rss

Zira ( Full Version )

Telefon bimbit di meja solek tiba-tiba berbunyi.

Ah hanset ni! Aku tengah mandilah...

Zira keluar dari bilik mandi dengan rambut masih bersyampo serta badan bersalut tuala. Dia mengelap tangan yang basah pada kain tuala.

Pada skrin telefon bimbit terpapar gambar seorang remaja duduk diatas motorsikal 125Z warna merah darah, tertulis juga nama “Azam WRL331”.

La...  Jantan ni potong stim aku nak mandi betul.

Zira kembali ke bilik mandi setelah mendiamkan telefon bimbit dengan memilih profile silent mode.

***

 “Ain...” Suara mama jelas kedengaran dari tingkat bawah. Mama lebih gemar menggelarkan aku dengan nama itu. Aku pun tidak pasti kenapa. Mungkin lebih senang pada dia. Cuma dia yang mengetahuinya.

“Ya, mama,” sahut aku sambil bergegas turun kebawah lalu terus menuju ke dapur.

Mama sedang menyapu peanut butter pada roti.  Aku pula terus duduk lalu menuang air milo ke dalam cawan.

“Cantik anak mama,” sambil dia meletakkan roti di atas piring.

 Aku pandang wajah mama sambil tersenyum. Hari ini, wajah mama kelihatan agak pucat dari biasa. Dia juga seperti menahan kesakitan. Memang tidak seperti biasa. Tapi mama masih mampu mengukir senyuman indah buat tatapan aku. Dalam senyum mama terukir satu watak ibu yang sempurna. Namun, Dalam senyum itu juga aku lihat penderitaan yang cuba disembunyikan dari pandangan seorang anak. Namun sebagai anak yang membesar sentiasa bersamanya, secara tidak langsung aku mampu membaca setiap kelainan dan perubahan mama.

Tiba-tiba di fikiran aku terdetik sesuatu yang tidak menyenangkan. Ah, mungkin cuma mainan perasaan. Aku cuba menafikan fikiran tadi untuk menyedapkan hati. Setiap kali solat, dalam doa aku sering memohon moga mama dipanjangkan umur untuk terus menemani dan mendidik anaknya ini. Aku masih belum mampu untuk menerima kehilangan mama dalam usia semuda ini. Usia lima belas tahun masih terlalu muda untuk kehilangan seorang ibu.

“Zira?” mama menegur aku. Mungkin dia pelik kerana tenungan aku yang agak lama. Teguran mama menyentak aku dari lamunan dan mainan perasaan sebentar tadi. Mama pandang aku dengan reaksi wajah sedikit kehairanan. Mungkin dia juga dapat membaca apa yang sedang difikirkan oleh aku. Itulah yang dikatakan naluri seorang ibu.

“Anak siapa? Baka Puan Junaidah juga,” aku menjawab kata-kata mama yang awal tadi sambil tersenyum menyembunyikan gelodak perasaan yang bercampur baur.

 Mama turut tersenyum dengan kata-kata aku. Kemudian aku hirup air milo yang sudah suam di dalam cawan. Rasa milo ini tidak pernah berubah. Sejak dulu rasanya amat sempurna. Terlalu sempurna macam mama yang menjaga dan mendidik sejak kecil hingga sekarang.

“Papa mana?” sebenarnya aku sudah perasan sejak tadi. Selalunya papa sampai ke dapur ketika aku sedang makan.

“Belum pulang dari malam tadi lagi,” Mama duduk di kerusi lalu menuang air milo ke dalam cawannya. Aku diam. Papa memang selalu begini. Dalam seminggu mesti ada beberapa hari dia tidak pulang kerumah. Tapi tidak pernah pula aku dengar mama bertanyakan papa kemana dia pergi. Aku sendiri tidak tahu kemana papa pergi.

Dia sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai orang politik. Sejak dia bergelar Dato’ yang dianugerahkan oleh Sultan beberapa tahun lepas, papa makin kurang berada di rumah. Masa bekerjanya tidak menentu. Lebih-lebih lagi setelah dia memenangi satu kerusi adun di luar daerah. Disebabkan kerjayanya, dia sering keluar daerah berhari-hari. Pernah juga aku lihat dia di kaca televisyen ketika tayangan perbahasan di dewan parlimen.

Masa lapangnya pula selalu dihabiskan dengan golf atau melawat tapak projek bersama teman-temannya. Kurang sekali masa dia bersama keluarga. Tapi mama tidak pernah menyuarakan kekurangan papa itu. Mama hanya menurut dan mendengar setiap kata papa. Tidak pernah membantah. Mungkin juga mama tidak bersuara kerana kekurangan yang sedang dihidapinya sekarang.

Kawan-kawan di sekolah sering mengatakan aku seorang yang bertuah menjadi anak kepada seorang yang berhormat. Kononnya aku mewah. Berkereta besar. Tapi aku tidak pernah mempedulikan kata-kata mereka. Hanya aku yang mengetahui perasaan ini. Kasih sayang tidak boleh dibandingkan dengan harta benda.

Selepas mama menghirup air milo dan sekeping roti, dia mengeluarkan ubat dari botol yang sentiasa tersedia di atas meja makan itu. Setiap hari mama perlu makan beberapa jenis ubat mengikut jadual untuk mengawal kesakitan penyakitnya.

Aku mula mengetahui mama menderita sakit barah payudara sejak dari tingkatan dua. Ketika itu mama sendiri yang mengajak aku menemaninya ke klinik. Sebelum itu, aku tidak pernah tahu yang mama sakit dan sering ke klinik. Dia sangat bijak menyembunyikan penderitaannya dari pengetahuan aku. Tapi kini, wajah mama yang dihiasi nilai kasih seorang ibu dan isteri solehah tidak berupaya menyembunyikan penderitaannya dari pandangan aku.

Menginjaknya umur aku, perlu seiring kematangan dan tanggungjawab seorang wanita seperti yang selalu diajar mama sesudah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Dengan kematangan itulah aku mampu melihat wajah penderitaan yang tersembunyi di balik wajah mama yang sentiasa tersenyum.

Pinnn.. Pinn..

Bunyi hon dari luar rumah. Tentu Izzati dan bapanya sudah sampai. Sebenarnya setiap pagi aku ke sekolah menumpang Izzati. Kebetulan rumah Izzati dan rumah aku dalam satu kawasan. Bapa Izzati pula sangat memahami tugasan bapa aku. Selalu juga dia bertanyakan bapa. Aku katakan bapa sentiasa sibuk. Bapa Izzati kerap menasihati aku agar bersabar dan memahami tugasan papa. Untunglah Izzati punya seorang bapa yang penyayang seperti itu. Seorang bapa seperti yang sering aku mimpikan dalam lenaku.

Aku bangun dari kerusi dan menuju ke depan mama. Aku hulur tangan bersalaman dan mencium tangan kemudian pipi mama. Mama bangun, lalu mencium dahi aku. Ritual itu kami berdua lakukan setiap hari. Ciuman mama di dahi yang setiap hari perlu dalam melengkapkan kehidupan seharian aku. Tanpa ciuman itu, aku rasakan kehidupan seharian yang tidak lengkap.

“Belajar rajin-rajin,” pesan mama. Juga setiap hari. Setiap pagi.

***

“Hoi, kau ni nak kerja ke tak nak?” Zira menyergah pembantu rumahnya yang sedang berbaring di sofa.

Pembantu rumah indonesia yang masih muda itu bingkas bangun dari baringnya. Dia berdiri tegak. Seperti tentera yang mengikut perintah dari ketuanya.

“Ya cik,” pembantu rumah itu menundukkan kepala. Zira lihat dia seperti ketakutan. Melihatkan kelakuan pembantu rumah itu Zira tersenyum sinis.

Baru kau tahu siapa aku. Ini “mem” besar kau tahu.

“Kerja dah habis?” Zira bersuara keras. Dia tidak mahu berlembut dengan pembantu rumah yang malas itu.

Nanti segala kerja perlu bersuruh barulah diselesaikan.

 Lurus bendul punya maid. Itulah, abang suruh ambil maid tua, aku yang nak sangat maid muda.

 Pembantu rumah tersebut hanya mengangguk kepala menjawab pertanyaan Zira. Dia memang ketakutan. Sebenarnya dia baru sahaja bekerja di Malaysia dan rumah Zira ini adalah rumah pertama tempat dia bekerja. Zira sendiri yang memilih pembantu rumah ini di pejabat ejen pembantu rumah bersama abangnya.

“Apa yang dah habis?” Zira bertanya lagi. Dengan nada yang masih sama.

 Tapi pembantu rumah itu cuma mendiamkan diri. Mungkin tidak dapat menjawab pertanyaan Zira. Mungkin juga dia tidak memahami pertanyaan Zira.

“Ambil yogurt aku dalam peti ais, lepas tu letak atas meja makan. Sekejap lagi aku pergi dapur, aku nak tengok dah ada,” pembantu rumah itu mengangguk laju, tanda memahami arahan Zira.

Aduh. Pening aku. Semua nak kena bagi arahan. Nak buat sendiri macam tak reti pula.

***

“Assalamualaikum... Maaa.. oo mama..,” aku panggil mama setelah melihat dia tiada di sofa. Biasanya waktu pulang aku di sambut di depan pintu. Tapi hari mama tiada menyambut di muka pintu.

Namun, panggilan aku tidak bersahut. Tiba-tiba di fikiran aku terlintas sesuatu. Sesuatu yang cukup menggusarkan aku selama ini. Ah, ini cuma mainan perasaan. Mungkin mama sedang berehat biliknya. Lagipun pagi tadi mama kelihatan agak pucat.

Aku menuju ke bilik untuk menyimpan beg sekolah. Kemudian terus menuju ke bilik mama.

“Maa.. Maa.,” panggil aku perlahan sambil mengetuk pintu bilik. Namun tidak bersahut. Fikiran mula mengganggu perasaan. Aku buka pintu bilik mama sendiri kerana tiada sahutan dari dalam. Aku fikir mama tiada di dalam bilik.

“Ma...” aku terkedu melihat mama yang terlantar di katil. Matanya masih berkelip. Dadanya juga masih berombak Aku melutut di tepi katil sambil memegang tangan mama. Dingin. Sama seperti perasaan aku sekarang.

“Ma, jangan tinggalkan Ain,” aku terus menggenggam dan mengucup jari jemari mama yang terlalu dingin rasanya.

“Ain..” mama bersuara perlahan. “Ain tolong mama berwudhuk.”

 Empangan air mata aku pecah kala itu juga. Terus mengalir di pipi tidak dapat tertahan. Gelodak jiwa aku ketika itu macam tsunami yang rakus menelan mangsa di bumi Acheh. Macam jiwa yang rakus menelan perasaan aku.

“Baik mama,” aku bangun menuju ke bilik air dan kembali kepada mama bersama sebaldi air dan membantu mama berwudhu. Sebelum ini, mama pernah mengajar aku membantu orang yang tidak berdaya untuk berwudhuk. Hari ini, baru aku sedar tujuan mama mengajar perkara sebegitu. Air mata aku makin tidak tertahan. Namun aku masih berusaha mengeraskan hati menahan sedu.

“Ain tolong mama selimutkan kepala mama,” aku ikut satu per satu arahan mama. “Ain sudah solat?”
 Aku cuma menggeleng kepala. Aku tidak mampu bersuara ketika itu.

“Ain solat dengan mama ya,”

Aku jawab dengan anggukan. Entah kenapa suara aku begitu sukar untuk keluar ketika ini. Terus sahaja aku bersiap untuk menunaikan solat Zohor bersama mama yang sedang berbaring di katil.

Namun, solat dalam keadaan sebegitu mengganggu fikiran aku. Aku cuba untuk menenangkan perasaan tapi tidak termampu. Aku juga seperti insan biasa. Solat bersama ibu yang sedang bergelut dengan kesakitan cukup mengganggu perasaan.

 Sesudah solat dan berdoa, aku terus mencapai Surah Yasin di dalam almari mama. Kemudian aku duduk di samping mama.

“Ain,” mama bersuara perlahan bergelut dengan kesakitan.

“Ya mama,”

“Kalau mama tiada Ain jangan lupa pesan mama,”

“Ya, Ain takkan lupa mama,” aku jawab dengan sedu yang sudah tidak tertahan.

“Mama redha dan halalkan segala yang mama berikan pada Ain, pada abang, pada papa, tinggalkan pesan mama ini pada mereka,”

Esak aku makin tidak tertahan. Aku cuma menjawab dengan anggukan kepala. Jari jemari mama yang dingin masih dalam genggaman aku.

“Ain, maafkan salah silap mama. Kalau-kalau mama gagal menjadi ibu dan isteri yang terbaik untuk Ain, abang dan papa. Katakan pada papa,  mama pohon ampun dan halalkan segala makan dan minumm,” suara mama tersekat-sekat tapi jelas pada pendengaran aku.

“Lailahaillah,” suara dari mama yang terakhir aku dengar. Ucap mama yang terakhir ini cukup membuat esak aku menjadi tangis.  Tangis yang berpanjangan. Mata dari tadi berkedip perlahan kini tertutup untuk selamanya. Tiada lagi senyum mama dapat aku nikmati. Tiada lagi kucupan mama di dahi aku. Tiada lagi seri dalam hidup aku.

Aku lihat wajah mama berseri. Sedikit air mata yang mengalir di pipinya aku kesat dengan ibu jari aku. Waktu ini aku berseorangan menghadap pemergian mama yang amat mudah. Begitu mudah sekali. Satu kenikmatan yang tuhan berikan kepada seorang ibu dan isteri yang cukup cekal dan tabah seperti mama. Lalu aku tutup jasad mama yang sudah tidak bernyawa.

Aku ambil telefon bimbit dari meja solek mama.

“Abang, mama dah pergi...,” esak tangis aku tidak terkawal.

“Innalillah...,” suara abang di hujung talian aku dengar tersekat-sekat. “Ain tunggu abang di rumah,”

Aku telefon papa pula. Namun di hujung talian sekadar menjawab, “Nombor yang anda dail berada di luar kawasan.”

Kemudian aku telefon Izzati, aku minta dia katakan pada papanya perkara ini. Izzati datang bersama ibu dan papanya lebih awal dari abang, bersama beberapa orang yang tidak aku kenali. Merekalah yang menguruskan jenazah mama. Papa pula terpaksa dihubungi oleh abang. Itupun setelah selesai urusan mengurus jenazah barulah abang berjaya menghubungi papa.

***

Telefon bimbit di meja solek berbunyi lagi.

Hish. Jantan-jantan ni kecoh betul.

Aku lihat pada skrin. “Azam WRL331”. Aku jawab panggilan tersebut.

“Hallo,” suara Azam dihujung talian.

“Apahal?”

“Zira free malam ni?”

Aku memang sudah berkira-kira mahu keluar dengan Azam malam ini. Tapi tadi Man kata malam ini ada operasi besar-besaran. Dia tidak keluar malam ini kerana sudah dapat laporan dari sahabatnya seorang polis.

“Free,”
“Keluar dengan Azam boleh?”

“Ok, Azam ambil Zira di rumah,”

“Pukul sepuluh Azam ambil,”

“Ok,”

Tut... aku putuskan talian.

***

“Huiyo..” aku bangun melihat seorang penunggang yang melakukan aksi wikang. Menekan brek hadapan dan lalu mengangkat bahagian belakang motor, kemudian bergerak beberapa meter kehadapan dengan keadaan begitu.

Sahabat di sekeliling semuanya bersorak kegembiraan. Bunyi pelbagai jenis motor membingitkan keaadaan di situ. Beberapa orang remaja menunggang motorsikal jenis Honda EX5 melakukan aksi pacak. Semuanya kelihatan professional. Masih belum ada yang gagal atau jatuh.

“Zira,” laung seorang sahabat di sebelah aku. Kebingitan di situ menenggelamkan suara kami.

“Apahal?”

“Malam ni Achik game sama Ipan APC,”

“Oh, aku suka Ipan, dia hot dol...”

“Haha,” sahabat aku tergelak. Ramai juga yang mengimpikan mahu bersama Ipan. Tapi dia cukup berlagak. Sepadanlah rupa dia Yamaha RXZ Catalyzer warna hitam itu. Sama handsome, sama jaguh.

Aku lihat di tengah jalan Achik yang menunggang RXZ model lama, bersama Ipan yang menunggang RXZ Catalyzer. Beberapa saat kemudian mereka berentap kelajuan. Dari kejauhan, aku lihat Ipan mendahului.

Yes, ada can aku.

Mereka berdua kembali ke puak masing-masing. Budak yang memegang duit hasil taruhan datang kepada Ipan dan menghulurkan duit taruhan. Ipan ambil dan menghulur sekeping duit ringgit malaysia lima puluh kepada dealer tersebut.

Aku bersama beberapa orang sahabat datang kepada Ipan. Sebenarnya aku datang kemari tadi bersama Ipan juga. Awal-awal lagi aku sudah tahu yang Ipan ada game dengan Achik. Kalau Ipan kalah tadi mungkin aku akan mengikut Achik pulang ke rumahnya meneruskan game kami pula. Tapi Ipan menang dan aku sudah jangkakan kemenangan itu.

“Minum,” Ipan menunjukkan bahasa isyarat dengan tangannya kepada puak kami di belakang. Aku membonceng RXZ Ipan yang menjadi leader puak kami.

Selesai beberapa jam minum, aku ikut Ipan pulang ke rumah bujangnya. Ah, bertuah sungguh dapat bersama Ipan yang sememangnya diimpikan setiap gadis macam aku. Malam itu aku terkulai di bahu Ipan. Lemas dalam dakapan seorang lelaki. Walaupun dia bukan sesiapa pun dalam hidup aku, tapi jiwa aku merasakan sedikit kasih sayang dari seorang lelaki.

Aku mahu rasakan sedikit kasih sayang dari mereka. Dari sahabat aku. Aku sentiasa gembira bersama mereka. Mereka tidak pernah bermasalah. Hanya bergembira dan terus bergembira.
Dalam dakapan Ipan malam itu aku tiba-tiba teringatkan mama. Aku pernah tidur seperti ini dalam dakapan mama. Tanpa aku sedar, air mata aku menitik di lengan Ipan.

“Kenapa sayang?”

“Nothing,” jawab aku sambil memberi senyuman kelat.

“Ok,” Ipan kembali meneruskan tidurnya yang terganggu oleh air mata aku.

***

“Malam ni banyak port kena rush,” Azam mula kerisauan.

“Woi, bla.. bla..” Jerit seorang sahabat dari jauh. Aku perasan akan lampu biru yang berkelip. Lampu dari kenderaan polis.

Wooooo.. Woo..
Bunyi amaran dari kenderaan polis itu menyesakkan dada aku. Azam keluar dari tempat kami melepak dengan tergopoh-gapah. Hampir berlanggar dengan penunggang motorsikal lain.

Cara tunggangan Azam memang menggelabah membuatkan aku kecut perut. Tidak pernah lagi aku membonceng si penunggang yang menggelabah seperti ini. Jauh sekali berbeza dengan Man, atau Ipan.

Patutlah Man telefon kata jangan keluar malam ini. Setiap jalan keluar dari bandar telah dikepung dengan sekatan polis. Selepas berjaya merempuh satu sekatan, sekatan yang lain pula menanti di hadapan.

Azam semakin ketakutan. Aku fikir mungkin dia masih baru terjebak dalam bidang ini. Jika tidak, mana mungkin dia terlalu menggelabah seperti itu. Sampai di satu sekatan, sudah tiada jalan keluar.

Azam terus membuat pusingan dan melawan arus jalanraya yang sibuk. Beberapa buah kereta hampir terbabas mengelak daripada melanggar Azam yang melawan arus jalanraya. Tapi malang. Aku tidak sedar perkara yang berlaku seterusnya. Perkara terakhir yang aku ingat ketika itu, bunyi tayar terseret kuat. Entah dari motorsikal Azam atau kenderaan lain.

***

Ah, kepala aku berdenyut-denyut sakit. Perut aku juga terasa sakit yang amat sangat. Terasa keselurahan tubuh badan aku tidak mampu bergerak. Aku buka mata perlahan-lahan. Pedih dan silau akibat cahaya putih yang memancar. Aku berada di sebuah hospital.

Patutlah kaki kanan aku tidak boleh digerakkan dan terasa berat. Rupa-rupanya sudah disaluti simen.

Aku pandang kesebelah kanan katil. Aku perasaan susuk tubuh abang sedang berborak dengan seseorang.
Mungkin doktor. Tapi papa tiada disini.

“Abang,” aku bersuara perlahan untuk memberitahu kepada mereka yang tidak menyedari aku sudah tersedar.

Kedua-duanya memandang kearah aku yang tiba-tiba bersuara. Lelaki yang berpakaian seperti doktor itu datang hampir kepada aku.

“Zira,” dengan lemah lembut dia memanggil nama aku.

“Ya saya,”

“Awak sedar apa yang berlaku?”

Aku hanya membalas dengan anggukan.

“Yang itu siapa,” doktor menunjukkan jari telunjuknya ke arah abang.

“Abang,” lalu doktor itu tersenyum.

“Awak tahu yang awak sedang mengandung?”

Aku menggelengkan kepala. Bila masa aku mengandung.

“Dalam kemalangan tu, awak telah keguguran bayi berusia lebih kurang tiga bulan,”

Aku sangat terkejut mendengar kata-kata dari doktor. Takkanlah itu anak Ipan.

“Awak juga kehilangan banyak darah, mujur abang awak sudi mendermakan darahnya yang sama jenis dengan darah awak,” doktor itu menyambung penerangannya lagi. Aku pula mengalihkan perhatian ke arah abang yang berdiri di belakang doktor. Kemudian doktor berlalu dari situ.

Aku nampak senyuman dari bibir abang. Abang datang hampir kepada aku. Tanpa jangkaat aku, abang tiba-tiba menghampiri kepalaku dan memberi ciuman di dahi. Tiba-tiba juga, tanpa dapat aku sekat air mata aku berderai di pipi. Abang mengembalikan ingatan aku pada ciuman mama.

Abang cuma tersenyum.

“Masa sekolah dulu abang pun selalu dapat dari mama,” sambil dia mengesat air mata yang mengalir di pipi aku. “Mujurlah Ain selamat, kalau tidak abang kehilangan seorang lagi wanita dalam hidup abang.”

Aku membalas kata-kata abang dengan senyuman. Tidak ada kata-kata yang mampu membalas ucapan  abang itu.

“Ain lupakan kisah lama, teruskan dengan hidup baru,” aku mengangguk, “Lepas ini abang akan tinggal di rumah kita,” aku gembira dengan keputusan abang.

Terima kasih abang. Nurul Ain Azira tiada sesiapa lagi sekarang, melainkan abang.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini