Emak mertua saya
pernah bercerita kisah Mak Munah, satu-satu adiknya yang lari dari rumah kerana
enggan berkahwin dengan lelaki pilihan atuk. Sehari sebelum majlis pertunangan
Mak Munah akan dilangsungkan, dia menghilangkan diri. Ada orang kampung yang terlihat
Mak Munah bersama beg pakaian menaiki sebuah kereta putih menuju arah bandar.
Enam bulan selepas itu, atuk mendapat khabar yang Mak Munah telah berkahwin
dengan lelaki pilihannya di sempadan Siam. Selepas hampir lima belas tahun
akhirnya Mak Munah pulang juga ke rumah atuk bersama tiga orang anak, itu pun
selepas suami Mak Munah mati dalam satu kemalangan jalanraya.
Walaupun masih
marah dengan perbuatan Mak Munah, atuk tetap mengizinkan Mak Munah tinggal di
sebuah rumah kayu di atas tanahnya seluas suku ekar di hujung kampung dan
menorah getah di kebun getah atuk yang seluas dua ekar. Di situlah Mak Munah
tinggal sambil membesarkan anak-anaknya.
Sebaik atuk
meninggal dunia, emak mertua saya mula menuntut kembali tanah yang diduduki
oleh mak Munah. Dari situlah bermula perbalahan di antara mak mertua saya
dengan Mak Munah, berebutkan tanah yang seluas suku ekar itu. Malah Mak Munah
tidak lagi dibenarkan menoreh di kebun getah peninggalan atuk. Perbalahan ini
berterusan sehinggalah Mak Munah pula meninggal dunia.
Tanah yang
diduduki oleh Leman inilah yang dituntut oleh keluarga isteri saya terutama
emak mertua saya yang begitu bersungguh-sungguh. Perbalahan antara keluarga
isteri saya dengan keluarga Leman pasal tanah pusaka telah lama berlarut. Arwah
Mak Munah, ibu Leman menduduki tanah seluas suku ekar dari jumlah keseluruhan
tanah pusaka yang seluas enam ekar.
“Tanah yang kamu
duduk tu Leman, hak kami. Arwah atuk kamu dah wasiatkan semua tanah tu pada
aku.” Tegas emak mertua saya bila Leman masih berkeras untuk tidak keluar dari
tanah yang dipertikaikan itu.
*****
Masih saya ingat,
akhirnya untuk mengelak persengkatan yang telah menjadi bual mulut orang
kampung dari berterusan, perbalahan ini dibawa ke pengetahuan Tok Sidang.
Walaupun saya turut sama dalam perbincangan itu, sebagai menantu, saya hanya
mendiamkan diri tanpa masuk campur tangan.
“Arwah mak pun ada
hak ke atas tanah ni Mak Long. Ini tanah pusaka arwah atuk. Mesti dibahagikan
mengikut faraid.” Bantah Leman enggan mengalah kepada tuntutan mak mertua saya.
“Faraid apanya?
Emak kamu tu anak derhaka. Anak derhaka mana boleh tuntut harta ikut faraid.
Dia lari dari rumah untuk kahwin dengan lelaki yang atuk kamu tak suka! Atuk
kamu marah dengan perbuatan mak kamu. Faham!” Bentak mak mertua saya sambil
terbatuk-batuk.
“Minah, walau pun
tiada tertulis apa-apa dalam wasiat ayah kamu. Masa arwah ayah kamu nazak di
hospital, dia ada berpesan pada aku supaya satu ekar tanah ni diberikan kepada
Munah. Sekarang Munah cuma ambil suku ekar je Itu pun tanah yang hanya penuh
dengan pokok-pokok yang tidak memberi hasil. Manakala tanah yang mengandungi
pokok durian dan kebun getah tu semua diserahkan kepada kamu.” Sampuk Tok
Sidang yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“Suku ekar ke,
setengah ekar ke. Tanah yang Leman duduk sekarang ni tanah saya, Tok Sidang!”
Bantah emak mertua saya yang mula meninggikan suara.
“Aku cuma nak
tunaikan amanat arwah ayah kamu je!” Jawab Tok Sidang.
“Ah.! Tok Sidang
pun sama je, entah betul entah ke tidak. Bukan orang kampung ni tak tahu kisah
Tok Sidang yang tak jadi bertunang dengan arwah Munah. Pasal tu Tok Sidang tak
habis-habis nak membela arwah si Munah ni.” Balas emak mertua saya.
“Kenapa nak ungkit
kisah lama. Yang sudah tu sudahlah! Yang paling utama sekarang membahagikan
harta pusaka menurut panduan Al-Quran dan As-sunnah adalah suatu kewajipan
sebagai amanah daripada Allah. Kamu jangan nak buat hukum sendiri-sendiri. Ini
bukan perkara main-main Minah!” Jelas Tok Sidang seolah melepaskan geram.
Tok Sidang
mengeleng-gelengkan kepala seolah-olah kecewa dengan apa yang dikatakan oleh
emak mertua saya. Memang bukan rahsia kepada orang kampung, sewaktu muda
dahulu, arwah atuk ingin sangat menjodohkan Maki Munah dengan Tok Sidang yang
waktu itu belum lagi memegang jawatan Tok Sidang malangnya Mak Munah pula
enggan, kemudian lari dari rumah.
“Saya tak kira mak
long, apa jadi sekali pun saya tetap akan pertahankan tanah ni. Ini tanah arwah
emak saya. Siapa pun tak boleh halau saya keluar dari tanah ni. Teruk nanti
saya kerjakan!” Bentak Leman keras sambil keluar meninggalkan rumah Tok Sidang.
*****
Beberapa bulan
selepas itu emak mertua saya tiba-tiba jatuh sakit. Walau pun selalu berulang
alik ke hospital dan pelbagai jenis ubatan yang diberikan doktor dimakan, namun
kesihatan emak mertua saya tidak banyak berubah malah semakin merosot. Kerap
juga dia dimasukkan ke wad sampai berhari-hari lamanya.
“Emak tu kena
anaiya. Siapa lagi kalau bukan si Leman tu!” Dengus isteri saya.
Saya hanya
mendiamkan diri, malas melayan kerenah isteri. Beberapa kali kami bergaduh
pasal perkara ni. Sejak ibu mertua saya tiba-tiba jatuh sakit dan berulang kali
dimasukkan ke hospital, bukan isteri saya sahaja yang percaya emak mertua
terkena buatan orang, malah abang-abang dan kakak-kakak ipar saya yang lain
juga turut percaya begitu.
Berputus asa
dengan kesihatan emak mertua yang kian merosot, anak-anak mertua saya mula
memanggil beberapa orang bomoh untuk merawat emak mertua. Pelbagai kaedah
rawatan yang telah emak mertua saya lalui. Kena mandi air tanah kuburlah,
sembelih ayam hitam, pakai benang tujuh warna di pinggang dan macam perkara
yang tak masuk akal.
“Sudahlah tu, tak
baik tuduh si Leman macam tu. Banyakkan berdoa minta mak cepat sembuh. Itu yang
lebih afdal. Syaitan ini memang suka kalau kita bergaduh dan tuduh menuduh sesama
sendiri.” Balas Saya menenangkan isteri.
“Tuduh apanya!
Abang tak ingat tok bomoh yang datang ubat kat emak bulan lepas sendiri yang
cakap. Kata dia yang buatkan emak jadi sakit ni bukan orang lain. Orang dekat.
Kalau bukan si Leman tu siapa lagi!” Bentak isteri saya.
Saya terbayangkan
Leman, usianya hampir mencecah 25 tahun. kulitnya yang putih dengan susuk
tubuhnya yang sedikit gempal. Tutur katanya lembut tapi tegas. Leman anak
lelaki tunggal Mak Munah. Dia tinggal bersama dua lagi adik perempuannya di
rumah peninggalan arwah emaknya, Mak Munah.
Walaupun Leman dan
isteri saya sepupu tapi hubungan mereka agak renggang. Namun antara saya dan
Leman baik dan mesra juga. Sering kali apabila ke kampung isteri, kami akan
berjumpa. Kadang-kadang kami bersembang panjang di kedai kopi Wak Samad tepi
simpang jalan masuk ke kampung.
“Sumpah bang! Demi
Allah saya tak buat kerja-kerja tak elok tu pada mak long saya sendiri. Apa
sekali pun yang berlaku antara saya dengan mak long, dia tetap darah daging
saya.” Jelas Leman pada saya.
Saya Percayakan
Leman. Ilmu ugama yang dimiliki Leman tinggi. Selalu juga dia menganti Pak
Mohsin yang kerap uzur kebelakangan ini sebagai imam surau kampung itu. Malah
Leman cukup disenangi oleh orang kampung atas sikapnya yang ringan tulang
membantu orang kampung.
Saya mengingatkan
Leman bahawa syaitan telah menjadikan tanah pusaka sebagai alat untuk
menjadikan manusia saling bergaduh, memutuskan silaturrahim dan perhubungan
darah yang sepatutnya terikat utuh dan kukuh. Perebutan dan pergaduhan adik
beradik disebabkan oleh tanah pusaka sudah begitu sinonim dengan masyarakat
Melayu. Semuanya kerana harta. Talian persaudaraan menjadi buruk dan boleh
terputus kerana perselisihan dan pertengkaran mengenai siapa yang lebih berhak
terhadap harta dan tanah pusaka peninggalan orang-orang tua yang sudah pun
meninggal dunia.
“Insyaallah bang.
Saya ingat Nasihat bang. Setiap malam saya sering bersembahyang tahajud dan
isytikarah, meminta Allah menunjukan jalan yang benar. Tak lupa saya berdoa
meminta mak long cepat sembuh.” Ujar Leman perlahan.
*****
Tiga minggu
terlantar di hospital, akhirnya emak mertua saya mengehembuskan nafas
terakhirnya pada pagi Jumaat. Kata jururawat, emak mertua saya meninggal dalam
tidur. Tiada seorang ahli keluarga emak mertua saya yang berada di sampingnya
waktu dia meninggal.
Sepanjang di dalam
kereta sewaktu perjalanan pulang ke kampung, isteri saya tak henti-henti
menangis. Anak-anak yang seramai tiga orang hanya mendiamkan diri memahami
bahawa mereka telah kehilangan nenek mereka.
“Banyak-banyakkan
berdoa. Sedekahkan Al-Fatihah. Kurangkan menangis tu. Kata orang, mereka yang
mati pada hari Jumaat akan dijauhkan dari seksaan kubur.” Pujuk saya
menenangkan isteri.
“Ini mesti kerja
si Leman tu. Puaslah hati dia sekarang. Entah bomoh mana yang diupah untuk buat
mak macam tu sampai mak mati!” Bentak isteri saya sambil menangis teresak-esak.
“Sudah-sudahlah tu
menuduh si Leman. Emak tu kan dah tua, biasalah kalau ada penyakit. Doktor pun
dah sahkan kematian mak tu kerana penyakit asma.” Balas saya menenangkan
isteri.
Sebaik kami sampai
di kampung jenazah emak mertua telah selamat dimandikan dan dikapan oleh
orang-orang kampung. Jenazah emak terbaring kaku di ruang tamu. Sebaik semua
anak emak mertua saya pulang, jenazah mak mertua saya segera disembahyangkan.
Kami memutuskan mengusung sahaja jenazah emak mertua saya ke tanah perkuburan
yang hanya jaraknya lebih kurang 500 meter. Kerja mengusung jenazah emak
diserahkan kepada anak-anak lelaki, menantu lelaki dan cucu-cucu lelaki emak.
Saya antara yang memikul jenazah emak mertua saya.
Saya bagaikan
tidak percaya, dengan enam orang mengusung, jenazah emak mertua saya masih
terasa berat. Saya menjeling ke arah ipar-ipar yang sama-sama mengusung
jenazah, wajah mereka berkerut bagai memikul sesuatu yang amat berat.
Perjalanan terasa begitu jauh dengan usungan terasa kian memberat. Sepanjang
perjalanan, kami terpaksa silih berganti memikul usungan.
Sebaik jenazah
tiba di kawasan perkuburan, dua orang abang ipar telah bersedia berada di dalam
liang untuk menyambut jenazah emak mertua. Sebaik jenazah disambut dan mahu
diletakan di dalam liang lahat, keadaan tiba-tiba menjadi kecoh, dinding liang
lahat runtuh. Jenazah emak mertua saya terlepas dari pegangan tangan kedua
abang iparku lalu tergolek masuk ke liang lahat diikuti dengan tanah-tanah di
sekitar menimbusnya. Jenazah emak mertua saya tertimbus habis. Beberapa orang
yang berada di sekeliling turut jatuh termasuk ke dalam liang, Kedua-dua abang
ipar saya yang menunggu di dalam liang lahat turut tertimbus di paras pinggang.
Kedua orang ipar
saya segera ditarik keluar oleh orang-orang lain yang berada di sekeliling.
Leman yang tadinya tdak kelihatan tanpa lengah segera mencapai cangkul,
dituruti oleh beberapa orang lelaki lagi untuk mengali semula jenazah emak
mertua saya dari timbunan tanah.
“Dah mati pun
masih ada orang dendam pada emak.” Getus isteri saya perlahan menahan rasa
sedih dan geram apa lagi bila melihat orang ramai yang hadir mula
berbisik-bisik antara satu sama lain sambil pandangannya dilempat tepat ke arah
Leman.
“Tak payah gali
semula, kita kebumikan terus. Tanah lepas hujan memang lembut, apa lagi ramai
orang yang mengelilingi kubur tu. Itu hak dia. Selebihnya kita serahkan kepada
Allah Taala. Dia yang maha mengetahui.” Arah Pak Mohsen lembut. Kelihatan
beberapa titis air mata mengalir di pipinya.
Segera
disempurnakan kubur ibu mertua saya sama seperti kubur-kubur yang lain. Tanpa
lengah Pak Mohsen terus sahaja mengambil tempat dan membacakan talkin kemudian
diakhiri dengan satu doa yang cukup panjang.
“Cukup-cukuplah
menuduh si Leman tu. Abang harap Mar dan adik beradik yang lain ambil iktibar
dari semua petanda yang telah Allah pertunjukkan ini. Ingat lagi hadis nabi
yang menyatakan, sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun
sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke
tujuh lapis bumi. Tak berbaloi berebut tanah pusaka yang akhirnya membawa
petaka dan bala bencana serta seksa neraka. Biarlah kita rugi di dunia kerana
tidak mendapat warisan harta asalkan kita terselamat daripada seksa dan neraka
Allah Taala.” Balas saya perlahan sambil memandang tepat ke arah isteri saya.
Isteri saya mendiamkan
diri sambil mengesat air mata yang masih mengalir di pipinya. Saya mencapai
tangan isteri saya lalu mengiringnya ke kereta di mana anak-anak sedang
menanti. Tiba-tiba isteri saya berhenti kemudian berpaling ke arah Leman yang
masih berdoa di kubur ibu mertua saya.
“Bang, saya nak
jumpa Leman kejap. Saya nak minta maaf dengan Leman.” Ujar isteri saya
bersungguh-sungguh.
Saya
mengangguk sambil tersenyum bersyukur.