Hari tu, Fairuz
termenung lagi. Tak, Fairuz tak sakit. Fairuz tak juga lapar. Dan Fairuz tak
pula mengantuk. Tapi entah kenapa, Fairuz hanya duduk di tebing sungai sebelah
rumahnya dan memandang tepat ke arah air sungai yang mengalir deras itu.
Masuk hari ni, dah
tiga hari Fairuz tak jumpa siapa-siapa. Mungkin dia masih tak boleh terima
kenyataan yang Laila dipilih.
"Kenapa kau
pilih Laila?" Fairuz asyik menuturkan ayat itu.
"Kenapa kau
pilih Laila?"
Nasib Fairuz
mungkin sedikit baik kerana rumahnya agak jauh daripada tempat tumpuan penduduk
kampung itu. Fairuz juga tinggal seorang diri di rumahnya. Jadi, tidak ada
seorang pun yang sedar dengan kelakuan Fairuz sejak tiga hari lepas. Kalau tak,
tentu saja Fairuz dengan mudah akan dicop gila atau sewel - perkataan lazim
yang keluar daripada mulut penduduk kampungnya jika dilihat sesuatu yang tak
kena dengan salah seorang penduduk di situ.
Semuanya bermula
lebih kurang seminggu yang lalu. Ketika itu, Laila masih tinggal dengan Fairuz.
Mereka hidup bahagia walaupun dalam serba kekurangan. Namun, Laila tidak pernah
kisah fasal kemiskinan yang mereka tanggung. Tetapi tidak bagi Fairuz.
Fairuz selalu saja
mencari jalan supaya hidup mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Itu apa
yang diucapkan pada Laila. Hakikatnya, Fairuz sebenarnya yang mahu jadi kaya.
Jika dia dan Laila menjadi kaya, itu tidak apa bagi Fairuz. Tetapi jika Fairuz
saja yang kaya manakala Laila masih hidup dalam kemiskinan, itu pun tak apa
bagi Fairuz.
Satu petang yang
tak ada angin, Fairuz membelek surat khabar di Warung Judi. Warung itu bukanlah
sebuah tempat perjudian. Cuma tauke kedainya, Encik Selamat telah selamat
berkahwin dengan seorang perempuan mat saleh yang bernama Judy. Walaupun nama
Islam bininya sekarang adalah Salamah, Encik Selamat berpendapat nama lama
bininya nampak sedikit kelas untuk dijadikan nama warung. Jadi, dia menempah
papan tanda untuk warungnya di kedai papan tanda milik Yusuf.
"Aku nak buat
satu papan tanda. Kau letak situ nama Warung Judi. Biar orang buka mata
sikit," terang Encik Selamat pada Yusuf.
Ya, memang nama tu
telah berjaya membuka mata Yusuf menjadikannya lebih besar. Dia agak terkejut
apabila mendengar permintaan Encik Selamat itu, tapi Yusuf amat menghormati
pelanggannya. Lalu terciptalah papan tanda Warung Judi.
Pada mulanya,
Encik Selamat tidak marah fasal papan tanda itu kerana dia pun menyangka ejaan
nama lama bininya adalah Judi. Setelah Salamah memberitahu hal yang sebenar,
Encik Selamat agak terkilan kerana papan tanda itu telah pun siap. Wang juga
sudah lebur. Tapi, sekejap saja kekecewaan Encik Selamat tu datang. Sejak
adanya papan tanda tu, ramai yang berkunjung. Memang betul-betul 'membuka mata'
penduduk kampungnya. Fasal aktiviti berjudi yang mereka buat di warungnya,
Encik Selamat hanya tutup sebelah mata. Dia malas mahu masuk campur. Asalkan
kedainya maju.
"Aku nak
cakap serba salah," Encik Selamat bersuara lalu duduk di kerusi semeja
dengan Fairuz.
Namun, Fairuz
tidak mengendahkan tauke kedai yang datang menyapa itu. Dia masih lagi sibuk
membelek surat khabar.
"Kalau aku
tak cakap, sakit pula hati aku ni," sambung Encik Selamat dengan nada
suara yang lebih kuat.
"Apa dia, Pak
Mat? Saya tengah sibuk ni."
Encik Selamat
angguk beberapa kali. "Aku tahu kau sibuk. Aku boleh nampak. Tapi kau
tengah sibuk kat warung aku. Jadi, aku kenalah tumpang menyibuk."
"Pak Mat nak
apa ni?" Fairuz separa tengking dah cukup berjaya buat beberapa pasang
mata menjadi saksi.
"Aku nak
surat khabar tu balik. Bak sini!" Encik Selamat menghulurkan tangan sambil
menggerakkan jari-jarinya.
"Rileklah,
Pak Mat. Orang tak habis baca lagi. Tak hormat langsunglah."
Kali ni, Encik
Selamat dah hilang sabar. Dia ambil nafas dalam-dalam hingga ke paru-paru.
"Kau kalau duduk sini dan pesan makanan, aku tak kisah kau nak baca surat
khabar ni. Tapi kalau kau duduk sini dari pagi sampai ke tengah hari, tak
makan, tak minum, lepas tu kerja kau bukan takat baca surat khabar, sesuka hati
kau conteng merata tempat, kau bulatkan iklan-iklan tu ikut dan saja, aku
sebagai tauke Warung Judi dengan segala tak hormatnya boleh halau kau bila-bila
masa saja!"
Encik Selamat
sudahi ayatnya dengan merampas surat khabar dari tangan Fairuz dan menghalau
Fairuz dari warungnya.
"Ala Pak Mat
ni, kecohlah! Orang bukan kacau dia pun. Takat surat khabar berapa puluh sen
tu, aku boleh beli empat tahu?" Jerit Fairuz sambil melangkah pergi dari
Warung Judi.
"Ha! Dah tu,
kenapa kau duduk sini lagi? Pergilah beli empat surat khabar ni! Yang kau nak
baca surat khabar aku juga kenapa? Buat lari pelanggan aku saja kalau kau duduk
sini!" Encik Selamat tak mengaku kalah. Dia masih menjerit-jerit walaupun
kelibat Fairuz sudah hilang.
Encik Selamat
akhirnya tenang juga. Dia duduk di meja Fairuz duduk tadi dan membelek surat
khabarnya. Setiap helaian diselaknya. Sampai pada satu helaian yang agak
tengah, Encik Selamat terkejut besar sebesar lubang yang 'ditebuk' oleh Fairuz
pada surat khabarnya. Dan sepanjang hari tu, Salamah terpaksa melayan suaminya
yang tak berhenti marah dan maki sambil menyebut-nyebut nama Fairuz.
Fairuz terus
pulang ke rumahnya. Dia duduk di tangga rumahnya. Fairuz bawa keluar keratan
akhbar yang dia koyak dari surat khabar di warung Encik Selamat tadi. Dia ukir
senyuman.
"Pembantu
Peribadi Dicari. Sila hubungi Dato' Jaafar untuk datang temuduga. Pengalaman
dan pendidikan tidak kisah. Janji rajin. Gaji lumayan di samping boleh tinggal
di rumah banglo Dato' Jaafar." Fairuz baca kuat-kuat keratan akhbar itu.
"Ada peluang
ni. Kayalah aku nanti. Tak perlu aku duduk kat rumah buruk ni lagi."
Fairuz mula pasang angan-angan. Entah kenapa, dia yakin yang dia boleh dapat
jawatan tu.
Malam tu, Fairuz
ratakan bedak gatal ke seluruh badannya.
"Ni dah
kenapa? Dah kena sampuk jembalang bedak ke apa?" tanya Laila yang sedang
menyuap nasi berserta ikan goreng yang ditangkap dalam sungai sebelah rumahnya.
"Kau diamlah.
Kau bukan tahu apa-apa. Nilah persediaan namanya," jawab Fairuz.
Laila herotkan
muka. "Persediaan apa? Mati? Baik simbah kapur barus saja."
"Eh, Laila.
Mulut kau jaga sikit ya? Satu hari, kau akan menyesal kalau aku tinggalkan kau
nanti."
"Ala, ajal
maut di tangan Tuhan. Laila pasrah saja."
Fairuz malas mahu
layan Laila. Dia tahu Laila bukannya bijak. Cuma tahu cakap saja. Membaca entah
boleh, entah tidak. Fairuz lain. Dia tahu membaca. Dia juga giat berfikir.
Berfikir untuk jadi kaya dengan mudah.
Fairuz keluarkan
keratan akhbar itu dan tunjuk pada Laila. "Kau tengok ni? Sikit hari lagi,
aku jadi orang kayalah. Masa tu, kau nak merayu kat aku pun tak guna
tahu?"
Laila tak ambil
pun keratan dari tangan Fairuz. Dia sebaliknya lebih suka bertanya. "Apa
benda tu? Malas Laila nak baca."
Fairuz simpan
kembali keratan akhbar di sebalik lipatan kainnya. "Tulah kau. Tahu cakap
saja, fikir tak nak. Tengok macam aku. Ada wawasan. Ada cita-cita."
"Jadi, apa
kena-mengena bedak ni dengan wawasan?" tanya Laila yang masih keliru.
"Badan aku ni
dah mula alergi dengan kayu. Tak lama lagi, aku akan pindah ke rumah banglo.
Tahu rumah banglo tu apa? Rumah besar. Rumah batu!" cerita Fairuz
bersungguh-sungguh.
Laila tersedak.
"Alergi sebab kayu?" Lepas tu, Laila ketawa kuat-kuat macam Mak
Lampir.
"Itulah kau.
Kerja gelakkan orang. Kau tunggu sajalah nanti," marah Fairuz sambil
membasuh tangannya. Dia dah tak ada selera nak makan. Lagi-lagi apabila nak
makan dengan Mak Lampir.
* * *
Pagi tu, Fairuz
bersiap seperti pengantin. Wangi bukan main. Fairuz kelihatan betul-betul
segak.
"Nak pergi
mengorat ke?" perli Laila yang sedang mengunyah buat jambu yang diberi
jiran petang semalam.
"Aku nak
pergi temu duga kerja. Nak harap jualan kuih yang kau letak kat Mak Yam tu,
sampai mati pun aku tak kaya."
"Baguslah
kalau baru nak sedar. Laila ingatkan nak harap Laila saja yang kerja dalam
rumah ni."
Fairuz tambah
minyak wangi lagi. Tiga botol berharga sepuluh ringgit yang dibeli di pasar
malam kampung sebelah. "Aku bukan baru nak sedar. Aku cuma tunggu peluang
saja. Sekarang, peluang dah ada depan mata. Inilah masanya."
Laila hanya senyum
dan sambung menjamah buah jambu.
"Okeylah. Aku
pergi dulu. Doakan aku berjaya. Dalam rumah ni, kau seorang saja yang alim
sikit. Mungkin doa kau lebih berkat daripada aku," pesan Fairuz sebelum
keluar.
Laila hanya
angguk. Fairuz hulur tangan dan Laila sambut serta mencium tangan Fairuz.
Fairuz panjat atas
motor kapcainya. Keratan akhbar dikeluarkan dari dompetnya. Dia tengok alamat
rumah Dato' Jaafar buat kali terakhir sebelum berlepas ke sana. Dia sememangnya
sudah kenal benar dengan kawasan kediaman Dato' itu. Kawasan tu kawasan rumah
orang-orang kaya dibina. Kawasan idaman Fairuz.
Belum sampai 15
minit, Fairuz sudah sampai. Dia melihat dirinya dalam cermin buat kali yang
terakhir sebelum menekan loceng yang disediakan di tembok sebelah pintu pagar.
Seketika kemudian,
seorang lelaki berbaju Pagoda dan berkain pelikat datang menyambut. Pada mulanya,
Fairuz menyangkakan lelaki itu pembantu Dato' Jaafar. Tapi bukan ke Dato'
Jaafar sedang cari pembantu?
Ah! Ini mesti
Dato' Jaafar. Aku kenal benar muka orang kaya dengan muka orang miskin. Muka
dia macam kaya saja, hati Fairuz berbincang.
"Ya?"
tanya Dato' Jaafar.
"Assalamualaikum,
Dato'. Saya datang untuk temu duga pembantu peribadi," jawab Fairuz dengan
sopan dan yakinnya memanggil lelaki itu Dato'.
Dato' Jaafar
tersenyum bangga. Dia puji Fairuz senyap-senyap. Dia tak sangka Fairuz boleh
tahu yang dia sebenarnya Dato' Jaafar walaupun hanya memakai baju-T Pagoda dan
berkain pelikat. Tapi mungkin juga wajahnya memang nampak kaya.
"Oh, silakan
masuk," pelawa Dato' Jaafar. Dia menekan butang pada alat kawalan jauh di
tangan. Dengan serta-merta, pintu pagar itu terbuka dengan sendirinya.
Fairuz mengawal
diri untuk tidak kelihatan jakun. Dia kemudiannya mengikut Dato' Jaafar masuk
ke dalam rumahnya.
Dato' duduk di
salah sebuah sofa di ruang tamu dan Fairuz pula duduk di sofa yang bertentangan
dengannya. Pada ketika itu, Fairuz tahu yang temu duga pasti sudah mula.
Fairuz terus
memperkenalkan diri dan menceritakan kelebihannya di hadapan Dato' Jaafar.
Dato' hanya mengangguk dan mengangguk tanpa respons verbal. Fairuz terus
bercakap. Dia rasa tidak sedap dengan respons yang dia dapat.
Akhirnya, Dato'
Jaafar bersuara. "Terus-terang saya suka awak. Dari apa yang awak cakap,
saya tahu awak memang menepati ciri-ciri yang saya cari. Cuma, awak tak boleh
buat satu benda. Dan ia sebenarnya cukup mengecewakan saya."
Fairuz
berdebar-debar. Apa yang Dato' Jaafar harapkan daripadanya? Rasanya, dia sudah
'menjual' seluruh dirinya kepada Dato', tetapi tak sangka lelaki kaya itu masih
nampak kekurangan pada diri Fairuz.
"Cakaplah,
Dato'. Jangan risau, saya memang boleh buat semua benda. Saya sanggup buat apa
saja demi Dato'. Cakap saja apa dia," pujuk Fairuz.
Wajah Dato' Jaafar
seperti dalam dilema. "Susah, Fairuz. Kerja ini berbahaya dan bukan semua
orang boleh lakukannya."
Kerja berbahaya?
Maksud Dato', adakah Fairuz perlu buat kerja haram atau kerja jenayah?
"Beginilah.
Fairuz balik dulu. Apa-apa nanti, saya telefon Fairuz balik. Okey?" Dato'
Jaafar akhirnya sudah buat keputusan.
Fairuz tidak
menjangka keputusan seperti itu yang akan dia dapat. Dia tahu sangat jika
itulah jawapannya, peluang Fairuz untuk bekerja dengan Dato' Jaafar memang
tipis. Tapi, dia akur. Setelah memberi salam dan meminta Dato' Jaafar supaya
memikirkan fasal permohonannya, Fairuz pulang ke rumah.
Malam tu, Fairuz
tak boleh tidur. Dia sedih. Dia malu. Malu pada Laila kerana dia terlalu yakin
untuk dapat jawatan pembantu peribadi itu.
Laila tidak pula
bertanya kenapa kerana dia semacam boleh agak yang Fairuz sedang kecewa. Lama
sudah dia kenal Fairuz. Dia tahu, Fairuz pasti tidak berjaya dalam temu duga
itu.
* * *
Pagi tu, Fairuz
keluar awal. Mungkin ke Warung Judi untuk cari kerja lagi. Seperti biasa, Laila
pulang ke rumah setelah meletakkan kuih di gerai Mak Yam. Sedang Laila mengemas
bilik tidur, Laila terjumpa keratan akhbar yang dikoyak oleh Fairuz dua hari
lepas.
"Kenapa ya
dia tak dapat temu duga ni?" Laila bertanya sendirian.
Laila kasihan pada
Fairuz. Tanpa berfikir panjang, Laila terus pergi ke rumah Dato' Jaafar untuk
bertanyakan hal itu.
Pada mulanya,
Dato' kelihatan sedikit terkejut dengan kehadiran Laila ke rumahnya. Tetapi
apabila Laila memberitahu niatnya ke sana untuk bertanyakan tentang temu duga
Fairuz semalam, Dato' tersenyum kembali. Kedatangan Laila disambut baik oleh
Dato' Jaafar.
"Tolonglah,
Dato'. Fairuz sangat perlukan kerja tu. Dia mungkin boleh ubah hidup
kami," rayu Laila.
Dato' menghembus
nafas panjang. "Saya tahu. Tapi, Fairuz memang tak layak."
Menitis air mata
Laila apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Dato' rasa serba salah.
"Dato', boleh
tak Laila cuba mohon kerja ni?"
Pertanyaan Laila
membuatkan Dato' Jaafar terkejut besar. Tapi, dia tak menolaknya. Dengan itu,
sesi temu duga terus dimulakan.
"Tak
dinafikan, kebolehan awak memang sama dengan Fairuz," jawab Dato' Jaafar
setelah sesi temu duga itu berakhir.
Laila gusar
apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Jika kebolehannya sama, sudah tentu
Laila juga tak layak untuk memegang jawatan yang ditawarkan.
Tidak lama
kemudian, Dato' Jaafar akhirnya memberitahu jawapan temu duga yang amat
memeranjatkan hati Laila.
* * *
Matahari semakin
terbenam. Fairuz masih lagi termenung di tebing sungai itu.
"Kenapa kau
pilih Laila? Kenapa kau pilih Laila?" Kata-kata itu berulang kali disebut
Fairuz tanpa jemu, tanpa letih.
"Marilah ikut
Laila tinggal di rumah Dato' Jaafar." Suara Laila tiba-tiba kedengaran.
Fairuz toleh. Dia
nampak Laila kembali ke rumahnya bertemankan Dato' Jaafar. Ah! Benci sungguh
aku dengan lelaki itu, marah hati Fairuz.
"Kenapa kau
pilih Laila?" Kali ini, Fairuz tak bertanya sendirian. Dia sebaliknya
berdiri menghadap Dato' Jaafar untuk mendapatkan jawapan lelaki kaya itu.
"Fairuz,
Laila ada kelebihannya sendiri. Saya rasa Fairuz pun tahu," jawab Dato'
Jaafar dengan tenang. Dia tak mahu memarakkan lagi api kemarahan Fairuz.
Namun, Fairuz tak
menerima jawapan itu dengan baik. "Apa bezanya aku dengan Laila, hah? Dia
kembar aku. Apa aku ada, dia ada. Apa aku tak ada, dia tak ada. Apa kau tengok
rupa? Dia sikit pun tidak lebih dan tidak kurang cantik daripada aku. Takkan
kau tak nampak betapa seirasnya kami?"
Dato' mengeluh.
Laila sudah menangis. Keadaan Fairuz nampak teruk. Lagaknya seperti orang gila.
"Fairuz, saya
minta maaf banyak-banyak sebab tak berterus-terang dengan Fairuz dari awal
dulu. Ya, Fairuz dan Laila memang saling tak tumpah. Baik dari segi fizikal
juga peribadi. Saya sebenarnya mahu cari seorang isteri. Jawatan itu hanya
alasan. Mudah untuk saya kenal pasti calon yang sesuai untuk saya melalui temu
duga," terang Dato' Jaafar.
"Apa aku tak
boleh jadi isteri kau?" tanya Fairuz tanpa segan silu kerana terlalu
marah.
Suasana sunyi
seketika. Hanya kedengaran bunyi cengkerik senja. Laila juga sudah berhenti
menangis.
"Fairuz,
Fairuz tahu kan yang Fairuz dan Laila kembar berlainan jantina?" Dato'
Jaafar mengerutkan dahinya.
Fairuz tak tahu
bagaimana mahu respons. Kewarasannya kembali dengan serta merta. Dengan pantas,
Fairuz terjun ke dalam sungai itu dan berenang ke seberang kerana malu.
April 25, 2012 at 12:25 AM
bt saspen aku ja.
tp crita ni mmng lwk banggang punya.