Tuai padi antara nampak,
esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan
******
Aku tunduk membisu. Kad jemputan itu aku genggam erat. Nama yang tertera di atas kad itu benar-benar menghantui perasaan aku. Serta merta membuatkan kerjaku tertangguh. Nyata sekali berjaya meragut tumpuanku sepanjang hari.
"Kak, ni ada surat untuk kau. Posmen kasik tadi," Surat bersampul kuning air bertukar tangan.
"Posmen bagi aku surat?" Bila masa pula aku ada scandal dengan posmen. Aku garu-garu kepala. Bagai orang dungu.
"Memangla posmen bagi, tapi yang tulisnya manalah aku tahu," balas adik aku acuh tak acuh. Malas melayan kelampian aku barangkali. Aku cuma tersengih. Iya tak ya jugak!
Perlahan-lahan aku buka. Kad jemputan perkahwinan itu aku baca. Serta merta aku terdiam seribu bahasa. Mana mungkin aku lupa. Aizzuddin. Nama lelaki itu tak pernah sekali pun terpadam dalam hati aku. Dari dulu hingga sekarang. Sampai ke hari ini. Sejak peristiwa 13 tahun yang lalu..
****
Bulan sudah lama menghiasi langit. Ketiadaan bintang membuatkan aku sedar, mungkin malam ini hujan akan turun. Dan pasti bulan akan kesunyian.
Aku segera mandi. Malam ini aku ada kelas mengaji quran. Dekat saja. Hanya beberapa meter dari rumah. Usai saja solat, aku kayuhkan basikal ke tempat mengaji. Ke rumah tuan guru yang aku panggil, Abang Eli. Sampai saja, aku terus memarkir basikal di hadapan rumah. Hanya ada beberapa pasang selipar yang tersusun di luar rumah. Masih ramai yang belum datang. Barangkali. Aku segera memberi salam.
"Assalammualaikum..." aku melangkah masuk ke dalam rumah.
"Waalaikummussalam.." tiba-tiba seorang kanak-kanak muncul di depan pintu. Lebih tinggi sikit dari aku. Mungkin juga lebih tua umurnya juga dari aku. Aku segera mematikan langkah. Tergamam melihat dia berdiri sambil tersenyum ke arah aku. Aku tenung wajah bersihnya. Lama dia di situ. Berdiri dengan songkok yang tersarung di kepala. Dan mata tak lekang memandang aku.
Segera ku tarik Quran rapat ke dada. Takut-takut dia nampak degup hati aku yang kencang. Aku hanya tunduk. Moga-moga dia cepat beredar dari situ. Biar hilang rasa gugup dalam hati.
"Hah Intan, kenapa berdiri kat luar tu, masuklah.." Terkejut aku tiba-tiba disergah. Aku angkat muka. Abang Eli yang tercegat berdiri di depan pintu, menggamit aku masuk.
Aku cuma sengih. Dari celah pintu, aku nampak dia sudah duduk bersila. Sudah bersedia dengan Quran di depan mata. Cuma kepalanya sempat memandang aku dan menjelir lidah.
Aku cuma tunduk, melangkah masuk. Geram dan malu.
Aku lantas duduk. Mengambil tempat sambil meletakkan Quran untuk dibaca. Dari luar riuh rendah suara budak-budak lain memberi salam. Berebut-rebut masuk ke dalam rumah. Ingin cop tempat. Sapa yang cepat, boleh baca dulu. Sapa yang lambat, akan baca kemudian. Begitulah rutin setiap malam. Abang Eli hanya geleng kepala. Sambil dia mengambil tempat. Sudah bersedia mengajar kami.
"Intan, mari sini baca dengan A'ai," Aku terdiam sekejap. Aku pandang wajah Abang Eli. Mungkin aku salah dengar. Barangkali.
Aku tak bersuara, cuma menujukkan ke arah dia. Meminta kepastian. Abang Eli cuma mengangguk. "Sementara tunggu giliran, Intan bacalah dulu dengan A'ai. Intan baca, A'ai dengar, kalau ada salah, nanti A'ai tolonglah tegur," katanya melihat muka aku yang masih teragak-agak.
Aku telan air liur. Memang selalunya giliran aku mengaji lambat. Walaupun padahalnya aku datang lagi awal dari yang lain. Aku lagi suka beralah, malas berebut-rebut dengan budak-budak lain. Tapi selalunya aku akan duduk di sebelah Abang Eli, membaca sendiri. Biar bacaan aku semakin lancar. Sama juga seperti dia. Setiap malam akan duduk di sisi Abang Eli. Kalau aku di sebelah kanan, dia sebelah kiri. Begitu juga sebaliknya. Adakah sebab itu Abang Eli menyuruh kami duduk membaca bersama?
Aku tenung A'ai. Dia cuma senyum. Memang budak ni murah senyuman barangkali. Asyik-asyik senyum. Balik-balik senyum. Aku segera bangun, duduk menghadap dia. Akur dengan arahan Abang Eli. Baik juga. Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh betulkan bacaan aku. Lagipun dia lagi tua umurnya. Mungkin bacaannya lagi baik dari aku.
Kami berdua duduk berdepan. Di sebelah Abang Eli yang sedang sibuk mengajar budak yang lain mengaji. Dia hanya senyum melihat aku membuka Quran, terkial-kial mencari sambungan Surah yang aku baca semalam.
"Surah apa?" Perlahan dia tanya. Boleh dikatakan separuh berbisik.
"Hah?" Entah kenapa aku jadi kaget. Menggelabah tak tentu pasal. Padahal hanya dia. Mungkin aku tak biasa begini. Atau mungkin sebab ini kali pertama aku dengar dia bersuara. Yang selama ini hanya tahu untuk senyum, dengan aku.
"Al-A'Laa," Aku menjawab dengan yakin.
Dia senyum. Senyum lagi. Dan dia gapai Quran yang ada di hadapan aku. Membetulkan kedudukan Quran yang terbalik. Memang patut pun tak jumpa. Naik merah muka aku, tahan malu. Perlahan-lahan dia bukakan helaian surah yang aku baca.
"Bacalah," dia lantas senyum dan merujuk ke arah Qurannya.
"Aauzubillahhiminasyaitonirrojim..bismillahhirahmannirahhim..." dan aku mula membaca satu persatu dengan bibir yang terketar-ketar, dalam dada yang penuh gundah.
Dari baris ke baris aku bacakan cerita kita
Dengan dengung dan tajwid yang betul
Atas papan rehal kita yang bersatu
Demi sebuah cinta yang Agung
"Jadi pergi tak, kak?" soal adik aku tiba-tiba. Entah dari mana datangnnya. Serta merta mematikan lamunan aku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku lipat kembali kad kahwin tadi.
"Takkan taknak pergi, dah orang jemput," aku bangun dari tempat duduk. Masuk ke bilik air. Aku mahu sembahyang. Mahu lupakan kisah lama, kenangan silam. Mahu ingat tuhan, mengadu pada-NYA. Supaya tuhan kuatkan hati aku. Beri aku kekuatan. Supaya redha semua jodoh pertemuan, adalah kehendak-NYA. Dan mungkin juga DIA bolehkan tolong aku hapuskan kenangan itu.
***
Aku datang berdua dengan Isha. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari kereta. Tersergam di depan mata sebuah banglo dengan deretan kereta di sepanjang jalan.
"Betul ke ni kak?" Adik aku menyoal, minta kepastian. Mungkin dia ragu-ragu, pantas saja kad jemputan itu dibelek semula.
"Betullah," Aku yakinkan dia. Sudah beribu kali aku baca kad jemputan itu sebelum ke mari. Dari tarikh kad jemputan itu dapat ke tangan aku. Dah naik renyuk. Jangankan alamat, setiap butir perkataan dalam kad itu aku boleh bacakan kalau adik aku nak.
Aku langkahkan kaki ke dalam banglo tersebut. Aku tak heran kalau adik aku agak terkejut dengan perubahan keluarga dia. Sudah bertahun kami terpisah. Sejak dari ayahnya terpaksa ditukarkan kerja ke tempat lain. Aku dengar masa itu, ayahnya dinaikkan pangkat. Sejak itulah aku dan dia terputus hubungan. Kalau dulu, kami sama-sama jadi penghuni rumah teres, sekarang dia sudah tinggal di banglo mewah. Kalau dulu rumah kami terpisah hanya dengan sebuah padang bola, sekarang ini jarak rumahnnya sudah berpuluh-puluh kilometer jauh dari rumah aku. Kalau dulu setiap malam aku dan dia akan duduk mengaji bersama-sama, tapi sekarang mungkin dia sudah acap kali khatam. Dan kalau dari dulu aku masih setia, patutkah sekarang aku sedar hakikatnya dia memang milik orang?
"Eh, Kak Intan ke nih?" tiba-tiba seseorang menyapa aku dari belakang. Aku lantas tersenyum. Melihat seorang anak teruna berdiri di hadapanku. Dengan berpakaian baju melayu lengkap. Warna biru muda. Kacak dan segak bergaya. Cukup membuatkan mulut adik aku ternganga. Aku lantas menyinggul Isha yang masih tak berkedip mata.
"Akak la ni. Ingatkan Aizat dah tak kenal lagi," Aku cuma senyum mengusik. Aku tak salahkan dia kalau dia tak kenal aku sekalipun. Sudah lama benar rasanya aku terpisah dengan family ini. Aku sendiri hampir tak kenal wajah anak teruna di depanku ini.
"Ingatkan akak tak datang, masa nak hantar kad tuh, takut juga salah alamat. Takut tak sampai. Akak duduk lagi yer kat taman tu? Lama kan kita tak jumpa, ada dalam belas-belas tahun kot," rancak dia bercerita. Aku turut mengangguk. Berkira-kira sendiri dalam kepala. Aizat masih sama macam dulu. Sama comel masa kami sama-sama membesar dulu. Dia muda setahun dari aku.
"Akak tak pernah pindah ke mana-mana pun, ada jer kat situ. Lama la jugak, ada dalam 13 tahun kot, Aizat pun dah besar, makin handsome sekarang," puji aku membuatkan dia tersipu-sipu malu.
"Ehem-ehem," tiba-tiba Isha menyinggul siku aku. Aku lantas tersenyum. "Ni adik akak, Isha. Aizat tak ingat kot. Dulu dia baru umur 7 tahun, Aizat masa tu tak silap akak, dalam 9 tahun kan. Masa yang Aizat mula pindah tu," Aku cuba mengingati masa-masa dulu. Buka balik kamus hidup aku yang aku dah lama tutup. Yang dari dulu cuba aku koyakkan muka suratnya, tapi tak berjaya.
"Yer, yer. Aizat ingat. Ada kita sama-sama main padang sekali. Kadang-kadang dia menangis bila kalah main polis sentri. Cepat betul kan masa berlalu," teruja benar Aizat bercerita. Adik aku sudah tersipu-sipu malu. Mungkin segan kisah zaman kanak-kanak kami diungkit semula. Kami bertiga ketawa. Sama- sama rindu dengan zaman tom-tom bak.
"Eh, akak makanlah dulu, nanti Aizat datang sembang lagi," senyumnya mempelawa. Minta diri beredar.
"Eh takpe-takpe. Pandai-pandailah akak layan diri, bukan tak biasa," Aku lantas menguntum senyum. Aizat lantas berlalu. Anak teruna itu nampak sibuk melayan tetamu. Al-maklumlah tuan rumah. Tak menang tangan melayan tetamu yang berduyun-duyun hadir. Dari jauh aku nampak kelibat Mak Cik Bibah dan Pak Cik Halim. Mak ayah Aizat. Mak ayah Aizzuddin. mereka sibuk berdiri melayan tetamu yang hadir. Wajah mereka sikit pun tidak berubah, masih seperti kali pertama kami berjumpa, masa berjiran dulu. Cuma kali ini ada kegembiraan yang terpancar di kedua-dua wajah mereka. Mungkin sebab ini kali pertama kenduri kahwin dalam family ini. Atau mungkin juga seronok benar menerima menantu sulung.
Aku ketap bibir, kuatkan hati. Aku langkahkan kaki mengikut Isha yang sudah berada di meja makan. Aku lajukan langkah, cepat-cepat makan, dan boleh beredar balik. Ya Allah, pinjamkan aku sedikit kekuatan!
Usai saja aku dan Isha makan, aku tarik Isha untuk balik ke rumah. Sempat pulak budak tu menghalang.
"Ala kak, jomlah masuk kejap. Kita tengok pelamin," pujuknya menarik aku masuk ke dalam rumah. Yang penuh dengan sanak saudara dan tetamu-tetamu yang hadir. Aku diam sekejap. Mampukah aku melangkah. Tak sanggup rasanya melihat pelamin yang berhias cantik itu bukan untuk aku. Tak cukup lagi kekuatan yang Tuhan pinjamkan untuk aku untuk terima hakikat ini.
"Adik pergilah tengok, akak tunggu sini jer. Malaslah masuk, ramai sangat orang," Aku sengaja bagi alasan.
"Memang la ramai orang, dah nama pun kenduri kahwin. Apalah akak ni," rungut dia sendiri. Aku hanya tersengih. Kantoi. "Akak tunggu jap tau," Isha sudah berlalu hilang dalam celahan-celahan manusia yang ada dalam banglo itu. Aku tahu Isha memang suka tengok pelamin. Setiap kali pergi kenduri kahwin, dia tak pernah miss tengok pelamin. Sebab tu aku tak menghalang. Lantaklah dia nak tengok lama mana pun, aku tak kisah. Cuma kalau nak ajak aku sekali, mungkin kali ini tidak.
"Akak buat apa kat sini, dah makan?" soal Aizat yang datang tiba-tiba. Terkejut aku sekejap.
"Dah-dah. Baru jer, sedap! Ni tunggu Isha nak tengok pelamin," Aku balas dengan senyuman.
"La, napa akak tak masuk sekali? Berdiri kat luar pula dia," Lantas tak semena-mena Aizat tarik aku masuk.
"Eh, takpelah kot. Akak duduk kat luar je," Aku cuba senyum.
Aizat diam memandang aku. "Jom ikut Aizat kejap," Dia tarik tangan aku pergi. Aku yang terpinga-pinga hanya menurut. Aizat tarik aku berjalan ke belakang rumah. Kawasan banglo itu memang luas. Makin aku berjalan dari celah-celah pokok yang merimbun, makin jauh aku tinggalkan banglo itu. Tiba-tiba Aizat berhenti. Ada sebuah taman mini di situ. Dengan landskap yang cantik, ada sebuah kolam beserta sebuah jambatan melalui kolam tersebut. Dan di hujungnya ada sebuah bangku kayu. Terletak di atas rumput carpet. Memang cantik. Sesiapa yang duduk di situ, mesti seronok melihat ikan-ikan yang berenang di dalam kolam, dan terasa deruan angin dari pohon-pohon yang merimbun di situ.
"Akak ingat lagi bangku tu?" tiba-tiba Aizat menyoal. Dia melangkah meninggalkan aku, duduk di bangku itu.
Aku cuma senyum. Mana mungkin aku lupa. Tak pernah sekali pun aku lupa.
****
"Mari sini baca," Abang Eli bersuara memantutkan bacaan aku. Aku pandang keliling, budak-budak lain kebanyakkannya sudah selesai mengaji. Tinggal beberapa budak lain yang masih kusyuk lagi mengaji sendiri. Yang lain masih ada di situ. Duduk bersembang sesama sendiri. Biasalah kanak-kanak macam aku. Sebaya aku. Mana pernah reti berhenti bercakap. Budak baru nak membesar. Macam-macam cerita ada.
"Siapa dulu?" soal dia tepat memandang Abang Eli.
"Dua-dua sekali," arah Abang Eli. Serta merta aku dan dia duduk mengadap Abang Eli. Aku tarik nafas, memulakan bissmillah seiring dengan dia, sama-sama membaca dari mula hingga ke akhir surah. Semua mata tertumpu ke arah aku dan dia. Mungkin heran melihat cara Abang Eli mengajar kami mengaji berbeza dengan mereka. Dan aku tak heran kalau ada yang mengatakan aku dan dia anak emas Abang Eli.
Usai sahaja membaca, aku tutup Quran. Aku angkat dan cium dan pegang rapat ke dada. Dia lantas menghulurkan tangan ke arah Abang Eli. Nak bersalam. Minta berkat. Adab menghormati guru yang mengajar kami. Tanda terima kasih. Dengan wajah berseri Abang Eli sambut tangannya.
"Aku nikahkan dikau Aizzuddin bin Halim dengan Intan bt Hamid dengan mas kahwinnya lima ribu ringgit,tunai," tiba-tiba Abang Eli bersuara. Mengenggam erat tangan dia, membuatkan semua budak-budak lain berhenti bersembang. Semuanya tersengih-sengih memandang aku dan dia.
"Aku terima nikahnya Intan bt Hamid dengan mas kahwinnya lima ribu ringgit tunai," Tak semena-mena dia menyambutnya. Makin terbeliak mata aku. Aku telan air liur. Permainan apakah ini?
"Sah?" Tanya Abang Eli tersengih-sengih. Minta persetujuan ‘saksi-saksi' yang hadir.
"Sah, sah," angguk mereka beramai-ramai. Dengan tersengih-sengih. Aku diam tak terkata. Aku tahu Abang Eli bergurau. Tapi entah kenapa aku jadi malu tak keruan. Pucat lesi wajah aku menahan malu. Makin sakit hati aku melihat budak-budak yang lain, yang rata-ratanya sebaya dengan aku, tersenyum-senyum sesama sendiri. Ada yang ketawa. Riuh rendah rumah itu dengan sorak-gembira budak-budak.
Tiba-tiba dia mengangkat tangan. Membuat gaya macam orang yang berdoa mengangkat kesyukuran. Makin galak budak-budak tu ketawa. Merah padam muka aku menahan malu. Bercampur geram yang mula membuku di dada. Tiada seorang pun yang berpihak di sebelah aku. Aku diam tak terkata. Tak sangka sejauh itu dia bertindak. Terlalu kasar cara dia bergurau. Aku tarik muka masam. Cuba menahan amarah dari meletus. Tak sanggup rasanya terus dipermainkan perasaan aku sebegitu.
Abang Eli hanya ketawa. Mungkin niatnya hanya bergurau. Mungkin fikirnya aku tak akan marah. Abang Eli hulurkan tangan seperti biasa. Kalau malam sebelum-sebelum nya aku akan tunduk bersalam, mencium tangan orang yang mengajar aku ilmu ini tanpa disuruh, tetapi malam ni tanganku jadi kaku. Hati aku jadi keras. Dengan rasa amarah yang amat, aku bangun dan terus keluar. Tanpa ada salam tanda hormat. Tanda ada secalit senyuman. Aku tinggalkan rumah itu dengan penuh perasaan marah. Aku percaya syaitan akan bertepuk gembira melihat kedegilan aku. Biarkan.
Dan aku berlari keluar, mengayuh basikal sekuat hati. Rasa sedih yang teramat. Berjujuran air mata dalam malam pekat, dalam hujan lebat.
****
"Akak!" Tersentak aku disergah begitu. Entah berapa kali agaknya Aizat memanggil aku. Dia pandang aku.
"Akak okay?" Aku nampak kegusaran dari wajahnya. Aku lantas senyum.
"Abang masih simpan ye bangku ni," Aku senyum dan datang duduk menghampiri Aizat.
Dia hanya senyum. Duduk di situ memang mendamaikan. Tiba-tiba rasa tenang.
"Abang tak pernah pun buang. Sejak kami pindah, hari-hari dia duduk di sini. Setiap petang,hampir setiap masa," Aku diam mendengar.
"Abang terlalu sayangkan bangku ni, sampaikan mak dengan ayah pun naik risau. Sejak berpindah tu, abang jadi seorang yang pendiam. Dia tak keluar rumah, tak nak bercampur dengan orang. Setiap masa dia duduk di sini. Kadang-kadang baca buku. Baca tafsir Al-Quran, paling tidak pun duduk di sini, bagi ikan makan," Aku kusyuk mendengar. Tak sangka sampai begitu sekali dia berubah. Tak sangka sampai begitu sekali dia sayangkan bangku ini.
Aku tarik nafas. Serta merta kenangan tadi hadir kembali. Sejak dari peristiwa malam itu aku lansung tak keluar bilik. Esoknya seminggu aku tak datang ke rumah Abang Eli. Seminggu itulah juga aku mengaji dengan ayah di rumah. Beberapa hari kemudiannya, Abang Eli datang ke rumah. Jumpa dengan ayah. Mungkin dia nak jumpa aku, tapi awal-awal lagi aku lari duduk di dalam bilik. Malas keluar, konon-kononnya masih merajuk. Tapi dalam masa yang sama, aku curi-curi dengar perbualan mereka.
Abang Eli sampaikan pesan pada ayah, dia datang meminta maaf atas apa yang berlaku malam itu. Cuma malangnya, tindakannya itu sudah terlambat. Awal-awal lagi aku sudah merengek dengan ayah, minta ditukarkan ke tempat mengaji yang lain. Aku tak nak mengaji dengan Abang Eli lagi. Aku serik. Aku tak suka dipermain-mainkan sebegitu. Aku benci bila dia tersenyum gembira dapat memperbodohkan perasaan aku.
Malam itu, Abang Eli pulang dengan hampa. Mungkin kecewa dengan kedegilanku. Keras kepala kah aku ketika itu? Tak mengapa, kalau itu yang menjamin dan menjaga maruah aku.
Seminggu selepas kejadian itu, di suatu petang, aku duduk di luar bersama Isha. Bermain ‘teng-teng' dengan beberapa kanak-kanak yang sebaya denganku. Tiba-tiba datang segerombolan budak-budak lelaki yang lagi besar. Mungkin tua beberapa tahun saja dari aku. Aku terus berhenti bermain, melihat mereka datang sambil mengangkat sebuah bangku kayu. Bangku kayu itu diletakkan betul-betul di hadapan aku.
"Nah, Abang Eli kasi kat kau," agak kasar suara salah seorang dari mereka. Mungkin mereka tahu apa yang aku buat dengan Abang Eli. Mungkin mereka tak puas hati dengan tindakan aku. Ahh...pedulikan. Mereka bukan pernah tahu perasaan aku.
"Kau ni pentingkan diri tahu," balasnya lagi, terus berlalu meninggalkan aku. Aku hanya diam. Malas melawan. Kata-katanya memang menyakitkan hati, cuma aku degil pekakkan telinga.
Aku pandang bangku kayu ini dengan pandangan yang sepi. Entah mengapa rasa bersalah tiba-tiba. Aku jadi sayu. Rasa betapa bersalahnya aku ketika itu bila mengetahui bangku itu dibuat khas untuk aku. Betapa bodohnya aku bila mempertahankan keegoan yang tak kena tempatnya. Susah payah Abang Eli membuat sendiri bangku kayu itu dengan kudratnya. Hanya semata-mata ingin memujuk aku. Ingin menyejukkan hati seorang kanak-kanak yang berhati batu.
Dan aku dengar, dia buat dua buah. Satu untuk aku. Satu untuk A'ai. Buat anak murid yang paling dia kasih.
Aku cuba tahan air mata ini dari mengalir. Tak sanggup rasanya bila mengingatkan kejadian itu. Aku tak mahu Aizat tahu. Aku tak mahu dia bertambah risau.
"Akak masih simpan lagi bangku abang?" soal Aizat tiba-tiba.
"Hah?" Bangku abang? Aku buat muka pelik, tak paham.
"Akak tak tahu ke, bangku yang kita duduk ni bangku akak, abang tukarkan masa sebelum kami pindah dulu, akak tak tahu ker?" soal Aizat membuatkan aku diam seribu bahasa.
"Erk.." Biar benar..aku mengucap panjang. Sungguh aku tak tahu.
"Tahu.." balas aku lambat. Entah kenapa itu yang keluar dari mulut aku.
"Lama abang tunggu akak, napa akak tak cari abang?" Hah? hal apa pula ni. Aku makin keliru. Makin tak faham maksud Aizat.
"Abang tunggu akak?" terkeluar juga apa yang ada dalam hati aku,
" Ye la..lama abang tunggu. Tapi akak tak cari pun abang. Sebab tu abang patah semangat, dia tak sangka akak dah benci dia. Abang jadi murung semua sebab akak, sampailah Akak Firra datang. Dia yang banyak pulihkan abang. Dia yang-" Aku sudah tak dengar apa yang Aizat cuba terangkan pada aku. Seluruh badan aku bergetar. Terlalu berat kebenaran hakikat yang aku perlu dengar. Makin bercelaru perasaan aku.
Kenapa dia tunggu aku? Walhal selama ini aku yang bertahun-tahun menunggu dia. Aku fikir dia dah lupakan aku, walhal aku yang tak ingat kenangan aku dan dia. Aku yang hancurkan hidup dia, dan sekarang aku juga yang menhancurkan hidup aku. Rasa bersalah membuak-buak. Aku betul-betul tak dapat mengawal perasaan. Dengan sedikit kekuatan, aku berlari sekuat hati meninggalkan Aizat yang terkejut, terpinga-pinga dengan tindakan aku.
"Akak!" jerit Isha yang melihat aku berlari keluar dari banglo itu. Sedikit pun tidak aku peduli dengan panggilannya yang menyuruh aku berhenti berlari. Dari jauh dia mengejar aku yang sudah menghampiri kereta. Aku mahu cepat pulang, aku mahu tinggalkan semua kedukaan ini.
Pokk!
Hampir tersungkur aku di atas jalan tar itu. Di langgar dek orang-orang yang sibuk menyambut pengantin yang baru tiba. "Bangunlah," seseorang datang, mengangkat aku dari celahan orang ramai. Mata kami bertembung.
"A'ai.." Semua mata tertumpu ke arah aku. Tertumpu ke arah kami.
"Intan?" Dia sendiri terkejut melihat kehadiran aku di situ. Hampir menitis mata aku melihat orang yang aku tunggu dari dulu, ada di depan mata. Lepas segala rindu yang aku tahan bertahun lamanya. Cuma bila melihatkan pakaian yang tersarung di badannya, lekas-lekas aku sedar. Semua mata memandang sinis terhadap aku. Dalam juraian air mata, aku lepaskan tangan orang yang ingin aku genggam dari dulu. Aku berlari sekuat hati. Tanpa mempedulikan sedikit pun orang yang memanggil aku dari belakang.
****
Angin petang menyapu bersih wajah aku. Aku duduk bersandar di bangku kayu. Memandang kicauan burung yang setia menghiasi dada langit, bertemankan awan biru. Jauh aku lemparkan pandangan ke padang permainan. Kanak-kanak sibuk berlari ke sana ke mari. Aku tersenyum sendiri. Ingin saja aku menyertai mereka. Sama-sama bergelak ketawa. Hilangkan semua duka. Aku mahu zaman kanak-kanak lagi. Supaya aku boleh betulkan kembali apa yang salah. Akan ku rebut semua peluang yang ada. Aku mahu buang semua ego yang memusnahkan hidup aku selama ini. Aku nak tebus semua kesilapan dulu.
Perlahan-lahan air mata ini menitis lagi. Untuk kesekian kalinya. Kad jemputan kahwin itu aku genggam makin kuat. Makin renyuk, seperti hati aku. Aku usap perlahan-lahan bangku kayu yang aku duduk sekarang. Aku jadi sedih. Jadi pilu bila mengetahui bangku yang aku duduk selama ini sebenarnya bukan milik aku. Sepatutnya memang aku patut gembira, kalau aku tahu bangku kayu ini milik dia. Cuma dah terlambat untuk aku miliki hatinya.
"Kak, tolong ambil bola tu," jerit seorang budak laki tercegat di depan aku. Entah sejak bila dia ada di situ. Serta merta aku pandang dia. Ligat mata aku mencari bola yang di maksudkan. Aku senyum melihat bola itu ada di bawah bangku kayu. Aku lantas tunduk, menggapai bola dari bawah bangku. Tiba-tiba jantungku seakan terhenti. Dalam mata yang penuh digenangi air mata, aku jelas melihat, perkatan yang terukir di bawah papan yang menjadi tempat duduk untuk aku selama ini. Bangku kayu milik dia.
‘Saya suka awak'
:Intan sempena hari lahir kamu
- Tamat -
March 4, 2011 at 12:21 AM
sdih nye.
naper jdi camni??
x best la ending sdih camni.