rss

Izzah merenung wajahnya di cermin. Dia tampak sungguh pucat dan lesu. Seluruh tubuhnya terasa tidak bermaya. Menggigil jemarinya untuk memegang objek meski ianya sekadar lip gloss. Dioles pengilat bibir itu lebih kurang supaya bibirnya tampak lebih segar. Hatinya berdebar-debar. Duduknya tak kena. Permintaan mama dan papa terlalu berat untuk ditunaikan. Sungguh besar impian mereka terhadap dirinya.

Oh Tuhan! Bantulah hambaMu ini membuat keputusan agar tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Kepalanya digeleng berulang kali. Deringan telefon bimbit menandakan satu panggilan diterima. Terseksa rasanya hendak menjawab panggilan tersebut.

“Mana kau ni? Turunlah cepat! Ingat puteri raja ke nak tunggu lama-lama?” Meninggi nada jejaka itu.

Izzah menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga. Hish! Tak habis-habis nak bagi arahan diktator dia tu! Pagi-pagi lagi dah rosakkan mood orang. Izzah mengambil tas tangannya dari birai katil. Bibir nipisnya terkumat-kamit mengeluh. Langkahnya kalut menuruni anak tangga. Kelibat mama, papa dan adik kembar kesayangannya di meja makan membuatkan hatinya terasa begitu ingin menyertai mereka namun segalanya musnah disebabkan si kepala batu itu. Huh!
“Makan dulu Kak Long?” Pelawaan ibunya terpaksa disambut dengan gelengan.
“Tak sempatlah ma. Am dah tunggu tu. Tak tahulah kenapa rajin sangat datang pagi pagi buta,”
Sempat lagi Izzah merungut sambil menyarung sandal ke kakinya. Papanya tersenyum penuh makna. Ifthar dan Izzlin sengih nakal.
“Baguslah kak long. Abang Am tu menepati janji,” sampuk mereka berdua serentak. Memanglah si kembar ini sekepala. Biar pun berbeza jantina dan wajah langsung tidak seiras, perangai mereka tidak jauh berlawanan.

Whatever lah adik-adikku, okeylah ma pa. Kak Long keluar dulu,” jawab Izzah sambil lewa. Gelisah rasa hatinya tatkala melihat kereta Honda CRV putih milik Aminul Akram. Apalah agaknya nasib dirinya selepas ini?
Pintu kereta dibuka penuh berhati-hati. Mencuka wajah Am sebaik terpandang kelibat Izzah.
“Awal keluar?” Perli jejaka itu dengan nada sinis.

Izzah menghela nafas sedalam mungkin. Dia dah mula dah! Kau sabar jelah Izzah. Kata hatinya diturut kerana gadis ini bencikan suasana tegang. Meski dilahirkan sebagai anak sulung dalam keluarganya, dia membesar sebagai kakak yang lembut, penyayang namun dalam masa yang sama tegas. Dia tidak menggemari orang yang berperwatakan garang!
“Aku tanya kau lah. Kenapa tak jawab?” Soal Am sambil merenung tajam ke arah Izzah.

Tanpa gadis itu sedari, dia menjerit kegembiraan dalam hati kerana berjaya membawa gadis itu keluar untuk menemaninya hari ini. Siaplah kau Izzah! Sedetik mata nakalnya menjamah seraut wajah manis gadis bertudung di hadapannya ini. Agak cantik juga! Wajah campuran Arab-Melayu Izzah meredupkan pandangannya.

“Saya berbual dengan mama papa tadi. Terlupa pulak yang awak tengah tunggu,” balas Izzah selamba.

Am jungkit kening. Boleh tahan tahap selamba perempuan ni. Sedangkan semasa mereka menuntut di universiti dalam kelas yang sama dulu, gadis di sebelahnya ini lebih senang mendiamkan diri dan suka berkawan dengan pelajar perempuan. Boleh dikira dengan jari berapa orang sahaja kawan lelakinya. Termasuklah Am sendiri. Tidak kurang juga, ada yang beranggapan gadis ini sombong padahal hakikatnya dia sememangnya pendiam.

“Kau ingat kau tu puteri raja ke nak suruh aku tunggu lama-lama? Lain kali keluarlah awal sikit. Sepatutnya kau yang tunggu aku, bukan aku tunggu kau,” tak habis-habis lagi Am hendak menyakitkan hati Izzah. Gadis itu menggeleng kepala. Dia mengetap bibir.
“Awak ada apa-apa hal penting ke untuk bawak saya ni? Kalau rasa nak cari gaduh, hantar saya balik. Saya tak kuasa nak layan orang macam awak,” lembut sahaja suaranya meniti di pendengaran Am namun kata-katanya tegas. Am tersengih nakal. Mestilah aku ada perkara penting untuk kau, Izzah!
“Jangan harap aku nak hantar kau balik. Kau kena teman aku hari ni. Mula-mula, kita pergi rumah ibu dulu. Dia nak jumpa kau. Lepas tu, aku nak kau teman aku shopping,”

Heh? Lelaki pun minat membeli belah ke? Hahaha… Izzah tergelak dalam hati. Bagus sangat ke citarasa dirinya sampaikan perlu menemani Am ke pusat membeli-belah?
“Baiklah!” Izzah kembali mendiamkan diri.

Matanya ralit mengamati pemandangan di sepanjang perjalanan menuju ke kediaman keluarga Aminul Akram. Maklumlah, vila keluarga jejaka itu terletak di pinggir bandar. Tentulah laluannya penuh dengan kehijauan alam semulajadi.

Terbakar sungguh hatinya. Bagaikan kesabaran tinggal penghujung sahaja lagi. Melampau sungguh si Am ni! Berani bermain dengan perasaan nampaknya! Izzah termangu sendiri. Sudah banyak kali mereka keluar bersama. Namun setiap kali jugalah, Am sering membuat onar.
Dia teringatkan kad kredit yang diberikan oleh jejaka itu seketika tadi. Masih terngiang-ngiang di telinganya pesanan beracun Am.
“Kau gunalah kad ni sesuka hati, beli apa je yang kau nak. Tapi ingat, jangan ganggu kami. Nanti kalau ibu tanya, kau cakaplah yang kita keluar macam pasangan lain jugak,” Fuh! Pedas betul ayat jejaka tersebut. Dah naikkan kemarahan aku ada hati pulak nak suruh aku menipu mak engkau?

Tanpa mengira sakit hati dengan jantung yang berdegup laju bagaikan mahu tercabut, Izzah bergegas menuju ke The Manhattan Fish Market untuk mengisi perutnya sekenyang yang boleh. Rasakan! Kau berdating dengan awek, aku berdating dengan makanan. Aku pun boleh buat apa yang kau boleh buatlah Am! Seketika kemudian, dia bergegas pula masuk ke butik Guess dan Mark and Spencer untuk membeli beberapa helai pakaian. Dia hanya mengambil beberapa helai keluaran terbaru tanpa berfikir panjang. Agak-agak sesuai, bayar sahajalah!

Am memaut erat jemari gadis kesayangannya. Dielus rambut mengurai milik kekasih hati. Haruman yang serasi pada tubuh gadis berpenampilan anggun ini menambat hati lelakinya. Sambil itu matanya sempat memerhatikan gelagat Izzah yang ralit merenung sehelai dress.
Lantas Am meraih tangan kekasih hatinya lalu menuju ke arah gadis tersebut dengan niat untuk menyakitkan hati. Izzah yang menyedari kehadiran jejaka itu terus keluar dari butik kegemarannya dengan rasa geram membuku di hati.
“Melissa, you berkenan baju mana ya sayang? Jangan segan, pilih je,” penuh romantis Am menutur kata.

Tanpa menunggu ayat seterusnya, Melissa mencapai beberapa helai dress yang telah diidamkan sekian lama. Bila saja tangannya hendak mencapai dress kegemaran Izzah, Am menyekat keinginan kekasih hati kesayangannya.
“Yang ni tak sesuai dengan you lah, honey. You terlalu cantik untuk pakai dress macam ni. Biar I pilihkan,” dalam leka Melissa memilih pakaian, Am mengisyaratkan pelayan supaya membungkuskan dress tadi secara diam-diam supaya tidak disedari oleh Melissa.

Setelah menghantar Melissa pulang, Am mahu mencuri sedikit waktu untuk berdua-duaan dengan Izzah. Banyak yang ingin dibicarakan bersama gadis itu. Namun hasratnya bagaikan terbantut apabila Izzah langsung enggan bersuara apa lagi memandang mukanya.
“Awak hantar saya balik sekarang. Saya letih,” Pendek sahaja ayat yang meluncur keluar dari bibirnya. Am ketap bibir.
“Tak boleh! Kau kena temankan aku makan! Jangan nak tunjuk muka masam depan aku!” Tengking Am tanpa sengaja.
Serta merta meletus kemarahannya. Tidak bersetuju sama sekali dengan permintaan Izzah. Hatinya merasa tak senang andai saja Izzah ingin balik secepat ini. Baru nak masuk pukul 7 malam. Apa salahnya makan malam bersama?
“Yang awak nak tengking saya ni kenapa? Awak fikir awak je ke yang ada perasaan? Awak je yang pandai menengking? Awak je yang ada angin? Saya dah cuba nak berbaik dengan awak, saya bersabar je sepanjang masa. Tapi awak? Saya rasa semua ni buang masa je! Tak guna kita habiskan masa dengan bertengkar macam ni!” meninggi nada Izzah.
Lepas segala kemarahan yang dipendam selama ini. Membulat mata Am. Terkebil-kebil dia melihat aksi Izzah seketika tadi. Wajah gadis itu yang putih melepak naik merah padam semasa menjerit tadi.
“Rilekslah, Izzah. Aku tak sengaja nak tengking kau,” gadis itu membulatkan matanya. Gerun Am memandang. Longlai terasa tangannya untuk memegang stereng. Sesekali Izzah naik angin, menakutkan betul!
“Apa tak sengaja? Bukan ke awak selalu tengking saya? Memang hobi awak sakitkan hati saya kan? Saya tahulah, saya bukan Melissa awak untuk dijaga dengan penuh kasih sayang,” Izzah mula teresak-esak.
Am memberhentikan kereta di bahu jalan. Emosional pula si Izzah. Puas pula hendak memujuk gadis ini. Menangis mengalahkan budak kecil. Kepalanya tergeleng-geleng.
“Aku hadiah untuk kau. Nak tak?” Erk? Boleh tanya nak ke tidak? Ikhlas ke tak kau ni Am? Bergema kata-kata itu dalam kotak fikiran Izzah.
“Mana ada orang yang bagi hadiah tanya nak ke tak? Saya bukan budak kecik. Bila menangis kena pujuk dengan hadiah,” tangisannya kedengaran semula. Am cepat-cepat mencapai kotak berbungkus elok dengan ikatan reben. Izzah tercengang menerima huluran tersebut.
“Wah! Baju ni, mana awak tahu saya suka? Tapi, saya tak boleh terima. Melissa lebih layak,” ditutup semula kotak itu. Am menghalang tindakannya.
“Kau paling layak untuk pakai dress ni. Tapi pakai depan aku je lepas kita kahwin,”

Tegas Am. Bagi jejaka itu dia berpegang teguh dengan kata-kata yang dilafazkan seketika tadi. Dia bersungguh dengan ucapan tersebut. Dia akan berusaha menjaga hati Izzah setelah mereka bergelar suami isteri kelak. Cuma, dirinya tidak pasti adakah mampu untuk dia meninggalkan Melissa begitu sahaja? Kuatkah dirinya untuk melihat air mata wanita itu menitis apabila dia sah menjadi suami Izzah nanti?
Izzah tersengih. Selamba jejaka itu menyeka air mata yang masih menitis di pipinya. Senyuman manis terukir di bibir. Segera jejaka bermata bundar itu membawa Izzah ke restoran kegemarannya untuk menikmati makan malam.
“Terima kasih sebab kau sanggup temankan aku tadi. Tak ambik baju-baju ke?” Tanya Am kehairanan bila Izzah keluar dari keretanya dengan hanya mengambil tas tangan dan baju yang dihadiahkan olehnya tadi.
“Semua tu untuk auntie. Tentu awak dah lama tak belikan dia hadiah kan? Saya cuma tolong awak je,” jawab Izzah bersahaja.
Malu pula rasanya. Memang benar, sudah agak lama dia tidak meluangkan masa untuk menemani ibu dan membelikan hadiah buat wanita yang paling bermakna dalam hidupnya. Izzah sungguh baik. Ada sayangnya buat gadis ini namun, waktu yang begitu panjang menjadi saksi hubungannya dengan Melissa membuatkan dia tidak sanggup untuk melepaskan gadis itu.

“Aku terima nikahnya Izzah Nuraisya binti Idris dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,” terikat sudah kedua-duanya sebagai suami isteri yang sah.

Aminul Akram menyarungkan cincin platinum bertatahkan berlian ke jari manis isterinya. Dikucupnya dahi si isteri penuh kasih sayang. Izzah menitiskan air mata terharu. Hari ini dia telah sah bergelar isteri kepada jejaka yang teramat dicintainya sejak mereka bergelar pelajar universiti lagi. Namun sayangnya, jejaka ini tidak pernah mengetahui betapa hebat cinta dalam hatinya. Malahan dia terpaksa akur berkahwin dengan jejaka yang telah punya kekasih hati demi persahabatan keluarga mereka. Bukan salah Am sekiranya tiada rasa cinta buat dirinya. Apa yang dia harapkan adalah penghormatan seorang suami terhadap isteri yang telah dinikahi di hadapan wali iaitu papanya sendiri.

Pertama kali tinggal sebilik dengan insan yang sering bertengkar dengannya membuatkan Izzah tak senang duduk. Sedangkan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri perlu dilaksanakan mengikut kemahuan suami. Meski Am belum bersuara, dia harus wajib mengingatkan diri sendiri mengenai peranan yang digalas sebagai seorang isteri.
“Izzah, mari duduk sini,” lembut Am memanggil isterinya.
Dengan penuh debaran, Izzah menuruti kata suaminya. Ditatap wajah isterinya yang begitu jelita. Enggan leka dibuai perasaan, Am mencabut satu persatu pin yang diletakkan pada tudung isterinya. Tudung krim dan skaf yang menghiasi kepala Izzah ditanggalkan dengan berhati-hati. Terurai rambut ikal separas pinggang milik isterinya. Lembut dan harum sungguh mahkota isterinya itu. Naluri lelakinya bergetar.
“Izzah, abang perlu cakap beberapa perkara ni supaya Izzah tak salah faham,” ucap Am lembut. Penuh bersopan.
“Cakaplah bang. Izzah sedia mendengarnya,” ujar gadis itu penuh kesediaan.
“Sebenarnya, abang masih belum dapat tinggalkan Melissa sebab abang perlu menghormatinya. Abang tak nak tengok dia menangis. Dan abang, abang tak mampu nak berikan nafkah batin kepada Izzah kerana abang tak sanggup mengkhianati Lissa. Lagipun, tentu tak adil buat Izzah sekiranya abang tetap nak sentuh Izzah. Kalau Izzah mengandung…” ayatnya putus di situ.

Izzah menahan air hangat yang bergenang di kolam matanya. Dia perlu membelakangi Am. Air matanya boleh menitis bila-bila masa sahaja. Dia harus mencipta alasan supaya tidak perlu menghadap wajah suaminya. Sebetulnya dia tidak mahu Am melihat air mata kekecewaannya mengalir.
“Owh! Ahahaha… Izzah tahu lah. Abang jangan risau. Izzah pun tak terfikir kita boleh berlebih-lebih. Izzah nak mandi ni, rasa rimas semacam,” Izzah berlalu ke tandas dengan gelaknya yang masih belum henti. Sedang hatinya merintih hiba. Am menarik nafas lega. Begitu mudah rupanya untuk menerangkan kepada Izzah. Isterinya memang memahami!

Sejak mendirikan rumah tangga, tidak banyak perkara yang berubah dalam hidupnya. Ada suami macam tiada suami. Sebagai penulis bebas, dia tidak terikat dengan sebarang aktiviti pada hujung minggu. Oleh sebab itu, semasa hari cuti umum seperti hari ini Izzah lebih senang menghabiskan masa dengan menemani Ifthar menjalani latihan  papan selajunya. Adiknya ini memang gemar melibatkan diri dengan sukan-sukan lasak. Pembabitan adiknya dalam sukan ekstrem mendapat sokongan keluarga sehingga mendapat pencapaian yang membanggakan dalam International X-Games.
“Kak long tak keluar dengan abang Am ke?” Soal anak muda berusia dua puluh satu tahun itu. Izzah tersenyum sambil menggeleng lembut.
“Tak. Abang Am tu sibuk sangatlah, If. Public Relations Officer biasalah kan?” Ifthar tersengih sambil membelek-belek skateboardnya.
“Yelah, dia nak bahagiakan kak long. Kak long tak bosan ke tengok If berlatih dari tadi? Kalau si Izzlin tu, tak henti-henti merungut. Panaslah, apalah. Tapi kan kak long, If rindu betul kat Lin. Sunyi je kalau takde dia,” masuk pula bab kembar perempuan kesayangannya. Izzlin sedang berada di Korea bagi menyambung pengajian dalam jurusan Kejuruteraan. Sebaliknya, If yang memiliki diploma multimedia memilih untuk menempa nama dalam sukan ekstrem sebelum menyambung kembali pengajiannya suatu hari nanti.
“Dia kan adik kita, mestilah rindu. Dah siap kemas ke? Jomlah pergi lunch pulak,” ajak Izzah sambil membantu adiknya membawa skateboard ke kereta.
“Kak long, mintak kunci? Biar If yang drive,” selamba jejaka itu menyuarakan permintaannya. Dia tidak mahu kak long kesayangannya ini keletihan.

Izzah memakai gaun tidur berwarna ungu lembut. Rambutnya yang masih basah sungguh harum. Losyen disapu ke badannya untuk melembutkan kulit. Kuakan pintu bilik membuatkan Izzah sedikit terkejut. Kelibat Am dengan wajah muram menerbitkan tanda tanya di benaknya. Tanpa menghiraukan Izzah yang masih asyik menyapu losyen, Am memeluk erat tubuh isterinya. Terlepas botol losyen dari pegangan Izzah. Tangan sasa Am kejap mendakap tubuh Izzah sehingga kedua-dua mereka terdorong ke katil. Mengongoi jejaka itu menangis. Izzah tercengang. Tidak menyangka sejauh itu tindakan Am!
“Mulai sekarang, tiada lagi Lissa dalam hati abang. Izzah yang paling baik untuk abang. Abang buta selama ni, sayang maafkanlah abang,” pipi mulus Izzah dikucup lembut. Rambut isterinya dielus berulang kali. Buat pertama kalinya, Izzah merasai kemanisan bergelar seorang isteri.

Dia menyiapkan diri sesempurna mungkin untuk menyambut suami yang akan pulang dari pejabat sebentar sahaja lagi. Makan malam awal-awal lagi telah disiapkan.
Dress pemberian Am disarung ke tubuh. Sedikit haruman Dior disembur ke leher dan pergelangan tangan. Semerbak bau harum memenuhi ruang bilik. Izzah bergegas menuruni tangga dan bersedia menunggu suaminya di pintu. Dia berbesar hati untuk melakukan kewajipan sebagai seorang isteri. Deruman enjin kereta menandakan Am telah pulang.
Tak berkelip matanya memandang isterinya. Dia benar-benar tergoda… Oh Izzah…isteri abang.

Izzah tersenyum bahagia mendengar penjelasan doktor di hadapannya. Bagaimanalah dia tidak menyedari kelainan yang ada pada diri sedangkan doktor menyatakan sudah hampir tiga bulan dia hamil. Namun, dia benar-benar bersyukur. Sangkanya diri mengalami sebarang masalah kesihatan memandangkan sudah lama tidak datang bulan. Sebaliknya, berita gembira ini menambahkan kebahagiaannya sebagai seorang isteri.

Sambil memandu pulang ke rumah, Izzah memasang earphone ke telinga sebelum mendail nombor telefon suaminya untuk menyampaikan berita gembira tersebut kepada Am. Agak lama sebelum panggilan bersambung, maklumlah suaminya sedang out station. Tentu banyak perkara yang perlu diuruskan.
“Assalamualaikum, abang. Tengah busy ke?” Soal Izzah penuh manja.
“Hmm… sorry. Am tiada di sini. Dia keluar. You nak apa?” Suara itu sungguh dikenalinya. Melissa! Apa yang sedang perempuan itu lakukan?
Izzah mematikan talian. Hancur luluh hatinya. Cepat benar manik-manik jernih menitik membasahi pipi. Adakah suaminya benar-benar outstation?

Kepulangan suami yang dinantikan sejak seminggu lalu tidak mendatangkan apa-apa erti lagi. Kesedihannya mengatasi perasaan teruja. Mesej dan panggilan telefon Am langsung tidak dijawab. Dia tiada hati untuk melakukan semua itu. Sebaik sahaja tiba di KLIA, Am sedaya upaya meninggalkan Melissa yang kembali dicintainya seminggu lepas. Dia sememangnya cuai. Membiarkan telefon bimbit berada di tangan Melissa.

Dia perlu menyediakan alasan yang paling realistik bagi memujuk Izzah. Tentu sahaja isterinya terluka.
Melihat isterinya yang sedang lena, Am tidak sampai hati untuk membangunkan Izzah. Izzah kelihatan letih dan tidak bermaya. Setelah menyedari kepulangan suaminya, dia membuka mata. Apabila terpandangkan kelibat Am yang bertuala dari pinggang ke lutut dengan rambut yang masih basah, dia memalingkan wajah.
“Sayang, kenapa ni?” Soal Am lembut. Berpura-pura seolah tidak mengetahui apa yang telah berlaku.
How’s about Melissa? Dia yang jawab panggilan Izzah,” lirih nada isterinya. Am duduk di birai katil menghadap Izzah. Tangan sasanya meraih jemari runcing Izzah.
“Sayang, abang jalankan kerjasama dengan syarikatnya. Kami tengah lunch dengan kakitangan lain. Tapi masa tu abang tak tahan sangat nak pergi tandas, so abang bagilah dia pegang handphone sekejap. Malas nak bawak, lagipun dia je yang abang kenal kat situ,” Izzah mengetap bibir.

Terasa berdosa menaruh syak wasangka terhadap suami sendiri. Walhal Am berkerja untuk menyara dirinya dan anak yang bakal lahir kelak.
“Izzah tahu tak, abang rindu sangat kat Izzah. Abang rindu nak makan masakan Izzah,” kata-kata si suami cukup mencairkan hati.
“Abang, Izzah ada berita gembira untuk abang. Izzah dah mengandung,” Am nyaris tersedak. Takkan secepat ini? Bagaimana dengan Melissa kelak?
“Alhamdulillah, berapa bulan sayang?” Am bersuara gembira. Dalam hatinya berbelah bagi menerima berita ini. Dia seperti tidak begitu menginginkan zuriat sebegini awal. Belum hampir setahun mereka mendirikan rumah tangga.
“Tiga bulan bang,” jawab Izzah penuh teruja.

Izzah mengusap perutnya yang kian memboyot. Kandungan yang masuk bulan keenam membuatkan pergerakannya sedikit terbatas. Perutnya juga kelihatan agak besar memandangkan dia sedang hamil kembar. Am masih belum diberitahu kerana dia ingin memberi kejutan. Lagipun hari ini suaminya telah berjanji untuk membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan bulanan. Tak sabar rasanya menunggu Am menjemputnya.
Deringan telefon bimbit yang tertera nama suami tercinta menambahkan kegirangan Izzah. Mungkin suaminya dah sampai.
“Assalamualaikum, Izzah. Abang ada kerjalah sayang. Tiba-tiba ada meeting. Abang ingat nak batalkan je meeting tu,” belum sempat suaminya menghabiskan ayat, Izzah memotong kata-kata suaminya meskipun sedikit hampa.
“Waalaikumussalam bang, jangan batalkan meeting tu. Izzah tak kisah, boleh pergi sendiri. Kita jumpa nanti ye, assalamualaikum,” suaranya sengaja diceriakan. Meski hatinya terdetik rasa terkilan.

“Kedua-dua baby puan nampak sihat. Mereka membesar dengan sempurna. Aktif betul mereka ya?”
Seronok doktor berusia empat puluhan itu bercerita perihal kandungan Izzah. Sesekali perut Izzah disentuh.
“Ha ah doktor. Mereka nakal jugak. Selalu menendang saya,” Tergelak Izzah bercerita. Lupa seketika tentang suaminya yang sedang sibuk.
“Saya jangkakan, baby puan ni boy and girl,” melopong mulut Izzah.
“Ye ke doktor? Alhamdulillah,” Izzah mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Nalurinya bagaikan tidak sabar untuk menatap wajah suami tercinta. Rindu benar rasanya. Izzah memandu penuh berhati-hati. Hajatnya ingin singgah ke pejabat Am sebentar untuk mengajak suaminya makan tengahari. Perutnya diusap lembut. Bayinya sedang menendang. Kata doktor, ini merupakan salah satu cara untuk janin berkomunikasi dengan ibunya.
“Sayang anak ibu,” ucap Izzah sepatah.

Am mengusap-usap pipi Melissa. Dengan lenggok penuh menggoda, gadis itu melonggarkan ikatan tali leher Am. Tidak terlintas keinginan untuk makan kerana Am sudah cukup puas dan terasa kenyang bila menatap Melissa.
Bunyi tombol pintu dipulas membuatkan mata Am bagai hendak terbuntang. Seakan terhenti nafas Izzah menyaksikan kelakuan sumbang dua insan di hadapannya ini. Hebatnya mereka bersandiwara. Melissa merapatkan dirinya ke dada Am apabila mendapati tetamu mereka pada tengahari itu ialah Izzah.
“Astharafirghullahalazim…” lututnya terasa begitu lemah. Sampai hati abang…Luluh hati Izzah menyaksikan keintiman suami yang begitu dicintainya dengan wanita lain. Selama ini dia ditipu hidup-hidup. Am menolak tubuh Melissa hingga jatuh ke sofa. Segera dia meluru ke arah Izzah yang sedang terpaku. Berderai air mata menitis di pipi isterinya.
“Abang tak sanggup nak tengok dia menangis kan? Jadi abang tentu tak rasa apa-apa sekiranya Izzah yang terluka? Abang hormat dia kan? Maknanya tak mengapalah jika Izzah rasa terhina? Abang dah kotakan kata-kata abang! Izzah tak sangka…”
Izzah menguatkan kudrat untuk melangkah ke kereta. Sungguh semangatnya terbang melayang. Kekuatannya hanya tinggal saki baki. Dia sungguh kecewa. Am bermain kayu tiga di belakangnya! Ini baru sebahagian saja, apa pula yang berlaku saat mereka menghabiskan masa berduaan dengan lebih lama lagi? Astharafirghullahaladzim….

Sebuah kereta datang dari arah bertentangan lalu merempuh tubuh Izzah.
Am terkedu! Jantungnya seakan terhenti melihat isterinya dilanggar sebegitu rupa. Tubuh Izzah dirangkul. Darah pekat yang mengalir dari celah kelangkang isterinya menyedarkan dia tentang sesuatu. Anak mereka! Ya Allah! Kenapa aku tidak pernah menghargai zuriat yang engkau berikan? Mengapa aku masih tegar berpaling dari kasih seorang isteri seluhur dia? Darah pekat yang membasahi hidung dan bahagian kepala isterinya membuatkan Am tak berdaya menahan pilu. Terhinggut-hinggu dia menangis. Mata isterinya terpejam rapat.

“Kami gagal menyelamatkan anak-anak encik,” suara hiba doktor itu mengundang sayu di hatinya.
“Maksud doktor?” Am menyoal lagi. Dia belum berpuas hati.
“Puan Izzah mengandung kembar. Dia dijangka melahirkan kembar tak seiras. Dia tak pernah beritahu encik?” Dugaan doktor tersebut ternyata tepat bila Am mengangguk.
“Mungkin dia nak bagi kejutan,” sepatah Doktor Latifah berkata sebelum berlalu dari situ.
“Kejutan? Izzah, maafkan abang sayang. Abang dah susahkan Izzah,” Am meraup wajahnya. Air mata lelakinya tak henti-henti mengalir. Wajah lesu Izzah menghimpitkan kekesalan dalam jiwanya. Selain tiub yang berselirat pada tubuh isterinya, Izzah juga perlu bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan. Am menggenggam erat tangan Izzah. Tersedu-sedan dia menatap wajah lesu milik wanita yang sekian lama dicintainya sejak zaman universiti lagi. Kerana ego yang tidak berasas, dia menghancurkan keindahan hidup yang sepatutnya dinikmati isteri sebaik Izzah. Dirinya terlalu buta. Buta menilai kebaikan Izzah.
  
Izzlin tersedu-sedan di sisi kakaknya. Beberapa helai pakaian bayi yang dibeli sebagai persiapan menyambut kedatangan orang baru terpaksa ditinggalkan di sana. Terkejut bukan kepalang bila mendengar berita kemalangan yang menimpa kak long. Ifthar memegang bahu adiknya.
“If, kak long If. Lin tak sanggup,” Lantas Ifthar mendakap kembarnya. Dia perlu berusaha menenangkan hati ahli keluarganya. Dia perlu kuat sekarang. Mama dan papa tentu sangat sedih. Dia kecewa dengan abang Am. Suatu masa dulu, abang iparnya dianggap sebagai idolanya namun kini, segalanya berubah setelah mendengar sendiri pengakuan daripada jejaka itu. Meski beribu kali ungkapan kata maaf itu meniti di bibir Am, biarlah masa yang menentukan sama ada bernilaikah ungkapan tersebut. Selagi kak long belum membuka mata, Ifthar tidak berdaya untuk bersuara.

‘Aku sungguh bahagia. Meski bukan mudah untuk dia menerima aku, namun aku tetap menunggu detik itu. Aku takkan pernah jemu kerana aku begitu mencintainya. Aku sungguh bertuah kerana berpeluang menjadi isteri lelaki yang sekian lama dicintai,’

‘Hati aku rasa nak pecah bila dia menyuarakan kehendaknya malam tadi. Takkan aku begitu teruk baginya? Aku tak layak dihormati? Maknanya air mata aku tak memberi sebarang nilai terhadapnya? Aku redha…’

‘Mengandung? Alhamdulillah. Aku gembira sangat. Tak sabar nak beritahu abang. Agaknya apalah reaksi dia? Aku harap dia rasa sebagaimana gembira yang aku rasa,’

‘Aku sering bersendirian menjalani pemeriksaan di klinik. Perut makin lama makin besar. Abang macam tak ambil kisah sangat, aku faham. Mungkin dia terlalu sibuk. Doktor sahkan aku mengandung kembar. Jantina? Aku tak kisah asalkan sihat. Nak bagi kejutan kat abang Amlah. Dia belum tahu lagi. Minggu depan dia janji nak temankan aku pergi klinik...seronoknya!’

Berderai air mata membasahi pipinya. Songkok di kepala ditanggalkan. Hanya diari ini menjadi kenangan yang ditinggalkan arwah Izzah Nuraisya berserta gambar-gambar perkahwinan mereka.
Kini hidupnya benar-benar kosong. Kosong tanpa Izzah. Izzah dan anak-anak mereka pergi mendahului dirinya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Izzah sempat memberi kemaafan padanya serta memohon maaf. Sebak menghimpit dada bila mendengar suara isterinya buat kali terakhir. Takkan dilupakan seumur hidupnya saat Izzah terkulai dalam pangkuannya. Bagai masih terasa dinginnya tika pautan jemari isterinya terlerai.

 Aminul Akram…saya sayang awak. Sayang sangat-sangat. Agaknya awak sayang saya tak? Tapi tak salahkan saya sayang awak? Hehehe…

Coretan ini menghiasi muka surat belakang diari tersebut. Warna dakwat yang hampir luntur dengan tarikh tercatat 23/5/05 membuatkan Am terlalu syahdu. Hampir enam tahun Izzah menulis rasa hati itu. Tiada kasih seluhur kasihmu, sayangku.

Dia ketap bibir, masih mencari kesudahan perkara yang ligat menerawang dalam imaginasinya. Dia cuba menggambarkan lagi, apakah perkataan yang tepat untuk mentafsirkan dirinya kala ini. Dia sebenarnya bingung, terlalu sukar memahami apa yang sedang berlaku. Sebetulnya dia amat letih, kerana kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang tidak diduga menimpanya.

“Kau ingat aku nak percaya ke perempuan macam kau ni? Sembilan kau cakap, sepuluh aku tak percaya! Dahlah, berambus. Aku tak nak tengok kau depan mata aku lagi!” Argh!!! Dia berteriak nyaring. Mengingatkan perkara itu sahaja, dia gelisah bukan main. Mana hendak letak muka bila ditengking sebegitu di hadapan khalayak ramai? Sekalipun dia melakukan kesilapan, tak bolehkah ditegur secara berhemah? Ini tidak, tengking je. Mujurlah semangatnya masih kuat, jika tidak mahunya berterabur juga air mata. Esok dia perlu menghadap jejaka tinggi lampai itu lagi. Sudahlah tinggi, rambutnya yang ikal dan sentiasa mempamerkan wajah serius cukup menggerunkan! Gasaklah! Yang penting aku tak sibuk hal dia. Takkan dia nak cari kesalahan aku jugak kan? Dia terus memadam lampu dan menarik selimut. Semoga hari esok dia akan lebih bertenaga untuk mengharungi segalanya.

Ahli kelab Tinta Warisan kolej masih lagi sibuk menata rias ruang utama pentas bagi menepati tema Puitis yang dikehendaki oleh pihak penganjur pertandingan teater. Mereka berganding bahu bagi memastikan hasil yang terbaik mampu diperolehi. Mata bulat gadis itu tertinjau-tertinjau bagai menantikan kelibat seseorang. Kedudukannya yang agak tinggi setelah memanjat tangga lipat, memudahkan tugas menghendap. Sambil tangannya mengikat tali banner, pandangannya masih ligat melilau. Tak semena-mena, kakinya hilang keseimbangan apabila tangga tersebut bergoyang. Dia menjerit semahunya bila menyedari dirinya akan jatuh sebentar lagi. Mestilah sakit bila terhempas ke lantai. Oh tidak!

Jejaka yang sedang ralit memeriksa skripnya mencampakkan buku yang berada dalam pegangan. Dia bergegas ke arah gadis yang hampir terjatuh itu lalu memegang tangga. Tangannya sama sekali tidak menyambut tubuh gadis itu dari terus terjelopok.

“Aduh!” Jerit gadis itu lagi. Dia benar-benar tersinggung dengan tindakan jejaka itu yang masih terpacak membetulkan kedudukan tangga.

Kenapa awak tak biar je tangga tu hempap saya?” Bentak Hanis geram. Sakit hatinya diperlakukan begitu. Ingatkan nak tolong, tapi rupa-rupanya tolong tengok je.

“Saya tak nak bagi tangga tu rosak kalau jatuh, nanti kita jugak yang kena ganti. Kosnya  mahal, saya tak sanggup,” ujarnya bersahaja sebelum meninggalkan gadis itu terkebil-kebil. Padahal dia malas nak ambil pusing mengenai gadis itu. Benda dah nak jadi, nak buat macam mana. Dah takdir… lagipun kemarahannya masih belum reda kerana gadis itu telah menumpahkan air pepsi ke atas buku skripnya. Habis kembang beberapa helai skrip yang telah siap dicetak itu hingga menghilangkan kesabarannya. Dia tak peduli sama ada si gadis sengaja ataupun tidak, yang penting skripnya perlu diganti semula. Mujur juga otaknya masih menyimpan memori mengenai jalan cerita yang ingin dihasilkan. Jika tidak, nayalah jawabnya! 

“Aku tak sangkalah dia tergamak buat macam tu. Dah bedebuk je aku jatuh. Ada ke disambutnya tangga? Aku ni dibiarkan terkebil-kebil macam takde perasaan,” bebel Hanis geram. Bengang dengan tindakan jejaka berperwatakan dingin itu. Syahril diam sahaja memandangnya. Memberi laluan buat sahabat karibnya melempiaskan perasaan.

“Kau rilekslah. Dia memang jenis macam tu agaknya. Bagus apa dia tak ambik kesempatan,” bicara Syahril lagi sambil menenangkan sahabatnya. Senyuman yang terukir di bibirnya begitu mendamaikan hati. Hanis senyum semula. Adanya sahabat sejati seperti Syahril membuatkan dia takkan gusar menempuhi saat-saat yang mencabar sekalipun.

Thanks Syah. Kau memang kawan aku, dunia akhirat. Jasmin macam mana? Tak gi jumpa dia ke?” Hanis mengalih topik. Melencong pula pada perihal gadis yang menjadi igauan sahabatnya siang dan malam. Terus sahaja sahabatnya itu tersengih-sengih ibarat kerang busuk.

“Aku okey je dengan dia. Tapi tengah tunggu masa nak declare. Aku tak nak terburu-buru,” perlahan suara jejaka itu kedengaran.

“Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang,” sempat lagi Hanis menyanyi. Suaranya yang tak berapa nak sedap itu memecahkan tawa Syahril. Terhibur jejaka itu melihat telatah gila-gila sahabatnya. Lalu mereka berdua seiringan menuju ke kedai makan berhampiran untuk mengisi perut.

Laili Hanis… sungguh indah nama si gadis. Namun, namanya tak seindah kisah cinta yang sering dimiliki. Hinggakan dia sering bertanya, mampukah dia bertemu dengan cinta sejati? Hanis menggumam sendiri. Pen di tangannya diletakkan perlahan-lahan. Buku conteng yang penuh dengan sebaris nama itu dibiarkan terbuka.

“Emir Rayyan! Emir….Em! Ray…Rayyan! Yan! Bluek!” Dia menjelirkan pula lidah. Geram bila mengingatkan pemilik nama itu yang kelihatan sombong dan dingin. Segala yang dilakukan oleh makhluk itu bagaikan tiada emosi dan perasaan. Namun, Hanis sendiri gagal mengerti akan tindakannya mengabadikan nama jejaka itu dalam buku conteng yang paling disayanginya. Alah! Kan boleh koyak je? Bisik hati kecilnya menghasut. Tak boleh! Aku sayang buku ni, tak nak ada cacat cela pun. Tapi tulis nama dia kat sini, bukan ke dah cacatkan buku kau yang cantik ni? Getus hatinya lagi. Hanis menepuk dahi. Matanya dipejam, cuba mencari rasional perlakuannya. Lantas terbayang satu persatu wajah jejaka yang pernah mendampinginya. Segalanya kerana satu benda. Tapi Emir berbeza. Lelaki itu bersungguh mempamerkan rasa tidak senang bila berhadapan dengannya, tambahan pula jejaka itu bagaikan tidak mengendahkan langsung statusnya. Meski kasar dan menjengkelkan, Emir tidak berpura-pura. Hanya menjadi dirinya sebenar. Insan beginilah yang Hanis mahukan untuk mengisi kekosongan hatinya. Namun ketukan pintu bilik membantutkan khayalannya.

“Masuk,” ceria dia memberi kebenaran. Lalu terjengul wajah Mak Siti, salah seorang daripada pembantu rumah yang menjaganya sejak kecil. Dia menghormati wanita itu lebih daripada seorang pembantu rumah, malahan dia selesa menganggap Mak Siti sebagai ibu angkatnya.

“Cik, Mak Siti dah siapkan makan malam. Mari turun makan dulu,” bicara wanita itu sambil mengusap rambut Hanis yang kerinting separas bahu. Hanis tersenyum lalu meraih tangan Mak Siti kesayangannya.

“Mak Siti, kan umi dan walid takde, jadi tak payahlah panggil cik. Kita berdua je kat rumah ini pun,” pintanya lembut. Wanita berusia separuh abad itu mengangguk.

“Yelah, Hanis. Meh turun dulu, nanti sejuk pulak lauknya,” sambung Mak Siti. Hanis memaut erat tangan Mak Siti lalu menuruni tangga bersama wanita itu sambil melintuk manja di bahunya.

“Sudah-sudahlah buat kerja kamu tu, Mir. Penat nenek tengok. Gi masuk tidur, dah lewat malam ni,” ngomel wanita tua itu sambil mengenakan anak tudung ke kepalanya.

“Takpelah nek, kejap lagi Mir tidur. Nenek tidurlah dulu. Tak payah teman Mir. Lagipun sikit je kerja ni,” balas jejaka itu sambil memujuk nenek kesayangannya.

“Nenek nak buat solat sunat hajat ni. Kamu masuk tidur dulu ye,” lembut wanita itu bersuara. Emir Rayyan tersenyum hingga menampakkan lesung pipit pada kedua belah pipinya.

“Nek, kita solat sunat berjemaah lah. Tunggu kejap, Emir pergi ambil wuduk,” dia menggeliat sebentar sebelum mengatur langkah menuju ke bilik tidurnya yang menempatkan bilik air. Salmiah menahan sebak mengenangkan kesungguhan Emir. Dia sungguh bersyukur kerana cucunya ini mampu dibesarkan sesempurna mungkin setelah ibu dan bapa Emir meninggal ketika mereka pulang ke rumah keluarga di Istanbul. Pada masa itu, Emir yang masih kecil terus dipeliharan oleh Salmiah, dan sesekali neneknya dari Istanbul akan menjenguknya pada hari Raya dan cuti-cuti umum. Sejuk hatinya, melihat Emir menjadi pemuda yang baik akhlak serta mementingkan agamanya.

Emir ketap bibir. Perempuan itu lagi! Kali ini apa pulak yang dia nak? Getus hati kecilnya. Hanis buat muka selamba, berpura-pura seolah langsung tidak perasan kelibat Emir. Syahril yang kebetulan berada tidak jauh dari laluan itu, menjerit memanggil Hanis.

“Wei, Hanis! Meh sini jap! Aku ada hal penting nak cakap kat kau!” Laung jejaka itu sambil melambai-lambaikan tangan. Hanis tergelak-gelak melihat perlakuan sahabat karibnya. Emir menjuihkan bibir. Meluat betul dia melihat telatah Hanis.

“Nama dia Hanis rupanya,” ngomel Emir sendiri.

‘Argh! Tak payahlah kau nak ambik tahu,’ tepis hati kecilnya.

“Hah! Apa dia yang kau beria sangat panggil aku?” Soal Hanis sambil bercekak pinggang. Seriuslah konon.

“Aku dah berterus-terang kat Jasmin. Dia pun setuju untuk jadi awek aku,” Bersinar-sinar mata Syahril tatkala dia menyampaikan khabar gembira itu kepada Hanis.

“Wow! Hebatnya kawan aku ni! Kau dah jumpa, aku ni bilalah agaknya,” suaranya yang tadi teruja kini kendur pula. Segalanya kerana teringatkan kisah cinta berlandaskan kemewahan yang dimiliki. Selama ini, jejaka mendekatkan diri kepadanya kerana dia dilahirkan sebagai anak orang berada. Sehinggakan, Hanis sendiri tidak tahu di mana silapnya dan mengapakah dia dipergunakan? Tak bolehkah mereka mencintai dia kerana dirinya, bukan kerana statusnya?

“Kau jangan bimbang, Hanis. Aku yakin, orang baik macam kau boleh dapat lelaki yang ikhlas. Setiap manusia memang dah ditakdirkan pasangan masing-masing. Asalkan kau rajin berdoa, mesti boleh jumpa dia. Cuma cepat atau lambat je,” pujuk Syahril penuh motivasi. Hanis terangguk-angguk. Ada benarnya kata Syahril. Mungkin juga, Allah mengujinya sebelum mengurniakan pasangan yang tepat buat dirinya.

“Aku yakin dapat jumpa seseorang yang tak pentingkan status aku, Syah,” bicara Hanis penuh mengharap. Syahril memicit pipi sahabat karibnya. Lantas Hanis menepuk paha Syahril. Mereka berdua bergelak ketawa. Emir yang masih tercegat, memandang dari jauh. Semakin meluat dan bengang jadinya. Tapi mengapa pula dia mesti berperasaan begini? Tak boleh jadi! Hatinya masih tegar menunggu seseorang…sekian lama dia menyimpan perasaan ini. Malah insan yang bertakhta di hati juga mengetahui betapa dalam cintanya.

Sekali lagi, kelab Tinta Warisan menganjurkan pertandingan. Dan Hanis terpaksa berdepan dengan Emir Rayyan tanpa rela. Sekali lagi dia terpaksa menahan telinga jika disindir oleh jejaka itu.

“Kau tolong tampal poster ni kat semua papan kenyataan kolej. Aku nak tengok semua dah beres sebelum pukul tiga,” tegas Emir mengeluarkan perintah. Hanis yang sibuk menyusun jadual agenda ahli jawatankuasa meletakkan kertas dari pegangan. Disambut huluran Emir dengan penuh geram. Masa ini jugalah nak suruh buat itu buat ini. Kan ramai lagi orang lain. Dia ketap bibir sambil memandang Syahril yang sedang sibuk dengan kamera Nikon D60 tergantung pada lehernya. Jasmin pula menemani sahabat baiknya itu, gembira Hanis melihat telatah mereka berdua. Betul-betul pasangan yang secocok dan bahagia!

“Tak guna punya ketua! Suka hati je bagi kerja kat aku! Dahlah kepala angin, tak tahu hormat orang langsung!” Kutuk Hanis sesedap rasa. Sudahlah kakinya terasa bagai hendak tercabut, mendaki tingkat demi tingkat anak tangga. Belum lagi dikira pinggangnya yang hampir patah. Kalaulah dijentik, pasti berterabur segala tulang temulangnya.

“Hah! Dah siap!” Lapor Hanis sambil mencebik. Emir tersengih nakal melihat gelagat gadis di hadapannya ini.

“Sekarang kau pergi beli air untuk aku. Dah kering tekak ni,” selamba betul jejaka itu memberikan tugas yang tidak termaktub dalam jadual tugas Hanis.

“Malas! Pergilah beli sendiri. Takkan duduk je dari tadi dah letih kot. Lain kali jimatkan air liur tu, tak payah bagi arahan bukan-bukan pada anak buah,” bidas gadis itu lalu menuju ke arah Syahril dan Jasmin. Terkulat-kulat Emir di situ. Wah! Berani nampak. Ejeknya dalam hati.

Hanis masih belum dapat melelapkan mata. Fikirannya asyik teringatkan sengihan nakal Emir serta sikap diktator sang jejaka tatkala memberikan arahan. Anehnya, dia mula merasakan suatu perasaan halus dalam sanubari. Malah, jantungnya mula berdegup pantas bila bibirnya menyebut sebaris nama milik Emir Rayyan. Dan dia perasan fakta yang satu ini, di mana Emir tidak berpura-pura dalam melayaninya. Buat pertama kalinya, dia merasakan berlangsungnya komunikasi semula jadi dalam pergaulan. Emir begitu nakal, serta langsung mengenepikan statusnya. Mungkin jejaka itu sudah dididik untuk bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa mengenal darjat. Rasa kagum kian menjalar dalam hatinya…lalu lenanya bertemankan bayangan wajah jejaka berlesung pipit itu.

Emir menadah tangan berdoa. Malam ini sekali lagi, dia dan nenek menunaikan solat sunat hajat. Terlalu banyak yang ingin dipintanya kepada Allah. Tetapi harapannya, moga hasratnya kali ini termakbul. Dia benar-benar berharap agar Allah memberikan petunjuk buat dirinya sama ada patutkah dia masih menunggu gadis yang teramat dicintai. Si dia sedang menuntut di perantuan, tidak diketahui bagaimanakah situasi sebenarnya? Ingat lagikah gadis itu kepadanya? Sedangkan dia siang malam memanjatkan doa agar kasih mereka sentiasa berkekalan. Namun dalam masa yang sama, Emir tidak mahu cintanya sia-sia buat insan yang mungkin telah memiliki pilihan lain. Hanya kepada Allah, dia bermohon moga segalanya tetap lancar. Andai Syakira telah berpunya, dia rela berpaling. Biarkan gadis itu bahagia dengan pilihannya. Semua ini adalah untuk kebaikan mereka berdua. Bukannya apa, hatinya semakin tawar memandangkan surat elektronik yang dihantar kepada gadis itu tidak berbalas, begitu juga dengan komen-komen dan mesej di Friendster. Saban hari dia menanti namun balasan dari Syakira tak juga kunjung tiba.

Berkat dari usaha dan kesungguhan ahli Kelab Tinta Warisan, satu pertandingan deklamasi sajak dan puisi telah berlangsung dengan jayanya. Majlis yang penuh berprestij itu secara tidak langsung mengangkat nama ahli-ahli yang bekerja keras bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar. Hari ini, selaku Pengerusi Tinta Warisan, Emir Rayyan mengadakan suatu perjumpaan bersama semua ahli jawatankuasa. Tujuan sebenar perjumpaan ini adalah untuk mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan serta pemberian cenderahati kepada setiap ahli yang telah bertungkus-lumus.

“Terima kasih kepada kamu semua yang bersusah payah untuk memastikan penganjuran kali ni lebih hebat dan mantap. Saya selaku pengerusi mengucapkan tahniah atas kejayaan kita. Semoga di lain masa kita dapat menghasilkan satu dan lebih lagi kejayaan hebat seperti ini,” ucap Emir penuh ikhlas. Seketika kemudian, dia memberikan cenderahati kepada ahli-ahli kelab Tinta Warisan. Bila saja tiba giliran Hanis, dia tersenyum manis. Namun dalam senyuman itu terselit suatu rahsia antara mereka berdua.

“Kau tunggu kat sini, aku ada hal nak cakap,” sempat Emir berbisik sebelum gadis itu berlalu. Terkejut badak Hanis dibuatnya! Membuntang seketika sepasang mata bulatnya.
Malas-malas dia melangkah semula ke tempat duduk. Syahril menyiku lengan sahabat karibnya sebagai isyarat untuk keluar dari dewan namun Hanis sekadar menggelengkan kepala.

“Psstt…jomlah keluar. Gi makan,” ajak Syahril seakan berbisik.

“Aku ada hal. Kau dengan Jasmin pergilah dulu,” balas Hanis lembut.

“Kau balik macam mana?” Soal jejaka itu meminta kepastian sedangkan selama ini mereka sering pulang bersama menaiki Mini Cooper kepunyaan Syahril. Tinggal di kawasan perumahan yang sama memudahkan mereka pergi ke kolej berdua.

“Aku boleh naik teksi. Kau jangan bimbanglah,” beritahu Hanis sambil tersengih. Syahril mengangguk sambil melambaikan tangan. Tergelak Hanis melihat tingkahlaku sahabat baiknya.

Selesai membantu Emir mengemaskan dewan serta menutup segala suis perkakasan elektrik, Hanis bergegas mahu pulang. Dia seakan tidak keruan bila bersama jejaka itu. Semakin dekat dirinya dengan Emir, semakin gelisah hatinya. Mungkin Emir tidak menyedarinya, namun dia mahu mengelakkan diri dari terus terjerumus dalam perasaan yang membebankan ini.

“Hanis! Lepaklah dulu. Takkan cepat sangat nak balik?” Tegur Emir sambil memastikan pintu dewan telah dikunci.

“Dah siap kemas dah. Ada kerja lagi ke?” Bicara Hanis sambil membetulkan beg sandangnya.

“Bukan, aku nak belanja kau makan. Sebab kau yang paling banyak tolong aku,” laju kalimat itu terlafaz dari bibir Emir. Namun pandangan matanya meliar. Menimbulkan kesangsian di hati Hanis.

“Ikhlas ke? Kalau tak, baik tak payah,” tanya Hanis menginginkan kepastian. Melihat dari cara jejaka itu bercakap dengannya, macam main-main sahaja.

“Aku ikhlas, jom,” kali ini Emir benar-benar menunjukkan keikhlasan. Sepasang mata hazelnya merenung wajah lembut Hanis. Mereka berdua terpaku seketika. Namun, seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan berhampiran menyedarkan keduanya.

“Naiklah,” pelawa Emir lalu menghulurkan topi keledar kepada Hanis. Gadis itu cuba menahan dirinya dari terjelepok. Manakan tidak, lembik lututnya bila Emir meminta dia membonceng skuter berwarna putih itu. Dia terpaksa akur demi menghormati permintaan ketuanya untuk keluar makan bersama. Lambat-lambat Hanis menyambut topi keledar lalu dipakai penuh berhati-hati.

Dia cuba menjarakkan diri daripada duduk terlalu rapat dengan Emir, namun tindakan jejaka itu brek mengejut membuatkan tubuhnya terdorong ke depan. Tanpa sedar, sepasang tangannya memeluk erat pinggang Emir. Merah wajahnya menahan malu. Namun dia lega. Entah kenapa, terselit rasa dilindungi bila memeluk jejaka ini. Emir menahan debaran. Bibirnya diketap. Sungguh, dia bukan sengaja. Tindakan kereta di depan yang berhenti mengejut membuatkan dia terpaksa melakukan tindakan yang serupa.

Hanis benar-benar tidak menyangka, di sebalik kegarangan dan kedinginan Emir tersembunyi sikap melindungi dan menghormati dalam diri jejaka itu. Sungguh terpegun dirinya tatkala Emir memberikan layanan istimewa sewaktu mereka berdua menjamu selera tadi.

Dia melayari laman web Friendster untuk menerima Emir sebagai kawan. Dia meneliti satu persatu butiran data peribadi jejaka itu. Paling penting adalah status. Dia tergelak kecil bila melihat perkataan single tertera. Ini bermakna dirinya masih punya peluang! Menyedari imaginasinya terlalu jauh, Hanis menampar pipi sendiri.

Emir Rayyan tersengih-sengih melayan angannya. Jemarinya cekap menekan huruf-huruf pada papan kekunci. Dia membaca profil Hanis. Seketika kemudian, dia melihat pula koleksi gambar gadis tersebut. Tergelak lucu bila terpandang gambar Hanis bersama kawan-kawannya bergambar sambil membuat mimik muka terkejut. Suatu perasaan istimewa mula memekar dalam dirinya. Namun dia belum pasti adakah ini nyata. Kerana dirinya masih menaruh harapan buat gadis bernama Syakira.

Lima bulan telah berlalu, balasan dari Syakira tak kunjung jua. Sedangkan, dia semakin resah. Menerima layanan yang begitu jujur dan ikhlas dari seorang gadis yang pernah dibencinya suatu ketika dulu. Laili Hanis… sekali lagi nama itu terdetik dalam hati. Emir mengetap bibir. Rambutnya yang ikal diraup. Sesekali keluhan berat terlepas dari bibirnya. Dia ingin membuka laman web Friendster dan membalas komen kawan-kawan lain. Namun, debaran kian menggila bila terpandangkan notis Syakira mengirimkan mesej buatnya. Lantas tanpa membuang masa, dikliknya frasa tersebut.

‘Salam… Mir. Ira tak pernah lupakan Mir. Ira harap kasih sayang kita akan berkekalan. Tunggu Ira balik bulan depan. Ira terlalu rindukan Mir, tapi terlalu banyak tugasan yang nak dibuat. Jumpa lagi, Syakira.’

Serta merta, Emir membalas mesej tersebut dan menukar statusnya. Dia meletakkan Syakira sebagai sahabat pertamanya, menggantikan tempat Hanis. Dia sudah berpunya! Syakira masih miliknya! Dia bersorak gembira hingga nenek yang sedang menyiapkan makan tengahari di dapur dapat mendengar teriakan itu. Namun dalam kegembiraan, terdesis rasa kurang enak dalam hatinya. Kecewakah dia? Kerana terpaksa memberikan sepenuh jiwa raga terhadap Syakira selepas ini. Tetapi kenapa perlu hadirnya keraguan sedangkan kepastian ini yang dinantikan sejak sekian lama?

Hanis benar-benar hairan melihat kelakuan Emir yang sungguh berbeza kebelakangan ini. Jejaka itu sentiasa tersenyum serta jarang naik angin. Bila mereka menghabiskan masa bersama, jejaka itu sering membicarakan perihal cinta.

“Kalau kau dah jumpa orang yang kau sayang dan dapat memiliki dia, apa yang kau nak buat untuk bahagiakan dia?” lancar Emir mengutarakan pertanyaan. Hanis terkedu. Seriuskah sahabatnya ini?

“Kalau aku, aku mestilah pastikan dia selesa dengan aku. Aku akan cuba untuk bahagiakan dia seadanya. Aku cuba untuk jadikan dia keutamaan, sebab dia yang paling bermakna dalam hidup aku,” panjang lebar Hanis menerangkan. Terbit senyum lebar di wajahnya. Emir tersengih menampakkan lesung pipit.

“Itulah yang aku rasa sekarang, Hanis. Gadis yang aku tunggu sekian lama dah terima aku untuk jadi teman hidupnya. Aku gembira sangat. Sampai tak tahu nak cakap apa lagi,” luah Emir bersungguh. Hanis terdiam. Jantungnya bagai hendak terhenti berdegup pada waktu ini juga. Terasa hatinya bagai dirobek. Tinggal lagi air mata yang sedang ditahan dari menitis di hadapan Emir Rayyan. Lantas dia memalingkan wajah dan menyandang beg sebelum meninggalkan Emir berseorangan. Terketar-ketar jemarinya mengeluarkan telefon bimbit dari saku bag sandang. Dia hanya mampu menghantar sms kepada Emir. Bibirnya telah kehilangan upaya untuk bersuara, dirinya menjadi lemah. Malah deru nafasnya bagaikan tersekat.

Hanis menyembamkan mukanya ke bantal. Terhinggut-hinggut dia melempiaskan perasaan. Berjuraian air mata membasahi pipi. Dia benar-benar kecewa. Belum pernah dia merasa sakit sebegini. Biarpun ditipu, dia masih dapat menahan kesedihan itu. Kesengsaraan yang dirasakan kali ini sungguh menyeksa. Hatinya terlalu rapuh untuk menahan kepedihan berkali ganda ini. Ternyata kasihnya buat jejaka itu tidak kesampaian. Hanis juga tidak dapat menipu dirinya sendiri. Dia tak mampu lagi untuk menatap wajah Emir buat seketika pun.

Ketiadaan Hanis yang sering memotivasikan dirinya serta gelak ketawa gadis itu yang menjadi penghiburnya bagai kian menjauh. Hanis semakin jarang online di Friendster, malah gadis itu bagaikan tidak punya masa untuk bergurau senda dengannya. Setiap kali dia mempelawa Hanis untuk makan bersama, ada-ada saja alasan gadis itu untuk menolak. Emir sungguh bingung. Dia benar-benar memerlukan Hanis untuk melengkapkan hari-harinya. Bayangan dan janji-janji Syakira semakin kabur. Ingatan terhadap gadis yang berada jauh di perantuan semakin menghilang, bagai angin lalu.

Emir telah membuat keputusan yang nekad dan dia takkan berpaling lagi. Dia sungguh yakin. Sekeping hatinya ini telah dimiliki oleh gadis yang pernah dimusuhi suatu ketika dulu. Kegembiraan hanya akan hadir jika dia melihat senyuman terukir pada bibir Laili Hanis. Kesedihan baginya adalah hiba bagi gadis itu tatkala bermuram durja. Emir pasti dia takkan tersalah langkah.

“Hanis! Kau nak gi mana tu? Aku nak ajak kau keluar ni!” Laung Emir apabila ternampak kelibat Hanis. Gadis itu buat-buat tak dengar. Dia terus menghayun langkah. Emir tidak dapat bersabar lagi. Dia menuju ke arah Hanis lalu menghalang laluan gadis ini. Hanis ketap bibir. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu rupa.

“Kau dah pekak ke? Aku tak kira kau nak atau tak, aku takkan berganjak kalau kau tak nak ikut!” Tengking Emir. Hanis terpempan. Air matanya berlinangan. Terbit rasa bersalah dalam hatinya, namun Emir tetap tayang muka selamba. Ditariknya tangan Hanis. Dalam langkah kaku, gadis ini mengekorinya. Dia menghulurkan topi keledar. Hanis menyambutnya sambil menangis teresak-esak.

“Duduk elok-elok, peluk aku kalau tu boleh buat kau rasa selamat,” bicara jejaka itu lagi sebelum menghidupkan enjin skuter. Sepanjang perjalanan, Hanis tak henti-henti menangis. Emir dapat merasakan bahagian belakangnya basah dek lelehan air mata gadis itu. Aku minta maaf, sayang. Bisik hati kecilnya.

Sesampainya di pantai itu, Emir memberhentikan skuternya. Dia membantu Hanis menanggalkan topi keledar. Sebaik sahaja melihat wajah Emir yang kelihatan serius, semakin kuat tangisan gadis itu. Emir merenung wajah yang basah dengan lelehan air mata itu tanpa mengucapkan sepatah kata. Lantas dirangkulnya wajah Hanis ke dalam pelukan. Diusap-usap rambut Hanis.

“Syhhh… jangan nangis lagi. Aku tak suka tengok kau nangis. Lebih-lebih lagi kalau kau nangis sebab aku. Aku nak kau berbahagia, Hanis,” ucap Emir lembut. Dia meleraikan pelukan dan mengeluarkan sejambak bunga ros dari bekas topi keledar. Dia menghulurkan bingkisan bunga berwarna merah itu kepada Hanis yang masih terpinga-pinga.

“Untuk kau,” bicara Emir romantis. Hanis serba salah untuk menerima. Benarkah bunga yang dibalut cantik ini untuk dirinya?

“Terima kasih,” dia mencium bunga tersebut. Sungguh harum baunya. Kad yang terselit pada jambangan bunga itu diambil. Satu persatu ayat yang tertulis dibaca.

Mencintai…
Terlalu jauh bezanya dengan suka
Tetapi aku tidak sangsi
Benar…
Aku mula mencintai dirimu
Bukan sekadar suka
Malahan aku perlu kamu
Untuk mengisi kekosongan ini

Sekali lagi air mata berlinangan di pipi Hanis. Emir mendakap gadis itu. Perasaan hatinya takkan ragu lagi. Hanis memang gadis yang dicari-cari selama ini.

“Aku sayangkan kau, Hanis. Aku cintakan kau. Aku tak peduli apa akan jadi lepas ni, dan aku harap kau dapat terima aku seadanya. Aku takkan lepaskan engkau, selagi kita masih bernafas. Setiap denyutan nadi aku, penuh dengan cinta untuk kau,” ucap Emir lagi. Hanis sungguh bersyukur kerana akhirnya dia menemui insan yang benar-benar tulus mencintai dirinya. Emir menumbuhkan keyakinannya untuk terus mempercayai cinta! Bagi Emir pula, dia telah mengerti kehendak hati. Syakira hanyalah insan yang pernah disukai tetapi Hanis sememangnya gadis yang terlalu dicintai.

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini