rss

KOKOK ayam jantan mengejutkan Amirulshah dari tidur. Dia menolak gebar yang menyelimuti tubuh lalu berjalan ke arah jendela. Daun jendela dikuak. Serta-merta angin pagi berpusu-pusu menyapa wajahnya. Terasa segar dan dingin. Langit masih gelap. Bintang-bintang bergelantungan disepuh cahaya rembulan yang semakin pudar sinarnya. Amirulshah mengangkat kedua-dua tangan tinggi ke udara sambil melakukan sedikit regangan. Selepas itu, dia kembali semula ke tilam empuk, mengemas cadar dan melipat gebar. Kemudian, dia melangkah keluar dari kamar menuju ke bilik mandi yang terletak di dapur. Ruang dapur terang disinari cahaya lampu kalimantang. Pasti emaknya sudah bangun. Biasanya hari minggu begini, emaknya akan membuat nasi lemak untuk dijual.

“Assalammualaikum mak,” tegur Amirulshah.

“Waalaikummussalam. Awal kamu bangun hari ni?” tanya Mak Limah.

“Ada urusan dengan Tauke Wong pagi ni. Kelapa-kelapa yang digait semalam dia nak angkut pukul lapan nanti,” jelas Amirulshah.

“Banyak kelapanya?”

“Adalah sikit mak. Pokok-pokok kelapa kat dusun tu bukannya banyak sangat. Tak sampai sepuluh pokok pun. Tapi, lepaslah duit belanja harian,” ujar Amirulshah.

“Hah, jadi kamu ke bandar hari ni?” soal Mak Limah.

“Jadi mak. Shah dah janji dengan Mat nak ke pejabat RISDA. Pokok-pokok getah di kebun tu banyak yang dah tua. Boleh ditebang dan tanam yang baru,” jawab Amirulshah.

Mak Limah tekun membersihkan daun pisang untuk dijadikan alas nasi lemaknya. Amirulshah berlalu ke bilik mandi. Dia mengambil wuduk. Selepas itu, dia naik ke biliknya semula. Usai solat Subuh, dia bersiap untuk ke dusun. Masih ada satu jam setengah sebelum pukul lapan pagi. Nampaknya hari ini akan menjadi satu hari yang sibuk buatnya.

* * * * *

PULANG dari pejabat RISDA, Amirulshah terus ke dusun buahnya. Pohon-pohon rambutan dan mangga mula berbunga. Tak lama lagi dapatlah dia hasilnya. Amirulshah melepaskan penat di bangsal yang dibina di tengah-tengah dusun itu. Dia termenung panjang. Sejak kematian ayahnya dua tahun lepas, hidupnya banyak berubah. Dia perlu meneruskan kerja-kerja ayahnya yang tertangguh. Kebun getah di hilir kampung, dusun buahan dan kolam ikan air tawar di baruh. Semua milik ayahnya yang memang rajin bekerja bahkan itulah sumber pendapatan mereka sekeluarga sejak dulu.

Cuma, yang dia kesalkan adalah tindakannya dahulu. Tindakan yang membuatkan masa depannya sekelam-kelam gelap malam. Selepas dikeluarkan dari pusat pemulihan beberapa bulan yang lepas, dia kembali dengan tekad baru. Hidup perlu diteruskan. Tidak ada gunanya mengenang kisah silam yang pahit. Dia kini punya tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab terhadap emaknya, kedua-dua adiknya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

“Woi, jauh berangan?” sapa Mat, rakan baiknya.

Amirulshah tersentak. Dia tersengih memandang wajah rakannya itu. Sejak sekolah hingga sekarang, Mat memang setia dengannya. Hanya Mat yang berada di sisi setelah dipulau oleh orang kampung. Kebaikan kawannya itu memang tidak mampu dibalas.

“Macam mana dengan cadangan pihak RISDA tadi? Kau setuju?” tanya Mat setelah mengambil tempat di sebelah rakannya.

“Entahlah, aku tak fikirkan lagi. Tapi, kalau baik, aku ikut aja. Kau agak macam mana?”

“Aku rasa baik juga kalau kau jual kebun getah tu. Duitnya kau boleh laburkan pada benda lain. Buka kedai runcit barangkali. Kampung kita ni kau tahu sajalah, kedai Pak Kassim tu sebiji je yang ada. Letak harga mencekik darah,” rungut Mat, siap dengan mimik muka tidak puas hati.

“Tak apa ke kalau aku buka kedai runcit? Apa kata orang kampung nanti?” tanya Amirulshah.

“Kau buat kerja halal. Bukannya kau mencuri pun. Mula-mula memang orang pandang serong. Lama-lama nanti okeylah,” ujar Mat.

Cadangan rakannya itu membuatkan Amirulshah berfikir. Ada betulnya juga kata rakannya itu. Nantilah, dia akan berbincang dengan emaknya. Andai emaknya setuju, dia akan usahakan.

* * * * *

RAIHANA baru lepas pulang dari mengajar di sekolah. Dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Beg bimbit dicampakkan ke sebelah. Terasa penat mengajar sehari suntuk. Namun, sudah menjadi tugasnya sebagai seorang guru untuk mendidik anak watan negara agar menjadi seorang yang berilmu dan berakhlak mulia. Dia masih ingat bagaimana kuatnya tentangan mamanya sewaktu dia ditugaskan bekerja di kawasan pedalaman ini.

“Mama tak setuju! Boleh ke Hana hidup bergelumang dengan lumpur, pacat, lembu, kambing dan entah apa-apa lagi kat kampung tu? Mama tak sanggup. Ei... jijik!” luah Puan Sri Hartini.

Raihana melepaskan keluhan. Fikirnya, papa dan mama akan memberi sepenuh sokongan tapi lain pula jadinya.

“Mama, Hana jadi cikgu, bukannya pekebun. Lagipun, kampung sekarang bukannya macam dulu. Kampung sekarang dah ada elektrik dan air. Tak payah nak mandi sungai atau perigi lagi,” bidas Raihana.

“Mama tetap tak benarkan! Hana boleh kerja dengan papa. Buat apa nak mengajar kat ceruk tu? Banyak lagi sekolah kat bandar ni yang Hana boleh mengajar,”

“Ma, Hana punya tanggungjawab yang besar. Sekolah di kampung tu kekurangan cikgu. Kalau semua cikgu berfikiran macam mama, bagaimana nasib budak-budak sekolah kat kampung tu? Takkan selama-lama dia orang nak kerja toreh getah, banting padi dan tanam jagung? Mereka harus didedahkan dengan dunia luar supaya pemikiran mereka berkembang,” jelas Raihana.

“Walau apa pun yang kamu cakap, mama tetap tak setuju!” tegas Puan Sri Hartini.

Raihana tersenyum apabila mengenang semula pertingkahan dengan mamanya dahulu. Dia bersyukur, papanya seorang yang berfikiran terbuka. Tidak seperti mamanya. Dan atas sokongan papanya dia berada di sini. Di Kampung Pondoi, Tampin dan mengajar di Sekolah Kebangsaan Tebong. Segala kemewahan di Kuala Lumpur ditinggalkan atas dasar tanggungjawab.

“Assalammualaikum, Hana!” terdengar namanya dilaung.

Raihana bingkas bangun. Dia kenal suara itu. Pantas dia berlari anak, keluar dari biliknya.

“Waalaikummussalam, Shah. Ada apa?” tanya Raihana lalu melangkah menuruni anak tangga ke halaman rumah.

“Baru balik mengajar ke?”

Raihana menganggukkan kepalanya. Wajah bersih lelaki itu ditatap. Rindu di dada terlerai sudah. Tidak dinafikan, ada sayang yang terbit jauh di lubuk hati untuk lelaki ini. Walaupun baru beberapa bulan mengajar di kampung ini, Amirulshahlah orang yang paling rapat dengannya. Lelaki ini begitu memahami dan penyayang orangnya. Raihana tahu kisah silam Amirulshah. Lelaki itu tidak segan menceritakannya pada Raihana sewaktu perkenalan pertama mereka.

“Siapa yang datang tu Hana?” soal Kak Zura, ibu saudaranya.

“Shah, kak,” jawab Raihana.

“Kenapa tak ajak masuk?”

Raihana memandang Amirulshah. Lelaki itu melemparkan senyuman. Hati Raihana diterpa debar.

“Tak apa. Saya sekejap je. Ni, mak ada buat kuih karipap sikit,” ujar Amirulshah.

“Terima kasih. Rajin betul Makcik Limah ya,” balas Raihana.

“Okeylah, Shah balik dulu,”

“Em, sampaikan salam saya pada mak awak. Hati-hati ya,” ujar Raihana.

Langkah kaki Amirulshah diperhatikan sehingga bayang lelaki itu hilang dari pandangan. Rindu mula menyapa. Dalam hati ada getar yang menjengah. Oh, apakah diri ini sudah dilamun cinta?

* * * * *

“APA pendapat mak?” Amirulshah bertanya pada emaknya.

“Suka hati kamulah Shah, mak ikut aja. Asalkan kerja yang halal. Kamu dah fikir masak-masak?”

“Dah mak. Mat akan tolong Shah. Kiranya dia akan jadi rakan kongsi Shah,” jawab Amirulshah.

“Berapa ribu RISDA nak beli tanah kebun tu?” Mak Limah bertanya.

“Banyak juga mak. Rancang Shah, lepas buka kedai runcit tu, Shah nak beli kereta. Kereta terpakai je. Bayar bulan-bulan. Senang nak ke bandar ambil barang-barang runcit,” cadang Amirulshah.

Mak Limah menganggukan kepala. Hasrat anaknya untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan amat disokong. Cuma, dia takut, apa pula kata orang kampung? Pak Kassim tentu naik angin!

“Oh ya, mak. Pokok rambutan dan mangga kat dusun tu dah berbunga. Hasilnya boleh dijual di pekan. Kebun sayur kat belakang tu, Shah ingat nak besarkan. Boleh tanam banyak sikit sayur. Nanti, boleh dijual di pasar,”

“Amboi, bersemangat sungguh anak mak ni! Shah, walau sesibuk mana pun kita mengejar harta dunia, akhirat jangan dilupa,” pesan Mak Limah.

“Shah ingat mak. Insyaallah, Shah akan cuba seimbangkan urusan dunia dengan akhirat,” janji Amirulshah.

* * * * *

SEBULAN berlalu. Kedai runcit Amirulshah sudah hampir sembilan puluh peratus siap. Hatinya tidak sabar-sabar lagi untuk mula berniaga. Berkobar-kobar semangatnya. Dia harus menebus kesilapannya yang lalu. Dia sudah berjanji tidak akan membiarkan emaknya menderita lagi. Dia tidak akan biarkan emaknya malu. Dia harus bangkit dari kegagalan lalu.

“Bila kamu nak ambil kereta tu?” Mak Limah bertanya pada anaknya ketika mereka sedang bersarapan pagi.

“Lepas sarapan, Shah pergi dengan Mat ke bandar. Duit pendahuluannya, Shah dah bayar. RM 5000. Jadi, nak bayar bulan-bulan, tak banyak sangat,” jawab Amirulshah.

“Kereta apa kamu ambil?”

“Proton Iswara aja mak,”

Amirulshah kembali menyuap mee goreng ke dalam mulut. Mak Limah bergerak ke tandas sebentar. Adiknya yang bongsu, Hidayah, sedang menyidai kain di halaman. Tahun ini adiknya itu akan mengambil peperiksaan SPM. Azrul pula masih menuntut di UiTM Segamat dalam jurusan perakaunan. Sudah masuk tahun kedua, semester keempat.

Amirulshah amat berharap adik-adiknya berjaya dalam hidup dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dia lakukan.

“Shah! Shah!” Mat menjerit memanggil nama rakan baiknya itu sekaligus membuatkan Amirulshah sedikit tersentak.

“Hah, Mat, kenapa? Macam dikejar anjing saja,”

“Ke... kedai! Kedai!” ujar Mat dalam nafas yang tercungap-cungap.

“Kenapa dengan kedai?” Amirulshah bertanya gusar.

“Jom, cepat!” arah Mat.

“Kenapa bang?” soal Hidayah.

“Cakap kat mak, abang ke kedai kejap,” pesan Amirulshah.

Mereka berdua segera berlari menuju ke bangunan kedai runcit yang terletak tidak jauh dari rumah Amirulshah. Hati Amirulshah berasa tidak enak. Tidak putus-putus dia berdoa agar tiada perkara yang buruk berlaku. Hampir sepuluh minit berlari, mereka tiba. Bulat mata Amirulshah memandang keadaan kedainya.

“Ya Allah!”

* * * * *

RUANG tamu rumah papan itu diselubungi kemurungan. Mak Limah simpati melihat keadaan anaknya. Manusia, tak akan lari dari sikap dengki dan khianat. Anaknya itu baru saja hendak bertatih, sudah jatuh merundum.

“Ni mesti kerja Pak Kassim! Aku yakin, ni semua dia punya kerja! Dia takut kedai dia lingkup!” Mat bersuara penuh amarah.

“Sabar Mat, tak baik tuduh sebarangan,” ujar Amirulshah sayu.

“Kau ni baik sangat! Kalau aku, dah lama aku serang orang tua tak sedar dek untung tu. Dah tua-tua pun nak buat kerja terkutuk macam ni!”

“Sabar Mat, kita tak boleh tuduh Pak Kassim yang buat. Kita tak ada bukti,” bicara Amirulshah.

“Argh!!!” Mat mendengus.

Mak Limah hanya mampu memerhati. Dia yakin, hati anaknya sedang dilanda amarah tapi cuba dikawal. Anaknya tahu membezakan yang baik dengan yang buruk. Mak Limah tahu anaknya tidak akan melakukan tindakan yang akan memudaratkan dirinya sendiri.

“Habis, apa kita nak buat sekarang?” soal Mat.

“Cat semula dinding yang kena conteng tu. Papan tanda yang patah tu, kita buat yang baru,” jawab Amirulshah.

“Tapi, bukan sikit kosnya,” bidas Mat.

“Duit lebihan hasil jual tanah tu ada lagi sikit. Bolehlah tampung apa yang patut,”

“Tapi, duit tu kan untuk beli benih sayur dan buat pagar kawat besi,” Mat membantah.

“Tak apa, hal tu boleh tangguhkan. Kedai runcit tu harus siap tepat pada masanya. Barang-barang akan sampai tak lama lagi,” Amirulshah bersuara tenang.

Mat memandang wajah rakannya yang begitu tenang. Biasalah, adat berniaga, pasti ada jatuh bangunnya...

* * * * *

“AMBOI, kaya kau sekarang ya, Limah,” usik Mak Eton.

“Kaya apanya Eton, biasa aja,” jawab Mak Limah, merendah diri.

“Tu, anak kau si Shah tu dah pakai kereta sekarang. Kerja apa?”

Mak Limah diam. Dia sibuk memilih ikan tenggiri yang dibawa oleh lori Ah Seng. Cadangnya hendak masak lemak saja untuk makan tengah hari nanti.

“Aku ni bukan apa Limah. Kita pun dah lama kenal, kalau orang cakap-cakap belakang tentang kau, aku terasa juga. Kata orang, cubit peha kanan, peha kiri terasa sama,” ujar Mak Eton.

Mak Limah tersentak. Apa pula yang cuba disampaikan oleh si Eton ni? Ada resah mengintai di sebalik tangkai hatinya.

“Apa yang kau cakap ni Eton?”

“Bukan aku cakap, tapi aku ada dengar yang anak kau masih dengan kerja lama dia. Sebab tu dapat beli kereta,” beritahu Mak Eton.

“Masyaallah!” Mak Limah menekup mulutnya

“Fitnah tu Eton! Fitnah! Anak aku beli kereta tu guna duit hasil jual kebun getah kat hilir kampung tu. Anak aku dah tak buat kerja keji macam dulu,” Mak Limah mempertahankan anaknya.

“Manalah tahu. Nak ubah perangai orang ni bukan senang. Kalau dah pencuri tu, orang tetap ingat dia pencuri sampai bila-bila,” sindir Mak Eton.

“Apa maksud kau Eton?”

“Yalah, kalau dah terlibat dengan dadah, susah nak tinggal,”

Pang!! Lima anak jari Mak Limah melekap di pipi Mak Eton. Mak Eton terpana. Dia meraba-raba pipinya yang terasa perit.

“Tutup mulut kau Eton! Aku lebih kenal anak aku dari kau dan orang kampung! Jangan korang pandai-pandai nak nilai anak aku baik ke tidak!” tengking Mak Limah lalu pergi dari situ.

Ikan tenggiri yang diambilnya tadi diletakkan semula di dalam bekasnya. Ah Seng yang melihat hanya terpegun tanpa bicara. Hati Mak Limah meluap-luap bagai gunung berapi yang akan memuntahkan laharnya pada bila-bila masa.

* * * * *

“KAU cakap betul-betul dengan mak! Dari mana kau dapat duit beli kereta tu?”

Amirulshah tersentak mendengar suara emaknya yang melengking kuat. Dia hairan melihat emaknya yang tiba-tiba naik angin itu.

“Mak, kenapa ni?”

“Dari mana kau dapat duit beli kereta tu hah? Cakap?” desak Mak Limah.

“Duit hasil jual kebun getah tulah,” jawab Amirulshah, jujur.

“Kau jangan nak menipu mak! Cakap betul-betul!”

“Sumpah mak! Demi Allah! Shah beli kereta tu guna duit hasil jual kebun getah tu. Mak, apa yang mak dengar ni?”

Mak Limah terkesima. Dia mula teresak-esak. Dia tidak patut menuduh anaknya. Seharusnya, dia percayakan anaknya itu. Ibu jenis apakah dia ini? Tidak percaya anak sendiri.

“Ma... maafkan mak. Mak... mak tak percayakan kamu,” ujar Mak Limah.

Amirulshah memegang tangan emaknya lembut. Dia menyapu air mata yang mengalir di pipi emaknya dengan jemarinya.

“Mak, Shah takkan buat perkara yang memalukan mak dan keluarga kita lagi. Shah dah berubah mak. Bukan ke Shah dah janji akan bahagiakan mak dan keluarga kita?” ujar Amirulshah.

Kali ini air mata Mak Limah deras mengalir. Amirulshah ditarik ke dalam pelukannya.

“Maafkan mak nak, maafkan mak...”

* * * * *

“API! API!” teriak seorang penduduk kampung.

“Kenapa Pak Ali?” tanya Amirulshah yang baru balik dari bandar mengambil stok barangan kedai runcitnya.

“Rumah Pak Kassim terbakar!”

“Ya Allah, dah telefon bomba?”

“Belum. Pakcik baru nak pergi telefon ni,” ujar Pak Ali.

“Tak apa, biar saya yang telefon. Pak Ali naiklah kereta saya,” Amirulshah mempelawa.

Amirulshah mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya. Dia mendail nombor telefon bomba yang berdekatan. Kemudian, dia terus memandu ke rumah Pak Kassim.

Kelihatan api menjulang dengan maraknya. Orang ramai sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran namun tidak berjaya. Mak Eton sudah menjerit-jerit melihat rumahnya rakus disambar api.

“Anak aku! Anak aku!”

Mendengar jeritan Mak Eton, Amirulshah pantas berlari masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar itu. Raihana yang kebetulan berada di tempat kejadian segera berlari memberitahu Mak Limah. Mak Limah hampir pengsan apabila mendengar Amirulshah merempuh masuk dalam rumah yang sedang marak terbakar itu.

“Ya Allah! Selamatkanlah anakku dari segala bahaya,” doa Mak Limah.

* * * * *

RUMAH Pak Kassim hangus dijilat api. Semuanya kerana berlaku litar pintas dalam rumahnya. Syukur, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Anak kecil Mak Eton berjaya diselamatkan oleh Amirulshah. Amirulshah pula mengalami cedera ringan. Pak Kassim tidak putus-putus meminta maaf pada Amirulshah. Tepat sekali tekaan Mat dulu. Pak Kassimlah yang menconteng dinding kedai runcitnya dengan kata-kata kesat dan perkataan yang tidak sepatutnya. Pak Kassim jugalah yang mengupah orang meruntuhkan papan tanda kedainya. Amirulshah tidak mampu berbuat apa melainkan memberi kemaafan pada lelaki itu. Tiada guna berdendam sesama manusia.

* * * * *

MASA begitu pantas berlalu. Sudah lima tahun dia berkecimpung dalam perniagaan kedai runcit itu. Kedai yang dahulunya kecil, kini telah menjadi sebuah pasaraya. Bukan satu, tapi sudah tiga cawangan dibuka di sekitar daerah Tampin. Semuanya berkat usaha gigih dan restu Ilahi. Kebun sayur di belakang rumah sudah diganti dengan tanaman komersial seperti buah naga dan tembikai. Pokok-pokok rambutan dan mangga di dusun, masih setia mengeluarkan hasil. Kolam ikan juga sudah diperbesarkan. Amirulshah kembali mengenang kisah hidupnya dahulu. Seorang bekas penangih yang dipandang hina oleh masyarakat, kini telah menjadi pengusaha pasaraya yang berjaya. Siapa sangka? Takdir Ilahi tiada siapa mampu menduga. Allah itu Maha Adil. Andai berusaha, pasti kejayaan ditempa.

“Jauh termenung?” sapa isterinya, Raihana.

“Abang cuma teringat kisah dulu. Semuanya rasa macam mimpi,” ujar Amirulshah,

“Mimpi yang menjadi kenyataan,” sambung Raihana.

“Hakimi dah tidur?”

“Baru je Hana tidurkan dia. Sejak dah pandai merangkak ni, lasak betul dia tu,” rungut Raihana.

Amirulshah tergelak kecil. Dia gembira. Kini dia sudah punya segalanya dalam hidup. Pendapatan yang tetap, keluarga yang bahagia dan kenangan yang terindah! Mimpi itu pasti dapat digapai andai apabila sedar nanti, ada usaha yang disulam dengan kesabaran.



2 comments:

  1. nice.....
    penuh pengajaran..
    norma masyarakat Melayu tak pernah lari dari berhasad dengki sesama sendiri..
    biasalah..
    petanda dunia di akhir zaman...
    yeah..mimpi bisa kita gapai seandainya diri penuh dengan sifat sabar...
    :)

  1. keep writing..
    :)

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini