rss

Cukup mengertikah dia tentang perasaan ini sewaktu dia dengan wajah selamba sahaja membeli tiket sehala itu?

***

Cukup mengertikah dia tentang perasaan ini sewaktu kali pertama aku melihatnya. Kemungkinan besarnya adalah tidak. Dia memang selalu tidak peka pada hebatnya perasaan-perasaan yang mendatang padaku setiap kali aku berhadapan dengannya. Separuh daripada masa itu, dia tidak sedar pun tentang adanya aku. Memanglah rupa parasku memang tiada apa yang lebihnya untuk dibandingkan dengan himpunan orang ramai di sini.

Ya. Di sinilah. Pertama kali aku melabuhkan mata pada tubuh itu. Di stesen inilah. Pada mulanya, hanya detak-detik kasut tiga incinya saja yang kedengaran bergema di segenap ruang stesen itu. Tapi entah kenapa, walau pun detak-detik bunyi kasut itu sama sahaja seperti bunyi kasut-kasut lain yang aku dengar saban pagi, aku seperti tertarik untuk mengikut rimanya. Dan sebaik sahaja bunyi detapan itu berhenti, aku menjeling, menoleh ke arah kaunter untuk melihat tuan punya bunyi-bunyian yang padaku, bukan biasa itu.

Seorang perempuan, itu memang tidak syak lagi. Dan dari pandangan belakang ini aku dapat menilai bahawa citarasa perempuan ini cukup bagus. Segala yang dipakainya, walau pun entahkan mahal entahkan tidak, cukup padan dengan dirinya. Kain lembut warna pastel menyelimuti badannya tidak lebih tidak kurang. Dan kasut yang berbunyi-bunyian dari tadi itu menampakkan hujung-hujung jari kakinya yang elok terjaga. Comel. Ayahku selalu berpesan, kalau mahu menilai kecantikan seorang perempuan, tengok saja pada kakinya. Kerana mereka walaupun selalu menghias muka, sering terlupa perihal bahagian tubuh yang jauh berkawan dengan tanah itu.

Sejurus kemudian pekerja di kaunter itu memulangkan baki dan aku segera mengalihkan pandangan, takut tertangkap pula berlaku tidak sopan. Dan detak-detik kasut itu menyambung lagunya, berhenti tidak sampai lima ela dariku dan melabuhkan punggungnya. Aku pun memberanikan diri mencuri pandang.

Sungguh, percaya tidak jika aku katakan puteri kayangan mengadakan lawatan ke bumi hari itu. Sejujurnya, aku langsung tidak akan terkejut jika dia menoleh ke arahku dan memperkenalkan diri seperti ini, "Salam perkenalan. Saya seorang bidadari." Tapi sayangnya, dia tidak memperkenalkan diri, mahupun menoleh. Jadi tinggallah aku sendiri mencuri-curi pandang. Menghargai halus telus putih kulitnya, hidungnya yang antara mancung dan tidak serta alis keningnya yang elok terbentuk. Aku terperasan yang tiada sedikit pun pembetulan atau pewarna tambahan pada wajahnya. Malah bibirnya yang langsung bogel tak berwarna itu membuatkan aku terpaku lebih lama setiap kali aku menoleh ke arahnya.

Ketika itu jugalah aku membuat keputusan. Jarang betul aku membuat keputusan secepat ini. Selalunya, untuk makan tengah hari pun aku memerlukan masa yang lama untuk berfikir. Tapi pagi itu, sekelip mata sahaja keputusan itu jatuh ke ribaku. Dan keputusannya adalah... aku harus memiliki perempuan ini.

\'Hahaha,\' gelak aku sendirian di dalam hati. Sesedap rasaku sahaja untuk mengambil keputusan yang sangat cliche itu tanpa meminta izin dari dia. Tetapi seperti tanah liat yang mengeras bawah panahan sinar matahari, keazamanku pun turut mengeras dengan keputusan itu. Lalu aku pun terus memputarkan otak benakku dan merancang langkah, untuk aku miliki bidadari ini.

Aku, yang biasanya lemau saban pagi, tak semena-mena menjadi begitu aktif dalam ruang waktu itu. Sambil meratah-ratah harum baunya yang membunuh konsentrasiku setiap seminit, aku mula merangka taktik penyeranganku. Entah bagaimanalah aku dapat berkenalan dengan bidadari ini. Mengenangkan kebarangkalian itu yang sangat rendah dan hampir tiada, aku menjadi semakin bersemangat pula. Terbalik betul. Maka aku pun terus memenuhkan setiap inci pembuluh darah dalam otakku dengan cecair merah itu dan mengorek-ngorek dindingnya, mencari idea.

Langkah pertamaku adalah dengan membuang semua taktik-taktik lama yang dah habis reput dalam kitab memikat kepunyaanku. Taktik reput nombor satu : "Saya macam pernah nampak awaklah dulu. Kita pernah jumpa ke?" Dan buat kesekian kalinya aku menatap wajah itu. Aku terlampau yakin yang aku memang tak pernah terjumpa dengannya. Jikalau ada, masakan boleh aku terlupa wajah bidadari. Memang tak boleh pakai taktik itu. Taktik reput nombor dua : "Boleh saya tanya sekarang pukul berapa ye?" Aku merenung jam tanganku yang mukanya lebih besar daripada duit syiling 50 sen. Inilah kali pertama aku menyesal mengenakan jam yang harganya ratusan ringgit itu. Aih. Taktik reput nombor tiga : "Awak dah makan?" Jari runcingnya yang sibuk menyuap Twisties dan bibir bogelnya yang sibuk mengunyah itu tentu sekali akan membuatkan aku kelihatan seperti orang bodoh kalau bertanya.

Setelah sepuluh minit menyelak-nyelak lapisan ingatan, aku masih tidak jumpa satu strategi yang mungkin berkesan untuk mendekati wanita cantik di sebelahku ini. Dan mataku pula makin asyik mengerling jam dan juga landasan stesen itu. Gerabak-gerabak panjang itu akan tiba bila-bila masa sahaja. Aku tidak mahu kehilangan peluang ini. Entah kenapa jantungku pun turut bekerja lebih laju lagi. Renik-renik air masin yang muncul di dahiku entahkan memang ada di situ atau hanya bayanganku. Dalam tempoh kecemasan dan masa yang semakin beredar itu, sempat juga aku menoleh ke arahnya sekali lagi. Eh. Dah hilang.

Aku terkedu di situ. Takkanlah bidadari dah pulang ke kayangan. Takkanlah semua hanya mimpi mamaiku pagi-pagi ini. Dalam kecelaruanku sendiri, aku menangkap ekor kain pastel yang hilang di sebalik pintu tandas. Owh... ke tandas. Huh? Ke tandas? Amboi... Cik akak itu. Tak sedar kah gerabak-gerabak itu akan tiba sebentar lagi? Itulah. Bukan penumpang tetap seperti aku ini. Dan aku terus-terusan menatap pintu tandas itu yang sudah tak ternampak lagi kesan kain pastel tadi. Berbelah bahagi antara kejar dan tidak. Impian dan tanggungjawab.

Seperti yang aku katakan tadi, hari ini keputusan turun macam hujan. Kejap-kejapan menimpa kepalaku. Kali ini kaki dan hati bergerak lebih laju daripada fikiran sedarku. Sedar-sedar, pintu tandas itu jauhnya sudah dua inci sahaja dari hujung hidungku. Aku menelan air liur sebelum menolak pintu itu. Dari hujung pintu itu aku melihat dia sedang khusyuk membasuh tangan, tunduk membengkokkan badannya untukku. Aku masih lagi terpaku di pintu bila dia mengangkat muka dan meleretkan senyuman. Senyuman itu seperti menghempaskan aku yang terawang-awang balik ke dunia realiti. Tanpa membalas, aku terus meluru masuk ke kotak tandas yang terdekat.

"Hei pengecut!" satu suara kecil di dalam kepalaku menyergah. Aku hanya mampu menggeleng-geleng menidakkan sambil terus menatap lantai tandas itu, "Pengecut!" suara itu terngiang lagi, "Tadi kau yang nak sangat. Pergilah tegur kalau berani."

"Pengecut!"

Tiba-tiba aku rasa tercabar dengan provokasi suara kecil itu.

"Pengecut!"

Aku menggigit bibir dan mengepalkan tangan, menguatkan semula azam yang kendur sebentar tadi.

"Pengecut!"

Aku menghela nafas panjang dua tiga kali dan mengibas-ngibas tangan, macamlah itu dapat menghalau sisa-sisa suara kecil itu. Dan dengan harapan baru, aku melangkah keluar. Nasib baik. Dia masih di situ, di depan singki. Entahlah memperbetulkan apa lagi, ,semuanya elok sahaja pada pandanganku. Aku melangkah menuju ke singki yang selang satu daripadanya dan membasahkan tangan. Mendengarkan bunyi air itu tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu. Dalam kekalutan aku melawan gementar tadi, lupa pula tentang kesempurnaan lakonanku. Mesti perempuan ini pelik sungguh bila tak ada bunyi langsung keluar dari kotak tandasku.

Ah! Aku menolak fikiran itu jauh-jauh. Entah-entah dia tidak perasan akan aku pun dalam kesibukannya melayan diri. Siapalah aku, kan. Tak apalah. Aku nekad. Di hujung hari ini, siapa aku atau siapa dia tak akan menjadi persoalan lagi bagi kami berdua.

"Lambat kan."

Aku tersentak seperti disimbah air sejuk bila kenyataan pendek dan kasual itu dilontar, acuh tak acuh sahaja padaku. Aku terkebil-kebil memandang mukanya. Betul kah dia sedang berbicara denganku? Aku? Dia tergelak kecil memandang kelakuanku. Mungkin aku kelihatan sangat lucu... dan bodoh.

"Lambat sangat kan, tren tu. Saya tak tahan tunggu." Dia memperbetulkan ayatnya. Kali ini pintu peluang yang luas terbuka aku peluk kejap-kejap.

"Ak... ah. Lambat. Saya pun dah penat tunggu."

Dia berpaling semula menghadap cermin dan mengeluh berat. Alamak! Itu saja hasil perbualan ini? Aku pun ikut berpaling semula ke cermin sambil itu sibuk memerah otak untuk meneruskan kata dengan bidadari aku ini.

"Awak nak ke mana?" aku mencuba.

"Ke tengah kota. Cari orang," balasnya dengan tokok tambah yang tak perlu aku minta. Aku yang memang dah siap sedia menipu terus sahaja mengaku hala tujuku adalah selepas stesennya. Padahal bukan. Saja suka-suka. Dapatlah aku luangkan lebih masa dengan dia. Dan saat itu juga, air muka orang atasanku muncul di cermin tandas itu, mencekak pinggang dengan misai yang tergerak-gerak sendiri, tanda beliau amat marah. Dia menjegilkan mata kepadaku yang bakal teramat lambat. Aku sudah tidak peduli.

Dari sepotong masa itu juga, sekali lagi aku yakin benar dia akan jadi milikku. Kemesraannya menyambut bualanku. Lenggok badannya mendengarkanku. Senyum tawanya ketawa bersamaku... dan kadang-kadang mengetawakanku. Aku boleh bersumpah yang jiwa kami sudah pun berpimpinan tangan apabila aku melangkah keluar dari tandas itu dengannya.

Aku yang sudah sedia maklum akan berlalunya gerabak-gerabak yang kami tunggu dari tadi hanya tersenyum melihat dia mencemikkan muka melihat ruang menunggu yang terus kosong. Aku cuba menolak tuahku lagi dengan menepuk belakangnya lembut, memujuk. Satu getaran yang tidak pernah aku rasa menampar kuat perasaanku. Tatkala itu, dia pun melirikkan matanya, menangkap pandanganku, seperti faham maksud getaran itu.

Masa menunggu putaran gerabak-gerabak itu sekali lagi membuatkan aku seperti kenal erti syurga. Terawang-awang. Tak percaya. Dari ucapan pertama, sehingga perbualan yang tak bertepi, sehingga gerabak itu pun tiba, sehingga berhimpit-himpit dikelilingi orang asing (aku merenung tajam saja kulit-kulit mereka yang menyentuh bidadariku) dan sehinggalah lambaiannya apabila berlalu dan hilang dari tubir mataku. Syurga itu tetap tak mahu pergi walau pun wajah orang atasanku kali ini sudah betul-betul di depanku, masih mencekak pinggang dan menggerakkan misai. Aku tidak kisah. Kerana aku percaya aku akan selalu ada seorang bidadari yang memujuk. Dan esok aku akan berjumpa dengannya lagi.

***

Cukup mengertikah dia tentang perasaan ini sewaktu dia dengan wajah selamba sahaja membeli tiket sehala, hanya sekali itu? Tentunya tidak.

Berhari-hari aku menunggu, berpagi petang. Dia tidak pernah kembali, tak pernah ada. Hanya aku yang menjadi penunggu setia, membeli tiket. Mungkin benar puteri kayangan mengadakan lawatan ke bumi. Tapi hanya unntuk hari itu sahaja. Sejujurnya semenjak dia, ,aku tidak pernah memandang pada mana-mana wanita lain. Aku berputus asa terus pada kewujudan yang dinamakan hawa. Biarlah aku berselingkuh pada sifat asalku. Biar kan aku jadi normal semula.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini