rss


Masuk hari ini sudah lima hari aku merajuk. Menjeruk rasa. Tapi tak ada siapa yang peduli. Kalau difikirkan, memanglah ini kerja yang membuang masa dan tenagaku sahaja. Tapi aku tidak punya cara lain untuk protes. Aku cuma perempuan. Ah, alasan kuno. Tapi itulah alasan yang dapat aku fikirkan untuk menunjukkan rasional dan kewajaran perbuatanku. Sekurang-kurangnya aku punya alasan.. Hemm..

Aku melihat buku latihan murid di sebelahku yang bertimbun-timbun di atas meja. Semua menuntut kudratku yang empat kerat ini untuk bekerja. Aku meneruskan kerjaku menanda latihan yang tertunda sejak tadi. Sejak aku memikirkan rajukku. Sejak setengah jam tadi..! Buang masa betul aku ni..

Jam terus berdenting. Lima belas minit lagi dua belas tengah malam. Aku harus tidur awal. Takkan aku nak menghadap pelajar dengan muka sembap tak cukup tidur. Rajukku masih ada. Lima hari terpendam membuat hatiku kini sarat dengan rajuk. Air mata tak henti-henti merembes keluar. Tiap malam sebelum tidur sejak lima hari ini itulah rutinku. Menangis, menangis dan menangis. Mungkin kalau ada yang tak faham akan menganggapku gila menyeksa diri. Mujur juga aku dan Hanizah tidur dalam bilik yang berasingan. Kalau tidak tentu malu aku dibuatnya. Tak matang dalam menangani masalah. Pelajar-pelajar kat sekolah itu pun boleh handle masalah macam ni dengan professional. Aku tekup muka dengan bantal. Lepas baca doa tidur, aku menangis lagi..!

Kalau dulu, masa mula bercinta semua pasal aku pun nak diambil tahu. Sakit kah, sihat kah.. Sudah makan kah aku.. Hatta kalau aku buat muka monyok sikit pun dia dah tak tentu arah. Sekarang..?

“Saya ada benda nak cerita kat awak..”

“Erm.. Ceritalah..”

“Awak dah ngantuk ke ni..?”

“A’ah..”

“Kalau macam tu takpe lah.. Awak tidurlah..”

“Awak pun tidurlah sekali.. Tak elok tidur lewat sangat.. Jom kita tidur ek sayang..”

“Okey..”

“Esok jangan lupa cerita tau.. Good night sayang..Sweet dream.. Assalamualaikum..”

“Tak payahlah.. Kalau esok cerita ni dah basi. Good night.. Waalaikumussalam..”

Aku seperti terdengar dia ingin mengatakan sesuatu di hujung talian. Gagang telefon ku letak. Aku malas hendak mendengar apa-apa kata darinya lagi. Aku sudah menerima ucapan selamat malam. Bererti tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Aku cuba bersangka baik. Perniagaannya kini sedang membangun.. Sudah tentu dia sibuk dengan bermacam urusan. Pasti dia penat. Tapi tak boleh..! Aku tetap terasa hati dengan tindakannya. Aku merenung tangan kiriku yang berbalut. Pagi tadi ada pelajar buat hal. Cermin tingkap pecah dan terkena tapak tanganku. Mujur tak dalam. Luka tanganku digam. Kalau dijahit sudah tentu aku terjerit-jerit melihat cangkuk jarum yang tajam. Aku sebenarnya ingin meluah itu padanya. Tapi..? Dan sejak malam itulah aku tidur berendam air mata..

Esoknya aku cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Panggilannya ku jawap seadanya. Hatiku tawar. Paling tidak dapat ku lupa, dia bertanyakan soalan bonus yang seakan satu penumbuk singgah di muka ku.

“Awak betul-betul merajuk ke ni..?”

Arrgh..! Aku menjerit semahunya dalam hati. Takkan aku hendak mengaku yang sekarang aku sedang melancarkan kempen merajukku pada seluruh anggota tubuhku. Hatta bibir ini pun ku larang senyum. Aku diam. Membisu tiada bahasa. Akhirnya aku melontarkan jawapan yang menambah sakit di jiwaku.

“Takde lah.. Buat apa pulak saya nak merajuk..”

“Baguslah kalau awak tak merajuk.. I love you sayang..”

Pagi-pagi lagi aku sudah terpacak depan pejabat am. Lepas punch card,aku menonong ke bilik guru. Terus ke mejaku. Buku latihan semalam yang masih belum ditanda ku siapkan secepatnya. Masa pertama ku pagi ini di kelas empat Harmoni. Takkan aku hendak menanda dalam kelas pulak. Itu adalah pembaziran masa belajar. Dan aku bukan guru yang makan gaji buta. Pen merah ku tutup. Siap jugak akhirnya. Lima belas minit lagi loceng akan dibunyikan. Dalam masa lima belas minit itu aku membiarkan fikiranku menerawang lagi.. Menyakitkan hatiku lagi..

Kelmarin, pagi-pagi lagi aku sudah menitiskan air mataku.. Membazir lagi.. Cikgu Zainab dan Ustazah Rukiah sedang sibuk berbincang mengenai kain cadar yang mereka tempah tempoh hari.

“Cantikkan Su..?”

Ustazah Rukiah menunjukkan padaku kain cadar yang dibelinya.

Aku mengangguk lemah. Senyuman nipis terukir di bibirku. Meskipun aku sedang bersedih, tapi anggukan dan senyuman ku tadi benar-benar ikhlas. Tak palsu. Tak pura-pura.

“Rugi akak tak pilih yang tu kan Su.. Cantik. Dapat percuma cadar untuk single bed pulak tu..”

Cikgu Zainab menyuarakan kekesalannya padaku.. Aku cuma tersenyum. No komen. Ustazah Rukiah tersengih-sengih.

Aku mengeluarkan komputer ribaku. Berpura-pura sibuk. Aku ingin melayan perasaanku yang terguris. Masih belum ada ubatnya. Hanizah belum sampai lagi. Cikgu Hanizah adalah temanku sejak di universiti lagi. Pagi-pagi begini senang sekali perasaanku terusik. Lebih-lebih lagi tanpa teman di sisi.

Sudahnya, air mata bergenang di tubir mataku. Aku mengusap dadaku. Perit. Menahan tangis itu sememangnya amat perit. Sakit. Seakan segumpal kapuk kapas sedang disumbat seganas-ganasnya di saluran trakea ku.. Sesak.

Loceng berbunyi sekeras-kerasnya. Menandakan masa untukku melangkah masuk ke kelas empat Harmoni. Aku mengangkat punggung.. Longlai. Ku kerling meja di sisiku. Hanizah masih belum kelihatan di mana-mana. tapi itu bukan masalah padanya. Punch cardnya tidak pernah merah. Maklumlah, pagi-pagi lagi Cikgu Asmed guru muzik sawo matang yang berambut ikal itu sudah punchkan untuk Hanizah.

Aku sebenarnya sebal dengan tindakan mereka. Tidak seharusnya tabiat begitu diamalkan para guru. Menjadi guru bererti sudah bersumpah setia kepada negara akan mendidik anak bangsa dengan jujur dan amanah. Sikap begitu terang-terangan menunjukkan sikap tidak professional dan tidak amanah dalam kalangan guru.. Kalau nazir datang baru kelam kabut tunjuk sikap professional. Semua kerja siap tepat pada masanya. Tiada masa yang terbuang.

Aku masih ingat ketika Asmed masuk ke dalam kelas Hanizah sambil marah-marah. Semua murid di dalam kelas disuruhnya tunduk. Siapa yang mendongak bakal terkena maki hamunnya. Aku yang memandang dari kelas sebelah hanya mencebik geram. Hanizah juga ku lihat tunduk. Aku tak tahu sama ada dia tunduk malu atau tunduk menangis. Aku malas hendak ambil tahu. Aku sudah jelak dengan kontrovesi yang sering mereka timbulkan.

Jadi,. Menurutku, guru tidak boleh mempunyai masalah peribadi yang berkaitan dengan cinta? Begitu? Seperti aku sekarang ini?

Aku mencapai rotan di atas meja Hanizah. Aku tidak pernah merotan sebelum ini. Meninggikan suara pun tidak pernah. Jadi, apa yang akanku lakukan dengan rotan in? Aku menonong ke kelas empat Harmoni.

Seperti biasa, mereka berdiri hormat ketika ketibaanku. Setelah itu mereka akan berdiri tegak membaca doa. Aku selalu pesan begitu. Meminta sesuatu kenalah sesuai dengan caranya. Bersungguh-sungguh. Bukankah doa itu permintaan pada Tuhan agar dicelikkan pemikiran?

Lama aku diam.. Sehinggalah aku dengar suara-suara yang tidak sabar-sabar hendak duduk. Aku tersentak. Laa.. Aku mengelamun lagi..

“Duduk semua..” Kata ku. Aku juga duduk.

“Arsyad, kamu agihkan buku-buku ini.”

Arsyad ketua darjah itu tergesa-gesa berdiri menjalankan tugasnya. Aku bercongak-congak. Selalunya aku sudah bersedia dengan pengaranku. Dengan suaraku yang lantang dan kata-kataku yang pedas merobek telinga. Tapi pagi ini hatiku seakan berada di tempat lain. Seperti bukan dalam diriku. Bahkan kerja Anita yang banyak kesalahan itu pun tidak ku tegur seperti selalunya. Ku pinta mereka membuka halaman 123..

“Buat nota.. Lukis gambar rajah.” Kataku ringkas. Tidak seperti selalunya aku yang penuh dengan celoteh dan leteranku.

Murid-muridku tekun membuat nota. Ada juga yang berbisik-bisik sesama mereka. Aku yakin mentaliti kanak-kanak sepuluh tahun mereka belum dapat menangkap gelodak perasaanku. Aku membiarkan mereka dengan bisikan-bisikan mereka. Aku membiarkan diriku terkurung dalam kotak hitam tanpa daya usaha untuk lepas darinya.

Bisikan yang berdesas-desus kini makin berdesing di telingaku. Bising! Aku mengetap bibir.. Rotan ku capai. Hatiku yang remuk tidak bisa menahan hiruk-pikuk yang sama sekali tidak menenangkan jiwaku ini.

PRANG!! Aku hanya merotan meja yang berdekatan. Biar bergema satu kelas. Biar mereka terkejut sebentar. Diam! Aku guru kamu masih ada di hadapan. Apa kamu tidak melihat?! Itu lah mesej yang cuba aku sampaikan. Entahkan sampai entahkan tidak. Yang penting, aku hanya dengar bunyi kipas siling yang ligat berpusing. Mujur sahaja tidak ada pesakit jantung dalam kelas ini.

Aku beristighfar dalam hati. Kemudian aku duduk.

“Sambung kerja kamu. Kali ini gunakan tangan sahaja. Jangan gunakan mulut kamu yang becok itu..”

Kelas diam semula. Masing-masing mulai tekun membuat nota.

Balik rumah adalah saat yang ku tunggu. Flat guru yang aku diami ini meskipun tidaklah sebesar mana tetapi cukuplah untuk memberikan keselesaan kepadaku. Usai solat Zuhur, aku bermalas-malas di depan televisyen. Hanizah keluar dengan Asmed. Aku bersyukur hujung tahun ini mereka akan melangsungkan perkahwinan. Tidak wujudlah lagi amarah Asmed seperti dulu gara-gara cemburu. Tapi siapa yang akan menemani aku di rumah ini? Persoalan yang ku tangguh-tangguh. Hujung tahun masih jauh.. Aku pesan nasi ayam pada Hanizah. Mudah-mudahan saja dia cepat pulang. Tidak ada benda yang boleh ku kunyah-kunyah di dapur itu. Perutku pula sudah memulas lapar..

Menurutku, masalah peribadi bukan untuk dibawa ke sekolah. Ya, itulah yang sebenarnya. Murid-murid bukan mangsa masalah peribadi guru. Guru adalah pendidik anak bangsa. Harus sentiasa professional dalam mendedikasikan khidmatnya.

Telefonku berdering. Panggilan yang ku tunggu akhirnya tiba jua.

“Hello.. Assalamualaikum..”

Aku bersuara malas.

“Waalaikumussalam.. Awak okey ke ni?”

Aku nekad. Aku tidak mahu lagi dipergula-gulakan oleh perasaan. Kali ini apa yang jadi, terjadilah. Aku tidak akan menoleh ke belakang lagi.

“Saya dah bosan dengan awak. Awak dah tak sayang saya lagi. Awak dah berubah. Awak dah tak macam dulu..”

Aku berjeda. Air mata yang mengalir deras di pipi ku usap.

“Sayang... Awak cakap apa ni..”

“Awak dengar kan apa yang saya cakap. Jelas di pendengaran awak. Saya tak mahu menunggu awak yang semakin hari semakin berubah. Semakin hari semakin kurang sayang awak pada saya.. Hubungan kita sampai di sini saja. Awak carilah perempuan yang lebih baik dari saya. Assalamualaikum..”

Gagang telefon ku letak. Hatiku puas. Tetapi sakit. Entah mengapa.. Ah, dunia belum berakhir.. Aku boleh terus hidup tanpanya..

Dua tahun kemudian, aku menerima sepucuk surat. Kemas dan ringkas tulisannya. Dia menjemput aku ke majlis persandingannya. Seakan direnggut hebat jantungku. Begitu payahnya aku menggantikan tempatnya dihatiku.. Dia sudah mendapat penggantiku dalam masa dua tahun..? Setelah lima tahun kami menganyam cinta..? Air mataku tumpah lagi. Begitu murah sekali ku rasakan air mata ini untuknya..

Mana mungkin aku menghadiri perkahwinan insan yang paling ku cintai.. Sesuatu yang sangat mustahil untuk aku lakukan. Melihat perempuan lain bermesraan dengannya di atas pelamin. Mencium dengan penuh kasih tangannya. Arrgh..! Sungguh aku masih sayang padanya..

Mukaku ku lencun. Basah dengan air mata. Sembap. Aku ambil cuti sakit. Kenyataaan itu sungguh perit untuk ku telan. Dia bakal berkahwin..! Bukan dengan aku. Dia bakal menjadi hak milik mutlak isterinya. Diikat ikatan suci yang tak mungkin aku leraikan. Biarlah aku berehat dengan hatiku yang sudah benar-benar remuk..

“Irah..! Irah..! Bangun..! Kenapa dengan kau ni..?”

Aku melihat Hanizah di sisiku. Tubuh kurusnya ku peluk erat. Hatiku remuk. Sakit yang tidak ada ubatnya. Bahuku terhinjut-hinjut. Laju. Air mataku mengalir sederasnya. Pilu..

“Is nak kahwin Nizah.. Is dah tinggalkan aku terus..”

Aku masih teresak-esak. Mana mungkin aku berhenti menangis. Aku benar-benar sakit hati..!

“Ya Allah Irah.. Istigfar banyak-banyak.. Kau mengigau ni sayang..”

Hanizah mengusap bahuku.. Aku terkedu. Mengigau..? Biar betul..?

“Tengok.. Ni nasi ayam yang kau pesan tadi..”

Hanizah menyuakan sebungkus nasi ayam kepada ku.. Aku mengerling jam di dinding.

Ya Allah..! Dah jam empat petang..? Betullah aku mengigau.. Aku mengusap-usap dadaku. Inilah padahnya tidur petang.. Aku kerling telefon bimbit. 41 panggilan tak dijawab..? Is..?

Mesej yang baru dihantarnya ku buka.

‘Sayang.. Kenapa awak tak angkat bila saya call.. Saya ada buat salah ke.. Saya minta maaf kalau saya ada sakitkan hati awak tapi saya tak sedar.. I love you sayang.. Janganlah buat saya risau..’

Aku mengesat air mata. Hanizah di sisi terpinga-pinga.

“Patutlah seminggu ni muka semacam je aku tengok.. Macam ayam berak kapur. Cikgu Sains kita ni pun ada masalah cinta rupanya.. Ada penjelasan saintifik ke cikgu..?”

Hanizah tersengih-sengih. Macam kerang busuk.. Aku cuma tersenyum kambing. Malas hendak menjaja kisah peribadiku. Aku mengangkat punggung menuju bilik air. Selesai solat asar nanti aku ingin menjernihkan segala kekeruhan.. Hatiku berbunga riang.. Ternyata Is masih sayang padaku..

Inikah cinta..? Menyakitkan dan penuh dengan beban.. Tetapi manusia sukar untuk menolak tarikannya.. Beban perasaan yang indah untuk dipikul.. Adakalanya, ada hal yang Sains pun tak ada jawapannya.. Aku bernyanyi kecil meninggalkan Hanizah yang maih terpinga-pinga di ruang tamu..

1 comments:

  1. ceritanya menjelaskan tajuk dengan begitu jelas sekali ;)

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini