rss


HABIS kelas tadi, Emi tergesa-gesa melangkah keluar dari dewan kuliah. Dia lihat jam sudah hampir lima setengah petang. Terkocoh-kocoh dia berlari ke tempat letak motosikal. Helmet digenggam kemas di tangan kanan, tangan kiri pula beg sandang yang berat dengan buku rujukan yang dipinjam di perpustakaan pagi tadi.

Tiba di tempat motosikal, terkial-kial dia mencari motosikal yang seingatnya diletakkan di tepi pokok. Kelihatan pokok di situ semuanya sama. Terjuntai-juntai akar dari celah batang. Emi garu kepala. Melilau dia mencari motosikal warna merah miliknya. Bukan dia seorang yang memiliki motosikal warna merah begitu. Sekali lagi dia jeling jam di tangannya. Sudah lima empat puluh lima minit petang. Dia tidak mahu kempunan kuih cek mek kalau lambat tiba di bazar ramadhan nanti.

“Emi!”

Emi berpaling. Shidah tersengih sambil berlari-lari anak membawa sebuah helmet.

“Emi! Aku nak tumpang balik, boleh tak?” termengah-mengah Shidah menahan nafas.

“Kenapa dengan kereta tunang kau ?” Emi pandang Shidah sambil membetulkan beg sandang yang hampir terlurut.

“Kereta dia buat hal pulak hari ni. Dia suruh aku tumpang kau! Boleh ke?”

Emi angguk. Masih menggaru kepala memikirkan di mana dia letak motosikalnya tadi. Masa datang kuliah pagi tadi, tak banyak lagi motosikal bersidai kat situ.

“Err..kau fikir apa?” Shidah turut melihat sekitar tempat letak motosikal yang luasnya sebesar gelanggang badminton. Bersusun motosikal diletak elok mengikut barisan. Kalau satu jatuh, alamatnya semua jatuh!

“Aku tengah fikir kat mana aku letak motor aku ni! Banyak sangat motor kat sini!” Emi berjalan perlahan di celah-celah motosikal yang diletakkan memanjang.

Shidah tarik tangan Emi bila ternampak motosikal warna merah plat nombor WWW 1234. Emi senyum. Dia terus pakai helmet dan menghidupkan motosikal. Shidah segera duduk di bahagian belakang motor.

Laju Emi memecut ke arah bazar ramadhan di sekitar kawasan rumah sewanya. Motor diletakkan di tepi jalan. Bergegas dia menuju ke gerai-gerai. Banyak kuih yang telah habis dijual. Kuih kegemarannya cek mek juga sudah habis. Shidah hanya senyum melihat telatah Emi yang muncung sambil hentak kaki tanda tidak puas hati.

“Ala..kau buat je sendiri Emi! Bukan susah pun, kau cari je resipi kat internet!” Shidah sudah siap beli sebungkus air tebu dan sebungkus nasi kerabu.

Emi mula hilang mood. Dia berjalan perlahan sepanjang gerai di situ. Tidak tahu apa yang nak dibeli buat berbuka nanti. Akhirnya dia beli sebungkus nasi beriani berlaukkan daging masak kurma dan agar-agar pelangi.

SAMPAI di rumah, Shidah segera mengambil makanan dari Emi dan terus masuk ke rumah setingkat. Emi masih di laman rumah menolak motosikal ke dalam sikit dekat dengan tempat letak kasut. Setelah motor dikunci, dia duduk di bangku tepi rak kasut sambil membuka tali kasut.

“Ehem!”

Emi menoleh, melilau mencari arah suara yang berdehem kuat. Dia jenguk rumah sebelah. Lelaki muda yang pada hemahnya juga pelajar sepertinya sedang tersenyum kepadanya. Dia tunduk semula sambil membuka kasut sukan yang dipakai. Kasut dicampak kuat ke atas rak kasut di sebelahnya.

“Ehem!”

Lagi kuat lelaki muda itu berdehem bila Emi buat tak endah.

“Awak baru balik ke?” lelaki itu jenguk di pagar yang memisahkan rumahnya dengan rumah lelaki itu.

“Habis baru mandi??” Emi mencebik. Dirasakan soalan bodoh ditanya kepadanya.

“Sombongnya!” Lelaki itu terus masuk ke rumah.

Emi jeling sebelah. Dia senyum. Padan muka!

JAM sudah hampir tujuh malam. Emi siapkan meja makan untuk berbuka nanti. Kali ini gilirannya mengemas dan menyusun pinggan di atas meja. Selesai di meja, dia beralih pula ke kabinet dapur membancuh satu jag sirap bandung. Cukup untuk mereka berlima di rumah satu tingkat yang mempunyai tiga bilik. Semua makanan yang dibeli tadi disusun atas meja. Kuih pula diletak dalam pinggan mengikut jenis kuih. Dia senyum. Nampaknya hari ini ada lima jenis kuih. Empat dibeli di bazar ramadhan dan satu lagi dibuat sendiri. Kak Yati, pelajar paling senior dalam rumah itu memang rajin membuat kuih. Kali ini Kak Yati buat lepat pisang!

“Wah! Emi! Laju kau bancuh air!” Shidah sudah tercegat di pintu menghala ke dapur.

Emi hanya senyum. “ Mana yang lain?”

“Ada kat ruang tamu tu..kan lima belas minit lagi nak berbuka!” Shidah tolong Emi menyusun gelas di atas meja.

Guys! Jom berbuka! Dah dekat dah ni!” Shidah laung dari dapur sambil jenguk Kak Yati, Alin dan Nor yang leka menonton Jejak Rasul.

SELESAI berdoa, mereka mula berbuka. Masing-masing mula menjamah makanan yang dibeli tadi. Kak Yati seperti biasa, dia suka masak sendiri. Hari ini dia masak nasi dagang bersama dengan kari ikan tongkol. Alin dan Nor pula khusyuk menikmati nasi beriani berlaukkan ayam rendang.

“Alamak!”

Masing-masing berpaling ke arah Kak Yati. Kak Yati meluru ke ruang tamu dan kembali semula membawa sepinggan kuih. Dia letak kuih di atas meja.

“Maaf, lupa pulak fasal kuih ni!” Kak Yati senyum dan menyambung semula berbuka.

“Kak, kuih siapa ni?” Emi pandang ada lima biji kuih cek mek dalam pinggan plastik berwarna merah. Dia menelan liur. Dari tadi dia kempunan merasa kuih cek mek .

“Emi! Elok sangatlah tu! Kau jugak nak makan kuih tu kan! Rezeki jangan ditolak!” Shidah menyampuk.

“Jiran sebelah yang bagi!” Kak Yati mula teringat kuih yang diberi jiran sebelah petang tadi.

Emi pandang Kak Yati yang tersenyum manis. “Err..jiran sebelah kiri ke sebelah kanan?”

Dia teringat lelaki tadi adalah jiran sebelah kiri dan jiran sebelah kanan pula adalah pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak kecil.

“Jiran sebelah kiri la. Akak balas dengan lepat pisang pulak.” Kak Yati pandang Emi sambil mengenyit mata.

Alin dan Nor turut senyum.

Emi mula hilang selera. Tidak berani dia makan kuih cek mek pemberian jiran sebelah kirinya itu. Baru sekejap tadi dia berlagak sombong. Terasa malu sendiri. Dia pandang saja kuih itu lepak dalam pinggan merah.

HABIS solat terawih, Emi dan teman serumah yang lain mula mengadap buku masing-masing di ruang tamu. Mereka lebih selesa menelaah di ruang tamu yang selesa dengan kipas angin yang besar. Emi senyum melihat gelagat temannya yang lain. Ada yang baca buku sambil baring, ada yang duduk bersila atas sofa, ada yang meniarap sambil tongkat dagu. Dia pula duduk bersila atas karpet dan bukunya diletakkan atas meja di tepi sofa.

“Lapar lah pulak..” Emi pegang perut yang berbunyi.

Dia segera bangun dan mula melangkah ke dapur melihat apa yang boleh dimakan. Kuih yang dibeli tadi semuanya sudah habis. Tinggal kuih cek mek saja. Itu pun hanya tinggal sebiji saja. Dia terus duduk dan mula mengunyah.

“Hmm..sedapnya! Lembut pulak tu! Terasa air gula yang cair elok dalam ni..” Emi lahap menghabiskan sebiji kuih cek mek tadi.

Terasa menyesal pulak tidak makan ketika berbuka tadi. Dia senyum. Selepas minum air dari peti sejuk, dia kembali semula ke ruang tamu.

“Kak, kuih cek mek tu jiran sebelah buat sendiri ke?” Emi mula berminat nak tahu.

“Entahlah! Shafiq kata, dia buat sendiri! Kenapa?” Kak Yati pandang Emi.

“Tak ada apa…hihihi..terima kasih daun keladi..hantarlah lagi!” Emi sengih.

Kak Yati turut senyum mendengar kata-kata Emi. Dia tahu, Shafiq sudah lama sukakan Emi. Kuih cek mek itu pun sebenarnya diberi khusus untuk Emi. Hanya Emi saja yang tidak tahu.

Emi hanya senyum. Hmm..yang mana satu Shafiq ni..dia mula meneka sendiri.

HARI kelima berpuasa, Emi mula mencari resipi cek mek di internet. Sebelum ini dia hanya beli saja di bazar ramadhan.

“Baik aku buat sendiri..malu je kat jiran sebelah. Aku yang perempuan ni tak pandai buat kuih..” Emi mengomel sendiri sambil mata mencari resipi yang sesuai.

Dia senyum. Kali ini dia akan cuba buat. Cepat-cepat dia mengemas buku rujukan yang dipinjam dari perpustakaan tadi. Perlahan dia keluar dari bilik komputer. Kakinya laju melangkah ke dewan kuliah yang terletak tidak jauh dari situ.

Tiba di dewan kuliah, dia segera mencari tempat kosong. Panjang tengkuknya mencari tempat kosong. Dewan kuliah yang besar begitu, memang senang nampak. Emi jenguk lagi. Kakinya melangkah perlahan ke setiap baris tempat duduk. Dia pandang pula ke bahagian atas. Ada beberapa tempat kosong. Semuanya pelajar lelaki. Nak tak nak dia terpaksa duduk juga di situ bila bahagian bawah dan tengah sudah penuh.

“Err..boleh saya tumpang duduk di sini?” Emi senyum hambar. Seorang pelajar lelaki yang agak kacak tersenyum kepadanya sambil mengangguk.

Emi segera duduk di bangku paling hujung. Selang satu kerusi dengan tempat duduk lelaki tadi. Dia mula keluarkan nota dari beg sandang. Beg diletak di tepi kaki.

“Aduh!”

Emi gosok kakinya yang dipijak oleh seseorang tadi. Habis bukunya jatuh. Terbongkok-bongkok dia mengutip buku dan nota yang berselerak atas lantai.

“Hmm..resipi cek mek rupanya..”

Emi bangun dan pandang lelaki yang memijak kakinya sebentar tadi. Dia tergamam. Sekeping kertas yang ditulis resipi tadi sudah berada di tangan lelaki itu.

“Kau??” Emi renung tajam lelaki itu.

Dia segera rampas kertas dari tangan lelaki itu. Dia cepat-cepat mengemas barangnya dan mencari tempat duduk lain. Geram dengan sikap lelaki tadi. Sudahlah tidak minta maaf masa pijak kaki tadi. Tak sangka jirannya juga satu kuliah dengannya. Setiap kali balik ke rumah, muka lelaki itu yang selalu dia nampak bersidai dekat tepi pagar. Entah apa yang ditunggu.

Lelaki itu hanya senyum. “Nanti kau…sombong!”

PETANG itu selepas habis kelas, Emi menunggang motosikal menuju ke pasar. Semangatnya mula berkobar untuk mencuba resipi yang baru disalin dari internet tadi. Perkara pertama yang dia beli adalah ubi keledek dan tepung gandum. Setelah itu pula dia segera ke bahagian sayur. Tadi sebelum ke kelas, Kak Yati sempat pesan kacang panjang untuk digoreng nanti. Semua barang yang dibeli diletak dalam bakul di depan motosikal.

“Hmm..kali ni aku nak cuba buat kuih ni! Cayok!” Emi senyum.

Laju motosikalnya menuju ke taman perumahan rumah yang disewa seramai lima orang. Sampai di rumah dia segera letak motor. Sepanjang perjalanan balik tadi, di bibirnya sentiasa diukir dengan senyuman. Seperti biasa dia buka ikatan tali kasut sukan sambil tersenyum. Aku nak lawan jiran sebelah punya kuih. Mana tahu aku punya lagi sedap! Emi berbisik sendiri.

“Ehem! Awal balik hari ni?” Shafiq jeling Emi di tepi pagar.

Emi berpaling. Jiran sebelah yang satu kuliah dengannya sedang tersengih. Hmm..mengapa dia pun balik awal hari ni..selalunya pukul lima baru ada kat rumah.

“Suka hati akulah! Kau apa peduli? Dahlah pijak kaki aku tak minta maaf!” Emi mengomel sendiri antara dengar dengan tidak.

“Kau mengumpat ku eh?”

“Eii!! Puasa-puasa ni tak kuasa aku nak mengumpat hal orang!” Emi terus masuk ke rumah setelah mengambil barang yang dibeli dari dalam bakul motosikalnya. Beg sandang pula disangkut di sebelah bahu kanan.

“Ooo..nak buat kuih rupanya..hihihi!” Shafiq senyum sambil mata melirik ke arah tepung gandum dan ubi keledek di tangan Emi.

LEPAS solat zuhur, Emi segera ke dapur. Dia sudah tidak sabar membuat kuih kegemarannya. Ubi keledek dibasuh bersih dan direbus. Dia senyum lagi.

“Eh, Emi..senyum sorang-sorang ni kenapa? Ada beli sayur yang akak pesan tu?” Kak Yati tiba-tiba muncul di dapur. Dia tidak ada kelas hari ini.

“Hihii..tak ada apa lah kak. Kacang panjang tu saya letak atas meja.” Emi senyum lagi.

“Eh! Rebus ubi keledek? Nak buat kuih cek mek ke?” kak Yati jenguk periuk atas dapur sambil tersenyum.

Emi hanya senyum. Sesekali dia jenguk ubi dalam periuk. Setelah empuk, dia segera angkat dan memulakan misinya.

Kak Yati pula sibuk memasak lauk lain untuk berbuka. Hari ini Kak Yati belanja semua teman serumahnya. Emi senyum. Kak Yati memang suka memasak. Memang sedap masakannya.

HARI itu, Emi puas bila kuih cek mek berjaya dibuat dengan baik mengikut resipi yang diambil dari internet siang tadi. Ubi yang direbus tadi diuli dengan tepung gandum dan diletak sedikit gula sebagai inti.

“Kak..cuba jap..okay tak?” Emi hulur sebiji kuih cek mek yang telah siap digoreng kepada Kak Yati yang kebetulan uzur.

“Hmm..sedap la! Kalah jiran sebelah macam ni! Eh! Emi buat banyak tak? Sedekah la sikit kat jiran sebelah kita. Jiran sebelah kiri ada lima orang, jiran sebelah kanan pulak ada dua orang je!” Kak Yati senyum lagi.

“Boleh! Sedekah bulan puasa kan dapat pahala banyak!” Emi mula kembang hidung bila dipuji oleh Kak Yati tadi.

**********************

SHAFIQ senyum. Kuih cek mek yang diberi Kak Yati tadi sungguh sedap. Dia dapat mengagak mesti budak perempuan yang satu kuliah dengannya yang buat kuih tadi. Huh! Agaknya nak tunjuk pandai la tu! Sayang aku tak tahu namanya…Bisik hatinya.

“Fiq! Apa yang kau senyum tu?” Halim tepuk bahu Shafiq.

Shafiq hanya senyum. Dia perlu balas dengan pemberian tadi.

Shafiq dan semua teman serumahnya memang sangat rajin memasak. Bahkan mereka berlumba-lumba mempamerkan kemahiran memasak masing-masing. Halim terkenal dengan nasi beriani istimewa resipi ibunya, Azmi pula mahir memasak daging panggang terangkat, Jo pula suka memasak ayam bakar rebah bangun! Kadang-kadang Shafiq ketawa terbahak-bahak mendengar nama resipi masing-masing. Padahal ayam rendang dan daging panggang yang diperap saja.

“Hmm..aku nak buat kuih onde-onde lah! Aku nak kenakan budak perempuan sombong tu!” Shafiq senyum sendiri. Sememangnya kuih saja yang dia tahu masak.

****************

HARI ke tujuh berpuasa, Emi dan teman rumahnya tidak sempat memasak. Kebetulan hari itu Kak Yati ada kelas pagi sampai ke petang. Mereka terpaksa beli juadah untuk berbuka.

“Emi, tolong akak susun kuih ni dalam pinggan.” Kak Yati menghulurkan tiga bungkus kuih yang berlainan jenis yang dibeli di bazar ramadhan tadi.

“Eh! Kak! Ni onde-onde sapa pulak ni?” Emi pandang sepinggan buah Melaka atas meja.

“Oo..tu jiran sebelah kiri yang bagi. Tadi masa akak sampai rumah, Shafiq hulur sepinggan kuih tu kat akak!” Kak Yati mula teringat.

Emi hanya angguk. Pandai betul jiran sebelah buat kuih! Emi renung onde-onde dalam pinggan yang nampak begitu menyelerakan.

“Err..kak..Shafiq ni yang mana satu ek?” Emi mula tertanya-tanya siapa jejaka yang begitu pandai buat kuih muih.

“Alah..yang putih-putih tu..tinggi, selalu balik awal dari kampus.” Kak Yati beria menerangkan kepada Emi.

“Maksud akak..lelaki yang bawa Satria tu ke?” Emi mula teringat lelaki yang selalu menegurnya bila terserempak di laman rumah.

Kak Yati angguk.

Tiba waktu berbuka, mereka sama-sama menikmati juadah yang cukup untuk mereka berlima. Emi pandang onde-onde dalam pinggan. Tidak luak.

“Kenapa tak makan onde-onde tu?” Kak Yati juga turut pandang onde-onde yang seperti tidak dihiraukan.

“Kenyang la kak..perut dah penuh ni..karanglah lepas terawih.” Alin senyum sambil memegang perutnya.

Nor dan Shidah turut angguk. Emi pula hanya pandang onde-onde pemberian jiran sebelah. Sebenarnya dia ingin merasa kuih itu tapi segan pada kak Yati.

“Emi..makanlah..kesian jiran buat..penat dia orang menggentel tau!” Kak Yati cuba buat lawak. Macamlah kak Yati tahu macam mana mereka menggentel kuih itu. Emi turut tergelak bila melihat Nor, Alin dan Shidah sudah ketawa.

“Baiklah kak..” Emi ambil sebiji.

Tiba-tiba Emi melulu ke singki dapur. Dia muntahkan onde-onde yang dimakan tadi. Cepat-cepat dia berkumur.

“Emi! Kenapa?” Kak Yati mula pelik.

“Err..tak ada apa..perut saya ni tak sedap sikit..makanlah kuih tu..” Emi senyum. Biar teman serumahnya rasa juga onde-onde jiran sebelah.

Shidah turut makan sebiji, dia juga turut meluru ke singki dan memuntahkan semula.

“Ceh! Dia orang ni bubuh kicap la! Ingatkan gula Melaka tadi!” Shidah ketawa sambil meluku kepala Emi yang mula terbahak-bahak melihat Shidah membebel.

Dalam hati, Emi ingin membalas kuih yang diberi oleh jiran sebelah tadi. Tak pa..aku balas balik! Siap!

HARI ke lapan puasa. Emi sekali lagi bercadang hendak ke pasar membeli ubi keledek untuk membuat kuih cek mek. Dia sudah berkira nak kenakan semula jiran sebelah.

Habis saja kuliah, Emi tergesa-gesa ke tempat letak motosikal.

“Emi!”

Emi berpaling. Macam mana mamat ni tahu nama aku??

“Dah makan kuih yang aku bagi tu? Sedap tak?” Shafiq sengih. Nafasnya mula mengah akibat berlari mengejar Emi tadi.

“Jadi kaulah yang kenakan kita orang ya! Siap kau!” Emi jeling Shafiq yang mula ketawa.

“Ala..aku gurau je tu..sebenarnya aku suka kuih cek mek kau tu…sedap! Kalah aku macam ni!” Shafiq ketawa lagi.

“Banyaklah kau punya sedap!” Emi terus pergi meninggalkan Shafiq yang masih ketawa.

Tiba di rumah, Emi terus merebus ubi dan membuat kuih cek mek. Dia lihat notis yang ditampal di peti sejuk. Kak Yati berbuka di rumah ibu saudaranya di Keramat. Nor dan Alin pula berbuka di rumah kawannya di Setapak. Shidah pula berbuka di rumah bakal mak mertuanya di Shah Alam.

“Hmm..nampaknya aku sorang kat rumah berbuka hari ni..”

Dia cepat-cepat membuat kuih cek mek. Selesai menggoreng, dia segera menghulurkan kepada jiran sebelah. Lima biji kuih cek mek sengaja diasingkan dalam pinggan untuk jiran sebelah kiri. Jiran sebelah kanan juga Emi turut sedekah sedikit kuih yang baru siap digoreng.

“Assalamualaikum!” Emi jenguk jiran sebelah di sebalik pagar tepi.

“Wa’alaikumussalam!”

Emi senyum bila melihat seorang lelaki yang jarang dia jumpa keluar dari pintu depan sambil mata melilau mencari arah suara.

“Ni..ada sedikit kuih untuk berbuka..” Emi hulur sepinggan kuih.

Lelaki itu senyum sambil mengucapkan terima kasih. “Banyaknya! Shafiq sorang je berbuka kat rumah hari ni..yang lain berbuka kat luar.” Lelaki itu senyum lagi.

Emi pula mula sengih. Baguslah!

***********

SHAFIQ letak kasut atas rak. Dia lihat jam, sudah lima setengah petang. Lepas kunci kereta, dia sempat jeling jiran sebelah kanannya.

“Hmm..senyap je. Selalunya masa ni bising je..” Shafiq mula masuk ke rumah.

Kunci kereta diletak atas meja sofa. Dia segera ke dapur. Balik dari kampus tadi, dia sempat beli makanan untuk berbuka. Hari ini dia seorang berbuka.

Di dapur, dia segera meletakkan juadah yang dibeli tadi di bawah saji.

“Eh! Ada kuih cek mek! Macam tahu je aku tak beli kuih hari ni!” Shafiq senyum.

Dia segera bancuh kopi ais dan diletak dalam peti sejuk sementara menunggu waktu berbuka.

Shafiq lihat jam. Sudah hampir waktu berbuka. Dia segera hidang nasi kerabu yang dibeli tadi dalam pinggan dan mula membaca doa bila mendengar azan maghrib di masjid berdekatan.

“Hmm..nampak sedap ni! Ni mesti jiran sebelah yang bagi. Memang sedap!” Shafiq ambil sebiji kuih cek mek.

“Puh!! Puh!”

Shafiq letak semula kuih tadi. Mukanya sudah kelat. Berkerut-kerut. Segera dia ke singki berkumur.

“Eii!! Patutlah masin! Inti budu rupanya!!” Shafiq kumur lagi.

Seketika kemudian, dia senyum kembali dan terus ketawa. Tidak jadi marah.

“Memang padanlah muka aku..aku bagi onde-onde inti kicap, dia balas cek mek inti budu! Hahaha!!” Shafiq masih ketawa. Dia geleng sendiri. Gelihati mengenangkan sikap Emi yang membalas kuih onde-onde pemberiannya dulu.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini