rss


Mawaddah berjalan perlahan sambil mengheret basikal. Pulang dari sekolah tadi, tayar basikalnya pancit lagi. Terpaksa dia mengheret sejauh satu kilometer untuk sampai ke rumah. Beg sekolah diletak dalam bakul depan basikal.

Matahari memancar terik atas kepala. Mawaddah berjalan ke arah bahu jalan di bawah pohon kayu yang rendang. Terasa sejuk sedikit bila terkena hembusan angin yang sekali sekala menyapa. Kakinya sudah terasa lenguh. Sudah hampir dua puluh minit dia mengheret basikal. Tudung yang dipakai mula basah di tepi muka. Baju sekolah pula sudah mula basah dengan peluh yang semakin menitik dalam cuaca panas begitu.

Dia jeling ke arah kanan. Sebuah patung besar sedang baring di sebuah tokong siam tetapi bukan itu yang menarik perhatiannya. Selama ini jalan itulah yang selalu dilaluinya. Hari-hari dia melihat patung besar yang dalam keadaan berbaring. Kalau diukur, panjangnya mungkin seperti sebuah rumah panjang di Sarawak.

Mawaddah mula berhenti. Pokok-pokok yang menghijau dalam kawasan tokong siam itu cukup membuatkan dia kecur liur. Sudah musim ke??

Basikal disandarkan di tepi pagar simen yang mengelilingi kawasan tokong siam. Mawaddah terjenguk-jenguk melihat keadaan sekitar dalam kawasan tokong itu. Sekejap dia melompat bila terasa paras pagar itu sama paras dengan kepalanya. Terloncat-loncat Mawaddah menjenguk pokok-pokok yang lebat dengan buah.

“Sedapnya..” Mawaddah berkata sendiri.

Mawaddah mula melangkah ke arah pintu pagar yang terbuka luas. Dia melangkah perlahan memasuki kawasan tokong yang bersih tanpa sehelai daun gugur. Tanah berpasir di sekitar kawasan tokong cukup cantik.

“Hmm…mana tak bersihnya, hari-hari dia orang ni sapu!” Mawaddah senyum sendiri. Memang setiap pagi dia nampak Sami-sami di situ selalu menyapu daun-daun yang gugur.

Kakinya semakin galak melangkah ke arah sebatang pokok yang begitu rendang dan lebat dengan buah. Mawaddah mendongak melihat buah-buah yang bergayut di hujung dahan. Bulat-bulat! Sekali lagi dia menelan liur. Terasa air liur sudah meleleh keluar.

Sawadikaa…

Mawaddah terperanjat. Dia segera menyorok di belakang pokok. Perlahan kepalanya dihulur keluar,melihat siapa yang menegurnya tadi. Kelihatan seorang lelaki muda berpakaian seperti tok sami berwarna jingga sedang tersenyum kepadanya. Kepalanya botak.

Sawadikaa..” Sekali lagi sami muda itu menyusun sepuluh jarinya sambil tunduk.

Mawaddah segera keluar dari belakang pokok dan berdiri di depan sami muda itu. Dia perhatikan lelaki muda itu yang masih tersenyum kepadanya.

“Hmm..macam sebaya je dengan aku..dah jadi sami budak ni??” Mawaddah berfikir sendiri.

Sawadikaa..awok nok gapo?” Sami muda itu mula bersuara loghat Kelantan pelat Siam.

Err…saya nak ambik buah tu..boleh?” Tergagap-gagap Mawaddah menjawab sambil menuding ke arah pokok.

Ooo..buoh tu..Dai..dai..tapi putik(muda) lagi. Mase (masam) lagi.” Sami muda itu pandang buah yang terjuntai di dahan pokok.

Tak po..sayo suko make (makan) hok(yang) putik(muda)!” Mawaddah sengih, cuba bercakap loghat Kelantan.

Err.. dai tu apa?” Mawaddah mula tak faham.

Dai tu..maknonyo..bulih! Medai pulok ..tok bulih!” Sami muda itu senyum lagi.

“ooo..hihihi”Mawaddah sengih lagi. Hari ini dia belajar dua patah perkataan Siam.

Sejak keluarganya berpindah ke situ, banyak perkataan yang dia belajar tapi masih belum fasih.

Sami muda itu senyum. Dia segera mengambil galah panjang dan menjolok buah yang melekat atas dahan. Ada yang berangkai, satu tangkai sampai ada lima biji. Mawaddah segera mengutip buah yang jatuh ke tanah. Tidak susah untuk mencari sebab kawasan di sekitar pokok itu bersih. Tiada rumput. Hanya pasir putih yang landai. Dia senyum.

Cukop ko?”Sami muda itu pandang Mawaddah yang beria mengutip buah yang jatuh.

Mawaddah angguk.“Timo kasih deh!”

Sami muda itu senyum lagi. “Awok ni buke (bukan) oghe (orang) sini ko?”

Mawaddah terasa malu bila sami muda itu perasan lidah pelatnya yang bercakap slang Kelantan.

Err..sapo namo awok?” Mawaddah letak semua buah yang dikutip tadi dalam baju yang diangkat membentuk sebuah bakul.

Sayo Phat! Awok?”

Sayo Mawaddah..panggil Awa.”Mawaddah senyum.

Phat mula mencari plastik bila melihat Mawaddah menggunakan hujung baju sekolahnya untuk menampung buah tadi.

Timo kasih deh!” Mawaddah senyum lagi.

********************

MAWADDAH senyum. Hari itu dia gembira mendapat lima biji buah pauh yang bulat-bulat. Sampai saja di rumah, selepas solat Zuhur, dia segera mengupas buah pauh. Dapat satu pinggan besar. Dia segera makan sambil cicah dengan kicap yang digaulkan dengan garam, gula, belacan dan cili padi.

“Awa..tak nak makan nasi ke? Pedih perut tu nanti..” Puan Zaharah geleng bila melihat anak daranya mengadap buah pauh muda dengan begitu selera.

“Lepas ni lah mak..Awa nak habiskan buah ni dulu!”Mawaddah senyum. Sudah tiga biji dia bedal.

“Eh..mana Awa dapat buah ni? Awa curi eh?” Tiba-tiba Iqbal muncul di dapur.

Iqbal abang sulung Mawaddah yang hanya tua tiga tahun dan juga bersekolah di tempat yang sama dengannya.

“Mana ada? Tak baik tau tuduh Awa macam tu! Pauh ni budak sami tu yang bagi!” Mawaddah kupas lagi sebiji.

“Hah! Sami! Kau biar betul Awa!”Iqbal luku kepala adiknya.

“Kenapa? Tak boleh ke?”Mawaddah gosok kepala yang terasa sakit.

“Mak..tengok Awa ni! Tak malu minta dengan orang! Sami pulak tu!”Iqbal mula marah-marah.

“Dahlah tu…bukannya dia curi. Tak salah makan buah tu walaupun dari Sami. Bukannya dia jampi apa ke!”Puan Zaharah cuba memujuk Mawaddah.

Mawaddah senyum. Dia jelir ke arah abangnya. Nyata mak menyokongnya seratus peratus.

*************************

HARI-HARI bila balik dari sekolah Mawaddah akan singgah di pangkin dalam kawasan tokong siam itu sambil menikmati buah pauh muda bersama Phat. Phat pula senang berkawan dengan Mawaddah.

Dari cerita Phat, rupanya Phat adalah seorang anak yatim piatu yang dibela oleh Tok Sami di situ sejak dia berumur tiga tahun lagi. Sejak itu, Phat dilatih sebagai seorang sami yang menjaga kawasan tokong siam di situ.

Awok kenal ko mok ayoh awok?” Mawaddah pandang Phat sambil mengunyah pauh muda.

Dok kenal..tapi sayo ado gambar !”Phat keluarkan sekeping gambar dari simpulan hujung baju sami yang dipakainya.

Mawaddah ambil foto dari tangan Phat. Lama dia merenung gambar itu. Sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil di pangkuan si isteri.

“Eh! Ado tulisan kat belake (belakang) gambar ni!” Mawaddah baca tulisan di belakang gambar.

Nama Ayah: Eh Dau a/l Eh Put

Nama Ibu: Mek Pla a/p Eh Dong

Nama Anak: Phat a/l Eh Dau

Bakpo (kenapa) namo awok tak dok Eh kat depan?”Mawaddah garu kepala.

Phat sengih sambil mengusap kepalanya yang botak. “Tok tahu la sayo!”

Mawaddah dan Phat sama-sama ketawa.

*************************

SEJAK itu Mawaddah dan Phat berkawan baik sehinggalah Mawaddah menamatkan persekolahannya. Sebaik tamat SPM, Mawaddah sempat memberi hadiah kepada Phat . Mereka berdua hanya berjumpa di pangkin dalam kawasan tokong siam itu saja. Ada dua tiga orang toksami yang menjaga tokong itu.

“Phat, nanti aku keno pindoh doh! Keluarga aku pindoh ke KL.” Mawaddah berkata dengan nada sedih.

Pindoh? Hmm…yo la..awok tu pandai! Sayo ni tak dok pelajaran.” Phat mula merasa rendah diri.

“Phat..awok janganlah kato gitu..awok pandai sebenarnya..”Mawaddah pandang Phat yang mula sugul.

Awok..sayo tengok awok ni cerio sokmo. Ado rahsio ko?” Phat mula ubah topik bila terasa dia tidak setanding Mawaddah.

“Ceria? Hahahaha!!” Mawaddah mula ketawa.

Yo la…sayo tengok awok ni sengih sokmo. Senyum dua puluh empat jam!”Phat senyum.

Oo..tak dok rahsio gapo ehh..sayo tok pernah tinggal solat. Isnin Khamis pulok poso sunat! Kalu ado pitih lebih, sayo sedekoh! Banyak bulih pahalo! Hati pun tenang!” Mawaddah senyum sambil melihat reaksi Phat. Terkial-kial dia bercakap slang Kelantan. Jauh di sudut hatinya ingin melihat Phat memeluk Islam. Sama-sama menghayati keindahan Islam. Ah! Bahagianya jika ianya benar-benar menjadi kenyataan.

“Ooo…” Phat tunduk.

Mawaddah minta diri dan mengucapkan salam terkahir kepada Phat, sahabat yang tidak akan pernah dilupakan. Sekeping kertas dan senaskhah terjemahan Al Quran dihulur kepada Phat.

Awok baco maso sayo pindoh nanti deh!”Mawaddah melompat dari pangkin dan terus mengayuh basikal.

Phat hanya memerhati Mawaddah berlalu pergi. Entah kenapa bila berbual dengan gadis yang sebaya dengannya itu cukup menghiburkan hatinya. Hatinya mula tenang melihat wajah mulus Mawaddah dan tenang mendengar setiap tutur kata lembut gadis itu.

*********************

DUA tahun berlalu. Mawaddah masih menyimpan semua surat yang dihantar Phat kepadanya. Boleh dikatakan setiap bulan Phat akan menitip surat kepadanya menceritakan kisah hidupnya di Kelantan. Tetapi sejak ke belakangan ini Phat sudah jarang menulis. Kadang-kadang tiga bulan sekali baru dia terima surat dari Phat.

“Mungkin dia sibuk…tak apalah..”Mawaddah simpan semua surat Phat di dalam kotak dan disimpan bawah katil.

Dia baring di katil sambil memandang siling. Fikirannya menerawang jauh ke zaman sekolahnya di sebuah pekan kecil di bandar Tumpat. Di situlah juga dia berkenalan dengan Phat secara tak sengaja. Pemuda siam yang sangat ramah dan baik hati. Walaupun rupanya tidak berapa kacak tapi cukup untuk meruntun jiwa bila mendengar setiap tutur kata. Kulitnya yang sawa matang lebih menyerlahkan lagi kelelakian pemuda itu.

“Kenapa dengan aku ni?? Asyik fikir Phat je..mana boleh..dia Buddha, aku Islam..tak mungkin…”Mawaddah luku kepalanya sendiri.

Dia terus matikan suis lampu dan mula pejam mata.

KINI sudah empat tahun lebih dia belajar di UM, selama itulah dia tak pernah lupa pada Phat. Entah kenapa dia tidak dapat melupakan Sami muda itu. Dalam surat, dia selalu menulis kisah-kisah nabi untuk menghiburkan sami muda itu. Biar Phat tahu kebenaran al Quran. Setiap kali lepas solat, Mawaddah tidak pernah putus berdoa semoga Allah buka pintu hati Phat untuk menerima Islam.

“Awa..kenapa kau tolak cinta Sufian?” Ani teman sebilik di asrama menegur.

“Sufian?” Mawaddah mula teringat Sufian pelajar jurusan Kejuruteraan yang sering kirim salam padanya.

“Ya! Dia cintakan kau setengah mati tau tak..kau pulak buat tak tau je..” Ani duduk bersila atas katil Mawaddah.

“Maaf la..aku tak ada hati nak bercinta sekarang ni..” Mawaddah berkata tanpa nada perasaan.

“Sufian tu handsome tau tak. Ramai siswi kat U ni nak jadi steady dia. Kau pulak..nak jauhkan diri. Kenapa?” Ani seperti tidak puas hati dengan sikap Mawaddah.

“Bukan ke dia tu kaki perempuan?” Mawaddah pandang Ani dengan muka berkerut.

“Kaki perempuan?..hmm..ala..lelaki ni walaupun kaki perempuan tapi bila bab nak cari isteri, dia akan cari yang solehah!” Ani sengih.

“Huh! Tahu pun! Kalau dah tahu nak cari perempuan solehah..jadikanlah diri sendiri tu soleh dulu!” Mawaddah cukup tidak setuju dengan ayat yang keluar dari mulut Ani tadi.

“Dahlah..pening otak aku kalau bercakap dengan kau ni!”Ani mula tidur di katilnya.

Mawaddah hanya pandang Ani yang mula berdengkur. Dia tatap lagi surat dari Phat. Surat yang baru diterima setelah hampir empat bulan Phat menyepi.

“Hmm…rahsia apa pulak yang dia nak bagi tahu kat aku ni..” Mawaddah perhatikan betul-betul ayat demi ayat dalam surat itu.

*************************

SUDAH hampir empat bulan Phat tidakmengutus surat. Surat itu dilipat kemas. Surat yang baru dua hari lepas di terima dari Phat. Kali ini berlainan benar isi surat yang dikirim.

“Phat nak jumpa aku? Biar betul? Tahu ke dia datang ke KL ni..”Mawaddah mula berfikir sendiri.

Seingatnya sudah hampir lima tahun dia tidak berjumpa Phat. Bagaimana agaknya rupa Phat sekarang ini. Dalam setiap suratnya, Phat tidak pernah sertakan gambar. Mawaddah mula tertanya-tanya.

Surat dimasukkan ke dalam poket jubah berwarna ungu gelap. Sesekali dia memandang keluar pintu utama. Kelihatan ramai pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing di hari minggu begitu. Mawaddah mula gementar. Phat sudah berjanji dengannya untuk berjumpa di situ. Buat pertama kalinya selepas hampir lima tahun tidak bersua. Kedua tangannya dirasakan sudah sejuk. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Ya Allah! kau berilah kepadaku kekuatan! Jika dia benar untukku, maka dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuanMu! ”Mawaddah mula menadah tangan dan meraup muka.

Dia menanti dengan penuh sabar pemuda yang mula menapak dalam hatinya. Dia pasrah sekiranya Phat tidak membalas perasaannya kerana dia sedar mereka berlainan fahaman.

“Assalamualaikum!”

Mawaddah dongak. Seorang pemuda tersenyum manis kepadanya. Pemuda itu segak dalam jubah putih dan berketayap. Jelas wajah bersihnya terserlah. Begitu mendamaikan.

“Wa…wa’alaikumussalam..”Mawaddah tersentak. Matanya digenyeh berkali-kali. Tidak percaya. Phat bagi salam??

“Awa..apa khabar?”Phat mula duduk berhadapan dengan Mawaddah di sebuah meja makan di sebuah restoran di Bangsar.

“Ba..baik.Awak..Phat ke?”Mawaddah sudah pening. Dia keliru. Tiada lagi loghat Kelantan Siam dari mulut Phat. Phat sudah fasih berbahasa Melayu.

Phat angguk.

“Nama Islam saya Muhamad Phat Abdullah.” Phat senyum lagi.

Mereka berpandangan seketika. Tanpa sedar, air mata Mawaddah tumpah.

“Ya Allah! Syukur kepadaMu. Akhirnya doakan dimakbulkan! Amin..”Mawaddah menadah tangan sekali lagi sambil meraup muka.

“Saya tahu..awak selalu berdoa supaya saya diberi hidayah oleh Allah, kan?” Phat senyum lebar.

Mawaddah senyum. Dia mula tunduk.

Sekali lagi Phat bercerita kisah hidupnya. Kali ini penghijrahannya kepada agama Islam. Perjalanan hidupnya menempuh kepayahan mencari ilmu Allah. Dia dihalau oleh ayah angkatnya di tokong siam itu. Tiada tempat berpaut, dia kemudian membawa diri ke sebuah masjid di pekan Tak Bai di selatan Thailand. Dari situ, dia menjaga masjid dan menjadi bilal. Makan minumnya hanya simpati dari jemaah masjid. Namun, kehidupannya tidak lama di situ setelah ada serangan hendap dari puak militan yang berperang. Dia melarikan diri ke sebuah kampung di daerah Pattani. Di situlah dia mula berjinak dengan pelajar pondok. Dia belajar semua ilmu agama di situ sehingga berjaya menjadi seorang hafiz dan diberi tawaran melanjutkan pelajaran ke Jordan. Dan kini dia salah seorang tenaga pengajar di masjid Bangsar.

Mawaddah mendengar penuh khusyuk. Semua cerita dalam suratnya berlainan dari apa yang diceritakan tadi. Kandungan surat Phat hanya berkisar kisah hidupnya sebagai seorang penganut agama Buddha dan kajiannya ke atas agama lain termasuk Islam. Tidak ada tanda yang Phat memeluk Islam dan melalui keperitan hidup begitu.

“Ni..saya ada bawa buah pauh muda kegemaran awak.”Phat hulur sebungkus beg plastik.

Mawaddah senyum. “Awak masih ingat?”

Phat angguk. Kerana masam pauh muda itulah dia ditemukan dengan Mawaddah dan jalan kebenaran dari gadis kecil molek itu.

“Saya datang ke sini bersama satu hajat. Itu pun jika awak sudi.”Phat pandang lagi Mawaddah yang cantik dalam jubah ungu gelap dan tudung putih. Cukup untuk menyerlahkan wajah ayu Mawaddah.

“A..apa dia?”Mawaddah mula pandang Phat.

“Saya ingin mengambil awak sebagai isteri saya. Saya tak ada sesiapa di dunia ni. Kalau awak setuju, minggu depan saya hantar rombongan meminang. “ Phat masih menunggu kata-kata Mawaddah bila melihat Mawaddah hanya diam mendengar kata-katanya.

Mawaddah tulis sesuatu di atas kertas dan dihulur kepada Phat. Dia terus minta diri dan berlalu pergi.

Phat senyum melihat tulisan di atas kertas itu.

‘Saya sudah lama tunggu awak’

************************

KINI Mawaddah sah menjadi tunang Phat. Mereka hanya bertunang tiga bulan saja. Bulan depan, mereka berdua bakal disatukan.Dia bersyukur kerana orang tuanya terima Phat seadanya.

Malam itu, Mawaddah tidur dengan senyuman lebar. Sebulan lagi dia akan sah bergelar isteri Phat.

**********

“Abang..kenapa pauh ni manis? Bukan ke masih muda?” Mawaddah makan lagi buah pauh. Pelik.

Phat hanya senyum melihat isterinya begitu berselera makan buah pauh muda.

“Abang…kenapa abang senyum je..pelik la..Awa suka pauh yang masam. Kenapa pauh ni manis?” Mawaddah mula tidak faham.

“Awa..kadang-kadang buah yang kita sangka masam tak selalunya masam. Ada masanya ia boleh jadi manis. Macam hubungan kita, bermula sebiji pauh yang masam, lama-lama rasa masam itu tak terasa lagi..hanya manis yang melekat di lidah. itulah Kuasa Allah.” Phat menutur lembut.

“Tapi bang..selalunya pauh muda masam..” Mawaddah cuba pegang tangan Phat.

Phat semakin menjauhkan diri.

“Abang….Awa nak pauh masam!” Mawaddah mengejar Phat yang semakin jauh.

“Biarlah pauh itu manis..kerana masamnya pauh itu boleh menjauhkan hubungan kita. Biarlah pauh itu manis..kita boleh bersatu di syurga nanti..”

Kelibat Phat mula hilang ditelan kabus putih.

“Abang! Jangan tinggalkan Awa!!Abang!!”

****************

“AWA! Bangun nak!”

Mawaddah tersedar dari tidur. Seluruh tubuhnya berpeluh. Dia pandang di sebelah. Kelihatan ibunya sudah tercegat di situ.

“Tu la..mak dah pesan. Baca tiga Qul dulu sebelum tidur, ni tidak..basuh kaki pun tidak!” Puan Zaharah mula membebel. Di terus berlalu pergi setelah Mawaddah pergi ke bilik air mengambil wuduk.

Sejak mimpi itu Mawaddah mula tidak sedap hati. Hanya tinggal dua hari lagi dia akan disatukan dengan Phat.

‘Ya Allah, selamatkanlah Phat. Biarlah kami selamat diijabkabulkan.”

*****************

KINI tiba hari bahagia yang dinanti-nantikan. Phat dan Mawaddah selamat diijabkabulkan oleh ayah Mawaddah sendiri. Manakala Phat pula diwakili oleh rakan-rakan dari masjid dan juga teman satu kuliah dari pondok.

Seharian mereka melayan tetamu yang datang. Mawaddah senyum. Nyata Phat sungguh gembira dikelilingi sanak saudara. Selama ini dia tidak pernah merasa kebahagiaan hidup dalam satu keluarga yang besar.

“Awa…abang sangat bahagia. Awa sudi terima abang sebagai suami.” Phat peluk Mawaddah dengan erat.

Mawaddah hanya senyum. Tika ini tiada ucapan yang mampu diluahkan. Kasihnya terhadap Phat sudah lama bertapak. Kerana pauh, hatinya terpaut.

“Awa..esok abang kena menghadiri satu ceramah di Gombak. Awa nak ikut tak?” Phat cium pipi Mawaddah.

“Tak apalah bang..Awa tolong mak mengemas rumah. Abang bermalam kat sana ke?” Mawaddah dongak. Ketinggiannya hanya setakat paras bahu Phat.

“Malam esok abang balik. “ Phat senyum.

Lampu ditutup.

********************

“AWA..ni ada panggilan telefon.” Puan Zaharah menghulurkan telefon bimbit Mawaddah yang tertinggal di ruang tamu.

“Assalamualaikum!”

Mawaddah senyum bila melihat nama Phat di skrin

Err..awak Mawaddah ke?” Satu suara asing bersuara di hujung talian.

“Ya, saya…mana Phat? Awak siapa?” Mawaddah mula keliru.

“Maaf, harap cik Mawaddah bersabar. Phat kemalangan tadi. Dia meninggal di tempat kejadian. Cik Mawaddah boleh tuntut mayat di bilik mayat PPUM.”

Talian putus.

Mawaddah kelu. Telefon bimbitnya jatuh ke lantai. Air matanya seolah tersekat di kelopak mata. Mimpinya benar-benar menjadi kenyataan. Dia jeling pauh yang sempat dibeli oleh Phat sebelum bertolak pergi. Sebiji pauh muda diambil dan mula mengupas. Kini hanya ada rasa masam. Manisnya sudah hilang.

Perlahan dia melangkah ke bilik air dan mengambil wuduk. Sejadah dibentang. Selesai solat Isyak, dia menadah tangan.

‘Ya Allah! Kau tempatkanlah suamiku di kalangan orang yang beriman…”


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini