SUASANA semakin
gelap. Kiri kanan sudah berubah. Tiada lagi lampu jalan yang menerangi . Hanya
pokok-pokok tinggi yang kelihatan di kiri kanan jalan. Jalan pula semakin
sempit, cukup-cukup untuk sebuah kenderaan saja. Entah kenapa kali ini dia
mengambil jalan lama. Dari lebuh raya tadi, tergerak hatinya untuk melalui
jalan lama menuju ke destinasi. Jam sudah menghampiri sembilan setengah malam.
Ali meneruskan
juga perjalanan. Tidak dihiraukan segala apa yang terfikir di benak. Panggilan
dari isteri tersayang siang tadi cukup merentap hatinya untuk pulang segera.
Ah! Beginilah rutin hidup bila sudah berjauhan. Dia di KL, isteri pula di
bandar KT. Terpaksa berjauhan demi mencari sesuap nasi . Teringat wajah isteri
yang setia menunggu kepulangannya setiap hujung minggu. Usai kerja, dia terus
memecut laju ke lebuh raya. Walaupun penat, demi isteri dia rela memandu pulang
walaupun jauh. Jarak yang jauh sudah tidak ada dalam kamus hidupnya. Semuanya
terasa dekat. Sesekali dia menguap.
Pemanduannya masih
diteruskan meredah kegelapan malam. Jam sudah melebihi sepuluh malam. Matanya
melilau mencari surau atau masjid. Masuk waktu maghrib tadi dia sudah berniat
untuk jamak takhir. Kali ini keretanya dipandu perlahan. Sekeliling masih
gelap. Kiri kanan pula kini dipenuhi hutan tebal. Hanya cahaya lampu keretanya
saja yang menerangi sepanjang jalan yang dilalui.
“Mana pulak
surau ni..”
Ali memandu
perlahan. Kali ini dia amati betul-betul di kiri kanan jalan. Nun jauh di depan
kelihatan cahaya berbalam-balam. Dia mula senyum. Mungkin dia sudah sampai di
sebuah kampung. Lega. Pedal minyak ditekan kuat. Tiba di simpang jalan,
kelihatan di kiri jalan sebuah rumah kecil. Cahaya berbalam tadi rupanya datang
dari arah rumah tersebut. Keretanya segera membelok ke kiri.
Ali masih lagi
dalam kereta. Masih memerhati. Perlahan dia keluar dari kereta dan mula
melangkah ke arah rumah itu. Pintu diketuk beberapa kali sambil memberi salam.
Senyap. Sekali lagi dia memberi salam. Masih senyap. Angin mula bertiup
perlahan. Dia intai melalui celah lubang di pintu. Memang tepat jangkaannya,
cahaya berbalam tadi datang dari sebuah pelita usang dalam rumah itu. Daun
pintu ditolak perlahan. Kelihatan seorang lelaki tua berkain pelekat dan
berbaju melayu sedang duduk bersila. Kopiah atas kepala sudah senget, hampir
melurut. Lagaknya seakan menahan lelah. Mulutnya bergerak-gerak membaca
sesuatu. Dia perhati lagi. Di tepi dinding ada sebuah rak lama. Hanya ada
beberapa buah kitab lama disusun atas rak itu. Sehelai sejadah lusuh dilipat
kemas atas lantai yang dialas dengan tikar getah kusam.
“Assalamualaikum.”
Lelaki itu masih
kumat kamit membaca sesuatu. Mungkin berwirid bila melihat ada seutas tasbih di
tangannya. Sekali lagi Ali memberi salam. Lelaki tua itu mendongak sambil
tersenyum. Muka lelaki tua itu dipenuhi peluh.
Ali pandang
sekitar rumah itu. Tiada tanda-tanda bahang dari situ malah angin luar menyapa
lembut ke dalam rumah itu. Macam mana pula pakcik ni boleh berpeluh
begitu???
“Err..boleh
saya tumpang solat?”
Agak gementar
suara Ali memulakan bicara. Dia senyum kepada lelaki tua itu. Tanpa sepatah
kata, lelaki tua itu hanya mengangguk.
Ali segera
mendekati tempayan besar yang terletak di depan rumah. Gayung yang memang telah
tersedia di tepi tempayan itu dicapai dan mula mengambil wuduk. Dia mula masuk
ke rumah. Lelaki tua itu mula memberi ruang kepada Ali. Dia undur ke belakang
supaya Ali boleh menunaikan solat di bahagian hadapan.
Selesai solat, Ali
sempat berdoa. Tangan ditadah sambil mulut kumat kamit membaca doa. Usai
berdoa, dia menoleh ke arah lelaki tua itu dengan niat ingin bersalam dan
mengucap terima kasih kerana sudi mempelawanya menunaikan solat di situ.
Dilihatnya lelaki itu sudah tiada.
“Mana pulak
orang tua ni..”
Ali pandang pula
ke arah pintu. Angin dari luar semakin kuat menerpa masuk ke dalam. Kesejukan
angin itu terasa hingga menusuk tulang. Dia bersandar sekejap di tepi dinding
melepaskan penat memandu. Melunjurkan kaki bagi menghilangkan lenguh.
ALI mula bangun
dan menuju ke arah keretanya. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa gerangan
lelaki tua tadi. Sekelip mata lelaki itu hilang dari pandangan.
“Ah..janji aku
sudah selesai melaksanakan suruhan Tuhan.”
Kini perasaannya
mula lega. Urusannya sudah ditunaikan. Dia meneruskan perjalanan. Tiba di simpang
jalan tadi, Ali mula bingung. Seingatnya tadi jalan itu bersimpang tiga. Kali
ini, simpang itu telah menjadi empat. Dia menggaru kepala memikirkan simpang
mana yang harus diambil. Jenuh dia mengingati arah asal di mana dia membelok ke
arah rumah tadi.
“Agaknya simpang
ni kut..”
Ali mengagak
sendiri jalan yang dilalui tadi. Keretanya perlahan meredah jalan kecil. Kali
ini dia terpaksa menggunakan lampu tinggi untuk melihat jalan di depan. Kiri
kanan masih dipenuhi dengan semak dan pokok-pokok besar. Gelap pekat.
Dia memandu lagi.
Dari jauh dia nampak seakan sebuah perkampungan. Cahaya malap kelihatan di kiri
dan kanan jalan. Lega. Ada juga kampung di laluanini.
“Eh! Apa pula tu?”
Kening Ali
berkerut. Dari cahaya lampu kereta, dia dapat melihat dengan jelas ada sesuatu
di hadapannya. Dia beranikan diri memandu ke depan. Jalan itu yang dipilih
tadi. Dalam hatinya mula gementar. Otaknya mula berfikir pelik. Terkumat kamit
dia membaca ayat Kursi. Terasa lidahnya sudah keras.
Ali masih
memerhati kelibat itu. Kali ini semakin jelas. Dari dalam kereta dia dapat
melihat satu susuk tubuh sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Dia semakin
berdebar bila lembaga itu mula menghampiri keretanya. Dari cahaya lampu kereta,
lembaga itu masih kelihatan samar.
“Alamak! Benda apa
pulak ni!!”
Ali pasang CD
bacaan Al Quran dan terus tekan volume hingga ke maksimum. Dia mula panik.
Matanya bulat memandang ke arah lembaga itu. Kereta dikunci cepat-cepat.
Lembaga itu kini sudah berada di depan keretanya.
“Makhluk apa
ni???”
Ali mula berpeluh.
Ayat Quran yang dipasang tadi tiba-tiba terhenti. Dia semakin panik. Digagahi
juga membaca segala apa ayat yang diingati. Segala-galanya terasa lintang
pukang. Makhluk di depannya sudah menampakkan giginya. Dia dapat melihat dengan
jelas rupa makhluk itu. Jelas gigi tajam dengan tanduk dua yang melengkung ke
atas, berbulu hitam lebat. Mata merah menyala! Pada firasatnya, ia bukan
kerbau..bukan lembu dan tak mungkin kambing. Kerana ia lebih besar dari kambing
yang selalu dilihat. Ah! Takkan gajah pulak?? Makhluk itu merenungnya tidak
berkelip. Ali masih diam kaku di dalam kereta.
“Ah! Baik aku
langgar je benda ni! Kalau aku macam ni..bila aku nak sampai rumah??”
Ali terus menekan
pedal minyak dan mula memecut melanggar makhluk di depannya. Dari cermin
belakang, dia dapat melihat makhluk itu terpelanting dan terus hilang.
Keretanya dipandu laju membelah kegelapan malam. Dalam hatinya mula merasa
menyesal. Menyesal kerana melalui jalan lama itu. Kononnya jalan itu jalan
pintas.
Sekali lagi dia
sampai di simpang empat. Setahunya hanya satu saja simpang empat di jalan itu.
Sudah dua kali dia melalui jalan lama itu. Dilihat kiri kanan jalan. Suasana
seakan sama dengan simpang yang mula-mula tadi. Dia mula pening. Bingung.
“Nak pergi arah
mana ni..kalau dulu aku terus je..”
Ali mula tidak
peduli pada simpang itu. Dia terus memandu tanpa membelok mana-mana arah.
Terasa masa begitu lambat. Dia jeling jam. Sudah melebihi dua belas tengah
malam. Kiri kanan jalan masih gelap.
Tiba-tiba dia
menekan brek bila melihat satu kelibat mula melintas di depan. Jantungnya
berdegup kencang. Dia mengurut dada. Kuuss! Semangat! Hampir-hampir
dia terlanggar! Dia terus berpaling ke kiri. Matanya terbeliak. Mulutnya
ternganga.
“Macam mana pulak
pakcik ni boleh ada kat sini???”
Ali mula bingung.
Lelaki tua dari surau yang tak macam surau tadi sudah tercegat di bahu jalan.
Dari sinaran cahaya lampu keretanya dia dapat melihat dengan jelas di tangan
lelaki tua itu ada sebuah mangkuk yang berasap. Bau kemenyan menusuk hidung.
Lelaki itu masih merenungnya. Kali ini bukan dengan senyuman tapi riak wajah
lelaki tua itu nyata berlainan.
Ali segera keluar
dari kereta dan mendekati lelaki tua itu. Dirinya merasa bersalah. Teringat
kebaikan lelaki tua itu yang telah memberinya ruang untuk solat tadi.
“Err..assalamualaikum
pakcik..terima kasih kerana sudi benarkan saya solat tadi. Tapi macam mana
pulak pakcik boleh ada kat sini?” Ali memberanikan diri bersuara.
Lelaki tua itu
masih diam. Wajahnya mula berubah. Dia pandang Ali dengan riak bengis. Ali mula
kecut. Apa kena pulak orang tua ni?? Salah ke aku tanya tadi??
“Kau buat apa lalu
jalan ni?”
Ali tersentak
mendengar suara garau lelaki tua itu. Ada nada marah.
“Err..saya
sebenarnya nak balik ke rumah saya di bandar KT. Selalu juga saya lalu jalan
ni..shortcut! Kenapa pakcik?” Ali garu kepala. Masih keliru dengan
pertanyaan lelaki tua itu.
Lelaki tua itu
masih merenung tajam ke arah Ali. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak membaca
sesuatu. Ali hanya memerhati tingkah lelaki tua itu. Seolah-olah lelaki tua itu
sedang membaca mantera.
“Mana benda tu?”
Ali masih bingung
bila lelaki tua itu mula bertanya soalan yang pelik. Dia pandang lelaki tua itu
dengan pandangan keliru.
“Benda apa
pakcik?”
“Benda yang kau
langgar tadi! Mana dia??!!”
Lelaki tua itu
mula meninggikan suara. Matanya tepat memandang Ali yang masih berdiri di
depannya. Tangannya mengipas-ngipas asap kemenyan menghala ke arah kiri dan
kanan. Sesekali dia tiup bara kemenyan dan menghembus perlahan.
Ali semakin
bingung dengan lagak lelaki tua itu. Bingung bila melihat di tengah-tengah
hutan dan lorong jalan yang sempit pada waktu malam begitu tiba-tiba ada
seorang lelaki tua bersama kemenyan berasap. Siapa gerangan lelaki tua itu??
Pening!
“Err…saya
tak faham..benda apa pakcik?”
Ali masih bingung.
Dia pandang pula ke arah jalan di depannya. Ada cahaya dari beberapa buah rumah
tidak jauh dari situ. Bermakna sudah dekat dengan kawasan kampung. Kalau lelaki
tua itu cuba berbuat sesuatu, dia akan terus berlari ke arah kampung. Dia
berkira sendiri.
“Kau langgar benda
tu! Mana dia???!!” Lelaki tua itu mula marah-marah.
Ali mula teringat
makhluk yang dilanggar tadi. Makhluk itu telah terpelanting jatuh entah ke
mana. Tiada kesan. Hilang begitu saja. Dia pandang pula lelaki tua itu. Apa
kena mengena makhluk tu dengan lelaki tua ni? Siapa sebenarnya lelaki tua ini?
Semuanya bermain di benak. Dan…asap kemenyan itu pula…untuk apa???
“Err..benda
tu..sebenarnya apa pakcik?” Ali memberanikan diri bertanya.
Lelaki tua itu
masih merenung Ali. Matanya mula merah. Kali ini bekas kemenyan diletak atas
tanah. Kedua tangannya mula cekak pinggang.
Ali mula takut.
Lagak lelaki tua itu tidak ubah seperti seorang pendekar yang bila-bila masa
bersedia untuk bertempur. Gelanggang sudah ada.
“Kenapa kau
langgar benda tu?”
Ali pandang lagi
lelaki tua itu. Pening. Jelas benda yang dilanggarnya tadi begitu bermakna buat
lelaki tua itu!
“Err..saya
tak sengaja..” Ali bersuara tersekat-sekat. Bimbang sebiji penumbuk singgah di
pipinya nanti.
“Tak sengaja???
Aku nampak kau sengaja langgar! Sekarang kau kena cari balik benda tu! Aku tak
peduli!”
Ali tercengang.
Bingung dengan sikap lelaki tua itu. Cari??? Mana nak cari?? Rupa benda tu
pun tak berapa pasti! Adoi!!!
Ali jeling jam di
tangannya. Sudah hampir satu pagi! Pukul berapa aku nak sampai kalau macam
ni??? Dia garu kepala lagi.
“Err..nak
cari kat mana pakcik?” Ali sengih. Dia sendiri pun pening. Makhluk itu sudah
hilang entah ke mana!
Lelaki tua itu
terus mencapai bekas kemenyan yang diletak atas tanah tadi. Dia mula mengipas
dengan tangan sambil kumat kamit. Ali hanya mengikut rentak lelaki tua itu.
Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Lelaki itu undur beberapa langkah, Ali juga
turut mengikut. Seketika kemudian lelaki tua itu tersenyum. Ali turut senyum
macam orang bodoh.
“Aku dah hampir
dapat!” Lelaki tua itu senyum lagi. Semakin lebar.
Ali pandang lelaki
tua itu dengan muka berkerut. Hampir dapat?? Apa yang dapat???
Lelaki tua itu
meneruskan apa yang dibuat sebentar tadi dan mengulanginya semula.
Tuih! Tuih!
Tuih! Puhhh!!!
Ali melompat bila
lelaki tua itu mula meludah ke sekitar tempat itu. Dari cahaya lampu kereta,
dia dapat melihat dengan jelas. Tersembur air warna merah pekat dari mulut
lelaki tua itu. Dia tergamam. Darah ke??
Lelaki tua itu
senyum. Cebisan sirih yang melekat di celah giginya ditenyeh dengan hujung jari
telunjuk. Warna merah sirih masih melekat di gigi lelaki tua itu.
Ali lega. Nasib
baik sirih…dalam otaknya mula membayangkan yang warna merah itu adalah darah
yang dicarik dari daging! Mula terbayang lelaki tua itu seorang cannibal! Selamat
aku! Fuuuuhhhhh……dia mengesat peluh di dahi.
“Syyy!!!”
Ali jeling lelaki
tua itu. Hujung jari telunjuk diletakkan atas mulut yang dimuncungkan, terjuih
ke depan! Dia mula diam. Kemudian lelaki tua itu letak pula tangannya di
sebelah telinga kanannya. Tangan kiri masih memegang tempat bara kemenyan.
Badannya dibongkokkan sedikit sambil cuba mendengar sesuatu dari arah kanan.
“Kau dengar tak?”
lelaki tua itu berbisik.
Ali turut
membongkokkan badannya dan mula memasang telinga. Tiada sebarang bunyi. Dia
pandang pula lelaki tua itu. Dia hanya geleng.
“Sah kau pekak!”
Ali mula bengang. Betul
ke tak betul pakcik ni?? Aku tak dengar apa-apa pun!
Lelaki itu masih
begitu. Cuba mengamati suara dari arah kanan. Dia senyum lagi.
“Dah dapat! Aku
dah dapat!”
“Err..dapat
apa pakcik?” Ali masih bingung.
Tanpa menghiraukan
Ali, lelaki tua itu segera ke arah suara yang didengar tadi. Tempat bara
kemenyan diletak atas tanah semula. Dia tarik hujung kain pelekat dan
diselitkan pada pinggang. Lengan baju Melayu pula disingsing tinggi. Dia
terhendap-hendap ke arah semak di malam gelap begitu.
Ali hanya mengikut
dari belakang. Nak tak nak dia terpaksa mengikut mencari makhluk itu. Bulu roma
sudah mula meremang bila ternampak pokok-pokok kecil berkocak-kocak sendiri.
Semakin lama semakin kuat. Pantas saja tangan Ali pegang bahu lelaki tua itu.
“Kau takut apa?”
Ali pandang lelaki
tua itu. Sengih.
“Err…sa..saya
tak biasa tempat ma..macam ni..” Ali pandang sekitar hutan yang gelap. Angin
kuat menerpa pipinya. Meremang tengkuknya bila membayangkan suasana di situ.
Hanya orang gila saja yang akan berada di situ pada waktu begitu. Peluh menitik
laju di seluruh badan.
Lelaki tua itu
meneruskan misinya. Terhendap-hendap meredah semak tebal di depannya. Tiba-tiba
lelaki tua itu berhenti. Diam.
“Kau tunggu di
sini! Nanti isyarat dari aku! Kalau aku jerit, kau bertindak cepat. Faham!”
Ali bingung. Tunggu?
Isyarat? Bertindak???? Argghh!!! Apa ke benda semua ni????
Lelaki tua itu
membaca sesuatu.
Tuih! Tuih!
Tuih!! Puhhh!!!
Secepat kilat dia
melompat ke dalam semak. Hilang! Ali mula panik. Mana pakcik ni? Apa yang
harus aku buat??? Adoiii!!!!
“Cepat!!!
Tangkap!!!”
Tiba-tiba dia
mendengar sayup dari dalam semak suara lelaki tua tadi. Ali makin panik. Tangkap??
Nak tangkap apa???
“Tangkap!!!!”
Sekali lagi suara
lelaki tua itu bergema kuat. Ali kelam kabut. Tangannya mendepa luas. Kakinya
melangkah ke kiri dan ke kanan, lagak ingin menangkap seekor ayam jantan!
Mengepung kawasan! Tak tahu apa yang hendak ditangkap. Bingung!!
Tak semena-mena
tiba-tiba muncul di depannya makhluk dari celah semak. Makhluk sama yang
dilihat tadi. Lelaki tua itu masih hilang. Kini hanya makhluk berbulu hitam
saja berdiri di depannya. Matanya galak memandang Ali dengan dengusan kuat. Ali
terdiam. Kakinya menggeletar.
“Mengapa kau
langgar aku??”
Ali tercengang.
Tiba-tiba makhluk itu bersuara. Matanya bulat memandang makhluk itu yang masih
tercegat di depannya. Di mulut makhluk itu penuh dengan darah! Ah..mana
pulak pakcik ni???? Haru betul la!!
“Mengapa kau
langgar aku????!!!”
Sekali lagi
makhluk itu bersuara mengulangi soalan tadi. Ali semakin panik. Takkan
binatang boleh bercakap? Alien ke apa ni???Entah-entah pakcik tadi menjelma
sebagai makhluk ni! Atau..entah-entah makhluk ni telah makan lelaki tua tadi!!
Ali semakin takut.
Semua persoalan mengacau mindanya tika ini.
“Haa…er..er…ma..macam
mana kau boleh bercakap?” Ali garu kepala. Kakinya perlahan melangkah
ke belakang beberapa tapak. Bersedia untuk lari.
Makhluk itu
semakin dekat. Ali pula mula mengatur langkah berundur . Matanya tepat memandang
makhluk itu.
“Hahahahaaaa!!!
Aku tahu apa kau fikir! Lelaki tua bodoh tu telah mati kena siat! Aku sudah
makan dagingnya! Lazat! Kini giliran kau pula!!”
Ali panik.
Tekaannya benar! Makhluk itu telah membunuh lelaki tua itu. Kini dirasakan
seluruh anggotanya lemah. Kakinya pula sudah kaku. Keras. Peluh memercik laju.
Makhluk itu terus
menerkam Ali. Belum sempat Ali mengatur langkah, badan makhluk itu sudah jatuh
ke atas badannya. Ali rebah. Bulu lebat yang berwarna hitam mula menutupi
mukanya. Sesekali di bersin bila bulu makhluk itu mula menyentuh hidungnya.
Ali meronta dan
cuba melawan. Nyata kudratnya tidak setanding makhluk itu. Terasa nyawanya
sudah di hujung tanduk! Pedih mula terasa. Ali lihat tangannya diratah rakus!
Dia lihat pula kakinya disiat dengan lahap oleh makhluk itu.
Arggghhh!!!!!
Tolong!!!!! Jangan bunuh aku!!!!! Aku nak hidup lagi! Aku baru kahwin!!!!!
“NAK!!! NAK!!!”
Ali pandang
sekitar rumah itu. Matanya tertancap pada lelaki tua tadi. Seluruh badannya
berpeluh! Lelaki tua itu tersenyum. Masih dengan kain pelekat, baju Melayu dan
berkopiah. Tiada bara kemenyan.
“Err..pakcik
tak mati ke?”
“Mati???” lelaki
tua itu keliru.
Ali angguk.“Pakcik
mati dibaham oleh makhluk hitam tadi.” Mukanya pucat.
“Makhluk hitam?
Anak ni bermimpi agaknya!” Lelaki tua itu senyum lagi. Pengantin baru rupanya
anak muda di sebelahnya. Teringat kata-kata anak muda itu yang menjerit tadi.
Ali pandang pula
tubuhnya. Dia raba. Tangannya tidak putus! Kakinya tidak koyak! Semuanya
normal. Dia pandang pula lelaki tua itu. Jelas muka lelaki tua itu berpeluh
seolah habis berlari pecut!
“Anak ni tertidur
tadi. Lepas solat tadi, pakcik tengok anak bersandar di tepi dinding dan terus
terlelap. Penat sangat agaknya.” Lelaki tua itu senyum lagi.
Ali diam. Dia
pandang lelaki tua yang masih berada di sebelah. Di fikirannya terasa bukan
satu mimpi. Tapi mengapa tangan dan kakinya tidak luka??
“Err..mungkin
kut..” Ali bersuara perlahan. Dia sendiri masih keliru.
“Anak ni nak ke
mana malam-malam ni?”
“Saya nak balik
bandar KT. Habis kerja tadi saya terus balik. Saja ikut jalan sini ingat nak
cepat. Singgah kejap nak solat kat rumah ni..” Ali pandang lagi sekitar rumah.
“Ohh…sebenarnya
rumah ni rumah lama pakcik. Jadi pakcik jadikan tempat persinggahan untuk orang
macam anak ni..”
Ali mula keliru
dengan kata-kata lelaki tua itu.
“Maksud
pakcik..rumah ni dijadikan tempat berhenti rehat?”
Lelaki tua itu
angguk.
“Err..boleh
saya tanya sikit..mengapa pakcik berpeluh?” Ali masih tidak faham dengan
kejadian tadi.
“Oh..sebenarnya
dari siang lagi pakcik cari kambing pakcik yang hilang. Jenuh cari tapi tak
jumpa! Jadi pakcik berehat sekejap kat sini. Kambing tu kena cari sampai dapat.
Pakcik sayang kat kambing tu!”
Ali tercengang. Kambing??
“Err..rupa
kambing tu..besar, ada tanduk melengkung ke atas, berbulu tebal warna hitam dan
mata merah kan?”
Lelaki tua itu
pula tercengang. “Anak ada jumpa ke?”
Ali terdiam. Dia
menepuk berkali-kali pipinya. Mimpi ke realiti??? Dia mula bingung.
“Err..saya
bermimpi agaknya..” Ali garu kepala.
Lelaki tua itu
pandang Ali. Kali ini pandangannya lain. Dia tenung Ali.
“Mimpi?”
Ali angguk.
Lelaki tua itu
pula garu kepala. Kalau mimpi.. macam mana pula ciri-ciri kambing tu tepat?
Ali mula minta
diri bila melihat jam di tangannya sudah melebihi dua belas tengah malam.
Perjalanannya masih jauh. Malam semakin larut. Dia bersalam dengan lelaki tua
yang masih tercengang.
Lelaki tua itu
hanya memerhati dengan ekor mata. Dia masih keliru. Macam mana anak muda itu
boleh tahu dengan tepat ciri-ciri kambing kesayangannya. Dagunya diusap
perlahan. Ada sesuatu yang dia perlu tahu….
ALI termenung
dalam kereta. Dia masih memikirkan kejadian tadi dan mimpi itu..mimpi??? Semua
nya masih menjadi tanda tanya. Macam mana aku boleh mimpi kambing pakcik
tu???
Enjin kereta
dihidupkan. Perlahan keretanya membelok ke arah jalan tadi. Kali ini dia perlu
berhati-hati. Jelingan lelaki tua tadi seolah ada sesuatu yang terbuku di
hatinya. Dia memandu perlahan sambil menjeling kiri kanan jalan. Matanya mula
bulat. Terbuka luas. Sekitar kiri kanan jalan sama dengan apa yang dilihat
dalam mimpi. Dari jauh dia sudah nampak cahaya berbalam dari beberapa buah
rumah. Serupa dalam mimpi. Kereta dipandu lagi. Masih perlahan. Jam menunjukkan
hampir pukul satu pagi.
“Alamak!”
Ali tekan brek.
Matanya terbeliak. Di depan keretanya kini ada satu susuk tubuh berbulu hitam
sama seperti dalam mimpinya. Dia mula gelisah. Perasaan takut mula menyelubungi
diri. Kini Ali dan makhluk itu saling berpandangan. Nyata dengusan makhluk itu
sama!
Tak berani dia
keluar dari kereta. Makhluk itu berdiri betul-betul di tengah jalan laluannya.
Mata merahnya semakin galak memandang.
“Mana dia???”
Ali tersentak.
"Hah! Kambing tu..bo..boleh bercakap!”
Dia mula mengesat
peluh di dahi. Teringat dalam mimpinya tadi, makhluk itu juga boleh bercakap.
Terbayang tindakan makhluk itu yang menerkam dan membaham tubuhnya. Tangannya
masih melekat pada stereng.
“Mana dia??”
Sekali lagi Ali
tersentak. Dia pandang makhluk itu tidak berkelip. Makhluk ni nak apa
sebenarnya?
“Maaaaakkkkk!!
Hantuuuu!!”
Ali melompat
keluar dari kereta bila terasa bahunya disentuh dari belakang. Mukanya pucat.
Kalau ditoreh pun tidak akan keluar darah. Dia berdiri kaku di tepi kereta
sambil melilau mencari apa yang menyentuh bahunya tadi. Sesekali dia jeling
makhluk yang masih tercegat di depan keretanya.
Tiba-tiba lelaki
tua tadi buka pintu kereta dan berjalan ke arah Ali.
“Mana kambing
aku?”
Ali ternganga! Bila
masa pakcik ni masuk kereta aku???
Lelaki tua itu
berpaling pula ke arah makhluk yang masih terpacak depan kereta Ali.
“Mana kau pergi
sayang? Dari pagi aku cari tau tak? Dah! Mari balik sayang!”
Lelaki tua itu
tarik tanduk makhluk itu sambil menggosok-gosok badannya yang berbulu hitam
itu. Dia mencium berkali-kali.
Lelaki itu mula
bernyanyi-nyanyi riang sambil mencium makhluk itu.
♪Di mana
dia..kambing hitam saya..
Kambing hitam
saya ada di depan kereta….
Di mana dia
cinta hati saya..
Cinta hati
saya kini di depan mata♪
Ali terdiam. Kaku.
Tiada kata-kata.
September 28, 2012 at 2:50 PM
menggong punya citer.. ntah haper haper..