rss

Bunyi loceng bergema dengan kuat. Cukup untuk mengejutkan aku dari lamunan yang tak berkesudahan. Aku termanggu seketika. Kawan karibku, Jamalina menyapaku dengan lemah lembut yang menjadi satu prinsip kehidupannya.

Memang patut pun emaknya memberikan namanya Jamalina yang bererti kecantikan. Raut wajah itulah yang sering menyejukkan hatiku setiap pagi apabila menjejakkan kakiku ke sekolah ini.

Beberapa teman sekolahku sudah jauh di hadapan, meninggalkan aku bersama Jamalina. Menyedari kesugulan yang terpampang di wajahku, Jamalina menegur lembut.

"Kenapa ni Amy? Muram je, "dia sudah arif sangat tentang perangaiku yang macam angin ni. Maklumlah daripada tahun tiga sampailah ke tingkatan empat kami berkawan. Aku dan dia dah jadi macam adik-beradik.

"Tak ade apa-apa. Rasa tak sedap hati pulak hari ni, "memang itulah perasaanku dari pagi tadi.

"Risau tentang apa pulak kamu ni? "

"Tak tahulah, kadang-kadang tu rasa takut sebab nak amik SPM tahun depan. Kadang-kadang rasa takut sebab nak berpisah dengan kamu lepas sekolah nanti. "

"Alah. . . . . . . tak jadi apa-apa punya nanti, "katanya penuh yakin.
Setelah itu kami lebih banyak mendiamkan diri. Sampai sahaja di simpang jalan, aku memberitahunuya bahawa aku ingin membeli makanan ringan dan menyuruh Jamalina melintas jalan dahulu.

Entah bagaimana, tiba-tiba sahaja aku mendengar dentuman yang kuat di belakangku. Sebaik sahaja aku menoleh ke belakang, Jamalina sudah terbaring kaku.

Aku menerkamnya tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang di situ. Mungkin kerana begitu sayang padanya dan mungkin kerana keeratan yang terjalin di antara kami, aku terdorong pitam sama di situ.

**********

Aku difahamkan beberapa jam setelah aku pengsan, Jamalina ditakdirkan pergi dahulu. Saat itu aku meraung sekuat-kuat yang terdaya. Hanya Tuhan yang tahu betapa sengsara perasaan aku ketika itu.

Seminggu selepas peristiwa hitam itu, aku menjadi tak menentu. Makan tu paling banyak pun sepinggan sehari. Kadang-kadang aku meracau menjadi pensyarah yang sedang bersyarah tentang keselamatan jalan raya.
Kalau dulu cita-citaku menjadi peguam, kini aku tak lepas dengan buku perubatan. Untuk menebus dosaku kerana sekadar melihat Jamalina terbaring kaku, tak bernyawa.

Aku lebih tertekan apabila keluar sahaja dari rumah. Ada saja ura-ura yang mengatakan aku ni gilalah, tak siumanlah. Lantaran itu aku mengambil keputusan untuk keluar sahaja daripada tempat yang tidak membawa manfaat kepadaku malah menambah lagi keperitan di hati ini.

**********

Setelah berjalan buat sekian lamanya, aku sampai juga di Kuala Lumpur. Aku tidak tahu arah tujuanku, hanya melangkah seterdaya yang boleh. Mujurlah satu keluarga menjumpaiku di tepi jalan. Pada mulanya aku sangka mereka hanya bergurau, tetapi sudah tuahku, keluarga itu tidak mempunyai cahaya mata yang dapat menghiasi rumah yang mereka diami.

Aku terpaksa berbohong demi menutup kisah silamku yang perit. Setibanya aku di rumah itu mulutku terlopong. Tidak aku sangka sama sekali bahawa mereka ini berdarahkan bangsawan. Melalui gaya percakapan dan cara berpakaian mereka tidak ubah seperti orang kebanyakan.

Aku dilayan seperti keluarga mereka sendiri tapi padahakikatnya, aku tetap anak angkat. Mereka menyekolahkanku di kawasan itu. Untuk mengelakkan dikenali aku mengubahkan namaku daripada Fizatul Amiqa menjadi Alina Qamarina. Dan, menyatakan bahawa kad pengenalanku telah hilang.

Nama itu aku kekalkan ‘Lina’ kerana begitu sayangkan Jamalina. Dan, Qamarina itu bererti bulan kerana bulan adalah teman setiaku buat masa ini.

**********

Masa berlalu begitu pantas sekali. Tidak ku sangka aku kini sudah berusia dua puluh tiga tahun. Aku berjawatan sebagai pengacara di salah satu rancangan di sebuah stesen televisyen. Ramai yang menyatakan bahawa suaraku sememangnya lunak oleh itu aku memilih profesion ini sebagai pekerjaan tetapku.

Mungkin kesilapan beasr aku memilih jawatan ini. Dengan tidak disangka, abang dan kakak kandungku yang mencari aku selama ini sampai juga di rumah ayah dan ibu angkatku.

**********

"Boleh saya berjumpa dengan Cik Qamarina? "aku terpandang kelibat seorang lelaki dan perempuan di ruang tamu.

"Boleh. Encik berdua ni siapa? Boleh saya tahu? "sahut orang gajiku.

"Kami kawannya, "kawan? Setahu aku lelaki dan perempuan ini tak pernah aku lihat. Tanpa berlengah lagi aku menuju ke ruang tamu.

"Encik berdua ni siapa? soalku.

"Fiza, kau tak kenal kami lagi? "tersirap darahku mendengarkan nama Fiza itu. Sudah bertahun aku hidup tanpanya.

"Nama saya Alina Qamarina, saya tak kenal siapa Fiza tu, "aku cuba berbohong.

"Fiza kau tak kenal kakak kau sendiri sekarang ni? "kakak aku masih cuba mengorek rahsia.

"Biar apa pun nama kau kami tak kisah. Cuma, kami harap kau dapat pulang. Mak tengah sakit tenat kat kampung tu. Dia rindukan kau. "

"Kenapa abang tak cari saya masa saya masih tak siuman lagi dulu? Kenapa bila saya dah terkenal baru abang dan kakak mahu cari saya? Kenapa sampai sekarang baru saya dapat berita pasal mak? Kenapa? "terpacul dari mulutku soalan-soalan yang tak disengajakan.

"Sebab dulu kami tak dapat cari kau. Dulu kau tak muncul kat tv tu. Takkan lah kami nak bertanyakan setiap orang yang kami jumpa. Tapi, kami dah cuba yang terdaya, kami dah cuba," tanpa disedari ayah dan ibu angkatku baru sahaja melangkah masuk ke ruang tersebut.

"Ni apa cerita ni bergaduh-gaduh macam budak kecik aje, "tanya ayahku garang. Terkejut juga aku dibuatnya.

"Encik, tolong serahkan adik kami ni. Kami hanya mahu bawa dia jumpa mak kami. Mak kami sakit tenat, "rayu abangku.

"Taklah ayah, dia sengaja je buat cerita. Nak ambil Lina dari ayah, "aku cuba memujuk ayahku untuk tidak mempercayai perkara itu.

"Kami ada bukti, "pintas abangku. Bukti? Alamak. Mukaku berubah menjadi pucat.

"Ini kad pengenalannya. Dia tertinggal di rumah semasa melarikan diri. "
Setelah membelek kad pengenalan itu ayah berkata, "Ini memang muka Lina kat dalam kad ni. Kalau iya pun, mengapa pula dia nak melarikan diri dari rumah? "

"Begini ceritanya. Satu masa dulu, Fi… Lina ni tinggal dengan kami. Nama sebenarnya Fizatul Amiqa seperti yang tertera di kad tu. Dia mempunyai seorang teman baik. Namanya Jamalina. Satu hari, Jamalina terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia. Mereka begitu akrab sehinggakan di tempat kejadian Lina pengsan sama. Seminggu selepas itu, Lina meracau dengan tak difahami apa yang dicakapnya dan kadang-kadang dia seperti berlakon menjadi polis trafik. Orang kampung dah mula menghina, mengatakan dia gila. Oleh itu, dia pun melarikan diri, tetapi dia lupa untuk mengambil kad pengenalannya dan kami gunakan kad itu sebagai panduan nak mencari dia.”

"Oh… begitu ceritanya. Lina… mari sini. Kenapa tak berithau cerita yang sebenar? "seru ayah sambil memandangku yang sudah mengalirkan air mata.

“Sudah pergi kemas baju. Ayah tak mahu kau berdalih lagi, "sambil itu ayah melepaskan keluhan yang panjang. Mungkin berat hatinya.

"Tak nak, walau macam mana pun, Fiza tak nak balik kampung, "serentak dengan itu satu penampar hinggap di pipiku.

"Selepas kau lari, kau tak nak balik rumah lagi, ya. Kau tahu tak mak sakit tenat kat rumah tu. Cuba kau buangkan segala kenangan pahit dalam diri kau tu. Kau tahu tak sekarang kau bukan dalam alam nyata. Kau dalam igauan. Igauan seorang teman. Sudahlah kalau kau tak nak balik tak apa. Akak tak marah. Tapi, jangan menyesal bila mak dah takde, " tengking kakakku yang tengah berada di tahap tertinggi kemarahan.

**********

Sesampainya di kampung aku terus meluru masuk ke rumah. Aku hanya berharap dapat jumpa mak, itu saja. Tetapi, aku sudah terlambat. Di hadapanku terbaring jasad kaku.

"Mak… kenapa mak tinggalkan Fiza, mak. Mak, ampunkan Fiza, mak. Fiza yang bersalah. Sepatutnya Fiza yang ganti tempat mak dengan Jamalina. Mak… mak, dengarlah apa Fiza cakap ni mak, "ucapan itu diiringi tangis sayu dari aku, kakak dan abang. Jiran-jiran yang berada di situ turut kelihatan sedih.
Sesungguhnya kalau aku tidak bertengkar lebih panjang dengan kakak ini semua tak akan berlaku. Aku akui aku memang degil. Dari lahir sampai sekarang ni aku tetap degil.

Dan di situlah juga berakhirnya igauanku. Igauan seorang teman.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini