Langkah Adi lesu.. Pemikirannya terganggu. Selera makannya pagi itu agak terbantut, membuatkan perutnya berbunyi-bunyi dan ketidakselesaan melanda sepanjang Adi berada di kelas. Nasibnya baik, kelas pada awal tahun kebanyakannya hanya sesi pengenalan dan beramah-mesra. Maklumlah, guru-guru tidak mahu terlalu membebankan pelajar baru. Beg Adi yang hampir melolos jatuh dari bahunya cepat-cepat ditarik kembali. Pergerakan yang agak cepat itu, membuatkan pen yang diselit di tepi itu terjatuh. Berkilau pen itu disinari matahari yang garang bersinar pada tengahari tengah minggu itu. Pen basah pemberian kakaknya yang sedang meneruskan pengajian di Leicester, England itu memang sangat disayangi. Cepat-cepat pen itu dicapai di tengah ramai, dan bergegas-gegas pulang ke bilik, untuk bersedia ke kelas persediaan pada sebelah petang.
Sampai sahaja di bilik, tubuh Adi terus dibanting ke tilam.
Sampai sahaja di bilik, tubuh Adi terus dibanting ke tilam.
"Letih sangat nampaknya Adi?"
Arman menyapa sekadar berbasa-basi. Soalan yang dihampar, senyuman separuh ikhlas yang dibalas. Perkara yang menghantui fikirannya itu, cukuplah untuk dirinya. Arman juga pelajar baru, mana mungkin dia mampu menolong Adi dalam pencarian yang hampir menemui jalan buntu. Bukan dia tidak berusaha, tapi, hampir keseluruhan masa senggangnya minggu itu, tenaganya ditumpukan untuk mencari tuan empunya tandatangan itu. Masa yang diberi akan tamat pada tengah malam Jumaat. Tahap kegalauan hatinya hampir sampai maksimum. Tahap yang melebihi kerisauan yang Adi alami sewaktu dia menunggu keputusan peperiksaan besarnya tahun lepas.
.......................................................................................
" Selamba je kau berjalan macam tu depan kitorang!! Kau ingat kau siapa, ha?!
Baru masuk je nak kerek ehh?!!! "
Dengan ganas Kudin menyergah Adi yang pada masa itu tertunduk-tunduk melepasi kumpulan Kudin untuk bergegas ke dewan makan. Maklumlah, masa yang diperuntukkan untuk perkara sebegitu sepanjang minggu orientasi begitu singkat.
" Err.. Err.. saya minta maaf bang! Saya tak sengaja, saya betul-betul nak cepat ni.."
" Ohh.. Dah buat salah, senang-senang nak blah macam tu je..."
" Err.. Abang, saya dah agak lambat ni. Lepas ni program bersama pengetua. Izinkan saya pergi dulu bang?"
Suara kecut Adi yang hampir antara keluar atau tidak itu seolah-olah bergema dalam dewan makan yang tiba-tiba menjadi senyap-sunyi. Jantungnya hampir luruh apabila perkara itu disaksikan oleh semua yang berada di situ. Akibatnya, malam itu, dia terpaksa menghabiskan masa di bilik Kudin, mengilatkan semua kasut yang ada. Tak habis di situ, satu contoh tandatangan diberi pada Adi, untuk dicari pemiliknya. Jika Adi tidak berjaya menemukan pemiliknya, hukuman yang lebih keras akan dikenakan. Yang pasti, Adi tak sanggup dan tak pernah sanggup untuk diperlakukan begini, apatah lagi di sekolah elit yang sangat dibangga-banggakan oleh seluruh sanak-saudaranya!
..........................................................................................
Petang Khamis itu, hatinya kepingin untuk beruzlah, bersendirian. Tujuannya, untuk menenangkan hati, menyediakan dirinya yang tidak dapat memenuhi permintaan Kudin pada tengah malam nanti. Terlintas di fikirannya tempat yang terbaik, wakaf di belakang blok lama yang tidak lagi digunakan. Beg yang berisi barang-barang kesayangannya yang tidak mungkin ditinggalkan dibimbit bersahaja. Dari jauh, Adi terlihat kelibat seorang pelajar lain telah pun berada di wakaf itu. Keluhan berat dilepaskan, namun, ada sesuatu mengenai pelajar tersebut yang mencuit hati Adi untuk turut menyertai pelajar tersebut. Perlahan-lahan, Adi menghampiri, dan menyapa pelajar tersebut. Ternyata, pelajar itu juga pelajar baru sepertinya. Tapi kesugulannya membuat Adi membuak-buak untuk bertanyakan masalah pelajar itu. Setelah bertukar-tukar cerita, tahulah Adi bahawa Shukri di depannya kini berdepan masalah sepertinya juga. Cuma, Shukri disuruh mencari pasangan kepada kasut bola sebelah kanan yang berada dalam tangannya.
" Mari saya tengok tandatangan tu, manalah tahu, saya boleh menolong?"
Dingin pertanyaan Shukri, walau ada bibit-bibit kemesraan yang tidak terserlah. Adi terus menyerahkan tanpa ragu-ragu....
" Eh! Ni tandatangan saya! Bertuah betul awak. Tugas awak dah selesai.."
Dengan pantas Shukri menyambar pen Adi dan terus menurunkan tandatangannya. Adi hampir menjerit dan melompat! Bebanan yang terasa mengherotkan bahunya selama ini telah terlepas. Kata-kata kesyukuran di lafazkan, bersama pelawaan demi pelawaan untuk membalas budi Shukri. Namun, dengan mudah Shukri menolak dan menghampakan Adi.
"Siapalah kita ni.. Awak tak perlulah bersusah-susah untuk saya. Cuma satu je kalau awak boleh buat untuk saya.."
Adi merenung dan memegang erat tangan Shukri kelihatannya pucat, tanda setuju.
"Awak pun dah terasa bagaimana tak selesa bila jadi begini. Harapnya, bila awak dah jadi senior, awak tak akan buat begini pada junior awak. Saya pesan ni, sebab saya rasa saya tak lama di sini. Sekolah di rumah lebih baik untuk saya."
Adi mengangguk-angguk, dan bingkas bangun mengundur diri untuk membersihkan diri kerana waktu Maghrib hampir menjelma. Namun Shukri masih di situ, ingin melihat matahari terbenam di balik bukit katanya.
....................................................................................
Dengan penuh keyakinan dan senyuman yang ebar, Adi menyerahkan tandatangan itu kepada Kudin. Kertas itu disambar Kudin dengan perasaan penuh ketidakpuasan hati. Terbuntanglah mata Kudin melihat tandatangan itu, dan kertas itu diberi pula pada kawan-kawannya. Tangannya terangkat dan digenggam kemas. Perut Adi kecut. ("Apa salah aku lagi ni?") Kudin menggeleng, menolak bahu Adi, dan terus berlari keluar dari bilik. Adi masih lagi berdiri di tengah-tengah bilik, mulutnya terkunci kegugupan. Dalam beberapa minit, bilik itu dipenuhi pelajar senior dan kertas bertandatangan itu bertukar-tukar tangan sehingga lunyai.
Setelah hampir setengah jam berpeluh-peluh melihat kumpulan senior berbincang berbisik-bisik, Adi dirapati oleh seorang pelajar senior yang dikenali, Marwan ketua pelajar yang sama-sama berasal dari Perak.
" Adi, Adi cakap betul-betul, tandatangan ni, awak buat sendiri atau betul-betul Shukri ni tandakan untuk awak?"
"Eh, saya dapat la abang. Takkan saya nak buat sendiri pulak. Saya jumpa Shukri petang tadi, dekat wakaf belakang tu. Buktinya, abang padankan sendiri dakwat pen saya dengan tandatangan tu. Err.. apa masalah sebenarnya ni abang?"
" Begini... Adi tenang-tenang dulu, ye? Tandatangan ni adalah kepunyaan teman setingkatan abang, arwah Wan Nur Shukri. Arwah ada penyakit lelah, dan ditemui meninggal dunia di tengah padang, bersama dengan sebelah kasut bola. Tengah malam ni, genap empat tahun pemergian Shukri, dan Kudin tu adalah teman dia yang paling rapat."
Pandangan Adi kabur, berpinar-pinar dan terus terjelepok jatuh!!!
April 24, 2011 at 9:09 PM
seram.... memang si Adi pengsan