rss

Bukan aku tak nak balik kampung. Perasaan rindu kepada keluarga di kampung semakin mencengkam. Rasanya sudah mencecah lima bulan tak balik kampung. Sudah banyak kali mak tanya bila nak balik. Alasan aku sibuk, banyak ‘outstation’, hanya itu alasanku. Tetapi sebenarnya, aku berat hati nak balik. Tiap kali balik dari kampung, aku tertekan.

“Macam mana la ni, ada dah” mak memulakan bicara yang penuh bermakna.
“apa dia” aku sengaja buat-buat tak faham.
“Kawan la, ada dak” mak meneruskan hasrat pertanyaannya.
“Macam tu la jugak, tak dak” aku menjawab pertanyaan mak itu dengan selamba.
“Hang tu jual mahal sangat, cuba lembut sikit bila cakap dengan lelaki” mak sudah mula membebel, bebelan yang telah selalu aku dengar. Bebelan yang tak inginku dengar, tapi terpaksa juga mendengar, walaupun cubaku pekakkan telinga.
“Nak lembut macam mana, sat lagi orang kata gatai pulak” aku mula menjawab secara berseloroh, tapi perasaan geram dan marah mula bersarang di hati.
Pada pendengaran emak, aku berseloroh, tapi dihatiku mula menyelinap perasaan terhiris dengan persoalan yang tak pernah lekang dari bibir emak dan jiran-jiran.
“Hang kasaq sangat kot dengan lelaki, tu yang depa takut nak dekat…. Nak kata tak dak rupa, dak pula, badanpun elok ya, tak kurus, tak gemuk” emak terus membebel. Aku tahu maksud emak supaya aku cepat mendapat jodoh seperti orang lain. Dua orang adikku telahpun mendirikan rumah tangga.
Malahan adik perempuanku telahpun mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinannya itu. Nasibnya memang baik, bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan berharta. Adik lelaki pula sudah mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya. Mereka boleh dikatakan berjaya. Hanya aku sahaja yang masih tergapai-gapai mencari sesuatu yang tak pasti.
Aku kini telah mencecah usia 32 tahun. Angka yang menakutkan. Aku tak pernah menyangka bahawa akan mencecah usia setinggi ini dalam pencarian jodohku yang tak kunjung tiba. Anak dara tua atau ringkasnya ‘andartu’ adalah panggilan yang telah lazimku dengar. Cemuhan yang terpaksaku tanggung. Malahan, aku sering menjadi bahan usikan. Beberapa kali aku telah dilamar kawan sepejabat, tetapi berstatus suami orang. Bukan aku menolak poligami, tapiku sedar perasaan isteri yang tak ingin dimadu. Aku bukan mencari musuh, aku ingin hidup aman. Aku mungkin tidak sekuat sesetengah isteri kedua yang sanggup menerima segala cemuhan dan rintangan.
“Hang pakai dak minyak yang mak bagi tu” emak bertanya lagi. Emak berikhtiar mendapatkan minyak dari bomoh talib yang kononnya dapat membantuku cepat mendapat jodoh.
“Pakai…. tak jadi apa-apa pun” aku melafazkan ketidakpuasan hatiku tentang minyak yang dibekalkan padaku.
“Esok kita pi jumpa bomoh lain pulak, orang kata bomoh tu menjadi” emak mengemukakan cadangan dengan bersungguh-sungguh.
“Tak payah lagi la, minyak yang hari tu pun ada lagi” aku cuba menolak cadangan itu dengan alasan yang dirasakan munasabah.
Aku sebenarnya kurang mempercayai bomoh. Mungkin itu juga sebabnya, bomoh yang dikatakan handalpun, gagal melaksanakan hasrat yang diminta. Aku dah semakin lali dengan pertanyaan-pertanyaan yang diajukan. Itulah sebabnya hatiku semakin berat untuk balik kampung. Aku resah menghadapi semua persoalan itu. Hatiku makin sakit dengan setiap pertanyaan itu.
Di Kuala Lumpur ini, sekurang-kurangnya sukar juga emak nak bebelkan aku. Ada kalanya emak tetap bincangkan topik itu di telefon. Panas hatiku terpaksa ku tahan. Ada ketikanya, aku sengaja berseloroh.
“Kalau macam tu, mak lelong la kat pekan tu…. kalau untung ada la kot orang nak” emak hanya mampu ketawa, tapi ketawanya kedengaran sedih saja.
Apalah yang dapatku lakukan lagi atas nasib yang telah tersurat. Mungkin aku telah ditakdirkan begini untuk selama-lamanya.
Kadang kala aku pernah terfikir, orang selalu berkata ”setiap orang Allah ciptakan berpasang-pasangan, jadi setiap orang ada jodohnya”. Itulah kalimat yang sentiasa aku pegang tetapi kenapa ada orang yang tak kahwin hingga ke tua malah hingga ke akhir hayatnya. Adakah mungkin, jodohku telahpun mati. Apa yang ku fikirkan, rasanya ada logiknya.

******************************************************************************

Aku telah memasuki perkhidmatan kerajaan ketika berumur 22 tahun dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Diusia yang muda itu, aku tinggal menyewa bersama kawan-kawan di Kota Kuala Lumpur. Dan ketika itu jugalah, pertama kali dalam hidupku, telah menerima cinta dari seorang lelaki. Aku menerima lamaran cinta dari Shah walaupun hati terpaut kepada Zamri. Ketika itu, aku, Shah dan Zamri merupakan tiga orang kawan baik. Hubungan kami hanya sekadar kawan sepejabat. Biarpun aku telah menjalin hubungan istimewa dengan Shah, namun hubungan kami tetap seperti biasa di mata kawan-kawan sepejabat. Tidak ada seorangpun yang tahu hubungan kami. Namun begitu, dari hari ke hari, aku telah mula jatuh cinta kepada Shah. Tak tahu bagaimana perasaanku boleh berubah, mungkin juga kerana aku telah memberi kata persetujuan menerima Shah sebagai kekasih.
Dari hari ke hari, telah genap tiga tahun aku bekerja di Kuala Lumpur. Cinta yang ku pupuk dan ku bajai, ku sangkakan akan subur. Tapi panas yang ku sangkakan ke petang, rupanya lembayung menyeliputinya. Shah memberi kata pemutus untuk berpisah denganku. Aku bingung memikirkannya. Puasku tanya sebabnya, tapi tiada sebarang sebab yang diberikan.
“Kau carilah orang lain” Hanya itu sahaja kata-kata yang masih terpahat dibenakku. Aku mungkin kelihatan tabah di matanya, tidak menangis atau menunjukkan reaksi marah ketika mendengar ungkapan yang dilafazkan.
“Kenapa”, “apa sebabnya”, “jangan main-main” hanya itu sahaja yang terpacul di bibirku. Reaksi Shah benar-benar membuat hatiku terhiris. Dia berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga.
“Carilah orang lain” hanya itu yang di laungkannya dengan bersahaja. Aku benar-benar bingung, apa salahku, adakah Shah ada orang lain atau kerana aku tidak setaraf dengannya. Tapi mengapa, hanya setelah aku telah mula menyayanginya.
“Shah bukanlah lelaki yang baik” itulah kata-kata semangatku. Aku tetap bersyukur atas apa yang berlaku. Aku masih mampu menyembunyikan kekecewaan itu ketika di pejabat. Cuma sikapku sedikit berubah, tak banyak bercakap. Tambahan pula, tidak ada seorangpun yang mengetahui bahawa Shah kekasihku.
Namun begitu, kesedihan itu ku lampiaskan ketika berada di rumah, di samping kawan-kawan serumahku. Seingat aku, hampir 2 bulan aku menangisi perpisahan itu.
“Lina, kenapa engkau tak terima Shah tu. Dia baik, susah nak cari lelaki baik macam dia tu sekarang” kak Ana cuba mendorong aku untuk menerima Shah.
Pada penglihatan mereka, Shah tergila-gilakan aku, kerana itulah yang sering dilakonkan Shah di hadapan kawan-kawan pejabatku. Aku pula seakan-akan tidak menerima cintanya.
“Ya la Lina, engkau jangan memilih sangat, kalau dah ada orang nak tu, terima je” kak Ida pula menambah, cuba menyokong pendapat kak Ana tentang Shah.
Di mata mereka, aku terlalu memilih. Aku diam saja, hanya mampu tersenyum. Mungkin senyuman pahit. Aku tak mampu untuk membalas segala cemuhan itu. Aku telan segalanya. Dadaku terasa perit, kerongkongku seakan tersekat. Cepat-cepat aku ke tandas. Mataku telah mula panas dan berair. Aku cuba menahan perasaanku.
“Tidak, aku tak boleh menangis” aku cuba menguatkan semangat. Segala apa yang terjadi antara aku dan Shah tidak boleh diketahui kawan-kawan sepejabat.

*****************************************************************************

Kini, aku telahpun memperolehi diploma dan jawatan yang setaraf dengannya. Aku menerima cadangan kawan serumah agar menyambung pelajaran bagi mengubati kekecewaan itu. Lantaran itu, aku mengambil cuti belajar separuh gaji dan menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam.
Berita yang di terima sekembalinya aku, Shah telah berkahwin. Aku tak ralat mendengarnya kerana bagiku Shah telah mati. Shah pernah datang mencariku di UiTM untuk meminta maaf serta menjalin semula hubungan yang telah terputus. Aku memaafkan dia atas apa yang telah berlaku, namun untuk menjalin semula hubungan dengannya aku tak sanggup lagi. Zamri pula masih sendirian. Aku tak tahu kenapa, ada orang kata dia tunggu aku. Sama ada betul atau gurauan akupun tak pasti.
Esok aku akan ke Sg. Congkak, mengikuti kursus Induksi Umum, salah satu syarat untuk pengesahan Jawatan dalam perkhidmatan awam.
“Pegi kursus tu, tengok-tengok la sama, mana la tau kot ada yang tersangkut” kak Chah cuba mengusikku.
“Eeem kursus dengan budak muda-muda, nak sangkut macam mana” aku menjawab dengan selamba tanpa sebarang harapan.
“You pun muda juga” kak Chah menambah.
“Muda apanya, 30 lebih dah” pantas saja aku menjawab, tapi muka kak Chah mula mengerut, dia seakan terkejut.
“Hah, yea ke you dah 30 lebih, tak nampak macam 30 pun” kak Chah cuba mendapatkan kepastian.
“Betul la, kenapa tak percaya ka” aku meyakinkan kak Chah tapi dengan nada suara yang dibuat-buat.

*****************************************************************************

Aku ke tempat kursus di Sg. Congkak dengan menumpang kereta Zila, kawan baikku. Kami dibenarkan pulang pada hujung minggu. Walaupun demikian, terdapat di kalangan peserta kursus ini yang tidak dapat pulang disebabkan datang dari luar Kuala Lumpur iaitu Melaka, Alor Setar, Kuantan dan paling jauh Sabah dan Sarawak.
Minggu pertama, aku mempelawa seorang kawan dari Alor Setar ke rumahku. Kami menumpang kereta Zila kerana aku datang bersamanya. Minggu berikutnya, aku memandu sendiri ke Sg. Congkak. Rasanya lebih mudah menaiki kereta sendiri, lagipun aku telah tahu jalan ke tempat itu.
“Lina, kau belum kahwinkan, boleh la kan, umur kau berapa” Zairil melontarkan soalan cepu emas kepadaku secara berseloroh.
Aku menjeling Zairil sambil tersenyum “sweet nine teen” aku berseloroh dengan nada suara yang dibuat-buat. Aku lihat Zairil mencebik tak puas hati.
Aku sengaja berseloroh begitu kerana tahu Zairil baru mencecah usia 25 tahun. Kalau dia tahu umurku dah 32 tahun, tentu dia terkejut. Tapi aku tak kisah kalau dia hanya terkejut. Aku hanya tak mahu perkara lalu berulang. Aku takkan biarkan diri terus di cemuh. Aku ada maruah, pisang takkan berbuah dua kali.
Pernah semasa di UiTM, aku dicemuh kononnya tak sedar diri, cuba menggoda lekaki muda. Rasanya aku tak salah, kerana tak pernah terlintas di benakku untuk menggodanya. Aku hanya menerima kebaikkannya padaku. Salahku hanya satu, tidak memberitahu umurku padanya, walaupun pada ketika itu Rosli terlalu baik padaku sehingga ada yang memberitahuku Rosli suka padaku. Mungkin juga Rosli merasa malu, dan untuk menutup malunya itu, dilemparkan cemuhannya padaku.

******************************************************************************

Rasa letih mengikuti kursus Induksi yang baru berakhir 2 hari lepas masih bersisa. Hatiku terasa begitu lapang selepas kembali dari kursus tersebut. Aku nak balik kampung, hanya itu saja keinginanku kini. Rasa rindu kepada emak dan adik-adik menujah dibenakku. Atukpun telah lama tak ku lawati.
Aku menjengah Atuk di kampung Kuala Lanjut, Kedah. Kesunyian kampung begitu terasa. Sebelum menjamah makan tengahari, aku, adik dan atuk duduk di pelantar depan laman. Angin bertiup begitu mengasyikkan. Rumah atuk terletak di tepi jalan masuk ke kampung Kuala Lanjut. Dengan demikian, ramailah yang lalu lalang di situ.
Di kejauhan, nenek besah berjalan sambil menjinjing beg plastik.
“Nai…” atuk menyapa dalam bahasa siam. Bahasa yang kini telah sebati dalam kehidupan masyarakat kampung Kuala Lanjut. Nenek besah berhenti dan menoleh kepada atuk lalu tersenyum.
“Pai Kedai” nenek besah menyambut sapaan atuk dalam lorat siam yang bercampur. Aku hanya diam dan mendengar. Adikku, Zam turut terdiam. Aku lihat dia seakan asyik menyaksikan perbualan atuk dan nenek besah.
“Kin khau hamai” nenek besah bertanya atuk dengan lorat siamnya yang pelat.
“Hamai….” Atuk menjawab dengan nada suara yang lanjut hampir sekata.
Kerancakan atuk dan nenek besah bersembang membuatkan adik semakin gelisah (tak faham).
Tiba-tiba! Dengan suara yang besar dan garau
“Tolong bercakap dalam Bahasa Malaysia, sekarang anda berada di Malaysia” adik Zam menyampuk dengan nada suara yang sengaja dibuat-buat.
Aku, atuk dan nenek besah terkejut dan ketawa pun berderai.
“Deq ni” atuk menampar peha adik, tanda menegur dengan perasaan geli hati.

*******************************************************************************

Sekembalinya dari kampung, kali ini aku merasa sangat gembira. Ku pohon maaf dari emak, adik-adik dan atuk. Ampunkan segala salahku. Aku merasa puas hati.
Rutin harianku, keluar ke pejabat awal pagi kira-kira pukul 6.30 pagi. Aku memasuki pejabat mengikut waktu berperingkat 1 (kawasan Kuala Lumpur) iaitu pada pukul 7.30 pagi. Aku lebih senang keluar awal dan pulang pun awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Tambahan pula, jalan keluar dari kawasan rumah sewaku sering sesak ketika waktu puncak. Kadar sewa yang mahal memaksaku menyewa agak jauh tetapi tetap juga rumah flat, namun begitu ia lebih murah dan selesa.
Seperti hari-hari lain, aku keluar ke pejabat pukul 6.30 pagi. Tetapi, perasaan hari ini agak berbeza, aku memilih baju yang paling cantik. Wajahku kenakan make-up dengan lebih tebal. Aku menuruni anak tangga menuju ke kereta dan tiba-tiba aku merasakan seperti di pukul dari belakang. Kepala terasa teramat sakit, pandangan menjadi kabur………

*****************************************************************************

Di wad kecemasan, hospital selayang terbujur tubuh kerdil seorang gadis di atas katil. Tak bergerak. Ramai kawan-kawan sepejabat datang melawat.
“Emak dan adik-adik dia dalam perjalanan” Pn. Zahrah memaklumkan kepada pengarah bahagiannya.
“Doktor kata macam mana” En. Mustafa bertanyakan keadaan Salina, anak buahnya.
“Doktor kata 50-50, berlaku keretakan dan pendarahan di kepala, tengok keadaan“. Pn. Zahrah cuba menerangkan serba sedikit apa yang diketahuinya.
“Macam mana benda ni terjadi” En. Mustafa terus bertanya, ingin mengetahui perkara yang telah menimpa Lina.
“Orang jumpa dia terbaring dekat kereta, berlumuran darah. Mungkin dia kena pukul di kepala, ‘hand beg’ dan semua barang dalam beg tu hilang, kes rompak ni”
Tiba-tiba! keadaan yang tadinya sedikit sunyi menjadi riuh.
“Alat bantuan pernafasan terhenti” terdengar satu suara berteriak.

*****************************************************************************

Lina di masukkkan semula ke dalam bilik kecemasan. Tidak ada sesiapa yang dapat memastikan keadaannya.
Zamri dan kawan-kawan pejabat dari Cawangan Pejabat Projek, baru saja sampai. Masing-masing dalam keadaan terkejut.
“Bilik mana” Zamri bertanya, di wajahnya penuh dengan kerisauan.
“Baru bawa masuk bilik kecemasan, alat pernafasan terhenti” Norihan menjawab dengan nada suara yang perlahan.
Semua yang baru sampai seperti terkejut, Zamri cuba menjauhkan diri dari kawan-kawannya yang lain. Kerisauan dan kekesalannya makin memuncak. Dia merasa menyesal kerana membiarkan Lina keseorangan ketika ditinggalkan Shah. Sedangkan ketika itu, Lina memerlukan sokongan. Shah begitu bangga menceritakan kehebatannya yang berjaya memikat Lina. Dialah juga yang ceritakan, meninggalkan Lina setelah bertemu Sakinah dan semenjak itu jugalah Zamri dan Shah bermusuh.
Kini, Zamri hanya mampu untuk memanjatkan doa kepada Allah swt, agar orang yang amat dicintainya itu selamat. Amin…...

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini