ZAKIAH pandang
cermin. Ditilik wajahnya sendiri. Senyum. Sejak dia menginjak remaja, jelas
kelihatan perubahan wajahnya. Dari wajah kebudakan kini dia si manis 17 yang
cantik menawan. Dia pandang lagi cermin. Nyata wajahnya diwarisi dari sebelah
keturunan ibunya yang berdarah kacukan Siam dan Filipina. Kulit putih, muka
bujur sirih, bibir nipis bak delima merekah, alis mata lentik, tinggi lampai.
Habis sahaja SPM, dia mula dilamar jejaka namun ditolak dengan baik.
Cita-citanya lebih penting ketika itu. Sebagai salah seorang pelajar cemerlang,
Zakiah bercita-cita ingin menggenggam segulung ijazah dalam bidang yang sudah
lama dia idamkan. Kerjaya pendidik menjadi pilihannya. Berbakti pada anak
bangsa dan mencurah ilmu.
Riak wajahnya
ceria bila menerima sepucuk surat dari abang posmen sekejap tadi. Dia terpilih
sebagai pelajar universiti di KL. Dia melompat gembira! Surat itu ditatap lagi.
Segera dia melakukan solat syukur. Itu yang diajar oleh arwah ayahnya dulu.
Harus mensyukuri nikmat Allah. Ibulah yang paling gembira dengan berita itu.
Zakiah peluk ibunya. Air mata gembira mula tumpah.
“Alhamdulillah!”
Puan Mariam senyum
melihat anak gadisnya ketawa begitu. Zakiah, satu-satunya anak perempuan
tunggal dari tiga orang adik beradik. Dia anak bongsu. Abang-abangnya memang
cukup menjaga Zakiah yang ditatang bagai minyak penuh.
“Za..di sana
nanti, jaga perangai, jangan tinggal solat, rajin-rajin belajar..yang penting
jaga diri!” Puan Mariam peluk Zakiah dengan linangan air mata. Tidak sanggup
berpisah dengan anak gadis kesayangannya.
Zakiah senyum. Dia
juga sebenarnya tidak sanggup berpisah dengan ibunya. Selama ini dia tidak
pernah berenggang. Ke mana saja dia pergi pasti ditemani ibunya. Mereka berdua
umpama adik dan kakak. Sama-sama cantik. Kecantikan yang diwarisi dari ibunya
juga kadangkala merimaskannya. Bukan dia tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan
tetapi dia merasakan kehidupannya tidak bebas bila selalu menjadi perhatian
lelaki tak kira muda atau tua. Pernah seorang lelaki berpangkat Dato’ ingin
menyunting sebagai isteri tapi juga ditolak dengan baik. Perjalanan hidupnya
masih jauh.
“Eii!! Dah tua!
Dahlah tu, jadi bini nombor tiga!” Zakiah mula geli geleman.
KINI, Zakiah
bergelar mahasiswi. Dia cukup teruja menjalani kehidupan sebagai seorang
pelajar universiti yang selalu dibayangkan semasa sekolah dulu. Hari-hari
dilalui penuh ceria. Pesan ibu dan abang-abangnya tidak pernah dilupakan. Jaga
batas pergaulan. Jangan tinggal solat. Selalu tutup aurat. Sejak bergelar
mahasiswi, dia mula sibuk dengan kelas dan tugasan yang diberi pensyarah.
Masanya banyak dihabiskan dengan menelaah dan sempat juga mengisi rohani dengan
menghadiri usrah di bawah bimbingan senior di kolej kediamannya. Kakak Nafisah,
mahasiswi jurusan Usuluddin menjadi naqibah usrah.
Sepanjang bergelar
siswi, Zakiah tidak lepas dari usikan pelajar lelaki yang ingin mendekatinya
tetapi dia tidak pernah menghiraukan usikan mereka. Baginya pelajaran lebih
penting buat masa ini. Selagi belum dapat menggenggam segulung ijazah, selagi
itu dia perlu menjauhkan diri dari masalah cinta yang baginya tidak menjamin
masa depan. Namun kecantikannya nyata tidak mudah untuknya mengelak dari godaan
lelaki. Hingga terfikir olehnya ingin menutup muka, yang tinggal hanya dua biji
mata! Tapi itu tidak mungkin berlaku kerana dia tidak sekuat naqibah Nafisah
yang padat ilmu agamanya. Dia hanyalah pelajar jurusan Sains Pendidikan yang
inginkan kejayaan dalam hidup dan ingin berbakti kepada anak bangsa kelak.
Kecantikan Zakiah
mula mendapat perhatian siswa di universiti itu. Bermacam-macam cara mereka
cuba memenangi hati Zakiah. Namun semua itu tidak pernah diendahkan oleh
Zakiah.
“Za, kau ada bunga
dengan coklat dalam letter box kau ni! Wah! Ramainya secret
admirer kau!” Zawani senyum sambil membelek beberapa kuntum bunga ros
merah dan coklat.
“Kau ambil lah!
Aku tak nak!”
Zakiah seperti
biasa tidak pernah mengambil apa-apa jua pemberian dari lelaki yang tidak
dikenali. Malah pernah seorang pensyarah lelaki memberinya sejambak bunga ros.
Dia bingung memikirkan tindakan pensyarah itu. Dia terpaksa ambil demi menjaga
hati. Tidak pernah dia mengata atau mengeluarkan kata-kata kesat. Semuanya
dibalas dengan baik. Dia akan berterus terang. Dia belum bersedia ke arah itu.
Ada yang boleh terima dan ada yang tidak boleh terima. Terpulang!
“Za..kenapa kau
keras hati sangat? Kesian aku tengok dia orang tu, tak putus asa tau!” Zawani
sengih.
“Wani..aku bukan
sombong tapi aku belum bersedia. Itu je!” Zakiah mula muak dengan semua itu.
Kini dia semakin
tidak betah dengan jelingan lelaki. Ke mana saja dia pergi, ada saja mata nakal
yang memandang dan mengenyit . Dia senyum paksa takut dianggap sombong, namun
senyumannya pula disalah anggap. Seolah-olah dia memberi harapan. Pening!
Pernah dia diekori.
Bermula saat itu,
Zakiah tidak berani berjalan seorang diri. Dia akan mengajak Zawani atau
mana-mana teman sekelasnya untuk menemaninya. Setiap kali cuti semester dia
akan balik ke kampung, tidak seperti kawannya yang kebanyakannya bekerja
sambilan untuk mencari wang saku lebih. Teringin juga dia mengikut mereka
tetapi mengenangkan pesanan ibu dan abang-abangnya, dibatalkan saja niatnya.
“Za, kau tak nak
kerja sambilan ke?” Zawani pandang Zakiah yang tunduk dari tadi.
“Err..bukan
tak nak..tapi mak dan abang-abang aku tak bagi. Tak apalah..kau kerjalah.
Semester buka nanti, jangan lupa bawa donut untuk aku tau!” Zakiah senyum bila
mengetahui Zawani bekerja sambilan di sebuah kedai donut ternama.
Zakiah tidak kisah
jika dia dituduh tidak suka bersosial. Padanya hidup perlu ada landasan. Jika
terlalu bebas, diri sendiri akan merana. Tiada pegangan hidup.
SUDAH hampir tiga
tahun Zakiah bergelar mahasiswi. Dia semakin sibuk dengan tugasan dan praktikal
selain dari kuliah yang tak pernah habis. Sepanjang itulah juga dia selalu
diusik lelaki yang cuba mendekatinya dengan pelbagai cara.
“Zakiah! Kau
jangan ingat kau tu cantik sangat! Sombong!”
“Huh! Entah-entah
kau ni lesbian!”
Kata-kata itulah
yang selalu menerjah telinganya. Seakan sudah lali dengan ayat seperti itu.
Sedikit pun dia tidak ambil hati. Tidak pernah dia membalas atau melempar kata
–kata kesat kepada lelaki yang seakan berdendam dengannya. Baginya itu hanyalah
sekadar kata-kata tidak puas hati kerana dia tidak melayan atau membalas cinta
mereka. Biarlah. Hatinya belum terbuka untuk bercinta apatahlagi mencari calon
suami. Cita-citanya perlu diberi keutamaan. Kadang-kadang kata-kata kesat yang
dilempar kepadanya cukup membuatkan hatinya terguris. Dia hanya mampu menangis
dalam diam. Terasa dunia tidak adil menghukumnya begitu. Apa salahnya sampai
mereka berdendam dan menuduhnya begitu? Rupa paras cantik yang dimilikinya
adalah kurniaan Allah. Bukan untuk dibanggakan ke jalan yang tidak direhai!
Zakiah hanya mampu
menangis di bilik. Dia memerhati sekitar bilik yang dihuni bersama Zawani.
Zawani sudah faham sikapnya yang tidak suka melayan lelaki yang dahagakan
kasihnya.
“Za..sudahlah. Kau
bukannya buat benda yang tak baik. Biarkan mereka tu!”
Zawanilah yang
selalu memujuknya tatkala dia merasa semangatnya sudah hilang. Pernah dia
mengadu pada naqibah Nafisah, ketua usrah, tentang hal itu. Nasihat dan
kata-kata semangat dari ustazah jurusan Usuluddin itu sedikit sebanyak
menenangkan hatinya. Setiap kali lepas solat dia selalu berdoa semoga Allah
tetapkan hatinya dan memelihara imannya supaya tidak terjerumus ke lembah
maksiat.
“Kak..saya rasa
macam ada orang ekori saya…”
Suatu hari Zakiah
meluahkan rasa gementar kepada naqibah Nafisah. Dia mula rasa tidak sedap hati.
Akhir-akhir ini dia selalu melihat bayang-bayang hitam mengikutnya ke mana saja
dia pergi. Bila malam menjenguk, bayang hitam itu semakin kerap menjelma.
Naqibah Nafisah
mendengar penuh asyik. Sungguh tidak sangka, sampai begitu sekali Zakiah
ditimpa masalah. Dia tahu, Zakiah menjadi rebutan mahasiswa di kolej dan
universiti itu. Dia sendiri kagum dengan kecantikan semula jadi yang Zakiah
miliki. Di luar Zakiah bertudung litup. Di bilik asrama pula, Zakiah melepaskan
rambutnya yang hitam berkilat terurai begitu. Sungguh cantik.
“Za..berdoalah
kepada Allah. Selalu baca Quran. Semoga Allah menjauhkan kita dari benda –benda
itu semua.”
Zakiah angguk. Dia
mula takut dengan keadaan yang dilaluinya. Hanya tinggal setahun saja lagi
pengajiannya di universiti itu.
“Tahun depan Za
sudah tahun akhir kan? Kalau Za tak keberatan..akak ingat nak kenalkan Za
dengan seseorang. Insya Allah dia ni seorang yang baik. Akak kenal sangat. Err..boleh?”
Zakiah pandang naqibahnya.
Matanya tepat merenung mata kakak Nafisah.
“Siapa kak?”
“Ustaz Hamdan. Dia
pelajar tahun akhir Syariah.”
Zakiah diam. Siapa
Ustaz Hamdan? Bomoh ke? Kak Nafisah nak suruh aku berubat dengan ustaz???
Segala macam persoalan mula bermain dibenak.
“Err..dia
tu ustaz yang boleh ubatkan kes macam ni ke kak?”
Naqibah Nafisah
senyum. Nampaknya Zakiah masih tidak mengerti kata-katanya tadi.
“Za..bukan macam
tu..dia nak kenal Za..dan ingin mengambil Za sebagai suri hidupnya!”
Zakiah ternganga.
Selama ini dia menepis segala godaan yang datang. Semuanya ditolak dengan baik
tapi kali ini dia mula bingung. Tiada perasaan kasih dalam hatinya untuk
lelaki.
“Za..percayalah
ustaz Hamdan tu baik. Dia serius. Kalau Za setuju, awal bulan depan dia akan
masuk meminang. Macam mana? Akak rasa elok Za terima..untuk elak fitnah.”
Zakiah diam. Elak
fitnah?? Masih tidak faham kata-kata naqibahnya.
“Orang cantik
macam Za ni elok nikah awal. Dah ada orang berkenan tu..terima sajalah.”
Zakiah masih tunduk.
Sudah ramai cinta jejaka ditolak dengan alasan dia masih belajar dan ingin
menghabiskan pengajiannya. Kini dia tersepit. Apa pula tanggapan lelaki yang
pernah ditolak cinta mereka jika dia menerima lamaran ustaz Hamdan nanti. Tentu
mereka akan mengata dan melemparkan lagi kata-kata kesat kepadanya.
“Nantilah saya
fikir kak.”
KINI Zakiah berada
pada tahun akhir. Dia mula sibuk dengan tesis dan tugasan praktikal pengajaran.
Sibuk dengan kuliah dan tugasan yang diberi pensyarah, membuatkan dia terlupa yang
dia telah bertunang. Lamaran Ustaz Hamdan diterima dengan hati redha. Nyata ibu
dan abang-abangnya juga setuju.
Sejak dia menjadi
tunangan orang, terasa dirinya lebih selamat dari dulu. Namun ada lagi jejaka
yang masih mengusiknya. Dia buat tidak endah. Tidak perlu melayan. Dia kini
sudah bertunang.
“Awak…saya
takut..”
Zakiah menelefon
tunangnya bila terasa ada sesuatu mengganggu dirinya. Bayangan hitam kembali
menghantui. Dia dan Hamdan tidak pernah keluar berdua. Itu kehendak Hamdan dan
dirinya sendiri.
“Banyakkan
berzikir. Baca Quran. Amalkan baca…Wa Syifaa u’llimaa fissudur..”
Dia lega bila
tunangnya mula memberi kata-kata nasihat dan beberapa potong ayat Quran untuk
diamalkan.
Sejak itu, dia
selalu mengamalkan surah-surah untuk keselamatan dirinya. Kini dia mula merasa
tenang. Enam bulan lagi dia akan bergelar isteri. Dia sentiasa berdoa semoga
Allah memelihara perhubungannya dengan Hamdan.
ZAKIAH memandang
kalendar. Tinggal dua bulan lagi dia akan menamatkan pengajian di universiti
itu. Dia segera ke bilik air selepas habis azan maghrib berkumandang. Dia
jeling katil teman sebilik. Zawani belum pulang.
Malam itu Zakiah
keseorangan bila Zawani menelefonnya yang dia bermalam di rumah kawannya di
bandar S.
Habis menelaah,
Zakiah mula tutup lampu. Dari tadi matanya berat. Mulutnya menguap beberapa
kali. Letak saja kepala di bantal, dia terus lena.
Zakiah mula rasa
gelisah bila terasa ada sesuatu merabanya. Dia terasa ada sesuatu menghempap
tubuhnya. Benda itu dengan rakus meraba dan mula menjelajah tubuhnya seolah
ingin memperkosa dirinya. Dia meronta dan menjerit. Namun suaranya tersekat.
Kali ini dia dapat merasakan sehelai demi sehelai baju di badannya
ditanggalkan. Dia mula meraung. Entah bila dia tertidur semula dia sendiri
tidak tahu.
Bangun pagi, dia
seperti bermimpi. Baju tidurnya masih di badan. Diraba seluruh badan. Tiada
apa-apa berlaku. Zakiah menarik nafas lega. Dia mula teringat kejadian malam
tadi, memang dirasakan dirinya diperkosa! Perasaan takut mula menghantui
dirinya. Kejadian itu berlaku tiga malam berturut-turut. Kali ini dia tidak
berani memberitahu tunangnya. Takut dituduh yang bukan-bukan.
Sejak kejadian
itu, Zakiah mula pucat dan menyisihkan diri. Balik dari kelas dia akan
mengurung diri dalam bilik. Makan minumnya mula tidak tentu. Wajahnya mula
cengkung. Kadang-kadang Zawani akan membawanya ke klinik bila Zakiah mula
muntah-muntah.
“Za..kenapa ni?
Kau tak sihat ke? Hamdan dah tahu ke?”
Zakiah hanya
geleng. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya.
Keadaan Zakiah makin
teruk. Nafisah dan Zawani mula risau. Zakiah asyik muntah-muntah. Tidak mahu
memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tidak mungkin Zakiah mengandung! Zakiah
gadis yang baik. Keadaan Zakiah terus dikhabarkan kepada Hamdan dan
keluarganya.
****************
“ZA..kenapa ni?
Apa yang Za dah buat?” Puan Mariam mula menaruh syak.
Dia melihat perut
Zakiah semakin hari semakin membesar.
“Zakiah! Cakap!
Siapa yang buntingkan kau?” Abang sulung Zakiah mula menyinga.
Zakiah pandang
ibunya yang masih tunduk di sofa. Dia juga tidak faham apa yang berlaku
sebenarnya. Dia menangis teresak-esak mengharapkan ibu dan abang-abangnya faham
keadaan dirinya kini.
“Mak…Za tak buat
semua tu! Percayalah!”
Zakiah masih
menangis. Tangisannya semakin kuat. Digosok pipinya yang sakit akibat penampar
dari abangnya sebentar tadi.
“Kau telah
menconteng arang kepada keluarga kita!” Abang keduanya pula menampar.
Zakiah terjelepok
jatuh bagai nangka busuk. Sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Ibunya masih
kaku di sofa sambil menangis.
“Mak…percayalah Za
mak…” Zakiah gagahkan diri untuk bangun dan mula mendekati ibunya dengan
harapan mendapat simpati dari ibunya sendiri.
“Kalau mak tak
percaya..kita check kat klinik. Za boleh buktikan!” Zakiah masih
meratap di riba ibunya.
“Nak bukti apa
lagi! Tuh! Perut kau tu! Dah buncit! Siapa yang buat?” Abangnya masih menyinga.
“Abang…Za tak
buat! Demi Allah!”
Zakiah mula putus
asa. Segala kata-katanya tidak diendahkan. Dia menangis tersedu-sedu di lantai.
Mulai saat itu, dia mengurung diri di bilik. Pengajiannya tertangguh. Perutnya
semakin hari semakin besar. Fikirannya masih bingung. Dia mula mengingati
semula kejadian tiga malam berturut-turut yang menimpa dirinya. Tidak nampak dengan
jelas benda yang menghempap tubuhnya. Yang nyata bukan manusia walaupun badan
benda itu seperti tubuh lelaki! Dia sendiri bingung.
Ibu dan
abang-abangnya mengurung dia di dalam bilik. Dia hanya mampu menangis. Makan
dan minum diberi tiga kali sehari. Mereka malu dengan keadaan dirinya begitu.
Dia mendengar dengan jelas, perbualan ibunya dengan abang-abangnya. Mereka
mengurung dirinya di situ sehingga dia selamat melahirkan. Zakiah tidak pernah
jemu berdoa setiap kali lepas solat. Dia masih bingung. Setiap bulan haidnya
datang seperti biasa. Kalau betul dia mengandung, setahunya darah haid tak akan
keluar. Mukanya semakin pucat. Sejak dia sakit, dia sudah putus tunang dengan
Hamdan. Siapa yang hendak terima dirinya begitu. Dia redha. Bukan salah Hamdan.
Dia tidak akan menuduh sesiapa. Biarlah orang yang dengki dengannya terima
balasan dari Allah.
“Mak ngah, kenapa
tak bawa Zakiah jumpa ustaz untuk berubat?” Rina, sepupu Zakiah yang tinggal
tidak jauh dari situ mula memujuk ibu saudaranya.
“Buat apa? Buat
malu!”
“Mak ngah..Rina
dah dengar semua penjelasan Zakiah. Rina rasa dia bukan mengandung…dia terkena
buatan orang!”
Puan Mariam
tersentak. Dirasakan Rina sudah merepek! Jelas Zakiah mengandung,
muntah-muntah!
“Kamu pasti ke?”
Rina angguk.
Segala apa yang diceritakan Zakiah kepadanya sebentar tadi, diceritakan semula
kepada Puan Mariam.
Rina dan Puan
Mariam bergegas ke bilik Zakiah bila terdengar suara Zakiah meraung kesakitan.
Dilihatnya ada darah dan kaca keluar dari celah bulu roma di badan Zakiah. Puan
Mariam hanya mampu menangis. Begitu seksa anak gadisnya menderita dan menahan
sakit. Dia segera menyuruh Rina memanggil ustaz.
Sebaik ustaz tiba,
keadaan Zakiah semakin teruk. Darah banyak keluar melalui liang bulu roma.
Kaca-kaca halus mula timbul di permukaan kulit.
“Puan…anak puan
sudah teruk. Kalau dari awal Puan beritahu saya, mungkin saya boleh tolong.
Tapi ini sudah …” Ustaz turut bersimpati dengan keadaan Zakiah.
Dia pegang pula
perut Zakiah yang membusung. Keras!
“Ustaz..kenapa
dengan anak saya?”
“Puan..darah dan
kaca yang keluar dari liang roma itu adalah perbuatan santau. Perut yang
membusung pula adalah hasil dari benda yang dihantar sebagai ganti diri untuk
memperkosa anak puan. Tiada anak dalam perut ni. Bawalah anak puan ke hospital.
Berdoalah semoga dia selamat.” Ustaz itu sugul.
Puan Mariam
terkedu mendengar penjelasan ustaz. Rina mula memapah ibu saudaranya bila Puan
Mariam mula pengsan. Abang-abang Zakiah turut ternganga mendengar penjelasan
ustaz.
******************
ZAKIAH ditolak ke
dalam bilik bedah. Zawani dan Nafisah turut bersama dengan keluarga Zakiah. Tak
sampai sejam Zakiah di bilik bedah, doktor mula panggil Puan Mariam.
“Puan..ibu kepada
pesakit?”
Puan Mariam
angguk.”Macam mana anak saya doktor?”
“Harap puan
bersabar! Saya sendiri tidak pernah melihat kes macam ni.” Doktor terus
menyuruh Puan Mariam dan yang lain masuk ke bilik sebelah bilik bedah.
Mereka sekeluarga
mula melangkah ke bilik yang dimaksudkan oleh doktor tadi. Sekali lagi Puan
Mariam pengsan. Zawani ternganga. Nafisah pula sempat menolong Puan Mariam dan
dibaringkan di atas katil bersebelahan dengan katil Zakiah.
“Maafkan saya.
Adik encik tidak dapat diselamatkan.” Doktor itu mula beredar sambil
menggeleng. Dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.
Abang sulung
Zakiah mula mendekati Zakiah di katil . Selimut putih ditarik perlahan. Wajah
Zakiah kelihatan tenang dan ada sedikit senyuman terukir di bibir. Dia mengucup
perlahan dahi adiknya. Zawani dan abang kedua Zakiah turut berbuat demikian.
Selimut putih ditutup kembali.
Abang sulung
Zakiah pandang pula ke arah dua buah besen di atas lantai. Satu besen dipenuhi
dengan beberapa helai kain batik yang berlipat kemas dan dipenuhi dengan darah.
Satu besen lagi, penuh dengan lintah yang menggeliat penuh dengan darah. Dia
menekup muka. Dipandang pula ibunya yang masih tidak sedar diri. Air mata
lelakinya mula tumpah.
Rupanya selama
ini, Zakiah mengandungkan kain batik dan lintah! Begitu kejam manusia yang
tergamak membuat adiknya begitu! Kejam!
“Ya Allah! Kau
rahmatilah adik aku! Tempatkanlah dia dalam golongan orang-orang yang soleh“
-
-
-
Untuk renungan
bersama….
"Katakanlah
(wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan
sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan daripada
bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk (tukang sihir) yang
menghembus pada simpulan- (dan ikatan); dan daripada kejahatan orang yang
dengki apabila ia melakukan dengkinya."
(al-Falaq:
1-5).
Nabi Muhammad
s.a.w. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan
membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah
iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut.
Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh
menyembuhkan sihir.
Ayat-ayat
tersebut adalah seperti berikut :-
1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286
1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286
-
-
-
Note: Buat
arwah, semoga Allah sentiasa merahmati roh mu dan ditempatkan di kalangan orang
soleh...amiinn...alfatihah buat teman seasramaku.
*Nama dan
tempat bukan nama sebenar.
November 3, 2012 at 12:13 PM
best cerpen ni..