rss


Keheningan suasana di desa memang susah nak diperoleh di mana-mana sekali pun. Kalau ada, tetap tidak serupa. Segar bau padi yang baru dituai, harum ranum buah rambutan di dusun, dan tenang bunyi air kali yang mengalir, tidak tergambar dengan kata-kata. Segalanya indah tentang desa nan permai ini. Tidak ada sedikit pun cacat dan celanya. Lama Irdina bersimpuh di tepi jendela. Matanya tidak lepas memandang anak-anak kecil berlari sambil menerbangkan layang-layang mereka. Ceria. Ah! Kanak-kanak memang lumrah hidupnya begitu. Tidak pernah ada kesempatan untuk memikirkan soal masalah. Indah. Teringin sahaja dia kembali ke zaman itu semula. Tiada beban. Tiada kedukaan.

'Maafkan Ina, mak. Ina bukan anak yang baik. Ina tak mampu nak tunaikan hajat mak,' Irdina bermonolog sendiri. Hasrat hati arwah ibunya untuk melihat dia bersatu dengan anak sahabat baiknya tidak kesampaian. Pinangan jejaka itu ditolak mentah-mentah. Sementelah itu jua ibunya diserang angin ahmar dan meninggal. Itu cerita sebulan yang lalu. Cerita yang membuatkan Irdina sesal tak sudah. Namun, dia tidak rela memperjudikan nasibnya dengan lelaki yang dia tahu tidak akan pernah membahagiakan dirinya. Dalam pada masa yang sama, dia kesal kerana itu permintaan terakhir arwah ibunya. Ibu satu-satunya insan yang dia ada setelah ayahnya meninggal dalam kemalangan bertahun-tahun lalu. Adik-beradik? Semuanya tidak peduli akan kewujudannya kerana dia anak angkat. Tambah pula dengan kematian ibu, terus-terusan dia dipersalahkan.

"Ina, kau memang anak tak kenang budi!"

"Dasar anak pungut tak sedar diri.."

"Ina, kau tak kesiankan mak? Kau memang tak sayang mak, kan?"

Pelbagai tohmahan dan cacian yang dilemparkan oleh abang-abang dan kakaknya. Yang memahami isi hatinya cuma seorang. Sahabat yang dia kenali sejak kecil, malangnya sahabat itu tidak lama di sisi. Setelah SPM berakhir, dia ke luar negara. Untuk menghalang, Irdina sedar bahawa dia bukanlah sesiapa yang utama, apatah lagi perkara yang membabitkan masa depan seorang anak muda.

"Kalau kau halang, aku tak akan pergi Ina. Sebutlah sekali yang kau tak nak aku pergi." Irdina ketawa kecil. Menyeka air matanya yang mula bergenang.

"Tak ada maknanya aku nak kau duduk sini. Lagi lama kau kat sini, boleh naik muak aku tengok muka kau tau tak?" Irdina cuba bercanda namun rasa hatinya yang menanggung perit dan pedih tak mampu disembunyikan.

"Lagi bagus kalau kau cepat pergi, cepat aku boleh lupakan kau,"perlahan butir bicaranya sekadar sedikit sahaja yang tertangkap di pendengaran Aiman. Ingin ditanyakan, namun dia memilih untuk memendam. Irdina mengorak langkah perlahan. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Kelak, air matanya bisa tumpah dek tidak tahan menghadapi kenyataan satu-satunya sahabat yang dia ada akan meninggalkannya. Padang bola sepak yang selalunya riuh dek teriakan Aiman berjaya menjaringkan gol akan kembali sunyi. Tulisan tangan milik Aiman tak akan tercoret dalam buku latihan Matematik Irdina lagi. Segalanya akan berubah.

Hari-hari berlalu dengan pantas. Sedar tak sedar, Irdina sudah punyai kehidupan sendiri. Ingin menyambung pelajaran, dia tidak mampu. Dari mana hendak dicari wang puluhan ribu? Cuma yang dia tahu, selain belajar, berniaga. Itupun menggunakan duit tabungan semenjak kecil. Arwah ibu dan ayahnya bukan orang senang. Kerana itu, tiada satu pun harta peninggalan mereka yang diwasiatkan. Apatah lagi, dia sekadar anak angkat. Tiada hak. Dan dia sedar hakikat itu. Mewarisi kasih sayang ibu dan ayah pun sudah cukup bermakna baginya.

"Ya, encik. Nasi lemak ke kuih?" soal Irdina tanpa sempat mendongak. Tangannya masih ligat membungkus nasi lemak. Gerai kecil itu hasil ihsan jiran tetangganya yang tidak sanggup melihat dia hidup melarat. Dia tidak pernah peduli cakap-cakap orang. Yang dia tahu, dia boleh berdikari dan masih mampu meneruskan hidupnya seperti dahulu. Dia tidak perlukan simpati, cukup untuk mereka sekadar menjadi pemerhati. Ya! Dia punyai impian menggunung. Cita-citanya seluas lautan.

"Bagi saya nasi lemak sepuluh bungkus," suara itu menjawab dengan nada mendatar. Tiada riak. Serta merta Irdina mengangkat wajahnya. Meneliti segenap inci wajah di hadapannya kini. Masakan dia tidak kenal. Suara dan wajah itu tidak pernah dia lupakan. Kerana dia, Farhan. Lelaki hidung belang, buaya darat yang mahu menyunting dirinya. Irdina jadi hairan sendiri.

'Kekuatan apa yang lelaki ini miliki sehingga masih sanggup muncul lagi di hadapanku setelah apa yang aku katakan dulu? Tak malukah dia? Atau memang dia hati batu?' Irdina termenung sejenak. pelbagai persoalan yang berada di mindanya kini. Tambah lagi, dengan penampilan barunya.

"Kenapa Ina tengok abang macam tu? Ina pelik sebab abang pakai kopiah, pakai kain pelikat?" soalan Farhan itu benar-benar membuatkan Irdina kehilangan kata-kata. Terkedu.

‘Benar-benar sudah berubahkah dia? Atau berlagak alim di depan aku semata-mata?’ Farhan tergelak kecil. Seketika terasa ada yang aneh di ruang itu. Irdina buat tidak tahu. Dia tidak mahu melayan. Masing-masing sudah punya hidup sendiri. Mungkin juga Farhan sudah berumahtangga, kerana itu dia berubah sebegitu rupa, gumam Irdina sendirian. Nasi lemak sepuluh bungkus itu dihulurkan kepada Farhan. Not RM 50 bertukar tangan.

“Ina simpan bakinya. Buat belanja hari-hari. Abang ikhlas,” sekali lagi bicara lelaki itu menyentap tangkai hati Irdina. Terlalu tulus. Namun, cepat-cepat Irdina mengingatkan hati bahawa Farhan bukan calon pilihannya. Mana mungkin dia meminta untuk kembali kepada lelaki itu setelah dia melemparkan segala macam tohmahan. Tidak pula dia selidiki asal-usul perkhabaran itu. Entah betul entahkan tidak. Tetapi, siapa yang tidak kenal Farhan yang kerap bertukar teman wanita. Seluruh kampung sudah heboh. Sementelah, dia bekas banduan, bekas penagih. Semua orang tahu.

“Terima kasih,”Irdina membalas setelah lelaki itu hilang dari pandangan. Sedikit sebanyak, hati wanitanya mulai terusik dengan kelakuan Farhan tadi. Mudah sahaja hati ini tersentuh, dengan tiap tutur katanya yang meresahkan jiwa.

"Ina, kalau abang lamar Ina lagi sekali, Ina sudi? Percayakan abang, abang dah berubah. Dah tinggalkan semua perbuatan jahat abang dulu." perlahan dan mendatar suara itu menuturkan. Deru bayu petang di tepi pantai sesekali memecah keheningan. Irdina serba salah. Nanti dia dikatakan tak ubah bagai menjilat kembali ludah sendiri.

"Ina minta maaf, bang. Kalau perubahan abang ni kerana Ina, sikit pun Ina tak terkesan. Ina cuma harap abang betulkan niat abang untuk berubah kerana Allah." pantas Irdina melangkah pergi. Sama seperti tujuh tahun yang lalu, dia tinggalkan Aiman di situ.

"Ina, kenapa tak pernah nak hargai apa yang abang buat untuk Ina selama ni? Abang tak cukup baik lagi ke berbanding Aiman?" dari kejauhan, Farhan melontarkan kata-kata.

'Tak perlu dibandingkan kau dengan Aiman.' hati Irdina berperang lagi. Dia keliru. Janjinya pada Aiman sudah sekian lama terpatri, namun dia juga punyai perasaan. Dia bimbang andai bermukim kesal di hati kiranya Aiman pulang dengan kekasih hati. Sedangkan dia cuma gadis kampung yang tak punya pelajaran setinggi Aiman. Layakkah dia?

Aiman belum pasti pilih kau! Jangan nak mengharap sangat, Ina. Entah-entah dia dah ada calon isteri kat sana. Mindanya kusut. Fikirannya buntu. Dia dalam dilema. Sudahnya, Irdina kembali bersujud di atas sejadah. Hanya di situ tempatnya meminta, mengadu sejak Aiman pergi. Istikharahnya sudah berkali-kali. Semenjak kali pertama Farhan melamarnya dulu. Namun. entah mengapa kelirunya tidak berkesudahan.

"Ina, kau sihat? Maaflah dah lama aku tak tanya khabar. Kau faham-faham lah aku kat sini banyak yang nak kena buat. Assignment, coursework bertimbun. Kau lain lah, jual kuih tak sibuk mana pun,kan? Patutnya kau yang telefon aku tanya khabar tau?" lewat pagi itu Aiman menghubunginya. Mengharap agar dapat mendengar gelak tawa dan suara Irdina yang sekian lama dirinduinya. Tetapi, Aiman sekadar mampu membisu tatkala Irdina memutuskan talian tanpa sebarang respons. Aiman terkedu.

Di hujung talian yang dimatikan, Irdina tersedu-sedan. Serendah itu dia di mata Aiman, kini. Adakah kerana dia tidak belajar di luar negara seperti mana Aiman? Ataupun disebabkan dia tidak mampu berbahasa Inggeris sepetah Aiman? Mungkinkah kerana perbezaan itu, Aiman mencemuh dirinya? Saat itu, Irdina nekad. Benar kata-kata kakak dan abang angkatnya selama ini, Aiman akan melupakannya jua kelak.Tidak kira cepat atau lambat. Cuma matanya yang buta dan hatinya yang keras gara-gara terlalu sayangkan Aiman. Dan terlalu menaruh harapan terhadap janji yang ditaburkannya. Sepatutnya, sejak dahulu lagi dia cuba melupakan Aiman dan sedar diri. Bahawa mereka itu berbeza. Tidak setaraf, lantas mana mungkin Aiman mahu memiliki kekasih hati yang tidak berpendidikan tinggi sepertinya?

“Ina terima lamaran abang Farhan, kak. Ina dah fikir masak-masak. Buat masa sekarang, Ina pilih dia. Ina nak tunaikan permintaan arwah mak…” permintaan itu dia suakan kepada Kak Long. Kakak pertamaku yang makan gaji sebagai peguam di ibu kota. Sebab itulah barangkali, bicaranya memang sering sahaja menimbulkan kekecohan. Sampai di rumah pun nak berbahas. Anggukan dan senyumannya tidak membawa apa-apa makna buatku.

“Baguslah Ina, kalau dari dulu kau terima dia, sekarang ni hidup kau dah mewah. Tapi, apa-apa pun, nanti Kak Long sampaikan pada dia. Besok atau lusa, dia datang bawa rombongan merisik dan bertunang terus.”

Irdina telan liur. Kenapa secepat itu? Tidak perlulah tergesa-gesa, kerana dia tetap di sini. Tidak ke mana pun Irdina Ahmad ini.

“Kak Long, kenapa cepat sangat?” Irdina menyoal kembali. Takut-takut. Soalannya dibalas tengkingan kakak sulungnya itu.

“Ina, kau ni nak ke tidak? Cepat apanya? Ini pun dah kira lambat tau? Dah bertahun si Farhan tu menunggu.” Kain batik yang dilipatnya sedari tadi dilemparkan ke wajah Irdina. Berkira-kira mahu dia meneruskan kerja melipat kain yang terhenti di situ. Irdina yang baru selesai mencuci pinggan mangkuk, mengelap tangannya yang masih basah pada baju t-shirt yang dipakainya. Baju lusuh miliknya itu sudah pudar warnanya.

Kelakuan itu diperhatikan kakak iparnya, Suzana. “Ina, tak ada kain lap ke sampai lap tangan kat baju tu? Tak manis la nanti kalau Farhan tengok Ina dengan baju yang comot macam ni.” Irdina sekadar tersenyum sumbing. Entah mengapa semenjak dia menerima lamaran Farhan tempoh hari, semua orang seolah-olah berubah sikap terhadapnya. Tiada lagi cacian dan herdikan seperti dahulu. Entah apa istimewanya Farhan di mata mereka.

“Ina, buatkanlah teh untuk Farhan ni. Tunang dia datang jauh-jauh, boleh pulak tak diendahkan,” bebel Kak Long dari ruang tamu rumah. Irdina sekadar mendengar. Sedikit pun dia tidak ambil kisah. Air teh dihidangkan bersama cucur udang. Farhan tersenyum mesra. Irdina tidak memandang.

“Teh? Ina tahu kan, abang tak suka teh? Buatkan abang kopi, sayang?” Irdina hampir termuntah tatkala perkataan sayang disebut Farhan. Memang dia sengaja mahu mengenakan Irdina.

‘Banyak songeh pulak dia ni. Bagi teh, nak kopi.Nanti bagi kopi, mintak milo pulak. Dasar tak tahu diuntung!’gumam hati Irdina sendirian. Dia geram. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia luku dan hempuk-hempuk teko kopi itu di atas kepala si Farhan keparat itu.

Setahun berlalu. Dan hari itu, hari pertama bulan Jun. Genap empat bulan tempoh perkahwinan Farhan dan Irdina. Irdina sedar, perkahwinan mereka hanya berlandaskan kontrak. Farhan sedikitpun tidak sukakan dia, sebaliknya dia lebih fokus terhadap harta yang diwasiatkan arwah ibunya. Harta itu akan jatuh ke tangan isterinya, sebagaimana diwasiatkan. Maka, mengikut wasiat, harta itu akan menjadi milik Farhan sekiranya mereka mempunyai zuriat. Irdina terkesima dengan syarat itu. Dia tidak sedia. Dia rela Farhan memiliki semua harta itu, sedikitpun dia tida kisah apatah lagi peduli. Tapi, untuk memiliki keturunan daripada Farhan? Tidak sama sekali! Empat bulan dinikahi, belum pernah sekalipun dia mengizinkan lelaki itu menyentuh dirinya.

“Ina, kenapa dengan Ina ni? Ina cuma berikan abang seorang anak dan lepas tu, serahkan semua harta tu pada abang. Abang akan lepaskan Ina selepas tu. Simple, kan?” mudahnya dia berkata-kata. Ah! Lelaki memang sekadar tahu bermadah pujangga. Kelak, yang menanggung derita, dia. Sendirian dan keseorangan.

Malam yang kelam tanpa bintang itu mengingatkan Irdina pada Aiman. Sudah hampir setahun Aiman pulang ke tanah air. Pulangnya jua gara-gara berita pernikahan Irdina. Selepas itu, dia langsung tidak mendengar khabar Aiman lagi.

“Maafkan Ina, Man. Ina tak pernah berniat nak lukakan hati Man...” lena Irdina malam itu ditemani air mata.

Seminggu setelah kisah Irdina lari dari rumah suaminya menjadi buah mulut orang kampung, Aiman mencari jejaknya. Wanita itu memang pandai bersembunyi. Aiman sudah rata mencari, keliling daerah dan kampung dia jelajahi. Namun, Irdina masih juga tidak kelihatan.

Lewat petang itu, Aiman duduk melepaskan lelah di dada pantai. Sudah jenuh dia mencari. Tanpa dia sedari, ada sepasang mata yang memerhati gerak gerinya sedari tadi. Saat dia berpaling, cepat-cepat sekujur tubuh itu berlalu pergi. Kelibat itu! Aiman pasti itu Irdina. Pantas dia mengejar dari jauh. Gema nama Irdina dipanggil tidak jua bersahut. Sempat jua tangan Irdina dipegang, meskipun dalam keterpaksaan. Dia sedar, Irdina bukan miliknya.

“Ina, kenapa mesti Ina lari dari Man?” Bahasanya mulai berubah. Tiada lagi kau dan aku seperti dulu. Irdina mendiamkan diri. Sebolehnya dia ingin memeluk tubuh itu sekarang juga, namun dia masih punya iman dan akalnya masih waras. Selebihnya, dia diamkan sahaja diri.

“Kenapa Ina tak kotakan janji Ina untuk tunggu Man? Kenapa mesti Ina pilih Farhan sedangkan Man dah janji pada Ina yang tak akan ada orang lain yang mampu ganti Ina dalam hati Man?”

Tangisan Irdina tumpah lagi. Tidak mampu untuk dia menggambarkan sesalan yang bermukim di hati.

“Aku ingat kau dah berubah hati. Aku tak belajar tinggi-tinggi macam kau, dan aku sedar diri, Aiman. Siapalah aku ni kalau nak dibandingkan dengan kau. Jauh bezanya!” luah Irdina dalam esakan.

Yang nyata, dia meluahkan apa yang selama ini dipendamkan. Aiman tergelak kecil. Sekali lagi Irdina membuatkan dia jatuh cinta. Ya, cintanya pada Irdina bukanlah kerana paras rupa. Dan, yang pasti kejujuran dan ketulusannya sering kali menambat hati. Matanya yang penuh dengan kejujuran itu terlalu sukar untuk dimengertikan.

“Ina, kita sama. Bezanya cuma kau tidak diberi peluang. Sedikitpun, aku tak pernah menganggap kau berbeza daripada aku. Sebab aku tahu, kasih dan sayang itu tak kenal erti perbezaan, Ina.”

Irdina tertunduk. Baru sekarang dia mengerti, kisah cinta itu sesekali perlukan kesukaran, barulah hadir kemanisan. Kerana bahagia itu tidak selamanya ada di sepanjang perjalanan. Sebagaimana mentari tak selalu ada di sepanjang hari.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini