Mindanya
bagai dibawa masuk ke satu ozon baru yang membuatkannya terus kaku,
Sesekali dia meracau sendirian di hadapan cermin. Manik-manik peluh
berjejeran dan nafasnya bagai memberat. Titis-titis manik jernih yang
bercucuran bagai diresap jambang liarnya. Adakah lorong kisah silam
menjadi laluan mindanya? Entah bila mulai dia berkelakuan
begitu tidak diketahui dan dia kekal begitu hinggalah ke hari ini.
Matanya mulai mengecil pada ketika dia kaku sendirian di hadapan
cermin. Seboleh-bolehnya dia meletakkan sepenuh tumpuan pada cermin
berkabut. Entah apa yang dilihat sebenarnya?
Dirinya
kini diangkat ke satu fasa baru kehidupan. Entah pelabuhan mana yang
dituju kali ini tidak dapat dipastikan. Di dalam dunia ini, dia
sebenarnya mengetahui arah dan insan yang ditunggu-tunggu.
Kerana itulah dia sanggup berkuyup di hadapan cermin. Susuk kenangan
mulai membentuk melalui kepul-kepul udara ringan yang tidak dapat
dipegang biarpun tangannya yakin seolah-oleh dapat menyentuh dan
merasa. Dia menggosok-gosokkan tangannya sambil membiarkan matanya
berair menunggu tanpa berkelip. Dia menunggu seboleh mungkin,
sehinggalah latar kenangannya membentuk inci-inci memori bergabung
dengannya sebagai relung fantasi yang tidak terjangkau realiti.
Ketika
ini mutiara matanya terbeliak memerhatikan watak yang sudah nyata
terbentuk melalui benih memorinya. Watak itu kemudiannya sengaja
diretak-retakkan dalam diam. Susuk tubuh berjaket memakai topeng
putih dan hitam kembali ke zarah asalnya dalam bau darah yang
meloyakan. Watak itu serta-merta hilang setelah terasa bahunya
disentuh hangat sepasang tangan mahligai yang begitu ditagihnya. Dia
merayapi kenangannya biarpun ia hanya mengigal dalam memorinya.
Kembali dia menghidu haruman kasturi tak berbagi.
Dia
mengukir senyuman kemenangan setelah watak itu hilang dan mata
akalnya kembali menatap Maria. Seluruh wajahnya digomol oleh
pandangan mata Maria penuh kerinduan. Seluruh rawannya diserahkan
semahu-mahunya selagi ada waktu mereka bertemu. Merpati dua sejoli
yang saling melengkapi di antara dua jiwa. Sama-sama tamat pengajian
di universiti dan bekerja sebagai penganalisis ekonomi. Kedua-duanya
sama meningkat naik dan membezakan mereka ialah relung realiti dan
fantasi. Dia mentafsir latar memori ini tidak ubah seperti zamannya
di sekolah dulu. Mereka berkhidmat sebagai pengawas pusat sumber yang
tidak pernah lari dari kesetiaan terhadap masa. Langit yang sudah
tercalit warna senja bagai memayungi tubuh dia dan Maria setelah
pulang dari tugas di perpustakaan.
Di
tangga pejalan kaki itu, mereka duduk bersebelahan sambil dia
memerhati Maria yang lengkap berseragam sekolah. Sudah lama dia tidak
menemui Maria dalam keadaan sebegitu rupa. Tangan Maria betah
menyelak novel dari satu muka ke satu muka surat yang lain. Dia tidak
berani membuka bicara. Bola mata Maria masih lagi serius bagai tidak
mahu sebarang gangguan. Atau mungkin Maria merajuk pada dirinya? Atau
sayangnya sudah beralih arah? Dia menunggu jawapan yang pasti. Cuping
telinganya kemudian terdengar bisik gema yang perlahan namun jelas.
Maria masih lagi tegas seperti tadi, langsung tiada sekelumit
pergerakan dari bibirnya.
“Mengapa
lama tak datang jumpa? Adakah hidup kau sudah tenang sekarang? engkau
lupakan aku kerana kau roh berjasad manakala aku bukan seperti
kemahuanmu?” Maria kemudiannya memerhatikan jam di tangannya dan
berpaling melihat dia yang menggigil ketakutan.
‘Maafkan
aku, Maria. Aku perlukan kau sampai bila-bila. Di dunia ini saja aku
dapat temui kau. Aku sangat rindu pada kenangan kita’ Dia merenung
Maria semula dan sebaris senyuman dikuntumkan seikhlas mungkin
bersama gema suara yang tidak terucap dari bibir.
“Mengapa
awak sanggup tunggu saya? Patutnya awak balik. Tak payah risaukan
saya., sekejap lagi ayah sampailah” Maria bercakap sambil melihat
jam di tangannya./ Kali ini bicara itu keluar jelas setiap butir.
Suara yang menjemput debar. Suara wanita yang lemah-lembut namun
penuh ketegasan.
Soalan
itu membuatkannya terdiam seribu bahasa. Mana mungkin dia sanggup
melepaskan orang yang disayanginya bersendirian. Setiap rasa cinta
itu perlukan tanggung jawab. Dia merasakan dirinya bertanggung jawab
memayungi keselamatan Maria. Kutu-kutu rayau sekolah masih lagi duduk
melepak di perhentian bas. Itu af’al mereka. Dia memerhati mereka
dengan pandangan mata yang menyinga. Setiap satunya terakam di minda
bawah sedar.
“Tak
apalah. Saya tunggu dengan awak. Jangan lupa awak tu orang
perempuan!” Dia menarik nafas dalam bagi memulihkan semangat dan
ingatannya terhadap memori pertama mereka berkenalan di bangku
sekolah rendah. Mereka terlalu muda ketika itu. Cintanya ketika itu
ditenggelamkan atas dasar persahabatan. Tiada perkataan cinta apatah
lagi kasih kekasih. Dia kembali menelusuri wajah Maria yang kelihatan
kasihan terhadap dirinya.
“Awak
baik pada saya, walaupun saya ni baru muncul semula dalam hidup awak
setelah sekian lama hilang” Maria menyulam lembut kata-kata dan
menutup novelnya lantas meletakkannya di sisi fail.
‘Tak
mungkin, bukan kerana saya baik tapi saya dah lama menunggu. Menunggu
dan menolak semua hemburan masalah yang datang. Perempuan umpama
masalah tapi awak lain’ kali ini dia bermonolog sendirian dan
mengambil novel yang diletakkan bersebelahannya.
“Awak
dah baca novel Epilog Cinta ni?” Maria merenungnya yang sudah
tersenyum kemudian dia mengangguk sebelum mengelus anak rambutnya ke
belakang. Novel itu digenggam erat.
“Kasih
itu umpama pelangi, cantik dipandang tapi tidak dapat dipegang” dia
menyebut bait-bait kata itu penuh penakulan makna dan menyambar
segenap ruang yang dimilikinya ketika ini. Fahaman romantisisme yang
akan membawanya di setiap ceruk emosi kewanitaan Maria.
‘”Tapi
bagi saya, cinta awak umpama dewi yang bercahaya dan menikam sukma.
Terasa lebih indah menjadi rahsia diri” Maria menyelesaikan
bait-bait kata dengan nada mendatar. Tiada pula terlihat
cebisan-cebisan melo cinta yang menggemersik ketika butir perkataan
itu terucap. Dia mati dalam ruang emosi yang tertancap.
‘Tolonglah
Maria. Saya dah gagal dalam realiti, kerana itu saya buka relung masa
ni untuk awak faham. Dulu saya memang gagal’ Dia berteriak pada
saat manik-manik hujan mulai terurai dari dada langit dan dari celah
bocoran genting menitis mencorak baju ungu pengawas mentompokkan
kebasahan. Gema itu terlalu kasar dan mencerna setiap ruang di situ.
‘Janganlah
percaya! Dengar dan ikut perintah saya. Gema ini satu kebenaran yang
awak perlukan. Sebagai tanda ketenangan dalam sesuatu yang berbeza’
gema suara Maria menegaskan tanpa perlu menguntumkan sebarang bunyi.
Dia akan melaksanakan impiannya. Maria sudah dihadapan mata namun
emosi yang tidak tertahan memaksanya memejamkan matanya rapat dan
melancarkan pernafasan yang mengombak di dada.
‘Saya
mencintai awak, Maria. Jujur, mengenali awak seperti kita tidak
pernah kenal. Ada satu kuasa yang membawa saya ke mari. Engkau
sendiri Maria!’ emosinya sahaja yang mengeluarkan perkataan melalui
fasa pemikiran. Saraf pemikirannya tidak pula dikeluarkan melalui
ucapan lisan. Maria tidak mengerti apa-apa.
Dia
masih lagi memerhati Maria yang sedang berdiri di kanannya untuk
berjalan ke hadapan. Dia langsung tidak menghalang namun tidak pula
dia merasakan satu kekosongan. Demi janji-janji yang dibuat, dia
perlu menjaga Maria dengan nyawanya sendiri. Kakinya melangkah ke
hadapan tetapi suara-suara kasar bergema dari belakang menyebabkannya
tertoleh-toleh ke belakang. Maria akhirnya hilang ditelan kegelapan
yang dicipta melalui fikirannya sendiri. Dia hilang dalam kemelut
rindunya.
Gema-gema
yang meningkah dari pelbagai sudut ruang emosi muncul dari fikiran
bawah sedarnya. Spektrum cahaya yang berhimpit-himpit menyaksikan
seluruh cahaya memasuki ruang gelap yang menelan Maria. Suara ketawa
semakin kuat bagai memecah gegandang telinga. Apakah yang wujud di
balik ruang gelap itu? Warna tubuhnya mulai berpusar-pusar
menjadikan nafasnya sesak. Ruang udara yang kian sempit membawanya
terus menuju ke satu destinasi tidak bernama dan entah di mana. Dalam
wadah pencarian seorang Maria.
Dia
melihat lapangan putih yang kemudiannya menjadi jisim-jisim mulai
terbentuk mengikut arah pemikirannya. Insan-insan yang selama ini
menjadi rakan sekerjanya mula memenuhi ruang lapangan. Objek-objek
seperti meja pejabat, komputer, dan pendingin hawa kemudiannya bagai
zarah-zarah yang saling terikat dan nampak nyata. Bunyi tepukan
benar-benar menggusarkannya. Tangannya diletakkan di telinganya
kerana bunyi bingit yang memenuhi ruang membuatkan dadanya berombak
pantas apatah lagi dia mengenang kembali peristiwa itu. Ini peristiwa
berdarah yang menjadikannya kalah dalam medan kerjaya. Dia perlu
keluar dari lapangan ini.
“Tahniah
Maria! Awak dah berjaya dalam menaikkan lagi kejayaan syarikat kita!
Awak dah dinaikkan pangkat!” terdengar satu suara di sebalik
keriuhan orang ramai. Suara lembaga syarikat yang meraikan Maria
bagai menghiris jiwa malah keegoannya. Dia melihat dadanya tika
merasa satu luka sudahpun berguris lalu membentuk parut yang tidak
diketahui bila datangnya. Dia tak pernah ingat tentangnya.
Gema-gema
kasar menyentak pemikirannya ketika ini. Bola matanya mengikuti susuk
tubuh menyerupai dirinya yang kemas berpakaian formal sedang melempar
fail kerjanya ke dalam sebuah kotak. Buku-buku di atas meja
diselerakkan malah sebuah kalender meja dicampak kasar ke dalam kotak
yang sudah tersedia di atas meja.
“Aku
akan bunuh kau Maria!” Terdengar gema kasarnya saling bertarung
dengan bunyi tepukan malah teriakan rakan-rakannya yang memuji Maria
di atas kejayaannya begitu hipoktrit. Dia yang melihat suara kasar di
sebalik dirinya yang dulu benar-benar meruntun jiwanya.
‘Aku
takkan bunuh Maria apatah lagi dia!’ suaranya bergema di halkum
sambil matanya meratah pandangan terhadap dirinya sendiri lalu
berjalan tidak terntu hala lalu setelah menemui jalan buntu.
Dia
berhenti berjalan mundar-mandir dan kembali menyusuri pandangan
dengan dirinya yang lama dengan rasa terkejut. Mukanya yang kusam dan
berselirat dengan jambang mempamerkan masalah yang teramat dahsyat.
Dia tidak akan percaya!
Rasa
benci menyaluti setiap darah dan nadinya. Setiap individu yang
bersalaman dengan Maria langsung tidak diendahkannya. Dia bagaikan
bayang-bayang halus milik setiap individu terus melangkah ke arah
dirinya yang lama dan melepaskan tumbukan sebaik sampai di
hadapannya. Buah pukulnya langsung tidak tepat malahan membuatkannya
jatuh terlentang di hadapan dirinya yang lama. Dia malu sendiri.
Maria yang tersenyum disangkakan tersenyum kepada dirinya. Dia cuba
menggapai wajah Maria namun dirinya bagai tidak wujud manakala
wujudnya babak itu seolah-olah wayang yang dimainkan secara paksaan.
‘Aku
minta maaf pada kau’ suara gema kedengaran semula pada saat dia
terduduk memerhatikan dua pandangan keruh yang saling berpandangan.
Dia menggeleng-geleng menidakkan suara itu.
‘Engkau
tak salah sebab rezeki itu milik kau!’ Dia menyatakan perkara itu
di dalam gema yang penuh dengan esak tangis. Dia memerhatikan dirinya
yang lampau menuding jari ke arah Maria dengan pandangan yang
memebengis. Dia sendiri menggigil memerhatikan dirinya yang lama.
Asbab yang tidak diketahui. Apakah yang melanda kejiwaannya ketika
itu?
“Aku
dah dapat kerja ni. Itu pun disebabkan bantuan kau! Aku tak pernah
menipu untuk dapatkan tempat ni! Ya, memang rezeki aku!” Maria
membalas selumbar yang mencucuk dirinya dengan racun yang
menyakitkan. Dia merasakan dadanya menjadi sakit dan tangannya
bertambah berat. Dia tidak mampu bergerak ketika itu. Cukup sekadar
pemerhati.
“Engkau
khianat aku, kau tukar kerja aku dengan rekod yang tak masuk akal?
Apa salah aku?” Dia merendahkan bicaranya dengan harapan Maria akan
ingat siapakah dirinya yang sebenar. Matanya terbeliak membalas
jelingan seluruh rakan sekerjanya. Kakitangan umpama pepijat kecil
yang menggatalkannya. Menghisap darah tak tentu pasal.
‘Percayalah
yang aku takkan sanggup rosakkan masa depan kau/’ dia yang masih
terduduk tidak mampu bergerak mahupun membalas gema yang kedengaran.
‘Aku
cuba nak terangkan tapi apa yang kau dah buat…’ suara gema
kedengaran lagi tapi gemanya kian menipis dan menghilang sebaik angin
yang membawa tubuhnya ke belakang dan spektrum-spektrum cahaya saling
berlanggaran dan kembali ditelan ke dalam lubang gelap kecuali
dirinya, dia yang lama dan Maria yang masih seperti tadi. Udara
yang kian tegang dan marak dengan nadi amarah.
‘Disinilah
segalanya bermula, cubalah kau perhatikan lelaki yang memakai topeng
separuh putih dan separuh hitam.. halang dia’ bisikan itu
membuatkan dirinya diselubungi satu kuasa yang tiada batasan. Dia
diam dan membataskan tenaganya semampu mungkin sehinggalah dia
terlihat lelaki bertopeng mengeluarkan sebilah pisau panjang sambil
menunggu di tempat parkir yang dibina berdasarkan ingatan bawah
sedarnya.
‘
Nak
halang apa? Bagaimana nak aku halang? Dia pegang pisau untuk apa?’
suara-suara halus dari fikirannya yang berbelah bagi bagai merenjat
keseluruhan kudratnya.
‘Beberapa
minit lagi akan muncul diriku... selamatkan aku dari pembunuh itu’
Maria mengingatkannya dari gema-gema yang kedengaran. Dia memandang
ke sekeliling tempat parkir pejabat yang dibina serupa seperti mana
realiti.
Bagai
dirasuk roh jahat, dia akur kepada suara gema Maria yang menyuruhnya
membela dan menyelamatkannya. Mungkinkah dia sudah terlambat? Bunyi
pembuka kunci kereta automatik kedengaran dari arah hadapan lalaki
yang bertopeng. Manakala lelaki yang bertopeng itu sudah bersedia
bersama sebilah pisau panjang yang menanti mangsa sulungnya. Dia
mengejar Maria dan berada di hadapan Maria sewaktu bilah pisau itu
merodok batang tubuhnya. Darah merah melimpah membasahi tubuh. Bukan
tubuhnya tapi Maria sudah jatuh terjelepuk ke lantai. Dirinya
langsung tidak terusik.
Dia
melihat sendiri sakitnya sakaratul maut yang menimpa Maria. Kesakitan
akibat sakitnya mati apatah lagi tangkai nyawa yang dicabut secara
paksaan. Dia meraung sebaik sahaja melihat mata kekasihnya yang
terbuntang kerana nyawa yang diragut dalam seksa. Dia merintih
sendirian dalam sedu. Bunyi tawa kedengaran di hadapannya. Lelaki itu
mengelap darah merah yang melekit di tangan pembunuhnya ke topeng
putihnya yang kini bercampur dengan lendir merah.
‘Engkau
dah bunuh Maria. Sekarang kau pula yang patut mati!’ Suara garaunya
memecah kesunyian malam. Malam berdarah yang menyaksikan nyawa
kekasih diragut.
Dia
yang sudahpun bangun mengangkat bilah pisau tajam yang terbenam pada
tubuh Maria. Manakala lelaki bertopeng itu juga mengeluarkan sepucuk
pistol Smith&Wessondan
menarik picu pistol. Belumpun sempat picu pistol ditarik, dia telah
menolak lelaki bertopeng itu jatuh di hadapan bonet kereta manakala
pistol dari tangan lelaki tersebut menggelungsur ke lantai.
Lelaki
bertopeng itu tidak bersuara selain merengus pada saat mata pisau
ditoreh ke dadanya. Darahnya mengalir dan dia juga turut merengus
sama hinggalah dadanya turut merasa sakit yang sama. Semakin lama
ditoreh dada lalaki bertopeng itu, semakin dia merasa sakit. Lelaki
bertopeng itu ketawa bagai tiada kesakitan lagi yang dirasai. Dendam
yang selama ini disimpan telah terlaksana. Dia tidak kisah berdarah
dan luka itu tidaklah sedalam kesakitannya selama ini.
Dia
membuka topeng lelaki itu dan melihat susuk dirinya sendiri sedang
menangis teresak-esak. Sekejap ketawa dan kemudiannya menangis
semula. Perasaan berbaur-baur menghentikan pemikiran warasnya. Dia
mengucap seboleh-bolehnya. Dan melepaskan rentapan kasar pada kolar
jaket dirinya yang bertopeng.
“Engkau
bunuh Maria?” dia menggigil tidak percaya. Pemuda bertopeng tadi
bangun dan melepaskan sepakan ke sisi tubuhnya hinggalah dia
menundukkan badan menahan kesakitan akibat sepakan deras yang
dialami.
“Bukan
aku yang bunuh, kita yang bunuh!” pembunuh Maria tadi meracau tak
tentu hala. Dia tidak bersetuju jika dikatakan dirinya yang patut
dipersalahkan.
“Kita
sama-sama berdendam dan dia patut dihukum” pembunuh Maria
mengingatkannya tentang apa yang telah terjadi.
“Aku
dah tak berdendam… aku lepaskan dia dan kau pun patut lepaskan
aku?” dia merayu dan menarik hujung seluar pembunuh bertopeng.
Pembunuh tadi melemparkan topengnya ke tepi dan membuka jaketnya.
Luka tadi diseka dengan jaketnya yang kini dibasahi darah. Dia turut
membuka baju kemejanya demi melihat dadanya yang sudah bergaris parut
tapi tidaklah berdarah seperti mana yang terjadi kepada pembunuh
bertopeng.
Pembunuh
Maria tadi segera menggapai pisau yang terdapat pada bonet hadapan
kereta dan mengahampirinya dengan perlahan. Tiga kali tusukan pisau
menyebabkan dirinya menggigil dan jatuh menongkat tubuhnya dengan
lutut. Tangisnya mengalir deras disamping kesakitan yang tidak pernah
terlepas dari mimpi-mimpi gemanya. Azan subuh memanggil hamba-Nya
bersama-sama sujud kepada kekuasaan Allah. Dia menteriak nama Allah
sambil menahan sakitnya.
Ketika
pesakit kejiwaan lain sedang enak tidur, dia sudah pun terjaga dalam
tangisan serta teriakannya menyambut azan subuh yang menuntut
hamba-hambanya menunaikan solat fardu sebagai hak seorang mukmin.
Suntikan tunggal setiap pagi sudah menjadi rasmi bagi dirinya.
Biarpun terlepas dari hukum mati mandatori. Tidak pernah sekalipun
rasa bersalah itu luput selepas matinya Maria di balik gema-gema yang
menjemputnya saban keheningan subuh.
February 17, 2013 at 11:37 PM
cerpen yang memang power. siapa penulis cerpen ni? memang power la. kudos!