Dia ketap bibir, masih mencari kesudahan perkara yang ligat menerawang dalam imaginasinya. Dia cuba menggambarkan lagi, apakah perkataan yang tepat untuk mentafsirkan dirinya kala ini. Dia sebenarnya bingung, terlalu sukar memahami apa yang sedang berlaku. Sebetulnya dia amat letih, kerana kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang tidak diduga menimpanya.
“Kau ingat aku nak percaya ke perempuan macam kau ni? Sembilan kau cakap, sepuluh aku tak percaya! Dahlah, berambus. Aku tak nak tengok kau depan mata aku lagi!” Argh!!! Dia berteriak nyaring. Mengingatkan perkara itu sahaja, dia gelisah bukan main. Mana hendak letak muka bila ditengking sebegitu di hadapan khalayak ramai? Sekalipun dia melakukan kesilapan, tak bolehkah ditegur secara berhemah? Ini tidak, tengking je. Mujurlah semangatnya masih kuat, jika tidak mahunya berterabur juga air mata. Esok dia perlu menghadap jejaka tinggi lampai itu lagi. Sudahlah tinggi, rambutnya yang ikal dan sentiasa mempamerkan wajah serius cukup menggerunkan! Gasaklah! Yang penting aku tak sibuk hal dia. Takkan dia nak cari kesalahan aku jugak kan? Dia terus memadam lampu dan menarik selimut. Semoga hari esok dia akan lebih bertenaga untuk mengharungi segalanya.
Ahli kelab Tinta Warisan kolej masih lagi sibuk menata rias ruang utama pentas bagi menepati tema Puitis yang dikehendaki oleh pihak penganjur pertandingan teater. Mereka berganding bahu bagi memastikan hasil yang terbaik mampu diperolehi. Mata bulat gadis itu tertinjau-tertinjau bagai menantikan kelibat seseorang. Kedudukannya yang agak tinggi setelah memanjat tangga lipat, memudahkan tugas menghendap. Sambil tangannya mengikat tali banner, pandangannya masih ligat melilau. Tak semena-mena, kakinya hilang keseimbangan apabila tangga tersebut bergoyang. Dia menjerit semahunya bila menyedari dirinya akan jatuh sebentar lagi. Mestilah sakit bila terhempas ke lantai. Oh tidak!
Jejaka yang sedang ralit memeriksa skripnya mencampakkan buku yang berada dalam pegangan. Dia bergegas ke arah gadis yang hampir terjatuh itu lalu memegang tangga. Tangannya sama sekali tidak menyambut tubuh gadis itu dari terus terjelopok.
“Aduh!” Jerit gadis itu lagi. Dia benar-benar tersinggung dengan tindakan jejaka itu yang masih terpacak membetulkan kedudukan tangga.
“Kenapa awak tak biar je tangga tu hempap saya?” Bentak Hanis geram. Sakit hatinya diperlakukan begitu. Ingatkan nak tolong, tapi rupa-rupanya tolong tengok je.
“Saya tak nak bagi tangga tu rosak kalau jatuh, nanti kita jugak yang kena ganti. Kosnya mahal, saya tak sanggup,” ujarnya bersahaja sebelum meninggalkan gadis itu terkebil-kebil. Padahal dia malas nak ambil pusing mengenai gadis itu. Benda dah nak jadi, nak buat macam mana. Dah takdir… lagipun kemarahannya masih belum reda kerana gadis itu telah menumpahkan air pepsi ke atas buku skripnya. Habis kembang beberapa helai skrip yang telah siap dicetak itu hingga menghilangkan kesabarannya. Dia tak peduli sama ada si gadis sengaja ataupun tidak, yang penting skripnya perlu diganti semula. Mujur juga otaknya masih menyimpan memori mengenai jalan cerita yang ingin dihasilkan. Jika tidak, nayalah jawabnya!
“Aku tak sangkalah dia tergamak buat macam tu. Dah bedebuk je aku jatuh. Ada ke disambutnya tangga? Aku ni dibiarkan terkebil-kebil macam takde perasaan,” bebel Hanis geram. Bengang dengan tindakan jejaka berperwatakan dingin itu. Syahril diam sahaja memandangnya. Memberi laluan buat sahabat karibnya melempiaskan perasaan.
“Kau rilekslah. Dia memang jenis macam tu agaknya. Bagus apa dia tak ambik kesempatan,” bicara Syahril lagi sambil menenangkan sahabatnya. Senyuman yang terukir di bibirnya begitu mendamaikan hati. Hanis senyum semula. Adanya sahabat sejati seperti Syahril membuatkan dia takkan gusar menempuhi saat-saat yang mencabar sekalipun.
“Thanks Syah. Kau memang kawan aku, dunia akhirat. Jasmin macam mana? Tak gi jumpa dia ke?” Hanis mengalih topik. Melencong pula pada perihal gadis yang menjadi igauan sahabatnya siang dan malam. Terus sahaja sahabatnya itu tersengih-sengih ibarat kerang busuk.
“Aku okey je dengan dia. Tapi tengah tunggu masa nak declare. Aku tak nak terburu-buru,” perlahan suara jejaka itu kedengaran.
“Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang,” sempat lagi Hanis menyanyi. Suaranya yang tak berapa nak sedap itu memecahkan tawa Syahril. Terhibur jejaka itu melihat telatah gila-gila sahabatnya. Lalu mereka berdua seiringan menuju ke kedai makan berhampiran untuk mengisi perut.
Laili Hanis… sungguh indah nama si gadis. Namun, namanya tak seindah kisah cinta yang sering dimiliki. Hinggakan dia sering bertanya, mampukah dia bertemu dengan cinta sejati? Hanis menggumam sendiri. Pen di tangannya diletakkan perlahan-lahan. Buku conteng yang penuh dengan sebaris nama itu dibiarkan terbuka.
“Emir Rayyan! Emir….Em! Ray…Rayyan! Yan! Bluek!” Dia menjelirkan pula lidah. Geram bila mengingatkan pemilik nama itu yang kelihatan sombong dan dingin. Segala yang dilakukan oleh makhluk itu bagaikan tiada emosi dan perasaan. Namun, Hanis sendiri gagal mengerti akan tindakannya mengabadikan nama jejaka itu dalam buku conteng yang paling disayanginya. Alah! Kan boleh koyak je? Bisik hati kecilnya menghasut. Tak boleh! Aku sayang buku ni, tak nak ada cacat cela pun. Tapi tulis nama dia kat sini, bukan ke dah cacatkan buku kau yang cantik ni? Getus hatinya lagi. Hanis menepuk dahi. Matanya dipejam, cuba mencari rasional perlakuannya. Lantas terbayang satu persatu wajah jejaka yang pernah mendampinginya. Segalanya kerana satu benda. Tapi Emir berbeza. Lelaki itu bersungguh mempamerkan rasa tidak senang bila berhadapan dengannya, tambahan pula jejaka itu bagaikan tidak mengendahkan langsung statusnya. Meski kasar dan menjengkelkan, Emir tidak berpura-pura. Hanya menjadi dirinya sebenar. Insan beginilah yang Hanis mahukan untuk mengisi kekosongan hatinya. Namun ketukan pintu bilik membantutkan khayalannya.
“Masuk,” ceria dia memberi kebenaran. Lalu terjengul wajah Mak Siti, salah seorang daripada pembantu rumah yang menjaganya sejak kecil. Dia menghormati wanita itu lebih daripada seorang pembantu rumah, malahan dia selesa menganggap Mak Siti sebagai ibu angkatnya.
“Cik, Mak Siti dah siapkan makan malam. Mari turun makan dulu,” bicara wanita itu sambil mengusap rambut Hanis yang kerinting separas bahu. Hanis tersenyum lalu meraih tangan Mak Siti kesayangannya.
“Mak Siti, kan umi dan walid takde, jadi tak payahlah panggil cik. Kita berdua je kat rumah ini pun,” pintanya lembut. Wanita berusia separuh abad itu mengangguk.
“Yelah, Hanis. Meh turun dulu, nanti sejuk pulak lauknya,” sambung Mak Siti. Hanis memaut erat tangan Mak Siti lalu menuruni tangga bersama wanita itu sambil melintuk manja di bahunya.
“Sudah-sudahlah buat kerja kamu tu, Mir. Penat nenek tengok. Gi masuk tidur, dah lewat malam ni,” ngomel wanita tua itu sambil mengenakan anak tudung ke kepalanya.
“Takpelah nek, kejap lagi Mir tidur. Nenek tidurlah dulu. Tak payah teman Mir. Lagipun sikit je kerja ni,” balas jejaka itu sambil memujuk nenek kesayangannya.
“Nenek nak buat solat sunat hajat ni. Kamu masuk tidur dulu ye,” lembut wanita itu bersuara. Emir Rayyan tersenyum hingga menampakkan lesung pipit pada kedua belah pipinya.
“Nek, kita solat sunat berjemaah lah. Tunggu kejap, Emir pergi ambil wuduk,” dia menggeliat sebentar sebelum mengatur langkah menuju ke bilik tidurnya yang menempatkan bilik air. Salmiah menahan sebak mengenangkan kesungguhan Emir. Dia sungguh bersyukur kerana cucunya ini mampu dibesarkan sesempurna mungkin setelah ibu dan bapa Emir meninggal ketika mereka pulang ke rumah keluarga di Istanbul. Pada masa itu, Emir yang masih kecil terus dipeliharan oleh Salmiah, dan sesekali neneknya dari Istanbul akan menjenguknya pada hari Raya dan cuti-cuti umum. Sejuk hatinya, melihat Emir menjadi pemuda yang baik akhlak serta mementingkan agamanya.
Emir ketap bibir. Perempuan itu lagi! Kali ini apa pulak yang dia nak? Getus hati kecilnya. Hanis buat muka selamba, berpura-pura seolah langsung tidak perasan kelibat Emir. Syahril yang kebetulan berada tidak jauh dari laluan itu, menjerit memanggil Hanis.
“Wei, Hanis! Meh sini jap! Aku ada hal penting nak cakap kat kau!” Laung jejaka itu sambil melambai-lambaikan tangan. Hanis tergelak-gelak melihat perlakuan sahabat karibnya. Emir menjuihkan bibir. Meluat betul dia melihat telatah Hanis.
“Nama dia Hanis rupanya,” ngomel Emir sendiri.
‘Argh! Tak payahlah kau nak ambik tahu,’ tepis hati kecilnya.
“Hah! Apa dia yang kau beria sangat panggil aku?” Soal Hanis sambil bercekak pinggang. Seriuslah konon.
“Aku dah berterus-terang kat Jasmin. Dia pun setuju untuk jadi awek aku,” Bersinar-sinar mata Syahril tatkala dia menyampaikan khabar gembira itu kepada Hanis.
“Wow! Hebatnya kawan aku ni! Kau dah jumpa, aku ni bilalah agaknya,” suaranya yang tadi teruja kini kendur pula. Segalanya kerana teringatkan kisah cinta berlandaskan kemewahan yang dimiliki. Selama ini, jejaka mendekatkan diri kepadanya kerana dia dilahirkan sebagai anak orang berada. Sehinggakan, Hanis sendiri tidak tahu di mana silapnya dan mengapakah dia dipergunakan? Tak bolehkah mereka mencintai dia kerana dirinya, bukan kerana statusnya?
“Kau jangan bimbang, Hanis. Aku yakin, orang baik macam kau boleh dapat lelaki yang ikhlas. Setiap manusia memang dah ditakdirkan pasangan masing-masing. Asalkan kau rajin berdoa, mesti boleh jumpa dia. Cuma cepat atau lambat je,” pujuk Syahril penuh motivasi. Hanis terangguk-angguk. Ada benarnya kata Syahril. Mungkin juga, Allah mengujinya sebelum mengurniakan pasangan yang tepat buat dirinya.
“Aku yakin dapat jumpa seseorang yang tak pentingkan status aku, Syah,” bicara Hanis penuh mengharap. Syahril memicit pipi sahabat karibnya. Lantas Hanis menepuk paha Syahril. Mereka berdua bergelak ketawa. Emir yang masih tercegat, memandang dari jauh. Semakin meluat dan bengang jadinya. Tapi mengapa pula dia mesti berperasaan begini? Tak boleh jadi! Hatinya masih tegar menunggu seseorang…sekian lama dia menyimpan perasaan ini. Malah insan yang bertakhta di hati juga mengetahui betapa dalam cintanya.
Sekali lagi, kelab Tinta Warisan menganjurkan pertandingan. Dan Hanis terpaksa berdepan dengan Emir Rayyan tanpa rela. Sekali lagi dia terpaksa menahan telinga jika disindir oleh jejaka itu.
“Kau tolong tampal poster ni kat semua papan kenyataan kolej. Aku nak tengok semua dah beres sebelum pukul tiga,” tegas Emir mengeluarkan perintah. Hanis yang sibuk menyusun jadual agenda ahli jawatankuasa meletakkan kertas dari pegangan. Disambut huluran Emir dengan penuh geram. Masa ini jugalah nak suruh buat itu buat ini. Kan ramai lagi orang lain. Dia ketap bibir sambil memandang Syahril yang sedang sibuk dengan kamera Nikon D60 tergantung pada lehernya. Jasmin pula menemani sahabat baiknya itu, gembira Hanis melihat telatah mereka berdua. Betul-betul pasangan yang secocok dan bahagia!
“Tak guna punya ketua! Suka hati je bagi kerja kat aku! Dahlah kepala angin, tak tahu hormat orang langsung!” Kutuk Hanis sesedap rasa. Sudahlah kakinya terasa bagai hendak tercabut, mendaki tingkat demi tingkat anak tangga. Belum lagi dikira pinggangnya yang hampir patah. Kalaulah dijentik, pasti berterabur segala tulang temulangnya.
“Hah! Dah siap!” Lapor Hanis sambil mencebik. Emir tersengih nakal melihat gelagat gadis di hadapannya ini.
“Sekarang kau pergi beli air untuk aku. Dah kering tekak ni,” selamba betul jejaka itu memberikan tugas yang tidak termaktub dalam jadual tugas Hanis.
“Malas! Pergilah beli sendiri. Takkan duduk je dari tadi dah letih kot. Lain kali jimatkan air liur tu, tak payah bagi arahan bukan-bukan pada anak buah,” bidas gadis itu lalu menuju ke arah Syahril dan Jasmin. Terkulat-kulat Emir di situ. Wah! Berani nampak. Ejeknya dalam hati.
Hanis masih belum dapat melelapkan mata. Fikirannya asyik teringatkan sengihan nakal Emir serta sikap diktator sang jejaka tatkala memberikan arahan. Anehnya, dia mula merasakan suatu perasaan halus dalam sanubari. Malah, jantungnya mula berdegup pantas bila bibirnya menyebut sebaris nama milik Emir Rayyan. Dan dia perasan fakta yang satu ini, di mana Emir tidak berpura-pura dalam melayaninya. Buat pertama kalinya, dia merasakan berlangsungnya komunikasi semula jadi dalam pergaulan. Emir begitu nakal, serta langsung mengenepikan statusnya. Mungkin jejaka itu sudah dididik untuk bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa mengenal darjat. Rasa kagum kian menjalar dalam hatinya…lalu lenanya bertemankan bayangan wajah jejaka berlesung pipit itu.
Emir menadah tangan berdoa. Malam ini sekali lagi, dia dan nenek menunaikan solat sunat hajat. Terlalu banyak yang ingin dipintanya kepada Allah. Tetapi harapannya, moga hasratnya kali ini termakbul. Dia benar-benar berharap agar Allah memberikan petunjuk buat dirinya sama ada patutkah dia masih menunggu gadis yang teramat dicintai. Si dia sedang menuntut di perantuan, tidak diketahui bagaimanakah situasi sebenarnya? Ingat lagikah gadis itu kepadanya? Sedangkan dia siang malam memanjatkan doa agar kasih mereka sentiasa berkekalan. Namun dalam masa yang sama, Emir tidak mahu cintanya sia-sia buat insan yang mungkin telah memiliki pilihan lain. Hanya kepada Allah, dia bermohon moga segalanya tetap lancar. Andai Syakira telah berpunya, dia rela berpaling. Biarkan gadis itu bahagia dengan pilihannya. Semua ini adalah untuk kebaikan mereka berdua. Bukannya apa, hatinya semakin tawar memandangkan surat elektronik yang dihantar kepada gadis itu tidak berbalas, begitu juga dengan komen-komen dan mesej di Friendster. Saban hari dia menanti namun balasan dari Syakira tak juga kunjung tiba.
Berkat dari usaha dan kesungguhan ahli Kelab Tinta Warisan, satu pertandingan deklamasi sajak dan puisi telah berlangsung dengan jayanya. Majlis yang penuh berprestij itu secara tidak langsung mengangkat nama ahli-ahli yang bekerja keras bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar. Hari ini, selaku Pengerusi Tinta Warisan, Emir Rayyan mengadakan suatu perjumpaan bersama semua ahli jawatankuasa. Tujuan sebenar perjumpaan ini adalah untuk mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan serta pemberian cenderahati kepada setiap ahli yang telah bertungkus-lumus.
“Terima kasih kepada kamu semua yang bersusah payah untuk memastikan penganjuran kali ni lebih hebat dan mantap. Saya selaku pengerusi mengucapkan tahniah atas kejayaan kita. Semoga di lain masa kita dapat menghasilkan satu dan lebih lagi kejayaan hebat seperti ini,” ucap Emir penuh ikhlas. Seketika kemudian, dia memberikan cenderahati kepada ahli-ahli kelab Tinta Warisan. Bila saja tiba giliran Hanis, dia tersenyum manis. Namun dalam senyuman itu terselit suatu rahsia antara mereka berdua.
“Kau tunggu kat sini, aku ada hal nak cakap,” sempat Emir berbisik sebelum gadis itu berlalu. Terkejut badak Hanis dibuatnya! Membuntang seketika sepasang mata bulatnya.
Malas-malas dia melangkah semula ke tempat duduk. Syahril menyiku lengan sahabat karibnya sebagai isyarat untuk keluar dari dewan namun Hanis sekadar menggelengkan kepala.
“Psstt…jomlah keluar. Gi makan,” ajak Syahril seakan berbisik.
“Aku ada hal. Kau dengan Jasmin pergilah dulu,” balas Hanis lembut.
“Kau balik macam mana?” Soal jejaka itu meminta kepastian sedangkan selama ini mereka sering pulang bersama menaiki Mini Cooper kepunyaan Syahril. Tinggal di kawasan perumahan yang sama memudahkan mereka pergi ke kolej berdua.
“Aku boleh naik teksi. Kau jangan bimbanglah,” beritahu Hanis sambil tersengih. Syahril mengangguk sambil melambaikan tangan. Tergelak Hanis melihat tingkahlaku sahabat baiknya.
Selesai membantu Emir mengemaskan dewan serta menutup segala suis perkakasan elektrik, Hanis bergegas mahu pulang. Dia seakan tidak keruan bila bersama jejaka itu. Semakin dekat dirinya dengan Emir, semakin gelisah hatinya. Mungkin Emir tidak menyedarinya, namun dia mahu mengelakkan diri dari terus terjerumus dalam perasaan yang membebankan ini.
“Hanis! Lepaklah dulu. Takkan cepat sangat nak balik?” Tegur Emir sambil memastikan pintu dewan telah dikunci.
“Dah siap kemas dah. Ada kerja lagi ke?” Bicara Hanis sambil membetulkan beg sandangnya.
“Bukan, aku nak belanja kau makan. Sebab kau yang paling banyak tolong aku,” laju kalimat itu terlafaz dari bibir Emir. Namun pandangan matanya meliar. Menimbulkan kesangsian di hati Hanis.
“Ikhlas ke? Kalau tak, baik tak payah,” tanya Hanis menginginkan kepastian. Melihat dari cara jejaka itu bercakap dengannya, macam main-main sahaja.
“Aku ikhlas, jom,” kali ini Emir benar-benar menunjukkan keikhlasan. Sepasang mata hazelnya merenung wajah lembut Hanis. Mereka berdua terpaku seketika. Namun, seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan berhampiran menyedarkan keduanya.
“Naiklah,” pelawa Emir lalu menghulurkan topi keledar kepada Hanis. Gadis itu cuba menahan dirinya dari terjelepok. Manakan tidak, lembik lututnya bila Emir meminta dia membonceng skuter berwarna putih itu. Dia terpaksa akur demi menghormati permintaan ketuanya untuk keluar makan bersama. Lambat-lambat Hanis menyambut topi keledar lalu dipakai penuh berhati-hati.
Dia cuba menjarakkan diri daripada duduk terlalu rapat dengan Emir, namun tindakan jejaka itu brek mengejut membuatkan tubuhnya terdorong ke depan. Tanpa sedar, sepasang tangannya memeluk erat pinggang Emir. Merah wajahnya menahan malu. Namun dia lega. Entah kenapa, terselit rasa dilindungi bila memeluk jejaka ini. Emir menahan debaran. Bibirnya diketap. Sungguh, dia bukan sengaja. Tindakan kereta di depan yang berhenti mengejut membuatkan dia terpaksa melakukan tindakan yang serupa.
Hanis benar-benar tidak menyangka, di sebalik kegarangan dan kedinginan Emir tersembunyi sikap melindungi dan menghormati dalam diri jejaka itu. Sungguh terpegun dirinya tatkala Emir memberikan layanan istimewa sewaktu mereka berdua menjamu selera tadi.
Dia melayari laman web Friendster untuk menerima Emir sebagai kawan. Dia meneliti satu persatu butiran data peribadi jejaka itu. Paling penting adalah status. Dia tergelak kecil bila melihat perkataan single tertera. Ini bermakna dirinya masih punya peluang! Menyedari imaginasinya terlalu jauh, Hanis menampar pipi sendiri.
Emir Rayyan tersengih-sengih melayan angannya. Jemarinya cekap menekan huruf-huruf pada papan kekunci. Dia membaca profil Hanis. Seketika kemudian, dia melihat pula koleksi gambar gadis tersebut. Tergelak lucu bila terpandang gambar Hanis bersama kawan-kawannya bergambar sambil membuat mimik muka terkejut. Suatu perasaan istimewa mula memekar dalam dirinya. Namun dia belum pasti adakah ini nyata. Kerana dirinya masih menaruh harapan buat gadis bernama Syakira.
Lima bulan telah berlalu, balasan dari Syakira tak kunjung jua. Sedangkan, dia semakin resah. Menerima layanan yang begitu jujur dan ikhlas dari seorang gadis yang pernah dibencinya suatu ketika dulu. Laili Hanis… sekali lagi nama itu terdetik dalam hati. Emir mengetap bibir. Rambutnya yang ikal diraup. Sesekali keluhan berat terlepas dari bibirnya. Dia ingin membuka laman web Friendster dan membalas komen kawan-kawan lain. Namun, debaran kian menggila bila terpandangkan notis Syakira mengirimkan mesej buatnya. Lantas tanpa membuang masa, dikliknya frasa tersebut.
‘Salam… Mir. Ira tak pernah lupakan Mir. Ira harap kasih sayang kita akan berkekalan. Tunggu Ira balik bulan depan. Ira terlalu rindukan Mir, tapi terlalu banyak tugasan yang nak dibuat. Jumpa lagi, Syakira.’
Serta merta, Emir membalas mesej tersebut dan menukar statusnya. Dia meletakkan Syakira sebagai sahabat pertamanya, menggantikan tempat Hanis. Dia sudah berpunya! Syakira masih miliknya! Dia bersorak gembira hingga nenek yang sedang menyiapkan makan tengahari di dapur dapat mendengar teriakan itu. Namun dalam kegembiraan, terdesis rasa kurang enak dalam hatinya. Kecewakah dia? Kerana terpaksa memberikan sepenuh jiwa raga terhadap Syakira selepas ini. Tetapi kenapa perlu hadirnya keraguan sedangkan kepastian ini yang dinantikan sejak sekian lama?
Hanis benar-benar hairan melihat kelakuan Emir yang sungguh berbeza kebelakangan ini. Jejaka itu sentiasa tersenyum serta jarang naik angin. Bila mereka menghabiskan masa bersama, jejaka itu sering membicarakan perihal cinta.
“Kalau kau dah jumpa orang yang kau sayang dan dapat memiliki dia, apa yang kau nak buat untuk bahagiakan dia?” lancar Emir mengutarakan pertanyaan. Hanis terkedu. Seriuskah sahabatnya ini?
“Kalau aku, aku mestilah pastikan dia selesa dengan aku. Aku akan cuba untuk bahagiakan dia seadanya. Aku cuba untuk jadikan dia keutamaan, sebab dia yang paling bermakna dalam hidup aku,” panjang lebar Hanis menerangkan. Terbit senyum lebar di wajahnya. Emir tersengih menampakkan lesung pipit.
“Itulah yang aku rasa sekarang, Hanis. Gadis yang aku tunggu sekian lama dah terima aku untuk jadi teman hidupnya. Aku gembira sangat. Sampai tak tahu nak cakap apa lagi,” luah Emir bersungguh. Hanis terdiam. Jantungnya bagai hendak terhenti berdegup pada waktu ini juga. Terasa hatinya bagai dirobek. Tinggal lagi air mata yang sedang ditahan dari menitis di hadapan Emir Rayyan. Lantas dia memalingkan wajah dan menyandang beg sebelum meninggalkan Emir berseorangan. Terketar-ketar jemarinya mengeluarkan telefon bimbit dari saku bag sandang. Dia hanya mampu menghantar sms kepada Emir. Bibirnya telah kehilangan upaya untuk bersuara, dirinya menjadi lemah. Malah deru nafasnya bagaikan tersekat.
Hanis menyembamkan mukanya ke bantal. Terhinggut-hinggut dia melempiaskan perasaan. Berjuraian air mata membasahi pipi. Dia benar-benar kecewa. Belum pernah dia merasa sakit sebegini. Biarpun ditipu, dia masih dapat menahan kesedihan itu. Kesengsaraan yang dirasakan kali ini sungguh menyeksa. Hatinya terlalu rapuh untuk menahan kepedihan berkali ganda ini. Ternyata kasihnya buat jejaka itu tidak kesampaian. Hanis juga tidak dapat menipu dirinya sendiri. Dia tak mampu lagi untuk menatap wajah Emir buat seketika pun.
Ketiadaan Hanis yang sering memotivasikan dirinya serta gelak ketawa gadis itu yang menjadi penghiburnya bagai kian menjauh. Hanis semakin jarang online di Friendster, malah gadis itu bagaikan tidak punya masa untuk bergurau senda dengannya. Setiap kali dia mempelawa Hanis untuk makan bersama, ada-ada saja alasan gadis itu untuk menolak. Emir sungguh bingung. Dia benar-benar memerlukan Hanis untuk melengkapkan hari-harinya. Bayangan dan janji-janji Syakira semakin kabur. Ingatan terhadap gadis yang berada jauh di perantuan semakin menghilang, bagai angin lalu.
Emir telah membuat keputusan yang nekad dan dia takkan berpaling lagi. Dia sungguh yakin. Sekeping hatinya ini telah dimiliki oleh gadis yang pernah dimusuhi suatu ketika dulu. Kegembiraan hanya akan hadir jika dia melihat senyuman terukir pada bibir Laili Hanis. Kesedihan baginya adalah hiba bagi gadis itu tatkala bermuram durja. Emir pasti dia takkan tersalah langkah.
“Hanis! Kau nak gi mana tu? Aku nak ajak kau keluar ni!” Laung Emir apabila ternampak kelibat Hanis. Gadis itu buat-buat tak dengar. Dia terus menghayun langkah. Emir tidak dapat bersabar lagi. Dia menuju ke arah Hanis lalu menghalang laluan gadis ini. Hanis ketap bibir. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu rupa.
“Kau dah pekak ke? Aku tak kira kau nak atau tak, aku takkan berganjak kalau kau tak nak ikut!” Tengking Emir. Hanis terpempan. Air matanya berlinangan. Terbit rasa bersalah dalam hatinya, namun Emir tetap tayang muka selamba. Ditariknya tangan Hanis. Dalam langkah kaku, gadis ini mengekorinya. Dia menghulurkan topi keledar. Hanis menyambutnya sambil menangis teresak-esak.
“Duduk elok-elok, peluk aku kalau tu boleh buat kau rasa selamat,” bicara jejaka itu lagi sebelum menghidupkan enjin skuter. Sepanjang perjalanan, Hanis tak henti-henti menangis. Emir dapat merasakan bahagian belakangnya basah dek lelehan air mata gadis itu. Aku minta maaf, sayang. Bisik hati kecilnya.
Sesampainya di pantai itu, Emir memberhentikan skuternya. Dia membantu Hanis menanggalkan topi keledar. Sebaik sahaja melihat wajah Emir yang kelihatan serius, semakin kuat tangisan gadis itu. Emir merenung wajah yang basah dengan lelehan air mata itu tanpa mengucapkan sepatah kata. Lantas dirangkulnya wajah Hanis ke dalam pelukan. Diusap-usap rambut Hanis.
“Syhhh… jangan nangis lagi. Aku tak suka tengok kau nangis. Lebih-lebih lagi kalau kau nangis sebab aku. Aku nak kau berbahagia, Hanis,” ucap Emir lembut. Dia meleraikan pelukan dan mengeluarkan sejambak bunga ros dari bekas topi keledar. Dia menghulurkan bingkisan bunga berwarna merah itu kepada Hanis yang masih terpinga-pinga.
“Untuk kau,” bicara Emir romantis. Hanis serba salah untuk menerima. Benarkah bunga yang dibalut cantik ini untuk dirinya?
“Terima kasih,” dia mencium bunga tersebut. Sungguh harum baunya. Kad yang terselit pada jambangan bunga itu diambil. Satu persatu ayat yang tertulis dibaca.
Mencintai…
Terlalu jauh bezanya dengan suka
Tetapi aku tidak sangsi
Benar…
Aku mula mencintai dirimu
Bukan sekadar suka
Malahan aku perlu kamu
Untuk mengisi kekosongan ini
Sekali lagi air mata berlinangan di pipi Hanis. Emir mendakap gadis itu. Perasaan hatinya takkan ragu lagi. Hanis memang gadis yang dicari-cari selama ini.
“Aku sayangkan kau, Hanis. Aku cintakan kau. Aku tak peduli apa akan jadi lepas ni, dan aku harap kau dapat terima aku seadanya. Aku takkan lepaskan engkau, selagi kita masih bernafas. Setiap denyutan nadi aku, penuh dengan cinta untuk kau,” ucap Emir lagi. Hanis sungguh bersyukur kerana akhirnya dia menemui insan yang benar-benar tulus mencintai dirinya. Emir menumbuhkan keyakinannya untuk terus mempercayai cinta! Bagi Emir pula, dia telah mengerti kehendak hati. Syakira hanyalah insan yang pernah disukai tetapi Hanis sememangnya gadis yang terlalu dicintai.