Masuk hari ini sudah
lima hari aku merajuk. Menjeruk rasa. Tapi tak ada siapa yang peduli. Kalau
difikirkan, memanglah ini kerja yang membuang masa dan tenagaku sahaja. Tapi
aku tidak punya cara lain untuk protes. Aku cuma perempuan. Ah, alasan kuno.
Tapi itulah alasan yang dapat aku fikirkan untuk menunjukkan rasional dan
kewajaran perbuatanku. Sekurang-kurangnya aku punya alasan.. Hemm..
Aku melihat buku
latihan murid di sebelahku yang bertimbun-timbun di atas meja. Semua menuntut
kudratku yang empat kerat ini untuk bekerja. Aku meneruskan kerjaku menanda
latihan yang tertunda sejak tadi. Sejak aku memikirkan rajukku. Sejak setengah
jam tadi..! Buang masa betul aku ni..
Jam terus berdenting.
Lima belas minit lagi dua belas tengah malam. Aku harus tidur awal. Takkan aku
nak menghadap pelajar dengan muka sembap tak cukup tidur. Rajukku masih ada.
Lima hari terpendam membuat hatiku kini sarat dengan rajuk. Air mata tak
henti-henti merembes keluar. Tiap malam sebelum tidur sejak lima hari ini
itulah rutinku. Menangis, menangis dan menangis. Mungkin kalau ada yang tak
faham akan menganggapku gila menyeksa diri. Mujur juga aku dan Hanizah tidur
dalam bilik yang berasingan. Kalau tidak tentu malu aku dibuatnya. Tak matang
dalam menangani masalah. Pelajar-pelajar kat sekolah itu pun boleh handle
masalah macam ni dengan professional. Aku tekup muka dengan bantal. Lepas baca
doa tidur, aku menangis lagi..!
Kalau dulu, masa mula
bercinta semua pasal aku pun nak diambil tahu. Sakit kah, sihat kah.. Sudah
makan kah aku.. Hatta kalau aku buat muka monyok sikit pun dia dah tak tentu
arah. Sekarang..?
“Saya ada benda nak
cerita kat awak..”
“Erm.. Ceritalah..”
“Awak dah ngantuk ke
ni..?”
“A’ah..”
“Kalau macam tu takpe
lah.. Awak tidurlah..”
“Awak pun tidurlah
sekali.. Tak elok tidur lewat sangat.. Jom kita tidur ek sayang..”
“Okey..”
“Esok jangan lupa
cerita tau.. Good night sayang..Sweet dream.. Assalamualaikum..”
“Tak payahlah.. Kalau
esok cerita ni dah basi. Good night.. Waalaikumussalam..”
Aku seperti terdengar
dia ingin mengatakan sesuatu di hujung talian. Gagang telefon ku letak. Aku
malas hendak mendengar apa-apa kata darinya lagi. Aku sudah menerima ucapan
selamat malam. Bererti tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Aku cuba
bersangka baik. Perniagaannya kini sedang membangun.. Sudah tentu dia sibuk
dengan bermacam urusan. Pasti dia penat. Tapi tak boleh..! Aku tetap terasa hati
dengan tindakannya. Aku merenung tangan kiriku yang berbalut. Pagi tadi ada
pelajar buat hal. Cermin tingkap pecah dan terkena tapak tanganku. Mujur tak
dalam. Luka tanganku digam. Kalau dijahit sudah tentu aku terjerit-jerit
melihat cangkuk jarum yang tajam. Aku sebenarnya ingin meluah itu padanya.
Tapi..? Dan sejak malam itulah aku tidur berendam air mata..
Esoknya aku cuba
berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Panggilannya ku jawap seadanya. Hatiku
tawar. Paling tidak dapat ku lupa, dia bertanyakan soalan bonus yang seakan
satu penumbuk singgah di muka ku.
“Awak betul-betul
merajuk ke ni..?”
Arrgh..! Aku menjerit
semahunya dalam hati. Takkan aku hendak mengaku yang sekarang aku sedang
melancarkan kempen merajukku pada seluruh anggota tubuhku. Hatta bibir ini pun
ku larang senyum. Aku diam. Membisu tiada bahasa. Akhirnya aku melontarkan
jawapan yang menambah sakit di jiwaku.
“Takde lah.. Buat apa
pulak saya nak merajuk..”
“Baguslah kalau awak
tak merajuk.. I love you sayang..”
Pagi-pagi lagi aku
sudah terpacak depan pejabat am. Lepas punch card,aku menonong ke bilik guru.
Terus ke mejaku. Buku latihan semalam yang masih belum ditanda ku siapkan
secepatnya. Masa pertama ku pagi ini di kelas empat Harmoni. Takkan aku hendak
menanda dalam kelas pulak. Itu adalah pembaziran masa belajar. Dan aku bukan
guru yang makan gaji buta. Pen merah ku tutup. Siap jugak akhirnya. Lima belas
minit lagi loceng akan dibunyikan. Dalam masa lima belas minit itu aku
membiarkan fikiranku menerawang lagi.. Menyakitkan hatiku lagi..
Kelmarin, pagi-pagi
lagi aku sudah menitiskan air mataku.. Membazir lagi.. Cikgu Zainab dan Ustazah
Rukiah sedang sibuk berbincang mengenai kain cadar yang mereka tempah tempoh
hari.
“Cantikkan Su..?”
Ustazah Rukiah menunjukkan
padaku kain cadar yang dibelinya.
Aku mengangguk lemah.
Senyuman nipis terukir di bibirku. Meskipun aku sedang bersedih, tapi anggukan
dan senyuman ku tadi benar-benar ikhlas. Tak palsu. Tak pura-pura.
“Rugi akak tak pilih
yang tu kan Su.. Cantik. Dapat percuma cadar untuk single bed pulak tu..”
Cikgu Zainab
menyuarakan kekesalannya padaku.. Aku cuma tersenyum. No komen. Ustazah Rukiah
tersengih-sengih.
Aku mengeluarkan
komputer ribaku. Berpura-pura sibuk. Aku ingin melayan perasaanku yang terguris.
Masih belum ada ubatnya. Hanizah belum sampai lagi. Cikgu Hanizah adalah
temanku sejak di universiti lagi. Pagi-pagi begini senang sekali perasaanku
terusik. Lebih-lebih lagi tanpa teman di sisi.
Sudahnya, air mata
bergenang di tubir mataku. Aku mengusap dadaku. Perit. Menahan tangis itu
sememangnya amat perit. Sakit. Seakan segumpal kapuk kapas sedang disumbat
seganas-ganasnya di saluran trakea ku.. Sesak.
Loceng berbunyi
sekeras-kerasnya. Menandakan masa untukku melangkah masuk ke kelas empat
Harmoni. Aku mengangkat punggung.. Longlai. Ku kerling meja di sisiku. Hanizah
masih belum kelihatan di mana-mana. tapi itu bukan masalah padanya. Punch
cardnya tidak pernah merah. Maklumlah, pagi-pagi lagi Cikgu Asmed guru muzik
sawo matang yang berambut ikal itu sudah punchkan untuk Hanizah.
Aku sebenarnya sebal
dengan tindakan mereka. Tidak seharusnya tabiat begitu diamalkan para guru.
Menjadi guru bererti sudah bersumpah setia kepada negara akan mendidik anak
bangsa dengan jujur dan amanah. Sikap begitu terang-terangan menunjukkan sikap
tidak professional dan tidak amanah dalam kalangan guru.. Kalau nazir datang
baru kelam kabut tunjuk sikap professional. Semua kerja siap tepat pada
masanya. Tiada masa yang terbuang.
Aku masih ingat ketika
Asmed masuk ke dalam kelas Hanizah sambil marah-marah. Semua murid di dalam
kelas disuruhnya tunduk. Siapa yang mendongak bakal terkena maki hamunnya. Aku
yang memandang dari kelas sebelah hanya mencebik geram. Hanizah juga ku lihat
tunduk. Aku tak tahu sama ada dia tunduk malu atau tunduk menangis. Aku malas
hendak ambil tahu. Aku sudah jelak dengan kontrovesi yang sering mereka
timbulkan.
Jadi,. Menurutku, guru
tidak boleh mempunyai masalah peribadi yang berkaitan dengan cinta? Begitu?
Seperti aku sekarang ini?
Aku mencapai rotan di
atas meja Hanizah. Aku tidak pernah merotan sebelum ini. Meninggikan suara pun
tidak pernah. Jadi, apa yang akanku lakukan dengan rotan in? Aku menonong ke
kelas empat Harmoni.
Seperti biasa, mereka
berdiri hormat ketika ketibaanku. Setelah itu mereka akan berdiri tegak membaca
doa. Aku selalu pesan begitu. Meminta sesuatu kenalah sesuai dengan caranya.
Bersungguh-sungguh. Bukankah doa itu permintaan pada Tuhan agar dicelikkan pemikiran?
Lama aku diam..
Sehinggalah aku dengar suara-suara yang tidak sabar-sabar hendak duduk. Aku
tersentak. Laa.. Aku mengelamun lagi..
“Duduk semua..” Kata
ku. Aku juga duduk.
“Arsyad, kamu agihkan
buku-buku ini.”
Arsyad ketua darjah itu
tergesa-gesa berdiri menjalankan tugasnya. Aku bercongak-congak. Selalunya aku
sudah bersedia dengan pengaranku. Dengan suaraku yang lantang dan kata-kataku
yang pedas merobek telinga. Tapi pagi ini hatiku seakan berada di tempat lain.
Seperti bukan dalam diriku. Bahkan kerja Anita yang banyak kesalahan itu pun
tidak ku tegur seperti selalunya. Ku pinta mereka membuka halaman 123..
“Buat nota.. Lukis
gambar rajah.” Kataku ringkas. Tidak seperti selalunya aku yang penuh dengan
celoteh dan leteranku.
Murid-muridku tekun
membuat nota. Ada juga yang berbisik-bisik sesama mereka. Aku yakin mentaliti
kanak-kanak sepuluh tahun mereka belum dapat menangkap gelodak perasaanku. Aku
membiarkan mereka dengan bisikan-bisikan mereka. Aku membiarkan diriku
terkurung dalam kotak hitam tanpa daya usaha untuk lepas darinya.
Bisikan yang
berdesas-desus kini makin berdesing di telingaku. Bising! Aku mengetap bibir..
Rotan ku capai. Hatiku yang remuk tidak bisa menahan hiruk-pikuk yang sama
sekali tidak menenangkan jiwaku ini.
PRANG!! Aku hanya
merotan meja yang berdekatan. Biar bergema satu kelas. Biar mereka terkejut
sebentar. Diam! Aku guru kamu masih ada di hadapan. Apa kamu tidak melihat?!
Itu lah mesej yang cuba aku sampaikan. Entahkan sampai entahkan tidak. Yang
penting, aku hanya dengar bunyi kipas siling yang ligat berpusing. Mujur sahaja
tidak ada pesakit jantung dalam kelas ini.
Aku beristighfar dalam
hati. Kemudian aku duduk.
“Sambung kerja kamu.
Kali ini gunakan tangan sahaja. Jangan gunakan mulut kamu yang becok itu..”
Kelas diam semula.
Masing-masing mulai tekun membuat nota.
Balik rumah adalah saat
yang ku tunggu. Flat guru yang aku diami ini meskipun tidaklah sebesar mana
tetapi cukuplah untuk memberikan keselesaan kepadaku. Usai solat Zuhur, aku
bermalas-malas di depan televisyen. Hanizah keluar dengan Asmed. Aku bersyukur
hujung tahun ini mereka akan melangsungkan perkahwinan. Tidak wujudlah lagi
amarah Asmed seperti dulu gara-gara cemburu. Tapi siapa yang akan menemani aku
di rumah ini? Persoalan yang ku tangguh-tangguh. Hujung tahun masih jauh.. Aku
pesan nasi ayam pada Hanizah. Mudah-mudahan saja dia cepat pulang. Tidak ada
benda yang boleh ku kunyah-kunyah di dapur itu. Perutku pula sudah memulas
lapar..
Menurutku, masalah
peribadi bukan untuk dibawa ke sekolah. Ya, itulah yang sebenarnya. Murid-murid
bukan mangsa masalah peribadi guru. Guru adalah pendidik anak bangsa. Harus
sentiasa professional dalam mendedikasikan khidmatnya.
Telefonku berdering.
Panggilan yang ku tunggu akhirnya tiba jua.
“Hello..
Assalamualaikum..”
Aku bersuara malas.
“Waalaikumussalam..
Awak okey ke ni?”
Aku nekad. Aku tidak
mahu lagi dipergula-gulakan oleh perasaan. Kali ini apa yang jadi, terjadilah.
Aku tidak akan menoleh ke belakang lagi.
“Saya dah bosan dengan
awak. Awak dah tak sayang saya lagi. Awak dah berubah. Awak dah tak macam
dulu..”
Aku berjeda. Air mata
yang mengalir deras di pipi ku usap.
“Sayang... Awak cakap
apa ni..”
“Awak dengar kan apa
yang saya cakap. Jelas di pendengaran awak. Saya tak mahu menunggu awak yang
semakin hari semakin berubah. Semakin hari semakin kurang sayang awak pada
saya.. Hubungan kita sampai di sini saja. Awak carilah perempuan yang lebih
baik dari saya. Assalamualaikum..”
Gagang telefon ku
letak. Hatiku puas. Tetapi sakit. Entah mengapa.. Ah, dunia belum berakhir..
Aku boleh terus hidup tanpanya..
Dua tahun kemudian, aku
menerima sepucuk surat. Kemas dan ringkas tulisannya. Dia menjemput aku ke
majlis persandingannya. Seakan direnggut hebat jantungku. Begitu payahnya aku
menggantikan tempatnya dihatiku.. Dia sudah mendapat penggantiku dalam masa dua
tahun..? Setelah lima tahun kami menganyam cinta..? Air mataku tumpah lagi.
Begitu murah sekali ku rasakan air mata ini untuknya..
Mana mungkin aku
menghadiri perkahwinan insan yang paling ku cintai.. Sesuatu yang sangat
mustahil untuk aku lakukan. Melihat perempuan lain bermesraan dengannya di atas
pelamin. Mencium dengan penuh kasih tangannya. Arrgh..! Sungguh aku masih
sayang padanya..
Mukaku ku lencun. Basah
dengan air mata. Sembap. Aku ambil cuti sakit. Kenyataaan itu sungguh perit
untuk ku telan. Dia bakal berkahwin..! Bukan dengan aku. Dia bakal menjadi hak
milik mutlak isterinya. Diikat ikatan suci yang tak mungkin aku leraikan.
Biarlah aku berehat dengan hatiku yang sudah benar-benar remuk..
“Irah..! Irah..!
Bangun..! Kenapa dengan kau ni..?”
Aku melihat Hanizah di
sisiku. Tubuh kurusnya ku peluk erat. Hatiku remuk. Sakit yang tidak ada
ubatnya. Bahuku terhinjut-hinjut. Laju. Air mataku mengalir sederasnya. Pilu..
“Is nak kahwin Nizah..
Is dah tinggalkan aku terus..”
Aku masih teresak-esak.
Mana mungkin aku berhenti menangis. Aku benar-benar sakit hati..!
“Ya Allah Irah..
Istigfar banyak-banyak.. Kau mengigau ni sayang..”
Hanizah mengusap
bahuku.. Aku terkedu. Mengigau..? Biar betul..?
“Tengok.. Ni nasi ayam
yang kau pesan tadi..”
Hanizah menyuakan
sebungkus nasi ayam kepada ku.. Aku mengerling jam di dinding.
Ya Allah..! Dah jam
empat petang..? Betullah aku mengigau.. Aku mengusap-usap dadaku. Inilah
padahnya tidur petang.. Aku kerling telefon bimbit. 41 panggilan tak dijawab..?
Is..?
Mesej yang baru
dihantarnya ku buka.
‘Sayang.. Kenapa awak
tak angkat bila saya call.. Saya ada buat salah ke.. Saya minta maaf kalau saya
ada sakitkan hati awak tapi saya tak sedar.. I love you sayang.. Janganlah buat
saya risau..’
Aku mengesat air mata.
Hanizah di sisi terpinga-pinga.
“Patutlah seminggu ni
muka semacam je aku tengok.. Macam ayam berak kapur. Cikgu Sains kita ni pun
ada masalah cinta rupanya.. Ada penjelasan saintifik ke cikgu..?”
Hanizah
tersengih-sengih. Macam kerang busuk.. Aku cuma tersenyum kambing. Malas hendak
menjaja kisah peribadiku. Aku mengangkat punggung menuju bilik air. Selesai
solat asar nanti aku ingin menjernihkan segala kekeruhan.. Hatiku berbunga
riang.. Ternyata Is masih sayang padaku..
Inikah cinta..?
Menyakitkan dan penuh dengan beban.. Tetapi manusia sukar untuk menolak
tarikannya.. Beban perasaan yang indah untuk dipikul.. Adakalanya, ada hal yang
Sains pun tak ada jawapannya.. Aku bernyanyi kecil meninggalkan Hanizah yang
maih terpinga-pinga di ruang tamu..
August 28, 2014 at 11:08 AM
ceritanya menjelaskan tajuk dengan begitu jelas sekali ;)