ALUNAN bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bergemersik di sekitar ruang bilik sederhana besar yang menghadap hutan kecil yang dipenuhi dengan rimbunan pohon-pohon maple yang sudah luruh daun-daunnya. Penuh tartil dan khusyuk Ida Laila membaca kitab suci yang mengandungi pelbagai hikmah dan teladan itu. Nada suaranya tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Cukup untuk telinganya menangkap bunyi suaranya sendiri.
Seketika kemudian, kedengaran pintu bilik ditolak, sedikit menganggu tumpuan Ida Laila. Segera dia menghabiskan ayat terakhir Suratul Baqarah lalu mengucup kitab suci itu penuh syahdu.
“Assalammualaikum,” tegur Ida Laila pada rakan sebiliknya yang sedang berbaring di atas katil.
“Hmm...” balas sahabatnya itu.
“Memberi salam itu sunat sedangkan menjawabnya wajib,” ujar Ida Laila masih dalam keadaan bertelekung.
“Waalaikummussalam...” acuh tak acuh sahaja sahabatnya itu menjawab.
“Kamu dari mana Intan? Sudah pagi baru pulang...” soal Ida Laila.
“Study...” jawab sahabatnya yang bernama Intan itu dengan malas.
“Study? Di mana? Dengan siapa?” Ida Laila bertanya lagi.
“Wei, kau boleh jangan banyak soal tak? Aku penat ni!” bentak Intan lantas mengambil bantal lalu menekup kepalanya.
Ida Laila menggeleng. Dia bangun lalu melangkah ke meja belajar dan meletakkan Al-Quran yang dibaca tadi di atas para yang dilekapkan pada dinding bercat putih itu. Telekung yang membaluti tubuh dibuka lalu digantung di penyidai bersama-sama dengan sejadah. Dia mengerling jam di dinding. Sudah pukul 07.15 minit pagi. Rakan sebiliknya itu dipandang sekilas. Intan Liyana. Sudah setahun menjadi rakan sebiliknya yang menuntut di Universiti Tokyo di Jepun ini. Masing-masing mengambil bidang kejuruteraan mekanikal dan berada di kelas yang sama.
Sewaktu perkenalan pertama mereka dahulu, Intan seorang gadis yang sangat peramah dan penuh bertenaga. Senang sekali dia berkawan dengan sahabat yang begitu bersemangat untuk belajar. Cuma sejak kebelakangan ini, sedikit-sebanyak sahabatnya itu berubah laku.
Dahulu, kepalanya sentiasa dilitupi dengan tudung, melindungi aurat dari terdedah. Namun kini, rambutnya yang panjang kehitaman itu meliuk-lintuk untuk ditatapi semua, lebih-lebih lagi yang bukan muhrim. Tambahan pula pakaiannya berubah sangat drastik. Dari baju kurung dan blaus lengan panjang, sudah bertukar menjadi skirt paras lutut dan baju lengan pendek. Kadang-kadang sengaja menampakkan bentuk tubuhnya yang bergetah itu.
Intan yang dikenalinya setahun dulu sangat berbeza dengan Intan yang ada di hadapan matanya sekarang. Intan kini tidak lagi segan silu menayangkan auratnya untuk tatapan bukan muhrim. Puas diselidik punca perubahan pada diri Intan namun Ida Laila tidak ketemu jawapan. Sebagai sahabat, apatah lagi seagama, sungguh dia risau akan perubahan pada diri Intan. Nasihat dan tegurannya tidak pernah diendahkan. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Sia-sia sahaja.
Tiba-tiba Intan bangkit dari baring. Dia mencapai beg sandangnya lalu mengeluarkan sesuatu. Hampir terkeluar biji mata Ida Laila melihat kotak rokok di tangan sahabatnya itu.
“Intan! Kamu kenapa?” soal Ida Laila.
“Apa?” Intan buat-buat tidak faham.
“Itu... Di tangan kamu. Bukankah rokok?”
“So?” ujar Intan sambil mengangkat kening.
“Intan, cukuplah! Jangan menyeksa diri kamu begini. Kamu sedar tak apa yang kamu sedang lakukan ini? Apa masalah kamu Intan? Ceritakan pada saya. Saya sudi mendengar...” pinta Ida Laila lalu melangkah ke katil Intan dan kemudian melabuhkan punggung di sebelah sahabatnya itu.
“Euuww, please! Aku mana ada masalah. Kau tu je yang tak tahu nak enjoy. Kau asyik terperap kat dalam bilik ni, apa yang kau dapat?” Intan bertanya pada Ida Laila.
“Kita datang ke sini untuk belajar Intan, bukan berseronok. Kamu sudah lupa tujuan kamu sebenar ke sini?”
“Belajar, belajar juga. Time enjoy, we enjoy... you should try hanging out with our classmates. Robby, William, Sandra... They all are marvelous!” ujar Intan lalu cuba menyalakan rokok dengan pemetik api di tangan namun segera dirampas oleh Ida Laila.
Intan membalas renungan tajam rakan sebiliknya itu. Hatinya dilanda hangat.
“Give it back to me, Ida!” desak Intan.
“Tidak! Saya tidak mahu lihat kamu begini lagi. Kamu tahu merokok itu memudaratkan bukan? Kamu itu perempuan Intan! Perempuan tidak seharusnya merokok,” tegas Ida Laila.
Intan tersengih mendengar bicara Ida Laila. Dia cuba mengambil pemetik api dari tangan sahabatnya itu namun Ida Laila mengenggam pemetik api tersebut penuh erat.
“Kau ni kenapa? Bukannya senang kita nak enjoy kat luar negara ni tau. No parents to control us, no teachers to guide us, everybody here live just to enjoy...” kata Intan.
Ida Laila melepaskan keluhan, berat.
“Walau tiada ibu bapa yang memantau, tiada cikgu yang peduli, tetapi setiap apa yang kita lakukan itu, bukankah terang-terangan dilihat oleh Allah Yang Maha Esa? Kamu lupa? Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mengetahui,” bidas Ida Laila.
Intan mencebik. Ida Laila memang naif orangnya. Kolot dan ketinggalan zaman. Asyik dengan buku-buku pelajaran dan kitab Al-Quran. Tidak pandai bersosial pula tu. Tidak pernah walau sekali dia melihat Ida Laila berbual-bual dengan rakan lelaki di dalam kelas. Rata-rata rakan lelaki tidak berani mendekati Ida Laila. Sombong sangat kata mereka.
Kalaulah rakan sebiliknya itu mengerti betapa bahagianya hidup di rantau orang ini, pasti dia akan menyesal kerana tidak menggunakan peluang yang ada sebaiknya.
“Sudah Intan! Saya tidak mahu lihat kamu merokok lagi. Pemetik api ini saya simpan!” ujar Ida Laila lalu bangun meninggalkan sahabatnya itu dengan hati yang rawan.
* * * * *
“ASSALAMMUALAIKUM,”
Ida Laila tersentak sedikit. Dia menjawab salam yang diberi lalu matanya bertentang dengan seorang pemuda berkemeja kotak-kotak yang memakai cermin mata berbingkai putih itu.
“Jauh termenung?” soal Fahmi.
Ida Laila mengukir senyum. Sedekah pada pemuda yang berumur dua tahun lebih tua darinya itu, pelajar tahun ketiga jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik. Perpustakaan agak lengang dengan pengunjung petang itu. Tidak ramai pelajar yang singgah ke sini pada waktu petang kerana mereka lebih gemar beristirehat di bilik atau beriadah.
Bagi Ida Laila, lebih baik dia menggunakan peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran. Di luar angin musim luruh sentiasa berhembus dingin, membawa khabar dari musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Apa yang merunsingkan awak?” soal Fahimi lagi.
“Tiada apa-apa. Maaf, saya harus pulang,” ujar Ida Laila lalu bingkas bangun.
Dia tahu tidak manis kelihatan berdua-duaan dengan Fahmi. Walaupun lelaki itu kelihatan baik namun dia sebenarnya tidak dapat menahan debar ketika berhadapan dengan lelaki bermata bundar itu. Entah mengapa ada resah yang menjalar di segenap urat nadinya.
“Awak masih tak dapat terima cinta saya?” tanya Fahmi tiba-tiba sekaligus menghentikan langkah Ida Laila.
“Bila kamu sudah benar-benar mencintai Allah dan rasul-NYA, kemudian mencintai ibu dan ayah kamu, keluarga kamu, barulah selepas itu baki cinta kamu diserahkan pada saya dan saya akan menerimanya dengan rela hati, Insyaallah...” balas Ida Laila lalu melangkah pergi.
* * * * *
KERDIPAN bintang di langit begitu mempersonakan seperti hamparan permata yang berkilauan. Maha Suci Allah, Tuhan yang mencipta semesta alam. Ida Laila berdiri di jendela, cuba mengira butir-butir bintang yang bergelantungan di dada langit. Dia tahu walau mengambil masa seumur hidupnya pun, dia tidak akan habis mengira butiran bintang tersebut. Begitulah hebatnya kuasa Yang Maha Pencipta.
Perlahan-lahan, Ida Laila dibawa mengimbau kenangan silam, sekitar setengah tahun yang lepas sewaktu perkenalannya dengan pemuda bernama Mohd Fahmi di jamuan Hari Raya Aidilfitri di bangunan kedutaan Malaysia di Tokyo itu. Pemuda itu yang menegurnya dahulu, mengenalkan diri dan mereka berhubung sehingga kini.
Tidak dinafikan, ada kasih yang mula bertunas di taman jiwa. Ada sayang yang berputik di sudut kalbu. Cuma, Ida Laila sedikit bimbang. Dia takut perasaan cinta itu akan membawanya hanyut ke dalam lautan nafsu yang penuh godaan. Nauzubillah, mohon dijauhkan. Dia sentiasa berdoa pada Yang Maha Esa, moga dilindungi dirinya dari segala macam bentuk godaan.
Bunyi tolakan pintu mengejutkan Ida Laila. Wajah kusut Intan menyapa pandangannya. Tanpa salam, gadis itu terus menerpa ke arah Ida Laila membuatkan gadis itu sedikit kaget. Intan teresak-esak penuh hiba.
“Masyaallah... kenapa ni Intan? Kenapa kamu menangis begini?” tanya Ida Laila, gusar.
“Tolong aku Ida! Tolong aku!” pinta Intan.
“Ya, saya tolong tapi kamu kenapa?”
Intan terus menangis. Ida Laila cuba mententeramkan sahabatnya itu. Diminta Intan mengucap dan bertenang. Diusap belakang gadis itu lembut. Seketika kemudian, Intan mula tenteram namun masih ada esakan kedengaran.
“Sekarang beritahu saya, apa yang sebenarnya berlaku?” tanya Ida Laila pada Intan.
“A... aku... mengandung Ida...” terang Intan.
“Astaghfirullah... Kamu biar benar Intan?”
Intan menganguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Ida Laila tadi. Rakan sebiliknya itu menekup mulut serasa tidak percaya.
“Siapa bapanya Intan? Siapa?”
“Ed... Edward...” takut-takut Intan bersuara.
Mendengar nama itu Ida Laila terasa semangatnya terbang melayang. Intan sudah terlalu jauh melangkah dalam dunia ciptaannya sendiri. Intan sudah tewas pada gelodak nafsu. Apa yang akan berlaku seterusnya pada gadis ini? Jika di Malaysia, bolehlah dibawa ke rumah keluarga tetapi ini di luar negara. Sangat sukar untuk diuruskan.
“Apa yang aku patut buat Ida?”
“Pertama sekali kamu harus bertaubat Intan. Memohon ampun pada Allah atas dosa yang telah kamu lakukan. Zina itu termasuk dalam salah satu dosa besar. Bertaubatlah... Allah itu Maha penerima taubat...” jawab Ida Laila.
“Ta... tapi Edward suruh aku gugurkan anak ini sementara masih janin lagi,” ujar Intan.
Ida Laila mengusap dadanya lantas menyebut nama Tuhan yang satu. Sudah tidak waraskah Intan? Sudahlah melakukan zina, dan kali ini hendak membunuh pula? Ya Allah... Kau berilah petunjuk pada sahabat saya ini.
“Bawa mengucap Intan. Bayi itu tidak bersalah. Tergamak kamu mahu membunuhnya? Dia anak kamu Intan, anak kamu! Anak yang akan memanggil kamu ibu, yang akan menghiasi hidup kamu dengan gelak-tawa, yang akan melindungi kamu di hari tua. Jangan jadi manusia yang kejam Intan!” bicara Ida Laila.
“Apa yang aku nak buat Ida? Apa yang aku nak buat? Macam mana kalau pihak universiti tahu?”
“Saya akan cuba tolong kamu Intan. Jangan risau. Insyaallah, berdoalah pada Allah, moga diberikan petunjuk untuk keluar dari masalah ini,” ujar Ida Laila sambil menggenggam tangan Intan, erat.
* * * * *
“SAYA dengar Intan sudah dihantar pulang ke Malaysia?” tegur Fahmi.
“Assalammualaikum,”
“Waalaikummussalam. Maaf, saya tidak sengaja,” ujar Fahmi lalu mengambil tempat di hadapan Ida Laila.
Perpustakaan universiti kala itu agak penuh dengan para pelajar. Waktu tengah hari begini memang sesuai menghabiskan masa di perpustakaan kerana di luar, suhu semakin menurun. Musim sejuk yang akan datang nampaknya dilalui Ida Laila seorang diri. Setelah berjumpa dengan kaunselor universiti dan atas keputusan dekan fakulti, Intan diberhentikan dari universiti dan dihantar pulang ke Malaysia. Walau keputusan itu mengecewakan Intan, dia harus redha. Segala yang terjadi adalah berpunca dari kesilapan dirinya sendiri yang terlalu mengikut telunjuk nafsu.
“Iya, dia sudah dihantar pulang dua hari lepas,” jawab Ida Laila lalu memandang rakan sekelas, Mikao yang tekun mencatat nota dari buku rujukan di hadapannya.
“Kenapa?” soal Fahmi, ingin tahu.
“Masalah peribadi,” ringkas jawapan Ida Laila.
Masing-masing diam selepas itu. Ida Laila kembali semula memberi tumpuan pada buku di hadapannya. Fahmi pula seperti cacing kepanasan lagaknya. Semacam ada sesuatu yang ingin disuarakan tetapi gugup.
“Kamu kenapa Fahmi?” soal Ida Laila apabila menyedari pemuda itu masih belum berganjak dari duduknya.
“Er... ini...” ujar Fahmi lalu mengeluarkan sebuah bungkusan dari beg kecil yang dibawanya lalu bungkusan itu diserahkan pada gadis bertudung labuh rona coklat cair itu.
“Apa ini?”
“Bukalah di bilik nanti. Saya minta diri dulu. Assalammualaikum,” ucap Fahmi lalu bangun dan melangkah pergi.
“Waalaikummussalam,” jawab Ida Laila seraya hatinya berdetak curiga.
* * * * *
PENUH cermat bungkusan kecil pemberian Fahmi itu dibuka. Ida Laila terpana melihat sebuah kotak biru di tangan kanannya. Dibuka kotak itu perlahan-lahan dan terlopong dia dengan kilauan sebentuk cincin yang amat cantik. Subhanallah... apa maksudnya ini Fahmi? Bersama-sama kotak cincin itu disertakan sepucuk surat. Dengan debar Ida Laila membaca setiap patah kata yang dicoret di atas kertas putih itu.
Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Ida Laila,
Maaf jika kedatangan surat ini menganggu awak. Apatah lagi dengan pemberian saya itu. Terus-terang, sejak kali pertama bertemu, saya sudah jatuh hati pada awak. Sentiasa teringatkan awak dan berdebar bila berhampiran dengan awak. Ya, pada mulanya, saya kira ini adalah nafsu kerana saya terpikat pada kecantikan awak.
Namun, mengenali awak hampir setahun ini, awak berjaya membuka mata saya bahawa cinta itu adalah perasan yang suci. Perlu keikhlasan dan bersifat melindungi. Bukannya kerana kecantikan rupa paras atau kekayaan seseorang.
Awak mengajar saya agar menyintai Allah dan Rasul-NYA, serta ibu bapa dan keluarga. Insyaallah, saya sedang belajar menyintai semua itu. Dan cinta yang selebihnya berbaki dalam hati ini, saya serahkan semuanya pada awak. Justeru, cincin itu adalah tanda saya ingin melamar awak menjadi suri dalam hidup saya.
Saya tidak mahu ikatan cinta ini dicemar dengan nafsu. Saya mahu ikatan cinta ini halal di sisi Islam. Oleh itu, jika awak juga menyimpan rasa yang sama, sarungkanlah cincin ini di jari manis. Jika hasrat hati saya ini ditolak, saya faham. Mungkin saya tidak sesuai dengan gadis yang peribadinya begitu baik sekali. Mungkin saya tidak layak buat gadis yang hatinya suci sekali.
Saya mengerti, sesungguhnya cinta kepada Allah itu adalah sebaik-baik cinta. Cinta yang sejati. Dan perasaan cinta saya ini untuk awak, adalah kerana DIA. Sekian.
Salam hormat,
Muhammad Fahmi
Ida Laila membuang pandang ke arah jendela. Daun-daun maple yang gugur memenuhi lantai bumi. Warna daunnya yang kuning keemasan, sedikit mengusik hati Ida Laila. Kemudian, dialihkan pandangan ke lazuardi yang membiru. Ada wajah Fahmi terlakar di situ.
‘Ya Allah, jika pemuda itu ditakdirkan untuk saya, berilah saya petunjuk-MU,’ detik hati Ida Laila.
Serentak dengan itu terdengar namanya dilaung. Pantas Ida Laila mencari empunya suara dan matanya tertancap pada Fahmi yang sedang melambai tangan ke arahnya dari kejauhan bersama-sama kumpulan pelajar lelaki lain yang baru tiba untuk membersihkan rimbunan dedaun maple kering yang luruh di padang yang terletak di belakang hostel tempat dia menginap. Semilir petang yang bertiup membuatkan beberapa helai dedaun maple luruh ke tanah, sama seperti rindu di hati yang sirna melihat wajah pemuda itu.
“Jika ini petunjuk-MU Ya Allah, saya redha...” ucap Ida Laila lalu membalas lambaian tangan Fahmi.
TAMAT