Aimi dongak ke
langit. Matahari memancar terik atas kepala. Matanya disepetkan, tak tahan
dengan silau cahaya yang terang. Dia pandang pula ke arah bangunan di depannya.
Nampak sudah agak lama dengan cat yang semakin pudar. Namun di situlah dia akan
menghabiskan minggu orientasi selama seminggu.
Selesai mendaftar,
dia terus disuruh ke bilik di tingkat satu, blok A yang terletak atas bukit.
Beg sebesar pemeluk diheret perlahan menaiki bukit yang agak tinggi menuju ke
blok A. Aimi terus menapak perlahan. Tangan kanan mengheret beg besar, tangan
kiri pula menjinjing beg kecil. Sampai saja di bilik, dia melihat ada dua buah
katil yang sedikit berhabuk. Diperhati sekitar bilik, nampaknya teman sebilik
belum sampai.
Aimi rebahkan diri
di atas katil. Penat mengheret beg tadi masih terasa. Sekali lagi dia melihat
sekitar bilik. Ada dua buah almari pakaian dan dua buah meja belajar di letak
di tepi tingkap. Memang sah bilik yang seluas bilik kecil di rumahnya hanya
untuk memuatkan dua pelajar saja.
Tiba-tiba bunyi
siren yang kuat dan diselangi dengan pengumuman menyuruh semua pelajar baru ke
dewan makan dengan segera. Aimi bergegas keluar bilik dan terus menuju ke dewan
makan yang terletak di sebelah blok B. Sekali lagi dia terpaksa turun bukit dan
melangkah laju ke arah dewan makan.
“Hah! Kenapa
lambat?” Seorang fasilitator menegur Aimi yang termengah-mengah menahan nafas.
“Err..lambat
ke?” Aimi pandang kiri kanan. Semua pelajar lain sudah siap beratur dalam
barisan.
“Saya maafkan awak
sebab ini kali pertama. Masuk barisan sekarang!”
Aimi segera
beratur di barisan paling dekat dengannya. Dia berdiri di celah-celah pelajar
perempuan. Masing-masing senyap. Kepala masing-masing tunduk seolah-olah ada
raja zalim sedang bertitah di depan. Dia sempat jeling tag nama pada
fasilitator yang menegurnya tadi. Wan Azman.
“Okey! Mulai hari
ini kamu semua akan menjalani minggu orientasi selama seminggu. Proses
pendaftaran sudah pun berakhir. Sekejap lagi waktu makan tengah hari. Sila
beratur masa ambil makanan nanti!” Wan Azman, dengan suara lantang memulakan
mukadimah pengenalan minggu orientasi.
“Tapi sebelum tu,
kami perkenalkan semua fasilitator di kolej ni..” Wan Azman berpaling kepada
kawan-kawannya yang berada sama baris dengannya. Masing-masing mula perkenalkan
diri.
“Okey! Dah kenal
semua? Saya nak kamu semua hafal setiap nama fasilitator di depan ni!” Wan
Azman senyum.
Semua pelajar baru
mengangguk. Aimi pula cuba jenguk setiap tag nama pada setiap fasilitator. Huh!
Nasib baik ada name tag! Buat apa nak hafal! Apa punya bodoh la ketua
Fasilitator ni! Aimi gelak sendiri.
*****
HABIS makan, semua
pelajar baru disuruh berehat di bilik masing-masing sambil mengemas mana yang
patut. Aimi mula menapak ke bilik.
Di bilik, Aimi
mula mengemas. Pakaian dalam beg besar disusun kemas dalam almari pakaian.
Novel kegemarannya pula disusun di rak depan meja belajar. Radio kecil yang
dibawa bersama diletak tepi kiri meja belajar. Dia capai penyapu yang diletak
di luar pintu bilik dan mula membersihkan lantai yang sedikit berhabuk. Di
jeling pula jam loceng yang diletak atas meja belajar, sudah hampir tiga petang.
Dia segera capai tuala dan terus ke bilik air yang terletak di hujung floor.
Selesai solat
zuhur, Aimi menyambung semula mengemas mana yang patut. Patung beruang besar
pemberian abangnya diletak di kepala katil.
“Siapa room
mate aku ni?” Aimi berfikir sendiri. Dia pandang katil sebelah. Masih
kosong. Sejak pagi tadi hinggalah sekarang, belum nampak batang hidung teman
sebiliknya muncul.
MALAM itu, Aimi
sendirian di bilik. Dia melihat sekitar bilik sambil memeluk patung beruang
yang sama saiz badannya. Matanya liar memandang segenap penjuru bilik. Sesekali
dia merenung katil kosong dan meja belajar kosong di sebelah. Masih tiada
tanda-tanda penghuni lain di situ selain dirinya.
“Hmm..takkan aku
tak ada room mate..aku tengok bilik lain semua berdua..agaknya belum
sampai lagi kut..” Aimi berfikir lagi. Dia terus baring sambil memeluk patung
beruang sebagai peneman tidur. Aimi lena bersama patung beruang yang erat dalam
dakapannya.
*********
AIMI genyeh mata.
Dia tekan lampu kecil di jam loceng. Sudah enam pagi. Dalam keadaan gelap
begitu, dia segera capai tuala dan terus ke bilik air. Kelihatan pelajar baru
lain sudah ramai beratur menunggu giliran untuk mandi dan buang air. Hampir
lima belas minit baru gilirannya tiba. Hari itu dia hanya mandi ala kadar. Tak
sampai lima minit, dia sudah keluar dari bilik mandi.
“Awak duk bilik
mana?” Tanya salah seorang pelajar yang sudah tercegat di depan pintu bilik
dekat dengan bilik air. Aimi terpaksa melalui beberapa buah bilik lain sebelum
sampai ke biliknya.
“Bilik kedua
hujung!” Aimi senyum.
Mereka sempat
berkenalan.
Aimi meneruskan
langkahnya menuju ke bilik sambil mengesat rambut basah dengan tuala.
“Aik!
Bila room mate aku sampai?” Aimi pandang katil yang sudah siap kemas
dan meja belajar penuh dengan buku-buku kemas diatur di sudut kanan meja
sebelah. Almari pula penuh dengan pakaian berjenama.
“Ohh..anak orang
kaya rupanya..patutlah daftar lambat!” Aimi intai almari sebelah.
Pagi itu, Aimi
mengenakan baju kurung biru dan tudung putih bersulam bunga biru kecil di tepi
tudung. Dia segera ke dewan makan untuk sarapan.
“Di minta semua
pelajar baru ke dewan makan untuk sesi pengenalan minggu orientasi!” Tiba-tiba
suara dari pembesar suara bergema seluruh asrama.
Aimi mula menapak
turun ke dewan makan. Ramai pelajar lain ke dewan makan berdua dengan room
mate masing-masing. Dia hanya jeling. Mana room mate aku???
Tiba di dewan
makan, Aimi segera beratur seperti yang diarahkan. Selesai ucapan dari ketua
fasilitator, semua pelajar dibenarkan bersarapan.
“Awak! Mari sini!”
Aimi menoleh ke
arah suara garau di sebelah kirinya. Wan Azman, ketua fasilitator sudah
tercegat sambil cekak pinggang. Dia segera mendekati lelaki garang itu sambil
membawa tray berisi nasi lemak.
“Mana nasi saya?”
Aimi tercengang. Aik!
Tanya pulak! Ambik sendiri la! Rengusnya sendiri.
“Err..ada
kat sana..” Aimi tunjuk ke arah pelajar yang sedang beratur mengambil makanan.
“Saya tahu la!
Maksud saya, bila saya tanya macam tu, awak kena ambil untuk saya! Faham!” Wan
Azman masih cekak pinggang.
“Hah! Macam tu ke?
Mana saya boleh tafsir kata-kata awak tu..” Aimi pandang Wan Azman dengan wajah
cuak.
“Menjawab! Mari
sini!” Wan Azman ambil tray Aimi dan diletak atas meja makan panjang.
“Awak nampak
hujung sana tu?”
Aimi memandang ke
arah jari telunjuk yang dituding Wan Azman. “Nampak!”
“Awak kira benda
tu sampai habis! Kalau tak tepat, saya tak bagi tray nasi awak ni! Faham!”
Aimi garu kepala.
Dia mula melangkah ke arah sudut yang ditunjuk ketua fasilitator tadi. Sampai
saja di situ, Aimi garu kepala sekali lagi. Biar betul! Takkan aku kena
kira benda ni! Adoiii!!
Dia jeling Wan
Azman yang masih memandangnya tidak berkelip. Cepat-cepat dia mengira lalat
yang melekat pada lidi yang telah dilumur dengan getah perangkap lalat. Bukan
satu lidi tapi lebih sepuluh lidi tercacak di atas span. OH! TIDAK!!!
***************
HARI menginjak
malam, hari itu dia cukup geram. Geram dengan sikap Wan Azman yang membulinya
pagi tadi hanya kerana tidak faham maksud kata-katanya tadi. Hari pertama
minggu orientasi telah bertukar hari sakit hati! Dia lihat katil sebelah.
“Mana room
mate aku ni?” Aimi mula bingung. Sudah dua hari dia di situ, kelibatnya
belum nampak.
“Ah! Dia ada
tu..mungkin dia lepak kat bilik lain..” Aimi terus capai tuala ke bilik mandi
Malam itu, Aimi
menyambung kembali membaca novel kegemarannya. Minggu orientasi begitu, kelas
belum bermula. Dia ada banyak masa untuk habiskan novel yang hanya tinggal suku
lagi untuk sampai ke hujung cerita. Patung beruang dipeluk erat. Lagu dari
corong radio berkumandang perlahan memecah keheningan malam.
Sesekali dia
jeling jam di meja belajar. Sudah menghampiri sebelas malam. Dia mula menguap.
Matanya terasa berat.
Aimi genyeh mata
bila terasa bahunya disentuh. Rupanya dia tertidur masa baca novel tadi.
Perlahan dia menoleh ke arah seseorang yang sedang tersenyum kepadanya. Seorang
gadis cantik berkulit putih dengan lesung pipit di kedua belah pipi. Manis!
“Err..awak
sapa?” Aimi genyeh mata lagi. Dia mula bangun dan duduk di kepala
katil sambil memeluk patung beruang.
“Saya Asha. Room
mate awak.” Asha senyum sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
“Ohh..saya Aimi.
Bila sampai?” Aimi pandang sekitar bilik.
“Baru tadi.” Asha
senyum lagi sambil duduk di kerusi meja belajar.
Aimi jeling jam di
meja belajar. Sudah lebih dua belas tengah malam. Dia minta diri untuk sambung
semula tidur.
*****************
PAGI-Pagi lagi
Aimi bergegas ke dewan makan, takut terlambat. Tak fasal-fasal kena denda lagi
macam semalam.
“Eh! Kenapa aku
tak ajak room mate aku sekali?” Aimi baru tersedar yang dia terkocoh-kocoh
keluar dari bilik tanpa menghiraukan teman sebilik.
“Ah..lantaklah!
Nanti aku lambat, kena kira lagi benda tu! OH! TIDAK!!”Aimi
melangkah laju.
Nasib baik pagi
itu dia tidak kena denda. Dia jeling di sudut meja hujung, kelihatan semua
fasilitator sedang menikmati sarapan. Mereka berbual sambil gelak-gelak. Menyampah!!
Selesai sarapan,
semua pelajar disuruh berkumpul di dewan pelajar di sebelah dewan makan. Aimi
bersama pelajar lain mula melangkah masuk ke dewan pelajar. Mereka disuruh
duduk bersila mengikut barisan masing-masing. Lelaki dan perempuan diasingkan.
Aimi bersama pelajar lain mula mendengar syarahan dari ketua fasilitator.
“Okey! Hari ini
kami nak kamu semua perkenalkan room mate masing-masing!” Wan Azman
mula bersuara sambil berpeluk tubuh di depan pelajar baru.
Aimi ternganga.
Dia perhati semua pelajar di dewan itu. Matanya melilau mencari Asha. Tak ada!
Hatinya mula resah. Mana Asha ni?? Haru la macam ni!! Aimi garu kepala
lagi.
Dia jeling lagi.
Seorang demi seorang pelajar mula memperkenalkan room mate
masing.masing. Ah! Macam mana ni??? Aduhh!!! Aimi mula kelam kabut.
Peluh mula menitik di dahi.
“Awak??”
Aimi mendongak.
“Hah!!”
“Ya! Awak! Giliran
awak perkenalkan room mate dan room mate awak akan
perkenalkan awak pula.” Wan Azman senyum.
“Haa..err…emm…”
Aimi mula menggelabah.
“Apa haa..er..emm???
Mana room mate awak?” Wan Azman beliakkan mata. Minah ni selalu
buat hati aku sakit!
“Se..sebenarnya..dia
tak ada kat sini..” Aimi tunduk. Die jeling lagi pelajar di situ. Memang
kelibat Asha tak ada!
“Tak ada? Mana
boleh? Siapa nama room mate awak?”
“Asha!” Aimi
pandang Wan Azman. Wajahnya mula pucat. Mampus aku! Mesti kena denda lagi
ni! OH! TIDAK!!!
“Asha!!” Wan Azman
mula panggil nama Asha dengan suara kuat. Bergema suara nyaringnya di dalam
dewan itu.
Diam. Senyap.
Sekali lagi Wan
Azman menjerit nama Asha. Senyap.
“Baiklah! Lepas ni
awak jumpa saya di bilik fasilitator! Pelajar lain ikut arahan fasilitator
lain!” Wan Azman mengarahkan Aimi ke biliknya.
***********
AIMI melangkah
perlahan ke dalam bilik fasilitator. Wan Azman sudah siap menunggunya sambil
memandang tepat ke arahnya. Dia berdiri macam patung di depan meja.
“Siapa nama awak?”
Wan Azman berpeluk tubuh. Matany tepat merenung Aimi yang tunduk dari tadi.
“Aimi.” Aimi masih
tunduk. Tidak berani memandang wajah lelaki yang mula meluat pada pandangan
matanya.
“Mana room
mate awak?”
Aimi masih tunduk.
Aduh!! Macam mana aku nak cakap ni??? Asha pun satu! Mana dia pergi ni???
“Err..malam
tadi dia ada tapi pagi ni tak ada pulak!” Aimi masih tunduk.
“Saya tak faham!
Sekejap ada, sekejap tak ada! Awak ni cakap apa?” Wan Azman bersuara tegas.
“Betul a..abang..”
Aimi mula garu kepala. Tiba-tiba terpacul dari mulutnya perkataan ‘abang’
Wan Azman senyum.
Lembut bila gadis itu panggilnya abang. Kembang hidungnya seketika.
“Ehem! Nanti kalau
dia ada, suruh jumpa saya di bilik ni! Tapi sebelum awak pergi, nampak tu?” Wan
Azman tuding ke arah sebuah tangki di sudut bilik.
Aimi menoleh.
Seketika kemudian dia angguk.
“Saya nak awak
kira semua ikan yang ada dalam tu! Tepat!” Wan Azman masih duduk di situ
berpeluk tubuh.
Gila??? Kira
ikan dalam akuarium tu??? Kalau ikan tu mati okeylah jugak…ni tengah riang
berenang ke sana kemari!! OH!
TIDAK!!!!
Aimi segera
mendekati akuarium dan mula mengira ikan –ikan kecil yang seronok berenang. Aduh!!
Ikan oi!! Freeze la!! Macam mana aku nak kira ni!!!
Wan Azman masih
memerhati Aimi terbongkok-bongkok mengira ikan berenang. Dia gelak sendiri. Kiralah
Aimi! Sampai esok pagi pun kau tak bleh kira dengan tepat!
***********
MALAM itu, sekali
lagi Aimi sakit hati. Semalam dia kena kira lalat yang melekat kat lidi, hari
ini pulak kena kira ikan berenang pulak!! Geram!!
“Mana Asha ni?
Sebab kaulah aku kena kira ikan!!” Aimi pandang katil Asha yang masih kemas.
Patung beruang yang dipeluknya diramas kuat sampai tercabut hidung hitam
beruang itu.
Aimi segera
mencapai novel dan terus menyambung kembali membaca di muka surat yang ditanda
semalam. Jam di meja belajar sudah hampir dua belas malam. Dia segera ke bilik
air bila terasa sakit perut. Terkocoh-kocoh dia berlari.
“Aimi! Kau nak ke
mana?” Tiba-tiba Asha menegurnya.
Aimi pandang
belakang. Dia mengerutkan kening. Tiba-tiba Asha muncul di situ. Aimi mula keliru.
Tadi masa dia keluar dari bilik tadi, tak ada sesiapa pun di situ.
“Bilik air! Sakit
perut!” Aimi terus berlari.
Sampai di bilik
air, kakinya terhenti. Terkejut melihat Asha di sudut singki di hujung bench
berhadapan cermin bilik air.
“Err..Asha..awak
kan tadi kat bilik?” Aimi garu kepala.
Asha diam. Dia
hanya senyum.
Aimi semakin
bingung. Ah! Biarlah! Aku sakit perut ni! Nanti terberak kat sini pulak!
Dia segera masuk ke tandas.
“Kenapa dia ada
kat sini? Tadi aku nampak kat bilik? Takkan cepat benar dia berjalan? Aku yang
berlari bagai nak rak tadi pun..tak tertahan dah..” Aimi masih berfikir sambil
meneran.
Lega. Dia tarik
tali flush dan segala-galanya telah selamat. Aimi keluar dari tandas
dengan perasaan lega. Matanya melilau mencari kelibat Asha. Tak ada. Dah
masuk bilik agaknya! Fikirnya sendiri.
Dai terus
meninggalkan bilik air dan melangkah ke arah biliknya. Kelihatan bilik lain kebanyakannya
sudah gelap. Ada yang masih bersembang di sebalik pintu yang terbuka sedikit.
Sesekali mereka senyum kepadanya.
Sampai di bilik,
Asha telah pun tidur. Aimi duduk di katil sambil peluk patung beruang. Hidung
beruang tadi dicantum semula. Kesian kau bear, hidung kau tercabut!
Aimi masih betulkan hidung patung beruangnya.
Dia jeling Asha
yang tidur membelakangkannya. Hmm..Asha memang cantik. Kulit putih, gebu,
rambut panjang hitam berkilat. Mesti ramai yang jatuh cinta. Aimi masih menatap
teman sebiliknya yang tidur lena mengadap dinding.
Ingin saja dia
tanya fasal hal tadi tapi dibiarkan saja. Biarlah Asha tidur. Esok pagi, dia
akan tanya. Aimi tutup lampu dan mula tidur.
*************
“AIMI!”
Aimi berpaling.
Kumari senyum. Dia
menginap di bilik berhadapan dengan bilik Aimi.
Aimi turut senyum.
Dia jenguk ke dalam bilik Kumari. Yvonne, teman sebilik Kumari turut senyum.
“Kumari, ada apa?”
Aimi senyum. Dia berdiri di depan pintu bilik.
“Err..kau
masuk bilik aku jap!” Kumari tarik tangan Aimi masuk ke biliknya. Pintu bilik
ditutup rapat.
Aimi duduk atas
katil Kumari sambil memandang Yvonne yang duduk di katil sebelah.
“Siapa room
mate kau?” Tiba-tiba Kumari bertanya.
“Asha! Kenapa?”
Aimi senyum.
“Tak nampak pun?”
Yvonne pula menyampuk.
“Ada! Malam tadi
dia tidur kat katil dia!” Aimi senyum lagi.
Yvonne dan Kumari
saling berpandangan. Aimi pula hanya senyum.
“Kau pasti?”
Kumari bertanya lagi.
Aimi mula pelik. Pasti??
Apa pelik benar soalan?
“Ya! Kenapa?” Aimi
mula bertanya kembali.
“Err..tak
ada apa..” Kumari bisik ke telinga Yvonne.
“Kau bisik apa?
Tak baik tau bisik bila ada orang ketiga!” Aimi sengih.
“Tak ada
apa..okeylah! Kejap lagi ada program kan?” Kumari cepat-cepat bersiap.
*************
AIMI masih
memikirkan kata-kata Kumari sebentar tadi. Dia mula termenung. Jenuh otaknya
menafsir setiap butir bicara Kumari. Pasti???
“Awak! Termenung
dari tadi! Mari sini!” Wan Azman mengarahkan Aimi ke tempatnya.
Aimi hanya
mengikut. Alamak! Mesti nak tanya fasal room mate aku ni!!
“Mana Asha?”
Aimi pandang Wan
Azman. Sah! Dia tanya fasal room mate aku lagi!!
“Err..dia
ada malam tadi tapi sekarang dah tak ada..” Aimi tunduk.
“Awak ni
..berbelit tau tak? Macam biskut! Sekejap ada, sekejap tak ada!” Wan Azman
marah Aimi.
“Kalau awak nak
jumpa dia sangat, datanglah bilik saya malam ni!” Aimi mula geram. Teringat
Asha hanya ada waktu malam saja.
“Apa??? Apa awak
cakap?”
Aimi terdiam. Eh!
Apa aku cakap tadi ek??? Aduh!!
“Awak suruh saya
ke bilik awak malam-malam? Apa, awak nak serah body awak ke?” Wan
Azman sengih.
Aimi dongak.
Matanya bulat memandang Wan Azman yang tersengih.
“Gila!!!” Aimi
ketap bibir.
“Habis, kenapa
suruh saya datang bilik awak malam-malam?” Wan Azman sengih lagi.
“Asha! Dia hanya
ada waktu malam!” Aimi mula sakit hati.
Wan Azman diam.
Dia mula berfikir. Dia suruh Aimi duduk di situ sementara dia keluar sebentar.
Aimi mula melangut
di situ seorang diri. Gila!! Serah body??? OH!TIDAK!!!
*********
WAN AZMAN kembali
semula ke bilik fasilitator bersama sebuha majalah di tangannya. Aimi masih di
situ. Dia renung mata Aimi sekali lagi.
“Nama dia Asha
kan?” Wan Azman pandang Aimi yang mula tunduk.
Aimi angguk.
“Nama penuh dia
Asha binti Malik. Dia sebenarnya pelajar tahun satu di kolej ni dulu. Dia
pernah duduk di bilik 4A di blok A.”
Aimi bingung. Itu
bilik aku!
“Tengok ni!” Wan
Azman suruh Aimi melihat majalah kolej yang ada gambar Asha.
Perlahan Aimi
melihat gambar yang dimaksudkan Wan Azman tadi. Memang sah gambar Asha!
“Dia mati gantung
diri di bilik tu setahun yang lalu sebab dirinya diperkosa teman lelakinya.”
Wan Azman tutup semula majalah.
Aimi terkedu.
Kaku. Kaget. Semua perasaan di hatinya kini sudah seperti nasi kerabu.
OH
TIDAAAAAAAAAKKK!!!!!!
Aimi terus gelap
mata.