HABIS kelas tadi,
Emi tergesa-gesa melangkah keluar dari dewan kuliah. Dia lihat jam sudah hampir
lima setengah petang. Terkocoh-kocoh dia berlari ke tempat letak motosikal.
Helmet digenggam kemas di tangan kanan, tangan kiri pula beg sandang yang berat
dengan buku rujukan yang dipinjam di perpustakaan pagi tadi.
Tiba di tempat
motosikal, terkial-kial dia mencari motosikal yang seingatnya diletakkan di
tepi pokok. Kelihatan pokok di situ semuanya sama. Terjuntai-juntai akar dari
celah batang. Emi garu kepala. Melilau dia mencari motosikal warna merah
miliknya. Bukan dia seorang yang memiliki motosikal warna merah begitu. Sekali
lagi dia jeling jam di tangannya. Sudah lima empat puluh lima minit petang. Dia
tidak mahu kempunan kuih cek mek kalau lambat tiba di bazar ramadhan nanti.
“Emi!”
Emi berpaling.
Shidah tersengih sambil berlari-lari anak membawa sebuah helmet.
“Emi! Aku nak
tumpang balik, boleh tak?” termengah-mengah Shidah menahan nafas.
“Kenapa dengan
kereta tunang kau ?” Emi pandang Shidah sambil membetulkan beg sandang yang
hampir terlurut.
“Kereta dia buat
hal pulak hari ni. Dia suruh aku tumpang kau! Boleh ke?”
Emi angguk. Masih
menggaru kepala memikirkan di mana dia letak motosikalnya tadi. Masa datang
kuliah pagi tadi, tak banyak lagi motosikal bersidai kat situ.
“Err..kau fikir
apa?” Shidah turut melihat sekitar tempat letak motosikal yang luasnya sebesar
gelanggang badminton. Bersusun motosikal diletak elok mengikut barisan. Kalau
satu jatuh, alamatnya semua jatuh!
“Aku tengah fikir
kat mana aku letak motor aku ni! Banyak sangat motor kat sini!” Emi berjalan
perlahan di celah-celah motosikal yang diletakkan memanjang.
Shidah tarik
tangan Emi bila ternampak motosikal warna merah plat nombor WWW 1234. Emi
senyum. Dia terus pakai helmet dan menghidupkan motosikal. Shidah segera duduk
di bahagian belakang motor.
Laju Emi memecut
ke arah bazar ramadhan di sekitar kawasan rumah sewanya. Motor diletakkan di
tepi jalan. Bergegas dia menuju ke gerai-gerai. Banyak kuih yang telah habis
dijual. Kuih kegemarannya cek mek juga sudah habis. Shidah hanya senyum melihat
telatah Emi yang muncung sambil hentak kaki tanda tidak puas hati.
“Ala..kau buat je
sendiri Emi! Bukan susah pun, kau cari je resipi kat internet!” Shidah sudah
siap beli sebungkus air tebu dan sebungkus nasi kerabu.
Emi mula hilang
mood. Dia berjalan perlahan sepanjang gerai di situ. Tidak tahu apa yang nak
dibeli buat berbuka nanti. Akhirnya dia beli sebungkus nasi beriani berlaukkan
daging masak kurma dan agar-agar pelangi.
SAMPAI di rumah,
Shidah segera mengambil makanan dari Emi dan terus masuk ke rumah setingkat.
Emi masih di laman rumah menolak motosikal ke dalam sikit dekat dengan tempat
letak kasut. Setelah motor dikunci, dia duduk di bangku tepi rak kasut sambil
membuka tali kasut.
“Ehem!”
Emi menoleh,
melilau mencari arah suara yang berdehem kuat. Dia jenguk rumah sebelah. Lelaki
muda yang pada hemahnya juga pelajar sepertinya sedang tersenyum kepadanya. Dia
tunduk semula sambil membuka kasut sukan yang dipakai. Kasut dicampak kuat ke
atas rak kasut di sebelahnya.
“Ehem!”
Lagi kuat lelaki
muda itu berdehem bila Emi buat tak endah.
“Awak baru balik
ke?” lelaki itu jenguk di pagar yang memisahkan rumahnya dengan rumah lelaki
itu.
“Habis baru
mandi??” Emi mencebik. Dirasakan soalan bodoh ditanya kepadanya.
“Sombongnya!”
Lelaki itu terus masuk ke rumah.
Emi jeling
sebelah. Dia senyum. Padan muka!
JAM sudah hampir
tujuh malam. Emi siapkan meja makan untuk berbuka nanti. Kali ini gilirannya
mengemas dan menyusun pinggan di atas meja. Selesai di meja, dia beralih pula
ke kabinet dapur membancuh satu jag sirap bandung. Cukup untuk mereka berlima
di rumah satu tingkat yang mempunyai tiga bilik. Semua makanan yang dibeli tadi
disusun atas meja. Kuih pula diletak dalam pinggan mengikut jenis kuih. Dia
senyum. Nampaknya hari ini ada lima jenis kuih. Empat dibeli di bazar ramadhan
dan satu lagi dibuat sendiri. Kak Yati, pelajar paling senior dalam rumah itu
memang rajin membuat kuih. Kali ini Kak Yati buat lepat pisang!
“Wah! Emi! Laju
kau bancuh air!” Shidah sudah tercegat di pintu menghala ke dapur.
Emi hanya senyum.
“ Mana yang lain?”
“Ada kat ruang
tamu tu..kan lima belas minit lagi nak berbuka!” Shidah tolong Emi menyusun
gelas di atas meja.
“Guys!
Jom berbuka! Dah dekat dah ni!” Shidah laung dari dapur sambil jenguk Kak Yati,
Alin dan Nor yang leka menonton Jejak Rasul.
SELESAI berdoa,
mereka mula berbuka. Masing-masing mula menjamah makanan yang dibeli tadi. Kak
Yati seperti biasa, dia suka masak sendiri. Hari ini dia masak nasi dagang
bersama dengan kari ikan tongkol. Alin dan Nor pula khusyuk menikmati nasi
beriani berlaukkan ayam rendang.
“Alamak!”
Masing-masing
berpaling ke arah Kak Yati. Kak Yati meluru ke ruang tamu dan kembali semula
membawa sepinggan kuih. Dia letak kuih di atas meja.
“Maaf, lupa pulak
fasal kuih ni!” Kak Yati senyum dan menyambung semula berbuka.
“Kak, kuih siapa
ni?” Emi pandang ada lima biji kuih cek mek dalam pinggan plastik berwarna
merah. Dia menelan liur. Dari tadi dia kempunan merasa kuih cek mek .
“Emi! Elok
sangatlah tu! Kau jugak nak makan kuih tu kan! Rezeki jangan ditolak!” Shidah
menyampuk.
“Jiran sebelah
yang bagi!” Kak Yati mula teringat kuih yang diberi jiran sebelah petang tadi.
Emi pandang Kak
Yati yang tersenyum manis. “Err..jiran sebelah kiri ke sebelah kanan?”
Dia teringat
lelaki tadi adalah jiran sebelah kiri dan jiran sebelah kanan pula adalah
pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak kecil.
“Jiran sebelah
kiri la. Akak balas dengan lepat pisang pulak.” Kak Yati pandang Emi sambil
mengenyit mata.
Alin dan Nor turut
senyum.
Emi mula hilang
selera. Tidak berani dia makan kuih cek mek pemberian jiran sebelah kirinya
itu. Baru sekejap tadi dia berlagak sombong. Terasa malu sendiri. Dia pandang
saja kuih itu lepak dalam pinggan merah.
HABIS solat
terawih, Emi dan teman serumah yang lain mula mengadap buku masing-masing di
ruang tamu. Mereka lebih selesa menelaah di ruang tamu yang selesa dengan kipas
angin yang besar. Emi senyum melihat gelagat temannya yang lain. Ada yang baca
buku sambil baring, ada yang duduk bersila atas sofa, ada yang meniarap sambil
tongkat dagu. Dia pula duduk bersila atas karpet dan bukunya diletakkan atas
meja di tepi sofa.
“Lapar lah
pulak..” Emi pegang perut yang berbunyi.
Dia segera bangun
dan mula melangkah ke dapur melihat apa yang boleh dimakan. Kuih yang dibeli
tadi semuanya sudah habis. Tinggal kuih cek mek saja. Itu pun hanya tinggal
sebiji saja. Dia terus duduk dan mula mengunyah.
“Hmm..sedapnya!
Lembut pulak tu! Terasa air gula yang cair elok dalam ni..” Emi lahap
menghabiskan sebiji kuih cek mek tadi.
Terasa menyesal
pulak tidak makan ketika berbuka tadi. Dia senyum. Selepas minum air dari peti
sejuk, dia kembali semula ke ruang tamu.
“Kak, kuih cek mek
tu jiran sebelah buat sendiri ke?” Emi mula berminat nak tahu.
“Entahlah! Shafiq
kata, dia buat sendiri! Kenapa?” Kak Yati pandang Emi.
“Tak ada apa…hihihi..terima
kasih daun keladi..hantarlah lagi!” Emi sengih.
Kak Yati turut
senyum mendengar kata-kata Emi. Dia tahu, Shafiq sudah lama sukakan Emi. Kuih
cek mek itu pun sebenarnya diberi khusus untuk Emi. Hanya Emi saja yang tidak
tahu.
Emi hanya senyum. Hmm..yang
mana satu Shafiq ni..dia mula meneka sendiri.
HARI kelima
berpuasa, Emi mula mencari resipi cek mek di internet. Sebelum ini dia hanya
beli saja di bazar ramadhan.
“Baik aku buat
sendiri..malu je kat jiran sebelah. Aku yang perempuan ni tak pandai buat
kuih..” Emi mengomel sendiri sambil mata mencari resipi yang sesuai.
Dia senyum. Kali
ini dia akan cuba buat. Cepat-cepat dia mengemas buku rujukan yang dipinjam
dari perpustakaan tadi. Perlahan dia keluar dari bilik komputer. Kakinya laju
melangkah ke dewan kuliah yang terletak tidak jauh dari situ.
Tiba di dewan
kuliah, dia segera mencari tempat kosong. Panjang tengkuknya mencari tempat
kosong. Dewan kuliah yang besar begitu, memang senang nampak. Emi jenguk lagi.
Kakinya melangkah perlahan ke setiap baris tempat duduk. Dia pandang pula ke
bahagian atas. Ada beberapa tempat kosong. Semuanya pelajar lelaki. Nak tak nak
dia terpaksa duduk juga di situ bila bahagian bawah dan tengah sudah penuh.
“Err..boleh saya
tumpang duduk di sini?” Emi senyum hambar. Seorang pelajar lelaki yang agak
kacak tersenyum kepadanya sambil mengangguk.
Emi segera duduk
di bangku paling hujung. Selang satu kerusi dengan tempat duduk lelaki tadi.
Dia mula keluarkan nota dari beg sandang. Beg diletak di tepi kaki.
“Aduh!”
Emi gosok kakinya
yang dipijak oleh seseorang tadi. Habis bukunya jatuh. Terbongkok-bongkok dia
mengutip buku dan nota yang berselerak atas lantai.
“Hmm..resipi cek
mek rupanya..”
Emi bangun dan
pandang lelaki yang memijak kakinya sebentar tadi. Dia tergamam. Sekeping
kertas yang ditulis resipi tadi sudah berada di tangan lelaki itu.
“Kau??” Emi renung
tajam lelaki itu.
Dia segera rampas
kertas dari tangan lelaki itu. Dia cepat-cepat mengemas barangnya dan mencari
tempat duduk lain. Geram dengan sikap lelaki tadi. Sudahlah tidak minta maaf
masa pijak kaki tadi. Tak sangka jirannya juga satu kuliah dengannya. Setiap
kali balik ke rumah, muka lelaki itu yang selalu dia nampak bersidai dekat tepi
pagar. Entah apa yang ditunggu.
Lelaki itu hanya
senyum. “Nanti kau…sombong!”
PETANG itu selepas
habis kelas, Emi menunggang motosikal menuju ke pasar. Semangatnya mula
berkobar untuk mencuba resipi yang baru disalin dari internet tadi. Perkara
pertama yang dia beli adalah ubi keledek dan tepung gandum. Setelah itu pula
dia segera ke bahagian sayur. Tadi sebelum ke kelas, Kak Yati sempat pesan
kacang panjang untuk digoreng nanti. Semua barang yang dibeli diletak dalam
bakul di depan motosikal.
“Hmm..kali ni aku
nak cuba buat kuih ni! Cayok!” Emi senyum.
Laju motosikalnya
menuju ke taman perumahan rumah yang disewa seramai lima orang. Sampai di rumah
dia segera letak motor. Sepanjang perjalanan balik tadi, di bibirnya sentiasa
diukir dengan senyuman. Seperti biasa dia buka ikatan tali kasut sukan sambil
tersenyum. Aku nak lawan jiran sebelah punya kuih. Mana tahu aku punya lagi
sedap! Emi berbisik sendiri.
“Ehem! Awal balik
hari ni?” Shafiq jeling Emi di tepi pagar.
Emi berpaling.
Jiran sebelah yang satu kuliah dengannya sedang tersengih. Hmm..mengapa dia
pun balik awal hari ni..selalunya pukul lima baru ada kat rumah.
“Suka hati akulah!
Kau apa peduli? Dahlah pijak kaki aku tak minta maaf!” Emi mengomel sendiri
antara dengar dengan tidak.
“Kau mengumpat ku
eh?”
“Eii!! Puasa-puasa
ni tak kuasa aku nak mengumpat hal orang!” Emi terus masuk ke rumah setelah
mengambil barang yang dibeli dari dalam bakul motosikalnya. Beg sandang pula
disangkut di sebelah bahu kanan.
“Ooo..nak buat
kuih rupanya..hihihi!” Shafiq senyum sambil mata melirik ke arah tepung gandum
dan ubi keledek di tangan Emi.
LEPAS solat zuhur,
Emi segera ke dapur. Dia sudah tidak sabar membuat kuih kegemarannya. Ubi
keledek dibasuh bersih dan direbus. Dia senyum lagi.
“Eh, Emi..senyum
sorang-sorang ni kenapa? Ada beli sayur yang akak pesan tu?” Kak Yati tiba-tiba
muncul di dapur. Dia tidak ada kelas hari ini.
“Hihii..tak ada
apa lah kak. Kacang panjang tu saya letak atas meja.” Emi senyum lagi.
“Eh! Rebus ubi
keledek? Nak buat kuih cek mek ke?” kak Yati jenguk periuk atas dapur sambil
tersenyum.
Emi hanya senyum.
Sesekali dia jenguk ubi dalam periuk. Setelah empuk, dia segera angkat dan
memulakan misinya.
Kak Yati pula
sibuk memasak lauk lain untuk berbuka. Hari ini Kak Yati belanja semua teman
serumahnya. Emi senyum. Kak Yati memang suka memasak. Memang sedap masakannya.
HARI itu, Emi puas
bila kuih cek mek berjaya dibuat dengan baik mengikut resipi yang diambil dari
internet siang tadi. Ubi yang direbus tadi diuli dengan tepung gandum dan
diletak sedikit gula sebagai inti.
“Kak..cuba
jap..okay tak?” Emi hulur sebiji kuih cek mek yang telah siap digoreng kepada
Kak Yati yang kebetulan uzur.
“Hmm..sedap la!
Kalah jiran sebelah macam ni! Eh! Emi buat banyak tak? Sedekah la sikit kat
jiran sebelah kita. Jiran sebelah kiri ada lima orang, jiran sebelah kanan
pulak ada dua orang je!” Kak Yati senyum lagi.
“Boleh! Sedekah
bulan puasa kan dapat pahala banyak!” Emi mula kembang hidung bila dipuji oleh
Kak Yati tadi.
**********************
SHAFIQ senyum.
Kuih cek mek yang diberi Kak Yati tadi sungguh sedap. Dia dapat mengagak mesti
budak perempuan yang satu kuliah dengannya yang buat kuih tadi. Huh!
Agaknya nak tunjuk pandai la tu! Sayang aku tak tahu namanya…Bisik
hatinya.
“Fiq! Apa yang kau
senyum tu?” Halim tepuk bahu Shafiq.
Shafiq hanya senyum.
Dia perlu balas dengan pemberian tadi.
Shafiq dan semua
teman serumahnya memang sangat rajin memasak. Bahkan mereka berlumba-lumba
mempamerkan kemahiran memasak masing-masing. Halim terkenal dengan nasi beriani
istimewa resipi ibunya, Azmi pula mahir memasak daging panggang terangkat, Jo
pula suka memasak ayam bakar rebah bangun! Kadang-kadang Shafiq ketawa
terbahak-bahak mendengar nama resipi masing-masing. Padahal ayam rendang dan
daging panggang yang diperap saja.
“Hmm..aku nak buat
kuih onde-onde lah! Aku nak kenakan budak perempuan sombong tu!” Shafiq senyum
sendiri. Sememangnya kuih saja yang dia tahu masak.
****************
HARI ke tujuh
berpuasa, Emi dan teman rumahnya tidak sempat memasak. Kebetulan hari itu Kak
Yati ada kelas pagi sampai ke petang. Mereka terpaksa beli juadah untuk
berbuka.
“Emi, tolong akak
susun kuih ni dalam pinggan.” Kak Yati menghulurkan tiga bungkus kuih yang
berlainan jenis yang dibeli di bazar ramadhan tadi.
“Eh! Kak! Ni
onde-onde sapa pulak ni?” Emi pandang sepinggan buah Melaka atas meja.
“Oo..tu jiran
sebelah kiri yang bagi. Tadi masa akak sampai rumah, Shafiq hulur sepinggan
kuih tu kat akak!” Kak Yati mula teringat.
Emi hanya angguk.
Pandai betul jiran sebelah buat kuih! Emi renung onde-onde dalam pinggan yang
nampak begitu menyelerakan.
“Err..kak..Shafiq
ni yang mana satu ek?” Emi mula tertanya-tanya siapa jejaka yang begitu pandai
buat kuih muih.
“Alah..yang
putih-putih tu..tinggi, selalu balik awal dari kampus.” Kak Yati beria
menerangkan kepada Emi.
“Maksud
akak..lelaki yang bawa Satria tu ke?” Emi mula teringat lelaki yang selalu
menegurnya bila terserempak di laman rumah.
Kak Yati angguk.
Tiba waktu
berbuka, mereka sama-sama menikmati juadah yang cukup untuk mereka berlima. Emi
pandang onde-onde dalam pinggan. Tidak luak.
“Kenapa tak makan
onde-onde tu?” Kak Yati juga turut pandang onde-onde yang seperti tidak
dihiraukan.
“Kenyang la
kak..perut dah penuh ni..karanglah lepas terawih.” Alin senyum sambil memegang
perutnya.
Nor dan Shidah
turut angguk. Emi pula hanya pandang onde-onde pemberian jiran sebelah.
Sebenarnya dia ingin merasa kuih itu tapi segan pada kak Yati.
“Emi..makanlah..kesian
jiran buat..penat dia orang menggentel tau!” Kak Yati cuba buat lawak. Macamlah
kak Yati tahu macam mana mereka menggentel kuih itu. Emi turut tergelak bila
melihat Nor, Alin dan Shidah sudah ketawa.
“Baiklah kak..”
Emi ambil sebiji.
Tiba-tiba Emi
melulu ke singki dapur. Dia muntahkan onde-onde yang dimakan tadi. Cepat-cepat
dia berkumur.
“Emi! Kenapa?” Kak
Yati mula pelik.
“Err..tak ada
apa..perut saya ni tak sedap sikit..makanlah kuih tu..” Emi senyum. Biar teman
serumahnya rasa juga onde-onde jiran sebelah.
Shidah turut makan
sebiji, dia juga turut meluru ke singki dan memuntahkan semula.
“Ceh! Dia orang ni
bubuh kicap la! Ingatkan gula Melaka tadi!” Shidah ketawa sambil meluku kepala
Emi yang mula terbahak-bahak melihat Shidah membebel.
Dalam hati, Emi
ingin membalas kuih yang diberi oleh jiran sebelah tadi. Tak pa..aku balas
balik! Siap!
HARI ke lapan
puasa. Emi sekali lagi bercadang hendak ke pasar membeli ubi keledek untuk
membuat kuih cek mek. Dia sudah berkira nak kenakan semula jiran sebelah.
Habis saja kuliah,
Emi tergesa-gesa ke tempat letak motosikal.
“Emi!”
Emi berpaling.
Macam mana mamat ni tahu nama aku??
“Dah makan kuih
yang aku bagi tu? Sedap tak?” Shafiq sengih. Nafasnya mula mengah akibat
berlari mengejar Emi tadi.
“Jadi kaulah yang
kenakan kita orang ya! Siap kau!” Emi jeling Shafiq yang mula ketawa.
“Ala..aku gurau je
tu..sebenarnya aku suka kuih cek mek kau tu…sedap! Kalah aku macam ni!” Shafiq
ketawa lagi.
“Banyaklah kau
punya sedap!” Emi terus pergi meninggalkan Shafiq yang masih ketawa.
Tiba di rumah, Emi
terus merebus ubi dan membuat kuih cek mek. Dia lihat notis yang ditampal di
peti sejuk. Kak Yati berbuka di rumah ibu saudaranya di Keramat. Nor dan Alin
pula berbuka di rumah kawannya di Setapak. Shidah pula berbuka di rumah bakal
mak mertuanya di Shah Alam.
“Hmm..nampaknya
aku sorang kat rumah berbuka hari ni..”
Dia cepat-cepat
membuat kuih cek mek. Selesai menggoreng, dia segera menghulurkan kepada jiran
sebelah. Lima biji kuih cek mek sengaja diasingkan dalam pinggan untuk jiran
sebelah kiri. Jiran sebelah kanan juga Emi turut sedekah sedikit kuih yang baru
siap digoreng.
“Assalamualaikum!”
Emi jenguk jiran sebelah di sebalik pagar tepi.
“Wa’alaikumussalam!”
Emi senyum bila
melihat seorang lelaki yang jarang dia jumpa keluar dari pintu depan sambil
mata melilau mencari arah suara.
“Ni..ada sedikit
kuih untuk berbuka..” Emi hulur sepinggan kuih.
Lelaki itu senyum
sambil mengucapkan terima kasih. “Banyaknya! Shafiq sorang je berbuka kat rumah
hari ni..yang lain berbuka kat luar.” Lelaki itu senyum lagi.
Emi pula mula
sengih. Baguslah!
***********
SHAFIQ letak kasut
atas rak. Dia lihat jam, sudah lima setengah petang. Lepas kunci kereta, dia
sempat jeling jiran sebelah kanannya.
“Hmm..senyap je.
Selalunya masa ni bising je..” Shafiq mula masuk ke rumah.
Kunci kereta
diletak atas meja sofa. Dia segera ke dapur. Balik dari kampus tadi, dia sempat
beli makanan untuk berbuka. Hari ini dia seorang berbuka.
Di dapur, dia
segera meletakkan juadah yang dibeli tadi di bawah saji.
“Eh! Ada kuih cek
mek! Macam tahu je aku tak beli kuih hari ni!” Shafiq senyum.
Dia segera bancuh
kopi ais dan diletak dalam peti sejuk sementara menunggu waktu berbuka.
Shafiq lihat jam.
Sudah hampir waktu berbuka. Dia segera hidang nasi kerabu yang dibeli tadi
dalam pinggan dan mula membaca doa bila mendengar azan maghrib di masjid berdekatan.
“Hmm..nampak sedap
ni! Ni mesti jiran sebelah yang bagi. Memang sedap!” Shafiq ambil sebiji kuih
cek mek.
“Puh!! Puh!”
Shafiq letak
semula kuih tadi. Mukanya sudah kelat. Berkerut-kerut. Segera dia ke singki
berkumur.
“Eii!! Patutlah
masin! Inti budu rupanya!!” Shafiq kumur lagi.
Seketika kemudian,
dia senyum kembali dan terus ketawa. Tidak jadi marah.
“Memang padanlah
muka aku..aku bagi onde-onde inti kicap, dia balas cek mek inti budu! Hahaha!!”
Shafiq masih ketawa. Dia geleng sendiri. Gelihati mengenangkan sikap Emi yang
membalas kuih onde-onde pemberiannya dulu.