“Kita dah sampai. Jom,” akhirnya kami tiba juga di rumah keluarga Ammar selepas hampir 6 jam perjalanan. Ini pertama kali aku akan bersua muka dengan ibu bapa teman lelakiku ini. Aku akan bermalam di rumah Ammar selama 3 hari, 2 malam. Itu pun atas cadangan ibunya sendiri. Maklumlah, perjalanan ke kampungnya memakan masa, lebih elok kalau kami bermalam lebih lama.
Aduh, tulang belakang aku terlipat 3! Lenguhnya, aku menggeliat kecil. Bukan selalu aku berjalan jauh begini. Akhirnya, mataku berjaya di buka dengan lengkap selepas digam dengan ketat sejak tadi. Apa tidaknya, selepas habis kerja kami terus ke sini.
Aku terkesima saat mataku disajikan dengan sebuah rumah kampung yang agak usang dan mampu runtuh pada bila-bila masa sahaja, menurut firasatku.
“Ini rumah awak?” aku bertanya perlahan. Ammar mengangguk kecil sambil tersenyum. Riak wajahnya cukup menggambarkan perasaan gembiranya. Aku cuma mampu membalasnya dengan senyuman kelat.
“Assalamua’laikum makcik,” aku bersalam penuh hormat dengan ibu Ammar yang setia menanti di muka pintu sejak kedatangan kami tadi.
“Wa’alaikumussalam nak. Masfira ye?” tanya ibu Ammar. Wajahnya nampak muda, sekitar umur 40-an mungkin. Ayah Ammar masih tidak kelihatan.
“Ayah mana mak?” Ammar bersalam pula dengan ibunya. Ammar seolah-olah memahami perasaanku yang sejak dari tadi mencari kelibat ayahnya. Manalah tahu, muka ayahnya jenis yang garang. Aku takut nak tengok pakcik-pakcik dengan wajah sebegitu.
“Ada dalam bilik, dah tidur. Masuklah dulu,” aku melangkah perlahan ke dalam rumah Ammar. Berputar-putar anak mataku, cuba meneliti sekitar rumah kecil itu. Cukup 2 minit, tak perlu lama kerana rumahnya agak kecil.
Lantainya bukan marmar, cuma simen berlapikkan tikar getah, sudah memadai. Saat kaki memijak lantai rumahnya, sejuk terasa sampai ke tulang. Dindingnya pun masih papan dan bukan batu bata seperti biasa yang kulihat. Perabot pun tidak banyak di dalam rumah ini. Televisyen disuatu sudut nampak usang, seperti tidak pernah digunakan.
“Fira?” aku tersentak dari lamunanku mendengar panggilan Ammar. Terasa di awangan lagaknya aku.
“Ya?” Ammar tersenyum memandangku.
“Kalau awak nak basuh muka, get fresh ke, pergilah. Tu bilik awak,” kata Ammar sambil menunding jari ke arah suatu bilik di bahagian belakang. Aku mengangguk kecil. Dengan mengangkat beg pakaian yang kubawa, aku melangkah perlahan menuju ke bilik yang ditunjukkan Ammar tadi.
Krekkkk…..
Aku berhenti bernafas sesaat, bukan kerana jantungku rosak secara tiba-tiba, tapi bunyi pintu bilik ini begitu menyeramkan. Sudah jam 11 malam sekarang. Ingin ke tandas pun pasti cukup mencabar untukku! Aku rela pergi tandas esok pagi sahaja. Aku kuatkan semangat, bunyi pintu tak mampu melawan keberanianku! Aku melangkah perlahan. Sejuknya!
Biliknya ringkas, tiada katil cuma tilam sahaja yang dibentangkan di bawah. Almari solek kecil juga disediakan. Macam tahu-tahu saja aku kuat tengok cermin! Itu sahaja yang ada di dalam bilik ini. Aku merenung siling yang agak buruk pada pandangan mataku. Ada tanda seperti pernah basah, sama seperti babak dalam cerita dark water sahaja lagaknya. Aku beristighfar, sudah jauh benar aku berfikir! Nanti betul-betul jadi dark water, baru padan dengan muka aku.
Tok tok…
“Oh mak kau!” aku melatah kecil. Siapa yang ketuk pintu malam-malam macam ni?! Jangan nak buat ujian jantung, aku belum bersedia!
“Ya?” aku menyahut daripada dalam.
“Fira? Ini ada selimut, makcik lupa nak letak,” jerit ibu Ammar daripada luar. Eh aku terlupa. Ini bukan rumah aku! Aku bergerak pantas, membuka pintu daripada dalam.
“Terima kasih,” balasku pada ibu Ammar yang tampak cukup lembut pada pandanganku.
“Buatlah macam rumah sendiri. Makcik tidur dulu ye?” kata ibunya lagi. Aku cuma mengangguk kecil sambil tersenyum memandang ibunya. Aku terduduk sekejap di atas tilam sambil merenung hari esok yang bakal tiba.
“Fira, oh Fira,” aku terdengar suara kecil Ammar mengetuk pintu sambil memanggil namaku perlahan. Aku menggeliat panjang sebelum terkebil-kebil membuka mata. Aku mencapai telefon bimbit di sisiku untuk melihat jam.
“Alamak, pukul 9!” aku terus terduduk, terkejut dengan sikapku sendiri. Selepas selesai solat subuh pagi tadi, aku terlelap. Tapi aku sempat mengunci jam untuk bangun sekitar jam 7.30. Walaupun dirumah sendiri aku akan bangun dalam pukul 10, tapi tak sedap rasanya bangun lewat di rumah keluarga Ammar.
“Ya, Am. Saya dah bangun dah,” aku menjawab daripada dalam.
“Nanti sarapan dulu ye?” sarapan?! Dah siap sarapan? Malunya aku! Macam bangun untuk makan sahaja! Aku baru bercadang ingin sama-sama membantu untuk menyediakan sarapan. Itukan ciri-ciri menantu pilihan?
Maafkan Fira, Am. Rasanya tak mengapa kot. Semalam, kami sampai pun dalam jam 11 malam. Tak salah agaknya terbangun lewat. Letih.
Tapi bukan letih punca aku bangun lewat. Tapi nyamuk! Banyak sangat nyamuk yang meminatiku. Hampir jam 4 pagi baru aku terlelap. Ammar ada berpesan padaku untk membawa kelambu, tapi segan pula rasanya. Sekarang, aku agak menyesal! Nyamuk, janganlah suka sangat kat aku. Aku tahu darah aku manis, tapi berpada-padalah nak gigit aku. Nyamuk ni gatallah!
Aku melangkah keluar selepas merapikan diri. Bukanlah merapikan diri untuk keluar pekan, cuma ingin nampak kemas selepas bangun tidur sahaja. Aku ingin mandi dahulu sebelum bersarapan.
Aku keluar bilik tapi tiada sesiapa di luar. Kemudian, terdengar pula suara Ammar ketawa di luar rumah. Mungkin sedang berborak dengan ibu bapanya? Aku menjenguk pula ke atas meja. Masih tidak berusik nasi gorengnya. Mereka tunggu aku untuk makan bersama ke? Mengingatkan itu, aku berlari-lari anak ke bilik air.
Krekkkk… Pintu bilik airnya sama seperti pintu bilikku semalam.
Aduh, berapa banyak adegan ‘krekkk’ dalam rumah ni? Semalam aku terus melelapkan diri tanpa selangkah pun keluar bilik. Aku rela tidak mencuci muka, memberus gigi dan membasuh kaki sebagaimana yang aku lazim lakukan.
Aku melangkah perlahan ke dalam bilik air. Sejuknya, hanya Tuhan yang tahu. Aku menolak daun pintu dan cuba mengunci pintu. Manalah tahu ada pula makhluk yang nak membukanya nanti.
Hampir 5 minit aku membelek pintu bilik air itu, tapi langsung tak kutemu kuncinya. Memang tak berkunci ke, atau aku yang tak mengenal kunci? Aku mengeluh panjang. Ingin sahaja aku jerit memanggil Ammar, tapi mengenangkan Ammar bersama kedua orang tuanya, aku batalkan niat kurang suciku itu. Aku akhirnya menolak sebuah baldi berisi pakaian basah yang ada di dalam bilik air itu sebagai ‘pemberat’.
Aku berpusing-pusing di dalam bilik air sekali lagi. Mana pula tempat nak letak tuala ni?! Aku menarik nafas panjang. Aku cuba ingatkan diri sendiri bahawa ini bukan rumahku dan betapa pentingnya untuk kita hormati kediaman orang lain. Bersungguh-sungguh wajahku saat ini walaupun badanku mula berpeluh melihatkan dinding dan pintu bilik airnya yang berlubang-lubang. Tolonglah jangan ada mata yang menggatal!
“Macam mana malam tadi? Selesa tak?” tanya ibu Ammar selepas kami selesai sarapan pagi. Aku tersenyum kecil, agak kelat. Tak tahu sama ada aku patut berlaku jujur ataupun tidak.
“Mesti banyak nyamuk, mak. Tengoklah muka dia merah-merah tu. Ammar ketawa besar, suka melihat wajahku yang digigit nyamuk agaknya.
“Kamu tak bawa kelambu ke? Kan mak dah pesan?” tiba-tiba ibu Ammar memandangku dan membahasakan dirinya sebagai emak. Aku menelan seliter air liurku.
“Tak ada apalah makcik. Saya boleh tahan lagi,” jawabku lembut, masih memanggilnya makcik. Bukan mahu hipokrit, sekadar menjaga hati. Macam bandar sangat lagaknya nanti.
“Hari ni kamu nak ke mana?” ayah Ammar mencelah perbualan kami. Aku cuma diam, tidak tahu pula ke mana Ammar akan membawaku nanti.
“Am ingat nak bawa Fira pergi sungai belakang tu je, Yah. Tak tahu nak pergi mana,” jawab Ammar. Lain daripada jangkaanku. Aku sibuk memikirkan bagaimana agaknya nanti ketika menyediakan makan tengah hari nanti kerana aku langsung tak tahu masak. Masak nasi atau air bolehlah lagi. Nak suruh masak lauk, memang sah kena balik Kuala Lumpur gamaknya aku. Adakah kata-kata Ammar tadi bermaksud yang kami takkan makan di sini?
“Kamu makan kat mana tengah hari nanti?” Eh, macam tahu-tahu saja? Jantungku berdegup pantas, menanti jawapan Ammar. Tolonglah bagi jawapan yang bernas.
“Kat luar. Malam nanti, Am makan kat rumah,” Alhamdulillah, aku mengucap syukur yang teramat sangat.
Melihatkan ibu Ammar sudah mula bangun untuk mengemas meja, aku membantunya mengangkat pinggan untuk di bawa kebelakang.
Ibu Ammar terbongkok di suatu sudut di dapurnya membuatkan aku diam. Mataku tidak puas menjeling untuk melihat apa yang sedang di buat oleh bakal ibu mertuaku. Saat dia meluruskan tulang belakangnya, aku sekali lagi tergamam, entah untuk kali ke berapa sejak aku tiba di sini. Itu tempat basuh pinggan?
Satu ruang kecil yang sedikit tinggi daripada lantai dapur sebagai penghadang, berbentuk seolah-olah sebuah kolah tapi bukan kolah! Tingginya cuma dalam 1 – 2 meter sahaja. Terdapat paip air dan sebuah bekas dengan serbuk sabun basuh baju di dalamnya beserta kain buruk basah.
“Eh tak payahlah kemas meja tu, Fira. Tinggalkan je, nanti mak basuh. Basah baju kamu nanti, rosak pula. Biar je situ,” ibu Ammar mematikan analisis ‘sinki’ yang aku buat sebentar tadi. Aku berdehem kecil untuk kembali ke alam nyata!
“Tak apa makcik, sikit je ni. Saya basuh sikit,” wanita tua itu tersenyum, mungkin lucu melihatku yang masih belum biasa memanggilnya ‘mak’. Aku cuma membalas senyuman lantas duduk di bangku kecil di ‘mini kolah’ untuk membasuh pinggan.
“Macam mana malam tadi? Selesa tak?” Ammar cuba mencari topik perbualan memandangkan aku sedang sibuk terkial-kial cuba membontoti langkahnya yang selamba meredah hutan. Aku sendiri tidak pasti ke mana Ammar ingin membawaku. Malah, aku langsung tidak tahu sama ada tanah yang kupijak ini dipanggil sebagai apa. Entahkan hutan, atau cuma kebun atau pun semak semata? Aku tak pasti!
“Awak tak inform saya pun yang kita nak pergi sini. Jauh lagi ke?” tanpa menjawab soalannya, aku terus merungut panjang. Sandal yang ku pakai langsung tidak membantu aku ketika ini. Kalau aku tahu kami akan ke sini, mahu sahaja aku meminjam kasut sukan Ammar!
“Depan tu je,” aku mengeluh. Yalah tu ‘depan’. Berapa kali ‘depan’ aku dengar Ammar jawab sejak tadi, tapi tak ku jumpa pula ‘depan’ yang dia maksudkan.
“Inilah dia sungai yang saya cerita kat awak,” akhirnya Ammar menghentikan langkahnya. Aku menarik nafas lega, sampai juga akhirnya. Aku cuba mengangkat muka untuk melihat sungai yang sering Ammar ceritakan. Saat mataku melihat keindahan alam dihadapanku, tidak habis-habis aku bersyukur dengan nikmatNya. Sungguh indah dan damai aku rasakan saat ini. Aku memejam mata erat sambil menarik nafas perlahan, cuba menghirup udara segar di sini dan mendengar bunyi deras air sungai yang mengalir.
“Cantik kan?” Ammar cuba menarik perhatian perhatianku selepas agak lama kami sama-sama mendiamkan diri. Aku membuka mataku memandang Ammar sambil mengangguk perlahan. Sungguh aku kagum.
“Nanti lepas kita kahwin, kita tinggal sini nak?” pantas aku menoleh memandang Ammar tidak berkedip.
“Tinggal sini?” aku bertanya perlahan, cuba meminta kepastian daripada apa yang aku dengar tadi. Ammar diam, tidak menjawab soalanku. Ammar berjalan perlahan, penuh berhati-hati untuk duduk di sebuah batu besar di tepi sungai itu. Dia menarik nafas panjang sebelum memulakan kata-katanya.
“Kalau ada rezeki, lepas kita kahwin nanti, saya nak tinggal sini. Jaga emak dan ayah saya sampai akhir hayat diorang. Apa pendapat awak?” aku terkedu sesaat, cuba mencari kekuatan untuk menjawab soalannya.
Untuk tinggal bersama Ammar sudah tentu perkara yang pasti dan tiada masalah untuk aku tinggal bersama keluarga Ammar selepas kami berkahwin nanti memandangkan ibu dan bapaku telah pun meninggal dunia. Cuma masalahnya kini adalah aku.
“Awak tak nak?” Ammar bertanya lagi melihat kebisuanku. Aku memandang Ammar tanpa bersuara walaupun sepatah. Senyum pun tak mampu ku ukir buat lelaki yang berjaya mencuri hatiku ini.
“Saya tak biasa tinggal rumah kampung,” aku menjawab perlahan sambil tertunduk memandang sungai. Aku ingin berlaku jujur pada Ammar, aku tak mahu merahsiakan perasaanku sendiri dengan lelaki ini.
“Saya faham,” Ammar membalas perlahan. Seakan suram perbualan kami ketika ini membuatkan aku rasa bersalah.
“Tak nak renovate rumah tu ke?” aku cuba menghidupkan suasana yang membuatkan aku rimas sejak tadi.
“Parents saya tak nak. Diorang selesa tinggal macam tu. Selalu dah saya cadangkan nak tambah sikit-sikit. Saya nak bagi diorang selesa tapi rumah tu dah lebih daripada selesa untuk diorang,” jawapan Ammar mematikan ayatku sendiri. Kami tediam panjang sekali lagi. Cuma bunyi deras air sungai yang kedengaran. Kaki yang aku lunjurkan ke sungai sedikit basah dengan dingin air yang mengalir.
“Awak fikirlah selama mana pun yang awak nak. Saya tak kisah, saya faham perasaan awak. Saya bawa awak balik kampung saya pun, sebab nak bagi awak peluang untuk rasa sendiri, dan buat keputusan. Lagipun, saya dah hantar surat permohonan untuk tukar cawangan ke sini. Belum dapat jawapan lagi. Awak fikirlah dulu. Saya takkan halang apa-apa pun keputusan awak, okay?” lembut tutur Ammar cuba menyedapkan hatiku yang gundah, tak pasti dengan keinginan sendiri. Aku tahu Ammar memang ingin menukar tempat kerja ke cawangan yang lebih dekat dengan rumah ibu bapanya. Cuma, aku tidak pernah terfikir yang Ammar ingin menetap di sini selepas kami berkahwin. Langsung di luar dugaanku.
Aku di besarkan dalam keluarga berada sejak kecil. Kami tergolong dalam kalangan elit, tinggal di villa mewah, di bandar besar. Kini, aku berusia 25 tahun dan selama itulah aku belum pernah tinggal di kampung kecil seperti ini. Ini sudah tentu membuatkan aku gusar dengan masa depanku seandainya aku membuat keputusan untuk tinggal di sini.
Saat ini, aku seolah-olah sibuk memikirkan diriku sendiri. Sepatutnya, aku yakin dengan cintaku pada Ammar dan bukan sibuk memikirkan diriku sendiri. Tapi entah kenapa, aku memang bingung ketika ini.
“Kalau saya tak boleh?” aku sengaja membuat telahan awal, ingin benar mengetahui jawapan Ammar.
“Awak akan bagi saya dua pilihan, antara awak atau parents saya. Dan saya yakin awak tahu apa jawapan saya,” Ammar menjawab perlahan. Aku terkedu, tergamam dengan jawapan Ammar yang benar-benar menyentap jiwaku. Begitulah berakhirnya perbualan suram kami. Tiada kata putus, cuma masa yang berdetik untuk memberi peluang supaya aku mampu membuat keputusan.
“Kau ni demand sangatlah. Kau tahu dia orang kampung, kau expect apa lagi?” kakakku membebel selepas aku menceritakan masalah aku dengan Ammar padanya.
“Aku tahu dia orang kampung, tapi aku tak tahu sampai macam tu sekali daifnya rumah dia, faham?” aku membalas keras kata-kata kakakku itu.
“Asalkan boleh hidup dalam tu, selamatlah. Bukannya gua pun. Bukannya kau kena guna kayu api nak masak air, guna batu dengan daun kering bila nak nyalakan api,” aku mencebik kasar mendengar nasihat entah apa-apa daripada kakakku ini. Cakap senang, laki kau duduk rumah besar! Aku mendengus kasar.
“Rumah tu, sangat comel. Tak ada coverage Maxis atau Celcom! Internet apa entah lagi! Tak ada sinki tapi ada mini kolah. Bilik air berlubang, tak ada kunci. Bilik tidur sempit, tak muat letak almari besar dengan king size bed. TV pun ada channel yang tak dapat reach! Radio, aku tak pasti sebab rumah tu tak ada radio,” aku membentangkan hujah berkenaan bakal rumahku suatu hari nanti.
“Tak ada coverage Maxis atau Celcom? Kau tukarlah Digi. Tak ada internet kat rumah? Kat office mesti ada. Mini kolah? Itu sinki yang unik dan kreatif. Bilik air berlubang, tak ada kunci? Suruhlah laki kau fix, bukannya renovate. Takkan dia nak biar bini dia kena intai? Bilik kecil pula? Saja nak bagi privacy untuk kau dengan Am, barulah romantik! TV tak ada channel? Tengoklah VCD! Small matter la,” buat pertama kalinya aku rasa macam nak bunuh kakak aku. Aku menjeling, tidak memandang wajahnya yang menganggap ceritaku remeh. Aku rasa, tiada sesiapa pun yang cuba faham perasaan aku ketika ini. Aku demand? Ya!
“Fira, dengar sini,” kakakku cuba menarik bahuku perlahan untuk berdepan dengannya.
“Kau sayang dia, kau cintakan dia. Jadi, terima dia, terima keluarga dia, terima rumah dia, terima mini kolah dia, terima dia seadanya. Kalau kau tak mampu terima semua tu, maksudnya cinta kau untuk dia tak sehebat cinta kau pada dunia, pada harta. Fikirlah masak-masak, apa yang kau nak dalam dunia ni sebenarnya,” perlahan tuturnya. Kakakku bangun, berlalu meninggalkan aku sebak sendiri. Ada benarnya kata-kata kakakku itu, membuatkan aku kehilangan kata-kata. Air mataku mengalir perlahan, entah untuk apa.
“Saya dah fikir masak-masak, Am. Saya akan cuba tinggal kat situ,” aku berkata perlahan sambil merenung lembut wajah Ammar yang nampak gemuruh untuk mendengar keputusanku. Akhirnya dia melepaskan nafas lega sambil tersenyum lebar mendengarkan keputusanku.
“Awak terima saya sebagai suami awak yang ‘kampung’ ni?” sengaja Ammar membuat provokasi denganku. Aku cuma tersengih busuk. Lagaknya mengingatkan aku kepada gaya seorang paderi yang ingin mengahwinkan mana-mana pasangan.
‘do you accept Ammar as your husband, until death and bla bla bla?’ Aku tak pasti ayatnya, tapi aku ketawa besar dengan fantasi mengarutku itu.
“Awak terima?” Ammar semakin gelisah mendengarkan tawaku. Lagak macam aku tak mahu kahwin sahaja.
“I do,” aku tersenyum sendiri. Dia pula tergelak.
“Tapi, boleh tak kalau kita tukar mini kolah tu?” aku menyambung kata-kataku.
“Mini kolah?” Ammar bertanya pelik dengan dahi berkerut-kerut.
“Ops…”
April 14, 2011 at 11:46 PM
crita ntah pa2 ja.
ak pon x dak feel nak baca..