rss


Kata orang, hidup ini hanya sekali. SO, KITA ENJOOOYYY!!!

Salah.

Hidup ini hanya sekali. Hidup persis patah perkataan yang tersusun di dalam sebuah buku. Bergantung pada kita untuk mentafsir makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya kita tidak menyukai sesuatu perkara padahal ia baik untuk kita, dan adakalanya kita menyukai sesuatu itu padahal ia tidak baik untuk kita. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Hafiz tercegat di tepi pintu pejabat Dato’ Zaidi. Resah. Dia tahu dia bersalah. Malu juga mahu bersua dengannya. Sudah berapa kali dia bagi muka kepada Hafiz. Masih begitu juga. Macam-macam yang sedang berlegar di ruang fikirannya. Alasan yang dibuat-buat agar menjadi munasabah, seperti mereka sebuah skrip filem yang kuat asas logiknya. Kemudian melilau pula kepada akibat dan kebarangkalian yang bakal menimpa diri andaikata ‘filem’ itu ditolak mentah-mentah.

“ Masuk!” suara Dato’ Zaidi kedengaran sehingga ke luar pintu pejabat yang tertutup rapat itu sambil dia meletakkan gagang telefon. Lama juga dia berbual. Entah siapa yang berada di hujung talian. Naik lenguh kaki Hafiz menanti. Akhirnya dapat juga dia menjejakkan kaki ke dalam, menghadap bosnya yang berumur mencecah 60 tahun itu.

“ Assalamualaikum Dato’..” kata Hafiz dengan nada rendah.

“ Waalaikumussalamwarahmatullah. Duduk dulu Hafiz…” pelawa Dato’.

“ Em, ada apa Dato’ panggil saya ni?” Tanya Hafiz pura-pura tidak tahu tujuan Dato’ Zaidi memanggilnya awal pagi itu. Dia memandang wajah Dato’. Cuba untuk mentafsir emosinya. Ternyata muka Dato’ biasa-biasa sahaja seperti hari-hari lain. Namun, dalam hati siapa yang tahu? Hafiz menanti jawapan daripada bosnya itu.

“ Awak tahu kan rekod awak macam mana?” balas Dato’ sambil mengetuk-ngetuk tepi meja dengan jari-jemarinya. Dia bukan jenis orang yang panas baran, marah sana, marah sini, memalukan orang di hadapan orang lain. Bukan begitu. Dia seorang yang mudah didekati dan mudah memahami staf-stafnya.

“ Em, ye Dato’. Saya tahu…” jawab Hafiz ringkas.

“ Sudah hampir enam bulan awak lambat datang kerja. ENAM BULAN. Kalau lambat sikit tak apa Fiz, ini setiap kali saya dah sampai baru awak sampai…” nada Dato’ rendah sekadar memberitahu.

“ Saya tengok pun awak dah mula berubah. Asal datang kerja nampak letih. Design iklan pun dah berapa banyak yang tertangguh. Saya dah bagi peluang kepada awak Hafiz. Awak berpotensi tapi nampak macam awak tu yang tak berminat dah…” sambung Dato’.

“ Saya mintak maaf Dato’. Cuma ada banyak.. em.. hal sejak belakangan ni. Ada banyak masalah…” Hafiz memberi alasan.

“ Masalah apa? Cuba cerita kat saya. Mana tahu saya boleh tolong…”

“ Err.. takpelah Dato’… mungkin saya boleh cuba selesaikan sendiri…” Hafiz berhelah.

“ Hafiz.” Dato’ Zaidi menghela nafas. Berat untuk dia luahkan.

“ Sebenarnya saya dah ambil keputusan. Untuk berhentikan awak daripada syarikat ni…”

“ Hah?! Ja.. janganlah macam ni Dato’! Tak kesian kat saya ke?” terkejut Hafiz bagai direntap jantungnya keluar.

“ Bukan apa Hafiz. Tapi rekod awak adalah yang paling teruk dalam sejarah staf-staf yang pernah saya kenal. Ramai lagi graduan dekat luar sana yang berebut-rebut nak mendapat tempat dalam syarikat ni. Kalau saya kekalkan posisi awak, nanti apa kata orang? Tak adil buat mereka. Saya dah lama kesiankan awak. Persoalannya, awak kesian tak pada saya yang kesiankan awak ni?” jelas Dato’. Hafiz tergamam. Nafasnya terhenti seketika. Tidak tahu lagi bagaimana untuk memujuk lelaki itu. Kering idea. Memang sudah jelas, itulah yang selayaknya untuk diterima.

“ Saya minta maaf Hafiz. Tapi keputusan ini mukatamad. Awak… boleh kemas barang…” nada simpati jelas kedengaran pada suara Dato’. Hafiz mengangguk lalu melangkah keluar.

Sambil dia mengemas barang, terdengar perbualan rakan-rakan sekerja berbincang tentang perihalnya. Dia buat tak tahu. Biarlah apa mereka kata. Ramai juga yang pergi bertanya.

“ Hafiz, kau kena pecat ke?”

“ Hafiz, apa jadi ni?”

“ Wei, bro! Sorry la kalau ada salah silap dulu…”

Semuanya tidak diendahkan. Sepanjang perjalanannya ke kereta dia hanya memandang ke bawah sambil membawa sebuah kotak yang dipenuhi barang-barang dari tempat kerjanya. Fikirannya melayang. Terasa hari itu bermula dengan duka.

Duka yang dicetus sendiri…

6 bulan sebelum itu.

Ahad. Waktu terbaik bagi para pekerja untuk beristirehat. Waktu itu, posisi Hafiz di syarikatnya masih stabil.

Waktu tengahari. Siaran radio di dalam kereta ditukar-tukar. Barangkali semuanya tidak menarik minat Intan. Hafiz yang sedang memandu pun mula rimas dengan kelakuan isterinya itu. Dia pula yang menukar siaran. IKIM.FM.

“ Ha, senang. Dengar ceramah agama ni…” kata Hafiz.

“ Hmm, yelah sayang oiii…” balas isterinya yang berumur dalam lingkungan 20-an itu.

“ Bang, jauh lagi ke rumah arwah ayah ni?” Tanya Intan.

“ Eh, macam tak pernah pergi pulak tanya macam tu. Sekejap lagi sampailah…”

“ Takdelah, bukan selalu pun pergi sana sebab tu tak ingat sangat. Intan tak kisah pun sebenarnya kalau abang nak pergi sana hujung minggu ke bila-bila ke. Itu ayah abang. Tapi Intan tengok abang asyik sibuk je…”

“ Entahlah. Abang pun tak tahu…” jawab Hafiz pendek. Dia mengeluh. Menyesal juga selama ini semasa arwah ayahnya masih menghela nafas jarang pula dia datang menjenguk di kampung itu. Rasa macam anak derhaka pun ada.

“ Tapi abang memang sibuk pun. Abang kerja pun sebab nak bagi duit kat ayah. Ayah kat kampung pun bukan sorang-sorang. Pak Leman atau Pak Manan selalu jugak temankan dia mengeteh…” sambung Hafiz.

“ Betul jugak bang. Arwah ayah tu selalu nampak sihat je. Tak sangka pulak dah tiba masanya. Itulah kata orang ajal maut di tangan Tuhan…”

“ Emm..” Hafiz mengangguk saja.

Tidak jauh dari tempat kereta Proton Kancil mereka dipandu, kelihatan sebuah rumah kayu kampung yang masih berdiri teguh di atas tanah berbatu kerikil. Bahagian atasnya diperbuat daripada kayu sepenuhnya. Manakala dapur di bahagian belakang bawah dibina daripada separa kayu dan batu-bata.

Hafiz dan Intan melangkah keluar dari kereta lalu disambut oleh Pak Leman, jiran sebelah rumah.

“ Assalamualaikum Hafiz…” ujar Pak Leman sambil menghulurkan salam.

“ Waalaikumussalam Pak Leman. Sihat?” Hafiz menyambut salam.

“ Oh, sihat-sihat saja. Ni dari jauh datang mesti letih. Jomla masuk rumah Pak Leman dulu minum-minum…”

“ Eh, takpe, takpe Pak Leman. Kami sekejap je di sini. Lagipun kami dah makan tadi. Kenyang lagi…” Hafiz menolak dengan baik. Intan hanya mengukir senyuman.

“ Oklah kalau macam tu. Ini kuncinya. Ha, rumah ni memang kau punya jadi tak payah malu-malu lah…”

“ Em, Pak Leman. Boleh saya tahu apa sebenarnya wasiat arwah ayah saya?” Tanya Hafiz lagi. Selepas kematian ibu Hafiz, arwah ayah Hafiz begitu rapat dengan Pak Leman memandangkan Hafiz, anak tunggalnya sibuk dengan kehidupan di bandar. Ayahnya mempercayai Pak Leman seperti ahli keluarganya sendiri. Sehingga hal peribadi dan hal keluarga pun dikongsi. Tidak terkecuali wasiat.

“ Yang Pak Leman tahu itu jelah. Ayah kau serahkan semua hak miliknya kepada kau termasuk tanah, rumah, dan segala yang terkandung di dalamnya. Oh, dan dia tak nak rumah dan tanah ni dijual kepada orang lain. Ini sebagai harta pusaka. Katanya ini sahaja harta peninggalan keturunan Dolah. Biarlah rumah ni kekal sampai ke cucu-cicit kau…” jelas Pak Leman.

“ Terima kasih, Pak Leman. Kami masuk dulu ye…” kata Hafiz sambil membuka kasut lalu menaiki tangga bersama-sama Intan. Kunci dimasukkan ke tombol lalu dipulas. Mudah sahaja pintu terbuka.

Sambil melangkah masuk, mata Hafiz memerhati sekeliling. Segalanya masih tersusun. Set sofa dengan permaidani berbulu merah di tengah, bingkai-bingkai gambar arwah ayah, ibu, dan dirinya sendiri masih tergantung di dinding. Piala-piala dan pingat-pingat dari zaman persekolahannya masih berkilau di atas rak bersebelahan dengan televisyan berjenama Panasonic itu.

Hafiz duduk di atas salah sebuah sofa. Diikuti oleh Intan. Sudah seminggu rumah itu tidak berpenghuni. Hafiz memerhati gambar-gambar yang membangkitkan nostalgia. Dia cuba mengenang kembali kisah silam.

Apabila melihat gambar arwah ibu, teringat akan pesannya- “ Kalau ada masalah, pasti ada penyelesaiannya.”

Dia memandang gambar ayah pula. Entah mengapa, hanya sepotong ayat yang masih terngiang-ngiang di cuping telinga- “ Ada masa nanti, tolonglah alihkan peti sejuk buruk kat bawah rumah tu.”

Sudah berapa kali permintaan itu tidak diendahkannya. Banyak kali. Mungkin alasannya sibuk. Sejak dia diterima kerja di syarikat pengiklanan ternama di Kuala Lumpur itu, jarang sekali dia pulang ke kampung. Ada juga dua atau tiga kali dia menjenguk ayah. Dan waktu itulah arwah ayah selalu meminta tolong untuk mengalihkan peti sejuk buruk itu.

Kadangkala tercetus suatu kemusykilan. Pak Leman ada, anak-anak lelakinya pun sudah besar-besar, mengapa tidak minta pertolongannya saja?

Mungkin arwah ayah tidak mahu asyik menyusahkan jirannya itu. Atau mungkin dia hanya dahagakan kasih sayang dan perhatian daripada anak tunggalnya yang satu ini. Atau mungkin juga ada maksud yang tersirat di sebaliknya.

Hafiz kecewa. Sudah meninggal dunia barulah sibuk hendak memenuhi permintaan ayahnya itu. Kesian ayah. Rasa bersalah pula.

“ Jom Intan, ada sesuatu yang abang nak buat…” ajak Hafiz sambil bergerak menuju ke bahagian bawah rumah kayu itu. Kaki rumah itu cukup tinggi untuk membolehkan seorang dewasa biasa berdiri tegak di bahagian bawahnya. Sewaktu kecil Hafiz selalu bermain-main dengan rakan-rakan sekampung di bahagian bawah rumah itu. Memang luas. Kalau ibunya hendak panggil pulang, tahulah dia di mana hendak mencari.

Di bawah rumah. Kelihatan di bahagian tengah ada sesuatu yang diselubungi kain berwarna merah. Hafiz menarik kain tersebut. Sebuah peti sejuk buruk berwarna kelabu terbaring dengan pintunya menghadap ke atas. Ia terbenam separuh ke dalam tanah. Peti sejuk berpintu satu itu sederhana besarnya. Mungkin dua orang lelaki dewasa sudah mampu untuk mengalihkannya.

Hafiz membuka pintu peti sejuk. Berhabuk. Ada sesuatu di dalamnya. Intan memandang wajah suaminya dengan tanda tanya. Hafiz menggeleng, tidak tahu. Peti sejuk itu dipenuhi dengan longgokan plastik sampah hitam yang diikat. Memang ada sesuatu yang memenuhi plastik-plastik itu. Perlahan-lahan Hafiz membuka salah satu daripadanya.

Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaahhhhh!!!

Duit.

Intan terjerit. Hafiz terus memegang mulutnya. “ Sssshhhhh… nanti orang dengar susah kita.” Bisiknya.

“ Banyaknya bang. Kita nak buat apa ni?” tanya intan.

1.     “ Kita bawak baliklah yang. Apa lagi…” lantas mereka mengangkat semuanya. Lebih kurang sepuluh buah bungkusan plastik sampah hitam memenuhi kereta Proton Kancil mereka. Dah macam lori sampah pun ada.

Mungkin inilah yang selama ini disembunyikan oleh arwah ayahnya. Berjuta-juta wang ringgit untuk anak tunggalnya seorang. Tetapi masih banyak tanda tanya yang berlegar di minda.

“ Mengapa disembunyikan semua duit itu?”

“ Mengapa tidak diberikan terus sahaja kepada Hafiz?”

“ Mengapa arwah ayah tidak menggunakan sahaja wang itu semasa dia hidup?”

Soalan-soalan itu diluahkan kepada isterinya sementara kereta dipandu pulang.

“ Entah-entah ni semua duit hasil rompakan bank tak?” sangka Intan.

“ Ish, takkanlah. Arwah ayah bukan jenis macam tu lah. Dengan tulang empat kerat dia tu manalah nak rompak bank. Kalau boleh rompak pun, nak lari polis dah sampai dulu…” jawab Hafiz.

“ Hmmm, mungkin jugak. Atau mungkin duit ni memang dia punya semua cuma dia tak nak simpan dekat dalam bank sebab jauh dari kampung.” Intan memberi alasan lain.

“ Ha! Yang tu boleh diterima. Susah jugak kalau nak pergi bandar simpan duit banyak macam ni dekat bank. Dahlah jauh. Nak pergi pun naik motor buruk je manalah arwah ayah tu larat…” Hafiz menyokong hujah isterinya.

1.     “ Em, sayang. Kita nak buat apa dengan duit ni?” intan tersenyum sambil menoleh ke belakang melihat ke dalam salah satu bungkusan plastik yang sudah terbuka. Semuanya not RM 100. Penuh.

“ Hehe. Kalau ada duit, semua boleh kuit.” Jawab Hafiz.

“ Cuma harap-harap tak ada roadblock dekat depan nanti…”

Jam 10 pagi. Hafiz pulang ke rumah. Hampa. Baru dipecat. Agaknya bagaimana reaksi isterinya nanti. Rumah banglo putih dua tingkat di Taman Melati itu tersergam indah. Biarpun hanya dua orang penghuninya, rumah itu yang dipilih sebagai tempat tinggal. Entah apa yang bermain di fikiran pasangan suami isteri dalam lingkungan 20-an itu.

Mungkin hendak menyediakan tempat persinggahan bagi saudara mara yang datang dari jauh. Atau mungkin sekadar untuk menunjuk-nunjuk. Atau mungkin juga sekadar untuk menghabiskan duit yang sudah melimpah-ruah. Tiada siapa yang tahu tujuan sebenar.

Laman rumah indah kehijauan dengan rumput dan bunga-bungaan. Tersusun di situ tiga buah kereta. Toyota Vios berwarna perak buat si isteri. BMW berwarna biru bagi si suami. Kereta kancil buruk buat kenangan. Tidak lupa juga pintu pagar automatik yang mampu dibuka dengan sekali tekan pada butang alat kawalan jauh.

Hafiz menanggalkan kasut kulit berjenama Camel lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Salam diberi lalu disahut oleh Intan yang sedang sibuk membersihkan ruang tamu rumah itu. Sengaja Intan tidak mahu mengupah orang gaji sedangkan Hafiz selalu menawarkan untuk berbuat demikian. Katanya, itu sajalah kerja yang boleh dibuat. Kalau tidak bosan jadinya.

Hafiz merehatkan diri di atas salah satu sofa empuk di ruang tamu. Intan duduk di sofa menghadapnya. Wajahnya semacam. Seperti risau. Marah pun ada. Dia membiarkan Hafiz membuka bicara. Entah apa yang sedang Intan pendamkan.

“ Abang… ada sesuatu nak beritahu Intan ni…” Intan mendengar.

“ Abang baru dipecat.” Wajah Intan suram. Dia meluru masuk ke dalam bilik tidur. Beberapa saat dia keluar semula dengan membawa beberapa lampiran kertas putih serta sehelai baju kemeja Hafiz.

“ Abang. Cuba abang jelaskan pada saya. Ni…” Intan mengangkat helaian-helaian kertas itu di hadapan muka Hafiz.

Hutang. Pinjaman. Semuanya tertera di situ.

“ Itu pinjaman bank.” Jawab Hafiz ringkas.

“ Dah berapa lama bang? Takkan duit sejuta ringgit lebih yang kita dapat tu dah habis dalam masa enam bulan je?”

“ Dah lebih kurang dua tiga bulan jugaklah. Eh, awak jangan salahkan saya je. Awak tu pun nak rumah besar, nak kereta. Kita dah pergi Paris, pergi London, Itali pun kita dah redah…” Bantah Hafiz.

“ Takkan habis terus?”

“ Adalah tinggal sikit. Itu yang malam-malam abang selalu keluar. Abang nak duit tu biar jadi banyak…”

“ Abang, takkanlah abang…” Hafiz mengangguk seakan-akan dapat membaca fikiran isterinya.

“ Abang main judi?!”

“ Abang dah terdesak Intan! Terdesak!”

“ Sekarang ni abang dah kena buang kerja pulak. Macam mana abang nak bayar semua ni bang?!” soal Intan lagi.

“ Ok bang, Intan tahu abang terdesak nak dapat duit balik. Intan memang nak tolong. Tapi bila Intan jumpa ni pagi tadi… abang tahu tak betapa hancur hati Intan?” Intan menunjukkan kesan gincu merah di bahagian kolar kemeja suaminya itu. Memang sah itu milik perempuan lain kerana Intan tidak memakai gincu. Hafiz terpaku. Tiada jawapan dari mulutnya.

“ Hellloooo! Ada olang tak? Helloooo!” suara yang datang dari luar pintu pagar mengganggu pertelingkahan mereka.

Ceti.

Pasangan suami isteri itu menjenguk. Dua orang lelaki berbangsa cina dan bertubuh sasa sedang berdiri melihat ke dalam rumah. Hafiz keluar. Dia tahu mereka menantinya.

“ Taiko, sori taiko. Harini saya baru lepas kena pecatlah. Nanti saya ada duit saya bayar baliklah. Ok?” pujuk Hafiz sambil mendekati pintu pagar.

“ Lu pandai aaa. Lu tahu tak sikalang belapa lu punya hutang sama kita? Dua juta linggit ooo! Lu tangguh lagi banyak hali, lagi banyak wang lu kena bayar!” jawab salah seorang daripada mereka. Kepala Hafiz semakin kusut.

Tiba-tiba pintu pagar terbuka. Intan bergegas memasukkan bagasinya ke dalam kereta. Cara dia menghempas pintu kereta sudah jelas menggambarkan emosinya. Toyota Vios itu dipandu pergi. Barangkali ke rumah ibunya. Hafiz tidak terdaya untuk menghalang. Dia cuba untuk berunding dengan pengutip hutang itu. Nampaknya tiada pilihan lain. Terpaksa digadaikan rumah banglo serta kereta BMW dengan harga RM 1000,000 sahaja atas rundingan yang jelas berat sebelah.

Dipecat. Ditinggal. Dirampas.

Segalanya bagaikan hilang begitu sahaja. Yang tinggal hanyalah rumah arwah ayah di kampung dan kereta Kancil buruk sebagai kenderaan.

“ Ah, daripada aku tak buat apa-apa baik aku balik rumah tu.” Getus hati Hafiz yang sedang cuba mencari ruang untuk berfikir sejenak. Dia memandu kereta menuju ke kampung.

“ Agaknya kalau aku jual tanah dan rumah kat kampung tu berapa ringgit ek? Ah! Takde, takde. Itu harta pusaka. Aku tak boleh buat macam tu.” Kepalanya runsing. Masih banyak pinjaman dan hutang yang belum dilunaskan. Pada masa yang sama, bantuan yang arwah ayah minta sebenar-benarnya belum lagi disempurnakan.

“ Ada masa nanti, tolonglah alihkan peti sejuk buruk kat bawah rumah tu.”

Hari itu, dia dan Intan hanya mengosongkan isi peti sejuk itu. Tidak dialihkan ke mana-mana pun. Masih terbenam separuh ke dalam bumi. Alang-alang hendak pulang ke rumah itu, sebaik-baiknya tugas itu disempurnakan terus. Pak Leman ada. Boleh minta pertolongannya untuk mengalihkan peti sejuk itu bersama-sama.

Hafiz tiba di rumah kampung itu. Pak Leman sedang mencuci motosikal di hadapan rumahnya.

“ Assalamualaikum! Pak Leman!” laung Hafiz yang baru keluar dari kereta. Pak Leman menjawab salam lantas berjalan menghampirinya.

“ Ha, dah lama kau tak datang sini Hafiz. Mana orang rumah?” Tanya Pak Leman.

“ Oh, orang rumah saya balik rumah maknya…” jawab Hafiz, jujur.

“ Sebenarnya, saya ada nak mintak tolong sikit kalau Pak Leman tak keberatan.” Pak Leman memasang telinga.

“ Semasa hidup, arwah ayah saya ada mintak tolong supaya alihkan sebuah peti sejuk buruk di bawah rumah. Kalau sudi kita alihkan sama-sama ye.”

“ Eh, tak ada masalah. Pak Leman ni rambut je putih. Tulang besi tau. Hehe…” mereka tertawa.

“ Nak angkat bila Hafiz? Sekarang?” Hafiz mengangguk.

Mereka menuju ke bahagian bawah rumah. Peti sejuk itu masih berada di tempatnya. Pak Leman mengangkat bahagian atas manakala Hafiz bahagian bawah. Susah juga hendak menarik keluar peti sejuk yang sudah separuh terbenam.

Mereka mencuba lagi. Kali ini Pak Leman menggali sedikit tanah yang menghimpit di sekeliling peti sejuk itu. Berjaya diangkat lalu diletak di tepi.

Aaaaaaaaaaaaaarghh!!!

Plastik hitam.

Pak Leman terkejut. Pelik. Longgokan plastik hitam menyebabkan Hafiz terjerit seperti seorang perempuan. Hafiz terpaku. Terdapat banyak lagi longgokan plastik hitam seperti yang dijumpai di dalam peti sejuk pada hari itu. Terdapat sehelai kertas putih yang sudah dimamah usia terlekat pada salah satu bungkusan. Ada sepotong ayat yang agak sukar untuk dibaca tertulis di situ.

“ Kalau ada masalah, pasti ada penyelesaiannya.”

Hafiz menyalakan api dapur. Minyak masak dituang sedikit ke dalam kuali. Dibiar dahulu supaya panas. Sambil itu dia menjenguk ke arah isterinya yang sedang memotong bawang di meja makan.

“ Eh, isteri abang ni kan mengandung. Tak payahlah buat kerja-kerja ni…” ujar Hafiz sambil mengusap-usap perut Intan.

“ Alah abang ni, potong bawang je pun. Bukan kerja berat…” balas Intan.

“ Yelah, abang takut anak dalam perut ni nangis kang sebab awak potong bawang tu. Hehe…” gurau Hafiz.

Setelah pelbagai rintangan yang dilalui, akhirnya kehidupan mereka kembali seperti sediakala. Tinggal di rumah flat, mempunyai pekerjaan yang stabil, hutang dan pinjaman semua sudah terlunas, dan tiada lagi Along yang mengekori. Hidup yang tidak terlalu mewah tetapi tidak terlalu miskin. Sederhana sahaja. Semuanya atas bantuan wang empat juta ringgit yang dijumpai di bawah peti sejuk buruk itu.

Tiada siapa tahu sehingga sekarang mengapa semua wang itu disembunyikan di situ. Dalam banyak-banyak tempat, tempat itu juga yang dipilih.

Hafiz dan Intan kembali bersama setelah Hafiz menjelaskan segala-galanya. Ketika dia berada di kelab malam yang juga sebuah pusat perjudian, ada seorang wanita mabuk yang menerjah ke arahnya lalu terus mencium-ciumnya. Wanita itu menyangka bahawa Hafiz adalah teman lelakinya. Gila.

Tuk! Tuk! Tuk! Assalamualaikuuuum!

Pintu rumah diketuk. Suara seorang lelaki memberi salam kedengaran sehingga ke dapur. Hafiz membuka pintu. Intan turut mengekori langkahnya.

“ Waalaikumussalam. Cari siapa encik?” seorang lelaki segak berpakaian lengkap dari kot hitam sehingga ke kasut kulit sedang berdiri di hadapan pintu, tersenyum.

“ Ah, memang tak salah lagi! Akhirnya jumpa jugak! Enciklah yang saya cari. Encik tak ingat saya ke?” tanyanya sambil menuding jari ke arah mukanya sendiri. Hafiz menggeleng.

“ Enciklah yang mengubah hidup saya. Saya akan ingat muka encik sampai bila-bila. Disebabkan RM 100 yang encik sedekahkan kepada saya semasa saya seorang pengemis dulu, sekarang saya hidup senang…”

Hafiz teringat. Memang ada sekali dia bersedekah kepada seorang pengemis jalanan di bandar. RM 100 sahaja. Sewaktu baru memperoleh durian runtuh itu. Itulah kali pertama dan terakhir dia bersedekah sebelum hawa nafsu menguasai diri.

“ Sebagai penghargaan atas kegembiraan saya, saya nak hadiahkan encik ni…” sehelai cek yang telah ditandatangani dihulurkan.

RM 2,000,000.

Hafiz dan Intan saling berpandangan.

Tersenyum.

 

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini