rss

“Andai dirimu dalam kesulitan, aku sentiasa di sini..."
Hari ini telah menyaksikan segalanya berakhir. Sekelip mata, segala yang mereka miliki hilang begitu sahaja. Penat lelah dan perit jerih terkubur bersama satu pengkhianatan. Kegigihan mereka membina impian hanya tinggal menjadi debu harapan.
 Gadis itu terpaku. Kakinya masih terpacak, bagai ada naluri yang menghalanginya dari terus melangkah. Redup pandangan mata bulatnya menatap banglo mewah berwarna ungu itu. Kediaman keluarga yang begitu selesa dan indah terpaksa ditinggalkan kini. Dia mengamati wajah muram satu persatu ahli keluarganya. Ibu, jangan bersedih. Semua ini hanya permulaan buat kita sekeluarga.  Abah, jangan merasa bersalah, ini bukan kehendak kita. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tanpa dugaan, hidup bagaikan tiada erti. Tak bermakna hidup manusia itu sekiranya dia begitu mudah mendapat apa yang dihajati. Ly  Anne Nafisa, kau perlu tabah. Jangan tambahkan beban ibu dan abah kau! Kuat kata hatinya bergema memenuhi ruang fikir.
“Sudahlah, Leesa.  Jom  kita mulakan sesuatu yang baru. Fisa, jom sayang," lembut abah berkata sambil memimpin tangannya. Ibu mengangguk perlahan.
“Baiklah, abang. Fisa, sekarang hidup kita dah tak macam dulu lagi tau,” ungkap ibu sambil memandang wajahnya. Ibu tak pernah mengeluh. Wajah lembut wanita ini sering dihiasi dengan garisan senyum. Tangan wanita itu mengheret bagasi yang berisi pakaian.  Ketiga-tiga beranak ini melangkah. Hanya lambaian terakhir disematkan buat kediaman mewah yang didiami mereka selama ini. Belum pun jauh mereka berjalan, Fisa mematikan langkah. Dia berpaling semula menghadap banglo mewah tersebut.
“Jumpa lagi nanti! Aku sayang kau!” Laung gadis comel ini sambil tertawa girang. Tangannya melambai-lambai banglo itu penuh perasaan. Tanpa sedar, air mata hampir menitis di pipi abah dan ibunya. Sekadar pamitan itu mampu mengiringi pemergian mereka. Hanya ucapan selamat tinggal mampu dilafazkan. Betapa dalamnya kasih sayang buat rumah itu. Memori mereka sekeluarga bersemadi bersama derapan langkah kaki tiga orang insan.
Setelah bersusah payah mencari rumah yang sesuai untuk disewa, akhirnya mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal. Tidaklah begitu selesa, namun masih layak untuk dijadikan tempat berteduh. Cukup untuk menempatkan mereka bertiga. Untuk mengalas perut pula, tiga beranak ini hanya makan ala kadar sahaja. Makanan ringkas seperti roti merupakan pilihan terbaik. Hendak buat bagaimana, mereka hilang punca pendapatan. Berapa sangatlah wang yang tinggal dalam akaun mereka bertiga. Segalanya perlu digunakan secara berjimat cermat bagi memastikan wang yuran kolejnya boleh dilangsaikan.
“Ibu, Fisa nak keluar sekejap ya,” gadis bertocang dua itu tersenyum lebar sambil meminta keizinan daripada ibunya. Dia ingin mengambil angin di tasik belakang rumah untuk melegakan hatinya yang gundah. Segala kesuraman yang ditanggung biarlah disimpan sendiri. Mustahil untuknya menambahkan lagi beban perasaan ibu dan abah. Dia tahu mereka tidak mempamerkan kesedihan di depannya.
“Ya sayang. Baik-baik tau, jangan balik lambat sangat,” Ly Anne Nafisa mengangguk. Lantas dia menyarung selipar dan menuju ke tasik indah itu.
Jejaka berbadan tegap ini berhenti mengayuh. Dia melompat turun dari tempat duduk. Basikal birunya disandarkan pada sebatang pohon rendang. Sungguh indah ciptaan Tuhan. Betapa untungnya dia, berhijrah ke sini untuk keluar dari kepompong hidup yang amat membosankan lalu menemukan perkara indah begini. Dia membelek-belek kasut Converse yang baru dibeli semalam. Tampak sesuai dengan dirinya. Nuansa putih menonjolkan personalitinya yang sebenar. Tidak dapat dilupakan semalam, bagaikan orang asing, terjengah-jengah dia masuk ke dalam satu persatu butik yang terdapat di pusat membeli belah. Sempat juga diborongnya sebuah bag sandang, juga baju-T dan seluar khakis.
Gadis bermata bulat ini masih ligat membaling batu ke dalam tasik. Terhibur hatinya bila melihat percikan air naik ke permukaan. Burung-burung yang berkicauan menyerikan petang yang penuh damai. Suara mersik haiwan tersebut bagai mengajaknya berbicara. ‘dia orang ni faham isi hati aku agaknya,’ bisik Fisa pada dirinya sendiri.
 Jejaka bermata bundar ini memegang dadanya. Terasa sungguh berdebar-debar. Bagai ada sesuatu yang tidak kena meracuni nalurinya. Telinganya bagai mendengar bisikan pilu, datang dari arah utara. Setapak demi setapak dia menapak. Jemarinya masih kuat memegang dada. Nafasnya dihela berulang kali bagi memastikan segalanya berada dalam keadaan normal. Kaku langkahnya melihat seorang gadis sedang duduk di bangku. Comelnya dia, berpakaian serba merah jambu dengan reben menghiasi kepalanya, pengganti cekak rambut. Terdesis kekaguman dalam hati lelakinya.
“Boleh saya duduk?” suara yang menyapanya membuatkan lamunan Fisa terhenti. Entah masa bila lelaki ini tiba pun dia tak sedar. Dari mana datangnya? Gadis ini sekadar mengangguk, mengiyakan permintaan jejaka itu.
Anehnya, setelah mengambil tempat di sebelah gadis comel ini serta merta jantung si jejaka berhenti berdegup kencang. Yang ada cumalah kelegaan.
“Awak sedang bersedih?” Fisa tercengang seketika. Bagaimana pula lelaki ini mengerti isi hatinya? Ahli nujum apa? Sedangkan raut wajah jejaka itu bersahaja. Tambahan pula, dia menayang lagak selamba. Fisa berpura-pura tidak mendengar pertanyaan jejaka itu. Fisa bangun. Kemudian diambilnya ranting halus lalu diukir pada pasir. Begitu mirip dengan wajah insan-insan yang dikasihi. Siapa lagi jika bukan ibu dan abah kesayangannya.
“Saya tahu siapa yang awak lukiskan,” ayatnya mati di situ. Renungan sepasang mata bulat itu membuatkan dia terpesona. Aku dah tersilap! Jangan terlalu menonjolkan kelebihan dirimu! Kata hatinya mendesah.
“Saya Ly Anne Nafisa, awak siapa ha?” tanya gadis itu ingin tahu. Dia menghulur salam tanda kagum dan hormat pada jejaka tinggi lampai ini.
“Emm..aa..emm..ehem, sakit tekak. Maaflah, saya Afzal Afifi,” tanpa ragu jejaka itu memperkenalkan dirinya.
“Panggil apa?” Petah gadis itu bertanya lagi.
“Panggil saja Afzal. Dan awak?” Fisa tertunduk malu. Dalam senyuman dia membalas.
“Fisa,” ujarnya malu-malu kemudian berlalu begitu sahaja meninggalkan Afzal.
Rambutnya disisir ke tepi. Hitam berkilat separas leher. Dari tadi dia menjengahkan kepala ke luar tingkap bagi melihat sama ada sahabat baiknya telah pulang atau belum. Sambil menunggu masuknya waktu solat Maghrib, dia membelek-belek beberapa bilah keris yang tersisip rapi dalam sarungnya.
“Assalamualaikum, Afthar!” Laungan itu cukup untuk membuatnya lega. Lantas dia menuju ke ruang tamu dan membuka pintu.
“Waalaikumussalam, Afzal. Panjang ya umurmu,” sempat pula Afthar membebel. Afzal hanya tersengih. Kepulangan yang agak lewat tidaklah sebegitu janggal jika hendak dibandingkan dengan pengalaman yang baru dialaminya sebentar tadi.
*               *                          *                    *                          *                     *                      *
“Jadi, maksudmu kamu berdua mempunyai telepati? Benarkah bahawa kamu dapat mendengar nalurinya?” Soal Afthar sambil memerhatikan sahabat baiknya dari atas ke bawah.
“Iyalah, masakan tidak. Suara yang berbisik di telinga aku sungguh mirip dengan suara perawan manis itu. Apabila aku duduk di sebelahnya, langsung hilang getar di dada. Cuma redup sahaja hati ini,” beritahu Afzal bersungguh. Afthar menopang dagu. Pandangan matanya melilau ke segenap ruang rumah kayu jati setingkat yang sungguh luas. Menjadi destinasi persinggahan mereka.
“Jikalau benar apa yang engkau perkatakan, maka dialah perawan yang menunggumu di sini. Seperti yang pernah bonda dan ayahandamu khabarkan. Aku terdengar perbualan mereka secara tidak sengaja. Sewaktu bermain sembunyi-sembunyi denganmu. Namun mereka ingin sorokkan perkara ini daripada pengetahuanmu , Arjuna,” wajahnya penuh serius. Afzal mendengar penuh minat. 
“Panca, bukankah kita sudah punya persetujuan? Jangan lagi digunakan nama benar kita dalam kelompok ini. Agak pelik kedengarannya,” Afzal mengingatkan.
“Maafkan aku, tersasul sahaja. Baiklah, jikalau begitu perlukah diubah jua cara percakapan kita? Agar tidak mengundang wasangka kelak?” timbul pula buah fikiran yang bernas dari akal Afthar. Afzal menunjukkan ibu jarinya tanda bagus.
“Berbalik pada apa yang kau cakap, maknanya dia bakal teman hidup aku ke?” terus berubah gaya bahasa jejaka bermata bundar itu. Afthar senyum lebar mendengar pertanyaan sahabatnya. Tampak sungguh manis dan berseri wajah tampannya.
“Teman hidup ke tak, aku tak tahu. Yang pasti, dia ada tanda untuk jadi sahabat kau,” ujar Afthar dengan senyuman manisnya. Afzal menggumam bibir sehingga kelihatan lesung pipit di kedua-dua belah pipi.
             
 Kedatangannya ke tasik hari ini bukan lagi keseorangan sebaliknya ditemani oleh Afthar. Dia ingin sahabat baiknya ini menyaksikan sendiri kebenaran kata-katanya. Dari situ, boleh juga Afthar memberikan pandangan. Agak lama dia menunggu, belum kunjung tiba perawan comel itu. Ingin ditatap lagi gadis bermata bulat itu agar tidurnya malam ini bisa lena.
Fisa tergesa-gesa menyarung seliparnya. Dia merasakan bagai suatu kewajipan untuk mengambil angin di tasik pada setiap petang Khamis. Kegembiraan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir semester membuatkan moodnya ceria sepanjang masa. Apa lagi, kini hidup mereka semakin bahagia. Abah telah berjaya mendapatkan pekerjaan, manakala ibu mendapat upah sebagai tukang jahit dan pakar sulaman. Alhamdulillah, kesulitan yang dialami menonjolkan kemahiran yang ada dalam diri kedua-dua orang tuanya.
“Dia  lagi?” kata-kata itu bagaikan mendesing di telinganya. Segera Afzal berpaling. Sah! Benar sangkaannya! Pasti gadis ini sedang bermonolog namun tetap dapat didengarinya. Memang wujud telepati antara mereka. 
“Aku dengar apa yang dia cakap, Afthar,” beritahu Afzal penuh teruja. Afthar yang terlihat kelibat Fisa semakin menghampiri meletakkan jari telunjuk ke bibir. Isyarat menyuruh Afzal diam. Sebenarnya itulah kata hati Fisa bila saja dia melihat sebuah basikal biru tersandar pada sebatang pokok Sena. Basikal yang sama pada tempoh hari, jua dengan pokok Sena yang serupa.
“Apa khabar?” tanya Fisa lembut. Afzal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berhadapan dengan gadis ini membuatnya mati kutu.
“Baik, wahai kamu perawan manis?” Ops! Segera dia menutup mulut. Bagaiman pula boleh terkeluar bahasa ibunda? Ini tak boleh jadi! Afzal memarahi dirinya sendiri. Afthar memalingkan muka ke arah lain lalu tersenyum.
       “Pandainya awak berbahasa klasik. Saya sihat. Kawan awak ke? Tak nak kenalkan?” usik gadis itu lagi.  Afthar sengih kambing melihat wajah merah padam Afzal. Mujur gadis ini berfikir begitu, senang kerjanya.
“Saya Afthar, kawan baik Afzal. Kami bersahabat dari kecik lagi,” ujar jejaka itu ramah sambil menghulurkan salam. Terpaksalah menyembunyikan identiti sebenar mereka sebagai sepupu buat masa ini.
“Oh! Seronoknya! Saya... semua kawan dah tinggalkan saya. Bila saya susah, mereka dah tak pedulikan saya lagi,” lirih nada Fisa. Kolam matanya bergenang dengan air hangat. Tak perlu dijelaskan lebih lanjut, segala cerita yang terlintas dalam hatinya mampu dibaca oleh Afthar. Detik kehancuran perniagaan abahnya, kemuflisan keluarga mereka memaksa gadis ini meninggalkan banglo mewah yang sekian lama didiami.
“Kami boleh jadi kawan awak, Fisa,” ucap Afzal penuh keyakinan. Afthar mengangguk pasti. Mereka enggan membiarkan air mata mambasahi pipi Fisa.
“Terima kasih,” jawab Fisa dengan rasa terharu yang tak terhingga.
***Di persada singgahsana..
“Ke mana sahaja Arjuna telah menghilangkan diri kanda?” gundah gulana hatinya sebagai ibu. Manakan tidak, selama ini belum pernah anak teruna kesayangannya menghilangkan diri begitu sahaja. Hanum Cahaya mengeluh. Laksamana Suria Syahazan menggeleng melihat gelagat isteri yang dari tadi asyik menopang dagu. Lantas dia memperkemaskan selempang pada bahu isteri tercinta.
“Janganlah terlalu gusar adinda. Kanda mengerti kerenah Arjuna. Dia tak mungkin berani untuk bermain jauh dari kawasan kita. Apa dinda sudah lupa? Arjuna masih punya tanggungjawab untuk memimpin kumpulan Tualang,” soalan suaminya dibiar sepi. Sekilas, dia memandang si suami yang segak memakai tanjak. Sememangnya sebagai keturunan pahlawan, mereka sekeluarga tidak terkecuali mengekalkan warisan turun temurun berpakaian tradisional sepanjang masa. Bukan itu sahaja, segala ilmu mempertahankan diri diperturunkan kepada ahli keluarga generasi demi generasi.
  “Adinda ibunya, sudah tentulah adinda bimbang. Mana mungkin seorang bapa mampu mengerti akan kebimbangan seorang ibu? Arjuna satu-satunya anak kita, kanda. Dinda tak pernah biarkan dia terpisah jauh dari kita, inikan pula sudah hampir seminggu tidak pulang. Andai lesap dia dari pandangan, maka pincanglah deru nafas adinda,” lemah suara Hanum Cahaya membalas nasihat si suami. Terangkat kening Suria Syahazan.  Sementelah diteliti, amat benar jua kata-kata yang terucap dari bibir isterinya.
“Inilah masanya untuk kita mendidik Arjuna berdikari, dinda. Kanda rasa dia semakin bijak dan sudah matang. Mungkin kini dia mengerti dan belajar untuk melakukan segalanya sendiri. Jangan difikirkan sangat, Panca turut bersamanya. Hulubalang kita telah mengesan kehilangan mereka berdua, dinda. Kanda yakin, kerana mereka sepupu yang sentiasa berdiri pada kaki sesama sendiri,” sambung Suria Syahazan sambil tersenyum sebelum berlalu meninggalkan Hanum Cahaya keseorangan dalam kamar pesona mahligai mereka yang tersergam indah.
“Arjuna Indera Wahyu, itulah nama aku sejak dilahirkan. Memang aku tak boleh mengubahnya, Afthar.  Aku tak boleh nafikan bahawa aku keturunan pendekar zaman berzaman.  Sejak lahir juga semua orang perlu belajar untuk menghormati aku sebagai waris Tun Terpilih.  Bonda dan ayahanda memanggilku Arjuna. Setiap pelusuk Bentara juga mengenali aku dengan nama Arjuna. Pendekar remaja yang digeruni. Aku hilang kebebasan. Kemahuan aku dikekang, segala yang aku pelajari adalah berkaitan dengan ilmu kepahlawanan.  Sedangkan aku masih lagi remaja. Seperti anak-anak sebaya kita yang lain. Aku jemu, Afthar. Aku bahagia hidup begini, bebas tanpa protokol,” luahnya sambil meraup rambut.
“Aku faham perasaan kau. Aku juga melalui perkara yang sama denganmu. Tapi takkan kau tak tahu, dah lama sangat kita tinggalkan Bentara. Tentulah bonda dan ayahanda kita bimbang. Seluruh penduduk Bentara tentu tertanya-tanya. Kita tak boleh lupa pada tanggungjawab, Afzal. Lagipun, semakin hari telapak kuasa(tapak tangan kiri) aku semakin sakit. Aku yakin, mereka telah berjaya mengesan kita sekarang. Badan aku semakin lemah. Namaku Panca Indrawan Sakti tentu telah diseru,” tenang dia menghabiskan hujah.
“Jika kau perlu pulang, pulanglah Panca. Tinggalkan aku di sini, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Fisa. Segala yang berlaku pada kami berdua adalah dongengan. Hanya satu khayal yang tak mungkin menjadi nyata,” kini mereka tidak betah untuk berpura-pura lagi. Kesakitan semakin kuat menyerang Panca. Lebih elok sekiranya jejaka itu pulang terlebih dahulu. Arjuna akan menyusul kemudian.
“Tidak Arjuna! Tidak! Siapa yang akan melindungimu sekiranya terjadi apa-apa? Apa yang akan aku jawab andai segunung persoalan bonda dan ayahanda kita tebarkan? Aku akan menunggumu di sini. Pergilah lekas, aku tidak selemah itu. Aku masih mampu bertahan!” lantang suara Panca menegah. Pantang baginya untuk meninggalkan sepupunya itu bersendirian. Meski pahlawab terulung sekalipun, jika diperdaya oleh muslihat boleh rebah sekelip mata.
Melihat kesungguhan sepupunya itu, Arjuna cepat-cepat membuka langkah. Dia harus cepat sebelum segalanya terlambat. Dia tak sanggup berpisah dengan Fisa tanpa berjumpa dengan gadis itu buat kali terakhir.
Arjuna Indera Wahyu dan juga Panca Indrawan Sakti merupakan nama sebenar jejaka bernama Afzal Afifi dan Afthar. Kedua-duanya telah melarikan diri dari dunia Bentara mereka. Singgahsana tempat tinggal pemerintah juga merupakan ibu bapa dua remaja ini sepi tanpa kehadiran kedua-duanya. Dalam pada itu, Laksamana Suria Syahazan dan Hanum Cahaya tidak berdiam diri. Bersama ahli keluarga yang lain, mereka berikhtiar agar Arjuna dan Panca kembali menemui jalan pulang.

Ly Anne Nafisa telah bersedia untuk membawa jejaka itu berjumpa dengan ibu dan abah. Kedua-dua orang tuanya menyetujui persahabatan mereka. Oleh sebab itulah, dia mahu memperkenalkan insan istimewa bernama Afzal Afifi kepada mereka. Dia mengenakan sehelai baju kebaya biru lembut, warna kesukaan Afzal. Supaya sejuk mata jejaka itu melihatnya sebentar lagi.
Kalut langkahnya menuju ke tasik. Anehnya, sudah hampir satu jam meneruskan perjalanan, pelbagai peristiwa pelik berlaku kepadanya. Sudahlah tayar basikal pancit dan terpaksa ditinggalkan begitu sahaja. Sekarang, matanya masih belum dapat melihat kelibat tasik. Terasa bagaikan telah jauh dia berjalan, namun masih belum sampai. Sudah lenguh kakinya. Hari pula semakin larut. Dalam samar-samar, pandangannya tertancap pada cahaya putih yang datangnya daripada seketul batu. Hatinya bagai terpanggil untuk menghampiri cahaya tersebut lalu dia memegang batu kecil itu. Sebaik jemarinya menyentuh batu tersebut, segalanya menjadi sangat terang. Sakit badannya terhentak pada simen. Sedar-sedar sahaja dia berada di hadapan bonda dan ayahanda! Bagaimana secepat ini boleh aku tiba ke Singgahsana? Marah benar nampaknya bonda dan ayahanda. Langsung tidak diberi kesempatan untuknya jatuh ke atas kerusi empuk. Arjuna cuba bangun. Dia memegang kepala yang terasa bengang.
“Seronokkah pengembaraan anakanda tempoh hari?” Sinis Suria Syahazan bertanya. Hanum Cahaya mengetap bibir. Geram pula melihat suaminya bertindak sebegini. Menjatuhkan anak sendiri ke atas lantai simen. Membulat mata Arjuna. Bagaimana hendak memberi jawapan kepada pertanyaan ayahanda? Adakah mereka telah mengetahui segalanya?
“Se..se..seronok! Seronok ayahanda. Banyak yang telah anakanda pelajari. Ilmu persilatan, ketatasusilaan,” dia berusaha menjawab sebaik mungkin. Ada unsur-unsur penipuan pula.
“Seronok memikat perawan? Atau seronok membeli belah? Apa jenis pakaian yang anakanda kenakan ini? Langsung tidak menarik hati,” cubaan menipunya nyata tidak berjaya. Tajam lagi pemerhatian ayahanda yang memeliharanya sejak kecil.
“Apalah kanda ini. Tidak nampakkah bahawa sungguh segak anakanda kita? Arjuna, mari ke sini. Biar bonda lihat,” sempat Hanum Cahaya menjeling suaminya. Suria Syahazan menjuihkan bibir. Isterinya memang begini, jika membela anak memang nombor satu.
Arjuna melangkah ke dalam dakapan ibunya. Betapa dia rindukan wanita ini, namun dia mahu pulang sendiri. Bukan dengan cara ini, dipaksa! Kasihan Fisa! Tentu sahaja gadis itu menanti kedatangannya. Maafkan Afzal, Afzal tak berniat meninggalkan Fisa.
“Bonda, di manakah Panca? Anakanda telah berjanji untuk pulang bersamanya,” soal Arjuna bimbang. Kelibat sepupu kesayangannya yang belum kelihatan dari tadi menimbulkan tanda tanya.
“Ya Allah! Kanda terlupa untuk mengambil Panca jua ya? Cepat seru telapak kuasanya!” Separuh menjerit wanita itu. Arjuna memperbetulkan tiara yang menghiasi kepala bonda yang dikasihinya sepenuh hati.
Panca memandang persalinan pahlawan Arjuna. Tanjak dan keris jejaka itu ditatap lama. Ke mana hilangnya sepupu akrabnya? Adakah merajuk hati lalu membawa diri? Sedangkan dia menanti untuk pulang bersama-sama lengkap dengan memakai persalinan pahlawan. Tanjak bermahkota di kepala, keris tersisip rapi pada pinggang. Lama-kelamaan tapak tangan kirinya semakin sakit. Menggigil tangannya dan peluh merecik membasahi wajah. Lantaran kesakitan yang tidak terlawan, Panca pitam. Laksamana Suria Syahazan tersenyum. Usahanya menyeru nama melalui Telapak Kuasa Panca berjaya. Kini anak dan anak saudaranya telah pulang ke Bentara.
            *                                   *                       *                                *                     *
Berulang kali Arjuna berusaha memujuk bonda dan ayahandanya agar dapat menemui Ly Anne Nafisa yang dirindui. Bonda telah bersetuju namun, ayahanda masih enggan mendengar rayuannya. Malahan, ayahanda mempertikaikan darah pahlawan yang mengalir dalam tubuhnya lantaran kesanggupan untuk merayu demi wanita yang dicintai. Tetapi hari ini, dia nekad. Apa hendak jadi pun jadilah! Setiap manusia dikurniakan rasa cinta, ayahanda mesti sedar tentang hakikat itu!
“Jika kerana cinta ayahanda berpeluang mengahwini bonda, cinta kalian kesampaian dan mendapat restu nenda, mengapa tidak Arjuna diberikan peluang yang serupa? Apakah salah untuk Arjuna merasakan semua itu? Pernahkah ayahanda rasa sakit, sakit apabila merindui insan yang kita cintai. Pernahkah ayahanda merasakan bimbang, bimbang andainya sesuatu yang buruk berlaku sedangkan dia setia menunggu? Arjuna mohon pengertian ayahanda, Arjuna mohon. Izinkan kami bertemu sekali lagi,” terduduk jejaka itu merayu. Kerana belas ikhsan yang masih tebal dalam hatinya, hampir saja Suria Syahazan bersetuju. Namun dengan satu syarat tertentu.
“Bawa menantu kami ke sini. Tetapi, Arjuna perlu menerangkan bahawasanya siapa kita yang sebenar. Tunjukkan kepadanya kebenaran, jangan sekali-kali heret dirinya dalam pembohongan anakanda. Andai dia menolak dirimu, maka pastikan sahajalah bahawa perawan itu tidak sesuai menjadi sebahagian daripada kita. Apa lagi untuk menjadi isterimu,” ucapannya habis di situ. Laksamana Suria Syahazan lantas masuk ke kamar beradu. Hanum Cahaya menerpa ke arah anak terunanya.
 “Berusahalah anakanda. Bonda yakin kamu mampu,” ciuman azimat seorang ibu singgah di dahi Arjuna. Dia merasakan ada kukuatan dari situ. Panca menghulurkan tangan lalu mereka bergenggaman seketika.
“Doaku sentiasa mengiringimu, Arjuna,” bisik jejaka itu sekilas sambil menepuk bahu sepupunya.
Terkebil-kebil Fisa mendengar penjelasan jejaka di hadapannya ini. Hampir pengsan dia mendengar setiap perkataan yang keluar dari mulut Afzal Afifi. Sudahlah datang begitu sahaja, lengkap berpakaian seperti pahlawan zaman silam.
“Awak? Arjuna Indera Wahyu? Apa yang awak merepek ni?” terpinga-pinga gadis ini. Kasihan dia melihat Afzal. Sudahlah pergi begitu sahaja tanpa sebarang pamitan, kini mengaku sebagai pahlawan pula. Kat manalah hendak dapatkan baju-baju begini? Jahit sendiri agaknya. Ngomel Fisa dalam hati.
“Memang jahit sendiri. Tukang jahit Bentara yang siapkan untuk kami. Setiap orang mesti ada persalinan yang sesuai untuk dirinya. Terutama untuk pahlawan macam kami,” jawapan yang meluncur keluar dari bibir Afzal membuat Fisa hampir tersedak. Mengapa setiap kali dia mengata dalam hati, jejaka ini dapat meneka dengan tepat? Sudah banyak kali, adakah benar dirinya Arjuna? Seperti yang didakwa, lagipun tiada tanda jejaka ini sedang bersandiwara.
“Buktikan,” bicara Fisa selamba. Dengan penuh kegirangan, Arjuna membisikkan sesuatu ke telinga Fisa.
“Pejamkan mata,” Lembut tangan sasanya memegang jemari runcing milik Fisa. Hatinya melonjak girang. Bonda, ayahanda.. tunggu! Anakanda bawakan menantu! 

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini