Seorang budak lelaki dan seorang gadis kecil berjalan-jalan disebuah taman.. Gadis kecil berlari riang bila disakat budak lelaki. Mereka kejar-mengejar. Bermain buaian yang berada dibawah pokok besar. Lalu buaian itu berayun perlahan. Talinya panjang hingga ke dahan. Budak lelaki tak jemu-jemu menolak buaian. Mengikut arah berlawanan dengan angin. Sekali sekala senyum terukir dibibirnya bila saja bayu meniup rambut gadis kecil. Bau harum rambut hitam pekat gadis kecil menerawang lalu hinggap dihidungnya. Budak lelaki senyum lagi dan lagi.
Seketika buaian berhenti berayun. Gadis kecil menoleh ke belakang. Budak lelaki sudah mencangkung menghadap pokok Oak yang paling besar. Ada semut-semut besar berjalan terkedek-kedek dibawahnya. Membawa makanan untuk ke sarang mereka. Budak lelaki menguis-nguis pasir. Overall jeans panjang separa lutut sedikit tertarik ke atas. Dia mengalihkan pandangan ke arah gadis kecil. Gadis kecil tersenyum. Kembali. Matanya tertancap pada daisy putih yang tumbuh meliar disekeliling oak itu.
Budak lelaki berdiri. Ditangannya segenggam Daisy putih seakan-akan tersenyum. Sama manis dengan senyum dibibir budak lelaki. Dengan tapak kaki yang perlahan-lahan berjingkit, dia menghampiri gadis kecil. "Bunga ini untuk kamu." Hati gadis kecil berbunga. Sama kembang dengan Daisy tadi. Gadis kecil mencapai bunga itu. Mulutnya senyum dan senyum lagi.
Manis. Semuanya sangat indah. Macam waktu mereka sama-sama melewati musim luruh. Dibalik daun kering yang semuanya kekuningan itu, mereka terpesona. Sama-sama terdampar atas dedaun yang bertimbunan itu.
Hari itu. "Gadis kecil,nanti saya bawakan kamu coklat."
Ada harinya. "Gadis kecil, nanti kita berlari ke hujung pelangi."
Gadis kecil mengangguk. Selalunya dia lebih banyak percaya daripada tidak mempercayai. Mungkin sepenuhnya?.
Gadis kecil kembali ke alam nyata. Flashback hilang dalam nanosaat. Tangannya masih kejap disitu. Masih dibunga Daisy yang tadinya puas dibelek. Lalu dibawanya ke hidung. Mengucup haruman Daisy itu walaupun dia sendiri tak pasti apakah baunya. Yang penting, bunga itu dari dia.Budak lelaki.
Tiba-tiba tangannya ditarik oleh budak lelaki. Mereka berlari ke suatu kawasan lapang. Rumput menghijau. Gadis kecil melongo. Ditangan budak lelaki ada dua kayu digenggam erat. Satu pendek. Satu panjang. "Kita main konda-kondi!." Budak kecil tersengih. Gadis kecil seakan mahu menggeleng tapi tetap kejap berdiri. Statik. Mulutnya kemudian perlahan-lahan menuturkan bicara. "Saya tak reti!." Terus matanya jatuh ke tanah. Pada rumput-rumput hijau tadi.
"Saya ajar. Percayalah." Mata budak lelaki seakan bersinar terang. Ada nada semangat dalam butir bicaranya. "Tapi...saya takut sakit." Masih lagi dua mata bundar itu jatuh ke bawah. Enggan memandang budak lelaki. Budak lelaki lalu ambil dua tapak ke hadapan.Menghampiri gadis kecil. "Sayakan ada untuk kamu dan saya akan jadi sayap untuk kamu lari dari kesakitan." Tangannya segera ke dagu gadis kecil. Mengangkat wajah bulat itu. Menatap dua mata itu dalam-dalam lalu memberikan keyakinan. "Em.." Gadis kecil ketap bibir. Kepalanya perlahan-lahan mengangguk. Budak kecil melompat riang. "Yeayy! Jom!." Tangan gadis kecil dalam tangan budak kecil. Lalu mereka berlari ke hujung padang hijau itu.
Awal permainan, mereka sama-sama tersenyum. Budak lelaki lebih banyak ketawa dari membantu. Lagi banyak menyakat bila gadis kecil gagal memukul. Kemudiannya gadis kecil menarik muka masam. Mencebik lalu memalingkan wajahnya. Budak lelaki menyeringai, tersengih. Ditariknya tangan gadis kecil. Mulut itu laju menuturkan. "Sorry." Gadis kecil terus saja senyum lalu menyambung kembali permainan.
"Kali ni kita main betul-betul.Awak sambut okey?." Gadis kecil cuma angguk. Hatinya bergetar. Lebih hebat dari sebelumnya. Dia tak pernah setakut itu. Budak lelaki membuat patuk ayam. Mungkin, dia terlupa dia bukan bermain dengan budak lelaki lain. Mungkin,dia terlupa lawannya gadis kecil. Mungkin, dia terlupa gadis kecil tak pandai bermain. Tangannya memukul kayu pendek itu padu sebaik sahaja kayu kecil terlayang-layang diudara. Gadis kecil cuba menyambut tapi hampir saja dia terjatuh dan kayu pendek tepat mengenai dahinya. Kuat.
Gadis kecil terus sahaja berteriak. Sakit itu hanya Tuhan yang tahu rasanya. Darah pekat mengalir jatuh ke bumi. Banyak dihujung tangannya, sedikit mencemari gaun putih yang dipakainya. Tangannya masih berada didahi. Menahan darah dari terus-terusan mengalir. Budak lelaki terpempam. Kayu panjang yang dipegangnya sebagai pemukul jatuh ke tanah. Tergolek-golek dan masa pun terhenti. Gadis kecil teresak-esak perlahan. Budak lelaki menghampiri lalu berulang-ulang kali meminta maaf. Gadis kecil bingkas bangun dan berlari dari situ. Hilang.
Hari selepasnya, gadis kecil sudah sembuh tapi ada parut jelas didahinya. Parut dari budak lelaki. Gadis kecil enggan keluar lagi. Enggan ke buaian tempat mereka sama-sama berdiri. Enggan ke padang tempat mereka sama-sama berlari. Dia duduk dibirai tingkap dan melontarkan pandangan ke luar tingkap. Menanti. Dulunya, budak lelaki lebih banyak menjerit-jerit dari bawah dan dia memerhati dari atas. Disitu. Ditingkap itu.
"Nanti saya bawakan kamu coklat." Ayat budak lelaki berlegar lagi.
"Nanti kita berlari ke hujung pelangi." Dia menanti pelangi itu.
"Saya akan jadi sayap kamu..." dan kita akan terbang bersama lagi,budak lelaki. Mulut gadis kecil berbisik perlahan.
Dia menanti lagi dan lagi. Menanti budak lelaki. Menanti agar budak lelaki akan menariknya kembali agar mereka dapat kembali ke buaian itu dan padang hijau tempat mereka selalu bersama. Sungguh, gadis kecil takut. Mulanya dia marah. Mulanya dia sedih. Mulanya dia benci. Kata budak lelaki, budak lelaki akan melindunginya tapi kenapa masih gagal?
Bila hari berganti. Parut itu masih kekal disitu. Gadis kecil menanti lagi. Kadang-kadang dia nampak budak lelaki berada dibawah rumahnya tapi hanya memandang ke arah tingkap biliknya,kosong. Hati kecilnya berteriak. "Kenapa kamu tidak mencari saya?." Air mata mengalir jatuh ke pipinya. Lalu dia teresak-esak sendirian. Sungguh, dia rindu budak lelaki tapi dia terlalu takut untuk pergi ke padang dan buaian itu sendiri. Dia takut dia luka lagi.
Tapi budak lelaki hanya muncul dibawah. Memandang ke arah tingkap biliknya lagi. Gadis kecil memandang. Lalu senyum. "Kenapa tak masuk budak lelaki? Kenapa tak tanya pasal diriku?.". Kadangkala budak lelaki muncul lagi tapi tangannya kosong. Mana coklat yang kamu janjikan? Mana pelangi yang bakalan kita pergi?. Masih lagi gadis kecil kejap menanti. Mungkin esok. Esok pasti budak lelaki akan masuk ke rumah ini dan memimpin aku supaya kami sama-sama dapat ke sana lagi. Gadis kecil senyum pasti.
"Gadis kecil.Keluarlah bermain.Maafkan saya." Suara budak lelaki bergema. Gadis kecil terus bangun dari katilnya. Dengan girang dia berlari ke birai tingkap. "Saya mahu tapi saya takut. Kamu bimbing saya!." Suaranya sedikit terjerit. Budak lelaki seakan mendengar tapi enggan bertindak. Seakan tahu tapi seperti tidak tahu. Lama budak lelaki menanti tapi dia tidak memimpin. Dan gadis kecil memandang dari birai tingkap. Kecewa.
Kemudiannya, budak lelaki tak muncul-muncul lagi. Gadis kecil semakin melupakan segalanya. Semuanya tentang buaian dan padang itu. Tentang dedaun kuning kekeringan serta tentang pelangi. Satu hari tiba-tiba ramai orang berada dikawasan gadis kecil. Mereka semua bermain dengan girang. Gadis kecil masih duduk dibirai tingkap. Tiba-tiba seorang dari mereka menegur. "Hai kamu.Tidak mahu bermainkah?." Gadis kecil yang sedang duduk memintal-mintalkan jari jemarinya sedang kakinya terampai-ampai ke udara terus mengangkat muka. Matanya bersinar terang.
"Saya mahu tapi saya takut mahu keluar." Dan budak lelaki baru ini tersenyum. Terus saja dia berlari masuk ke dalam rumah. Menggenggam lalu menarik tangan gadis kecil. Mulanya seakan payah untuk kaki itu menginjak. Atas rumput hijau tapi keinginan untuk bermain adalah lebih dari itu. Bila sahaja dia berjaya ke kumpulan kanak-kanak itu, dia tersenyum puas. Lalu hatinya tak henti-henti berbisik, "Terima kasih budak lelaki baru".
Sedang mereka bermain. Tiba-tiba kelibat budak lelaki muncul. Budak lelaki memandang ke arah gadis kecil tapi gadis kecil enggan mata mereka bertentang. Enggan mengingati buaian, padang serta pelangi. Budak lelaki memanggil gadis kecil. Lalu gadis kecil perlahan-lahan berjalan ke arahnya.
"Masih marah?." Budak lelaki bertanya. Gadis kecil menggeleng. Tangannya sekejap-sekejap meraba parut didahi. Budak lelaki tak perasankan parut itu. "Tak, saya tak marah dah tapi parut ni tetap berbekas dan takkan hilang." Baru sahaja budak lelaki perasan. Lalu dia berkata. "Saya minta maaf. Tak tahu luka tu berparut." Gadis kecil cuma tersenyum. "Tak apa." Gadis kecil lalu memusingkan badannya. "Saya mahu bermain.." dan dalam hati berkata "sedangkan ketika dulu kamu enggan memimpin saya kembali."
Budak lelaki hanya dapat memandang gadis kecil berlalu. Bila saja gadis kecil tiba pada kawan-kawan barunya. Budak lelaki baru berkata. "Mahu bermain apa, gadis kecil?." Gadis kecil senyum girang. Lesung pipit dipipinya terus sahaja melekuk. Dikiri dan kanan. "Apa-apa sahaja asalkan bukan konda-kondi.."