rss

BUNYI enjin motosikal jenama Yamaha terasa begitu membingitkan pada sesiapa yang mendengar tapi tidak pada Azhari. Baginya, bunyi bising motosikal buruk milik abahnya itu begitu merdu didengar. Bahkan hidup seharian rasa tidak sempurna bila tidak mendengar bunyi motosikal itu.  Azhari yang berada di tingkat atas rumah yang sedang menonton cerita kartun popular ‘Upin & Ipin’ segera turun ke dapur. Pantas Azhari berlari ke muka pintu, menyambut kepulangan abahnya.

“Wah, abah bawa balik pisang!” jerit Azhari kesukaan.

Pak Jenol tersenyum melihat wajah girang anaknya. Peluh yang merenik di dahi diseka dengan jemari kasarnya. Penat berkebun sebentar tadi hilang serta-merta melihat Azhari yang girang menyambutnya di muka pintu.

“Jom, masuk. Kakak kamu mana?” soal Pak Jenol.

“Kakak ke rumah Mak Siah. Ada kenduri,” jawab Azhari.

Kerusi di meja makan itu ditarik. Pak Jenol melabuhkan punggungnya di situ, melepaskan penat. Pisang nipah yang diambil dari kebun diletakkan di atas para. Boleh juga dibuat gorengan petang nanti.

“Ari dah makan?”

“Belum. Abah tentu penat. Kejap ya,” ujar Azhari lalu bergegas membuka pintu peti ais lalu mengeluarkan botol plastik berisi air sejuk.

Gelas yang terletak di rak berhampiran sinki dicapai. Mencurah laju air di dalam botol itu masuk ke dalam gelas. Lantas, gelas tadi diserahkan kepada abahnya. Pak Jenol menyambut dengan senyuman. Rambut anaknya itu dielus lembut. Inilah buah hati pengarang jantungnya. Peninggalan arwah isteri tercinta. Dia hanya dikurniakan sepasang cahaya mata. Seorang perempuan yang berumur tujuh belas tahun dan seorang lelaki yang baru masuk darjah satu.

“Eh, Ari nak sambung tengok Upin dan Ipin. Kejap lagi kita makan sama ya abah,” ujar Azhari.

Pak Jenol mengangukkan kepalanya tanda bersetuju. Azhari berlari anak mendaki anak tangga ke tingkat atas rumah. Di luar, mentari hangat berbahang. Angin pula terasa malas bertiup. Air sejuk di dalam gelas diteguk rakus. Hilang dahaganya. Pak Jenol baru teringat dia masih belum memberi anak-anak keli di kolam belakang rumah makan. Ayam direban sudah mula berteriak minta diisi perutnya. Lantas, Pak Jenol berlalu keluar, meneruskan kerjanya yang tertangguh itu.

*  *  *  *  *

“KENDURI apa kat rumah Mak Siah kamu tu?” tanya Pak Jenol sewaktu mereka anak-beranak sedang duduk menikmati makan malam.

“Esok, cucu Mak Siah nak cukur jambul. Abah jangan lupa datang pula. Lepas Zohor,” jawab Kamilah.

“Insyaallah...” balas Pak Jenol.

Di atas meja, terhidang sambal keli dan sup sayur berserta sedikit ikan masin dan ulam petai. Azhari tidak bersuara sewaktu makan. Ikan keli masak sambal memang kegemarannya. Dia hanya membiarkan abah dan kakaknya berbual sesama mereka.

“Er... abah...” ujar Kamilah.

“Kenapa?”

“Cikgu dah tanya tentang yuran peperiksaan Ila,” beritahu Kamilah membuatkan Pak Jenol tersedak.

Segera dia meneguk gelas berisi air masak di sebelahnya. Kamilah berasa kesal kerana menerbitkan isu itu  sewaktu mereka sedang makan. Dia tahu, abahnya sedang berusaha mencari duit bagi menampung persekolahan dia dan adiknya itu. Namun, desakan dari guru kelasnya terasa begitu merimaskan. Setiap kali masuk ke kelas, itulah yang diminta oleh gurunya. Sudah berbuih mulut menerangkan bahawa dia akan membayar yuran itu hujung bulan nanti. Abah sudah memberitahu yang dia akan dapat upah menoreh getang di ladang Pak Karim hujung bulan nanti. Duit upah itu cukup untuk membayar yuran peperiksaannya.

“Cikgu Ila nak cepat ke?” soal Pak Jenol.

“Tak juga. Ila dah cakap hujung bulan nanti Ila bayar tapi cikgu tu tak faham bahasa agaknya. Geram juga Ila,” rungut Kamilah.

“Hmm... esok abah cuba bincang dengan Pak Karim kalau dia boleh dahulukan upah abah tu,” jawab Pak Jenol, membuahkan gembira di wajah Kamilah.

“Terima kasih abah,” ucap Kamilah.

“Dah, makanlah. Sejuk pula lauk tu nanti,” ujar Pak Jenol.

Azhari masih tidak berganjak dari mengunyah nasi berlaukan sambal keli itu. Pak Jenol masih belum membayar yuran persekolahan Azhari lagi. Kamilah harus diutamakan kerana dia akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini. Mujur Azhari masih kecil, masih tidak mengerti apa-apa lagi.

*  *  *  *  *

“LAMBAT hari ni Pak Jenol?” sapa Ramu, salah seorang penoreh di ladang getah milik Pak Karim, penghulu kampung Seri Pinang itu.

“Motor aku meragam Ramu. Biasalah, motor dah uzur, macam tuannya,” Pak Jenol cuba berjenaka pagi itu.

“Tukar saja motor yang baru. Habis cerita,” cadang Ramu.

“Bercakap memang mudah Ramu, tapi mana aku nak cari duit? Bil api, air lagi. Yuran sekolah budak-budak tu lagi,”

“Pak Jenol tak nak ke jualkan tanah di baruh tu? Dengar kata ada yang berminat nat beli tanah tu,” ujar Ramu lagi.

“Ish, itu tanah pusaka! Tak boleh diusik. Untuk anak-anak aku juga nanti. Hmm... tak apa Ramu, selagi motor tu masih boleh bergerak, aku pakai,” balas Pak Jenol.

Ramu tidak bertanya lagi. Dia meneruskan torehan. Matahari mula bersinar terang. Tidak lagi bersembunyi di balik awan yang berambal-ambalan di dada langit. Kata-kata Ramu tadi terngiang-ngiang di telinga Pak Jenol. Ikutkan hati memang dia teringin untuk memiliki motor yang baru. Namun, mengenangkan perihal anak-anak lebih penting, Pak Jenol harus menanam impiannya itu jauh di lubuk hati. Ah, selagi motosikal itu masih boleh bergerak, biarlah...

*  *  *  *  *

“ABAH mana Kak Ila?” tanya Azhari apabila tidak nampak kelibat abahnya sedangkan jarum jam tepat menunjuk ke nombor tiga.

Kebiasaan abahnya akan pulang untuk makan tengah hari tetapi hari ini tidak. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh abahnya itu.

“Abah ada urusan dengan Pak Karim. Kejap lagi baliklah tu,” jawab Kamilah sambil melenyek ubi kayu untuk dibuat lepat.

“Oh, bukan apa. Abah dah janji nak bawa adik ke pekan petang nanti. Takut abah lupa pula,” balas Azhari.

Kamilah mengukir senyum melihat telatah adiknya yang seorang itu. Dalam hati dia berdoa, semoga abahnya dapat upah pendahuluan untuk melunaskan yuran peperiksaannya.

“Kak Ila, tadi dekat sekolah cikgu suruh lukis benda yang paling adik suka,” Azhari memancing kakaknya untuk berbual, mungkin bosan menunggu kepulangan ayahnya.

“Iya? Adik lukis gambar apa?”

“Tekalah kak,” pinta Azhari.

“Patung Ultraman?”

“Salah. Teka lagi,”

“Hmm... TV?”

“Apalah Kak Ila ni. TV pula. Tekalah betul-betul,” Azhari mendesak.

“Ish, akak menyerah kalah. Susahlah nak teka,”

“Kak Ila ni memang tak kreatif betul,”

‘Hah? Aku dikatanya tak kreatif? Tahu ke si Azhari ni kreatif tu apa? Bukan main lagi mengata aku ya,’ Kamilah bermonolog di dalam hati.

“Kreatif tu apa dik?” duga  Kamilah.

“Kreatif tu maksudnya berfikir secara luar biasa. Macam nak lukis gambar rumah. Takkan nak lukis rumah je, mestilah ada langsir,  pokok bunga kat tepi rumah tu. Hai, takkan Kak Ila tak belajar kat sekolah kreatif tu apa?”

Terkedu Kamilah mendengar hujah yang dilemparkan oleh adiknya yang berumur tujuh tahun itu. Budak-budak sekarang, memang petah berkata-kata. Mengalahkan dia yang dah berumur 17 tahun.

“Hah, cakaplah adik lukis gambar apa?” tanya Kamilah semula, malas mahu terus membincangkan soal kekreatifan.

“Kejap ya. Ari pergi ambil lukisan Ari tu,” ujar Azhari lalu segera berlari anak mendaki anak tangga menuju ke biliknya di tingkat atas rumah papan dua tingkat itu.

Selang beberapa minit kemudian, Azhari sudah berada di hadapan Kamilah berserta dengan sekeping lukisan di tangannya.

“Nah, Ari lukis ni,” ujar Azhari seraya mengunjukkan kertas lukisan di tangan pada kakaknya.

Kamilah tergelak kecil melihat gambar yang tertera pada kertas lukisan adiknya itu. Inikah dia benda yang paling adiknya sukai? Sebuah motosikal.

“Cantiknya, pandai adik lukis. Kalau tunjuk kat abah mesti abah suka,” puji Kamilah.

“Tahu tak pe. Penat tau Ari lukis ni. Nanti bila dah besar Ari nak belikan abah motor macam Ari lukis ni,” bicara Azhari.

“Kenapa nak beli abah motor macam ni? Kan mahal?”

“Nanti bila Ari dah besar, dah kerja, tentu banyak duit,” keletah Azhari berkat-kata.
Kamilah mengukir senyum. Dia juga berharap agar taraf hidup keluarganya ini dapat diperbaiki dan yang penting, abahnya hidup bahagia...

*  *  *  *  *

“NI duit yurannya Ila. Esok, boleh serahkan pada cikgu,” ujar Pak Jenol lalu menghulurkan beberapa helai wang kertas yang bergulung kemas kepada anak perempuannya itu.

Kamilah menyambutnya dengan penuh syukur. Akhirnya, dia tidak akan lagi mendengar bebelan guru kelasnya yang tidak bertimbang rasa itu. Azhari leka bermain dengan patung Ultraman dan beberapa buah patung kecil beraneka bentuk di ruang tamu itu.

“Apa kata Pak Karim abah?”tanya Kamilah, ingin tahu.

“Dia tak kisah asalkan abah selesaikan kerja. Ari, pergi bersiap. Kata nak ikut abah ke pekan,” ujar Pak Jenol.

Segera Azhari menghentikan aktivitinya lalu melompat menjerit kesukaan. Sudah agak lama dia tidak ke pekan. Sebenarnya dia hanya ingin bersama-sama dengan abahnya, menaiki motosikal yang selama ini menjadi peneman setia abahnya itu ke mana-mana. Azhari suka apabila deru angin menampar wajahnya ketika membonceng motosikal. Satu perasaan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Kalau boleh, Azhari tidak mahu turun dari motosikal apabila sudah menaikinya.

Kamilah yang sedang melipat pakaian menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tahu keterujaan adiknya yang seorang itu. Agaknya, bila sudah dewasa dan tahu menunggang motosikal, bagaimanalah keadaan adiknya itu. Beberapa minit kemudian Azhari keluar dari bilik, lengkap dengan t-shirt biru berbelang putih dan seluar pendek paras lutut. Rambutnya yang pendek disikat kemas.

“Abah, Ari dah siap!” beritahu Azhari.

“Abah keluar sekejap ya. Ila nak kirim apa-apa?” tanya Pak Jenol pada anak perempuannya.

“Tak ada apa abah. Hati-hati bawa motor tu,” balas Kamilah.

“Insyaallah...” ujar Pak Jenol lalu segera mendapatkan Azhari yang sudah setia menanti di sebelah motosikal buruk itu.

*  *  *  *  *

PULANG dari pekan, Azhari bergegas naik ke bilik. Sebentar tadi dia terlupa untuk menunjukkan lukisan yang dibuat di sekolah pagi tadi. Di dalam bilik, dia tercari-cari lukisan motosikal yang dilukisnya. Dari atas katil, dia beralih ke belakang almari. Dari bawah katil, dia beralih ke beg sekolah. Habis barang-barang dalam beg sekolahnya dipunggah namun lukisan yang dicari tetap tidak ketemu. Ke mana perginya lukisan itu? Azhari duduk di atas katil sambil berfikir. Seingatnya, sebelum ke pekan, dia ada menunjukkan lukisan itu pada kakaknya. Ya! Pasti kakaknya tahu di mana lukisan itu berada. Segera di keluar dari bilik, berlari anak ke tingkat bawah.

“Ari, apa lari-lari ni? Nanti jatuh!” tegur Kamilah apabila melihat adiknya menuruni anak tangga dengan pantas.

“Kak Ila! Kak Ila nampak tak lukisan Ari tadi?” tanya Azhari tanpa mempedulikan amarah kakaknya tadi.

“Lukisan motor tu?” tanya Kamilah, sekadar untuk kepastian.

“Ha’ah, nampak tak? Nampak tak?” Azhari bertanya tidak sabar.

“Ada. Akak letak kat sebelah TV,” beritahu Kamilah.

Sekali lagi Azhari berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Kamilah hanya menggelengkan kepala. Kalau tersadung, baru tahu, rungut Kamilah.

“Abah! Abah!” teriak Azhari sambil turun ke tingkat bawah sekali lagi.

“Ari! Kan akak dah cakap jangan lari dalam rumah! Jatuh nanti!” Kamilah tidak dapat menahan marah lagi.

Azhari tersengih menampakkan beberapa batang giginya yang rongak. Kertas lukisan di tangan dipegang rapi.

“Abah mana kak?”

“Abah dah keluar,” jawab Kamilah, masih dalam marah.

“Aik? Baru je kita orang balik dari pekan, abah dah keluar semula? Ala...” Azhari bersuara hampa.

“Kenapa ni Ari?”

“Ari baru nak tunjuk kat abah lukisan Ari ni,” jelas Azhari.

“La... akak ingat apalah tadi. Kejap lagi abah baliklah tu. Ari pergi mandi dulu. Akak ada buat lepat pisang ni. Kejap lagi kita makan sama-sama,”

“Tak nak! Ari nak tunggu abah!” bantah Azhari.

“Pergi mandi dulu! Kejap lagi abah balik, Ari tunjuklah lukisan tu,” pujuk Kamilah.

“Tak nak!”

“Sejak bila Ari jadi degil ni? Akak kata pergi mandi, pergi!”

“Tak nak!” bentak Azhari lalu segera berlari ke luar rumah.

Kamilah yang melihat menjengilkan matanya. Kenapa hari ini degil benar adiknya yang seorang itu? Selalunya mudah sahaja dia menyuruh adiknya itu mandi. Azhari seorang budak yang mendengar kata. Entah kenapa hari ini telinga adiknya itu dipekakan, tidak mahu mendengar arahannya. Tanpa berlengah, Kamilah meninggalkan lepat yang sedang direbusnya di atas dapur. Dia berlari mengejar adiknya. Sesekali kalau dipiat telinga adiknya itu bagus juga. Biar dia mendengar kata.

“Ari! Jangan lari! Mari sini! Akak kata pergi mandi. Kenapa degil ni?” teriak Kamilah.
Azhari ketawa besar memandang kakaknya yang terkedek-kedek mengejarnya. Mereka saling kejar-mengejar di keliling rumah.

“Ari! Tunggu! Jangan lari!” teriak Kamilah lagi dalam nafas yang semakin pendek.

Akhirnya dia terduduk di atas bangku kayu di bawah pokok rambutan berhampiran dengan jalan raya. Kamilah melepaskan penat di situ. Tercungap-cungap dia. Pantas betul adiknya berlari bagai lipas kudung. Azhari yang melihat kakak sedang berehat di bawah pokok rambutan itu segera ke sana. Di tangannya, kertas lukisan tadi masih utuh dalam genggaman.

“Yahoo!!! Kakak kalah! Kakak kalah! Kakak tak dapat kejar Ari,” ejek Azhari sambil berlari sekejap ke kiri, sekejap ke kanan di hadapan kakaknya.

Tiba-tiba satu bunyi dentuman kuat kedengaran menarik perhatian mereka dua beradik. Sebuah lori berhenti di atas jalan di hadapan rumah mereka. Ada sebuah motosikal yang terperosok di bawah lori berkenaan.

“Ari, tunggu sini. Akak pergi tengok kejap,” ujar Kamilah.

Orang ramai mula berpusu-pusu datang ke tempat kejadian. Riak wajah masing-masing jelas ingin tahu tentang kemalangan itu. Kamilah mencelah-celah di sebalik mereka yang berkerumun. Ada seseorang menolaknya menyebabkan Kamilah terdorong ke depan. Jelas motosikal yang berada di bawah lori itu hancur renyuk. Tunggu! Motosikal itu serasa pernah dilihat! Ya, tidak salah lagi. Mata Kamilah meliar ke sekeliling. Kepingan nombor plat motosikal rona hitam itu menarik pandangan matanya. NW 1919. Masih elok tidak berkecai. Tangan Kamilah mula menggigil.

“Kak Ila!!!” jerit Azhari menyebabkan Kamilah berpaling, mencari suara adiknya.

Tidak berapa jauh dari situ, ada sebuah lagi kumpulan kecil penduduk kampung. Kamilah terdengar suara adiknya memanggil namanya lagi. Pantas Kamilah berlari ke sana, menolak mereka yang menghalang tanpa mempedulikan mata yang memandang.

“Kak Ila!!!” jerit Azhari lagi.

Kaki Kamilah bagai dipaku ke lantai bumi. Semangatnya terasa terbang melayang. Sekujur tubuh yang berlumuran darah di depan matanya begitu menyayat hati. Benarkah? Benarkah apa yang dilihat oleh matanya saat ini?

“Abah!!!” teriak Kamilah sebelum rebah terjelepok ke tanah.

*  *  *  *  *

LUKISAN di tangan dipandang lesu. Untuk apa ditatap lukisan itu lagi, dia sendiri tidak mengerti. Lukisan yang seharusnya ditatap oleh orang yang disayangi namun sudah tiada lagi di muka bumi ini. Perlahan-lahan lukisan itu dilipat kemas lalu diletakkan di sisi. Azhari memandang kosong persekitaran ruang tamu rumahnya itu. Penduduk kampung datang dan pergi. Kakaknya kelihatan sibuk melayan tetamu. Seolah-olah di rumahnya sedang mengadakan kenduri. Ya, memang ada. Kenduri arwah bagi arwah abahnya yang telah pergi menyahut seruan Ilahi seminggu yang lalu.

Azhari masih ingat, keadaan abahnya yang terbujur kaku sewaktu ambulans datang membawa abahnya ke hospital. Azhari masih ingat, riak wajah kakaknya apabila diberitahu abahnya sudah tiada lagi di dunia ini. Azhari masih ingat, tubuh abahnya yang dibalut kain putih. Azhari masih ingat, saat mayat abahnya dikambus dengan tanah. Semuanya masih kuat berlegar-legar di ruang fikiran Azhari. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dia seakan bermimpi. Mimpi ngeri yang membuatkannya ingin segera bangun dari  tidur.

Namun Azhari tahu, walau berapa banyak kali dia tidur dan bangun, realiti itu tetap harus diterima. Abahnya sudah pergi meninggalkan mereka adik-beradik. Mujur masih ada Mak Su Dibah yang sanggup menjaga mereka. Azhari tidak kisah semua itu. Dia dikecam rindu. Dia hanya ingin mendengar. Walau sekali cukuplah. Azhari rindu. Rindu pada deruman enjin motosikal buruk abahnya yang entah bila akan menampar telinganya lagi...

TAMAT

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini