rss

Cerpen ini adalah sambungan kepada cerpen bertajuk Zira.


Semenjak pulang dari hospital, Zira menjadi seorang yang pendiam. Dia benar-benar merasa terpukul dengan kejadian yang menimpanya. Siapa tahu, ‘kegembiraan’ yang dicarinya, berakhir dengan tragedi. Zira benar-benar insaf, dia tahu, ini balasan atas segala dosa-dosa yang dilakukannya. Lihat saja apa yang terjadi kepada dirinya sekarang. Selama seminggu berada di hospital, tiada siapa yang datang melawatnya. Kawan-kawannya selama ini, hanya untung dibuat gembira, rugi dibawa berduka.

Namun Zira bersyukur, bersyukur kerana abangnya, Zafari banyak memberi sokongan kepada dirinya semenjak kemalangannya bulan lepas. Zafari risau juga melihat perubahan mendadak Zira yang sudah tidak seceria dulu, namun dia cuba memberikan masa kepada Zira untuk bermuhasabah diri. Zafari turut merasa bersalah atas apa yang berlaku. Kesibukan dalam kerjayanya menyebabkan dia turut terlupa perhatian yang diberikan kepada adik tunggalnya itu. Dalam masa yang sama, Zafari juga tidak mahu meletakkan kesalahan ke atas bapa mereka yang turut hanyut dibuai tuntutan kerjaya dan pangkatnya. Orang politik, banyak yang perlu diimbangi mereka.

Suatu hari, selepas makan malam bersama-sama, tanpa bersuara, Zira terus sahaja duduk di ruang tamu menghadap komputer ribanya. Zafari sedar, Zira banyak menaip sekarang ini. Puisi mungkin. Waktu di sekolah menengah dahulu, Zira memang gemar menulis puisi dan cerita pendek, tidak kiralah dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris. Dahulu, ada juga beberapa kali dia meluangkan masa untuk membaca karya-karya Zira, namun sekarang, sudah tiada lagi berbuat demikian. Lagipun sudah lama juga Zira tidak meminta pandangannya. Tak tahulah samada Zira sudah tidak lagi menulis, ataupun akibat tidak lagi serapat dulu, Zira segan mahu meminta pandangannya lagi.

“Zira.”

“Ya, bang?”

“Zira tak keluar malam minggu ni?”

Zira sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya membalas soalan dari Zafari. Matanya masih tertancap pada skrin komputernya. Zafari duduk bersila di sebelah Zira. Zira terus sahaja menurunkan skrin komputernya, menyembunyikan apa yang ditaipnya sedari tadi.

“Ni, abang ada belikan sesuatu,” Zafari meletakkan sebuah buku di atas meja kopi di hadapan mereka. Zira memandang buku itu lama-lama sebelum memandang ke arah Zafari semula. Matanya berkaca. Buku motivasi bertajuk ‘Is It Time to Make a Change?’ tulisan Deanna Beisser diambilnya dan mula diselak satu persatu.

‘Banyak puisi-pusi menarik dalam tu. Hope it could help you to be stronger,” Zafari memegang bahu adiknya. Zafari pun sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menunjukkan simpati dan sokongan kepada adiknya memandangkan agak lama juga mereka tidak berkongsi cerita. Dia benar-benar berharap apa yang dilakukannya ini, sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati Zira.

“Terima kasih, bang,” Zira menutup bukunya. Dia berniat mahu membacanya sebelum tidur.

“Aduh, abang dah bagi hadiah pun tak ada senyuman?” Zafari mengusik adiknya. Sedaya upaya Zira mengukir senyuman, ingin menjaga hati abangnya. Tersentuh hati Zira dengan Zafari yang tidak henti-henti mahu menggembirakan dirinya.

Malam itu, Zira belajar sesuatu dari buku yang dihadiahkan oleh abangnya itu. Zira mula sedar, apa yang dilakukannya selama ini, dengan alasan konon-kononnya mahu mencari kebahagiaan, sebenarnya satu tindakan melarikan diri dari masalah yang sebenar. Zira cuba menolak jauh ingatannya kepada ibunya.

Namun, matlamat tidak menghalalkan cara. Zira gagal memahami hatinya sendiri, lantas mudah sahaja dipengaruhi oleh godaan syaitan. Namun, puisi-puisi tulisan Deanna Beisser dari Amerika itu turut menekankan tentang peluang kedua. Tentang bagaimana perubahan ke arah yang lebih baik boleh digapai oleh sesiapa sahaja. Yang penting, fahami hati sendiri, insyaAllah, jalan yang benar akan terbentang di depan mata.

‘Your life is everything that encircles you,and it’s importantnot to judge yourself criticallybut to understand yoursef,not to restrict your emotionsbut to express them,not to limit yourselfbut to search out every new horizon.’

                                   -Isn’t It Time to Feel Good About Yourself, Deanna Beisser

Zira perasan bait-bait dari puisi ini telah di-highlight oleh abangnya. Zira faham apa yang cuba disampaikan oleh Zafari. Esok, akan jadi satu hari yang baru, untuk dia dan insyaAllah untuk perhubungannya dengan Zafari dan bapanya.

 *****************************************

BUZZ!

Duri_dalam_hati:Zira, apa khabar hari ini? 

Sun_rise86:Syed, saya sihat hari ini. Ada publish karya terbaru?

Duri_dalam_hati:Aduh, tak ada lagilah. Saya ni susah juga nak mencari inspirasi. Bukan macam Zira, banyak idea! 

Sun_rise86:Alah, kebetulan idea ada dalam kepala. Terus saja tulis. Ditangguh-tangguh nanti jadi pekasam. 

Duri_dalam_hati:Pekasam pun sodappp! 

Zira tertawa sendiri. Dia amat menyenangi Syed, lelaki yang saban malam bersembang dengannya di alam maya melalui Yahoo! Messenger. Perkenalan mereka berdua bermula di laman Kapasitor.Net, satu platform maya yang memberi peluang kepada penulis-penulis Malaysia untuk menerbitkan karya-karya seni mereka samada puisi, cerpen, novel dan lukisan. Baru sahaja Zira berdaftar dengan Kapasitor ini, itupun selepas dipaksa oleh kawan baiknya sewaktu sekolah menengah dulu, Aisyah. Kata Aisyah, rugi kalau puisi-puisi dan cerpen-cerpennya hanya disimpan. Lebih baik diterbitkan di Kapasitor, sekurang-kurangnya, ada yang boleh memberi komen untuk penambahbaikan.

Syed atau DuriHati, sepertimana nama pena Kapasitornya, banyak menulis puisi-puisi tentang patah hati. Menurut pemahaman Zira, Syed ini seperti banyak kisah putus cinta. Puisi-puisi Syed pun banyak menggambarkan perasaannya yang seolah-olah sudah putus asa dengan cinta. Zira cuba sedaya upaya untuk memahami apa yang ada di kepala Syed. Kadang-kadang sukar juga, kerana Zira pun tidak pernah dilamun cinta. Namun, selalu saja dia mendengar dan membaca kisah-kisah sebegini. Setakat baru dua minggu mengenali Syed, Zira tahu, sifat pemalunya-lah yang banyak merencatkan perubungan cintanya.
Sun_rise86:Sajak terakhir awak hari tu, kenapa awak marah sangat dengan wanita? Bait,‘Kejamkah menghulur jiwa sedang jiwa dirobek pandangan pertama. Sekilas aku mahu meratah rohmu sepertimana kau membunuh nuraniku’ ini macam hiperbola sangat pula saya rasa. Syed, jangan cepat menghukum wanita. Bukan semua kami punya sifat yang sama. 

Duri_dalam_hati:Bukan saya senang-senang mahu menghukum, tapi entahlah. Setakat pengalaman saya dengan wanita, semuanya tak indah. Semuanya berakhir sekejap sangat. Saya ni macam tak layak berada di pangkuan wanita. Agak-agak, saya ni memang tak ada keistimewaan mungkin. 

Sun_rise86:Ada pula awak cakap macam ni. Jangan sekali-sekali anggap diri awak tak istimewa. Saya tahu, this will sound clichĂ©, tapi memang benar, semua orang ada keistimewaan masing-masing. Awak tahu, awak seorang penulis yang baik. Puisi-puisi awak sentiasa menyentuh hati saya dan memberi cabaran kepada saya untuk menulis puisi yang sama taraf dengan awak. Itu satu keistimewaan bukan? 

Duri_dalam_hati:…………….. 

Sun_rise86:Apa yang awak tahu tentang diri saya selepas baca puisi-puisi saya? 

Duri_dalam_hati:Awak pernah sesat jalan dulu? Tak silap saya, ada tragedi yang menimpa awak dan memberi keinsafan pada awak. 

Sun_rise86:Pandai pun! Awak.. saya dulu pernah hanyut.. jauh. Tapi, salah satu perkara yang saya belajar dari semua ini, adalah saya lebih mengenali orang. 

Zira berhenti menaip seketika. Dia teringat akan semua lelaki yang pernah mempunyai ‘hubungan’ dengannya dulu. Mereka semua tu, tak adalah pandai mana, they can’t even hold a decent conversation for five minutes, tapi, mereka punya pesona bintang yang tersendiri. Mereka pandai membeli hati Zira dengan pujuk rayu mereka, dan yang penting, mereka berani. Berani untuk mendapatkannya. Bukan sekali dua ada di antara mereka yang bergaduh sesama sendiri mendapatkan peluang bersamanya. Hati wanita mana yang tak terjentik andai menjadi pujaan sebegitu. Pendek kata, Syed perlu tahu bagaimana mahu meruntuhkan benteng pertahanan wanita. Aku perlu bantu Syed!

‘I have known many different kindsof people in my life...I’ve met men who are sensitive and caringand men who are cruel and calculating.I’ve known women who are sincere and honestand women who are jealous and hateful.I’ve seen smiles filled with liesand tears wet with truths.’ 

                                      - Great Achievers, Deanna Beisser

Duri_dalam_hati:Zira? 

Sun_rise86:Sorry, saya ke tandas tadi. Macam ni. Awak pernah cakap pada saya, awak ni seorang yang pemalu. Awak pun susah mahu meluahkan perasaan kepada wanita. Sekarang ini, saya cabar awak, jangan lagi bersembunyi di sebalik komputer awak. Sekarang ini bukan lagi zaman blind-date, jumpa-jumpa kawan internet. Saya cabar awak jadi lebih berani. 

Duri_dalam_hati:Jadi lebih berani? 

Sun_rise86:Yes! Ok, awak selalu tulis puisi-puisi awak, cerpen-cerpen awak, selepas kerja di Starbucks, Times Square kan?

Duri_dalam_hati:Ya, kenapa? 

Sun_rise86:Esok, di sana, saya mahu awak tegur wanita pertama yang menarik perhatian awak. Saya nak awak minta nombor telefonnya. Saya nak awak beranikan diri, percaya cakap saya, awak tak akan menyesal. 

Duri_dalam_hati:Tapi... 

Sun_rise86:Tak ada tapi-tapi. Saya mahu membuktikan pada awak, kami semua bukan pematah hati orang. ;) Janji dengan saya, awak akan buat apa yang saya suruh. Ingat tagline di Kapasitor, Potential = Possibility. Awak ada potensi Syed, tak mustahil, awak juga ada peluang.

Duri_dalam_hati:OK. Saya janji.

Zira tersenyum puas. Dia benar-benar mahu menolong Syed berubah. Lagipun, Zira tahu, kehidupannya bukan hanya untuk dirinya. Dia juga mahu menyebarkan kegembiraan kepada orang lain. Selama ini, dia telah berusaha untuk membina hidupnya semula. Kali ini, dia mahu membantu orang lain pula membina hidup mereka. Dia harapkan, cadangannya akan dapat membantu Syed mengembalikan keyakinan dirinya, dan keyakinannya kepada wanita. Wah, macam Oprah pula aku, bisik hati kecil Zira.

‘Be someone who inspiresthe people around youby the way you live your lifeand the way you treat others.Stay focused on your futureAnd be willing to give all that you areTo make your dreams come true.Encourage others,and support them with your strong beliefs.’ 

                                  - Be a Dreamer, Deanna Beisser

 *********************************************

Syed duduk di penjuru kafe Strabucks, Times Square sambil menghadap komputer ribanya. Dia gemar akan tempat duduknya di sini yang agak terlindung dari orang ramai. Di sinilah tempat dia selalu mencari inspirasi, menulis sajak-sajak dan cerpen-cerpen yang kemudiannya akan diterbitkan.

Tapi hari ini, Syed sangat berdebar-debar. Di kepalanya, cabaran yang diberikan oleh Zira ligat berulang-ulang, menguji keberaniannya. Mampukah dia meminta nombor telefon seorang wanita sedangkan untuk menegur pun dia tak berani. Zira memaksa Syed untuk keluar dari zon selesanya. Selama ini, dek kerana terlalu malu, Syed hanya berkenalan dengan wanita hanya melalui laman sembang di internet. Tak pernah terlintas di fikiran Syed suatu hari dia akan secara terus, berdepan dengan seorang wanita yang tidak dikenali, dan meminta nombor telefonnya lagak seorang hero tampan dalam filem-filem Inggeris.

Mungkin ada keberkesanannya cara yang dicadangkan oleh Zira ini. Lagipun, Zira seperti banyak pengalaman dalam hal-hal sebegini. Sedikit sebanyak, Syed dapat merasakan dia memang perlu membuat perubahan dalam hidup. Dia sudah dua puluh lapan tahun. Hampir mencecah angka tiga puluh. Dia tak mahu mati kesunyian. Kalau ini yang perlu dilakukannya untuk disedari seorang wanita, maka inilah yang akan dilakukannya.

Sedang asyik Syed membayangkan apa yang perlu dilakukannya, tiba-tiba, seorang wanita cantik, berambut ikal mayang, berkulit putih mulus, dengan bentuk tubuh badan yang menggiurkan melangkah masuk ke dalam kafe itu. Syed terpesona dengan wanita yang ada di depan matanya ini. Bukan saja dia, malahan, beberapa pelanggan lain di dalam kafe itu turut beralih perhatian kepada wanita itu. Wanita itu bagaikan bidadari. Cantik! Syed menggeleng-gelengkan kepalanya. Wanita ini di luar jangkauan aku.

‘Janji dengan saya, awak akan buat apa yang saya suruh.’ Ayat yang ditaip oleh Zira itu terbayang-bayang di mata Syed. Aduh, kenapalah dalam banyak-banyak wanita, mesti yang ini yang pertama tarik perhatian aku! Desah hati kecil Syed.

Syed masih berkira-kira dalam hatinya. Dalam masa yang sama, dia terus memerhatikan saja wanita itu duduk di sebuah meja bulat yang terletak di tengah-tengah kafe selepas membeli secawan besar kopi. Wanita itu kelihatan tenang membaca sebuah buku. Dia seolah-olah tidak menyedari yang dia telah mencuri hati Syed, malahan mungkin beberapa lagi hati lelaki lain yang ada di dalam kafe ini.

Syed menggenggam jari jemarinya. Dia tahu, kalau dia tidak bertindak sekarang, mungkin ada lelaki lain yang akan merampas peluangnya. Syed bangun. Kakinya terasa berat, namun digagahi jua untuk melangkah menuju ke arah wanita itu. Sedar tak sedar, wanita itu kini sedang memandang ke arahnya yang berdiri betul-betul di sebelah meja bulat di tengah-tengah kafe itu.

“Ya?” Dahi wanita itu berkerut, mungkin berfikir apa tujuan lelaki ini yang tiba-tiba datang ke mejanya.

“Tak.. ermm.. saya.. saya..,” Syed tergagap-gagap tika mahu memulakan bicaranya. Syed diam seketika. Dia mahu mengumpul keyakinan dirinya. Segala nasihat Zira terbayang-bayang di matanya.

“Begini, cik. Semalam, saya sudah berjanji kepada diri saya yang saya mahu membuat perubahan dalam hidup. Antaranya, saya mahu jadi lebih berani. Jadi, saya mahu bagitahu cik yang dari tadi, cik telah mencuri hati saya dan saya secara hormatnya mahu meminta nombor telefon cik.” Aduh, aku harap ayat aku tak terlalu skema, risau hati kecil Syed. Wanita itu yang wajahnya hairan dari tadi, tiba-tiba tersenyum.

“Oh, saya rasa berbesar hati sekali dengan permintaan awak. Tapi, sebenarnya, semenjak malam semalam pun saya sudah berjanji kepada diri saya sendiri, untuk setia kepada kekasih saya. Selalunya, saya tak kisah nak bagi nombor telefon saya pada orang yang saya tak kenal, tapi, malangnya, saya pun mahu buat perubahan dalam hidup saya,” Wanita itu dengan segera bangun dan melangkah keluar dari kafe Starbucks itu, meninggalkan Syed terpinga-pinga. Syed dapat melihat seorang lelaki kacak sudah menunggu wanita itu di luar kafe. Syed sedar, dia bukan lawan lelaki itu.

 ****************************************

Zafari hairan melihat kelakuan Zira di dalam kereta. Dia asyik memandang ke luar tingkap semenjak Zira bergegas-gegas mengajaknya pulang dari Times Square tadi. Wajahnya kelihatan resah gelisah. Zira asyik meramas jari jemarinya. 

“Tadi cakap nak jumpa kawan. Kenapa sekejap saja?” Zafari menyoal Zira.

“Tak ada apa-apalah, bang. Tak jadi jumpa,” Zira menggeleng-gelengkan kepalanya.

Aduh, patutlah tak ada perempuan yang mahukan dia. Muka macam tu, memanglah siapa-siapa tengok pun takut. Patutlah dia tak letak gambar dalam Kapasitor! Nasib baik aku pun tak letak gambar dalam Kapasitor tu. Zira mengetap bibirnya, mengenangkan lelaki yang ditemuinya tadi.

Kereta Zafari meluncur laju membawa jiwa raga Zira yang ‘baru’, menuju ke villa mereka.

‘There are times when people disappoint you and let you down,but those are the timeswhen you must remind yourselfto trust your own judgementsand opinions,to keep your life focused onbelieving in yourselfand all that you are capable of.’ 

                                        -  Keep Believing in Yourself, Deanna Beisser

Syed menutup mukasurat terakhir dari buku ‘Is It Time to Make a Change?’ tulisan Deanna Beisser yang ditinggalkan secara tidak sengaja oleh wanita yang cuba dipikatnya tadi di kafe Starbucks. Syed tersenyum sinis.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini