rss


AKU senyum sendiri. Tak sangka dalam Kampung Kelapa Tua ni adanya sekuntum bunga mekar yang cantik. Selama aku hidup dua puluh lima tahun, inilah kali pertama aku berjumpa dengan seorang gadis cantik bak bidadari. Terserempak gadis itu berjalan terkedek-kedek dengan sebuah bakul buah di tangan kiri dan payung di tangan kanan. Entah apa mimpi gadis itu, berpayung malam-malam begitu. Namun dia tetap manis dan sopan dengan baju kebaya dan berkain batik sutera. Mat Kepoh, kawan sekolah aku dulu yang becok mulutnya juga turut terlopong melihat lenggok gadis itu berjalan. Tidak pasti di mana rumah gadis manis itu. Aku dan Mat Kepoh hanya pandang tidak berkelip. Tidak berani menegur walaupun gadis itu melemparkan senyuman manis kepada kami berdua tika itu. Dua minggu aku di kampung kerana bercuti semester, hanya beberapa kali terserempak dengan gadis itu. Namun satu yang pasti, gadis itu berjalan menuju ke arah hujung kampung. Mungkin rumahnya di situ. Agaknyalah.

Malam nanti aku kena ke rumah Wak Leman. Ada jemputan kenduri kesyukuran. Aku terima jemputan itu kerana aku ingin sangat tahu di mana rumah gadis manis itu. Setahu aku Wak Leman tu tinggal seorang diri di rumah tu di hujung kampung. Hampir dengan tepi hutan dara. Dengarnya hutan itu tidak pernah diteroka sebab itulah orang kampung panggil hutan dara. Aku dengan senang hati menerima jemputan Wak Leman. Tidak ramai yang datang kerana Wak Leman sendiri tidak suka bergaul dengan orang kampung. Tambahan pula Wak Leman bukannya asal kampung Kelapa Tua. Dia seorang perantau dari Acheh. Jadi tidak mustahillah penduduk kampung tidak begitu mesra dengannya. Entah kenapa, aku yang jarang-jarang ada di kampung ni pula yang dijemputnya. Ah! Bukan jemputan Wak leman yang aku ambil kisah tapi gadis manis itu yang menjadi agenda aku sebenarnya.

Aku menapak ke dalam rumah besar bertangga batu, sebiji macam rumah orang Melaka. Aku lihat sekitar rumah. Banyak perhiasan antik disusun cantik di ruang tamu. Set kerusi rotan pula elok diletak di tengah rumah mengadap jendela kayu. Tidak ubah seperti rumah lama-lama macam dalam cerita Semerah Padi. Aku mula bersalam dengan tetamu yang hadir. Masing-masing bersila di atas tikar mengkuang. Aku pula tak jadi nak duduk atas kerusi rotan. Terpaksalah bersila sama. Nanti orang ingat aku tak hormat orang tua pula. Maklumlah dari pemerhatian aku, aku seorang saja yang muda di situ.

"Silalah makan!" Wak Leman datang membawa dulang air kopi panas bersama dengan pulut kuning dan sambal kelapa. Ada sepiring kulat sisir yang digoreng turut dihidang bersama pulut kuning.

Aku pandang pulut kuning yang dibuat bulat-bulat atas pinggan. Gulp! Aku menelan liur. Tak pernah aku tengok pulut kuning dikepal bulat-bulat sebegitu rupa. Cukup-cukup untuk lapan tetamu termasuk aku. Selalunya pulut kuning dibubuh dalam mangkuk dan terpulang kepada tetamu untuk mengambilnya banyak mana. Sambal kelapa pula dibubuh dalam mangkuk. Hanya satu piring. Kenduri apa macam ni? Dahlah dari pagi aku tak makan. Gulp..sekali lagi aku menelan liur. Tangan kiri mula menekan perut. Nampaknya aku kena makan nasi lemak sambal kerang Limah Janda di kedai makan tepi jalan masuk kampung.

"Err..pakcik..ni je ke makanan yang ada?" Aku berbisik ke telinga seorang pakcik yang duduk di sebelah aku.

Pakcik itu hanya mengangkat bahu. Para tetamu mula menjamah pulut kuning yang dicecah dengan sambal kelapa dan kulat sisir goreng. Aku hanya melihat. Pulut kuning bukan makanan kegemaran aku. Wak Leman turut menikmati pulut kuning dan air kopi panas bersama tetamu. Aku pula melilau mata memerhati sekitar rumah. Mana tahu gadis manis yang aku jumpa itu ada di situ. Mana tahu gadis manis itu nyata anak Wak Leman. Maka tidak sia-sia aku menyahut jemputan Wak Leman. Aku meneguk kopi panas perlahan-lahan sedang mata liar memandang sekeliling. Kedengaran suara tetamu berbual dengan Wak Leman berselang seli dengan suara burung hantu.

"Wak..boleh tanya sikit?"

Aku memasang telinga mendengar salah seorang tetamu bertanya sesuatu kepada Wak Leman.

"Apa dia?" Wak Leman mula mengambil sireh dan menenyeh sedikit kapur dan pinang ke atas daun sireh sebelum mengunyah.

"Wak buat kenduri kesyukuran ni untuk apa?"

Wak Leman senyum lebar. Tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya. Aku pandang Wak Leman tidak berkelip. Mulut Wak Leman sudah kemerahan dek air sireh. Seketika kemudian dia mula meludah. Setompok air merah melekat dalam tempurung kelapa yang sememangnya sudah dijadikan tempat meludah air sireh. Kali ini Wak Leman kembali sengih. Giginya sudah kemerahan.

"Oh..lupa nak bagi tahu. Sebenarnya kenduri ni sempena kedatangan orang baru dalam rumah ni. Yalah...sudah dua puluh tahun saya sendiri. Tak sangka bertemu jodoh di usia tua macam ni." Sengih Wak Leman semakin lebar.

"Err...maksud Wak...Wak dah beristeri?" celah seorang lagi tetamu.

Aku masih memandang Wak Leman tidak beralih arah mata.

Wak Leman angguk. Sekeping lagi daun sireh disapu kapur dan pinang. Disumbat ke dalam mulut dan ditenyeh-tenyeh. Dalam aku memerhati orang tua itu, aku agak mungkin umurnya dalam enam puluhan.

"Wah! Tak sangka sembilan puluh tahun macam Wak ni masih ada yang nak?" Seorang lagi tetamu cuba berseloroh.

Tercengang aku mendengar. Sembilan puluh tahun??? Biar benar orang tua ni!

Semua yang ada di situ mula ketawa. Tiba-tiba keluar seorang gadis dari bilik. Gadis itu berjalan perlahan menuju ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi tempat kemenyan dan limau nipis. Aku mula terlopong melihat gadis itu. Berkali-kali aku genyeh mata. Memang tidak syak lagi. Gadis itulah yang aku terserempak dulu.

"Abang...ni bahannya..." Gadis itu membongkok sedikit dan meletakkan dulang tadi di hadapan Wak Leman. Dia mula duduk bersimpuh di sebelah Wak Leman.

Aku tergamam bila mata gadis itu melirik manja ke arah aku. Gulp! Aku menelan liur lagi. Biar betul gadis ni isteri Wak Leman!

Tetamu yang lain juga turut terkedu melihat gadis manis itu memanggil Wak Leman dengan panggilan abang. Suara manja gadis itu cukup mempesona.

"Err..siapa nama isteri Wak ni?" Entah kenapa aku berani bertanya soalan sebegitu.

"Nama dia Saleha. Panggil je Cik Leha"

"Ohhhh......" Ternganga mulut aku memandang kecantikan cik Leha dari dekat.

Wak Leman mula membelah limau nipis dan diletakkan dalam piring kecil bersama garam dan lada hitam. Sebiji telur ayam kampung pula digolek-golekkan atas kain kuning. Selesai itu, kemenyan pula dibakar. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang tamu rumah itu. Masing-masing melihat perlakuan Wak Leman tanpa sepatah kata. Aku pula masih bingung dengan tingkah Wak Leman. Sebiji gaya seorang bomoh.

“Err..Wak..siapa yang sakit?” Entah dari mana aku dapat keberanian bertanya pada Wak Leman.

“Syyy…” Wak leman memberi isyarat diam. Jari telunjuknya diletakkan atas bibir.

Aku semakin bingung. Aku lihat tetamu lain juga turut diam seolah-olah asyik dengan tingkah Wak Leman mengasap kemenyan.

Hari itu selesai saja kenduri yang tak berapa kenduri, aku mula ke rumah Mat kepoh. Tergesa-gesa aku berjalan meninggalkan rumah Wak Leman. Sesekali aku menoleh ke arah belakang. Cik Leha tersenyum simpul pada aku sambil melambai-lambai tangan. Biar betul! Wak Leman di sebelahnya sedikit pun tidak cemburu atau marah. Malah turut tersenyum melihat para tetamu meninggalkan laman rumahnya yang dipenuhi pokok bunga hutan.

*******

“Mat! Mat!” Laung aku kuat.

Mat Kepoh menjenguk dari jendela kayu rumahnya. “Apa dia Sam?”

“Turunlah kejap! Aku ada hal penting nak bagi tahu ni!”

Mat Kepoh mengilas kain pelekat dan mula turun ke laman menuju ke pangkin di bawah pokok jembal.“Ada apa?”

“Tadi aku ke rumah Wak Leman…” Tercungap-cungap aku menahan nafas. “Ada kenduri kesyukuran…kau tahu tak…”

“Tahu apa?”

“Minah kecil molek yang kita jumpa tu rupanya bini Wak Leman!” Aku berkata dengan nada tersekat-sekat.

“Maksud kau minah yang pakai baju kebaya bawa bakul tu?” Bulat mata Mat Kepoh memandang Sam.

Sam hanya angguk.

Mat Kepoh mula duduk bersila di atas pangkin. Berkerut keningnya memandang aku. Aku pula masih mengah menahan kepenatan berjalan tadi. Agak jauh juga rumah Wak Leman dari rumah kampung yang lain. Sesekali mata kami bertembung.

“Tapi aku tak faham..kenapa Wak jemput kau, bukan aku?” Jari telunjuk Mat Kepoh diketuk-ketuk pada dagunya.

“Entah…yang aku pelik, aku sorang je yang muda. Tetamu lain semuanya sudah tua kerepot macam Wak tu!” Aku garu kepala.

Masing-masing diam seketika. Bunyi cengkerik memecah kesunyian malam. Dari jauh suara burung hantu turut bersahutan. Mat Kepoh mula menarik kain pelekat menyelimuti tubuh keringnya.

“Sam..kau rasa Wak Leman tu betul ke?” Mat Kepoh bersuara perlahan.

“Maksud kau?”

“Yalah…aku tak percaya minah secantik itu boleh kahwin dengan Wak Leman yang tua bangka tu. Kalau orang macam kita ni logik la sikit..aku rasa Wak tu ada ilmu la.” Mat Kepoh berkata dengan penuh keyakinan.

“Ilmu? Maksud kau ilmu pengasih? Eh! Kalau betul, aku pun nak sikit! Sorang pun belum sangkut ni!” Aku sengih.

Mat Kepoh ketawa mendengar kata-kata aku. Aku hanya senyum. Gelak kami terbantut bila tiba-tiba Cik Leha muncul di depan kami. Gulp! Sekali lagi aku menelan liur. Aku pandang Mat Kepoh. Mulut Mat Kepoh sudah terlopong, tidak berkelip memandang Cik Leha.

“Maaf bang..abang tertinggal topi tadi. Ni saya pulangkan semula. Sebab esok kami nak ke kampung seberang dua tiga hari. Jadi saya hantar topi ni kat abang kalau-kalau abang cari nanti.” Cik Leha tersenyum manis.

“Err..ma…macam mana Cik Leha tahu saya kat sini?” Aku mula pening. Cik Leha aku pandang tidak berkelip.

“Oh..sebenarnya tadi, masa abang keluar dari rumah, saya nak mengemas ruang tamu. Ternampak topi abang. Terus saja saya panggil abang tapi abang dah jauh pergi. Saya segera mengekori abang. Nah topi abang!” Cik Leha senyum lagi.

Masa bila pula dia mengekori aku? Setahu aku, tiada sesiapa di belakang aku masa aku ke rumah Mat Kepoh ni. Jalan mana pula minah ni lalu tadi? Aku merenung Cik Leha dengan riak curiga.

“Terima kasih..Wak Leman tak marah ke Cik Leha datang sini?” Aku masih tidak puas hati.

“Tak..dia yang suruh. Kalau Leha nak jumpa abang selalu pun dia tak marah..” Cik Leha senyum dan mula minta diri.

Aku terkedu mendengar kata-kata Cik Leha. Tubuh kecil milik Cik Leha mula hilang ditelan kegelapan malam. Dalam dunia serba moden ini, Cik Leha masih lagi menggunakan obor yang dibuat daripada pelepah kelapa dan daun kelapa sebagai penyuluh jalan yang gelap.

“Sam..ilmu apa yang kau pakai sampai minah tu suka kat kau? Dia isteri Wak Leman la Sam..kau hati-hati sikit.” Mat Kepoh kelihatan cemburu. Dia segera masuk ke rumah meninggalkan Sam seorang diri di pangkin.

********

Aku termenung di atas katil. Kata-kata Cik Leha tadi membuatkan aku bingung seketika. Biar betul Wak Leman tak marah apa-apa. Takkan tak ada rasa cemburu langsung! Pelik! Aku mesti siasat!

Esok pagi, aku mula mengemas. Aku kena pulang ke kampus semula. Pengajian aku pada tahun akhir hanya tinggal dua bulan saja lagi. Mat Kepoh pula sudah setahun bekerja sedangkan aku masih mengadap buku. Aku tak boleh berlama di kampung. Buatnya Cik Leha gilakan aku, parah!

“Sam! Kau dah nak balik ke?” Laung Mat Kepoh sambil berlari ke arah aku.

Aku letak beg sandang di atas bangku tempat menunggu bas. Aku pandang Mat Kepoh yang berlari-lari ke arah aku.

“Ada apa Mat?”

“Cik Leha!”

“Kenapa dengan cik Leha?” Aku bingung.

“Dia sakit! Kau tak nak tengok ke?”

“Macam mana kau tahu dia sakit?” Aku mula pelik. Baru malam tadi Cik Leha sihat wal’afiat.

“Wak sendiri yang bagi tahu aku pagi ni. Cik Leha asyik sebut nama kau je!” Termengah-mengah Mat Kepoh beritahu.

Sebut nama aku? Malam tadi elok je! Ah! Wak Leman kan ada. Aku bukan siapa-siapa dengan Cik Leha tu. Lagipun Cik Leha isteri orang. Ah! Persetankan!

“Wak kan ada!” Aku mencebik.

“Wak sendiri datang cari kau tadi. Dia berharap sangat kau jumpa Cik Leha tu.”

Aku diam. Aku pandang jam tangan. Sudah hampir sembilan pagi. Sekejap lagi bas akan tiba. Aku gelisah. Serba salah. Kalau jumpa Cik Leha, apa pula kata orang kampung. Kalau tak jumpa, kesian pula minah tu. Ah! Serba tak kena.

“Macam nilah, kau bagi tahu Wak. Suruh Wak bawa Cik Leha ke hospital. Jumpa aku pun bukan boleh buat apa-apa pun. Aku bukan doktor! Lusa aku ada exam! Penting! Lainlah kau tu!” Aku segera meluru ke arah bas sebaik ternampak bas mula berhenti.

Mat Kepoh pandang Sam dengan wajah kecewa.

“Elok kau je jumpa Cik Leha tu! Mana tahu dia boleh sembuh!” Aku laung dari dalam bas sebaik bas mula bergerak meninggalkan tempat itu. Sempat kenyit mata pada Mat Kepoh.

************

SEKALI lagi aku melangkah ke kampung Kelapa Tua. Sudah dua bulan aku tidak jejak kaki di sini. Pengajian aku sudah pun tamat. Lega. Sementara menunggu peluang kerja, aku ingin menghabiskan masa lapang aku di kampung. Menolong orang tua menguruskan kebun pisang. Permintaan terhadap pisang muda cukup menggalakkan. Kebanyakan orang kampung Kelapa Tua membuat kerepek pisang sebagai pendapatan harian. Tak hairanlah pisang kebun ayah sentiasa dapat sambutan.

“Mak, Sam nak jumpa Mat kejap!” Aku habiskan kopi O dalam cawan.

Ibu diam. Matanya membuntang memandang aku. Ayah pagi lagi sudah ke kebun membawa bekalan nasi lemak dan kopi O panas.

“Kenapa mak pandang Sam macam tu?”

“Kau tak tahu ke?”

“Tahu apa?”

“Mat dah meninggal dua bulan lepas!”

Aku terlopong. Terbeliak mendengar kata-kata yang terkeluar dari bibir kering ibu.

“Meninggal? Mak jangan nak bergurau. Sebelum saya ke kampus, Mat ada jumpa saya di bus stop. Elok je dia. Sihat segar bugar!” Aku sengih. Menyedapkan hati yang mula tidak percaya dengan berita mengejut itu.

“Betul tapi malam tu dia ke rumah Wak Leman. Katanya nak tengok isteri Wak yang sakit tu. Dua hari lepas tu, dia meninggal!” Mak memulakan cerita.

“Tapi meninggal sebab apa?” Aku semakin tidak faham.

“Entah! Mak ada juga melawat. Mak tengok mereka berbisik-bisik sambil menunjukkan sesuatu pada mayat Mat tu. Mak malas nak ambil tahu. Tak baik mengaibkan orang yang telah meninggal.”

“Apa yang tak kena pada mayat Mat?” Aku mula sebak. Benarlah Mat kepoh sudah meninggal. Terasa berat menyebut mayat Mat.

“Entahlah. Penduduk sini kata ada kaitan dengan Wak Leman tu. Sekarang ni Wak Leman dituduh menjadi punca kematian Mat.”

Aku mula tidak sedap hati. Dari dulu lagi aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Wak Leman. Aku minta diri ke rumah Mat Kepoh. Tiba di sana, suasana muram masih menyelubungi keluarga Mat Kepoh. Aku lihat ibu dan ayah Mat Kepoh masih meratapi kematian anak lelaki tunggal mereka.

“Makcik..maafkan saya. Saya tak tahu fasal hal ni. Tiada siapa bagi tahu saya.” Aku mendekati mak Mat Kepoh.

“Tak apalah. Sudah ajal Mat. Tapi satu yang makcik hairan, lepas balik dari rumah Wak Leman malam tu, muka Mat pucat. Badannya tidak bermaya. Seolah tiada setitik darah pun dalam tubuhnya. Dua hari selepas tu, dia meninggal.” Mak Mat Kepoh mula menangis.

Aku semakin menaruh syak pada Wak Leman. Masa kenduri dulu, dia asyik mengasap kemenyan. Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan dari orang kampung. Malah tetamu yang hadir tika itu seperti dipukau saja lepas makan pulut kuning. Ini tak boleh jadi. Aku mesti siasat hal yang sebenar.

*****

MALAM itu, aku memberanikan diri ke rumah Wak Leman. Dengan lampu suluh kecil, aku menyuluh jalan yang gelap menuju ke arah rumahnya. Dari jauh aku lihat, rumah Wak Leman terang dengan cahaya lampu gasolin. Aku mesti buat perhitungan. Tiba di laman rumah Wak Leman, aku masih tercegat kaku di situ. Masih memikirkan apa yang perlu aku lakukan. Tiba-tiba pintu rumah berkeriuk. Terbuka perlahan. Cik Leha dengan kebaya merah tersenyum manis di muka pintu. Aku terkedu. Senyumannya sungguh memukau. Berkali-kali aku genyeh mata. Pipi aku tampar kuat.

“Wak ada?” Aku mula bersuara.

Cik Leha masih senyum. “Ada. Masuklah!”

Aku melangkah perlahan masuk ke rumah. Ruang tamu rumah itu masih seperti dua bulan yang lalu. Tiada satu pun berubah. Aku masih berdiri di muka pintu sementara Cik Leha memanggil suaminya.

“Ada apa Samdol?”

“Apa yang Wak telah buat pada kawan saya Mat?” Aku tidak menjawab soalan Wak Leman sebaliknya aku pula yang menyoal.

“Kalau ya pun duduklah dulu. Leha! Buatkan air dan hidangkan pulut kuning pada abang Samdol ni!” Wak Leman melaung dari ruang tamu. Cik Leha sudah ke dapur menyediakan kopi panas.

Pulut kuning lagi? Biar betul! Aku memerhati sekeliling. Mana tahu ada benda pelik dalam rumah itu yang boleh dikaitkan dengan kematian Mat Kepoh. Nyata tiada apa-apa pun yang pelik. Semuanya seperti biasa.

“Malam tu, apa yang Wak telah buat pada Mat?” Sekali lagi aku menyoal. Tidak puas hati dengan tindakan Wak Leman yang tidak mengendahkan pertanyaan aku tadi.

“Jemputlah minum dulu. Ni pulut kuning yang Leha buat. Sedap. Rasalah!” Wak Leman menghulurkan sepiring pulut yang dikepal bulat-bulat kepada aku sebaik sahaja Cik Leha keluar dari dapur membawa dulang berisi pulut dan air kopi.

“Wak jangan nak naikkan darah saya! Wak yang bunuh Mat!!” Darah aku mula menggelegak. Tangan aku genggam kuat.

“Abang…suami Leha tak bersalah. Sebenarnya Leha yang bersalah. Malam tu, Mat datang. Dia merayu pada Leha agar cintanya dibalas dan jadikan dia suami Leha. Leha serba salah. Lalu dia…” Kata-kata Cik leha terhenti di situ. Dia menjeling pada Wak Leman di sebelah.

“Dia apa??” Aku mendesak.

“Samdol..Mat cuba buat benda tak baik pada Leha. Dia cuba ambil kesempatan pada Leha yang sakit. Masa tu Wak tak ada di rumah mencari ubat untuk Leha. Penyakit Leha susah diubatkan kalau dah sakit. Nasib baik Wak sempat sampai rumah.” Wak Leman berkata sambil menundukkan wajah.

“Habis? Macam mana dia boleh mati?” Aku semakin keliru.

“Entahlah! Wak tak buat apa-apa pun. Lepas Wak marahkan dia, dia terus pulang ke rumah.” Wak Leman pandang aku dengan riak bersahaja.

Aku semakin bingung. Jalan penyelesaian masih belum jumpa. Kematian Mat Kepoh seperti misteri. Aku mula minta diri untuk pulang tetapi dihalang oleh Cik Leha. Aku mula tergamam bila Cik Leha tiba-tiba memeluk aku dengan kuat sambil menangis.

“Err..apa yang Cik Leha buat ni?” Aku tolak Cik Leha dengan kuat. Terkejut dengan tindakannya.

“Abang…Leha cintakan abang.” Cik Leha ingin memeluk aku lagi tapi aku mengelak.

“Samdol..Leha asyik meracau teringatkan kamu. Penyakitnya belum sembuh betul lagi. Kamu lihat, wajahnya mula ceria bila kamu datang. Bermalamlah di sini. Untuk malam ni je. Sudah puas Wak cari ubat.” Wak Leman mula merayu.

Aku semakin tercengang. Biar betul!! Takkan semudah itu Wak membenarkan isterinya mencintai orang lain. Dan takkan semudah itu Wak Leman mengikut kehendak isterinya. Ini sudah gila namanya!!!

“Tapi..saya tak pernah cintakan Cik Leha. Dia isteri Wak!” Aku pandang Cik Leha yang masih merenung ke arah aku.

“Abang! Sampai hati abang cakap macam tu! Leha tahu abang pun cintakan Lehakan?” Cik Leha mula meraung.

Ah! Kalut! Bingung! Pening! Semuanya berserabut! Drama apakah yang sedang aku berlakon ni??

“Maaf! Saya nak minta diri dulu!” Aku segera melangkah keluar dari rumah Wak Leman. Sebaik turun dari rumah, aku terhidu bau hanyir yang kuat. Aku berpaling ke arah bawah rumah. Beberapa ekor ayam hutan sudah bergelimpangan mati di situ. Baldi yang diletak di tepi tangga dipenuhi dengan darah. Aku terus menutup hidung. Bau hanyir darah begitu kuat.

“Samdol!!! Kau telah mengkhianati permintaan Leha!!” Wak Leman menjerit sambil bercekak pinggang. Wajahnya bertukar bengis.

“Saya masih waras Wak!! Cik Leha isteri Wak!! Apa Wak tak takut Tuhan?” Aku menoleh seraya berkata.

“Tuhan? Hahahaha!!!”

Aku terkejut. Wak Leman sudah seperti orang gila. Rasanya aku juga sudah mula nak jadi gila dengan semua kejadian ini.

“Sebenarnya Leha tu…”

“Leha apa??” Aku mengherdik Wak Leman.

Belum sempat Wak Leman bersuara, satu suara nyaring mula kedengaran di atas bumbung. Aku mendongak. Cik Leha sudah terpacak di situ. Aku menggigil ketakutan.

“Sekarang tak perlu aku bagi tahu siapa Leha! Kau sendiri sudah nampak!” Wak Leman ketawa lagi. Kali ini semakin nyaring.

“Ja..jadi..Cik Leha tu…” Aku pandang pula Wak Leman.

“Ya!! Aku kehabisan makanan. Dia nakkan darah manusia tapi aku terpaksa ambil darah ayam hutan. Kebetulan Mat datang, aku suruh Leha hisap darah Mat!” Wak Leman mula buka rahsia.

“Apa???” Aku terduduk. Lampu suluh di tangan jatuh tergolek atas tanah. Cik Leha masih bertenggek atas bumbung. Rambutnya sudah bertukar menjadi serabai dan menggerbang. Tika itu, aku rasa kaki aku seperti dihempap batu. Tidak bergerak.

“Sekarang giliran kau pula!!” Wak Leman mula menyeru Cik Leha. Dia sudah tahu dari dulu, darah orang muda akan membuatkan Cik Leha sentiasa kelihatan muda dan cantik walaupun sebenarnya dia sudah lama meninggal dunia.

Aku mula tersedar bila mendengar suara azan dari masjid berhampiran. Sempat aku lihat jam tangan. Waktu Isyak sudah masuk. Cik Leha sudah terbang meninggalkan rumah Wak Leman. Aku pula segera berlari dari situ sambil mulut kumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

********

DUA tahun sudah berlalu. Kampung Kelapa Tua masih seperti dulu. Aku termenung di jendela. Teringat kejadian yang tidak pernah diduga oleh akal aku. Zaman moden sebegini masih ada benda-benda seperti itu. Selepas aku lari tidak cukup kaki malam itu, aku segera ke rumah tok imam. Lalu segala-galanya aku ceritakan kepada tok imam. Dan malam itu juga tok imam dan semua penduduk berpakat mengadakan solat hajat dan menyerbu rumah Wak Leman. Wak Leman dipaksa menceritakan siapa sebenarnya Cik Leha. Rupanya Cik Leha adalah gadis sekampungnya dan menolak cintanya waktu zaman muda dulu. Dia mula mengenakan ilmu hitam supaya Cik Leha gilakannya. Nyata Cik Leha lari tinggalkan keluarga dan mengikut Wak Leman dan berpindah ke Kampung Kelapa Tua sehinggalah Cik Leha meninggal dunia. Kerana terlalu sayang, Wak Leman mula puja mayat Cik Leha melalui hantu raya. Selama ini hantu raya yang menghuni badan Cik Leha. Tok imam dan penduduk kampung mula mencari mayat Cik leha yang disimpan dalam sebuah bilik kecil di rumah itu. Mayat Cik Leha dimandikan dan dikapankan dengan sempurna sebelum ditanam semula di tanah perkuburan berhampiran.

“Abang! Kopi dah siap. Minumlah!”

Aku berpaling dan tersenyum memandang isteri kesayangan. Aku mula duduk di sebelah isteri. Cawan kopi aku ambil dan meneguk perlahan sambil merenung wajah ayu itu.

“Leha cintakan abang…”

Aku tersedak. Kopi yang aku minum tersembur. Aku pandang isteriku dengan tajam. Mata pula aku genyeh berkali-kali.

“Kenapa bang?”

“Err..apa Seri cakap tadi?” Hati aku berdegup kencang. Seri yang aku nikahi dua hari lepas masih memandang aku tidak berkelip. Air kopi yang tumpah dilap dengan tisu.

“Cakap apa?” Seri pula bingung melihat suaminya bertanya begitu.

“Tadi…Seri cakap..…nama Seri..Leha..” Tergagap-gagap aku memberitahu apa yang aku dengar tadi.

“Mana ada? Tu la..asyik termenung dari tadi…” Seri senyum. Dia menghulurkan pula kuih lepat pisang kepada suaminya.

Selesai makan, Seri mula mengemas. Ada riak cemburu di wajahnya. Sebelum ke dapur, Seri sempat bertanya. “Leha tu siapa?”

Aku pandang wajah Seri yang mula bertanyakan gadis misteri itu. Diam. Wajah Seri tadi seperti berubah wajah. Cik Leha….

 

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini