Seminggu yang lepas itulah kali terakhir aku jumpa dengan dia. Lepas itu dia tak datang-datang lagi jenguk aku. Mungkin dia merajuk. Mungkin dia marah dengan aku sebab aku marah dia. Iyalah, siapa yang tak marah kalau perangai dia macam itu. Mahu datang jumpa aku, tapi bila jumpa dia senyap. Sekejap-sekejap termenung pandang ke luar tingkap. Sekejap-sekejap mengeluh. Entah apa yang ditenungnya pun aku tak tahu. Entah apa yang dikeluhkannya pun aku tak dapat agak. Tak mahu tahu dan tak perlu tahu pun. Aku agak mungkin masalah kerja dia yang bertimbun-timbun.
Sejak dari dulu lagi hidup dia kerja, kerja, kerja. Kasihan pun ada aku tengok dia. Tapi hendak buat macam mana. Itu pilihan dia. Itu yang buat dia gembira. Lagipun dia memang suka dengan kerja dia sekarang ni. Arkitek memang sibukkan? Aku pun tak berapa tahu sangat kerja sebagai arkitek ni.
“Aku kerja untuk kita”
Aku senyum bila dia cakap macam itu. Lebih-lebih lagi dari orang yang kita sayang kan?Bukan senang orang nak berkorban untuk kita. Bukan senang juga kita hendak sayangkan orang itu sepenuh jiwa. Memang aku sayang sangat dia. Dia bukan calang-calang lelaki. Dia yang aku kenal semenjak aku berusia 18 tahun adalah lelaki terbaik yang pernah aku jumpa setakat ini.
Aku paling suka bila dia senyum. Senyumannya manis sentiasa walaupun kadang-kadang itu dia cuba juga sorokkan sebatang gigi dia yang patah di gigi kanan bahagian bawah tu. Memang kelakar. Tapi nak buat macam mana, kalau dah sayang, orang kata buruk pun tetap terbayang-bayang.
***
Mula-mula aku kenal dia, dia nampak pendiam. Tak banyak cakap. Kawan pun aku tengok masa itu tak ramai. Adalah dua tiga orang. Itu pun kenal setakat lambai-lambai macam tak ikhlas. Muka dia masa itu macam budak kena tinggal dengan emak saja. Tapi, itu yang paling aku suka. Nampak sangat naifnya. Memang naif pun dia. Sampai sekarang pun perangai dia macam itu. Lurus bendul. Nak buat apa lagi. Dia cakap memang sejak kecil pun dia dah berperangai macam itu. Tak boleh nak diubah. Dia terkejut bila aku cakap aku nak kawan dengan dia. Mungkin dia rasa rendah diri agaknya masa itu. Sebenarnya aku bukan nak kawan saja-saja dengan dia, rasa dah nak kahwin dengan dia masa itu! Tapi takkanlah aku nak beritahu dia macam itu. Pengsan pulalah dia nanti.
Bagi aku, orang naif dan lurus bendul macam dia inilah manusia yang paling baik. Paling jujur bagi aku. Dia tak pandai nak menipu orang. Tapi selalu pula kena tipu. Aku kadang-kadang marah juga dekat dia. Iyalah, lelaki kesayangan aku ni sering teraniaya dengan orang lain. Paling ramai sekali yang kenakan dia, kawan-kawan dialah. Isy! Memang tak guna betul ada kawan macam itu.
Macam biasalah, satu hari tu aku marah-marah dia lagi. Tak berniat pun nak marahkan dia. Cuma geram dengan kawan-kawan dia yang sanggup pinjam buku-buku dia (mahal tau!) lepas tu hilangkan macam itu saja. Buku-buku tu bukan komik tepi jalan, tapi buku rujukan. Yang peliknya, dia buat macam biasa saja bila aku marah. Lepas itu dia beritahu aku satu benda.
“Kau kena percaya satu perkara”
“Apa dia?”
“Keikhlasan akan menang dalam apa jua keadaan”
Aku terdiam. Terus diam. Aku tak tahu apa apa nak buat masa itu. Nak sambung marah ke? Nak gelak? Nak senyum? Semua itu dah tak mampu aku lakukan pada masa itu. Apa yang dia cakap dengan aku hari itu terngiang-ngiang di kepala aku sepanjang hari.
Mulai dari hari itu aku dah jarang-jarang marah dia. Aku bukanlah tak marah langsung, tapi marah sikit-sikit saja. Marah-marah sayang. Siapa yang tak marah bila lelaki yang kita sayang teraniaya. Tapi, memandangkan dia pun sentiasa nampak cool saja walaupun kena aniaya, aku pun kenalah jadi cool juga. Barulah sepadan! Pasangan yang cool.
***
Hai...sudah seminggu dia menghilang. Takkan rajuk tak habis-habis lagi. Sudah-sudahlah tu sayang. Penat aku tunggu kau. Penat rindu aku ni sudah tak tertahan-tahan lagi. Manalah kau menghilang. Sampai hati kau tak datang jenguk aku. Dalam mimpi aku pun kau tetap degil tak mahu tunjukkan muka kau.
Dengar sini semua! Kau jangan main-main dengan orang macam aku ni. Kalau aku sayang orang itu, sampai ke matilah aku akan sayang. Bukan senang nak cari orang yang setia macam aku ni. Zaman sekarang lagilah jangan harap. Luaran tak semestinya mencerminkan apa yang di dalam. Sebab itulah, bila dia tak datang jenguk aku, aku jadi susah hati. Takkan dia marah dekat aku. Perkara kecil saja pun. Lagipun, aku tak pernah nampak dia marah. Jadi, mustahillah dia marah dekat aku. Mungkin dia sibuk.
***
Eh, aku dah nampaklah! Aku nampak dia! Itu bayang dia itu aku kenal sangat. Dia mesti datang cari akulah tu. Aku dah agak mesti dia rindukan aku.
“Mana kau pergi?”
“Kau cari aku ke?”
“Iyalah, lama aku tunggu kau”
“Aku minta maaf buat kau tertunggu-tunggu aku”
“Tak apa. Aku tak kisah. Tapi beritahu aku dululah. Jangan terus pergi saja”
“Maaf sekali lagi”
“Kenapa kau lama tak datang jenguk aku? Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau lain macam saja. Ada masalah?”
“Aku tak rasa cara kita berjumpa ni sesuai”
“Kenapa?. Dulu kau tak kisah pun?”
“Aku tak mahu kau terus macam ni. Ini dah salah!”
“Aku tak faham apa yang kau cuba nak sampaikan”
“Ingat lagi apa yang aku cakapkan dulu?”
“Apa?”
“Keikhlasan akan menang dalam apa jua keadaan. Kau kena ikhlaskan diri kau untuk terima bahawa aku dah tak wujud lagi di muka bumi ini. Kau kena redha”
“Tapi, aku tak boleh hidup tanpa kau!”
“Boleh. Dengan satu syarat, kau dekatkan diri kau padaNya. Dia penyembuh segala penderitaan kau”
“Aku takut kalau kau tak datang jenguk aku lagi”
“Percayalah pada aku, Zulaika. Berdoalah dengan ikhlas semoga kita akan bertemu lagi”
***
Aku terdiam. Diam aku kali ini seolah-olah menyedarkan aku. Benar katanya, aku sebenarnya tak cukup ikhlas. Tidak cukup ikhlas membenarkan kematiannya dua tahun lepas. Dia yang kerap kali aku berbual-bual selalu sudah lama tidak wujud.
Selepas dari itu, aku nampak bayang Haris hilang perlahan-lahan dari dinding kamar aku. Dinding yang selalu menjadi teman bicaraku kini nampak kosong. Seolah tiada apa-apa pernah terjadi. Semadilah kau dengan tenang di sana. Terima kasih kerana menyedarkan aku dari dunia khayalanku. Semoga kita akan bertemu lagi.
April 23, 2011 at 11:35 PM
terkejutnyer...rupe2nyer laki 2 dh mati..hmm, patotla..tahniah writer, pnyampaian y len dr y len..