Kelihatan seorang gadis, Zulaika berusia 22 tahun memasuki ke kelas. Dia mengikat rambut tocang kuda. Tingginya sederhana tinggi dan berkulit sawo matang. Zulaika memakai baju kurung hijau daun pisang (warna kegemarannya) berserta dengan sneaker lusuh berwaran biru muda.
Kelihatan juga beberapa orang pelajar perempuan yang berpakaian ala selebriti terkenal (mungkin perasan glamour) menjeling-jeling ke arahnya. Mereka juga berbisik-bisik di antara satu sama lain sebaik sahaja Zulaika melangkah masuk ke kelas. Zulaika sudah mengagak.
“Sneaker akulah tu. Lantak kau oranglah. Bukan aku pakai duit kau orang pun beli kasut ni”, bebel Zulaika dalam hati.
Hendak cakap depan-depan mereka, minta maaflah para pembaca sekalian. Zulaika ni penakut orangnya. Lagipun “selebriti palsu” tu semua bukan faham pun betapa selesanya dia memakai kasut sneakernya yang lusuh itu.
Mereka ketawa melihat Zulaika. Zulaika pandang ke arah mereka. Mereka pandanfg semula ke arah Zulaika. Zulaika tak mampu nak berbuat apa-apa. Dia lalu mengambil tempat duduk di bahagian belakang kelas.
Puan Rosliyah, 36 tahun seorang pensyarah yang gemar memakai baju yang berwarna terang masuk ke dalam kelas. Hari ini dia memakai baju kebaya kuning bunga matahari yang semestinya menyakitkan mata para pelajar seperti panahan sinaran matahari. Semua kelas senyap. Mereka rasa mungkin ada perkara penting yang ingin disampaikannya.
“Saya ada perkara penting yang ingin disampaikan kepada semua pelajar kesayangan saya sekalian”, Puan Rosliyah mula membuka kata.
“Pelajarku, saya mahu ingatkan kepada anda sekali lagi bahawa lusa adalah majlis anjuran fakulti kita. Berpakaian formal. Wajib hadir jika tidak mahu markah akhir dipotong. Itu saja. Boleh bersurai”, sambung Puan Rosliyah sambil menepuk-nepuk tangannya dengan kuat (itu adalah tanda yang menyatakan bahawa semua pelajar boleh bersurai).
Pusat membeli-belah...
Zulaika berlegar-legar di sekitar pusat membeli-belah mencari sepasang kasut tumit tinggi untuk majlis tersebut. Sambil itu dia berfikir-fikir bagaimana dia mahu berjalan dengan “normal” sambil memakai kasut itu nanti.
Dia berhenti di hadapan sebuah kedai kasut selepas mundar-mandir kerana tidak berjumpa lagi kedai kasut yang menawarkan harga yang murah.
“Kedai kasut ni okaylah kot”, bisik Zulaika dalam hati.
Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam kedai tersebut, seorang jurujual di sana telah meluru ke arahnya.
“Cik, sila masuk. Mahu pilih kasut yang macam mana?”, tanya jurujual itu sambil menguntumkan sebuah senyuman yang separuh ikhlas kepadanya.
“Err..., saya nak cari kasut tumit tinggi tapi ada tak yang harganya bawah dari RM 20.00. tak kisahlah warna apa. Ada tak?”, tanya Zulaika balik dengan gagap.
“Tak adalah cik. Yang paling murah pun harganya RM 39.90”, jawab jurujual itu dengan senyum sinisnya.
Zulaika mula berfikir sejenak. Dia memikirkan apa akibatnya jika dia tidak membeli kasut tumit tinggi. Mungkin kerana kasut itu, dia akan gagal subjek Puan Rosliyah. Dia lalu memeriksa dompetnya.
“Erm..., bolehlah. Bagi saiz 7 ye”, Zulaika akhirnya membuat keputusan.
Dengan rasa serba-salahnya, Zulaika mengeluarkan not RM 50. Selepas melihat baki duitnya yang tinggal dia pun berlalu dari kedai itu dengan lemah longlai. Jika divisualkan keadaan Zulaika, memang sangat kasihan.
Rumah sewa Zulaika...
Zulaika menyuap mi segera bulan lepas sambil membaca komik Detektif Conan. Di sebelahnya terdapat bungkusan kasut tumit tinggi yang masih belum dicubanya. Dia memandang ke arah bungkusan tersebut. Perasaan menyampahnya meluap-luap menusuk ke kalbunya. Kemudian, dia berpaling pula ke arah kasut sneakernya yang terletak di tepi pintu rumah. Dia mengeluh.
Perhentian bas pada waktu petang...
Kelihatan Zulaika menunggu bas bersama-sama dengan beberapa orang lain. Dia memakai baju kurung, selendang dan yang paling penting kasut tumit tinggi yang dibelinya kelmarin. Zulaika tidak selesa dengan kasutnya. Kakinya terasa menekan-nekan dan sakit. Bas tiba. Ramai pula yang berebut-rebut untuk menaiki bas. Zulaika ditolak. Dia hampir terjatuh. Tumit kasutnya tercabut. Dia terlepas bas.
Perhentian bas pada waktu senja...
Zulaika masih berada di perhentian bas. Keseorangan. Dia termenung panjang. Fikirannya hanya tertumpu dengan apa yang bakal berlaku dengan markah akhirnya. Dia juga berkira-kira bagaimana dia mahu mencari duit untuk mengisi perutnya selama satu minggu akan datang. Segala wangnya telah diserahkan untuk kasut tumit tinggi itu. Zulaika pulang. Kali ini dia pulang dengan berkaki ayam. Dia berjalan dengan “normal”.
Kasut tumit tingginya yang berharga RM 39.90 itu sudah selamat tercampak di dalam tong sampah. Tak kuasa lagi dia mahu membaikinya. Dia lebih rela memakai kasut sneakernya yang berharga RM 19.90 itu. Yang nyata, kasut itu tidak membuatnya menjadi “palsu”. Zulaika adalah Zulaika.
Bila difikirkan semula, mungkin kasut itu juga tidak mahu dipakai oleh orang yang tidak mahu menghargainya. Mungkin kerana Zulaika bersikap menyampah terhadap kasut itu menyebabkan kasut itu merajuk.
P/s: Hidup ini terlalu pendek bagi memikirkan hal yang kecil-kecil