rss

Adnan terhendap-hendap di sebalik dinding dapur memerhatikan telatah isterinya yang sedang ralit menyediakan sarapan pagi. Menguntum senyuman apabila akal nakalnya mula mengatur strategi untuk mengusik si isteri. Dengan senyuman nakal, dia mengatur langkah perlahan mendekati si isteri.

“Hah!” Sergahan kuat dengan pelukan kejap di pinggang mengejutkan Iman yang sedang menghiris cili untuk ditaburkan pada bihun goreng bagi sarapan pagi itu. Terlepas pisau di tangannya. Lemah semangatnya pagi-pagi ini bila disergah begitu sekali. Namun, cara pelukan dan aroma Hugo Boss yang menyapa hidungnya meredakan gelora di dada. Iman kenal sangat dengan bau tersebut. Bau suaminya.

Iman terus membasuh tangan di singki sebelum berpaling ke belakang mengadap si suami. “Abang ni kan suka tau usik Iman macam ni. Nasib baik pisau kat tangan Iman tak kena jari. Kalau tak, jadi raja bersiong abang nanti,” marah Iman manja. Tangan diletakkan di atas bahu si suami. Meletus ketawa Adnan mendengar omelan isterinya. Gamat dapur dengan ketawanya. Pelukan yang longgar tadi diketatkan. Suka dia melihat wajah cemberut Iman tu.

Mata Adnan masih ralit memerhatikan wajah Iman yang sudah mulai merah. Iman yang tadi cemberut sudah tersipu-sipu malu bila menyedari mata suaminya sedang meneroka segenap inci wajahnya. Cahaya cinta yang terpancar dari sinar mata si suami membuatkan dirinya berasa sangat bertuah kerana memiliki insan sesempurna Adnan Iskandar.

Bibir mungil Iman kemudiannya di renung Adnan penuh minat. Wajahnya semakin mendekat. Iman yang menyedari tingkah suaminya itu bertindak memegang kejap pipi suaminya. Tindakan Iman itu menghentikan pergerakkan suaminya. Terdengar keluhan hampa Adnan, tangannya yang tadi memeluk kejap pinggang isteri spontan dijatuhkan. Suaminya itu merajuk. ‘Macam budak-budak,’ detik hatinya nakal. Iman hanya tersenyum nakal. Gilirannya pula mengenakan sang suami. Wajah hampa suaminya direnung penuh kasih. Iman bertindak mendaratkan bibirnya di pipi Adnan. Seketika kemudian senyuman mula terukir di bibir suaminya. Iman hanya menggeleng dengan telatah suaminya itu.

“Abang ni kan memang macam budak-budak. Kalau tak dapat ape yang dia hendak, mulalah merajuk. Apelah Iman nak buat dengan abang ni,” omel Iman dengan telatah suaminya tadi.

“Abang bukan ape. Abang nak tuntut morning kiss. Iman belum bagi lagi pagi ni kan?” Bantah Adnan pantas, mempertahankan tindakannya. Senyuman terbit di bibirnya. Buntang mata Iman mendengar balasan suaminya. Terletus ketawa galak suaminya.

“Ape-apelah abang. Kalau dengan abang, memang Iman tak menang punya. Iman nak hidang breakfast ni,” ujarnya berpaling sambil mengangkat mangkuk berisi bihun goreng namun di sambar pantas oleh Adnan dan terus membawanya ke depan. Iman tersenyum senang dengan perangai suaminya yang satu ni. Ringan tulang tanpa perlu disuruh.

Iman melangkah menuju ke meja makan membawa dulang minuman. Tersenyum dia melihat bihun goreng tadi dah siap dihidangkan dalam pinggan. “Ni yang buat Iman makin sayang kat abang ni,” pujinya sambil menuang air teh ke dalam cawan suaminya. Adnan hanya tersengih mendengar pujian dari bibir isterinya. Satu kucupan lagi hinggap di pipi suaminya. Semakin lebar sengihan suaminya.

Mereka makan sambil diselangi gelak ketawa. Namun gelak tawa itu tiba-tiba terhenti apabila Adnan menyedari bihun goreng di pinggan Iman hanya sedikit terusik. Manakala Iman pula asyik merenung ke arahnya. Terhenti suapan yang mahu masuk ke mulutnya. Sudu diletakkan kembali di pinggan.

“Iman… Iman kenapa ni? kenapa tak makan? Iman tak sihat ke?” lantas tangannya cepat-cepat menjamah dahi isteri tercinta. “Biasa saje. Tak panas pun,” tegurnya namun Iman masih lagi seperti tadi. Memerhatikan dirinya ralit.

“Iman!” panggilnya kuat, berpindah duduk di sebelah si isteri. Iman sedikit tersentak. “Iman fikir ape ni. Abang cakap dengan Iman, Iman diam aje,” sedikit risau dengan tingkah Iman pagi itu. Semakin kalut dia apabila tiba-tiba air mata mengalir di pipi Iman. Pilu dia melihat air mata yang mengalir itu. Pantas jarinya mengusap pipi itu, menghilangkan kesan air mata.

Tindakan suaminya itu membuatkan Iman semakin sebak. Lantas Iman memeluk suaminya erat-erat. Air mata yang mengalir dibiarkan. Tangan Adnan masih mengusap-usap belakang Iman. Memujuk. Tingkah Iman itu menerbitkan tanda tanya di hati Adnan. Dibiarkan sahaja dahulu. Seketika kemudian Iman kembali tenang. Adnan menghulurkan tisu untuk Iman.

“Okey, sekarang boleh beritahu abang ape yang buat Iman sebak sangat ni?” tanyanya berhati-hati pada Iman yang tertunduk di hadapannya. Dagu Iman dicapai dan diangkat supaya memandangnya. Air mata masih lagi mengalir walaupun tidak selebat tadi. “Iman marahkan abang ye. Iman marah abang usik Iman tadi?” Iman hanya mengeleng dengan pertanyaan suaminya.

“Habis tu, ape yang Iman sedihkan sangat ni?” Masih lembut lagi Adnan menyoal, tidak mahu mencalarkan perasaan Iman. “Abang tak payahla pergi ke seminar tu ye. Abang duduk aje kat rumah. Iman tak sedap hati la,” beritahu Iman sambil memegang erat tangan suaminya.

Meletus ketawa Adnan dengan kata-kata Iman tu. tergeleng-geleng kepalanya. “Iman… Iman! Abang ingatkan ape la tadi. Buat abang risau aje. Kan abang dah beritahu, abang sebagai senior partner kena la pergi. Untung-untung boleh bawa bisnes masuk. Rata-rata yang datang nanti orang-orang yang terlibat dalam bidang kejuruteraan ni. Boleh exchange expertise lagi. Kan untung tu,” terang Adnan lembut sambil menuang air kosong ke dalam gelas isterinya. “Nah… minum ni,” dihulurnya gelas pada Iman.

Iman menyambut gelas huluran suaminya itu. Meneguknya habis. Dilihat suaminya sudah kembali di kepala meja menyambung suapan yang terhenti tadi. “Itu Iman tahu. Tapi bukannya wajib pun abang kena pergi. Abang suruhla staf-staf lain yang pergi. Bukannya dekat tu bang. Johor! Jauh tu. Abang tak kesiankan Iman ke. Tinggal sorang-sorang kat rumah ni,” rayu Iman lagi. Dia bangun dan memeluk lembut leher suaminya dari belakang. Adnan meletakkan cawannya. Sedikit pelik dia dengan tingkah Iman pagi ni. Selalunya apabila dia hendak pergi ke mana-mana tidak pernah Iman membuat perangai seperti pagi ni. Semalam elok saja Iman mengemas pakaian yang hendak dibawanya.

Tangan Iman dicapai dan tubuh Iman dibawa ke depan. Di dudukkan di atas pehanya. “Hei… sayang abang ni kenapa? Cuba pandang abang,” pujuknya lembut pada Iman yang sedang menunduk. Iman tidak mengendahkan pujukan suaminya itu. Jemarinya masih lagi bermain dengan tie dipakai Adnan. Satu kucupan di pipi membuatkan wajah Iman terangkat. Suaminya tersenyum memandang namun, wajahnya masih cemberut.

“Abang memang tak sayangkan Iman,” ujarnya membuat kesimpulan. Tersentak Adnan mendengar tuduhan Iman itu. Tak sangka sampai macam itu sekali Iman menpersoalkan kasih sayangnya. Tangan Iman yang masih memegang tie dicapai dan dibawa ke dadanya. “Iman cuba rasa degupan jantung abang ni. Degupan jantung ini milik Iman seorang saje tau. Hanya milik Nur Iman Insyiqah. Kalau Iman nak tau, jantung abang ni sentiasa menyebut nama Iman. Tak pernah sesaat pun ia lupakan Iman. Iman kena ingat tu,” terangnya panjang lebar. Lirih dengan tuduhan sang isteri.

Iman sayu mendengar kata-kata suaminya itu. Dia tahu dia tak patut mempersoalkan kasih sayang suaminya namun dia sudah habis daya untuk menghalang suaminya dari pergi. Entah mengapa dia takut untuk melepaskan suaminya pergi pagi itu. Seakan-akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Dia tak tahu macam mana lagi nak fahamkan suaminya dengan rasa hatinya itu.

Dicapai tangan suaminya sebelum mengucupnya lama. “Maafkan Iman. Iman tak patut cakap macam tu tadi. Iman sayangkan abang,” dirangkul suaminya erat.

“Abang pun sayangkan Iman. Jangan fikir bukan-bukan lagi. Abang pergi bukannya lama pun. Tiga hari aje. Pejam celik aje abang dah balik nanti. Okey?” Pujuknya lagi bila Iman melepaskan rangkulan di lehernya. “Lagipun, abang bukannya pergi sorang. Abang pergi dengan Yazid dan Leong. Sayang jangan risau ye,” pujuknya menenangkan emosi si isteri. “Tadi cakap abang macam budak-budak. Sayang pun ape kurangnya. Merajuk macam budak-budak jugak,” ujarnya lagi sambil memicit hidung mancung isterinya lembut. Mengekek ketawa Iman. Melihat Iman sudah boleh ketawa, hati Adnan senang kembali. Nasib baik tidak panjang rajuknya kali ni. ‘Iman… Iman,’ hatinya berbicara sendiri.

Iman tiba-tiba mengucup bibir suaminya. Lama. Suasana terasa hening seiring dengan perlakuan suami isteri itu. Sehinggalah bunyi hon dari luar mematikan suasana romantis antara mereka. Berpandangan seketika sebelum kedua-duanya menunduk melihat jam tangan di tangan Adnan. “Hmm… dah pukul 8:30. Mesti Yazid dan Leong tu,” ujar Adnan sebelum bangun dan menuju ke pintu rumah. Dibuka dan mengangkat tangan sekadar memberi isyarat tunggu. Iman pantas mengapai tisu di atas meja sebelum melangkah mendekati suaminya. Dihampiri sang suami yang sedang menyarung stoking.

Iman memerhatikan suaminya, tidak mahu sesaat pun lepas. Adnan berdiri, menunduk sedikit pada isteri yang masih memandangnya. Tersenyum. Dihulurkan tangan untuk bersalam tetapi tidak disambut Iman. Berkerut dahinya. Tanpa mengendahkan kerutan di dahi suaminya, Iman pantas mengelap bibir suaminya yang sedikit comot dengan kesan gincu sambil tersengih. Adnan yang menyedari sebab tindakan isterinya itu turut tersengih. Selesai mengelap kesan gincu, Iman memeluk suaminya. Pelukan itu dibalas erat oleh Adnan. Jika tadi Iman yang tak nak lepaskan dia pergi, kini dia pula yang merasakan sedemikian. Rasa sayang dan sedih nak melepaskan tubuh isterinya datang menghimpit.

Bunyi hon yang kedua membuatkan Adnan melepaskan juga pelukan pada isterinya itu. Iman mengemaskan sedikit baju kemeja suaminya yang sedikit renyuk. Tangan suaminya digapai dan dikucup lembut. Adnan mengucup lama dahi Iman. “Abang pergi dulu. Kunci rumah baik-baik. Kalau Iman nak pergi mana-mana abang izinkan. Asalkan jaga maruah Iman sebagai isteri abang,” pesannya lembut sambil jarinya bermain seketika di bibir mungil Iman. Iman hanya mengangguk.

Mereka beriringan ke pintu pagar. “Abang pergi dulu. Nanti dah sampai abang call Iman. Take care. Abang sayang Iman,” ujarnya sebelum masuk ke kereta yang sedia menunggu. “Iman pun sayangkan abang,” ucap Iman beserta lambaian. Iman masih berdiri di pintu pagar rumahnya sehinggalah kereta yang dinaiki suaminya hilang dari pandangan. Setelah memastikan pintu pagar dikunci, dia melangkah masuk ke rumah.

“Assalamualaikum Iman,” Iman menutaskan pandangan pada suara yang menegur. Senyuman terukir di bibir. “Waalaikumussalam, Kak Zah. Eh, awalnya jemur kain!” ujarnya pada jiran yang selalu ramah menegurnya.

“Nak kejar panas, Iman. Kenalah sidai awal-awal. Lagipun banyak ni. Tau ajelah budak-budak ni. Asyik salin baju aje kerjanya,” tutur Kak Zah ramah sambil tangannya laju menyidai kain yang penuh sebaldi tu. Iman tersenyum mengiakan kata-kata Kak Zah itu.

“Tadi akak nampak Adnan bawa beg pakaian, nak ke mana dia tu?” Tanya Kak Zah mengambil tahu. Tersenyum Iman dengan pertanyaan itu. Terasa menggebu rindu pada suaminya yang baru lima minit meninggalkan rumah.

“Abang kena attend seminar, akak. Kat Johor,” beritahu Iman jujur. “Oooo…. berapa lama tu?” tanya Kak Zah sambil terangguk-angguk. “Tiga hari akak,” balas Iman lagi. Membicarakan soal suaminya membuatkan Iman dilanda sebak tiba-tiba.

“Habis tu, Iman tinggal sorang-sorang la tiga hari ni ye?” Hanya anggukkan menjadi balasannya. “Kalau Iman takut tidur sorang-sorang, Iman datang la tidur kat rumah akak ni. Tak pun kalau Iman segan, akak bagi pinjam anak-anak akak buat teman Iman?” Cadang Kak Zah jujur. Iman tergelak mendengar cadangan Kak Zah itu. Tercenggang-cenggang Kak Zah dengan gelagat Iman. ‘Aku salah cakap ke?’ soalannya dalam hati.

Iman yang menyedari ketidaksopanannya cepat-cepat meminta maaf. “Maaf akak. Iman geli hati. Ade ke akak nak bagi pinjam anak-anak akak tu kat Iman,” berair sedikit matanya.

“Eh, kamu ni Iman ade aje nak kenakan akak pagi-pagi ni! Akak bagi pinjam sekejap aje. Siangnya bagi balik. Untung-untung kamu pinjam semua anak akak tu, bolehla malamnya akak ber-honeymoon dengan Abang Aziz kamu,” ujarnya sambil tergelak-gelak. Bersatu gelak ketawa mereka.

“Ala akak ape susah. Tak payah tunggu abang takde, kalau akak rasa nak ber-honeymoon dengan Abang Aziz, akak hantar aje budak-budak tu kat Iman. Iman tak kisah punye,” sambung Iman menambah keceriaan pagi itu.

“Hisy.. kamu ni Iman. Kalau akak hantar masa Adnan ade, akak pulak yang ganggu honeymoon kamu berdua,” ujarnya sambil tersengih. Kain sudah habis disidainya.

“Abang tak kisah la, akak. Abang tu suka budak-budak. Kalau dah berkumpul adiberadik kat rumah mama ke, ibu ke, dia la yang paling rajin melayan semua anak saudaranya,” beritahu Iman jujur. Kak Zah terangguk-angguk.

“Tapi tu lah, kami aje yang belum ade rezekinya,” sayu suara Iman mengundang simpati Kak Zah. “Sabar la Iman. Belum rezeki kamu. Entah-entah nanti dah dapat berderet-deret pulak. Macam Kak Zah ni. Sampai dah tak menang tangan,” pujuknya tergelak-gelak. Iman hanya tersenyum. Sedang leka berbual terdengar tangisan dari dalam rumah Kak Zah. Kedua-duanya serentak berpaling.

“Tu hero akak dah buat orkhestra dah. Akak masuk dulu ye. Ape akak kata tadi tu betul-betul tau. kalau nak pinjam cakap aje. Assalamualaikum!” Ujarnya sebelum masuk ke dalam rumah. Iman hanya mengangguk, menjawab salam dalam hati sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Berseorangan di rumah membuatkan Iman semakin merindui suaminya. Iman meliarkan pandangan ke segenap ruang rumahnya itu. Setiap ruang mempunyai cerita tersendiri. Setiap ruang mempunyai aura suaminya. Iman semakin jatuh cinta dengan suaminya. Seakan-akan terbayang suaminya di setiap ruang yang dipandang.

‘Tak boleh jadi ni. Baik aku kemas meja makan tadi,’ getus hatinya mengalihkan tumpuan pada perkara yang lebih penting. Iman melangkah ke meja makan. Pinggan sarapan dikumpul dan dibawa ke dapur. Melihat cawan suaminya yang masih bersisa, Iman menghabiskan air dengan melekapkan bibirnya pada kesan bibir suaminya pada cawan. Terasa seolah-olah bibirnya mengucup bibir suaminya. ‘Abang, Iman rindu kat abang,’ bisik hatinya hiba. Dalam kesayuannya itu, Iman terdengar sayup-sayup bunyi telefon bimbitnya.

……………………………………………………………………………………………………... .

Kereta yang dinaiki Adnan bergerak laju keluar dari Kuala Lumpur. Suasana di dalam kereta rancak dengan perbualan yang sesekali diselangi dengan gelak ketawa. Perbualan santai mengiringi perjalanan panjang mereka. Dengan segala persiapan telah sedia, Adnan tidak mahu terlalu menekan stafnya dengan perbualan yang berkisar tentang hal perniagaan.

Dalam kerancakkan perbualan mereka, entah mengapa hatinya tiba-tiba rindu pada si isteri yang belum sampai sehari ditinggalkan. Benarlah kata pepatah, sayangkan anak tangan tangankan, sayangkan isteri tinggal tinggalkan. Kini dia merasai kebenaran pepatah lama itu, rasa rindu mengebu di dalam hati. Pantas telefon bimbitnya dicapai. Nombor si isteri didail.

Tidak lama dia menunggu. Belum sempat caller ringtones I’m Yours tamat, panggilannya bersambut. Senyuman terukir di bibir. Salam yang diberi segera dibalas.

“Sayang buat ape tu?” Terus ditanyanya.

“Ayang tengah kemas meja. Abang, Iman rindu!” Iman merenggek manja. Tergelak Adnan mendengar renggekkan si isteri.

“Abang baru aje keluar tak sampai sehari lagi. Dah rindu dah?” Usik Adnan sedangkan hatinya berbisik hal yang sama. Sengaja bergurau dengan isterinya. Dapat dibayangkan bagaimana muncungnya Iman ketika itu.

“Abang memang. Iman aje yang rindukan dia. Memang abang tak sayang Iman,” tutur Iman berjauh hati. Serasa ingin menitis air matanya ketika itu.

“Iman.. Iman janganlah cakap macam tu. Abang sayangkan Iman,” sedikit gelabah Adnan bila Iman seakan merajuk dengan kata-katanya tadi. Niat di hati nak main-mainkan Iman tapi sekarang dia pula yang mengelabah. Memang silap percaturan dia kini. Sedikit berpeluh dia di dalam kereta yang dipasang aircond tahap maksimum itu.

Talian yang tiba-tiba senyap membuatkan Adnan semakin mengelabah. Sedikit terjerit dia memanggil Iman yang tiba-tiba senyap. Tidak dipedulikan Yazid dan Leong yang turut berada di dalam kereta yang sama.

“Iman… Iman, jangan buat abang macam ni. Abang minta maaf. Abang main-main aje tadi. Iman, please talk to me, sayang!” Risau Adnan dengan Iman yang bisu itu. Hampir menitik air matanya. Sudah hilang malunya bila hati dan perasaan Iman yang menjadi taruhan.

“Hehehe…” kedengaran tawa bergema di hujung talian. “Tula abang, nak main-mainkan Iman. Sekarang siapa yang gelabah?” Soal Iman bila tawanya reda.

“Ya Allah, Iman! Kenapa Iman buat abang macam ni. Sikit lagi abang nak kena heart attack tau,” tak henti-henti Adnan beristighfar bila sedar Iman hanya mempermainkannya. Menggeleng kepala dia. Yazid yang mendengar Adnan beristighfar berpandangan seketika dengan Leong melalui cermin pandang belakang. Leong hanya mengangkat bahu, tanda tidak mahu masuk campur dalam urusan bosnya itu.

Ketawa Iman mengurangkan debar di hati Adnan. Tidak sanggup lagi dia mempermainkan Iman. Iman terlalu kreatif dalam mengenakannya. Akhirnya dirinya yang akan dikenakan balik. Ketawa mereka bergabung. Yazid sekali lagi mengerling ke arah Leong. Leong hanya menggelengkan kepala. Bahasa mata dan isyarat badan memainkan peranan. Tidak dapat didengari dengan jelas butir bicara bosnya. Bukan niat nak mencuri dengar tapi dah kebetulan dalam kereta yang sama, nak tak nak terdengar juga.

“Abang kat sana nanti jangan nakal-nakal tau,” pesan Iman setelah lama berbual. Sedikit risau walaupun dia tahu suaminya itu tidak akan berbuat hal yang akan menguriskan hatinya.

“Abang ni nakal dengan Iman aje tau. Dengan orang lain tak ye,” gurau Adnan, membeli hati isterinya. Ketawa manja Iman kedengaran di hujung talian bergabung dengan tawa riang Adnan.

“Abang tau tak..”

“Tak tau,” pantas Adnan menjawab, mengenakan isterinya.

“Abang ni, Iman belum habis lagi cakap, dah jawab,” muncung Iman, sedar dirinya sudah dipermainkan suaminya. Ketawa galak Adnan bergema di telinga.

“Okey.. okey. Iman cakap, abang dengar,” pujuk Adnan sesudah reda tawanya.

“Tadi kan Kak Zah tawar Iman pinjam anak-anak dia. Buat peneman tidur malam sampai abang balik. Ade ke anak-anak boleh bagi pinjam macam tu,” adu Iman pada suaminya.

Adnan hanya ketawa mendengarnya. “Habis Iman cakap ape kat Kak Zah?” Soalnya balik.

“Iman cakaplah, mana boleh anak-anak bagi pinjam-pinjam macam tu. Macam budak-budak tu barang pulak. Tahu ape Kak Zah jawab?” Soal Iman pada suaminya.

“Ape?” Balasnya pantas.

“Kak Zah kata bagi peluang dia ber-honeymoon dengan suaminya sementara anak-anaknya tidur kat rumah kita,” ujar Iman dalam ketawanya. Hanya ketawa kedengaran.

“Habis tu Iman macam mana malam ni? Nak ambik budak-budak tu tidur rumah kita ke?”

“Tak tau lagilah abang. Tengoklah macam mana nanti. Tapi kesian juga dekat Kak Zah tu, asyik duduk jaga anak-anak. Kalau Iman ajak anak-anak dia datang rumah malam ni, bolehlah dia rehat sekejap,” balas Iman dalam ketidakpastian.

“Abang tak kisah. Ada budak-budak tu boleh temankan Iman. Taklah abang kat sini risau sangat,” Adnan memberi kata putusnya.

“Okeylah abang, nanti Iman bagitau kat Kak Zah. Kata Iman nak pinjam anak-anak dia malam ni,”

“Ermm, okeylah kalau dah macam tu. Iman jaga diri baik-baik tau. Nanti dah sampai abang call lagi. Love you sayang,” Adnan mengundur diri.

“Love you too abang. Take care tau,” balas Iman seketika kemudian sebelum menamatkan panggilan.

Adnan masih lagi membelek-belek telefon bimbitnya walaupun Iman sudah lama menamatkan perbualannya. Senyuman masih lagi bergayut di bibir. Yazid yang sedang memandu perasaan senyuman yang masih lagi terukir di bibir Adnan turut tersengih sama. ‘Payah betul kalau dah mabuk asmara ni. Tenat,’ bisiknya tersenyum. Leong yang duduk di belakang sempat mengerling tingkah temannya itu turut tersenyum.

“Aii, Encik Adnan, kita baru aje keluar dari Kuala Lumpur. Dah rindu ke?” soal Yazid bergurau. Leong tersengih mendengar soalan temannya itu. Adnan membalas pandang pada Yazid dan Leong yang tersengih-sengih. Dia turut ikut tersengih. Dah macam iklan ubat gigi dah.

“Awak ni, macam tak tau aje. Saya ni mana pernah tinggalkan Iman jauh-jauh macam ni. Selalunya projek dan seminar diadakan di sekitar Kuala Lumpur aje. Entah kenapa kali dekat Johor dipilihnya,” rungut Adnan sejenak.

“Sepatutnya Encik Adnan tak payah attend seminar ni kan? Bukankah sepatutnya Encik Ismail yang pergi kali ni?” Leong pula bersuara.

“Memang sepatutnya Encik Ismail yang pergi sebab seminar dekat Putrajaya hari tu saya dah attend. Tapi last minutes Encik Ismail ada masalah sikit, saya terpaksa la ganti. Lagipun tak rugi, boleh kenal dengan engineer dari syarikat-syarikat lain kan. Boleh tambah contact kata orang,” terang Adnan panjang lebar. Dilihatnya Yazid dan Leong hanya mengganggukkan kepala.

………………………………………………………………………………………………………

Iman meletakkan kembali telefon bimbitnya di atas meja solek. Seusai berborak dengan suaminya tadi, Iman bergegas mengemas meja makan. Rasa melekit pula tubuhnya setelah habis mengemas rumah pagi itu. Memandangkan suaminya tiada di rumah, Iman malas hendak memasak hari ini. Tiada selera hendak makan sorang-sorang.

Iman mencapai tuala. Dia hendak mandi bagi menghilangkan rasa melekit di tubuhnya. ‘Bagus juga kalau dapat berendam sekejap ni,’ fikirnya. Pintu bilik air dibuka dan tub mandi ditujunya. Pili air dibuka. Sedikit minyak aromaterapi dititiskan ke dalam tub. Pili air ditutup bila air separuh penuh. Alunan muzik alam Kitaro berkumandang daripada laptopnya. Iman memang gemar menggunakan muzik alam itu bila dia inginkan bertenang. Dengan bekas-bekas lilin kecil dipasang memenuhi ruang bilik air dan bilik tidurnya, Iman berasa cukup tenang. Berendam memang menjadi aktiviti yang amat digemari Iman bila diri dirasakan tidak bermaya.

……………………………………………………………………………………………………... .

Sudah dua hari suaminya menghadiri seminar di Johor. Esok suaminya itu akan pulang. Mungkin malam sampainya kalau ikut apa yang suaminya beritahu semasa mereka berbual tadi. Ucapan rindu sentiasa meniti di bibir bila berjauhan begini. Semalam Iman meminjam anak-anak Kak Zah sebagai peneman tidurnya. Riuh rumah itu dengan gelak ketawa mereka. Ajakkan mama untuk tidur di rumahnya ditolak dengan baik. Tidak mahu mama berkecil hati, Iman meluangkan satu hari di rumah mamanya. Kebetulan semua adik-beradik suaminya ada, Iman tambah seronok. Hilang sebentar rindu pada suami tersayang.

Tapi malam ini, Iman tiba-tiba menjadi rindu pada suaminya padahal mereka baru sahaja berbual selepas Isyak tadi. Entah kenapa rasa tidak sedap hati berbolak-balik di dalam hatinya. Tidak mahu melayan perasaan itu, Iman bangun mengambil air sembahyang. Sempat dia melirik pada jam. Tepat pukul 9:15 malam. Awal lagi.

Iman mengerjakan sembahyang sunat Hajat, Tasbih dan Istikharah meminta ditenangkan hati serta meminta petunjuk dari Allah S.W.T. Disambung dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Semoga hatinya bisa tenang selepas ini. Seusai dia menghabiskan bacaan surah An-Nisa, telefon bimbitnya berbunyi nyaring.

Dicapainya telefon yang berada di atas katil itu. ‘Siapa ni? Nombor aje naik,’ dalam kehairanan dia tetap menekan punat hijau.

“Assalaimmualaikum, Puan Iman?” Suara asing memberi salam.

“Waalaikummussalam. Ye saya bercakap. Siapa ni?” Iman pantas bertanya. Saat itu hatinya berdebar hebat. Rasa tidak sedap hati tadi kembali.

“Saya Yazid. Staf suami puan, Encik Adnan Iskandar,” balas suara tadi. Iman dapat mengesan nada cemas lelaki itu.

“Ye, kenapa ni Encik Yazid. Ada ape-ape ke yang berlaku pada suami saya?” Soal Iman pantas. Cuba menarik nafas setenang mungkin.

“Saya harap puan dapat bertenang dan bersabar dengan ape yang saya nak beritahu ni,” sedikit putus-putus suaranya. Iman semakin berdebar. Kemungkinan yang bermain di fikirannya cuba ditolak ke tepi.

“Kenapa dengan suami saya. Cepat cakap!” Semakin mendesak Iman hendak mengetahui berita suaminya.

“Suami puan kemalangan. Dilanggar kereta masa nak melintas jalan,” Iman meraung mendengar perkhabaran itu. Beristighfar dia. Perkataan seterusnya yang diucapkan olah pemanggil tidak didengarinya. Suara di hujung talian masih memujuk.

“Di.. di mana suami saya sekarang?” Tanya Iman setelah bertenang. Dia cuba memujuk hati.

“Encik Adnan telah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah, puan. Doktor tengah menyelamatkan dia sekarang,” terang Yazid sejelas mungkin.

“Ya Allah. Teruk ke keadaan suami saya tu, Yazid?” Tanya Iman cemas. Berharap.

“Saya kurang pasti puan. Doktor tak keluar lagi. Tapi doktor ade cakap nak berjumpa dengan ahli keluarga Encik Adnan,” beritahunya, serba-salah.

“Saya faham tapi saya tak mungkin akan sampai malam ni. Saya wakilkan awak dulu. Kalau ade apa-apa yang doktor beritahu, awak telefon saya,” pesan Iman.

“Baiklah puan,” balas Yazid sebelum memutuskan panggilan.

Iman pantas mendail nombor mamanya untuk memaklumkan berita tersebut. Bergegas dia menyalin pakaian dan mengemas pakaian yang hendak dibawa bila papanya meminta dia datang dahulu ke rumah mereka sebelum bertolak ke Johor.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Setengah jam kemudian Iman sampai di rumah mamanya. Kedatangannya disambut dengan pelukan dan tangisan hina mamanya. Iman cuba untuk tidak menitiskan air mata. Dia perlu kuat dan bertenang dalam berhadapan dengan situasi sekarang. Mereka berjalan beriringan menuju ke sofa. Namun, tangisan yang ditahan tumpah jua. Iman tidak kuat. Dia terlalu risaukan suaminya.

“Apa yang sebenarnya berlaku Iman? Papa tak jelas sangat tadi masa kamu telefon,” papanya yang tadi berbual di telefon bertanya.

Iman beralih pandang antara mama dan papanya. Menarik sedikit nafas. Air mata yang masih mengalir dikesat dengan tisu di tangan.

“Iman pun tak pasti mama, papa. Yazid, staf abang yang telefon bagitau. Katanya abang accident. Dilanggar kereta. Lepas tu dia bagitau Abang dah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah. Doktor bagitau nak jumpa ahli keluarga abang. Ape kita nak buat sekarang mama, papa?” Iman memandang papanya.

“Papa dah telefon adik papa kat Johor tu. Suruh dia pergi dulu kat hospital tu. Dapatkan berita pasal Adnan. InsyaAllah, Adnan tak ape-ape,” terang papanya, Dato’ Taufik. Riak resah cuba disembunyikan supaya tidak terkesan di mata isteri dan menantunya.

Iman mengangguk faham. “Habis takkan kita nak tunggu kat sini aje, abang? Hati saya risau sangat ni,” mamanya, Datin Suria mencelah. Esak tangis tadi terkawal sikit. Iman mengusap perlahan belakang mamanya.

“Kita nak buat macam mana lagi. Dia jauh kat Johor tu. Kalau bertolak sekarang pun, subuh nanti baru sampai. Baik kita tunggu dulu berita dari Tahar. Kalau perlu kita pergi, kita bertolak sekejap lagi. Saya dah suruh Pak Mat siapkan kereta tadi,” pujuk Dato’ Taufik lembut. Perlahan dia duduk di sisi isterinya. Dicapai tangan yang asyik menyapu air mata itu. Ditepuknya perlahan, meredakan keresahan.

“Ye mama, betul ape yang papa cakap tu. Iman pun risaukan abang tapi kalau kita kelam-kabut nanti tak pasal-pasal lain pula yang jadi. Sabar ye mama. Lagipun, Iman dah pesan dekat Yazid suruh telefon Iman kalau doktor ade cakap ape-ape,” pujuk Iman pula. Air matanya sudah tidak selebat tadi.

Telefon bimbit Dato’ Taufik yang berbunyi mematikan perbualan mereka. Pantas dijawabnya. Iman hanya memerhatikan papanya bercakap. Raut wajah papanya yang berubah-ubah mengundang resahnya kembali. Sesekali dilihat papanya menganggukkan kepala.

“Kita bertolak sekarang. Iman dah kemas pakaian ke? Kalau tak kita singgah rumah Iman on the way nanti,” arah Dato’ Taufik tegas memandang Iman. “Mak Mah... Mak Mah, tolong kemaskan pakaian saya dan datin. Kami nak ke Johor malam ni juga,” arahnya kemudian pada pembantu yang baru muncul. Mak Mah hanya mengangguk faham.

“Kenapa papa?” Soal Iman cemas.

“A’ah, kenapa ni bang?” Soal mamanya pula.

“Tahar bagitau doktor nak bedah Adnan malam ni juga. Ada darah beku di kepalanya. Saya dah wakilkan Tahar tandatangan kat borang. Nak tunggu kita tak sempat,” terang Dato’ Taufik memandang isteri dan menantunya.

Tangisan Datin Suria kembali deras. Iman hanya mampu beristighfar.

“Dah la Suria. Baik awak siap cepat-cepat. Lagi cepat kita bertolak, lagi cepat kita sampai nanti. Iman pula macam mana?” soalnya pada menantu yang masih tetap memujuk isterinya.

“Iman dah kemas baju semua. Ada dalam kereta tu,” Dato’ Taufik mengangguk. Dia mendekati isterinya.

“Suria, baik awak naik atas. Tukar baju semua. InsyaAllah, Adnan akan selamat. Kita sama-sama doakan dia ye?” pujuk Dato’ Taufik lagi. Datin Suria hanya mengangguk. Iman memimpin mamanya naik.

Sebaik sahaja kelibat isteri dan menantunya hilang, air mata yang ditahan sejak tadi menitis jua. Terduduk Dato’ Taufik. Dia berteleku di sofa.

“Dato’ tak ape-ape ke?” terdengar suara seseorang menyoal. Perlahan-lahan Dato’ Taufik mengangkat mukanya.

“Saya tak ape-ape Pak Mat. Cuma risaukan Adnan saje. Pak Mat dah siapkan kereta?” Ujarnya mengesat air mata.

“Dah Dato’. InsyaAllah Encik Adnan takkan ape-ape. Kita sama-samalah berdoa ye, Dato’,” tutur Pak Mat ikhlas.

“Mudah-mudahan Pat Mat. Kita terus bertolak bila datin turun nanti,” putus Dato’ Taufik. Pak Mat hanya mengangguk.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Adnan ditempatkan di ICU bagi mengawasi keadaannya. Setakat ini doktor belum dapat memberikan kata putus berkenaan dengan keadaanya yang sebenar. Ketika Iman dan keluarganya sampai pagi semalam, Adnan baru sahaja selesai dibedah. Dia sedang diusung keluar. Yazid dan Uncle Tahir sekeluarga menyambut mereka di luar bilik bedah itu. Bergetar jantung Iman melihat keadaan suaminya ketika itu. Tangisan bergema di ruang yang sunyi itu.

Iman hanya memerhati suaminya ditolak. “Bagaimana dengan anak saya doktor?” Soalan daripada papanya mengalihkan tumpuan Iman. Tumpuannya kini pada doktor yang merawat suaminya.

“Err... begini, pemeriksaan awal yang kami lakukan ketika pesakit tiba mendapati ada darah beku dalam kepalanya. Mungkin hasil daripada pelanggaran yang menimpa pesakit. Agak berbahaya jika tidak dikeluarkan segera. Sebab itu sebelum pembedahan tadi, saya ade meminta waris pesakit menandatangani borang kebenaran bedah demi untuk menyelamatkan pesakit. Alhamdullilah, darah beku dah dikeluarkan,” terang doktor tersebut sejelas mungkin.

Serentak ucapan Alhamdulliah bergema di bibir semua yang ada. “Tapi kenapa suami saya tak sedar lagi doktor?” Semua mata silih berganti memandang Iman dan doktor itu. Inginkan kepastian lagi.

“Begini puan, suami puan masih dalam pengaruh ubat bius. Sebab tu dia belum sedar lagi. Tapi pihak kami akan letakkan dia dalam wad ICU malam ni supaya senang kami mengawasi keadaannya. Jika pesakit stabil, awal pagi esok kami akan pindahkan dia ke wad biasa” terang doktor itu lagi sambil memandang setiap seorang yang ada di situ.

“Lagi satu, tangan pesakit patah. Selain itu hanya luka-luka kecil aje,” terang doktor itu lagi. Semua yang ada di situ hanya mengangguk.

“Baiklah, pasti semua dah penat. Apa kata semua balik dulu. Lagipun tiada apa lagi yang boleh dilakukan sekarang kecuali berdoa. Kami di sini akan mengawasi perkembangan pesakit. Kalau ade ape-ape, pihak kami akan maklumkan. Saya minta diri dulu,” ujar doktor tersebut mengundur diri.

Baru beberapa langkah, terdengar jeritan memanggilnya kembali. Pantas dia berpaling. Terkejut dia melihat isteri pesakit tadi melorot jatuh namun sempat disambut oleh mereka yang berada di situ.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Iman tidak sedar macam mana dia boleh berada di atas katil yang serupa katil hospital itu. Dia cuba bangun tapi kepalanya tiba-tiba pening. Dia terbaring kembali. Dia memicit-micit kepalanya. Cuba mengingati apa yang berlaku. Tiba-tiba, “Abang!” Terjerit dia bila mindanya sudah dapat mengingati apa yang berlaku.

Iman mengagahkan diri untuk bangun, serentak dengan itu pintu wad ditolak dari luar. Terjengul mama dan ibunya. Tersenyum.

“Iman dah bangun? Risau mama semalam bila Iman tiba-tiba pengsan,” ujar Datin Suria memandang Iman.

“Macam mana Iman boleh ade atas katil ni mama? Abang macam mana, dah sedar ke? Eh, Ibu bila sampai?” Bertalu-talu soalan daripada Iman.

“Ibu baru aje sampai dengan abah. Jumpa mama kat luar masa cari wad Adnan,” terang ibunya, Hajah Rokiah sambil mengusap rambut Iman lembut.

Iman hanya mengangguk sebelum mengalih pandang pada mamanya. Mengharapkan perkhabaran gembira.

Datin Suria tersenyum. “Adnan dah dipindah ke wad biasa. Doktor kata takde kompilasi. Hanya tunggu dia bangun aje,” Iman melafazkan syukur.

“Iman... Iman pengsan semalam. Kecoh sekejap kami. Nasib baik Doktor Raiyan ade lagi kat situ semalam,” terang Datin Suria pada Iman yang masih bingung dengan keadaannya.

“Doktor Raiyan?” Berkerut dahi Iman memikir siapa tu.

“Doktor Raiyan tu yang rawat Adnan semalam,” terang Datin Suria lagi. “Iman tahu tak yang Iman pregnant sekarang ni?” Sambung mamanya lagi. Tersenyum.

Iman yang masih memikirkan pasal suaminya tersentak. ‘Pregnant?’ Bulat mata Iman memandang mama dan ibunya silih berganti. Mereka berdua mengangguk berulang-kali. Mengiakan.

Perlahan-lahan tangan Iman mengusap lembut perutnya. “Iman pregnant mama, ibu? Betul ke ni?” Soal Iman tak percaya. Benih suaminya sedang bercambah di dalam rahimnya. ‘betulkah penantian dia dan suaminya kini dah berakhir?’ Soal Iman sendiri.

“Betul Iman, doktor dah sahkan. Baru nak masuk dua bulan. Iman tak sedar ke?” Soal ibunya pula apabila melihat Iman masih bingung. Iman hanya menggeleng dengan pertanyaan ibunya. Hajah Rokiah dan Datin Suria saling berpandangan. Seketika kemudian Iman mengukir senyum.

“Iman dah pregnant. Iman nak bagitau abang. Abang kat mana, mama?” Gegas Iman turun dari katil. Hajah Rokiah hanya menggeleng dengan telatah anaknya yang sedikit kelam kabut.

“Mama dan ibu datang ni pun nak bawa Iman pergi tengok Adnan la ni,” ujar Datin Suria tersenyum dengan telatah riang Iman. Sesungguhnya mereka semua terkejut bila Iman tiba-tiba pengsan semalam. Kejadian yang menimpa Adnan belum selesai kini Iman pula yang pengsan. Tetapi berita yang disampaikan kemudiannya, memberikan sedikit kegembiraan dikala hati rungsing dengan apa yang menimpa si anak. Iman mengandung. Berita yang sememangnya ditunggu oleh mereka semua. Sekarang hanya tunggu anaknya sedar sebelum keluarga mereka lengkap seperti dulu.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Adnan telah dipindahkan ke Damai Medical Centre setelah doktor mengesahkan bahawa suaminya stabil. Dato’ Taufik yang berkehendakkan demikian kerana lebih senang bagi mereka melawat suaminya di Kuala Lumpur. Sudah seminggu suaminya masih belum sedarkan diri. Namun, Iman masih belum berputus asa. Dia mengikut saranan doktor yang menggalakkan dia berbual dengan suaminya. Sambil memaut kemas jari suaminya, Iman mengucupnya satu-persatu.

“Abang, ni Iman, abang. Bila abang nak bangun ni? Iman tak sukalah abang asyik tidur aje macam ni. Iman nak abang bangun dan bisikkan kata cinta di telinga Iman. Iman rindu sangat nak dengar. Iman mahukan abang,” ujar Iman sambil mengelap-ngelap badan suaminya. Air mata yang mengalir dikesat. Sesekali matanya memandang wajah suaminya yang berkerut-kerut. Entah ape yang bermain di fikiran suaminya itu.

“Abang, Iman ade news nak share dengan abang ni tapi selagi abang tak bangun, Iman tak nak bagitau. Jadi kalau abang nak tahu ape news tu, abang kena buka mata dulu, okey,” Iman berbual-bual dengan suaminya

“Semua orang risaukan abang. Iman pun. Iman tahu abang dengar ape yang Iman cakapkan ni jadi abang kena bangun, kalau tak Iman tak nak cakap dengan abang lagi,” separuh mengugut tapi masih tiada respons. Iman merebahkan kepalanya di dada Adnan. Mendengar denyutan jantung yang beritma itu. Begitulah Iman sejak suaminya masih tidak sedarkan diri.

Adnan sedang berjalan ketika satu cahaya terang memancar di depannya. Silau pandangannya tetapi dia seperti terlihat biasan seseorang menghulurkan tangan padanya. Dia cuba mengejar tetapi biasan itu semakin menjauh. Dia berlari mengejar apabila tiba-tiba kakinya dia tersadung. Mengaduh dia. Dalam kesakitan itu, biasan tadi mendekat dan menghulur tangan. Dia pantas menyambut huluran tersebut. Dia bangun dan cuba melihat siapa disebalik biasan itu.

“Alhamdullilah, abang dah sedar. Mama, papa, ibu, abah... ” Iman memanggil ahli keluarganya yang sedang bercakap dengan doktor di luar. Mereka semua tergesa masuk. Semua mengucapkan syukur. Iman mengalihkan pandangan pada suaminya yang jelas kebingungan. Dia cuba memeluk suami tetapi Adnan pantas mengelak. Berubah riak muka Iman. Iman berpaling pada ahli keluarganya. Rata-rata terkejut dengan reaksi Adnan itu.

“Adnan... ” Datin Suria mencuba tetapi reaksi Adnan masih seperti tadi. Pantas dia berpaling pada Doktor Jalal yang merawat Adnan sejak seminggu yang lalu. “Doktor kenapa dengan anak saya ni?”

“Sabar datin. Macam ni lah. Beri saya masa periksa keadaan Adnan dulu. Minta semua tunggu di luar,” tegas doktor meminta kerjasama semua. Berat hati Iman nak melepaskan genggaman tangan suami sehinggalah dia ditarik ibunya. Adnan hanya memandang semua yang beransur keluar sebelum beralih pada tangannya. Dia seakan kenal dengan genggaman hangat itu tapi dia tidak ingat. Genggaman itu seolah-oleh memberikan dia harapan dan ketenangan.

“Adnan mengalami amnesia atau hilang ingatan,” melorot tubuh Iman dengan perkhabaran daripada Doktor Jalal apabila mereka dipanggil kembali ke dalam bilik. Nasib baik sempat dipegang oleh abahnya. Didudukkan di sofa. Ibunya, Hajah Rokiah pantas memeluk Iman. Cuba memberi kekuatan. Manakala, Datin Suria sudah teresak di bahu Dato’ Taufik. Adnan hanya memerhatikan setiap wajah yang jelas sedih dengan perkhabaran tadi. Matanya lama berhenti pada perempuan muda yang sedang dipujuk oleh seorang perempuan yang lebih berusia. ‘Siapa dia? Kenapa aku rasa hiba melihat tangisan perempuan itu?’ Soal Adnan sendirian. Ralit dia memandang perempuan itu sehinggakan dia turut merasakan kesedihan yang dirasai perempuan itu. ‘Pelik, aku tak kenal dengan perempuan tu tapi kenapa aku turut sedih bila dia menangis begitu,’ getus hatinya lagi. Perlahan-lahan dia meletakkan tangan ke dada. ‘Kenapa jantung aku seakan hilang rentak dengan hanya melihat dia saje. Siapa dia?’ Soalnya bertalu-talu tanpa mengalih sedikit pun pandangan pada wajah yang nyata menanggung seribu duka itu.

“Sememangnya saya sudah menjangka perkara ini bila saya meneliti fail Adnan dari Hospital Sultanah Aminah,” terang Doktor Jalal lagi bila keadaan semakin tenang. Semua menumpukan sepenuh perhatian pada penerangan selanjutnya daripada Doktor Jalal. Iman yang sudah tenang perlahan bangkit dibantu ibunya. Perlahan-lahan dia mendekati suaminya yang masih ralit memerhati dirinya. Terus dipeluknya tetapi kali ini tiada penolakkan daripada Adnan. Iman melepaskan semua kesedihan di dada suaminya. Adnan yang tergaman dengan tindakan perempuan muda itu tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya membiarkan. Jantungnya yang tadi hilang rentak semakin tenang. Pelik dia dengan keadaannya sekarang. Hanya dengan pelukan dia boleh setenang itu. Hangat tubuh perempuan itu menyenangkannya. Haruman semulajadi perempuan itu seakan-akan sebati dengan dirinya. Seperti pernah dihidunya sebelum ini. Tapi dia tidak ingat.

“Tapi... kenapa boleh jadi macam ni?” Soal Dato’ Taufik dengan penuh kesalan.

“Amnesia berlaku apabila satu bahagian otak manusia yang menyimpan memori mengalami gangguan secara tiba-tiba. Dalam kes Adnan ni, walaupun darah beku telah dikeluarkan tetapi kesan daripada hentakkan ketika kemalangan menyumbang pada perkara ini. Gegaran kecil pada otak boleh menjejaskan ingatannya. Sebab itu dia macam tak kenal semua yang ada di sini,” Terang Doktor Jalal panjang lebar.

“Jadi... berapa lama Adnan akan mengalami amnesia ni?” Tanya Dato’ Taufik lagi sambil memujuk isterinya. Hajah Rokiah dan Haji Sanusi memandang Adnan simpati.

“Saya tak boleh beri jaminan yang pasti. Mungkin sehari, sebulan ataupun seumur hidup,” jujur penerangan diberi.

“Ya Allah, anak aku,” Datin Suria kembali teresak.

“Ape yang boleh kami lakukan doktor?” Tanya Dato’ Taufik menenteramkan isterinya.

“Setakat ini belum ade lagi rawatan khusus untuk pesakit amnesia. Ape yang boleh saya katakan, sebagai orang Islam, kita banyakkan berdoa. Saya berharap amnesia yang dialami Adnan hanya sementara. InsyaAllah, dengan doa semua, Adnan akan sembuh,” saran Doktor Jalal memandang satu-persatu wajah mengharap di depannya. Sesungguhnya dia sebagai doktor telah berusaha sebaik mungkin, kini terserah pada Allah S.W.T. untuk menyembuhkan.

“Baiklah doktor. Terima kasih,” Dato’ Taufik berjabat tangan dengan doktor yang banyak membantu itu.

“Sama-sama. Kalau takde ape-ape lagi saya minta diri dulu. Lagi satu, tangan Adnan yang patah itu, sudah hampir pulih. Balutan di kepalanya akan dibuka bila luka tu kering,” ujarnya meminta diri bersama jururawat yang setia di sisi.

Datin Suria mengesat air matanya sebelum melangkah perlahan mendekati katil Adnan. Adnan hanya memandang mamanya mendekat. Iman melepaskan pelukannya. Memberi ruang kepada mama dan papanya. Dia menyertai ibu dan abahnya yang duduk di sofa. Matanya masih memandang pada suaminya. Memerhati. Mata Adnan beralih pandang antara perempuan muda yang memeluknya tadi dan wanita yang kini merapatinya.

Wanita yang tadinya menangis teresak-esak mendekati dia. Begitu juga dengan lelaki itu. Wanita itu bertanyakan sesuatu tetapi dia hanya menggeleng.

“Adnan ingat tak siapa ni?” Soal wanita itu sambil jarinya menunjuk tepat ke dadanya dan dada lelaki di sebelahnya. Adnan hanya menggeleng.

“Ni mama Adnan. Nama mama Suria dan ni pula papa Adnan, Taufik,” beritahu wanita yang menggelarkan dirinya mama sambil memandang lelaki yang dipanggil papa itu. Dia terpingga-pingga. ‘Mama dan papa aku. Tapi kenapa aku tak ingat,’ detiknya memandang sayu pada mama dan papanya.

“Ni mama dan ni papa,” ujarnya perlahan sambil menunjuk pada wanita dan lelaki itu. Mereka hanya mengangguk. Air mata Datin Suria menitis lagi. Sebak dia apabila anak sendiri tak ingat pada ibu yang telah melahirkannya. Dato’ Taufik mengusap perlahan bahu isterinya. Dia faham sebak yang bertandang di hati isterinya. Dia pun begitu juga.

“Nama saya ape?” Tanyanya setelah lama diam.

“Muhammad Adnan Iskandar bin Taufik, tapi kami semua panggil along, Adnan aje,” beritahu Dato’ Taufik. Dia faham dalam keadaan ini Adnan masih bingung dan ingatannya kosong, oleh itu dia perlu sabar dan cuba mengisi balik kekosongan itu dengan maklumat-maklumat yang penting.

“Muhammad Adnan Iskandar,” Adnan mengulang-ulang nama itu beberapa kali. Tersenyum dia apabila merasakan dirinya amat serasi dengan nama itu. Amat dekat.

Datin Suria duduk di sisi katil anaknya. Tangan yang bercalar itu digenggam. Dia tersenyum cuba untuk meredakan keadaan anaknya yang masih bingung. Sedikit demi sedikit kisah hidup anaknya itu disingkap.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Sudah hampir sebulan Adnan menghuni wad itu. Tangannya yang patah sudah hampir pulih. Sudah boleh digerakkan walaupun terhad. Sejak dia dipindahkan ke Damai Medical Centre ini, tidak putus-putus dia dikunjungi oleh ahli keluarga serta teman rapat dan teman sekerja. Walaupun dia masih tak dapat mengingati apa-apa namun semua yang melawat dilayannya sebaik mungkin. Namun dalam ramai-ramai yang datang entah kenapa kehadiran seorang perempuan muda yang dipanggil Iman sentiasa membuatnya tertunggu-tunggu. Puas dia memikirkan kaitan dirinya dengan perempuan itu tetapi bila dia mengerahkan otaknya berfikir, pasti dia sakit kepala.

Perempuan muda itu selalu datang menemaninya. Bercakap dengannya walaupun hanya perbualan satu hala kerana kebanyakan masa hanya perempuan itu yang bercakap. Dia hanya mendengar. Dia tidak tahu nak membalas apa. Perempuan itu tidak pernah berputus asa menarik minatnya bercakap tetapi dia masih tetap bisu. Dia bingung sebenarnya. Terpegun dengan kelembutannya sehingga membuatkan dia sering kelu. Senyuman perempuan itu menjadi igauan mimpinya setiap malam. Dia cuba bertanya siapa perempuan itu pada wanita yang selalu datang menjaganya, wanita yang mengelarkan dirinya mama tetapi saat hendak bertanya, dia tiba-tiba jadi segan. Malu sendiri. Dia tidak tahu kenapa dia jadi begitu sekali. Seingatnya mama dia ada memberitahu apa kaitan dirinya dengan perempuan muda itu tetapi dia lupa.

Pagi itu sekali lagi dia ternanti-nanti kedatangan perempuan muda itu. Selalunya pukul 8:30 pagi begini, kelibat perempuan itu akan muncul. Membawa bekalan untuk dia. Mereka akan bersarapan bersama. Dia selalu ternanti-nanti saat ini. Dia sudah duduk menunggu. Matanya asyik memaku pada pintu yang tidak bergerak-gerak sejak dari tadi. Sesekali dia melihat pada jam di dinding. Dadanya berdebar hebat.

‘Dah pukul 9:00 pagi ni, kenapa dia tak datang lagi,’ hatinya bertanya sendiri. Dia mengeluh sendiri. Disaat dia hampir putus asa, pintu ditolak dari luar. Bulat matanya memandang pada pintu yang terbuka. Senyuman pantas terukir di bibir. Namun dia hampa apabila bukan perempuan yang ditunggunya muncul. Sekali lagi dia mengeluh. Berubah terus air mukanya.

Datin Suria yang masuk, tersenyum apabila menyedari anaknya itu kecewa bukan Iman yang datang pagi ini.

“Assalammualaikum, anak mama ape khabar hari ni?” Ujarnya sambil meletakkan bekal yang dibawa di atas meja di tepi katil. Tangan pantas mengelus rambut anaknya lembut. Matanya sempat menangkap riak hampa pada air muka anak muda itu.

“Waalaikummussalam. Baik mama,” balasnya menyalami Datin Suria. Dia sudah boleh membahasakan mama dan papanya walaupun awal-awal dahulu agak kekok. Dia ingin bertanya pasal Iman tapi lidahnya kelu.

“Ermm... mama datang sorang aje ke?” Tanyanya berlapik padahal hati ingin bertanya tentang perempuan yang bernama Iman.

Terukir senyuman di bibir wanita yang bergaya itu bila mendengar pertanyaan daripada anaknya. “Tak lah, mama datang berdua. Angah tengah park kereta kat bawah. Nanti dia naik,” ujarnya lagi tidak mahu berterus-terang walaupun faham dengan pertanyaan anaknya itu.

Hati Adnan yang berlagu riang bila mendengar kata-kata mamanya kembali suram bila bukan Iman yang datang menemani mamanya. Dia hanya memerhatikan mamanya menbuka bekal yang dibawa. Entah kenapa pagi itu, tiba-tiba dia tidak berselera untuk menjamah makanan. Mindanya hanya mengingati Iman. Hanya Iman.

“Iman tak datang ke?” Entah kenapa persoalan yang difikirnya boleh terluah di bibir. Malu dia apabila perasaan mama memandang tepat ke arahnya.

“Hmm... boleh pun sebut nama Iman. Ingatkan dah keras lidah nak sebut nama Iman tu,” tersenyum Datin Suria dengan keadaan anaknya yang tiba-tiba gelabah itu. Adnan hanya tersengih. Tak tau nak balas apa.

“Iman tak dapat datang hari ni. Dia tak sihat tapi dia kirim bekal ni. Dia pesan suruh Adnan habiskan,” ujarnya sambil mengunjukkan bekal yang sudah terhidang.

“Iman tak sihat? Dia sakit ape mama?” Tanya Adnan lagi, cemas. Dia hanya memandang hidangan di depannya itu.

“Sakit biasa aje. Biasalah kalau dah jadi macam Iman tu. Alahan. Esok kamu dah nak discharge. Mungkin Iman datang esok. Nanti kamu tanyalah dia ye. Dah lah tu, makan dulu. Nanti kalau Iman tahu kamu tak nak makan, merajuk pula dia. Iman tu kalau merajuk payah nak dipujuk, kamu tau,” ugut Datin Suria pada anaknya yang jelas masih terpinga-pinga. Tersenyum dia apabila Adnan mula menyuap perlahan bubur yang disediakan Iman.

Pagi ini Iman muntah teruk, oleh itu Datin Suria memaksa dia berehat di rumah sahaja. Malah ibunya turut menyetujui apa yang diperkatakan oleh mertuanya itu. Dia rindukan suaminya. Dia pasti suaminya itu sedang menantikan kedatangan dia tetapi dia tidak larat. Mahu tidak mahu, Iman akur. Dia hanya berbaring di atas katil. Nasib baik ibunya masih belum pulang ke kampung, bolehlah menjadi peneman di rumah.

Setelah lama berbual dan memastikan keperluan anaknya sempurna, Datin Suria dan adik Adnan yang datang meminta diri.

“Mama dan Angah nak balik dulu ni. Tengahari nanti kami datang lagi. Sebelum tu, Iman pesan suruh bagi kamu album ni. Dia suruh kamu tengok, mana tahu ingatan kamu pulih,” ujar Datin Suria menghulurkan album cantik berenda putih pada Adnan.

“Mama balik dulu,” ujarnya menghulurkan tangan. Adnan pantas menyambut dan menyalaminya.

“Angah pun minta diri Along. Nanti Angah datang lagi,” adiknya pula yang bersalam dengannya. Adnan menghantar ahli keluarganya itu dengan pandangan mata. Dia sudah tidak sabar membuka album ditangannya.

Perkataan OUR WEDDING menarik minatnya. Dibuka album itu perlahan-lahan. Terserlah wajah perempuan yang menjadikan tidurnya tak lena kebelakangan ini di depan mata. Perempuan itu ayu berbaju kurung putih susu, tertunduk malu di atas katil. ‘Ooo... perempuan ni dah kahwin rupanya,’ rasa terkilan terbit di hatinya. Tetapi rasa ingin tahu siapa suami perempuan itu membuatkan tangannya terus membelek. Terserlah pula gambar seorang lelaki yang juga berbaju melayu putih susu lengkap bersampin sedang memegang tangan tok kadi. Tergaman dia sebentar. Bulat matanya merenung gambar itu. Pantas dia membelek helaian seterusnya. Lelaki yang sama sedang menunaikan sujud syukur. Dibelek lagi. Tangannya terhenti pada gambar lelaki itu sedang mengucup dahi Iman. Lama matanya merenung gambar itu. Rasa syahdu tiba-tiba hadir dalam diri.

“Ya Allah, Iman isteri aku rupanya,” ucapnya setelah lama terdiam. “Iman isteri aku. Aku suami Iman. Ya Allah... ” ujarnya lagi tidak percaya. Dibeleknya lagi gambar-gambar yang ada sehingga habis. Pelbagai gelagat Iman dan dia diperhatikan tanpa jemu. Tersenyum dia. Dibelek lagi album itu berulang kali sehingga puas.

‘Patutla aku rasa dekat sangat dengan Iman. Rupa-rupanya, Iman isteri aku,’ bisik hatinya gembira. Mata melekat pula pada gambar Iman tersenyum malu bila dia mengelap air mata isterinya yang mengalir selepas majlis pembatalan air sembahyang. Dia tersenyum mengelus gambar itu perlahan. Malam itu tidurnya lena memeluk album di dada. Tidak sabar menunggu esok.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Doktor Jalal sedang melakukan pemeriksaan pada Adnan ketika Iman dan keluarganya sampai. Mereka menunggu dengan sabar. Iman sesekali melirik pada suaminya yang sudah dibuka balutan di kepala dan tangan. Kelihatan hanya parut kering sahaja yang tinggal.

Adnan yang menyedari kelibat Iman memaku terus pandangannya pada perempuan itu. Hatinya berdebar hebat. Rasa seakan dirinya telah jatuh cinta ketika itu. Lima belas minit kemudian, Doktor Jalal selesai menjalankan pemeriksaannya. Semua menumpukan perhatian pada apa yang bakal diperkatanya oleh doktor itu. Iman mendekati suaminya. Mengenggam erat tangan itu. Adnan hanya membiarkan. Dia suka dengan genggaman itu. Genggaman yang serupa dalam mimpinya. Hangat dan tenang. Haruman Iman pagi itu juga menenangkannya.

“Macam mana doktor? Anak saya boleh discharge hari ni kan?” Pantas Dato Taufik bertanya.

“Alhamdullilah Dato’, Adnan dah pulih. Tangannya yang patah pun dah okey. Luka-luka yang lain pun dah kering. Cuma ingatan dia yang belum ada perubahan lagi. Tapi dia boleh discharge hari ni” terang Doktor Jalal jujur.

“Alhamdullilah,” hampir serentak semua bersuara. Gembira dengan perkhabaran itu. Iman terus berpaling pada suaminya, tersenyum dan terus mengucup lembut pipi suaminya itu.

“Alhamdullilah, abang dah boleh dischage. Kita balik rumah kita ye,” ujarnya gembira. Tidak dipedulikan Adnan yang tergaman dengan perbuatannya tadi. Perlahan-lahan Adnan memegang pipinya yang dicium Iman sebentar tadi. Tidak percaya walaupun semalam dia sudah boleh menerima hakikat yang Iman adalah isterinya.

“Kalau macam tu, biar papa uruskan semua prosedur keluar hospital ni. Lagi cepat lagi baik. Mari doktor,” ajak Dato’ Taufik. Mereka berdua keluar.

“Anak mama dah boleh keluar hospital dah. Ni nak balik rumah mana ni? Rumah kamu ke rumah mama?” Tanyanya pada Iman yang setia di sisi Adnan.

Iman memandang semua yang ada di situ sebelum mengalih pandangan pada suaminya. “Iman fikir baik dibawa abang balik ke rumah kami, mama. Lagipun kat rumah tu banyak kenangan kami. Senang Iman nak pulihkan ingatan abang,” ujar Iman menyatakan pendapatnya.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Kini sudah seminggu Adnan dibawa balik. Pada mula-mulanya, dia rmerasa janggal apabila melangkah masuk ke dalam rumah itu. Namun, dia rasa selesa dengan aura harmoni yang wujud di setiap ruang dalam rumah itu. Iman hanya membiarkan Adnan menjelajah setiap ruang untuk membiasakan suaminya dengan rumah mereka. Ibu dan abah Iman sudah pulang ke kampung setelah pasti keadaan Adnan sudah pulih manakala mama dan papanya melawat selang sehari. Kalau mereka tidak datang, Iman akan membawa dia ke rumah mama dan papanya. Semua yang dilakukan Iman itu adalah usahanya untuk memulihkan ingatan suaminya. Setiap hari tidak pernah putus mereka berdoa semoga disembuhkan kembali ingatan Adnan.

Hari pertama Adnan sampai di rumah, dia hanya tidur di bilik mereka tanpa berbuat apa-apa. Iman membiarkan saja suaminya itu berehat. Walaupun pada mulanya Adnan tidak mahu tidur sebilik dengan Iman, namun Iman mendesak. Kelat wajah Adnan menggelikan hati Iman.

“Abang kan suami Iman, kenapa pula abang nak kena tidur dalam bilik tetamu?” Tanya Iman bila Adnan menyuarakan pendapatnya. Adnan hanya mampu menggaru kepala.

“Saya segan la,” hanya itu alasan yang terfikir olehnya ketika itu. Iman tergelak dengan jawapan suaminya itu.

“Nak segan ape? Atau abang takut Iman buat ape-ape kat abang?” Ujar Iman sambil menaik-naikkan keningnya. Gaya nakalnya. Terkulat-kulat Adnan dengan pertanyaan Iman itu.

“Hehehe... Abang jangan risaula. Iman tak kacau abang. Iman promise,” Iman mengangkat tangan, lagak bersumpah dalam tawanya. Tersenyum Adnan dengan gelagat isterinya itu. Akhirnya mereka berdua tidur bersama malam itu dengan bantal peluk di tengah. Iman yang letak sebagai tanda dia bersungguh dengan apa yang dijanjikannya siang tadi. Tetapi apabila Adnan tersedar keesokkannya, dia terkejut melihat Iman lena tidur di atas lengannya manakala dia pula memeluk tubuh Iman. Entah bila bantal peluk dialihkan, dia tidak sedar. Akalnya mendesak dia mengalihkan tangan namun hatinya menolak. Akhirnya dia membiarkan sahaja dan begitulah keadaan mereka setiap malam selama seminggu ini. Dia sudah kalih dengan haruman Iman menemani malamnya. Dia selesa begitu.

Selama seminggu ini juga, Adnan dibentangkan dengan segala album yang mengandungi gambar mereka berdua. Itulah kerjanya dengan Iman setiap hari. Sambil membelek gambar, Iman akan menceritakan perihal setiap gambar tersebut. Walaupun reaksi Adnan negatif, Iman terus bercerita. Sedang asyik bercerita, wajah Iman tiba-tiba berubah pucat, terus dia bangun berlari ke arah dapur. Adnan yang tekun mendengar cerita dan lawak Iman terkejut. Pantas dia bangun mengekori. Dilihatnya Iman sedang terbongkok muntah. Tidak tahu hendak buat apa, Adnan hanya mengusap lembut belakang Iman. Beberapa ketika kemudian Iman membasuh mulut dan mukanya. Pucat mukanya mengundang gusar di hati Adnan. Dia tidak mahu Iman sakit, dia masih mahu bersama Iman. Tetapi kata-kata itu tidak terluah. Antara mereka, Iman yang lebih berani mengungkapkan kata-kata sayang. Sehinggakan kadang-kadang dia terkedu dengan gelagat Iman itu.

Melihatkan Iman yang tidak larat melangkah, Adnan mengangkat Iman dan dibaringkan di atas sofa. Iman masih lagi memejamkan mata sambil tangannya ligat memicit kepala. Perlahan-lahan tangan Iman dialih dan Adnan mula memicit kepala isterinya itu. Iman membuka mata. Tersenyum dia melihat wajah gusar Adnan. Memang Adnan belum diberitahu tentang kehamilannya itu. Iman melarang sesiapapun memberitahu Adnan. Biar dia sendiri yang beritahu berita itu.

“Iman sakit ape ni. Saya selalu aje lihat Iman muntah?” Tanya Adnan prihatin.

“Bukan saya tapi abang, a.b.a.n.g.! Kalau abang masih bersaya-saya dengan Iman, Iman tak nak bagitau abang,” ugut Iman geram dengan panggilan Adnan yang masih kekok itu. Muncung mulutnya. Dari hari pertama Adnan sedar sehinggalah sekarang, Iman dah cuba biasakan panggilan abang itu tetapi lidah Adnan kekok benar nak menyebutnya. Kali ini dia mesti paksa Adnan menggunakan panggilan itu.

Adnan tersengih dengan ugutan Iman itu. Walaupun masih belum dapat mengingati apa-apa tapi perangai Iman yang satu ini seakan lekat diingatannya. Iman akan merajuk bila permintaannya tidak dipenuhi dan bibirnya akan memuncung secara automatik. Iman nampak comel dengan reaksi begitu. Melihatkan suaminya yang tersengih, semakin panjang muncung Iman. Sergihan bertukar menjadi ketawa. Bukan Adnan tidak mahu membahasakan dirinya abang tapi dia masih belum dapat membiasakan diri lagi. Kekok.

“Baiklah saya... eh, abang minta maaf,” nampaknya Adnan terpaksa mengalah.

Iman tersengih dengan perubahan itu, bingkas dia bangun mencuim pipi si suami sebelum memeluknya erat. Tidak diperdulikan kepalanya yang masih pening. Dia gembira kerana akhirnya Adnan sudi merapatkan lagi jurang hubungan mereka. Walaupun suaminya itu mengalami amnesia tetapi sifatnya yang selalu mengalah dengan rajuk Iman masih tidak berubah. Itu yang membuatkan Iman gembira.

Iman menarik tubuh suami rapat sebelum mendaratkan tangan si suami di atas perutnya. “Anak abang sedang membesar dalam rahim Iman. Almost four month already,” beritahu Iman pada suaminya yang masih bingung.

Terlopong Adnan seketika sebelum bibirnya mengukir senyum. Barulah dia faham maksud mamanya di hospital tempoh hari. Dia terlupa terus hendak bertanya pada Iman berkenaan hal itu sehinggalah hari ini.

“A.. Abang tak tau nak cakap ape. Walaupun abang tak ingat ape-ape, hati abang ni seakan teruja dengan berita ni,” ujarnya meluahkan isi hati. Iman di sisi dipandang. Dilihatnya mata Iman berkaca-kaca.

“Hei.. kenapa ni?” Pujuknya. Iman hanya menggeleng sebelum memeluk suaminya erat.

“Abang tau tak. Sebelum abang kemalangan, kita selalu membincangkan hal anak ni. Dah lama kita tunggu tapi belum ade rezeki. Alhamdullilah, sekarang kita hanya tunggu masa dia lahir aje,” ujar Iman sebak. Dia memeluk kembali suaminya.

“Oh, lupa Iman nak bagitau abang. Tadi Encik Ismail dari office abang call. Dia cakap kalau abang dah sihat, abang boleh mulakan tugas bila-bila masa. Office abang terima abang seadanya,” beritahu Iman bila sebaknya reda. Dilihat suaminya itu terdiam.

“Abang, kenapa ni?”

“Abang takut abang tak mampu nak pikul tugas nanti. Abang bukan ingat ape-apepun,” luahnya khuatir.

“Abang pergi aje dulu. Biasakan dengan keadaan, buat perlahan-lahan. Memori yang hilang kita boleh belajar semula. Mane tau nanti abang boleh pulihkan balik ingatan abang tu,” pujuk Iman. Suaminya itu masih diam.

“Okey, macam ni. Esok Iman temankan abang. Lagipun esok Iman ade monthly check up. Iman temankan abang sebelum Iman pergi klinik. Macam mana?” Cadang Iman pada suaminya. Dilihat suaminya itu hanya menganggukkan kepala.

“Tapi sebelum tu, Iman rase nak makan laksa penang la abang,” renggek Iman manja. Kepalanya diletakkan di bahu suaminya. Tangannya pula mengosok perutnya perlahan.

“Oooo... Iman mengidam ye,” usik Adnan tersenyum. Tangannya juga mendarat perlahan di perut Iman. Terasa pergerakkan di situ. Tersenyum dia memandang Iman yang juga turut merasa pergerakkan itu tadi.

Ya ALLAH, aku bersyukur padaMu. Walaupun Kau hilangkan ingatanku tetapi Kau memberiku anugerah terindah ini. Terima kasih, Ya ALLAH,’ hatinya memuji-muji kebesaran ALLAH. ‘Abang sayang Iman,’ bisik hatinya lagi berbunga.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Perkembangan Adnan positif seiring dengan tumbesaran kandungan Iman. Alahan Iman berlanjutan sampailah bulan kelima. Sepanjang tempoh itu, Adnan sentiasa di sisi. Menyokong dan membantu Iman. Melayani dan memenuhi setiap keinginan Iman serta sabar menghadapi kerenah Iman yang semakin sensitif. Pernah satu malam Iman mengidam roti canai pada pukul 1 pagi, apabila Adnan menyuruhnya bersabar, Iman mula menangis teresak-esak bagaikan kanak-kanak kehilangan barang mainan kesayangan. Buru-buru Adnan menarik Iman ke kedai makan yang terdekat untuk mencari roti canai yang diidamkan Iman.

“Abang.. Abang bangunla,” Iman mengoncang-goncang tubuh suaminya kuat. Entah kenapa malam ni dia mengidamkan roti canai panas sampaikan terbawa-bawa dalam mimpi. Seakan-akan terasa kelazatan roti canai tersebut di tekaknya. Tubuh suaminya digerakkan lagi. Adnan yang nyenyak tidur terpisat-pisat bangun.

“Kenapa ni sayang, bangunkan Abang tengah-tengah malam macam ni?” soalnya sambil mengerling jam di dinding. ‘Hah... pukul 1 pagi,’ terbuntang matanya. Iman dipandang.

“Iman rasa nak makan roti canai la, abang. Jom la pergi cari kedai makan,” beritahu Iman sambil menarik-narik tangan suaminya yang masih mamai itu.

“Esok ajelah, Iman. Pagi-pagi esok abang pergi beli ye. Sekarang ni abang ngantuk sangat. Kita tidur dulu,” ditarik tubuh Iman supaya tidur kembali. Iman menolak.

“Tak nak, Iman nak malam ni jugak,” Iman mula teresak-esak. Tangis yang ditahan tadi melimpah jua. Dia terasa bila suaminya buat tak endah dengan permintaannya tadi. Perasaannya sukar di kawal ketika itu.

Adnan bingkas bangun. Sayu dia dengan keadaan Iman ketika itu. Air mata yang mengalir laju seolah-olah Iman menanggung kesakitan yang parah. Dia mengeluh.

“Okeylah, abang pergi beli sekarang. Iman tunggu dekat rumah aje ye,” pujuk Adnan mengelap air mata isterinya. Iman mengeleng-gelengkan kepala.

“Iman nak ikut. Iman nak makan panas-panas,” Iman pantas bangun dan menyarung sweaternya. Adnan hanya memerhati sebelum dia mengantikan kain pelikat dipakai dengan seluar trek. Ditarik tangan Iman menurutinya.

Adnan memerhatikan Iman yang sedang menikmati roti canai itu sehinggakan dia pun turut terliur. Dicapai roti canai dalam pinggan Iman tapi pantas tangannya itu ditepis Iman.

“Kalau abang nak makan jugak, abang order lain. Ini Iman punya,” Iman tersengih sambil tangannya mencarik-carik roti canai itu. Disuap dengan penuh kenikmatan. Sampai tertutup matanya dengan kelazatan rasa roti canai tersebut. Adnan mengeleng-gelengkan kepala dengan telatah Iman.

Setelah dapat ape yang diidamkannya, Iman menarik tangan suaminya pulang. Beriringan mereka menuju ke kereta.

“Dah okey dah. Kenyang?” Tanya Adnan pada Iman yang tersenyum-senyum.

“Dah. Kenyang sangat,” ujar Iman mengosok perutnya yang sudah nampak bentuknya. “Terima kasih, abang,” dicium pipi suaminya sebelum memeluk leher Adnan. Adnan tersenyum sebelum memulakan pemanduan pulang. Setiba di rumah, Iman terus menarik tangan suaminya menuju ke bilik mereka. Bilik yang menyimpan seribu satu rahsia mereka.

Adnan telah mula berkerja kembali walaupun pada mulanya suaminya kelihatan agak sukar memulakan kembali tugasnya di firma jurutera itu. Setiap hari ada rungutan daripada suaminya. Iman yang mendengar keluh kesah suaminya itu, memberikan kata-kata semangat bagi membakar lagi keyakinan suaminya. Kini dengan berkat dorongan dan sokongan daripada Iman, keluarga dan teman-teman sekerja, Adnan sudah semakin serasi dengan tugasnya. Sudah tiada keluhan lagi. Dia benar-benar seronok dengan tugasnya itu. Manakala hubungan Iman dan suaminya sudah semakin mesra. Mereka berdua sudah dapat menerima kenyataan, ingatan yang hilang itu tidak mungkin akan kembali dalam masa yang terdekat ini. Oleh itu, Iman dan Adnan sepakat mencipta kenangan yang baru. Ternyata kenangan yang baru ini memaniskan lagi rumahtangga mereka berdua.

Iman sentiasa dalam usahanya untuk memikat si suami. Setiap pagi, pasti ada tiga biji coklat berbentuk hati menyerikan pagi Adnan bila dia membuka mata. Bila ditanya, Iman kata itu melambangkan I Love You. Tak terkata dia. Sebagai balasan, setiap kali balik dari kerja, sekuntum bunga ros putih akan dihadiahkan pada Iman. Sejak mengetahui Iman memang sukakan bunga tersebut, Adnan tidak pernah culas melakukannya setiap hari. Senyuman dan gelak tawa Iman ketika menerima bunga tersebut membuatkan dia tak pernah jemu. Baginya saat Iman tersenyum dan ketawa adalah saat yang selalu ditunggu-tunggunya. Manakala rajuk dan marah Iman akan dielakkan. Walaupun kadang-kadang dia suka membuat Iman merajuk.

Kandungan Iman kini dah mencapai bulan ketujuh dan perubahan fizikalnya nampak jelas. Bagi Adnan, Iman semakin cantik dalam keadaannya begitu. Serinya semakin memikat dan memukau. Hari ini mereka berkunjung ke rumah mamanya. Datin Suria dan Dato’ Taufik akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat untuk Iman dan Adnan serentak dengan majlis pertunangan adik bongsu Adnan. Mereka sudah berkampung di situ sejak semalam lagi. Walaupun ingatan Adnan masih belum pulih sepenuhnya tetapi dia bahagia bila berada dikalangan keluarganya yang tidak jemu memberi kata semangat untuk dia meniti hari-hari, membina kenangan dan ingatan yang baru.

Iman yang sarat itu menyibukkan diri membantu apa yang patut walaupun puas ditegah oleh mama dan ibunya yang turut datang dari kampung semalam.

“Iman, buat ape tu? Kan mama dah larang. Tak payah buat ape-apepun. Pergi sana, berehat,” leter Datin Suria pada menantunya yang sibuk mengelap pinggan yang akan digunakan tengahari nanti. Iman hanya tersengih tidak mempedulikan leteran mamanya.

“Adnan... Ooo Adnan, mari sini ambil isteri kamu ni. Bawa dia ke depan!” Teriak Datin Suria memanggil Adnan yang sedang berbual dengan ahli keluarganya yang lain di ruang tamu. Tidak lama kemudian, suaminya menjengah di ruang dapur dengan riak cuak.

“Kenapa mama?” soalnya pantas. Memandang mamanya dan semua yang ada di situ.

“Ni ambik isteri kamu. Bawa dia naik ke bilik. Berehat. Mama tengok dari tadi tak berhenti buat kerja,” arah Datin Suria. Iman terus bangun dibantu suaminya. Datin Suria masih lagi membebel bila Iman dan Adnan keluar dari ruang dapur itu. Mungkin pening kepala dengan telatah menantunya yang tak reti duduk diam itu.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Malam itu usai majlis tahlil dan doa selamat, Iman berasa amat letih. Dia terus meminta diri untuk berehat di bilik. Niat hendak menolong telah ditolak awal-awal oleh ahli keluarganya yang lain. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik dipimpin Adnan.

“Abang pergi la makan. Iman tahu abang belum makan lagi kan? Tak payah temankan Iman dalam bilik ni,” gesa Iman pada suaminya yang enak berbaring. Jarinya mengelus rambut suaminya.

“Biar la abang temankan Iman sekejap. Lagipun hari ni tak sempat nak baring. Sibuk sangat. Kejap lagi abang turun makan, okey,” ujarnya mengiring memandang Iman yang turut berbaring. Iman hanya mengangguk.

“Iman rasa macam mana hari ni? Abang tengok tak duduk diam langsung,” tanya Adnan sambil tangannya mengusap lembut perut Iman. Terasa pergerakkan anaknya yang kuat menendang. Tersenyum dia.

“Penat sikit hari ni,” adu Iman tanpa membuka mata. Memang kebelakangan ini, dia cepat penat.

Okeylah, abang nak turun makan ni. Iman nak makan tak? Nanti abang bawa naik ke atas?” Tanya memandang Iman yang terbaring lesu. Iman hanya menggelengkan kepala. Sempat dikucup dahi isterinya sebelum turun.

Iman hampir melelapkan mata bila terasa ingin membuang air kecil. Kandungannya yang semakin membesar membuatkan dia kerap membuang air. Perlahan-lahan dia bangun. Kepalanya pening tiba-tiba. Berpusing bilik itu dirasakan. Dia duduk kembali sehinggalah rasa pening itu hilang. Iman cuba bangun lagi dan dengan langkah kecil dia menuju ke bilik air.

Iman baru hendak melangkah keluar dari bilik mandi apabila terasa ada cairan hangat mengalir menuruni betisnya. Dicapai tisu dan dilap cecair itu. DARAH. Darah merah pekat. Terkejut Iman. Dia beristighfar perlahan. Kakinya kaku di pintu bilik air. Tidak mampu bergerak. Namun, darah itu masih lagi mengalir laju. Bertompok-tompok di lantai bilik air. Dia perlu berbuat sesuatu jika tidak dia takut akan kehilangan anak ini. Iman menjerit meminta tolong beberapa kali sehinggalah ada seseorang membuka pintu dan terdengar jeritan, setelah itu pandangannya kelam.

“Ha... Adnan, Iman mana?” Adnan ditegur ibu mertuanya apabila dia menjengah di ruang dapur itu.

“Iman ade dalam bilik ibu. Dia penat,” beritahunya sambil mencapai pinggan untuk mencedok nasi.

“Elok la tu. Dia dah sarat macam tu tak elok lincah sangat. Eh, kamu baru nak makan ke?” Berkerut dahi Hajah Rokiah melihat menantunya membuka periuk satu persatu. Adnan hanya tersengih dengan pertanyaan itu.

“A’ah ibu. Tak sempat tadi,”

“Biar ibu cedokkan. Kamu duduk aje kat meja tu. Ibu ingat semua dah makan,” Hajah Rokiah pantas mencedok segala lauk dan nasi sebelum dihidangkan di atas meja.

“Terima kasih Ibu,” ucap Adnan berbahasa. Hajah Rokiah mengangguk sebelum berlalu dari situ. Dia baru nak mulakan suapan apabila sudu lauk terjatuh.

Adnan menunduk mengutip sudu yang jatuh di bawah meja itu tetapi semakin dicapai semakin menjauh jadinya. Akhirnya dia bertinggung menyusup masuk ke bawah meja. Hampir dicapai sudu itu apabila teriakkan daripada tingkat atas rumah mengejutkannya. Kepala spontan terhantuk meja yang keras itu. Mengaduh dia dengan hantukkan kuat tersebut.

“Aduh!” Kepala diusap perlahan. Terduduk dia di bawah meja itu.

Suasana yang tadinya rancak dengan suara orang berbual menjadi sunyi serta-merta. Jeritan minta tolong membuatkan semua bergegas menuju ke tingkat atas. Adnan yang masih lagi pening kesan hantukkan tadi perlahan-lahan bangun. Serasa dunianya berputar seketika. Tangannya ligat memicit kepala. Perlahan-lahan dia mula mengingati semula apa yang terjadi hampir lapan bulan lepas. Terduduk dia di atas kerusi. Tidak mampu berbuat apa-apa. Imbasan peristiwa yang datang membuatkan dia makin pening. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Iman!” Terus dia berlari naik ke atas. Terpaku dia seketika melihat tubuh Iman yang dipangku ibunya.

“Kenapa ni? Kenapa dengan Iman?” Soalnya cemas merapati tubuh isterinya.

“Masa Adik masuk tadi, Adik tengok Kak Iman dah terbaring,” beritahu adik bongsu Adnan cemas.

“Ya Allah darah, mama!” Adnan menjerit. Bagai baru menyedari apa yang berlaku, semua mata tertumpu pada darah pekat yang mengalir menuruni betis Iman.

“Cepat-cepat, kita bawa Iman ke hospital,” Datin Suria kalut. Adnan pantas mengangkat isterinya. Berhati-hati dia menuruni tangga. Debar di dada tak usah dikata. ‘Ya Allah selamatkanlah isteri dan anakku, Ya Allah!” Hatinya tak putus-putus berdoa keselamatan orang tersayang.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Iman terus dimasukkan ke dalam bilik kecemasan setibanya di hospital. Adnan yang menunggu di luar sudah tak tentu arah. Ahli keluarganya yang menyusul, merapati bilik kecemasan itu dengan penuh kegusaran. Masing-masing bertanyakan keadaan Iman. Adnan hanya mampu menggelengkan kepala. Penat berdiri, dia duduk. Bila duduk rasa tak kena, dia bangun berdiri. Serba tidak kena dirasakan saat ini. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bersolat, meminta perlindungan daripada Allah S.W.T.

“Kamu nak ke mana tu, Adnan?” Datin Suria pantas menyoal bila melihat anaknya mengatur langkah meninggalkan mereka. Semua memandang ke arah Adnan.

“Saya nak pergi ke surau, mama,” terangnya memandang semua yang ada.

“Kami nak pergi juga,” Hajah Rokiah dan Haji Sanusi pantas mengatur langkah mengikuti Adnan.

“Abang kalau nak pergi juga, pergilah. Biar saya sorang saje tunggu kat sini. Kalau semua pergi, takut nanti ade ape-ape,” ujar Datin Suria sebak.

“Takpela, Abang temankan Suria kat sini,” Dato’ Taufik duduk memeluk bahu isterinya.

Di surau, Adnan dan keluarganya yang lain khusyuk menadah tangan memohon keselamatan Iman.

“Ya Allah, Ya Tuhanku. Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Segala puji hanya bagiMu, Ya Allah. Kau selamatkanlah isteriku. Aku masih perlukan dirinya, Ya Allah. Kau Selamatkanlah anakku, Ya Allah. Aku masih belum sempat melihat dirinya lagi. Ya Allah, apepun yang berlaku selepas ini aku berserah padaMu,Ya Allah. Amin Ya Rabbi Alamin,” menitis air mata Adnan mengungkapkan doa kesejahteraan buat isteri dan anak yang sedang bertarung nyawa.

Pintu bilik kecemasan yang terbuka mengejutkan Dato Taufik dan Datin Suria yang sedang membaca surah Yassin. Pantas mereka berdiri.

“Pak cik dan Mak cik ni ahli keluarga pesakit ke?” Soal doktor itu.

“Ya, kami keluarga Iman. Macam mana dengan keadaan Iman sekarang?” Laju Datin Suria menyoal. Dato Taufik memeluk isterinya erat.

“Keadaan Puan Iman agak kritikal sekarang. Dia mengalami tumpah darah. Saya terpaksa menjalankan pembedahan secepat mungkin untuk menyelamat Puan Iman dan bayi di dalam kandungannya. Jadi, saya perlukan keluarganya atau lebih baik lagi suami Puan Iman untuk menandatangani borang kebenaran. Boleh saya bercakap dengan suami Puan Iman?” Terang doktor tersebut memandang tepat keluarga pesakit itu. Dia perlu keputusan. Setiap masa yang berlalu, semakin parah keadaan pesakit.

“Ya Allah, Abang... Iman abang,” Datin Suria sudah mengonggoi sedih di dada suaminya. Dato’ Taufik mengusap lembut belakang isterinya.

“Sabar Suria, sabar... Suaminya pergi ke surau tadi doktor. Ha, tu dia dah balik!” Ujar Dato’ Taufik menunding pada Adnan yang berjalan laju ke arah mereka. Di belakangnya, ibu dan bapa Iman.

“Kenapa ni, mama? Papa?” Adnan cemas melihat mamanya yang menangis.

“Encik ni suami Puan Iman?” Soal doktor itu lagi. Memandang lelaki yang kelihatan agak kusut itu.

“Ya, saya suami Iman. Kenapa dengan isteri saya, Doktor Intan?” matanya mengerling pada tag nama doktor itu.

“Err.. Puan Iman mengalami tumpah darah. Saya perlu membedah dia segera untuk selamatkan nyawanya dan bayi dalam kandungannya. Oleh itu, saya perlukan tandatangan encik. Tapi sebelum itu saya perlu berterus-terang,” berhenti sekejap menarik nafas. Simpati dia memandang setiap seorang yang berendam air mata. Tapi etika profesional melarangnya menunjukkan rasa itu.

“Melihatkan keadaan Puan Iman sekarang ni, saya khuatir hanya salah seorang antara mereka saya boleh selamatkan. Encik perlu buat keputusan sekarang. Semakin kita menangguhkan pembedahan ini, semakin buruk kesannya kepada mereka berdua,” jujur dia memberi penjelasan. Bukan niat nak memberi tekanan tetapi menjadi tugasnya memberitahu kebenaran itu, walaupun ianya pahit.

“Ya Allah, Iman!” Datin Suria dan Hajah Rokiah serentak terjelepok di atas kerusi. Dato’ Taufik dan Haji Sanusi memujuk isteri masing-masing. Adnan tergaman dengan perkhabaran itu. Terduduk dia, menundukkan kepala. ‘Ya Allah, kenapa aku dipilih untuk membuat keputusan sesukar ini.”

“Encik..,” doktor itu menegur lagi. Lelaki itu masih lagi diam. Tunduk menekur lantai.

“Saya nak isteri saya selamat, doktor,” tegasnya. ‘Maafkan abang, sayang. Biarlah anak kita pergi. Abang masih perlukan Iman lagi,” bisik hatinya sebak. Air mata lelakinya gugur lagi. Dibiarkan tanpa malu. Dia memandang sekilas pada ahli keluarganya yang nyata sebak dengan perkhabaran doktor itu.

“Mama, papa... ibu, abah.. Adnan minta maaf. Adnan terpaksa pilih Iman. Walaupun anak itu amat kami nanti-nantikan selama ini tapi Adnan tak mampu kehilangan Iman. Adnan lebih sayangkan Iman dari anak tu. Maafkan Adnan,” ujarnya memandang mama dan papanya serta ibu dan abah mertuanya yang ada di situ.

“Abah faham, Adnan. Kamu berdua masih muda lagi. Boleh cuba lagi,” pujuk abah mertuanya, Haji Sanusi sambil menepuk-nepuk belakang Adnan. Dia terkilan tapi apa daya takde rezeki untuk dia menimang cucu yang ini. Isteri di sisi yang semakin kuat tangisan dipujuk lembut.

“Kami pun faham, Adnan. Janganlah kamu susah hati. Tiada siapa yang salahkan kamu dalam situasi begini,” giliran Dato’ Taufik pula memujuk anak lelakinya itu. Dia faham dalam keadaan begini Adnan tertekan.

“Baiklah. Kalau begitu, encik kena ikut saya isi borang kebenaran. Selepas ini, Puan Iman akan terus dibedah. Kami akan benarkan encik jumpa Puan Iman sebelum itu,” terang doktor itu lagi, mengarahkan Adnan mengikutnya.

Iman akan ditolak ke dalam bilik pembedahan. Adnan menemui Iman sebelum itu setelah dibenarkan oleh doktor. Pucat mukanya mengundang tangis Adnan. Dia mencapai tangan Iman yang sejuk itu. Dibawa ke pipi sebelum di kucupnya.

“Iman.. Iman, abang datang, sayang!” Panggilnya lembut. Iman membuka mata perlahan. Cuba mengukir senyum.

“A.. Abang, Iman minta maaf. Iman tak hati-hati. Maafkan Iman,” air mata Iman mengalir lesu. Adnan pantas mengelapnya.

“Tak, Iman tak salah. Abang tak salahkan sayang. Iman dengar ni. Iman kena kuat tau. Abang perlukan Iman,” air mata yang mengalir dibiarkan. Jari Iman mengelap pula air mata suaminya.

“I.. Iman nak abang janji dengan Iman. Jaga anak kita baik-baik ye. Hanya inilah tanda cinta Iman pada abang,” tangis Iman sebak. Dia mahu suaminya berjanji.

“Tak.. Abang hanya mahu Iman. Ape erti anak ini jika abang hilang Iman. Abang mahu Iman saje. Abang akan doakan Iman dan anak kita selamat,” Adnan mengucup dahi Iman lama. Protes Iman tidak dipedulikan. Apa yang penting sekarang adalah Iman.

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... Masa yang berdetik sememangnya tidak menunggu sesiapa. Iman ditempatkan di wad setelah hampir lima jam dibedah. Alhamdullilah, Iman dan anaknya dapat diselamatkan. Kesan ubat bius membuatkan Iman hanya tidur selepas itu. Adnan dan ahli keluarganya yang lain memanjat kesyukuran ke Hadrat Illahi. Anaknya sedang diawasi oleh doktor bagi mengelakkan sebarang kompilasi lanjutan.

Adnan setia menunggu Iman sedar. Keluarganya baru sahaja pulang setelah semalaman menunggu Iman selesai dibedah. Tangan Adnan tidak lepas mengenggam tangan Iman. Tidak dapat digambarkan perasaannya bila doktor memberitahu anak dan isterinya selamat.

Setelah lima jam menunggu selepas Iman ditolak ke dalam bilik pembedahan, lampu dipadamkan dan pintu terbuka menolak katil yang menempatkan Iman. Semua menerpa ke arah itu. Berdebar-debar.

“Iman... ” Adnan lebih dulu mencapai tangan Iman. Semua mengeruminya.

“Bagaimana dengan Iman, doktor?” Soal Hajah Rokiah tidak sabar. Wajah pucat Iman dipandang sayang. Yang lain menumpukan pada apa yang bakal diluahkan oleh doktor itu.

“Alhamdullilah, berkat doa semua Puan Iman dan bayinya selamat. Tapi kesan ubat bius dan kehilangan darah yang agak banyak membuatkan keadaannya agak lemah sekarang. Mungkin Puan Iman tidak akan sedar dalam masa terdekat ini. Tapi jangan risau, keadaan Puan Iman stabil,” maklumnya bila semua agak risau dengan keadaan Iman yang masih belum sedar.

“Itu bayinya. Tahniah, encik dapat anak lelaki. Dia sihat tapi kami perlu mengawasinya terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kompilasi kerana dia tidak cukup bulan. Tapi jangan risau, itu hanya prosedur biasa. Bayi dan isteri encik kuat,” ucap doktor itu memandang troli bayi yang ditolak jururawat. Ahli keluarga Adnan yang lain menyerbu pula troli bayi itu. Semua teruja dengan bayi comel yang baru mengenal dunia itu. Walaupun doktor menyatakan hanya salah seorang dapat diselamatkan tetapi takdir Allah S.W.T. mengatasi segala andaian.

Iman yang bergerak-gerak mengejutkan Adnan yang terlena. Terus dia menegakkan badan. Tersenyum memandang isteri yang mula membuka mata. Hampir semalaman Iman tidak sedarkan diri. Kata doktor itu kesan dari ubat bius dan kehilangan darah. Walaupun mengangguk faham tetapi hatinya tetap risau. Akhirnya Iman membuka mata jua.

“A... Abang, Iman dahaga,” agak sukar dia hendak bersuara kerana tekaknya agak kering. Adnan menyuakan air kosong dan straw agar senang Iman minum.

Iman tersenyum memandang suaminya. Kemudian dia teringat sesuatu. Tangannya meraba-raba perut yang sudah berubah bentuk itu. Cemas dia.

“Anak kita. Mana anak kita?” Soalnya cemas mengoncang tangan suaminya.

“Sabar Iman, sabar. Anak kita selamat. Kita dapat baby boy. Sekarang doktor tengah monitor dia,” Adnan menenangkan Iman yang hendak bangun itu. Dia tersenyum untuk menyakinkan Iman yang semuanya selamat. Setelah beberapa ketika, Iman sudah dapat bertenang. Itupun setelah beberapa kali Adnan mengulang ayat yang sama.

“Betul anak kita selamat?” ujarnya masih tidak yakin. Memandang tepat ke arah si suami. Di situ dia menyedari sesuatu tapi dia tidak berani menegur. Takut tersalah teka.

“Iya.. anak kita selamat. Nanti Iman dah kuat sikit, kita pergi tengok, okey?” Janji Adnan.

“Dah fikir nama untuk anak kita? Seingat abang dulu, Iman selalu cakap kalau dapat anak lelaki nak letak nama.. erm nama Muhammad Irfan Haiyan, kan?” Soalnya pada isteri yang masih terkebil-kebil memandang dirinya.

Iman pantas menekup mulutnya. ‘Macam mana suaminya boleh ingat nama yang mereka bincangkan bersama, melainkan... !’

“Abang dah ingat? Abang dah ingat balik semuanya?” Iman memandang suaminya yang masih tersenyum-senyum. Adnan mengangguk-angguk mengiakan. Gembira dia melihat wajah Iman yang sudah beransur merah kembali.

“Bila abang ingat balik ni?” Soal Iman lagi berusaha untuk bangun. Adnan membantu isterinya bangun dan meletakkan bantal untuk Iman bersandar. Sedikit berkerut Iman bila duduk begitu. Pasti kesan jahitan dari pembedahannya. Adnan lantas duduk di atas katil berhadapan dengan Iman.

“Semalam masa semua tengah kalut Iman jatuh dalam bilik air tu. Rasanya abang masa tu terhantuk meja masa nak ambil sudu yang jatuh,” ujarnya tersengih. Iman pantas memeluk suaminya. Patutlah tadi dia seakan ternampak Adnan yang lama, yang penuh dengan cinta di mata. Walaupun Adnan yang hilang ingatan masih lagi suaminya, yang juga menyayangi dirinya tetapi cahaya cinta di mata itu tidak sama. Iman bersyukur sangat-sangat. Kini keluarganya sudah lengkap. Bertimpa-timpa berita gembira sebaik sahaja sedar. Semakin erat pelukannya.

“Ada sesuatu yang abang nak bagitau Iman,” ujar Adnan tanpa melepaskan Iman. Diam Iman membuatkan dia menyambung kata. Tubuh Iman diusap-usap lembut

“Sebenarnya sebelum Iman dibedah, doktor suruh abang buat pilihan antara Iman dan bayi kita, abang buntu Iman! Akhirnya abang putuskan supaya doktor selamatkan Iman dulu... ” Iman terkejut. Diregangkan pelukan. Tajam dia memandang suaminya yang menunduk. Adnan mengangkat mukanya. Pandangan tajam Iman menikam hatinya. Iman marah.

“Kenapa abang pilih Iman? Sepatutnya abang pilih bayi kita. Kita kan dah lama tunggu anak itu,” air mata menitis laju. Adnan menyekanya pantas dan meraih Iman kembali ke dalam pelukannya. Diusap belakang Iman lembut.

“Sebab abang perlukan Iman. Abang nak ganti masa setahun yang abang hilang dari Iman walaupun abang ada di sisi Iman. Anak kita boleh usahakan lagi. Tapi Iman takde ganti. Abang hanya mahukan Iman,” Adnan makin mengeratkan pelukan bila dirasakan Iman membalas pelukannya.

“Tapi alhamdullilah, Allah itu Maha Penyayang. Dia selamatkan kedua-duanya. Abang bersyukur sangat,” menitis air mata kedua-duanya. Syukur dengan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.

“Iman pun mahukan abang. Abang juga takde ganti bagi Iman. Syukur, jodoh kita masih panjang,” dalam esak tangisnya Iman bersyukur. Petang itu bilik Iman gamat dengan kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai. Semua datang mengucapkan tahniah dengan kelahiran orang baru itu. Adnan tidak berenggang langsung dari Iman. Bila ditanya, dia akan kata dia nak ganti saat-saat dia ada dalam tiada dulu. Semua hanya ketawa.



... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Iman dibenarkan pulang tiga hari kemudian manakala bayinya menyusul seminggu selepas itu. Keluarga Iman mengadakan kenduri doa selamat dan kesyukuran. Masing-masing mendoakan semoga tiada lagi kejadian menyayat hati bisa menggugat keharmonian rumah tangga keluarga baru itu. Apabila diberitahu yang ingatan Adnan dah pulih, makin berganda keceriaan mereka sekeluarga. Bertimpa-timpa berita gembira yang diterima membuatkan mereka bersyukur.

Pagi minggu itu, ketika Iman sedang menghangatkan susu untuk Afnan, dia dapat melihat kelibat seseorang sedang mengendap di sebalik dinding dapur. Dia tersenyum. Dia sudah dapat mengagak. ‘Oh.. abang nak kenakan Iman ye. Nanti abang,’ Iman ketawa lagi.

Adnan semakin merapati isterinya. Dia yakin Iman belum menyedari kehadiran dia ketika itu. Tiba-tiba...

“Hah... . abang nak buat ape ni!” Iman pantas berpaling, mengejutkan suami. Adnan yang tidak bersedia jatuh terduduk. Tergamam dia. Niat hendak mengenakan isterinya terbalik mengena dirinya pula. Iman galak ketawa dengan reaksi si suami yang tidak disangka begitu sekali terkejutnya. Iman bertinggung di hadapan suaminya.

“Hehehe... tu lah nak kenakan Iman lagi. Tengok sekarang siapa yang terkena,” Iman memicit hidung suaminya. Masih lagi ketawa. Si suami pula menarik muka masam dan menyilang tangan. Tanda protes.

‘Aii.. suami aku dah pandai merajuk. Kalah Irfan kalau macam ni,’ semakin galak ketawa Iman dengan rajuk suaminya. Semakin masam pula muka Adnan. Dia ingat Iman akan memujuknya tapi sebaliknya pula semakin galak Iman ketawa.

“Okey.. okeylah, Iman minta maaf. Lain kali Iman tak buat gitu lagi,” pujuk Iman sambil memegang kedua-dua belah telinganya. Lagak memujuk anak kecil pula.

Adnan tidak dapat menahan ketawa dengan lagak comel Iman itu. “Abang maafkan Iman tapi dengan satu syarat,” ujarnya dengan senyuman nakal. Berkerut dahi Iman memandang suaminya.

“Apa syaratnya?” balas Iman pantas. Adnan tersengih-sengih sambil jarinya menunjuk-nunjuk dahi, kedua-dua mata, pipi, hidung dan akhir sekali bibirnya. Keningnya terangkat-angkat. Nakal.

Iman yang faham permintaan suaminya terlopong. “Abang kenakan Iman,” Iman bingkas bangun. Adnan turut bangun.

“Mana ade abang kenakan Iman. Betullah tu. Dah gitu syaratnya. Kalau Iman tak nak buat takpe. Abang tak kan maafkan Iman,” ugut Adnan berlalu dari situ. Iman pantas menyambar tangan suaminya. Mereka saling berhadapan kini. Adnan ternanti-nanti tindakan Iman. Iman pantas mengucup dahi suaminya, diikuti dengan mata kanan, mata kiri, pipi kanan, hidung dan pipi kiri. Adnan memeluk tubuh Iman dan semakin mengeratkan pelukan bila bibir isterinya hampir menyentuh bibirnya tetapi tangisan yang tiba-tiba nyaring dari bilik mereka menghentikan perlakuan mereka ketika itu. Masing-masing menoleh ke tingkat atas.

Adnan mengeluh. Iman tersengih.“Irfan ni perfect timing betul la. Kacau daun betul,” omel Adnan bila melihat Iman sudah mencapai botol susu.

“Abang ni dengan anak sendiri pun nak jealous,” Iman tersenyum. Sempat dia mengucup bibir suaminya sebelum melangkah pantas mendapatkan anaknya yang sudah menangis lapar itu. Adnan memerhatikan langkah Iman sebelum menurut.

Masuk ke dalam bilik mereka, kelihatan Iman sedang menyusukan Irfan. Walaupun Ifran meyusu badan tetapi Iman ganti-ganti dengan botol supaya senang mereka bergilir menyusu Irfan apabila malam. Susu yang dipam akan disimpan dalam peti dan akan dihangatkan jika mahu digunakan. Adnan yang mencadangkan aturannya begitu kerana tidak mahu Iman terlalu penat jika asyik bangun untuk menyusukan Irfan. Adnan mahu Iman cepat pulih dengan mendapatkan rehat yang cukup. Iman tidak terkata dengan keprihatinan suaminya itu. Sungguh dia bertuah mendapat Adnan Iskandar sebagai suami dan ayah kepada anaknya.

Adnan tersenyum pada Iman yang sedang menyusu Irfan di atas katil mereka. Di kucup ubun-ubun Iman sebelum mencuit pipi Irfan yang galak menyusu. Dia membaringkan badan di sebelah Irfan. Memerhati Irfan mengundang rasa bangga dan syukur sekaligus. Bangga kerana setelah hampir dua tahun berkahwin, Irfan lahir dalam keluarga kecil mereka. Lahir dari hasil kasih sayang dan cinta antara dia dan Iman. Irfan menjadi simbol buah cintanya dan Iman. Syukur kerana rahmat dan keajaiban Allah S.W.T. yang memanjangkan nyawa Irfan untuk terus bernafas dan menyerikan rumahtangga mereka.

Selesai menyusu, Adnan mengangkat Irfan dan menyedawakan anak kecil itu. Kemudian Irfan ditidurkan di dalam katil bayinya. Iman hanya memerhatikan tingkah Adnan. Hati Iman jatuh cinta lagi dengan suaminya. Adnan memang rajin membantunya dalam menguruskan Irfan dan semua ini menambahkan rasa sayangnya pada suami itu.

Adnan merapati Iman dan menarik sayang tubuh itu ke dalam pelukannya. Lama pelukan itu menghangatkan pagi yang dingin itu. Adnan dan Iman bersandar di kepala katil mereka dengan tubuh Iman bersandar di dada Adnan. Nyaman terasa bila berada dalam pelukan suaminya begitu.

“Iman tahu tak satu perkara yang buat abang rasa ralat sampai sekarang?” Adnan mengucup jari-jari Iman di dalam genggamannya.

“Apa?” Iman pula mengucup jari-jari suaminya itu.

“Abang takde masa Iman mengandungkan Irfan. Abang terlepas saat-saat Iman mengidam. Bangun tengah-tengah malam nak cari ape yang Iman idamkan. Tengok Irfan membesar dalam perut Iman,” ujar Adnan sayu. Pelukannya di tubuh Iman dieratkan. Bukan menidakkan hukum dan kejadian Allah S.W.T. cuma meluahkan rasa terkilan.

Iman yang mendengar turut sayu. “Abang kan ade di sisi Iman. Abang tak pernah tinggalkan Iman. Abang penuhi semua keinginan Iman. Lagipun, abang kan dah tengok rakaman sepanjang kehamilan Iman,” pujuk Iman berpaling memandang suaminya. Wajah itu keruh.

“Memang abang ade dengan Iman tapi ingatan masa abang amnesia dulu macam berbalam-balam. Tak jelas sangat,” masih belum reda kesayuan di hati Adnan. “Ha... abang tau cara ganti balik kenangan itu,” melintas idea di benaknya. Idea yang nakal. Iman pelik dengan tingkah suaminya yang tiba-tiba ceria itu. Terangkat keningnya menunggu apa yang ingin diluahkan suaminya.

“Iman... Iman kena mengandung sekali lagi,” mata Iman bulat memandang suaminya yang sedang tersengih-sengih setelah meluahkan idea bernasnya dan nakalnya itu.

“Abang... abang kenakan Iman,” jerit Iman kuat sambil mencubit lengan suaminya yang sedang galak ketawa itu. Serentak itu, Irfan merenggek-renggek nyaring. Terkejut dengan jeritan ibunya tadi. Iman dan Adnan serentak menerpa permata hati mereka itu. Dalam hati masing-masing berlagu girang mendoakan hubungan yang terjalin ini terus mekar seiring dengan peredaran masa.

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini