terhidang. Dihidunya. Lidahnya menguiskan makanan yang terhidang. Dengan rakus makanan itu dikunyah sehingga habis. Tiada lagi yang tersisa.

”Woof! Woof! Woof!”

Salak si anjing perlahan. Muncungnya di arahkan kepada si ayah dan anak perempuanya yang menjarakkan diri lebih kurang sepuluh kaki dari si anjing. Kurang pasti, salakan untuk mengucap berterima kasih atau salakan meminta ditambah lagi makanan itu.

Si ayah memimpin tangan si anak bergerak meninggalkan si anjing menuju ke sebuah kedai membuat kek bernama Ah Moi Bakery. Mungkin untuk membeli kek harijadi untuk anaknya.

Aku yang sedari tadi duduk di kaki lima dan memerhati peristiwa itu kembali membelek-belek senaskah akhbar yang ku beli tadi. Mencari-cari kalau ada berita tentang seorang budak cedera digigit anjing gila.

”Woof! Woof! Woof!”

* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

Sebaik sahaja menyerahkan kunci keretaku kepada mekanik, aku bergegas keluar dari bengkel membaiki kereta itu. Suasana dalam bengkel yang agak membahang tu memaksa aku mencari tempat lain yang lebih teduh sementara menunggu kereta aku itu siap diperbaiki.

Kereta tua aku ini memang kebelakangan ini ada sahaja ragamnya. Maklumlah kereta antik yang berumur lebih dari 50 tahun. Kereta pusaka dari arwah ayah. Kata ayah pula kereta ini warisan dari ayahnya atau datuk aku.

Walau dari luar, keretaku ini kelihatan cantik sekali, yang sebenarnya kebelakangan ini, selepas satu masalah ke satu masalah yang timbul. Baru bulan lepas, aku hantar untuk ke bengkel diperbaiki kerana kerosakan sistem penghawa dingin, hari ini dia buat hal lagi. Ada bunyi yang agak bising keluar dari enjinnya. Memang menjengkilkan apatah lagi pada ketika ekonomi aku sekarang ini sedang bergolak.

Perlahan-lahan aku melintas jalan menuju ke kaki lima deretan bangunan kedai yang berhadapan bengkel kereta itu. Agak redup di sini. Aku melabuhkan punggungku di kaki lima yang agak tinggi dari muka jalan. Aku memilih untuk duduk sahaja di kaki lima deretan kedai ini

Cuaca yang panas terik ini memang memeritkan. Peluh mula membasahi bajuku. Dahaganya memang terasa sekali. Sebotol air minuman sejuk berharga 50 sen sebotol yang ku beli di kedai runcit seberang jalan itu sudah separuh ku minum. Nasib baik kakilima ini mampu memberikan keteduhan kepadaku. Surat khabar yang dari tadi terkepit di ketiakku, ku buka.

”Woof! Woof! Woof!”

Tiba-tiba entah dari mana datangnya, seekor anjing kurap menyalak keras ke arahku. Tersentak aku dibuatnya. Anjing itu terus menyalak kepadaku. Pandangan matanya tepat padaku. Ekornya digerak-gerakan. Badannya dipenuhi kurap. Perutnya leper. Lidahnya terjelir keluar. Sebelah kaki kanan hadapannya aku lihat tempang.

”Shuh! Shuh! Shuh!” Jawab balasku kepada salakan anjing itu.

Masih berlembut membalas salakan keras anjing kurap itu. Kesian juga melihat keadaan anjing kurap ini. Namun kebelakangan ini anjing kurap yang selalu aku lihat berteduh di kaki  lima deraean kedai ini mulai menunjukan garangnya. Kalau dulu kelihatan seperti seekor anjing bodoh, kini perangai sebenarnya mula terlihat.

Anjing itu tidak juga berganjak. Masih menyalak dan menderam dan mara setapak demi setapak ke arahku. Namun aku tak fikir anjing yang sekurap ini mempunyai keberanian yang sebenar untuk menakutkan aku. Seekor anjing kurap cuma berani mengacah sahaja. Namun aku perlu berhati-hati dengan kekurapannya yang mungkin mengandungi pelbagai virus yang merbahaya.

Aku bangun, bergerak sedikit jauh dari tempat yang aku duduki sebentar tadi. Anjing itu berhenti betul-betul berhenti di tempat yang aku duduk tadi.

”Woof! Woof! Woof!”

Sebaik sahaja habis menyalak anjing itu berbaring di situ. Matanya tetap memandang kepadaku. Lidahnya masih terjelir dengan air liur yang menjijis. Bukanlah sangat kerana dahaga atau penat. Memang itu sifat semula jadi seekor anjing.

Agaknya anjing itu menyalak kerana merasakan tempatnya itu cuba dirampas.  Walau  pun selama ini, ia cuma menumpang di kaki lima, ia tetap mengganggap inilah tempatnya. Siapa yang inginkan kawasannya pasti disalaknya.

Botol air mineral di tanganku, aku buka penutupnya. Masih separuh lagi air yang tersisa di dalamnya. Terus sahaja air yang masih tersisa aku togok ke mulutku. Aku habiskan air mineral ku, tiada tersisa. Hilang dahagaku, namun bahang cuaca panas masing tetap terasa.

”Woof! Woof! Woof!”

* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

“Hahahaha..! Abu takut anjing, Abu takut anjing! Abu takut anjing kurap.” Terdengar teriakan sekumpulan kanak-kanak yang sedang lalu di kaki lima itu.

Kelihatan seorang budak yang masih berpakaian sekolah menengah mengurut-ngurut dadanya. Kawan-kawan yang lain bersorak mengejeknya. Memang budak lelaki gemuk tiba-tiba saja terlompat di hadapanku sebaik sahaja terpijak anjing kurap yang sedang berbaring itu betul-betul di selekoh kaki lima itu.

“Aku bukan takut anjing itu la, bodoh! Aku terkejut je.” Kata budak lelaki bernama Abu itu.

”Woof! Woof! Woof!”

Anjing kurap itu menyalak lagi, kali ini lebih garang. Mungkin kakinya itu sakit terpijak budak gemuk itu. Terhencot-hencot ia berjalan ke arah kumpulan budak-budak itu.

“Anjing kurap tu banyak penyakitlah. Mari kita baling dengan botol air mineral ni. Kita nyahkan dari situ.“ Kata Abu kepada kawan-kawannya.

Sebaik habis berkata demikian, sebotol air mineral yang kosong dibaling ke arah anjing kurap itu, diikuti oleh berapa botol lagi. Tepat mengena badan si anjing. Anjing kurap itu berundur sedikit sambil masih juga menyalak ke arah sekumpulan budak itu.

”Woof! Woof! Woof!”

”Oh! Anjing tu tak lari ye. Jom kawan-kawan, kita baling anjing kurap dengan batu!” Seru Abu sambil membongkok mengutip batu-batu sebesar ibu jari.

”Wooi... budak-budak, jangan kacau anjing tu. Kamu semua tak takut kena gigit dek anjing kurap ni.” Tiba-tiba entah dari mana, seorang Pak Lebai yang sedang berdiri di kaki lima kedai di seberang jalan menjerit kuat ke arah budak-budak..

”Woof! Woof! Woof!”

Kali anjing kurap itu seolah mula bergerak menghampiri kumpulan budak- budak itu.
“Lari! Lari! Anjing kurap nak kejar kita. Lari!”

Kumpulan kanak-kanak itu bertempiaran lari. Ada yang terjatuh-jatuh Ada yang tertinggal kasut.  Aku lihat anjing itu hanya menyalak sahaja tetapi masih berada di situ. Kakinya yang tempang itu tidak mungkin akan bergerak pantas. Anjing kurap itu berbaring kembali menyambung semula rehatnya yang tadi terganggu oleh kumpulan kanak-kanak itu.

Mudahnya manusia digertak. Aku ketawa sendiri melihat gelagat kanak-kanak itu yang lari bertempiaran bila disalak oleh anjing kurap tempang itu. Nampak sahaja budak-budak tu kuat tapi sebenarnya penakut.

”Woof! Woof! Woof!”

* * * *

Surat khabar yang sedari tadi terkepit di ketiak, ku buka sambil mencari tajuk-tajuk berita yang menarik. Manalah tahu ada berita menarik dan sensasi. Maklumlah sekarang banyak sangat berita panas yang keluar Aku suka baca tantang khalwat dan gossip artis. Berita yang lain tu aku kemudiankan sahaja. Buat apa nak fikirkan sangat pasal hal-hal yang memeningkan kepada.

Rupanya tajuk paling hangat hari ini adalah tentang tersebarnya gambar seorang budak lelaki dikekah sekor anjing betina berusia 3 tahun. Anjing spesis ini dahulunya tak ada di Malaysia. Sekarang dah terlalu banyak, hingga salakannya boleh didengar di mana-mana. Dulu anjing spesis ini anjing spesis pendiam hingga kepalanya pun boleh digosok-gosok dan dipegang-pegang. Sekarang cubalah gosok kepala, terpokahlah tangan dikekahnya. Hingga tangan tuannya yang memberikan makanannya pun dikekah.

”Assalamualaikum bro!!” Aku ucapkankan salam kepada jiranku, Halim sebaik aku terpandang dia yang tiba-tiba muncul tidak jauh dariku. Ku hulurkan tangan.

”Waalaikumusalam Man.” Sambl tanganku disambutnya. Digoncang kuat tanganku. Kupiah berwarna putih terletak kemas di kepalanya. Ada secebis janggut kambing di dagunya.

”Wah! Sejak kau selalu ke surau kat taman kita tu, lain dah nampak kau ni. Dah macam ustaz je! Dah jarang kau ada kat kedai kopi tempat kita selalu berkumpul.“ Ujarku sambil tersenyum sambil mengajak dia duduk di kaki lima.

”Aku sedang berjuang menguatkan syiar islam. Apa ente buat sini?” Tanya Halim kepadaku pula.

Halim atau kini terpaksa ku panggil Ustaz, lulusan dari Universiti di Tokyo dalam bidang kejuruteraan automobil. Bekerja dengan sebuah syarikat kenderaan tempatan. Besar juga jawatannya di situ..

”Ana errr.. aku tengah baiki kereta. Ini tengah tunggu kereta aku siaplah ni.” Jawabku sambil tangan aku halakan ke arah sebuah bengkel kereta di seberang jalan.

”Banyak kali ana sudah cakap, Tukar sahaja kereta baru, senang tak ada masalah. Tapi ente degil, masih lagi nak pakai kereta pusaka datuk ante! Ente tukar kereta baru sajalah!” Ujar Halim kepadaku.

Aku senyum sahaja. Menukar kereta lama kepada kereta baru, bukan satu kerja mudah. Nak kaji juga kereta baru yang nak dibeli tu. Betul-betul ke bagus seperti dicanangkan. Nak kena tengok juga dari segi ekonomi, keupayaannya, keselesaannya, rekabentuk dan macam-macam hal lagi. Bukan boleh sesuka hati saja nak tukar kenderaan.

”Aku dengar kau ada bela anjing betul ke? Jenis apa anjing kau tu? Jenis yang dalam surat khabar ini ke?” Soalku untuk menukar tajuk perbualan kami.

”Betul! Baru dua bulan lepas. Jenisnya pun memang sama dengan yang dalam surat khabar tu. Aku bela untuk jaga keselamatan harta benda kami. Ramai sangat penyamun sekarang. Lagi pun bulan juga mengertak mana-mana orang yang nak kacau kita” Jawab Halim sambil menunjukan gambar jenis anjing yang tertera di dalam surat khabar tu.

”Menurut surat khabar ni, anjing yang kau bela ni sejenis anjing yang garang tapi tak setia. Tak kira siapa, walaupun tangan tuannya sendiri akan digigitnya kalau ekornya terpijak.” Balasku sambil menunjukan artikel tentang sifat-sifat anjing.

”Ah! Laporan surat khabar ni bukan boleh dipercayai sangat, kecuali laporan keputusan judi nombor ekor saja, itu pun kadang-kadang tersilap.” Dengus Halim. Kopiah di kepalanya diperbetulkan. Dahinya berkerut-kerut.

“Halim, kalau dalam bahasa Inggeris, kucing-kucing akan berbunyinya ‘Meow meow’. Kalau dalam Bahasa Malayua bunyinya “Meow meow" juga, tapi ejaan dia "miau miau".

Tak adalah beza  sangat. Kalau di Jepun, mesti kau tahu bunyinya?.” Sebelum perbualan kami bertukar panas, cepat-cepat aku tukar pula tajuk perbualan kam.

“Kucing di Jepun kalau berbunyi, bunyinya “Nya nya” jawab Halim tersenyum setelah aku lihat agak lama jugak dia berfikir.

“Hahaha! Ada ke bunyi "nya nya’? Betul ke kau ni? Tu bukan bunyi kucing, itu dah macam bunyi hantu mengilai je! hahaha!” Aku tergelak mendengar jawapan Halim.

 “Kalau anjing pulak, di Amerika bunyi, Woof woof!” Ujar Halim lagi.

“Hei, jangan nak tipu, bukankah orang Amerika sebut the dog is barking ke? Jadi anjing di Amerika menyalak dengan menyebut ‘bark bark’ lah. Kalau ‘woof woof’, kenapa tak panggil ‘the dog is woofing’ je?”

“‘Bark bark’ untuk anjing kurap je. Itu, macam anjing kurap tu” Jawab Halim selamba, sambil mulutnya dijuihkan ke arah anjing kurap yang lena tertidur di kakilima.

“Ooo.... dah tu anjing Jepun menyalak macam mana pula?” Soalku lagi, maklumlah dia pernah belajar di Jepun.

“Er, wang wang~” Jawab Halim sambil mulutnya dinganggakan seolah menunjuk gaya anjing menyalak.

“Kah kah kah! Wang wang? Apa hal anjing Jepun ni. Hahaha! adoi!, senak perut aku gelakkan bahasa kau. Betul ke kau ni Halim?” tanyaku pambil tergelak.“Habis, anjing Malaysia bunyi macam mana?”

“Kong kong!”

“Kong kong?! Ha ha ha!!!! Apa kejadah anjing Malaysia tu, tak sihat ke? Wahaha!” Sengaja aku ketawa berlebihan depan Halim.

“Haah tak sihat, sebab semua anjing kurap! Kalau batuk teruk pun panggil ‘Batuk anjing’! Hahaha!!” Kami sama-sama ketawa tanpa disedari kami gelakkan bahasa kami sendiri.

“Adoi, pecah-pecah perut aku bincang dengan kau nih! Anjing Amerika baik, bagi duit kat anjing Malaysia aar, suruh beli ubat kurap. Hahahaha!” Ketawaku tak henti-henti.
Halim tersenyum. Entah apa maksudnya senyumannya aku kurang pasti. Menyindir atau tersindir.

”Ok lah Man, aku gerak dulu. Nak pergi pasar pulak ni. Assalamualaikum?” Halim bersalam denganku dan perlahan-perlahan meninggalkanku.

Sudah hilang sebutan arab Halim. Tiada lagi sebutan ana dan ente. Sudah kembali semula ke sebutan melayu asalnya.

”Woof! Woof! Woof!”

* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

Tiba-tiba sebuah van putih biru berhenti betul-betul di hadapanku. Pintu van terbuka. Tiga lelaki dengan masing-masing memegang sebatang kayu yang bertali di hujungnya bergegas keluar.

”Woof! Woof! Woof!”

Anjing kurap segera bangun. Dalam keadaan kakinya tempang, ia berlari terhenjut-henjut. Melompat longkang di hadapan kedai, lantas menyusup di antara kereta-kereta yang diletak di situ.

Tiga lelaki yang memakai baju berwarna biru berlambang tu terus megejar sambil batang kayu yang di tangan dihulur ke arah anjing kurap itu.

“Hempit anjing tu ke tepi bangunan! Hempit, hempit jangan bagi dia terlepas.” Jerit salah seorang lelaki itu. Mungkin dia ketua kerana dia yang memberi arahan kepada dua lelaki lagi.

Anjing kurap itu terasak ke dinding bangunan. Di kelilingnya tiga orang lelaki yang sedang bersedia untuk menghulur tali tas yang akan menjerut lehernya, dan seterusnya membawa dia ke bilik kurungan. Bilik kurungan yang menempat banyak anjing-anjing yang sekurapnya.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing kurap menjelirkan lidahnya. Mungkin ingin melakukan sesuatu. Matanya tajam merenung silih berganti ketiga-tiga lelaki yang sedang mengepungnya. Tali tas itu sedang bersedia bila-bila masa sahaja menjerut lehernya.

“Jaga-jaga kamu berdua, anjing yang tersepit ni bahaya. Ia akan bertindak tanpa berfikir. Jaga-jaga, anjing ni boleh mencederakan kita. Air liurnya tu punya virus yang boleh membunuh! Jaga-jaga!” Jerit ketua member peringatan.

Satu balingan tali ke atas kepala si anjing tersasar. Si anjing sempat mengelak ke belakang. Datang lagi satu balingan hampir berjaya menjerat lehernya. Ia sempat mengelak.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing nekad, Ia melompat menerkam ke arah si ketua. Sempat si ketua menolak terkaman si anjing dengan menampan dengan tangannya. Hujung kayu tas itu terkena mata si anjing.

Si anjing jatuh terguling. Dia segera bangun dalam kesakitan sempat melarikan diri ke arah jalanraya. Sebuah motosikal yang kebetulan lalu di situ tidak dapat mengelak. Anjing itu dilanggar, lalu terpelanting ke arah jalan. Penunggang motosikal tercampak ke longkang. Si anjing mengelupur. Lidahnya terjelir. Ada darah merah pekat yang mengalir deras dari kepalanya. Kakinya terlipat, mungkin patah.

”Woof! Woof! Woof!”

”Woof! Woof!”

”Woof!”

Senyap. Tiada lagi pergerakan. Tiada lagi denyutan. Hanya ada darah merah yang mengalir dari kepala si anjing, membasahi jalan. Nafas si anjing terhenti.

Aku perlahan bergerak menuju ka arah tubuh seekor anjing yang tidak lagi bergerak. Aku hampiri. Aku lihat keadaan anjing kurap ini begitu menyayatkan hati.  Segera tubuh anjing kututup dengan helaian akhbar yang belum habis ku baca. Darah merah masih mengalir dari bawah kertas akhbar itu. Kasihan!

Aku segera kembali ke bengkel kereta. Melihat kalau-kalau kereta tua aku itu telah siap diperbaiki. Masih lagi belum siap diperbaiki.

Di luar bengkel masih ada lagi beberapa ekor anjing kurap yang sedang berkeliaran.

”Woof! Woof! Woof!”


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini