Bukan mudah membawa nama anak si kupu-kupu. Segala tohmahan dan cacian sudah sebati dengan alat pendengaran aku. Bukan susah pun menjadi anak si kupu-kupu, hanya diamkan diri maka senyaplah seluruh alam mentertawakan aku. Dan di sini, ingin ku kongsi kisah hidupku; anak si kupu-kupu malam.
***
Ayam jantan yang berkokok di belakang rumah mengejutkan kami. Kami bukan hanya aku dan mama. Kami adalah mereka yang merempat di sepanjang laluan keretapi. Berbumbungkan zink yang berkarat menanti saat dibawa angin ribut. Berlantaikan papan reput cuma bumi menjadi pendamping. Bunyi keretapi memang sudah sebati. Sekali berbunyi langsung tak terkesan. Beberapa kali ia melalui kawasan perumahan setinggan, gegaran umpama mesin mengurut Ogawa. Nyaman dan mendamaikan. Sebab itu bunyi kokokan ayam jantan peliharaan Cik Tim suatu bunyi yang asing sejak kebelakangan ini. Aku pun tak pasti atas sebab apa Cik Tim membela ayam tersebut. Mama masih menggeliat. Aku tarik gebar menutupi seluruh tubuh montok mama. Wajahnya masih terpalit mekap tebal tatarias dari tangannya sendiri. Aku tak peduli semua itu, yang aku peduli jam yang tergantung di dinding rumah kecil ini.
"Ah! Lewat lagi!" Pantas aku menarik tuala yang tersangkut di belakang pintu. Cepat-cepat aku bergerak ke rumah Cik Tim. Tak lupa untuk aku capai berus gigi, sabun dan juga beg yang tersangkut.
"Cik Tim! Oo... Cik Tim! Tak bangun lagi ke? Aku nak mandi ni. Dah lewat ni," pintu yang hampir tercabut menjadi sasaran tanganku. Aku dengar keriut pintu biliknya dibuka. Beginilah nasib, menumpang di tanah orang. Serba-serbi menumpang. Nasib baik bukan macam cerita P. Ramlee; satu kampung, satu tandas.
"Engkau ni tak payah pergi sekolahlah. Kacau aku nak tidur, tahu tak?" Cik Tim genyeh matanya yang sepet. Baju tidur berkain chiffon lembut menutupi tubuhnya yang tinggi lampai. Aku jadi gelihati setiap kali pandang dia. Nak kutuk tapi tak tergamak.
"Cik Tim, boleh tak lain kali kau jangan pakai baju tu lagi," laung aku dari bilik air.
"Kenapa? Kau tergoda ke, Shah? Tak sanggup, mak. Kena kejar dengan Jun nanti..." jerit Cik Tim. Aku geleng kepala. Jun, nama panggilan mama.
"Sakit matalah, nyah!" terus aku curahkan air yang sejuk ke badan. Selang beberapa minit, aku pantas bersiap untuk ke gedung ilmu.
"Cik Tim tolong tengokkan mama. Dia baru balik pukul 4.30 tadi. Aku rasa macam tak sempat nak balik. Mungkin lewat malam sikit baru aku balik. Kalau mama tanya, pandai-pandailah kau jawabkan, ya Cik Tim?" Aku pandang wajah Cik Tim yang masih lagi mamai. Cik Tim merenung aku dari atas ke bawah. Ada kalanya rasa tak selesa namun, aku tahu pandangan itu bukan bermaksud apa-apa. Dia cuma ingin mempersoalkan ketiadaan aku di sisi mama.
"Cik Tim, aku tak boleh nak beritahu mama. Aku tak nak dia marah," jelasku. Cik Tim angkat kening. Aku menggelengkan kepala.
"Sudahlah, Shah. Kau tahu, aku tahu, mama kau pun tahu... kalau dia tahulah. Kau bukan buat kerja salah. Kau cuma nak betulkan hidup mama kau. So, buat apa kau nak takut?" Cik Tim duduk bersimpuh di atas tilam lembik yang terhampar di lantai.
"Aku tak nak mama kecil hati. Itu saja.... Sudahlah, aku dah lewat. Ingat tau. Tengokkan mama." Pantas kaki aku melangkah keluar dari rumah kayu yang hampir condong.
***
Jalan gelap. Lorong berlumut. Angin tak sejuk. Rimas dan pedih hati yang menanggung. Namun, demi sebuah maruah, lorong sempit itu tetap aku tempuh. Atas nama sebuah cinta yang luhur, lumut-lumut itu tetap aku toreh. Mata yang memandang, disertakan dengan senyuman. Senyuman menggoda. Senyuman memikat. Senyuman itu umpama peluru sesat menembusi jantungku dan tak membenarkan aku hidup namun nyawa aku masih panjang. Terseksa. Senyuman durjana yang paling aku benci.
"Sekolah, Shah?" Aku angguk. Aku turut senyum sebenarnya. Walau aku benci senyuman mereka, namun mereka adalah manusia yang paling mulia yang aku kenal. Kerana mereka, aku masih hidup. Kerana senyuman mereka, mama masih ceria. Aku tidak mungkin lupa semua yang telah berlaku meski aku tidak pernah mengerti akan maksudnya.
"Jalan baik-baik, ya sayang. Belajar elok-elok. Bantu mama." Aku tahu pesanan mereka ikhlas dan aku terus mengangguk sambil tersenyum.
Sebaik sahaja jasadku melepasi segala hal yang tak sanggup aku lihat dan dengar lagi, cepat-cepat aku menuju ke perhentian bas yang terletak 500m dari kawasan tempat tinggal. Sekali lagi, aku menapak menuju ke tempat yang tinggi. Tebing curam setinggi 1.5m aku daki, meninggalkan kesan lumpur di seluar pada bahagian lutut. Nasib baik itu lumpur kering, maka senang untuk aku sapu. Beberapa orang pelajar dari sekolah yang sama dengan aku, menghampiri perhentian bas tersebut. Aku pandang mereka dari jauh. Terdetik di hati untuk menghampiri mereka namun, aku terpaksa batalkan niat. Aku harus sedar siapa diri ini. Aku patut tahu di mana bumi aku berpijak dan langit mana yang aku junjung. Jauh benar bezanya dengan mereka.
"Shah!"
Aku berpaling ke kanan. Pemilik suara yang melaungkan nama aku tiada di situ. Aku berpusing ke kiri, juga tiada.
"Shah!"
Aku berpusing ke belakang. Mama menghampiri dengan pakaian yang sama dipakainya malam tadi. Maknanya, sewaktu aku melangkah keluar dari kawasan kami, mama telah pun berjaya mengesan ketiadaan aku di rumah.
Cik Tim memang tak boleh diharaplah!
"Mama..." pantas aku berjalan ke arah mama. Oleh kerana terlalu laju dan tergesa-gesa, aku hampir tergelincir. Mujurlah ada pohon kecil untuk aku berpaut.
"Shah... balik cepat tau. Mama tak nak Shah keluar sampai lewat malam," pesan mama dari bawah. Mama tak jadi nak mendaki memandangkan aku berdiri di tepi tebing. Aku pandang ke arah jalan raya yang terbentang, takut sekiranya bas yang aku tunggu terlepas dari pandangan.
"Mama... Shah, pergi sekolah. Bukan main-main. Mama tak payah risau. Lepas sekolah, Shah terus balik," aku bohongi mama. Lepas sekolah, aku ada perkara yang perlu diselesaikan. Perkara yang menjadi rahsia aku. Hanya Cik Tim yang tahu. Itupun dia sendiri yang dapat tahu.
"Shah ingat mama tak tahu. Shah tak balik lepas sekolah. Shah ke mana? Shah jangan ingat, mama tak ada kat rumah, mama tak tahu ke mana Shah menghilang. Shah, tolonglah. Lepas sekolah terus balik. Mama nak Shah ada kat rumah...." Aku terus berpaling membelakangi mama sebaik sahaja bunyi enjin bas yang hampir reput menghampiri tempat aku berdiri.
"Mama, Shah pergi dulu. Shah tak janji..." dan aku terus berlalu meninggalkan mama yang masih merenung ke arah aku dengan sebuah harapan yang tak mungkin aku kotakan. Maafkan Shah, mama.
"Dah besar anak gajah pun, nak mak temankan ke sekolah. Buat malulah." Satu suara sumbang mengenyeh gegendang telinga aku. Aku pekakkan sahaja.
"Kau tahu tak mak dia kerja apa?" Berdengung dan panas cuping telinga aku.
"Mak dia tu...."
Ting! Maka, bas yang tunggu masa untuk dilupuskan berhenti di hadapan sekolah. Secara automatik, aku melangkah meninggalkan mereka yang seperti sengaja mahu menaikkan darah aku.
Kalau dah perempuan, tak ada kerja lain dah. Mengumpat, mengata.
***
Aku sedar tak ada manusia sempurna di dunia ini. Bagi aku, kesempurnaan itu terletak pada akal yang cemerlang dan hati yang ikhlas. Hidup seseorang itu sempurna apabila dia merasakan tiada cela dalam hidupnya.
Hidup aku mungkin tak sempurna pada pandangan orang lain. Tapi, untuk aku sendiri, sudah cukup sempurna. Tubuh badan yang sihat. Ada tempat tinggal-itu lebih baik daripada mama tinggalkan aku di tepi longkang. Makan pakai cukup - dan yang pasti bukan dari hasil 'kerja usaha' mama. Hati aku, insya Allah, Dia tidak gelapkan.
Aku bukan remaja yang berpelesaran. Aku masih belajar. Aku punya cita-cita. Aku ada harapan yang ingin aku sendiri tunaikan. Aku ada bintang yang ingin digapai bagi dihadiahkan buat mama. Aku seperti yang lain, malah mungkin aku lebih baik daripada yang punya hidup kononnya sempurna.
Seusai sekolah, aku bergegas ke kedai Pak Long Ajil. Di sana aku pastikan ada sesuatu yang boleh disebut sebagai kerja untuk aku lakukan bagi sesuap nasi. Bukan kerana mama mengabaikan makan minum aku, tapi kerana aku tidak sanggup gelapkan hati sendiri. Aku tahu, mama pun tidak sanggup menyuapkan aku dengan hasil ‘penat lelahnya'. Malah, banyak kali dia cuba ubah kerjaya lorong belakangnya kepada yang lebih baik meskipun hasilnya tidak semewah kerja jalanan itu. Tapi, semuanya sudah sebati. Aku sendiri tidak mampu mengubah kehidupan mama. Aku sahaja yang boleh ubah kehidupan aku sendiri.
"Mama minta maaf, sayang. Mama berdosa dengan Shah. Tapi, mama buntu. Tak ada orang nak ambil mama bekerja. Sejarah hidup mama terlalu gelap, hitam pekat sehinggakan mama tidak nampak cahaya yang sebenar. Mama tahu, Shah banyak mohon pada Tuhan. Shah selalu berdoa dalam sujud Shah agar pintu hati mama dibuka kepada kebenaran. Mungkin Tuhan belum mahu kabulkan permintaan Shah. Tapi, mama percaya. Tuhan dah tetapkan Shah menjadi anak yang soleh. Mama bangga dengan Shah." Itulah kata-kata mama apabila kali terakhir aku memujuknya untuk bertaubat.
Mungkin benar cakap mama, Tuhan belum mahu buka pintu hati mama. Cuma satu harapan ku padaMu Ya Tuhan. Jangan Kau tarik rohnya di waktu dia masih kotor. Sucikanlah dia. Cerahkan kembali hatinya agar aku dan dia boleh bertemu di syurga nanti.
"Pak Long, hari ni saya nak minta lebih sikit, boleh? Nak bayar yuran persatuan. Nanti Pak Long potonglah gaji saya macam biasa," aku segan hendak meminta begitu. Sudah acap kali.
Pak Long Ajil memandang aku seolah-olah aku baru sahaja mencuri biskut yang tamat tempoh. Cermin matanya dilurutkan ke bawah sedikit.
"Sampai bila Shah? Kau kerja di sini pun macam tak ada guna kalau gaji kau, Pak Long asyik potong saja. Takkanlah cikgu sekolah kau tak faham keadaan kau. Setakat dua tiga ringgit, mintalah dia orang tolong bayarkan," Pak Long Ajil bersuara. Aku tertunduk malu. Sungguh-sungguh aku malu. Mahu pinjam dengan Pak Long Ajil pun aku segan, apatah lagi hendak suruh cikgu yang tolong bayarkan. Mata aku terasa hangat.
"Aih... Pak Long bukannya apa Shah. Pak Long kasihankan kau. Kerja penat-penat untuk isi perut, tapi duit habis juga. Pinjam lagi," Pak Long Ajil terus memandang aku.
"Kalau tak boleh isi perut sekarang, nanti saya pasti akan kenyang juga."
"Kau ni," Pak Long Ajil diam sejenak. Tangannya mencapai kunci laci lalu dikeluarkan beg sandangnya yang berisi duit hasil jualan harian. Dihulurkan kertas not sepuluh.
"Terima kasih Pak Long."
***
Kotak-kotak kosong yang bersepah di bahagian belakang kedai runcik Pak Long Ajil aku buka dan susun elok-elok. Habuk yang memenuhi ruang berlumba-lumba untuk masuk ke rongga pernafasan. Lantas aku bangun berdiri tegak untuk bersin.
Aku cuba untuk bersin, tapi aku jadi sesak nafas. Aku mengurut dada. Mungkin campuran habuk dan haba panas di belakang kedai. Aku berjalan ke depan dan terlihat Cik Tim yang terkedek-kedek berlari ke kedai runcit Pak Long Ajil. Isyarat cemas terpancar di raut wajahnya. Berpeluh dan berdebu kotor.
"Shah! Shah!" Cik Tim termengah-mengah.
"Apahal ni Cik Tim? Kau tak kerja ke malam ni?" jam di dalam kedai menunjukkan tepat 9.30 malam. Selalunya, pada waktu-waktu begini, Cik Tim dan mama bersiap-siap untuk menjalankan tugasan harian di malam hari.
"Shah! Mama kau!"
Dap!
"Kenapa, Shah?" Pak Long Ajil keluar dari kedai. Aku gelengkan kepala sambil terus menanti kata-kata dari Cik Tim.
"Shah, mama kau!"
Dup! Dap!
"Cik Tim, boleh tak kau beritahu aku, kenapa dengan mama?" aku bersuara keras.
"Mama kau bunuh diri dekat landasan!" raungan Cik Tim yang nyaring langsung tidak kedengaran. Malam yang gelap menjadi likat dan terus padam segala lampu yang menyinari kehidupan aku selama ini. Aku dapat rasa tangan kasar Pak Long Ajil memangku aku tapi setakat itu saja. Aku pekak, aku bisu dan aku buta untuk satu masa yang panjang.
***
Bukan senang menjadi anak si kupu-kupu. Orang berbicara sekeliling menjadi lagu yang sungguh menyakitkan gegendang. Bukan susah juga sebenarnya menjadi anak si kupu-kupu, biarkan mereka. Tulikan telinga, butakan mata, kuncikan mulut. Hati hanya pada Yang Satu, jiwa hanya pada Yang Terutama. Kosong jiwa pemangkin segala kejahatan. Isilah jiwa agar penuh dengan cahaya abadi.
Buat anakku Shah yang mama sayangi selalu seluruh jiwa dan raga sepanjang hidup ini dan mama abadikan buat Shah seorang,
Maafkan di atas segala kesalahan dosa dan noda yang mama lakukan. Maafkan mama kerana melahirkan Shah ke dunia namun mengheret Shah ke lembah hina mama. Ampunkan mama yang tidak pernah mencari ruang untuk memperbaiki hidup kita. Sujud mama pada kaki Shah kerana menjadi anak yang paling baik, paling berjasa, paling istimewa dalam hidup mama. Shah adalah kurniaan yang terindah buat mama.
Anakku,
Mama tahu Shah senyap-senyap keluar bekerja untuk mengisi perut sendiri. Shah rahsiakan daripada mama kerana tidak mahu mama berkecil hati. Tidak sayang. Tidak pernah mama berkecil hati dengan apa jua tindakan Shah. Malah, mama bangga mempunyai anak seperti Shah.
Tapi mama juga malu. Malu dengan diri sendiri yang tidak pernah cuba memberikan yang terbaik buat anak mama yang seorang ini. Mama malu kerana menjerut Shah dalam kancah hidup mama yang penuh dengan debu-debu noda yang kotor, jijik, hamis dan meloyakan. Kerana malu dengan diri sendiri, mama tidak layak bergelar mama. Mama tidak layak untuk disayangi. Mama tidak layak untuk hidup pun!
Maafkan mama buat kali terakhir. Jangan tunggu mama di syurga kerana tempat mama bukan di situ.
Mama.