Aku pun tertidur
di perdu pohon cemara. Lepaskan penat lelah mencarimu, yang entah di mana
hilangnya. Cuma khabar yang kudapat, dirimu terlihat di balik rimbunan bambu
dihujung denai sana, itu kali yang terakhir. Lama juga imaginasiku mengintai,
cuba menilik di mana hilangmu bakal ditemui, sehinggalah aku benar-benar
terlelap beralaskan sehelai daun pisang.
"Kanda... ke
marilah”
“Dinda menunggu
kanda di puncak berembun ini”
“Dinda akan setia
menunggu kanda di sini"
"Kanda...
jiwa dan raga dinda hanya untuk kanda, seluruh rasa cinta ini hanya demi
kanda".
"Dindaa...!!!
"
Sekali lagi mimpi
ini mengganggu lenaku. Aku menyapu muka sambil cuba mengingati mimpiku sebentar
tadi. Gelora rindukah atau satu lagi petunjuk seperti mimpi-mimpi sebelumnya.
"Kanda akan
menuju ke tempatmu, dinda."
"Kanda akan
satukan janji-janji kita yang tergantung di langit."
"Kanda akan
cantumkan setiap kelopak asmara yang terlerai di sepanjang cinta kita."
Mentari sudah pun melebihi kepala, dan aku perlu meneruskan semula pencarian menemuimu, si dara cintaku.
Aku selusuri denai
tenang ini yang mana airnya pernah berkocak dulu kerana injakkan telapak
kakimu. Riak-riak dipermukaannya apabila digomoli sekawan anak ikan tatkala kau
taburi dengan bertih padi masih lagi beralun. Bahkan lumut hijau yang pernah
kau carikkan di atas batu besar tempat kita bercanda dulu, masih berbekas
dengan namaku. Helaian demi helaian kenangan aku dan dirimu terpancar dari
kilauan airnya yang jernih. Kemudian, tanpa tertangguh, semua kenangan ini
dibawa lari oleh arusnya yang kejam. Ah, mataku bergenang lagi.
“Tengoklah dinda,
arjunamu menangis lagi. Hilang dirimu membawa seluruh cahaya kehidupanku”
Aku biarkan arus
yang mengalir itu membawa titis air mataku jauh ke hulu sana, biar semuanya saling
bersebati dan terus diam bersemadi.
Selewatnya petang
itu, telah aku sampai ke puncak berembun. Warna merah dan jingga di hujung
barat seakan meraikan kehadiranku. Begitu indah awan dan mentari itu apabila
saling mengucupi, seperti cintaku dan rindumu. Ya, seperti aku dan dirimu yang
saling melengkapi.
Kekasih,
usah dikau
sembunyi lagi
arjunamu
datang menuntut janji
hadirlah
kekasih dambaan hati
bersama kita
sehidup semati
kekasih,
usah dikau
merajuk lagi
arjunamu
merana sengsara diri
lupakah dikau
pada janji
bercinta
berkasih sehidup semati
kekasih,
usah dikau
menghilang lagi
arjunamu
datang membawa hati
hadirlah kasih
lestarikan janji
di puncak
berembun cinta abadi.
"Dindaaa..."
"Dindaaa...
kanda datang ni"
"Marilah
ketemu kanda, kanda terlalu rindu padamu".
Berkali aku
memanggil namamu, namun hanya gema kosong yang bersahutan. Aku yakin dirimu ada
di sini. Sepanjang cinta kita bertaut, dirimu tidak pernah memungkiri janji,
jauh sekali membuat hatiku terguris atau merajuk. Kata-katamu sentiasa segar
dan mekar di dalam hatiku.
"Dinda,
mengapa tidak sekalipun dinda meragui cinta kanda?"
"Adakah dinda
tidak menaruh sepenuh kepercayaan dinda pada kanda?"
"Tiada
gunanya dinda menguji kanda, kerna tiada satu pun rahsia di dalam
hidup kanda
menjadi rahsia kepada dinda."
"Di setiap
jejak langkah kanda, hanya cinta dinda menjadi destinasinya"
"Di setiap
kerdip mata kanda, hanya senyum dinda menjadi cahayanya"
"Di setiap
desah nafas kanda, hanya rindu dinda menjadi debarnya."
"Mahukah
dinda melukai hati kanda, sedangkan yang berdenyut di dada
kanda itu adalah
cinta dan nyawa dinda?".
Lembut dan merdu
sekali bicaramu. Manakan tidak hati aku terusik, tiada pernah gadis lain
mencuri hatiku, selain dirimu. Mendengar pula jawapan ikhlas darimu, hatiku
benar-benar tersentuh.
Semua itu hanya
dulu, yang tertinggal hanyalah kenangan aku bersamamu, yang terbawa adalah hati
dan kehidupanku. Sekarang aku datang mencarimu, di puncak berembun Gunung
Jerai, puncak mahligai cinta kita.
“Dindaaa…”
“Dindaaaaa…”
“Muncullah…!”
“Kenapa tinggalkan
kanda?”
“Kenapa mesti
pergi tinggalkan kanda?”
“Kenapa harus
mungkiri janji?”
“Kenapa…?!”
Aku sudah tidak
mampu mengawal perasaanku lagi. Semuanya terasa hancur luluh. Aku menangis sepuasnya.
Apakah benar dirimu sudah tiada? Apakah benar omongan orang kampung tentang
kematianmu? Aku sudah tiada daya lagi untuk kembali. Seandainya benar dirimu
telah bersemadi, biarlah kini aku pula pergi menemanimu. Semoga di kayangan
sana cinta kita akan kembali bersatu.
“Kanda…”
Dalam samar-samar
senja, aku melihat ada sekujur jasad di sebalik kabus tebal itu sedang berjalan
menghampiriku. Tubuhku yang telah kepenatan hanya mampu terbaring kelesuan.
“Maafkan dinda,
tinggalkan kanda selama ini”
Dalam keadaan yang
tidak bermaya, aku hanya mampu tersenyum. Aku yakin kau tidak pernah mungkiri
janji. Aku yakin…
TAMAT