rss

Jari jemarinya menggeletar menahan sejuk dan dingin yang merembes. Ada titis-titis air di hujung rambut, jatuh lalu mengelungsur laju ke lehernya yang tebal dengan daging. Tangannya yang basah, di sapukan ke baju, walaupun tidak berhasil mengeringkan keseluruhannya. Dia mengambil kotak rokok yang tersorok dalam beg galas, dan membakar sebatang barah dunia demi cuba menghangatkan tubuhnya yang hampir membeku ditelan dingin hujan.

Air dari langit tidak henti-henti turun membasah tanah. Tidak terlalu lebat, tapi terus menerus tidak henti-henti mengalir air. Awan berteriak semahunya seperti belum mampu untuk mengunci bibirnya sendiri.

Dia bersandar di sebatang tiang yang tidak jauh dari sebuah restoran. Berteduh di situ dan merehatkan tulang belakangnya di persandaran yang molek adalah pilihan yang tepat dalam keletihan yang merasukkan itu. Dan sebelum rokok di jarinya sempat membakar ke puntung, dia melihat Azrul sedang berjalan laju-laju sambil menutup kepala dengan tapak tangannya.

Dia memanggil Azrul berkali-kali, dan langkahnya besar mengejar rakannya yang masih tercari-cari dari mana suara itu terhasil. Lima puluh langkah kaki yang meraih syukur dari nikmat-Nya, mereka sama-sama bersalam dalam keriuhan hujan dan berjalan perlahan pula masuk ke restoran yang agak ramai dengan manusia-manusia, seperti mereka.

Seorang lelaki berkulit gelap dengan tangannya terisi sebatang pen dan sehelai kertas berwarna kuning datang menghampiri mereka dengan wajah yang tenang. Sesekali lelaki berkulit gelap itu tersenyum dan menggosok kumisnya yang halus, anak matanya akan dibesarkan sedikit dan jelas nyatanya kita akan merasai mesranya ramah lelaki itu.

"Teh tarik," kata Azrul.

"Sama," ujarnya, seorang lelaki yang lebih muda dari Azrul, dan masih seorang manusia yang sangat kecundang dalam hidupnya, Akif.

"Sama?" lelaki berkulit gelap itu bertanya lagi.

"Ya. Teh tarik," dan selepas menulis sesuatu di atas kertas berwarna kuningnya, lelaki berkulit gelap itu melangkah pergi ke dapur dan meletakkan kertas kecil yang dipegangnya sebentar tadi di depan seorang pembancuh air yang juga gelap kulitnya. Mungkin dari peristiwa kehidupan yang sama.

Akif memandang Azrul, dan memulakan perbualan mereka. Seperti petang-petang sebelumnya, mereka bercerita tentang apa yang terjadi pada hari-hari mereka itu. Akif bercerita tentang masaalah-masaalahnya sebagai remaja yang tak pernah sudah. Tentang perasaan jiwanya yang tak pernah merasa senang hidup di dunia dengan tohmahan-tohmahan manusia. Tentang parasit-parasit yang hanya tahu menghisap hasil dari setiap titik peluh dari setiap hasil kerja buruh.

Azrul pula hanya akan mendengar. Meneliti setiap butir kata yang terpancul terus dari bibir jujur Akif. Merasai setiap getar nada suara Akif yang kadang-kadang terhambur gelak tawa dan teransur sedih duka. Dan apabila sudah sampai waktunya Akif berhenti dari berbicara, Azrul akan menyenangkan duduknya, dan mula bercerita pula bagi menyapu garam di luka Akif dan menarik mereka berdua ke dalam dunia yang lebih istimewa.

Petang itu, mereka berbicara lagi, bercerita lagi, dan berbual lagi. Kadang-kala, suara mereka terlalu rendah sehingga bunyi air hujan menghempas ke bumbung zink lebih kuat dan lebih bernyawa. Dan kadang-kala pula, suara mereka meletup dengan segala ceria sehingga pelanggan-pelanggan di sekeliling mereka memandang dengan penuh rasa curiga. Tapi mereka, Akif dan Azrul, masih tetap di situ, untuk menggembirakan jiwa-jiwa yang sengsara.

"Aku ingat nak pergi Kinabalu, bulan depan," kata Azrul.

"Baguslah. Dengan siapa?" tanya Akif.

"Tu lah. Tak tahu lagi. Aku ingat nak ajak Aida,"

"Pergh. Bahaya kau ni," kata Akif dengan kerut-kerut di dahinya.

"Apa pasal?"

"Nanti keluar video lucah kau dengan Aida nanti," balas Akif. Dia dan Azrul sama-sama menghempas anak tekak dan melepas ketawa. Orang di sekeliling memandang mereka berdua dengan anak mata yang dikecilkan. Akif memandang Azrul, menahan ketawa, dan meletakkan jari telunjuknya di bibirnya sendiri sambil mengarah anak matanya ke arah pelanggan-pelanggan lain.

"Alaaa. Biar lah. Kita pun boleh gelak juga. Dia orang pun boleh gelak dan aku tak akan marah dia orang pun kalau nak buat bising. Sebab masing-masing ada hak," kata Azrul sambil masih berbaki gelak-gelaknya di hujung perkataan.

"Kita ada hak untuk gelak, beb," balas Akif pula, juga seperti Azrul, masih ketawa dengan perlahan.

"Tapi ada juga hak kita dah habis di mamah kuasa," Akif membilang lagi.

"Kalau kau ada kuasa, semua benda kau boleh buat," Azrul bersuara pula.

"Kalau aku ada kuasa, aku nak bom orang sesuka hati. Bukannya aku kena tangkap pun. Sebab aku ada kuasa. Ada duit," Akif berseloroh, sarkastik. Mereka berdua ketawa lagi, dengan jenaka sendiri. Tapi, kali ini lebih perlahan kerana masih ada pelanggan yang memandang-mandang mereka berdua.

Tiba-tiba, Akif diam. Matanya sedikit mengecil, seperti sedang memikirkan sesuatu. Azrul yang perasan akan perubahan pada Akif itu segera menegur.

"Kif. Asal?"

"Deja vu,"

"Ha? Deja vu?"

"A,ah. Deja vu. Aku rasa macam aku pernah lalui benda ni. Kau gelak, aku gelak, dan mamak tadi tu lalu belakang kau, makcik sebelah sana pandang-pandang kita, aku rasa macam aku pernah lalui benda ni,"

"Ohhh ya lah. Kau pernah mimpi benda tu kot. Fenomena tu orang panggil deja vu lah,"

"A,ah deja vu. Kau pernah rasa?" tanya Akif kepada Azrul.

"Alaaa. Banyak kali dah. Bila aku rasa deja vu, aku rasa macam aku bukan berada dekat dalam dunia realiti. Tiba-tiba rasa lain,"

"A,ah. Sama lah. Rasa macam, aneh sikit. Pelik sikit. Hehe," kata Akif. Dan selepas itu, dia menyambung kata-katanya lagi.

"Kadang-kadang bila dah fikir terlampau jauh tentang benda yang kita rasa kita dah alami tu, rasa takut pun ada. Takut macam, lepas-lepas tu, ada benda buruk atau benda baik yang berlaku,"

"Itu takpa lagi," kata Azrul, "aku lagi takut dengan realiti yang ilusi,"

"Macamana tu? Aku tak faham," tanya Akif.

"Kau tahu realiti tak?" tanya Azrul kepada Akif semula.

"Tahu. Realiti, yang sedang kita hadapi sekarang,"

"Betul. Kalau ilusi?"

"Ilusi, benda yang di luar kawalan minda kita. Yang hanya seseorang yang berilusi itu saja yang tahu akan apa yang dia ilusi-kan,"

"Haa. Lebih kurang gitu lah," kata Azrul. Dan selepas itu, dia menambah lagi ;

"Kau faham tak, ilusi dalam realiti?"

"Erk. Macamana tu? Bagi contoh," kata Akif, dan menghirup teh tariknya yang masih penuh di dalam gelas.

"Ok macam ni," Azrul memulakan kata-kata. "Dulu, aku pernah hisap ganja dekat asrama. Bila dah high, aku langsung lupa semua benda. Aku lupa apa aku buat, aku lupa mana aku lalu. Aku lupa apa aku cakap. Tapi, yang aku ingat, tapi kabur-kabur, aku rasa, aku ada main bola petang tu. Lepas tu, aku jatuh pengsan. Dan orang ramai angkat aku, baringkan aku kat tepi. Dan bila aku dah terjaga dari 'high' aku, aku tanya sorang kawan aku - ada tak aku main bola petang tu. Dan dia kata - tak. Tapi, aku rasa benda tu betul-betul berlaku. Itu adalah ilusi. Dan ilusi dalam realiti tu pula, macam..," Azrul meletupkan ke semua jari-jemarinya, dan menyambung,

"Ilusi dalam realiti tu macam, kau macam ingat kau tengah buat sesuatu perkara. Tapi, sebenarnya, tak. Lebih kurang macam ilusi. Tapi, sebagai contoh yang lain ; kau macam tengah jalan di satu tempat, dan kau terasa macam kau ada kutip sampah kat tepi jalan tu. Tapi, sebenarnya, tak. Kau tak kutip pun sampah tu. Tapi kau rasa macam kau ada kutip. Tapi, sebenarnya tak. Ha. Faham tak?"

"Ok. Aku faham sikit," balas Akif, ringkas.

"Dan aku selalu takut, aku selalu bimbang, aku selalu risau, kalau-kalau apa yang aku tengah buat, atau apa yang aku tengah borak, adalah ilusi semata-mata di dalam realiti yang sedang aku jalankan. Macam sekarang ni, aku tengah borak dengan kau. Aku takut, kalau tiba-tiba, sebenarnya, aku tengah borak sorang-sorang. Dan sebenarnya, kau tak ada pun dekat depan aku," kata Azrul, lagi.

"Atau sebenarnya, kau tak pernah wujud," sambung Azrul lagi, perlahan.

"Azrul," Akif bersuara.

"Azrul, kau rasa, perbualan kita ni, realiti kita ni, benar-benar realiti, atau ilusi?"

Azrul diam. Dia memandang Akif. Anak mata Azrul menatap benar-benar dalam ke mata Akif. Dia tidak bereaksi apa-apa. Mukanya tidak tercarik apa-apa perasan. Dan sekejap pula selepas itu, Azrul tersenyum. Dia memandang Akif, tidak berkelip.

"Kau rasa?" kata Azrul, dengan senyum yang memanjang.

"Aku rasa?" Akif bertanya pada dirinya sendiri, pada Azrul semula, dan pada segala-galanya. Mindanya tiba-tiba terasa ringan, mencari jawapan, pada, rasa. Akif tiba-tiba terasa aneh. Seperti anak kecil yang dijagakan dari tidur, begitulah Akif. Dia tidak mampu merasa apa yang dirasanya.

"Aku rasa?" katanya, lagi.

"Mak rasa, dia gila lah," kata seorang perempuan tua kepada anaknya, sambil memandang Akif yang sedang diam mengetap bibir, seorang diri.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini