BAYU pagi bulan Mei berhembus membawa pergi segala kenangan yang tercipta dalam bulan April. Lembaran baru bakal diselak, menutup naskah kehidupan yang lama. Azrul menyapu jem berperisa strawberry pada roti bakar di tangan kanannya. Kemudian, roti itu diletak di dalam piring kecil. Dia berlalu ke rak menyimpan gelas dan cawan. Dua biji gelas diambil lalu diletakkan di atas meja. Dia melangkah ke arah peti ais pula, mengeluarkan sekotak jus epal dan kembali semula ke meja makan. Azrul berpuas hati dengan juadah yang terhidang untuk sarapan pagi itu. Ada beberapa keping roti bakar, semangkuk bijirin dan sekotak jus epal. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi derap kaki yang menuruni anak tangga. Segera dia berlari ke ruang tamu.
“Selamat pagi mama!” ucap Azrul dalam senyuman yang melebar.
Zuhrina yang sedang memakai anting-anting di telinga hanya tersenyum nipis sebagai balasan sapaan anaknya tadi. Dia pantas mencapai beg bimbit yang terletak di atas meja kecil yang dihiasi beberapa pasu pokok kaktus. Ada yang tumbuh menghijau dan ada juga yang mula rekah berbunga.
“Mama tak sarapan dulu?” soal Azrul apabila melihat mamanya tidak terus ke dapur sebaliknya bergegas ke muka pintu.
Zuhrina membuka rak kasut lalu mengeluarkan sepasang kasut tumit tinggi rona krim, bersesuaian dengan kebaya biru gelap yang dipakainya. Dia memandang wajah anaknya yang berumur lapan tahun itu dengan pelbagai rasa.
“Mama dah lambat Rul. Rul sarapan sorang ya. Nanti mama balik kita makan sama,”
“Tapi ma...”
“Okey Rul mama pergi dulu,” tukas Zuhrina.
“Mama tunggu!”
Langkah Zuhrina terhenti tatkala mendengar panggilan dari anaknya itu. Dia segera berpaling. Azrul berjalan perlahan ke arah mamanya. Wajahnya jelas masam mencuka.
“Kenapa ni Rul? Dahlah, mama nak pergi kerja ni,” ujar Zuhrina, agak malas melayan kerenah anaknya.
“Rul nak salam mama,” ucap Azrul.
Zuhrina terpana namun cepat-cepat tersedar. Segera dia menghulurkan tangan kanannya pada Azrul lalu disambut dengan kucupan oleh anak sulungnya itu. Sepantas kilat juga tangannya direntap kembali. Zuhrina membuka pintu kereta Viva miliknya lalu menghidupkan enjin. Azrul hanya memerhati pemergian mamanya dengan pandangan kosong.
Dia kembali semula ke dapur, melihat juadah yang terhidang di atas meja. Kerusi ditarik lalu punggungnya dilabuhkan di atas kerusi tersebut. Sekeping roti bakar dicapai lalu disuakan ke mulut. Terasa pahit, tidak mampu ditelan. Namun dia gagahkan juga. Selepas habis menikmati sekeping roti bakar, dia menuangkan jus epal itu ke dalam gelas. Rakus dia meneguk air tersebut sehingga tinggal suku gelas. Berharap kedinginan jus epal itu dapat menyejukkan hatinya yang berbahang. Sejak mamanya dilantik menjadi guru penolong kanan dan sejak mamanya berpisah dengan papa, sedikit demi sedikit Azrul merasakan mamanya kian menjauh. Hatinya dipaut sayu. Tanpa disedari, ada air jernih yang mengalir di pipi bersama-sama jiwa yang rawan.
* * * * *
“MACAM mana ni cikgu? Perkara ni kalau diketahui oleh orang luar, malu kita!” ujar Cikgu Kamarulazman, guru disiplin di Sekolah Menengah Sri Gelam itu.
“Sabar cikgu, bawa bertenang. Masalah tak akan selesai kalau kita asyik bertekak macam ni,” getus Puan Maria, pengetua sekolah itu.
Zuhrina membaca sekali lagi kertas yang dipegangnya. Pelajar-pelajar kelasnya ini memang tidak habis-habis buat masalah. Bukannya tidak pernah ditegur, sudah berbuih mulut ini menasihati mereka, sampai hendak tercabut anak tekaknya memarahi mereka, tetap juga masih tidak mahu mendengar kata ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja.
“Macam mana Cikgu Rina?” tanya puan pengetua.
“Saya serahkan pada Cikgu Kamarul saja puan. Saya dah tak larat nak hukum mereka tu. Kalau ini jalan yang terbaik, saya ikut saja,” jawab Zuhrina.
Cikgu Kamarulazman tersenyum seakan puas hati dengan jawapan yang diberi oleh rakan sekerjanya itu. Puan Maria mengeluh kecil. Sedangkan guru kelas sudah bersetuju, apalah dayanya untuk menghalang.
“Baiklah Cikgu Rina, nanti awak panggilkan Fared dan Zenizam untuk berjumpa saya pada waktu rehat nanti. Cikgu Kamarul, saya serahkan hal ni pada awak,” ujar Puan Maria.
Kedua-duanya keluar dari bilik puan pengetua serentak. Belum sempat Cikgu Kamarulazman hendak membuka mulut, dilihatnya Zuhrina sudah mempercepatkan langkah. Pasti menuju ke kelasnya. Siaplah budak-budak tu nanti kena serangan mulut laser Zuhrina itu.
* * * * *
SELUAR biru gelap disarungkan ke tubuhnya diikuti dengan kemeja putih bersih yang licin bergosok. Rambutnya dilumur sedikit gel lalu disikat rapi. Beg sekolah yang agak berat dengan buku-buku teks yang tebal dipikul. Pintu rumah ditutup rapat lalu dikunci. Gugusan kunci itu kemudiannya diselitkan dicelah-celah pasu bunga yang terdapat di hadapan pintu itu. Azrul melangkah ke pintu pagar. Dia berdiri menanti ketibaan pemandu van untuk membawanya ke sekolah petang itu. Dalam penantian, Azrul terkenang semula pertelingkahan yang berlaku antara papa dan mamanya beberapa bulan yang lepas.
“Apa yang you sibukkan sangat kat sekolah tu sampai balik lewat petang? You tak kasihan ke tengok Azrul duduk sorang-sorang kat rumah?” Zuraidi memarahi isterinya.
“You tak tahu kerja I jadi you jangan ikut sedap mulut je bercakap. Yang you tu pun sama. Balik pagi tidur, petang keluar balik sampai pagi. Azrul tu langsung tak ada peluang nak jumpa you tahu tak?” bidas Zuhrina.
“Dah waktu kerja I macam tu. You bukan tak tahu kerja I, bouncer di kelab malam. You sepatutnya memahami,” balas Zuraidi.
“I yang patut faham atau you yang tak pernah faham? Sekurang-kurangnya kerja I lebih terjamin dari you!”
“Oh, jadi you nak cakap yang kerja you tu bagus, baik and kerja I ni bodoh, macam tu?” ujar Zuraidi.
Zuhrina mencebikkan bibir. Sudah faham buat-buat bertanya pula.
“Baik, I nak tengok. Apa kerja you tu dapat tanggung hidup you atau tak!”
Zuhrina tersentak. Apa yang suaminya itu cuba sampaikan?
“Maksud you?” tanya Zuhrina.
“Mulai malam ni, I ceraikan you talak satu!”
Hampir gugur jantung Zuhrina mendengar lafaz talak yang keluar dari mulut suaminya. Dia jatuh terjelepok di atas lantai. Zuraidi lantas keluar dari rumah itu lalu menghempas pintu dengan kuat. Azrul yang sejak tadi bersembunyi di balik dinding berjalan perlahan ke arah mamanya yang terduduk menahan rasa. Zuhrina yang menyedari kedatangan Azrul segera bangun lalu berlari masuk ke dalam bilik. Azrul yang tidak ketahui apa-apa hanya mampu diam terpinga-pinga.
“PIN!! PIN!!”
Bunyi hon dari van berwarna kuning jingga itu mengejutkan Azrul dari lamunan. Azrul membuka pintu pagar dan kemudian menguncinya. Dia menyapa pemandu van yang dikenali sebagai Pak Ajis itu. Pintu van dibuka dari dalam dan Azrul pun memasuki perut van lalu van tersebut meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu dengan kepulan asap hitam di udara.
* * * * *
“CIKGU tak seharusnya bersetuju dengan tindakan Cikgu Kamarul tu,” bantah Cikgu Saliza pada Zuhrina.
“Saya dah tak mampu nak fikir apa lagi cikgu. Penat dah saya melayan kerenah pelajar kelas saya yang nakal tu,” balas Zuhrina.
“Tapi apa gunanya gantung mereka dari pergi sekolah? Mereka tetap akan buat perkara yang sama apabila kembali semula ke sekolah. Seharusnya sebagai guru kelas mereka, cikgu patut fikirkan cara lain supaya mereka sedar,” ujar Cikgu Saliza lagi.
“Saya tahu, saya faham tapi saya tak tahu bagaimana lagi nak didik mereka ni supaya mendengar kata. Bergaduh dengan orang luar di dalam kawasan sekolah, memang kes berat Cikgu Saliza. Sampai jadi kes polis. Apalagi yang saya nak buat? Lebih baik serahkan pada ibu bapa mereka untuk selesaikannya,” balas Zuhrina.
Saliza menatap wajah sahabatnya itu dengan rasa simpati. Saliza tahu masalah yang melanda diri sahabatnya itu. Zuhrina masih sedang belajar menerima hakikat penceraian yang berlaku dalam hidupnya beberapa bulan yang lepas. Dia masih dalam kejutan. Namun sebagai seorang guru, Zuhrina harus bersikap profesional. Dia harus bijak membezakan yang mana urusan peribadi dan yang mana urusan kerja.
“Jadi, apa yang cikgu nak buat sekarang?” tanya Cikgu Saliza.
Zuhrina diam dan terus diam.
* * * * *
AZRUL pelik apabila melihat pintu pagar masih berkunci. Matanya melilau sekeliling. Kereta Viva milik mamanya tiada di halaman. Ini bermakna mamanya masih belum pulang. Azrul melirik pada jam di tangan. Sudah pukul 6.30 minit petang. Ke mana agaknya mamanya pergi? Beg yang dipikul diturunkan lalu diletakkan di tepi. Azrul duduk di atas jalan tar di hadapan pintu pagar, menunggu kepulangan mamanya kerana dia tidak punya kunci mangga pintu pagar itu. Kebiasaannya mama akan pulang dahulu sebelum dia jadi dia memang tidak pernah menyimpan atau membawa kunci pintu pagar itu. Lima minit menunggu, Azrul mula bosan. Dia cuba memanjat pintu pagar yang dua kali ganda dari tingginya namun gagal. Hatinya mula merungut, marah.
“Eh, Rul!! Buat apa kat luar ni? Mama tak balik lagi?” tegur Ramlah, jiran sebelah rumahnya.
“Belum lagi makcik,”
“Azrul, dah berapa kali kakak cakap, jangan panggil kakak makcik. Kakak ni muda lagi tau,” jelas Ramlah.
Azrul menyeringai, menampakkan barisan giginya yang berlubang di sana-sini. Bukannya Azrul tak mahu memanggil wanita itu kakak tetapi dirasakan tidak sesuai. Kata mama, jirannya itu sudah berumur 38 tahun, justeru tidak sesuai dipanggil kakak. Mungkin kerana Ramlah masih belum berkahwin, menyebabkan dia membahaskan dirinya begitu.
“Tak ada pula mama kamu pesan pada kakak apa-apa. Adalah hal agaknya tu. Dah, jom masuk rumah kakak. Dari kamu duduk sini sorang-sorang, kena culik baru tahu,” lancang sekali mulut Ramlah berbicara.
Azrul mengangkat beg sekolahnya semula. Dia tidak berapa gemar tinggal di rumah Ramlah. Adik lelaki wanita itu yang berumur 14 tahun selalu sahaja membulinya. Habis buku sekolahnya diconteng atau dikoyak budak lelaki itu. Entah mengapa dia berperangai begitu, tidak pula Azrul ketahui. Dengan langkah yang malas, dia berjalan menuju ke rumah jirannya itu. Baru beberapa langkah, bunyi enjin kereta menampar telinganya lantas Azrul berpaling. Mamanya sudah pulang! Azrul menjerit kesukaan. Zuhrina keluar dari kereta lalu mendapatkan anak lelakinya itu.
“Maaf sayang. Mama jumpa kawan tadi. Dah lama Rul tunggu?” beritahu Zuhrina.
“Tak apa mama. Rul pun baru sampai,” ujar Azrul menyedapkan hati mamanya.
“Akak baru nak ajak dia masuk rumah akak tadi. Yalah, akak tengok dia sorang-sorang duk tercegat kat depan pagar tu, risau pula akak,” terang Ramlah.
“Terima kasih kak. Kami balik dulu ya,” ujar Zuhrinah lalu memimpin tangan anaknya menuju ke kediaman mereka.
* * * * *
LANGIT malam hitam pekat. Tiada langsung cahaya rembulan yang menerangi. Gugusan bintang pula seakan malap cahayanya. Mungkin petanda malam ini hujan akan turun. Zuhrina berjalan perlahan mengelilingi halaman rumahnya. Di tangan, gelas berisi coklat panas masih berasap. Perlahan-lahan Zuhrina membuka lembaran peristiwa yang berlaku siang tadi. Peristiwa yang menghadirkan gundah di dalam hati. Semuanya berlaku selepas dia tamat mengajar kelas tambahan pada pukul empat petang. Hajatnya untuk terus pulang ke rumah tergendala setelah menerima mesej dari bekas suaminya yang ingin bertemu empat mata dengannya. Ada perkara mustahak yang ingin dibincangkan.
Dalam hati, ada pelbagai gelodak rasa yang menerpa. Mungkinkah bekas suaminya itu ingin berbaik semula dengannya? Mengenangkan perkara tersebut, dia diselubungi gembira. Ternyata masih ada sayang dalam hati untuk suami yang masih dicintai. Sampai di tempat yang dijanjikan, Zuhrina menunggu dalam debar ketibaan suaminya.
Beberapa minit menunggu, suaminya muncul. Tanpa salam, tanpa bertanya khabar, suaminya terus ke topik utama. Zuhrina hanya menangkap perkataan hak penjagaan anak dan yang selebihnya ibarat angin membuai pergi setiap patah kata bekas suaminya itu. Hatinya hancur, luluh! Lenyap segala angan-angan indah yang diimpikan. Musnah semua khayalan pesona yang dicitakan. Selepas menerangkan serba-sedikit tentang tujuan perjumpaan itu, suaminya bergerak pergi namun sempat dia berpesan sesuatu. Pesanan yang Zuhrina tidak akan lupa hingga nyawanya terputus dari badan.
“Kalau boleh, I nak selesaikan dengan cara baik. I nak you serahkan Azrul dengan rela hati. Tak perlu nak bawa ke mahkamah. I malas nak uruskan segala macam prosedur yang leceh tu. I tahu, you rasa yang Azrul tu satu beban. Sebab itulah I nak Azrul tinggal dengan I. Lagipun, I akan bernikah tak lama lagi. Dengan perempuan yang tahu menghargai dan menyayangi,”
“Mama!”
Teriakan Azrul memecah lamunan Zuhrina. Benarkah seperti kata suaminya, Azrul adalah satu beban baginya? Jauh di lubuk hati, Zuhrina seakan bersetuju dengan pendapat suaminya itu. Perpisahan yang terjadi antara dia dan suami, Azrul yang menjadi punca. Sedikit-sebanyak dia rasakan Azrul pembawa malang. Apatah lagi selepas melahirkan Azrul, dia dimaklumkan bahawa dia sudah tidak boleh mengandung lagi kerana rahimnya sudah tidak kuat. Jika dia berkeras untuk mengandung, kandungan tersebut akan mudah gugur.
Tinggal bersama-sama Azrul juga memeningkan kepalanya. Dia tidak kisah soal kewangan kerana gajinya sebagai seorang guru mampu menampung mereka dua beranak. Apatah lagi baru-baru ini dia dinaikkan pangkat sebagai guru penolong kanan hal ehwal pelajar. Cuma, apa yang menjadi masalah ialah dia tidak punya cukup masa untuk mengambil berat akan diri Azrul. Siangnya dia sibuk dengan aktiviti di sekolah. Mengajar, mesyuarat, menguruskan perihal para pelajar yang ramai dan melayan pelbagai kerenah para pelajar kelasnya yang nakal itu. Kadang-kala dia harus pergi mengikuti seminar atau kursus menyebabkan dia harus meninggalkan Azrul pada jagaan orang lain. Kala malam, dia harus menanda dan menyemak latihan dan ujian yang diberi. Kemudian dia akan masuk tidur kerana keletihan. Selalu juga dia diserang migrain kerana terlalu banyak berfikir. Berfikir tentang perasaan, tentang masa depan dan tentang kehidupannya.
“Mama!!” jerit Azrul lagi.
Perlahan-lahan sebuah keluhan dilepaskan. Mungkin ada baiknya jika dia serahkan Azrul pada bekas suaminya. Mungkin kehidupannya akan lebih teratur.
“Mama di sini Rul!” laung Zuhrina.
Azrul keluar dari dalam rumah, mencari-cari mamanya. Apabila melihat mamanya yang sedang berdiri memandang langit, segera dia menerpa ke arah mamanya. Kaki mamanya dipeluk erat. Zuhrina mengusap kepala anaknya lembut. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Azrul akan hasrat papanya itu. Dapatkah Azrul menerimanya? Ah, mungkin itu yang Azrul hajatkan. Yalah, selama ini dia sendiri jarang menumpukan perhatian pada anaknya yang seorang ini. Jadi, secara tidak langsung, ini adalah untuk kebaikan Azrul juga.
* * * * *
JAM loceng menjerit nyaring. Zuhrina segera menekan butang berwarna biru itu sekaligus menghentikan jeritan yang membingitkan telinga. Tepat pukul sembilan pagi. Hari Sabtu begini biasanya dia akan ke sekolah untuk mengajar kelas tambahan bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM. Zuhrina bingkas bangun lalu mengemas katilnya ala kadar. Dia tidak terus ke bilik air sebaliknya melangkah ke bilik Azrul. Pintu bilik dibuka. Katil anaknya sedikit pun tidak berusik. Oh, dia terlupa semalam bekas suaminya membawa Azrul bermalam di rumahnya sementara. Soal hak penjagaan anak itu, sudah dimaklumkan pada suaminya bahawa dia telah bersetuju untuk menyerahkan Azrul di bawah jagaan bekas uaminya itu dan biarlah bekas suaminya sendiri yang memberitahu Azrul tentang perkara itu.
Pintu bilik ditutup semula. Zuhrina menuruni anak tangga menuju ke dapur. Selalunya sarapan sudah tersedia di atas meja. Azrul telah diajar untuk menggunakan pembakar roti dan sedikit perkakas dapur. Anaknya itu memang pandai berdikari walau umurnya masih lagi muda. Sudah lama juga Zuhrina tidak menjejakkan kaki ke dapur. Biasanya dia akan membeli lauk-pauk dari kedai kerana nasi sudah ditanak oleh Azrul sejak pagi. Dia hanya perlu memanaskan sahaja.
Baru sahaja Zuhrina ingin naik semula ke bilik, dia terpandangkan tudung saji rona hijau yang terletak betul-betul di tengah meja. Ada sesuatu di dalamnya. Pantas Zuhrina membukanya dan alangkah terkejut apabila melihat sebiji kek dan sepucuk surat disertakan bersama. Perlahan-lahan surat itu dibuka. Dari Azrul.
Mama,
Azrul minta maaf sebab tak dapat sambut hari ibu dengan mama hari ni sebab mama kata papa nak ajak Azrul pergi jalan-jalan. Azrul tak nak pergi tapi mama kata kasihan dekat papa. Papa rindukan Azrul. Jadi Azrul pun ikutlah cakap mama.
Mama,
Kek ni Azrul yang buat dengan Makcik Ramlah. Azrul yang minta Makcik Ramlah ajarkan. Azrul cakap dekat makcik yang mama selalu nampak sedih. Jadi makcik kata baik bagi mama makan kek sebab kek manis. Makcik kata lagi mama pasti senyum sebab makan kek yang manis. Azrul pun mintalah makcik ajarkan sebab Azrul dah lama tak nampak mama senyum.
Mama,
Azrul minta maaf kalau Azrul ada buat salah. Azrul tahu Azrul banyak susahkan mama. Azrul selalu kacau mama masa mama tengah buat kerja sekolah. Azrul selalu kacau mama masa mama tengah berehat. Azrul selalu paksa mama balik cepat walau Azrul tahu mama banyak kerja kat sekolah. Azrul minta maaf mama.
Mama,
Tak lama lagi hari guru pula. Azrul tak tahu nak bagi mama hadiah apa. Takkan nak bagi kek lagi. Azrul tanya cikgu dekat sekolah. Cikgu cakap Azrul boleh bagi apa yang Azrul mampu asalkan ikhlas. Azrul ada kumpul duit belanja sekolah. Azrul ingat nak belanja mama makan KFC. Nanti kita pergi sama-sama ya mama.
Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Guru, mama. Azrul sayang mama. Sayang sangat-sangat!!!
Tangan Zuhrina menggigil. Dia terjelepok di atas kerusi. Apa yang telah dia lakukan? Apa yang telah merasuknya sehingga dia tergamak membuang anak yang dikandungnya selama sembilan bulan? Apa yang telah dia lakukan pada anak yang langsung tidak bersalah? Apa yang telah dia lakukan pada anak yang selalu menyediakan sarapan untuknys setiap pagi, yang menemaninya setiap hari di rumah, yang memeluknya sebelum tidur, yang berusaha untuk membuat dia tersenyum semula? Ya Allah! Kejamnya aku sebagai seorang ibu! Betapa dia pentingkan diri sendiri, betapa dia terlalu ikutkan perasaan dukanya, betapa dia mudah berputus asa pada hidup ini. Maafkan mama, Azrul. Maafkan mama!
Zuhrina bangun perlahan-lahan. Surat ditangan diepagang kejap. Dia bergegas menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Dia segera menyiapkan diri. Dia ingin bertemu Azrul. Dia ingin memeluk dan mencium anaknya itu sepuasnya. Tunggu mama Azrul, tunggu mama...