rss


Nafas Arman turun naik ketika membaca kertas yang dipegang. Angin yang datang dari penghawa dingin tidak terasa. Kalau boleh, ingin diterbalikkan katil hospital namun keadaan dirinya tidak membenarkan.

' Tak guna!' Arman menjerit tanda marah. Pasu bunga yang dibawa oleh rakan sekerja ditolak dari meja di tepi katil. Serentak itu, ruang hospital bahagian selepas pembedahan bergema dengan laungan Arman.

+++++++

Hari Ahad, hari paling digemari oleh ramai orang termasuk Arman. Semenjak bekerja separuh masa begini, hari Ahad jadi lebih bermakna. Merupakan elajar tahun dua jurusan multimedia, Arman terpaksa kerja sambil belajar untuk mengumpul duit membeli kamera sebagai persediaan untuk semester depan.

' Pelaburan masa depan. Bagus untuk dimasukkan sebagai pengalaman bekerja dan untuk duit beli kamera,' terang Arman bila ditanya oleh ayah tentang keputusan untuk bekerja sambil belajar.

Hari sebenarnya masih awal, baru jam lapan tiga puluh pagi. Teman-teman sebilik Arman masih belum bangun tetapi kerana sudah terbiasa bangun awal, matanya tidak mahu lena kembali. Maka, dihidupkan komputer untuk menonton filem yang baru sahaja dimuat turun.

Baru sahaja Arman ingin memakai earphone, telefon yang diletakkan di atas meja bergetar. Dengan malas, dia melangkah ke meja. Tertera di skrin nama Lily.

Seboleh mungkin Arman mengawal suara untuk menjawab panggilan telefon kekasih hatinya itu walaupun sebenarnya rasa malas bersarang di hati. Sempat juga Arman berdoa supaya Lily tidak mengajak dia keluar ke bandar kerana badan masih terasa penat akibat berjaga lewat malam untuk menyiapkan kerja kursus.

' Pagi, awak,' Arman menyapa. Suara ditekankan untuk mewujudkan ilusi riang. Takut nanti Lily kecil hati.

' Pagi! Awak, nanti tengahari kita makan sama ye? Ingat tak saya cakap tentang cupcake?' Lily menyahut dengan suara yang cukup teruja.

' Mabuk gula agaknya dia ini. Ceria semacam,' bisik hati Arman.

' Boleh. Ya, saya ingat tentang cupcake yang awak pernah sebut tu,' Arman menjawab sambil berjalan kembali ke atas katil. Hancur harapan untuk berehat seharian.

' Kita jumpa pukul sebelas setengah ye? Awak datang rumah saya,' sambung Lily.

' Baik. Jumpa nanti,' Arman mengiyakan sahaja. Kalau sudah sayang, beginilah. Tetapi untung juga kalau dapat rasa kek cawan percuma. Kalau nak harapkan Arman ke kedai dan membeli manisan tersebut, memang tidak akan sempat sekalipun dia cukup gemar makan kek cawan. Lagipun, Lily pernah memberi biskut yang dibakar sendiri dan rasanya agak sedap. Tidak rugi kalau jadi tukang rasa masakan Lily.

Tepat jam sebelas setengah pagi Arman sudah berdiri di depan rumah sewa Lily. Rumah mereka berdekatan, cuma selang tiga rumah sahaja. Selalu juga Lily memasak untuk Arman, lebih-lebih lagi waktu hujung minggu. Yang jadi istimewa kali ini adalah ini merupakan kali pertama Lily cuba untuk memasak menggunakan ketuhar yang diberikan oleh ibu.

Arman tidak perlu menunggu lama seperti selalu kerana Lily sudah siap. Dengan sekaki payung dan sebuah bekas makanan, Lily berjalan ke arah teman lelakinya. Mereka bersiap sedia untuk berjalan ke kedai makan yang berdekatan.

Lily mendekati Arman dengan senyuman. Mustahil Arman membiarkan sahaja senyuman itu terbazir. Ia disambut mesra sambil Arman cepat-cepat mencapai payung yang Lily pegang untuk melindungi buah hatinya itu daripada panas matahari.

' Bila awak buat cupcake ni? Wangi betul baunya tadi,' Arman memuji, ikhlas. Bau dari dalam rumah Lily tadi betul-betul membuatkan dia kecur liur.

' Lepas Subuh tadi saya terus buat. Rasanya, saya memang nak cuba untuk jual cupcake ini,' Lily bercakap sambil membetulkan pashmina di kepala.

' Baik. Apa yang saya boleh bantu?' Arman bertanya. Biskut yang pernah dijual oleh Lily sebenarnya mendapat sambutan ramai di kampus mereka.

' Awak tolong rasa boleh? Untuk permulaan, saya mahu cuba buat tiga perisa. Yang ada dalam bekas ini perisa coklat, vanila dan strawberi.'

' Sedap tu. Baik, nanti saya cuba.'

++++++

Bermula daripada hari itu, Lily kerap menghantar kek cawan untuk Arman, samada untuk dirasa ataupun baki jualan yang tidak habis untuk hari itu. Hari jualan Lily adalah pada hari Rabu dan Ahad maka kedua-dua hari ini, memang rezeki Arman cukup murah dengan kek-kek kecil yang dibuat oleh Lily.

Sememangnya Lily pandai berniaga. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa rumah sewa Lily sudah hampir serupa dengan bakeri kecil. Untung jadi anak orang kaya seperti gadis itu kerana keluarganya dengan murah hati menyewakan seluruh rumah untuk Liy dan seorang lagi adiknya yang juga sedang belajar di tahun satu.

Setiap minggu, perisa kek cawan Lily sering bertukar. Hampir setiap hari sebenarnya Lily menghantar kek cawan ke rumah Arman untuk memastikan resepi kek cukup sempurna. Masuk sahaja minggu kedua, kek cawan memang sudah tersedia di dalam menu harian. Mana mungkin Arman dapat menolak kek cawan buatan Lily yang sedap dan pelbagai.

Ada juga kek-kek cawan Lily yang dijual pada rakan sekerja Arman. Ini bukan hanya menggembirakan Lily tetapi Arman juga kerana ini bermakna akan ada kek cawan lebih untuk Arman.

Dua bulan sudah berlalu. Arman dan Lily jarang bertemu seperti dahulu. Kalau adapun, selalunya untuk membincangkan tentang perniagaan Lily di depan pagar rumah atau di depan kelas sebelum kuliah. Kadang-kadang mereka bertemu untuk promosi bakeri Lily. Sudah jarang benar mereka bertemu janji seperti dulu apatah lagi bila Arman juga sibuk dengan kerja khusus yang memerlukan dia duduk mengadap skrin komputer.

Suatu hari, Arman tergerak untuk bertemu dengan Lily. Dua hari lagi Arman tidak bekerja dan kebetulan pula duit simpanan Arman sudah cukup untuk membeli sebuah kamera.

' Awak, sibuk tak hari Khamis nanti?' Itu bunyi pesanan ringkas Arman untuk Lily.

' Awak ada rancangan ke? Kalau nak diikutkan, saya nak cuba satu lagi perisa baru.'

' Kita jumpa? Lama tak dating :p.'

' Mengadanya! Boleh :)'

+++++

Lain rasanya bila lama tidak bertemu tanpa berbincang tentang kerja. Berdebar rasanya hari itu waktu Arman menyarungkan kemeja biru untuk bertemu Lily. Lama juga tidak berjumpa Lily pada waktu siang hari kerana selalunya, Arman akan singgah di pintu pagar rumah Lily untuk mengambil kek cawan.

Bila sahaja Lily masuk ke dalam kereta yang disewa oleh Arman, terus sahaja dia menegur akan fizikal teman lelakinya itu.

' Eh, awak dah ada pipi!' kata Lily seolah sedikit terkejut.

' Selama ini tak ada ke?'

' Adalah tapi... Kejap. Ini mengandung berapa bulan?' Lily menegur sambil menunjuk perut Arman.

Arman cuma ketawa. Suka sangat Lily mengusik padahal selalu juga mereka berjumpa pada waktu malam.

Hari itu, mereka ambil keputusan untuk menghabiskan masa untuk diri sendiri. Tiada siapa yang boleh berbicara tentang kerja kerana ini masa berkualiti mereka.

Cuaca terasa sungguh panas. Sekejap-sekejap Arman teguk air kosong. Terasa benar penat bila mereka berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari kamera. Mungkin kerana penat pekerja sepanjang minggu.

' Sekejap ye, awak? Saya nak pergi tandas,' Arman menghulurkan botol air yang separuh berisi kepada Lily.

' Lagi? Kan tadi awak dah pergi?' Liy bertanya, hairan. Kerap benar rasanya Arman ke tandas.

' Saya banyak minum kan?' Arman menjawab sambil separuh berlari ke bilik air. Lily hanya mengangguk sambil melangkah ke dalam sebuah kedai pakaian.

Pulang sahaja daripada temujanji dengan Lily, Arman terasa letih betul. Lain macam betul rasa letih ini tetapi digagahkan juga berjaga untuk menyiapkan projek 3D yang diberikan oleh pensyarah. Entah bila Arman terlelap pun dia tidak pasti. Tahu-tahu sahaja dia sudah terbaring di atas lantai.

Keesokan paginya, Arman terasa begitu lesu. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak mahu ke kelas. Namun, bukan hari ini kerana Arman perlu mengetuai sebuah pembentangan.

Seperti semalam, pensyarah Arman turut sama menegur fizikal Arman yang dikatakan semakin berisi.

' Gemuk sangatkah aku?' Arman bertanya sambil melihat ke dalam cermin. Bila lama-lama dilihat, ada juga kelihatan pipi Arman yang semakin tembam. Perut juga sedikit buncit. Tetapi, bagus juga kerana dulu Lily selalu merungut Arman terlalu kurus sehingga terasa rendah diri berjalan di sebelahnya.

' Eloklah. Taklah nampak macam tiang berjalan,' getus hati Arman.

Rutin seharian masih diteruskan. Usaha Lily menjual kek cawan juga diteruskan. Gadis itu memang teringin benar berniaga dan seronok memasak. Sekalipun sudah tidak memerlukan tukang rasa, Arman tetap juga selalu singgah ke rumah Lily untuk satu atau dua kek cawan.

' Ketagih," kata Arman sambil tersengih. Lily tersenyum lawa. Ini membuktikan keknya cukup laku. Untung juga bila Arman rajin menjadi tukang rasa kerana Lily tidak begitu suka makanan manis. Disebabkan terharu dengan sokongan Arman, kek cawan yang diberikan selalunya pasti lebih daripada dua.

+++++++++

Semuanya berlangsung seperti biasa. Memandangkan musim peperiksaan sudah hampir, Arman mengambil keputusan untuk cuti sementara dan menelaah di perpustakaan dengan Lily, seperti biasa. Untuk memastikan Arman tidak mengantuk, Lily dengan sukarela membawa kek cawan ke perpustakaan.

Namun, ada sesuatu yang menganggu. Arman kerap ke bilik air hingga ditegur oleh Lily. Bukan hanya Lily, Arman juga sebenarnya sedar akan masalah itu. Malah, dia kerap haus dan semakin kerap ke bilik air pada waktu malam.

' Saya temankan awak pergi jumpa doktor nanti ya?'

Dan berita yang diterima daripada doktor cukup untuk membuatkan Arman rasa dunia mahu terbalik.

' Semoga cepat sembuh,' Aini, jururawat yang menjaga Arman membaca kad yang dilempar pesakit itu ke lantai. Ia datang dari Lily. Entah siapalah Lily ini pada pesakit yang sedang terbaring di atas katil.

' Awak buang saja kad itu. Dia punca saya jadi begini,' Arman bercakap dengan muka masam. Mata Aini merayap ke bahagian kaki Arman.

' Kesian kan? Baru 22 tahun dah kena potong kaki,' Aini teringat kata-kata Rohaya, jururawat yang turut sama menjaga Arman.

Arman cuma terbaring memandang siling. Ini semua kek cawan punya angkara.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini