rss

‘ Mak…sakit mak,’ Athirah mengadu pada ibunya, Puan Jamilah. Anak gadis berusia 24 tahun terus merebahkan diri ke atas pangkuan Puan Jamilah yang sedang membelek buku masakan di ruang tamu.

  Puan Jamilah pantas mengalihkan buku yang terletak diriba. Kepala Athirah yang masih berbalut telekung, diusap perlahan. Dia faham apa yang sedang dialami oleh anak gadisnya.

  ‘ Kenapa nak?’ Puan Jamilah bertanya sekalipun naluri keibuannya faham benar akan gelodak yang melanda Athirah.

  Tubuh Athirah semakin kuat bergoyang. Jika tadi Athirah datang hanya dengan wajah yang sugul, kini esak-tangis pula menjadi pengiring. Puan Jamilah jadi risau. Tuhan, peliharalah Athirah, satu-satunya anak gadisnya.

  ‘ Dia, mak.’ Hanya itu yang terpacul daripada bibir Athirah. Lega sedikit hati Puan Jamilah. Risau kalau-kalau ada malapetaka lain yang menimpa anak gadis kesayangannya itu, yang sering diberi keutamaan, sesuai dengan namanya.

                                                   *     *     *

  Athirah merenung skrin yang kaku di atas meja. Waktu kerja masih berbaki sedangkan tanggungjawabnya untuk hari ini sudah dilunaskan. Timbul rasa malas, sesuatu yang sangat jarang berlaku.

  Sejak akhir-akhir ini, tidur Athirah sering terganggu. Bukan kerana makhluk halus tetapi dia sering diganggu bayangan seseorang. Seseorang yang dia sendiri tidak tahu namanya tetapi sukar untuk dilupakan.

  Bagaimana mungkin dia dapat melupakan wajah yang jernih dan bersih itu? Hampir mustahil untuk dia mengusir raut wajah yang begitu murah dengan senyuman. Bukan sehari dua Athirah melihat wajah itu, sudah hampir enam bulan. Athirah sering sekali terlihat kelibat lelaki itu di lobi pejabat dan juga kadang-kala di dalam monorail. Tetapi tidak sekalipun diberanikan dirinya untuk mengenali lelaki itu.

  ‘ Di dalam Islam tidak pernah diajar budaya bercinta sesama bukan muhrim. Tidak pernah disarankan amalan bertemu-janji tidak tentu hala,’ masih terdengar suara ayahnya, Tuan Fadhli yang menegur abang sulung Athirah bernama Johan. Waktu itu Athirah masih muda, belum pun mencapai 15 tahun.

  Johan meminta izin ayah untuk bertemu dengan seorang gadis yang dipanggil sebagai teman wanita. Tuan Fadhli terus sahaja menawarkan diri untuk berhubung dengan ahli keluarga gadis itu, mengenalkan dirinya siapa. Ayah tidak mahu kalau persahabatan atau perhubungan mereka mendatangkan aib pada keluarga.

  ‘ Bukan ayah tak benarkan kamu berkawan, Johan. Kamu ini seriuskah dengan dia?’ Tuan Fadhli cuba berbincang dengan Johan. Abangnya itu tersenyum.

  ‘ Ayah tak faham kalau kamu senyum. Beritahu ayah betul-betul,’ ujar ayah lembut.

  Dan perbualan yang singkat itulah yang membawa abang dan kakak iparnya, Zaharah, hingga ke jinjang pelamin, dalam jangka masa kurang daripada dua tahun. Sebaik sahaja Johan tamat pengajian, perhubungan kedua mereka diikat secara sah. Perhubungan yang tidak dirahsiakan daripada ibu bapa masing-masing dan sentiasa ditemani muhrim.

  Bagi Athirah, itulah yang begitu diimpikan. Dia tidak mahu alpa dan leka dalam perhubungan, biarlah diikat dengan sah sebegitu.

  Ayahnya bukanlah seorang imam. Bilal pun bukan. Tetapi Tuan Fadhli cukup tidak senang dengan amalan-amalan yang bukan-bukan seperti berpeleseran hingga larut malam dan pergaulan yang terlalu bebas antara bukan muhrim. Sedari kecil anak-anaknya sudah diajar supaya membataskan pergaulan, dimulakan dengan adik-beradik sendiri. Mereka tidak pernah diajar untuk tidur sebilik dan Athirah sendiri diajar supaya berpakaian sopan di depan saudara-saudara lelakinya. Tidak perlulah berjilbab, cukup kalau sopan. Itu sahaja yang Tuan Fadhli pinta.

  Pernah juga Aliff, abang Athirah yang kedua, cuba meminta kebenaran untuk keluar malam. Waktu itu Aliff sudah menjadi seorang pelajar universiti. Ayah tidak membantah cuma ayah pinta Aliff pulang sebelum jam 11.

  ‘ Tapi ayah…’

  Kata-kata Aliff mati di situ bila ayah berkata, ‘ Kalau kamu tidak risaukan diri kamu, tak mengapa, Aliff. Tapi fikirkanlah mak. Tak senang duduk emak dibuatnya kalau kamu balik lewat.’

  Syukur, abang-abangnya tidak pernah melawan yang lebih-lebih kata-kata ayah mereka. Athirah sudah mendapat contoh yang baik sedari kecil lagi.

  Tetapi Athirah cukup tidak senang duduk sekarang. Kalau boleh, dia tidak mahu hanyut dalam alam percintaan. Dia sudah melihat sendiri apakah akibat kalau diturutkan sangat rasa hati. Rakan sebiliknya melahirkan anak luar nikah di dalam tandas kolej mereka. Jiran sebelah bilik cuba untuk membunuh diri apabila kekasihnya mahu memutuskan hubungan. Salah seorang rakan sekelas semasa tahun pertama meninggal dunia, bunuh diri dengan meminum pencuci lantai.

  Itukah cinta? Itukah cinta yang direstui Tuhan, mahu kita berkorban segala-galanya? Athirah percaya sepenuh hati yang dia tidak perlu bergolok-gadai sehingga begitu sekali untuk bertemu cinta sejati. Kalau itulah yang perlu dilakukannya; membunuh diri dan hilang maruah, dia tidak rela.

  Betul, dia tidak semestinya begitu. Tetapi Athirah sedar yang dia bukan anak yang berusia 12 tahun lagi, dihantar dan diambil ayah setiap petang. Pergerakannya tidak lagi terbatas. Dia kini perlu menjaga diri sendiri dengan baik, berbekalkan kepercayaan yang diberikan oleh kedua ibu bapa. Sama sahaja, di universiti atau di usia yang begini, yang sudah memasuki alam pekerjaan. Dan dia sememangnya mahu mengelak daripada fitnah dunia ataupun sebarang perlakuan yang melanggar ajaran agama.

  Tetapi, mampukah dia?

  Ya Tuhan, peliharakanlah kehormatanku sebagai seorang wanita. Janganlah Kau duga dengan cubaan yang tidak mampu aku tanggung.

  Habis sahaja doa tersebut, Athirah meraup wajah. Beg tangan di atas meja diambil lalu disangkutkan ke bahu. Dia mahu pulang. Tanggungjawab di pejabat sudah selesai.

  Athirah menyusun langkah satu demi satu. Bukan tiada pertanyaan daripada kawan-kawan bila dia mahu menamatkan zaman anak dara. Jawapannya mudah, belum ada yang mahu masuk meminang.

  ‘ Dah kau tak cari. Kau bukannya tidak cantik,’ ujar Khatijah, teman ketika pengajian dulu.

  ‘ Kau nak suruh aku cari di mana, Cat? Kedai basikal?’ Athirah bertanya, cuba berlucu.

  ‘ Entah-entah, kau ni memilih sangat tak?’ sahut Siti Hajar, seorang lagi rakannya.

  Athirah cuma tersenyum ketika itu. Dia tidak perlu menjelaskan kepada kedua-dua rakannya itu, yang sudah bertunang, bahawa dia menyerahkan segala-galanya pada mak dan ayahnya. Dia lebih senang begitu. Kalau nak dibandingkan dengan ayah dan maknya, apalah sangat yang Athirah tahu tentang peribadi seorang lelaki.

  Itu cerita dua tahun lalu. Siti Hajar sudah putus tunang manakala Khatijah baru sahaja melahirkan seorang bayi lelaki yang cukup comel. Itulah, tiada siapa yang dapat meneka apa yang bakal terjadi. Athirah? Dia masih sendiri.

  Pintu lif tiba-tiba terbuka ketika Athirah asyik mengelamun. Kakinya melangkah terus ke dalam lif tetapi terhenti seketika apabila ada tubuh yang berdiri betul-betul di tengah lif. Jarang sekali itu terjadi, apatah lagi lif tidak punya penghuni lain. Athirah rasa terpanggil untuk mengetahui siapa yang berbuat begitu. Pandangannya diangkat untuk menatap wajah manusia di depannya.

  Bagai direntap jantung Athirah bila dilihat bahawa orang itu adalah lelaki yang selalu dilihatnya selama ini. Dan lelaki itu sedang tersenyum padanya. Athirah terus tertunduk malu. Jejaka itu melangkah lebih jauh ke dalam lif, memberi laluan kepada Athirah.

  ‘ Maaf,’ lelaki itu bersuara.

  ‘ Tidak mengapa,’ Athirah menjatuhkan pandangan pada kasut sendiri. Jantungnya menghentam kuat tulang rusuk, seakan-akan mahu melompat keluar. Tidak pernah Athirah berperasaan sebegitu.

  Mereka berdua bungkam. Athirah cuba menahan diri daripada memandang jejaka tersebut. Dia takut, takut sungguh. Dia tidak mahu memulakan sesuatu yang akan membuatkan dia menyesal seumur hayat. Dia tidak mahu melanggar prinsip sendiri.

  Pertemuan itu membuatkan Athirah semakin tidak keruan. Malam itu, dahinya sedikit panas. Sampai sahaja di rumah, Athirah mula bersin tidak berhenti.

  ‘ Athirah, hujan tidak ribut tidak, kamu demam selsema?’ tegur Tuan Fadhli ketika makan malam.

  Athirah tidak berjaya menjawab soalan tersebut apabila dia sekali lagi bersin.

  ‘ Air-cond sejuk sangat ni,’ celah Puan Jamilah.

  ‘ Maksu demam ye? Mari Amin tengokkan,’ anak buahnya, Amin yang berusia 6 tahun cuba membantu.

  ‘ Ha Amin, nak jadi doktor pula? Bukan kamu tukang masak ke?’ Tuan Fadhli mengusik cucunya yang sulung itu.

  ‘ Ala Atuk, itu kerja sambilan,’ Amin tersipu-sipu.

  ‘ Eh budak ni,’ semua di meja tertawa.

  Bijaknya Amin. Macam tu ke anak aku nanti? Athirah bertanya sendiri.

  Ish, ke situ pula aku ni.

  ‘ Aih. Tadi macam sakit sangat. Yang tersenyum-senyum ni kenapa Athirah?’ Itu suara Balqis, kakak iparnya yang seorang lagi.

  ‘ Mak, tak lama lagi la ni,’ tiba giliran Alif pula mengusik.

  Puan Jamilah memandang dengan renungan penuh makna. Pelik benar anak gadisnya yang seorang ini.

                                                                           *    *    *

  Usai solat isya’, Athirah merebahkan diri ke atas katil. Dia belum kebah lagi daripada kejutan yang terjadi petang tadi. Sudah enam bulan, tidak pernah sekalipun dia melihat lelaki itu di sekitar pejabat. Di ruang lobi mungkin tetapi tidak di dalam lif. Sungguh dia terperanjat.

   Kedengaran pintu bilik diketuk. Badan Athirah terasa berat tetapi digagahkan juga untuk bangun, takut-takut kalau yang mengetuk pintu itu salah seorang daripada anak buahnya.

  Wajah Puan Jamilah yang tersenyum, menunggu di balik daun pintu.

  ‘ Mak,’ segera Athirah memaut tangan Puan Jamilah. Kepala yang terasa berat, dilentokkan ke bahu emaknya.

  ‘ Athirah…’ sebaik sahaja duduk di katil, Athirah kembali merebahkan kepala ke pangkuan maknya.

  ‘ Mak, tolonglah Athirah mak. Tadi Athirah jumpa dia dalam lif,’ Athirah memang sangat manja dengan ibunya. Dan lebih-lebih lagi ketika perkara yang sedang dilalui sekarang, lagilah manja Athirah jadinya. Soal hati dan perasaan.

  ‘ Athirah, kalau berkawan kan tidak salah? Kenapa sampai begini jadinya?’ Puan Jamilah mengusap kepala anaknya penuh kasih-sayang. Sungguh dia bersyukur kepada Tuhan dikurniakan anak seperti Athirah. Sedikit pun kasih-sayangnya tidak berkurang kepada ibu bapa.

  Athirah bangkit dari pembaringan.

  ‘ Athirah takut mak. Sudah banyak benar contoh yang ada depan mata. Athirah takut kalau Athirah hanyut,’ air mata tidak henti-henti mengalir dari kolam air mata gadis itu, tidak ubah seperti empangan pecah.

  Puan Jamilah mula gelisah.

  ‘ Jadi, Athirah mahu mak buat apa?’

  ‘ Kahwinkan sahaja Athirah mak. Athirah percaya pilihan mak dan ayah adalah yang terbaik.’

  Bait-bait perkataan yang terkeluar daripada bibir Athirah kedengaran cukup tegas.

  ‘ Tapi Athirah… kamu sudah habis fikir?’

  Athirah cuma mengangguk. Sudah lama dia memintak petunjuk daripada Tuhan dan sudah berkali-kali juga hati kecil Athirah berbisik supaya urusan ini diserahkan sahaja kepada kedua orang tuanya.

  Puan Jamilah memeluk Athirah kejap. Naluri keibuannya berbisik yang Athirah memang sudah nekad, keputusan yang dibuat tidak akan mampu diubah. Entah mengapa, birai mata Puan Jamilah turut sama penuh dengan air jernih.

  Sesudah pelukan itu terlerai, dikucupnya dahi Athirah. Dan Athirah pula tersenyum, dadanya terasa lapang sekali. Kedamaian menyelinap perlahan tetapi pasti, membawakan satu macam rasa yang cukup enak.

  ‘ Dia cakap begitu?’ Tuan Fadhli bertanya pada isterinya minta kepastian. Aneh benar permintaan ini.

  Puan Jamilah hanya mampu menggangguk.

  Tuan Fadhli menanggalkan ketayap di kepala. Digaru kepala yang tidak gatal.

                                                                     *    *    *

    Perbualan antara Puan Jamilah dan Athirah sudah dua minggu berlalu. Sudah nampak perbezaan pada Athirah, dia tidak lagi sugul seperti selalu. Dan seperti sudah ditakdirkan, Athirah tidak lagi bertemu dengan lelaki tidal bernama yang selalu dilihat itu. Hatinya lega.

  Petang itu, Athirah pulang awal. Baru sahaja dikuaknya pintu, Amin meluru ke arah Athirah. Terperanjat Athirah dibuatnya kerana jarang benar Amin berkelakuan begitu.

  ‘ Hey Amin, kenapa ni?’ Athirah memegang bahu anak buahnya itu.

  ‘ Tadi ada orang datang, Maksu,’ Amin membuka bicara sambil terjengket-jengket. Amin seolah-olah begitu teruja.

  ‘ Ok…’

  ‘ Bila Amin tanya, ayah cakap itu kawan Maksu. Tapi atuk dengan nenek gelak-gelak je.’

  Aneh. Seingat Athirah, tiada rakan-rakan lelaki yang sampai dibawa pulang ke rumah.

  ‘ Atuk cakap, itu Paksu Amin.’

  Pegangan di bahu Amin terlepas. Athirah tersenyum. Alhamdulillah.

                                                                              *    *    *

    ‘ Gambar budak tu, ayah belum dapatkan lagi, Athirah,’ ujar Tuan Fadhli, sekembalinya beliau dari masjid.

   Athirah memalingkan wajah mengadap Tuan Fadhli. Dilihat wajah ayahnya itu sedikit berkerut. Risau barangkali kalau pilihannya ditolak.

  ‘ Ayah, kalau ayah rasa dia sesuai untuk Athirah, Athirah terima je.’

  ‘ Betul ni? Kamu yang nak meneruskan hidup dengan dia nanti,’ Tuan Fadhli mengambil tempat duduk di meja makan. Athirah berhenti di sudut meja.

  ‘ Kalau ayah dah berkenan dengan peribadi dia, Athirah terima.’

  Malam itu, Athirah tidur dengan begitu lena sekali. Tiada sedikit pun ragu atau risau yang singgah di dalam hati kerana menyerahkan keputusan pada ibu bapanya.

  Pagi-pagi lagi Athirah sudah terserempak dengan jejaka misteri itu. Lelaki itu tersenyum padanya. Athirah tersenyum sedikit, tidak mahu dianggap sombong. Mujur sahaja telefon Athirah berbunyi, tidaklah dia terpaksa berbual dengan lelaki tersebut.

  Tengahari pula, mereka terserempak di depan surau. Lelaki yang tidak diketahui namanya itu sedang memakai kasut. Tenang sungguh air mukanya.

 Bergayut rasa sayu di hati Athirah. Eloknya peribadi lelaki ini. Sudahlah rupanya elok, menjaga kewajipan sebagai seorang hamba Tuhan pula.

  Tetapi sudah terlewat, Athirah tidak boleh berpatah semula. Tidak ketika ini.

                                                                             *    *    *

  Sungguh hati Athirah berdebar-debar. Masakan tidak, hari ini dia akan bertemu buat kali pertama dengan bakal suami dan juga bakal mertuanya.

  ‘ Ish, Athirah buat apa kat sini? Biarlah Kak Long dengan mak kat dapur ni,’ kakak iparnya, Zaharah menghalau Athirah yang sibuk mengeluarkan pinggan mangkuk dari almari.

  ‘ Ala Athirah nak tolong sikit je ni.’

 ‘ Kan dah siap semua ni? Kamu bukan jaga bahagian ni. Kamu jaga bahagian ruang tamu,’ tegas kakak iparnya. Kalau sudah memang tauke kedai makan, bisik hati Athirah.

  Sudah lama rumah mereka tidak berseri sebegitu rupa. Lain benar susunan di dalam rumah ini. Bagaikan nak menyambut menantu pun ada juga. Mungkin sebab sudah lama tidak menyambut orang baru, beginilah.

  Ayah dan mak nampak begitu gembira sekali. Yalah, siapa yang tidak risau jika anak perempuan dalam jagaan masih belum bersuami sedangkan usia sudah makin meningkat.
 
  Athirah tersenyum, tangan pula rancak menepuk bantal sebelum diletakkan kembali ke atas sofa.

  ‘ Maksu, orang dah sampai!’ jerit Amin dari luar rumah.

  ‘ Assalamualaikum!’ terdengar laungan orang memberi salam.

  Athirah menjenguk keluar. Cepat-cepat dia beralih ke dapur.

  ‘ Mak, orang sana dah sampai,’ Athirah mencuit Puan Jamilah.

  ‘ Baik. Mak keluar dulu. Kamu tunggu sini,’ Puan Jamilah mengelap tangan yang basah.

  Athirah mula rasa gementar. Dia sudah hilang akal apa yang mahu dibuatnya kerana semuanya sudah tersedia. Cawan dan minuman hanya tinggal untuk dihantar keluar sahaja.

  Masa terasa berlalu dengan cukup pantas. Tahu-tahu sahaja, kakak iparnya sudah mencuit pinggang supaya dihantar dulang ke depan.

  ‘ Baca bismillah. Jalan tu elok-elok,’ Kak Longnya mengusik. Athirah sudah hilang kebolehan untuk memberi sebarang jawapan.

  Ruang tamu yang tadinya riuh dengan suara orang bercakap, jadi senyap sunyi sebaik sahaja bayang Athirah muncul. Semua mata tertumpu pada gadis itu, menjadikan dia cukup kekok. Mujur sahaja dulang yang penuh dengan barangan kaca itu selamat mendarat di atas meja.

  ‘ Inilah Athirah,’ Puan Jamilah bersuara. Hendak tak hendak, Athirah terpaksa mengangkat muka dan bersalaman dengan tetamu-tetamu di depannya.

  ‘ Ouh ini Athirah,’ sahut perempuan berbaju kurung biru di depannya. ‘ Lebih manis dari dalam gambar, ye bang?’

  Athirah berpaling pula pada lelaki berusia yang turut duduk di kerusi.

  ‘ Athirah, inilah Iskandar. Kenal-kenallah.’

  Mati-mati Athirah ingatkan yang datang cuma ibu bapa lelaki tersebut. Dan dia hampir menampar diri sendiri bila lihat lelaki yang sedang duduk di kerusi yang berada di sudut ruang tamu. Sungguh dia tidak percaya.

  ‘ Kita jumpa lagi,’ ujar lelaki itu sambil tersenyum. Athirah ingin tertawa.

  Athirah mengingatkan diri sendiri untuk tidak lupa sujud syukur pada Tuhan. Kuasa Tuhan menemukan mereka berdua. Dan Athirah tidak perlu risau lagi. Dia dan lelaki tidak bernama, yang kini sudah dikenalinya, InsyaAllah berada pada jalan yang betul.

1 comments:

  1. kalau citer ni disambung n then bagi konflik sikit ..gerenti jadi lebih menarik.. paatha lagi berintikan isalamik life..

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini