Suasana di dalam rumah kayu jati dua tingkat itu sungguh riuh-rendah. Sanak-saudara yang dekat mahupun jauh turut sama datang untuk membantu Syifaa’ menyempurnakan persiapan majlis perkahwinannya. Walaupun lebih kurang tiga bulan lagi detik bersejarah itu akan berlangsung, mama dan papanya begitu beria untuk melaksanakan persiapan sesempurna mungkin buat anak bongsu mereka. Namun, wajah Nur Syifaa’ Adriana tidak seceria bakal pengantin yang lain. Dia tampak pucat dan langsung tak bersemangat. Bukannya tidak bersyukur, tetapi. Hmm…
Arifah merenung wajah adik perempuan bongsu kesayangannya. Lantas dia memaut lembut tangan Syifaa’ dan memimpin adiknya ke bilik. Menyepikan diri seketika daripada keriuhan suasana. Masuk ke bilik, Syifaa’ terus duduk di sofa. Dia menanti perkataan yang bakal terucap dari bibir kakaknya.
“Syifaa’?” Tegur Arifah bila melihat adiknya sambung mengelamun.
“Kak, tolong Syifaa’. Syifaa’ tak nak kahwin kak. Syifaa’ rindukan Hafiz,” Arifah terkejut bukan kepalang.
“Hafiz? Siapa tu? Akak tak pernah dengar pun nama dia?” Arifah kebingungan. Dia betul-betul pelik. Sangkanya adiknya ini akan melangsungkan perkahwinan bersama jejaka yang dicintai.
“Hafiz is the one that I love so much. Dia cinta pertama Syifaa’. He’s a part of my soul, kak. Tapi, mama dan papa tak merestui cinta kami. Mama dan papa halau Hafiz masa Syifaa’ nak perkenalkan pada dia orang. Syifaa’ terkilan,” Arifah urut dada. Sepanjang menghabiskan pengajian di luar negara, dia langsung tidak diberitahu mengenai hubungan cinta yang dijalin oleh Syifaa’ bersama Hafiz. Yang dia tahu, mama dan papa begitu berkenan dengan seorang pemuda bernama Ariff. Dan, mereka menyatakan perkahwinan yang bakal berlangsung ini juga adalah atas dasar cinta.
“So that’s mean you don’t ever know bout Ariff before this?” Syifaa’ mengangguk laju. Air matanya hampir menitis.
“Syifaa’ hanya tahu pasal Hafiz sorang je kak. Hafiz Farshah bin Uthman. Tapi sekarang, Syifaa’ tak dapat jumpa Hafiz lagi,” Syifaa’ mula teresak-esak. Arifah mendakap adiknya. Dia memahami apa yang dirasakan oleh Syifaa’ kini.
Hafiz memandang sepi telefon bimbitnya. Tiada kedengaran bunyi ceria seperti selalu. Dia tahu, hanya tinggal berapa purnama sahaja lagi Syifaa’ bakal menjadi seorang isteri. Isteri kepada seorang lelaki yang langsung tak dikenali mahupun dicintai oleh gadis itu. Begitu payah untuk Hafiz merelakan pemergian gadis itu ke pangkuan lelaki lain. Amat sukarnya bagi dia menghadapi perpisahan ini. Bertahun menyulam cinta, membina tembok percaya tetapi kini segalanya musnah sekelip mata. Tiada sepicing pun keindahan cinta dalam dakapan jiwanya. Yang tinggal hanyalah debu-debu mimpi yang berderaian. Dalam menungan, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyi. Hafiz terpana. Syifaa’ menelefon! Harus diangkat atau pun tidak? Dia mengeluh sendiri. Kali pertama dia membiarkan panggilan dari gadis tersebut berlalu sepi. Sangkanya, Syifaa’ akan berhenti memanggil, namun ternyata dia silap jangkaan. Gadis itu terus juga menelefonnya berulang kali.
“Hello Hafiz,” suara serak gadis itu memilukan hatinya. Hafiz cuba sedaya upaya mengawal intonasi.
“Ya, Syifaa’,” Sepi di hujung talian. Hafiz menahan sebak di dada. Syifaa’ terlebih dulu menitiskan air mata. Murah benar manik jernih itu menyapa pipinya. Amat payah hendak ditafsirkan rasa hatinya kala ini. Pilu teramat sangat apabila suara Hafiz menyentuh pendengarannya setelah hampir dua bulan mereka tidak bertemu.
“Kenapa lambat angkat? Lama Syifaa’ tunggu Hafiz,” Esakannya pecah jua. Tak terdaya lagi menahan empangan air mata. Syifaa’ terduduk di lantai. Hafiz mengetap bibir. Masih melawan air mata dari menyentuh pipi.
“Dalam bilik air tadi. Tak dengar bunyi hand phone. Ada apa awak called saya malam-malam macam ni?”
Nadanya berubah tegas. Hafiz tak mahu menggoyahkan pendirian gadis yang paling dicintainya ini. Dia amat mengerti betapa tingginya nilai cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Meski segunung permata dilonggokkan tetap takkan dapat menyamai kasih ibu bapa. Syifaa’ sungguh bertuah. Sebab itulah, dia akur sahaja terhadap penentangan mama dan papa Syifaa’ terhadap cinta mereka. Dia tak mahu mengguris hati orang tua, juga takkan sekali-kali mengajar Syifaa’ mengingkari kehendak ibu bapa. Perkahwinan sungguh mulia, dan Syifaa’ melakukannya atas kehendak mama dan papanya. Hafiz redha meskipun bukan dirinya menjadi pilihan.
“Hafiz, Syifaa’ terlalu rindukan Hafiz. Syifaa’ sedih sangat. Syifaa’ teringin nak jumpa Hafiz. Kalau boleh sekarang jugak,” Hafiz tersentak mendengar permintaan Syifaa’. Hatinya sudah nekad. Dia takkan sekali-kali menuruti permintaan Syifaa’.
“Awak jangan buat lawak boleh? Cik Nur Syifaa’ Adriana, awak boleh berfikir seperti orang dewasa yang matang kan? Jadi, awak kenanglah pengorbanan ibu bapa awak membesarkan awak. Keperitan ibu awak berjuang melahirkan awak. Takkan semata-mata sebab orang macam saya ni awak nak buang mereka? Tak adil, Syifaa’. Mereka dah membesarkan awak, dah tentu mereka mengharapkan segala yang terbaik buat awak. Awak tak terfikir ke? Mana tahu kalau saya kahwin dengan awak semata-mata nakkan harta keluarga awak? Awak boleh jamin ke yang saya ni terlalu baik? Awak tak fikir kemungkinan saya akan tinggalkan awak lepas kahwin?” Tukas Hafiz sesungguh hati. Hanya Tuhan yang tahu perasaanya bila perlu berbicara demikian. Dan dia amat pasti, tentunya Syifaa’ amat terluka.
“Cukup Hafiz! Awak nak suruh saya sangsi pada awak setelah segala kebaikan awak tunjukkan pada saya? Awak nak saya ragu terhadap cinta awak sedangkan awak bermati-matian mempertahankan perasaan tersebut sepanjang kita bersama? Awak tak pandai berlakon, Hafiz. Tak pandai,” Suara manja Syifaa’ tenggelam dalam esak tangisnya. Hafiz tak terdaya lagi menahan air mata. Sesungguhnya dia bukan pelakon terbaik.
“Maafkan Hafiz, Syifaa’. Hafiz tengah keraskan hati Hafiz sekarang ni. Hafiz tak nak Syifaa’ hampakan harapan ibu bapa Syifaa’. Tak elok Syifaa’ musnahkan kepercayaan mereka terhadap Syifaa’. Mereka terlalu berjasa terhadap Syifaa’ kalau nak dibandingkan dengan Hafiz. Merekalah yang membawa Syifaa’ mengenali dunia. Apa yang ada pada Hafiz, Syifaa’? Hafiz tiada harta, Hafiz tak kenal siapa mak ayah Hafiz. Hafiz cuma ada pelajaran untuk membela hidup Hafiz dan mengubah masa depan Hafiz kelak. Tak berbaloi Syifaa’ pertaruhkan seumur hidup Syifaa’ untuk Hafiz,” dia mematikan talian. Syifaa’ terkedu. Tetapi Nur Syifaa’ Adriana tetap percaya bahawa Hafiz Farshah ditakdirkan untuknya…
Hafiz menanggalkan bateri dan mencabut simcardnya. Dia mahu tenteramkan hati yang tak keruan. Menenangkan minda yang bercelaru. Nur Syifaa’ Adriana… Hafiz tak tahu bilakah nama itu akan terpadam dari memenuhi hamparan kalbunya? Wajah manis yang sedap dipandang mata, dengan ketinggian sederhana, gadis itu anggun dengan kerudung di kepala.
Arifah mengambil keputusan untuk menemani adiknya tidur di kamar pada malam itu. Bimbang jika Syifaa’ bertindak di luar jangkaan. Dia tahu adiknya mampu berfikir waras tetapi dia bimbang kalau-kalau Syifaa’ terlalu tertekan sehingga bertindak di luar batasan. Hafiz berpusing ke kiri kanan menukar posisi tidurnya. Dia susah hendak melelapkan mata. Kepalanya terasa sakit sementalah badannya berpeluh-peluh. Kawan sebiliknya, Dzil terbangun bila menyedari katil bergegar. Dalam mamai, dia memetik suis lampu. Dzil melompat turun dari katil tingkat atas. Dia menggerakkan badan Hafiz yang masih berguling ke kiri dan kanan.
“Hafiz, kenapa ni?” Pertanyaan Dzil dijawab dengan kerutan wajahnya. Kulit kuning langsatnya tampak begitu pucat.
“Tunggu kejap. Aku ambik panadol,” seketika kemudian, Dzil menuju ke dapur dan mengambil dua biji panadol bersama segelas air masak. Dia merangkul bahu Hafiz dan memberikan ubat kepada sahabatnya itu.
“Terima kasih, Dzil. Kepala aku sakit sangat. Macam nak demam pun ada,” Dzil mengangguk faham.
Dia bimbang dengan tahap kesihatan Hafiz yang kurang berselera makan semenjak putus cinta. Dia mengerti betapa payah luka parah di hati Hafiz akan sembuh. Hanya masa jadi penentu.
“Kau rehat elok-elok. Kalau tak larat esok ambillah mc,” cadang Dzil. Hafiz menggeleng lemah.
“Sikit je ni, lagipun dah final year. Aku tak nak tertinggal subjek,” balasnya sebelum memejamkan mata.
Hafiz mengambil keputusan untuk menghadiri kuliah juga meskipun badannya terasa hangat. Dia terpaksa memakai baju panas memandangkan kulitnya begitu sensitif. Bila bayu menyentuh lembut kulitnya, dia terasa begitu dingin. Kepalanya masih terasa berat. Namun dia gagahkan jua demi menuntut ilmu.
Sehinggalah tiba gilirannya untuk mengambil markah kuiz, Hafiz merasakan badannya ringan semacam. Pandangannya berpinar. Jejaka tinggi lampai ini cuba untuk berpaut pada kerusi, namun dia lemah lutut. Hafiz hilang keseimbangan lalu pitam. Dalam keadaan separuh sedar, Hafiz dapat merasa seakan suatu objek halus runcing ditusuk ke dalam kulitnya. Dia ingin menepis namun tangannya lemah untuk diangkat.
“Itulah engkau, degil. Aku suruh berehat tak nak. Demam tu dah melarat. Nasib baik tumbang depan kita orang, kalau kat tengah jalan macam mana?” bebel Dzil tanpa dapat ditahan lagi. Hafiz cuma tersenyum lemah.
“Kau jangan bimbanglah, Dzil. Aku demam sekejap je. Nanti baiklah. Doktor pun dah bagi kebenaran untuk aku keluar wad,” Hafiz tertunduk. Tiba-tiba dia terbayangkan betapa bimbangnya Syifaa’ setiap kali dirinya jatuh sakit. Raut wajah gadis itu cukup untuk menenangkannya.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa aku rindukan dia,” ujar Hafiz dalam hati.
Syifaa’ memberi seribu satu alasan untuk mengelak daripada bertemu dengan Ariff. Dalam hatinya langsung tiada sekelumit rasa untuk mengenali apa lagi sayang terhadap lelaki itu. Mereka bagaikan orang asing. Dia tak mungkin dapat menemui lelaki itu dengan mudah. Biarpun bergelar isteri kelak, lelaki itu hanya memiliki dirinya, namun bukan cinta sucinya yang tetap utuh buat insan bernama Hafiz Farshah.
Hafiz tak puas-puas menatap bingkai gambar bermotifkan lambang hati. Tersisip elok potret mereka berdua. Wajah manja Syifaa’ di samping dirinya yang sedang bergelak ketawa membuatkan kerinduannya terhadap gadis itu semakin kuat mencengkam. Betapa indahnya detik tersebut untuk dilupakan. Hafiz pasti, selagi nyawa dikandung badan selagi itulah kasihnya tak pernah surut. Ibarat lautan yang tak pernah kering.
Hafiz menghela nafas sedalamnya. Dia termangu seketika. Entah wajar atau tidak tindakannya kali ini? Namun dia nekad, biarlah. Malam yang gelita dengan langit yang kosong tanpa sebutir bintang ini bakal menjadi saksi segalanya.
Dia menanti dengan penuh sabar. Hafiz tak putus-putus berdoa agar taliannya bersambut.
“Hello, assalamualaikum,” Hafiz memberi salam sesopan mungkin.
“Waalaikumussalam, Hafiz. Ya Allah! Hanya Tuhan yang tahu betapa Syifaa’ rindukan Hafiz. Rindu sangat. Hafiz sihat? Dah makan?”
Syifa menuturkan soalan bertalu-talu. Andai dapat ditatap wajah Hafiz, pasti dia dapat melihat garis-garis duka pada seraut wajah tenang. Pipi jejaka itu mungkin berubah cengkung. Sungguh! Dia terlalu rindu untuk menatap senyuman Hafiz… apa lagi mendengar gelak ketawa insan yang terlalu dikasihi itu.
“Syifaa’, Hafiz belum makan. Sekejap lagi Hafiz makan. Hafiz minta maaf kalau selama ni Hafiz banyak sakitkan hati Syifaa’. Hafiz terlalu sayangkan Syifaa’. Hafiz harap persahabatan kita kekal sehingga ke akhir hayat. Bila kahwin nanti, Syifaa’ dah ada tanggungjawab. Syifaa’ tak boleh fikirkan fasal Hafiz lagi ye, jangan terlalu mengingati Hafiz, pentingkan suami Syifaa’ dalam setiap perkara yang Syifaa’ lakukan. Sebagai isteri solehah, jadikan suami Syifaa’ sebagai keutamaan,” Syifaa’ teresak-esak di hujung talian. Hafiz turut tersedu-sedan. Air matanya mengalir laju.
“Syifaa’ tak boleh lupakan Hafiz. Syifaa’ mesti teringat fasal Hafiz. Hafiz terlalu indah untuk Syifaa’ lupakan. Hafiz tahukan kasih sayang Syifaa’ tiada dua atau tiga. Hanya Hafiz dalam hati Syifaa’.”
“Sudahlah sayang, izinkan Hafiz pergi. Terimalah hakikat, kasih ini bukan milik kita. Cinta Syifaa’ tak tertulis buat Hafiz,” Buat kesekian kalinya, Hafiz mematikan talian. Dia terjelepok di sisi katil tanpa dapat menahan air mata membasahi pipi. Tinggal dua bulan lagi, Syifa bakal melangsungkan perkahwinannya. Meskipun tempoh itu kedengaran singkat, Hafiz sendiri tidak tahu setakat mana ketabahannya untuk terus bertahan menongkah ombak gundah ini. Dia perlu meninggalkan Syifaa’ lebih awal sebelum Syifaa’ mengubah pendirian. Dia tak mahu Syifaa’ berbelah bagi untuk menjadi isteri kepada Ariff.
Nak terbuntang biji mata Syifaa’ memandang nombor yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Dia menyelitkan` telefon bimbit ke bawah sofa, namun tetap tak henti-henti berbunyi. Memekakkan telinga je.
“Hello! Awak nak apa ha?“ Soal Syifaa’ kasar. Lelaki ini memang sengaja mematikan moodnya.
“Cik adik, yang awak garang sangat ni kenapa? Awak kan tunang saya. Ada ke perempuan layan tunang macam ni?” Ujar Ariff lembut. Cuba berdiplomasi.
“Masa bila pulak saya disahkan menjadi tunang awak ni? Dalam mimpi pun tak pernah tau,” Balas Syifaa’ bersahaja.
“Apa-apa jelah, Syifaa’. Esok saya nak jumpa awak? Pukul 10 pagi. Mesti datang, tunggu saya depan pagar rumah awak,” Ariff bersuara tegas. Sengaja mahu memancing reaksi Syifaa’.
“Awak tak reti bahasa ke? Saya tak kuasa nak jumpa awaklah!” Bentak Syifaa’. Dia mematikan talian. Sejak kebelakangan ini anginnya ternyata kurang baik. Lantaklah, sudah beberapa kali Ariff ingin menemuinya. Dia menolak mentah-mentah.
Ariff termangu memandang telefon bimbitnya. Kenapalah bakal isterinya ini sering naik angin? Apa agaknya kesilapan yang telah dia lakukan? Dia tergeleng seketika kemudian tergelak kecil. Hari esok tak mungkin Syifaa’ ada apa-apa alasan lagi. Mak cik dan pak cik tentu akan memberi sokongan terhadapnya.
Dia mencapai sekeping kertas kumal dan sebatang pen hitam. Malam ini dia mesti meluahkan segalanya, derita yang terpendam di lubuk hati. Hanya tinggal seminggu! Ya, seminggu… Syifaa’ bakal menjadi milik orang dan Hafiz perlu bersedia untuk menghadapi segalanya. Dan coretan duka ini hanyalah untuk dirinya sahaja. Untuk dikirimkan kepada insan di sana, dia tiada kekuatan.
Buat insan yang paling ku cintai,
Apa khabar Syifaa’? Hafiz di sini macam biasa. Hari-hari Hafiz dah tak lagi berseri sepertimana sewaktu kita masih bersama-sama, asyik menyulam cinta. Syifaa’ mesti berdebar kan? Menghitung detik bergelar ratu sehari. Tapi sayang, bukan Hafiz yang bakal menggenggam tangan tok kadi, menyakinkan wali bahawa Hafiz pilihan terbaik buat Syifaa’. Hafiz tak mungkin dapat tersenyum tatkala mengenangkan hari bahagia Syifaa’ hampir tiba. Setiap waktu yang berlalu, bagaikan menghambat Hafiz. Tak tahu kenapa, mungkin kerana cinta buatmu terlalu dalam, Syifaa’. Hafiz terpaksa terima bahawa bukan Hafiz yang bakal memegang erat jemari Syifaa’ dan tersenyum bahagia di samping Syifaa’ di atas pelamin yang dihias indah kelak. Pergilah sayangku, bermula semula. Semangat cintaku, membara kerana dia. Tiada niatku…
Sekeping hati ini
Telah ku serahkan buatmu
Dari saat mula
Detik perkenalan
Hingga terciptanya
Perpisahan
Yang tidak pernah
Aku bayangkan
Sambutlah rindu ini sayang
Semoga mekar kasih terhadapnya
Bawalah cinta pergi
Dengan keluhuran
Seputih salji
Selamilah hamparan kasih
Hapus semua gundah
-akan ku intai bahagiamu dari jauh, sayang-
“Macam mana dengan visa? Kad pengenalan? Semua dah ada?” Soal Dzil penuh prihatin. Dia memahami sesuatu. Sesungguhnya Hafiz tak mampu untuk berdepan dengan saat-saat yang bakal meruntun hatinya. Sahabatnya ini langsung tak bersedia untuk berada di Malaysia semasa Syifaa’ dan Ariff disatukan kelak. Dia lebih rela menghabiskan masa di Korea daripada menghadiri majlis tersebut.
“Kau jangan bimbang, Dzil. Aku dah settlekan semuanya. Dah sampai masanya untuk aku naik flight. Kau jaga diri elok-elok. Aku tahu apa yang sedang aku lakukan, Dzil, Kau jangan lupa bagi hadiah kahwin Syifaa’yang aku tinggalkan tu,” Dzil mengangguk perlahan.
“InsyaAllah Hafiz,” Mereka berpelukan seketika. Dzil menepuk-nepuk belakang Hafiz. Agak lama sebelum melepaskan sahabatnya menuju ke arah balai berlepas.
‘Mana Syifaa’ ni? Lambatnya! Nak jumpa Hafiz ke tak?’ Rungutnya dalam hati. Semalam dia telah memberitahu gadis itu mengenai pemergian Hafiz ke Korea. Dia ingin mereka bertemu sebelum Syifaa’ mendirikan rumah tangga. Kini, rancangannya tidak menjadi. Dzil duduk di bangku. Lahir keluhan hampa dari mulutnya.
Syifaa’ merentap pautan jemari Ariff. Dia berlari selaju yang mungkin, mengejar masa untuk menatap wajah yang sekian lama dirindui. Setelah puas memujuk Syifaa’, Ariff terpaksa akur dengan permintaan tunangnya untuk bertemu Hafiz. Jika Ariff enggan, Syifaa’ tak mungkin akan mengahwininya. Meski terpaksa, dia memandu juga ke KLIA semata-mata untuk memenuhi hasrat Syifaa’. Jauh di sudut hati. Ariff teringin melihat bagaimanakah gerangan Hafiz yang terlalu dipuja oleh Nur Syifaa’ Adriana? Adakah sesegak dirinya?
Dzil terkejut bukan kepalang melihat kehadiran Syifaa’ ditemani oleh seorang lelaki berwajah kacukan. Dia mengetap bibir.
“Mana Hafiz?” Soal Syifaa’ cemas. Dia mengurut dada.
Dzil membulatkan mata.
“Baru sekarang kau sampai? Habislah, Syifaa’. Hafiz dah naik flight. Tak tahu bila kau akan jumpa dia lagi,” Luah Dzil geram. Dia betul-betul bengang apa lagi setelah melihat wajah sombong Ariff Syakir. Langsung tiada riak wajah bersalah.
“Nah, ambik ni. Hafiz bagi,” Dzil berlalu setelah menyampaikan hadiah perkahwinan itu kepada Syifaa’. Tanpa menghiraukan renungan tajam Ariff, Syifaa’ terus membuka bungkusan hadiah tersebut. Sehelai selendang berwarna ungu lembut berserta sekeping kad, ringkas sahaja tulisannya.
‘Buat sahabat yang paling Hafiz sayangi, tunggu kedatangan Hafiz nanti. Hafiz tak nak kempunan nasi minyak Syifaa,’ Air hangat mula bertakung di kolam matanya. Syifaa’ terhinggut-hinggut menahan tangis. Ariff menarik tangan gadis itu. Langkahnya dipercepatkan. Dia ketap bibir. Entah marah ataupun hiba, dia keliru.
“Surprise!” Suara yang menyapanya dari belakang cukup untuk membuatkan Dzil tersenyum lebar. Suara yang begitu dikenalinya.
“Hei, Hafiz! Awalnya kau balik?” Terus saja Dzil melangkah. Menghampiri Hafiz sebelum memeluk sahabatnya seerat mungkin.
“Aku kan Hafiz Farshah, apalah kau ni?” Hafiz tergelak. Dzil senyum lagi. Masih ada persoalan berlegar di kepalanya.
“Aku akan pergi esok. Janji mesti ditepati. Aku nak tengok Syifaa’ dan Ariff bersama,” ujar Hafiz bersungguh-sungguh. Bagai memahami perkara yang mengasak fikiran Dzil, Hafiz terlebih dulu menjelaskan duduk perkara sebenar. Dzil menepuk bahu Hafiz. Dia lega kerana sahabatnya ini mampu membuat keputusan yang rasional akhirnya. Tiada permusuhan mengiringi perpisahan mereka. Inilah Hafiz, sahabat yang dikenali sejak dulu. Seorang insan yang penuh dengan keihklasan dan kejutan.
Dzil memandang Hafiz yang masih lena di tempat tidurnya. Pelik! Biasanya Hafiz tak pernah lewat bangun untuk menunaikan solat Subuh. Apatah lagi hari ini merupakan hari yang begitu ingin diraikan oleh Hafiz. Melihat Nur Syifaa’ Adriana diijab kabulkan dengan Aliff Syakir.
Mungkin Hafiz terlalu letih kerana semalaman mereka berjaga, menghabiskan masa dengan berborak kosong juga bergurau senda. Yang Dzil tahu, dia terlebih dulu dibuai mimpi sementara Hafiz masih duduk di meja studi. Entah apa yang sahabatnya lakukan dia tak tahu.
“Aku sayangkan Syifaa’ lebih dari diri aku sendiri Dzil. Aku terlalu cintakan dia. Tak mungkin ada wanita lain mampu menggantikannya. Lepas ni aku akan pergi jauh untuk tenangkan hati,” Dzil kerut dahi. Lain macam je ayat Hafiz?
“Kau jangan bimbanglah Dzil. Aku balik ke Korea semula lepas ni,” Terngiang-ngiang suara Hafiz di pendengarannya. Bersungguh-sungguh jejaka itu menyatakan betapa hebat rasa cinta terhadap Nur Syifaa’ Adriana serta meluahkan keinginan untuk melanjutkan pengajian di negara empat musim itu.
Dzil cuba mengacah-ngacah Hafiz dengan menghalakan lampu suluh ke muka sahabat karibnya. Biasanya Hafiz terus tersedar bila saja cahaya lampu menyilaukan wajahnya. Mungkin Hafiz tidak mahu mengalah pada kali ini. Dzil tergelak-gelak, namun tiba-tiba jantungnya berdetak laju.
Dia mendapatkan Hafiz lalu memegang tangan sahabatnya. Terlalu dingin. Hafiz juga tidak menyahut bila Dzil berkali-kali memanggilnya. Dzil ketar, dia cuba menahan emosi. Dzil mengangkat tangan Hafiz namun tangan itu terkulai bila dilepaskan.
“Tak! Hafiz! Bangun Hafiz!” Dzil semakin cemas. Dia sukar untuk mempercayai apa yang sedang berlaku kini. Lantas dia melakukan CPR. Dengan harapan Hafiz tersedar semula daripada pengsan.
“Hafiz!!” Laungannya mengejutkan teman-teman yang tinggal di sekitar blok tersebut. Dia mendakap Hafiz semahu-mahunya. Dzil sedar ini bukan masanya untuk bergurau. Dzil teresak-esak di situ juga. Bahunya terhinggut-hinggut. Pilu menghimpit dadanya. Rakan-rakan lain berusaha untuk menenangkannya.
Syifaa’ gelisah. Ariff dapat melihat kelainan pada raut wajah isterinya. Kebimbangan jelas terpancar di wajah Syifaa’. Dia cuba untuk menenangkan Syifaa’. Upacara persandingan bakal berlangsung sebentar nanti.
“Syifaa’, jangan lah macam ni. Abang tahu, Hafiz mesti sampai sekejap lagi,” Ariff memujuk lembut. Dia mengelus lembut bahu isterinya. Syifaa’ mengangguk. Walhal dalam hatinya berdegup kencang seperti merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.
Arifah menahan sebak. Dia berlari keluar dari bilik setelah menerima panggilan telefon yang diterima dari Dzil. Penuh ketenangan, dia membisikkan sesuatu ke telinga Syifaa’. Tanpa dapat mengawal emosinya, Syifaa’ meraung di situ juga. Dia terduduk. Arifah menerpa dan mendakap Syifaa’.
“Kak, Hafiz kak… Syifaa’ dah tak dapat jumpa Hafiz lagi,” Air mata berjuraian membasahi pipi.
Tetamu yang hadir saling berpandangan. Ibu bapa kedua-dua mempelai terkejut melihat perlakuan Syifaa’. Mama Syifaa’ tunduk sugul. Rasa bersalah menerpa kalbu dia dan suaminya kerana menghalang niat baik jejaka itu menyunting anak gadis mereka suatu masa dulu. Kini, jejaka itu telah meninggal dunia. Puaskah hati mereka? Adakah pintu kemaafan masih terbuka buat mereka? Tanpa menghiraukan tetamu yang mula membuat andaian masing-masing, Puan Aishah memeluk Syifaa’ dan berusaha meredakan tangisan anak bongsunya. Belakang badan Syifaa’ diusap-usap.
“Mama, Hafiz dah takde, ma. Syifaa’ nak jumpa Hafiz mama. Please mama. Syifaa’ rindukan Hafiz,” Tubuhnya terketar-ketar. Suaranya tenggelam dalam esak tangis.
“Mama minta maaf sayang, mama bersalah,” Mendengar ucapan yang terzahir dari mulut ibunya, semakin deras air mata membasahi pipi.
“Syifaa’ langsung tak salahkan mama. Ini semua takdir. Kita kena terima,” Ariff masih lagi terpinga-pinga. Arifah menghampirinya dan menyatakan sesuatu yang cukup membuatnya terpana. Dadanya berombak kencang.
Syifaa’ memandang Ariff mengharapkan pengertian. Setelah mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh kakak iparnya, Ariff memaut tangan isterinya. Dia bergegas membawa Syifaa’ ke rumah Dzil, tempat jenazah Hafiz disempurnakan. Setibanya di rumah Dzil, mereka hanya dapat melihat jenazah Hafiz telah diusung menuju ke tanah perkuburan. Pandangan Syifaa’ kelam. Dia lemah untuk terus berpijak. Ariff merangkul tubuh isterinya.
Ariff mengelap wajah isterinya dengan air suam untuk mendatangkan kelegaan buat Syifaa’ apabila isterinya sedar nanti. Syifaa’ membuka matanya yang sejak tadi terpejam rapat. Kepalanya terasa agak berat. Ariff memangku kepala isterinya dan menyandarkan bantal pada kepala katil. Dia mahukan yang terbaik buat Syifaa’ lebih-lebih lagi dalam keadaan isterinya yang tentu saja tertekan pada saat ini. Seraut wajah Syifaa’ ditatap sayu. Syifaa’ membalas renungan itu dengan mata yang berkaca.
“Abang, Syifaa’ minta maaf. Syifaa’ takkan sakitkan hati abang, Syifaa’ akan layan abang seadilnya. Tapi, tolong jangan paksa Syifaa’ lupakan Hafiz dalam masa terdekat ni. Syifaa’ tak mampu. Syifaa’ harapkan sokongan abang,” Ariff meletakkan jari telunjuknya ke bibir Syifaa’.
Dia amat mengerti. Dia takkan menjadi sekejam itu untuk mendera perasaan Syifaa’. Dan mulai detik ini, dia mengagumi insan bernama Hafiz Farshah. Dia menarik Syifaa’ ke dalam pelukannya.
“Sayang, abang faham. Abang akan sokong Syifaa’ selagi abang masih bernafas. Syifaa’ tak salah apa-apa dengan abang. Abang yang patut minta maaf. Maafkan abang, Syifaa,”
Syifaa’ tak mampu bersuara. Rasa hatinya kala itu hanya mampu diluahkan dengan air mata. Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Syifaa’ tersentak. Namun digagahkan jua untuk menjawab panggilan. Usahlah diharap lagi suara Hafiz akan menemani hari-harinya.
“Assalamualaikum. Syifaa’. Aku nak jumpa kau esok. Ada sesuatu yang aku nak tunjuk,”
Syifaa’ mengiyakan permintaan Dzil. Setelah menjelaskan perkara sebenar, Ariff mengizinkan mereka bertemu malah dia ingin sekali menemui Dzil yang begitu setia pada persahabatan.
Dzil menggenyeh-genyeh matanya yang masih mengantuk. Dalam mamai dia terdengar nada deringan telefon bimbit Hafiz. Ya Allah! Siapa lagi yang mahu menghubungi setelah mengetahui tuan punya telefon ini telah meninggal dunia? Dengan langkah longlai, Dzil mencapai telefon tersebut.
“Assalamualaikum, Encik Hafiz. Saya Doktor Asmadi. Sila datang ke hospital untuk mengambil laporan perubatan encik,” Dada Dzil berombak kencang.
“Oh! Iya, pukul berapa tu doktor?” Soalnya dalam nada tegang.
“Dalam pukul 10 pagi ya, encik,” Dzil menarik nafas sedalam mungkin.
“Baiklah, terima kasih, doktor,” tanpa melengahkan masa Dzil bergegas ke bilik air. Kemudiaannya, dia menelefon Syifaa’ untuk menukar lokasi pertemuan mereka.
Syifaa’ mengetap bibir. Ariff memeluk bahu isterinya. Dzil menanti dengan penuh debar. Doktor Asmadi akan menunjukkan keputusan laporan perubatan arwah Hafiz.
“Silakan masuk,” Doktor muda itu mempersilakan mereka bertiga ke biliknya.
“Saya mengucapkan takziah atas pemergian Encik Hafiz. Sebenarnya dalam laporan perubatan ini, kami mendapati encik Hafiz menghidap barah otak di peringkat akhir. Saya belum sempat bertemunya untuk memberi rawatan susulan. Namun, Allah lebih menyayangi encik Hafiz. Simpanlah laporan ini ya dik. Tabahkan hati kamu,” Doktor Asmadi menepuk bahu Dzil. Mereka berjabat tangan sebelum keluar dari bilik tersebut.
Dzil dan Ariff membuang pandang ke arah Syifaa’. Kedua-duanya menyangka gadis itu tentunya akan menangis lagi, namun ternyata jangkaan mereka silap. Syifaa’ kelihatan sangat tenang. Dzil membawa pasangan pengantin baru itu menuju ke Starbucks Coffe berhampiran. Dia pasti, mereka kini memerlukan ketenangan ekoran gelodak rasa yang melanda jiwa ekoran pemergian Hafiz.
“Syifaa’, aku nak sampaikan amanat terakhir arwah Hafiz. Diari ni dan semua barang-barang Hafiz, kau yang paling layak simpan. Lagipun, banyak kenangan antara kamu berdua dalam diari tu. Emm…ini surat yang Hafiz tinggalkan untuk kita. Dia tulis pada malam sebelum dia pergi. Kau bacalah,” Dzil terus berlalu. Tidak mahu melihat air mata Syifaa’ tumpah lagi.
Ariff tenang memandu. Syifaa’ memegang erat kotak Donald Duck yang berisi barang-barang peninggalan arwah Hafiz. Sampai sahaja di rumah, Syifaa’ berlari menaiki tangga. Dia mahu masuk ke bilik secepat mungkin. Ariff mengekori dari belakang.
‘Ke hadapan insan-insan yang paling bererti dalam hidupku,
Hafiz bersyukur dipertemukan dengan kamu berdua. Dalam hidup yang singkat ini, tak mungkin kita dapat ramal apa yang bakal berlaku. Hafiz amat menyayangi kalian. Dzil, aku bertuah dapat sahabat karib macam kau. Tiada lain yang aku harapkan, semoga kau berjaya mengecapi segala apa yang kau idamkan selama ni. Realisasikanlah impian kita bersama yang belum tentu dapat aku kecapi kelak. Aku akan tunggu saat-saat tu, Dzil. Aku yakin kau akan menunaikan hasrat aku nanti.
Syifaa’, Hafiz gembira sebab Syifaa’ tunaikan janji Syifaa’ untuk mengahwini Ariff. Hafiz bangga sangat kerana Syifaa’ tak hampakan niat ibu bapa Syifaa’ semata-mata sebab Hafiz. Terimalah Ariff seadanya. Tiada siapa yang betul dan salah dalam hal ni. Hanya Dia yang berkuasa, dan Dia lah yang menentukan setiap perjalanan hidup kita di muka bumi ini Syifaa`. Terimalah hakikat bahawa antara kita memang tiada jodoh. Syifaa’, lepas ni Hafiz akan pergi untuk menyambung pengajian ke Korea. Entah bila kita akan bertemu lagi sayang. Ingatlah, syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami. Taatilah Ariff seadanya Syifaa’. Akan ku intai bahagiamu dari jauh, sayang.’
Penuh kasih sayang,
Hafiz farshah
Membulat pula matanya sebaik membaca untaian kata-kata pada sekeping kertas kumal yang terselit pada diari arwah Hafiz. Syifaa’ menahan titisan air mata dari membasahi pipi. Dia beristighfar panjang. Ariff hanya mampu memandang gelagat isterinya. Untuk menyampuk, dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan.
“Abang, kita pergi Korea?” Usul Syifaa’ dalam keadaan sebak sambil menggenggam erat tangan suaminya. Ariff mendakap isterinya lantas mengucup dahi Syifaa’. Inilah langkah yang terbaik untuk isteri kesayangannya, menenangkan diri seketika.
Syifaa’ mencabut lalang yang tumbuh meliar di tanah perkuburan itu. Dia memegang erat jemari si kecil yang terkebil-kebil memerhatikan tingkahnya.
“Hafiz, tunggu sekejap ya sayang. Ibu dan papa nak temankan pak cik Hafiz. Dah lama ibu tak jumpa pak cik Hafiz,” luah Syifaa’ lembut pada Hafiz Farshah bin Ariff Syakir yang baru berusia setahun itu. Dia mengucup anak itu penuh kasih. Ariff memeluk erat bahu isterinya.
“Cuaca hari ni baik, insyaAllah segalanya akan berjalan dengan lancar,” Seketika kemudian dia membentangkan tikar.
“Abang, tolak ke sini sikit,” tegur Syifaa’ lembut. Ariff tersenyum. Dia bersedia untuk membaca surah Yassin buat arwah Hafiz. Setelah selesai menyedekahkan ayat-ayat suci, mereka menjirus air mawar ke pusara Hafiz. Moga-moga sedekah mereka dapat mendamaikan Hafiz di sana, insyaAllah.