rss


Nashriq membelek-belek telefon bimbit ditangan. SMS yang diterima daripada Yasmin seminggu yang lalu dibaca berulang-kali tanpa jemu.

[Abang masih tak dapat lupakan Kak Syadah. Kalau abang perlukan Min, datang ambil Min kat rumah ibu. Maafkan Min, abang.]

Nashriq menghela nafas lembut. Laci meja ditarik perlahan. Sekeping gambar yang masih utuh warnanya ditatap lama. Gambar dirinya yang segak memakai baju melayu warna hijau lumut berserta tanjak di kepala dan lengkap dengan keris di tangan. Di sebelahnya pula seorang gadis manis tersenyum riang memakai songket tabur warna sedondon yang direka khas untuk hari bersejarah mereka.

Rasyadah Nur. Wanita yang telah menghuni hatinya sekian lama. Sejak dibangku sekolah sehinggalah masing-masing berjaya dalam pelajaran dan kareer masing-masing. Rasyadah minat benar menjadi seorang cikgu. Sejak mengenali gadis itu, itulah cita-cita yang diidamkan. Nashriq tidak pernah menghalang kemahuan Rasyadah lantaran gadisnya itu bukan anak orang yang senang. Rasyadah hanyalah gadis yang berasal daripada keluarga yang biasa-biasa. Ayahnya seorang pemandu teksi dan ibunya tidak bekerja. Adik-beradiknya tiga orang sahaja dan Rasyadah anak yang sulung. Sifat lemah-lembut ibunya itu turun pada Rasyadah. Sebab itulah Nashriq tergila-gilakannya. Nashriq agak baran. Tetapi Rasyadah penawarnya. Nashriq agak kasar dan Rasyadahlah pelembutnya.Sifat positif Rasyadah telah banyak mengikis sifat negatif yang ada dalam diri Nashriq. Kalau Nashriq marah-marah, Rasyadah diam. Kalau Nashriq mengamuk, Rasyadah tidak bersuara. Katanya, ‘malas layan orang gila!’Bila Nashriq selesai marah-marah, dia akan meminta Rasyadah memujuknya dan Rasyadah akan memujuk. Seolah-olah Rasyadah yang marahkan dia. Kemudian Nashriq akan tersenyum bahagia. Begitulah dia dengan Rasyadah. Saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

Indahnya kenangan itu, Syadah. Mungkinkah akan berulang kembali? Nashriq mengusap perlahan gambar itu. Ibaratnya sedang mengusapi Rasyadah sendiri. Dia terus-terusan berada dalam dunianya sendiri. Di bilik kerjanya inilah tempat dia mencurahkan rasa hati terhadap Rasyadah. Sejak berkahwin dengan Yasmin, dia selalu mencurahkan ketidakpuasan hatinya kepada Rasyadah di dalam bilik ini. Yasmin itu, Yasmin ini. Semuanya serba tak kena! Dan Rasyadahlah tempat dia mengadu dan berkongsi cerita. Hanya Rasyadah, wanita yang memahami isi hatiku!

Berkahwin dengan Yasmin tidak sesekali memudarkan ingatannya pada Rasyadah. Walau Rasyadah telah meninggalkannya hampir tiga tahun yang lalu tetapi kasih dan sayangnya tidak pernah beralih. Rasyadah bukan berniat meninggalkannya. Nashriq pasti. Suatu hari Rasyadah pasti kembali. Rasyadah akan kembali menjadikan hidup mereka ceria. Rasyadah akan mengubati segala kekecewaan yang melanda dirinya kini. Rasyadah akan mewarnai semula dunia mereka yang suram. Syadah… di mana kau, sayang? Abang rindu…
baliklah, Syadah…! Rintih Nashriq pilu.

Gambar di genggaman diperhatikan lagi. Hanya gambarlah kenangan yang tinggal untuk Nashriq terus mengingati wajah itu disamping dapat melepaskan rindu. Selepas Rasyadah pergi, hampir setahun hidupnya tidak terurus dan berantakan. Semuanya kucar-kacir. Tunggang-langgang. Dia hilang pedoman. Hilang hala tujuan. Melihatkan keadaan itu, emak meminta dia mengahwini Yasmin.Semoga kehadiran Yasmin dapat meluruskan kembali apa yang bengkok. Dia menurut walau bukan sepenuh hati.

Hasnina Yasmin. Nama yang secantik orangnya. Tetapi Yasmin bukan Rasyadah. Yasmin terlalu cantik berbanding Rasyadah. Kulitnya putih kemerahan. Rambut asli yang sedikit perang. Hidung yang mancung. Mata yang bundar dilengkapi dengan warna matanya yang hazel. Bibir yang merah bak delima merekah. Pipi yang licin dan gebu. Ah, semuanya cantik! Tetapi kenapa aku tidak tertawan?

Setahu Nashriq, Yasmin pernah mengharapkan kasihnya ketika usia mereka menginjak awal 20-an. Ibu dan bapa mereka berkawan. Ketika itu Nashriq sudah pun bersama Rasyadah. Entah apa yang ada pada dirinya menyebabkan Yasmin begitu tertarik pada dirinya. Namun Yasmin tidak pernah merampasnya daripada Rasyadah. Dia begitu menghormati hubungan Nashriq dengan Rasyadah.

Tidak ada yang salah tentang Yasmin. Cuma, cinta Nashriq tidak berpihak padanya. Sekurang-kurangnya pada masa ini. Setelah berkahwin, Nashriq tidak mengharapkan apa-apa daripada Yasmin. Dia juga tidak pernah mengganggu hidup Yasmin. Cuma, Yasmin yang kadang-kadang berlebihan dalam meminta haknya sebagai isteri. Yasmin selalu mempersoalkan tindakannya yang tidak melayaninya sebagai seorang teman hidupnya. Sarapan seorang diri, menonton tv eorang diri, ke pasar seorang diri. Malah tidurnya juga seorang diri. Yasmin beranggapan diadipinggirkan dan tidak dihiraukan. Mungkin benar. Ah, bukan mungkin lagi malahan memang benar. Nashriq hanya ada sekeping hati dan hati itu telah diberikan sepenuhnya pada Rasyadah.

Bila Rasyadah pergi, maka hatinya pergi bersama Rasyadah. Cintanya tidak pernah pudar pada Rasyadah. Baginya, Yasmin hanya memburukkan lagi keadaan dirinya yang sudah cukup menderita. Tambahan pula, Yasmin langsung tidak sama macam Rasyadah. Rasyadah gemar berbaju kurung dan memakai tudung. Yasmin pula sangat bergaya. Bila berada di rumah, Rasyadah gemar berbaju tipis dan seksi tetapi Yasmin lebih santai dengan t-shirt dan seluar palazzonya. Rasyadah gemar memakai lipstick di rumah namun Yasmin sekadar menyanggul rambutnya sahaja. Rasyadah suka pulang awal tetapi Yasmin akan pulang kerja selewat yang mungkin. Rasyadah sangat arif tentang makanan kegemarannya dan Yasmin pula, tidak semua masakannya enak. Kadang-kadang dia jarang memasak, bukan seperti Rasyadah yang selalu berada di dapur. Terlalu banyak kelebihan Rasyadah dan terlalu banyak kelemahan Yasmin. Bagaimana Nashriq mahu terima Yasmin seadanya? Bagaimana perasaan cinta itu mahu hadir, Min?

Nashriq bangun daripada kerusinya dan keluar menuju ke ruang tamu. Dilihatnya ke seluruh genap dan penjuru, masih kemas seperti seminggu yang lalu sebelum Yasmin keluar. Dia memandang ke arah potret perkahwinannya dengan Rasyadah yang masih tergantung kemas di salah satu dinding rumahnya. Cantiknya gadisku ini! Desis hati kecilnya. Dia menghampiri potret itu dan terus leka mengamatinya.

****
Seminggu datang lagi. Minggu ini, sudah dua minggu Yasmin tidak kembali. Rajuknya kali ini agak panjang. Emak sudah berkali-kali menelefonnya menyuruh mengambil Yasmin di rumah ibu bapanya.Nashriq cuba mengelak. Untuk apa Yasmin kembali? Dia tidak mengharapkan Yasmin kembali, dia mahu Rasyadah yang kembali. Tidakkah mak faham? Keadaan rumah kembali tidak teratur seperti sebelum kehadiran Yasmin. Pakaian kotor dan bersih berada di mana-mana sahaja. Stoking dan sapu tangan bertaburan. Kertas tisu, puntung rokok, majalah, suratkhabar sudah bercampur aduk. Pinggan mangkuk masih ada yang tidak berbasuh di dalam sinki. Bau usah cerita!

Nashriq mula rimas dengan keadaan ini. Pening dan mual melihatkan keadaan rumah yang tidak terurus. Azab rasanya. Tidak sesuai lagi kata-kata ‘Rumahku Syurgaku’ digunakan dalam keadaan ini. Dia mula rasa tidak stabil. Jiwanya rasa resah. Akalnya mula memproses benda yang bukan-bukan. Amarah mula menguasai diri. Dia marahkan Yasmin kerana membiarkan keadaan rumah jadi begini.

Selepas minggu ketiga, Yasmin kembali ke rumah mereka. Memang dia tidak bersedia lagi, tetapi ayah mertua sudah menyuruh. Nashriq tidak dating bekerja hampir seminggu. Yasmin tahu, penyakit lama Nashriq pasti datang kembali. Entah sakit apa, Yasmin tak pasti. Cuma dia tahu yang Nashriq pernah jadi begitu ketika kehilangan Kak Syadah suatu masa dahulu. Dia lebih suka menyendiri dan berada dalam dunia khayalan yang diciptanya sendiri.

Yasmin mencari-cari kelibat Nashriq. Menyesal pula tinggalkan suami bersendirian begitu. Keadaan rumah, usah dikata. Yasmin sudah menjangkakan semua ini. Emak mertuanya pernah menceritakan keadaan sebegini suatu masa dahulu. Mengucap panjang dia apabila melihatkan keadaan rumah yang macam tongkang pecah.

Yasmin masuk ke dalam bilik bacaan perlahan-lahan. Nashriq kelihatannya berbaring di atas sofa sambil memeluk sebuah bingkai gambar. Entah gambar siapa yang dipeluk agaknya. Hmm, pastilah gambar Kak Syadah! Mana pernah dia merindui aku? Dalam hidupnya, tak sudah-sudah dengan Kak Syadah. Api cemburu mula terasa. Hatinya tercalar. Hampir dua tahun perkahwinan, tak pernah sekali pun Nashriq merinduinya sebegitu. Malahan, di rumah mereka tiada satu pun potret perkahwinan mereka. Yang ada, cuma gambar-gambar Nashriq dan Kak Syadah sahaja.

Pernah terjadi pertengkaran disebabkan hal itu. Akhirnya Yasmin mengalah. Kerana itulah dia jarang berada di rumah. Kalau bekerja, pasti dia pulang lewat malam. Kalau hujung minggu, dia selalu akan mengajak Nashriq pulang ke rumah mama atau ibu. Tidak sanggup rasanya menghadap muka Kak Syadah hari-hari. Sudahlah kena pandang muka Kak Syadah di setiap ceruk, Nashriq pula setiap hari menyebut nama Kak Syadah. Seolah-olah Yasmin tunggul mati yang tidak diperlukan.

Di rumah yang besar ini, Yasmin tidak boleh berkongsi bilik dengan Nashriq. Katanya, bilik itu adalah kenangan dan memori terindah ketika bersama Kak Syadah. Dia tidak mahu adanya wanita lain sebagai pemisah mereka. Yasmin cuba bertahan. Sekiranya Nashriq berkeinginan, dia yang akan mencari Yasmin. Itu pun bila dia terlalu mengingati Kak Syadah. Boleh dikira dengan jari berapa kali mereka ‘bersama’. Lagipun, dia dating mencari aku kerana merindui Kak Syadah, bukan kerana dia inginkan aku!

Namun perkara terakhir yang membuatkan dia tidak dapat bertahan bila Nashriq membandingkan dirinya dengan Kak Syadah ketika di ranjang. Sungguh! Hilang sudah rasa sabarnya ketika itu. Maruah diri ibarat dipijak-pijak dan disepak sesuka hati. Esok pagi, tanpa pengetahuan Nashriq, Yasmin keluar daripada rumah mereka. Cukuplah hati dilukai setakat ini.

Tetapi bila ayah menelefon memberitahu tentang keadaan Nashriq, dia tidak sampai hati. Ah, perempuan! Mudah cair dengan lelaki yang dicintai. Walau dilukai beribu kali, tetapi tetap memaafkan dalam sekelip mata. Yasmin memerhatikan Nashriq dengan leka. Jambangnya hampir penuh. Rambutnya kusut masai. Yasmin mengeluh kecil. Entah berapa lama agaknya abang tidak membersihkan diri?

Dia memerhatikan sekeliling bilik itu. Merata-rata gambar Kak Syadah. Yasmin cuba menahan rasa rajuknya. Abang masih tak dapat lupakan Kak Syadah walau apa pun terjadi! Walaupun dia cuba menarik perhatian Nashriq dengan balik ke rumah ibu, namun Nashriq tidak pernah sekali pun menelefonnya. Jangan kata telefon, SMS pun tidak pernah.Benarlah hati Nashriq tidak mungkin dia miliki.

Dalam keluhan kecil, dia mengutip gambar-gambar Kak Syadah yang bertaburan di sana sini. Sambil mengemas, dia berfikir betapa beruntungnya Kak Syadah kerana mempunyai seorang lelaki yang sangat menyayangi dirinya. Bukan macam aku! Walau dapat berkahwin dengan lelaki yang sama, tetapi dihatinya hanya nama Kak Syadah sahaja.

"Hah! Baru ingat nak balik?!" sergah Nashriq tiba-tiba.

Yasmin berpaling. Dipamerkan senyuman kecil untuk suaminya.

"Ayah cakap abang dah seminggu tak pergi pejabat. Jadi ayah suruh Min balik tengok keadaan abang."

"Ohh… jadi sebab ayah yang suruhlah ya? Kalau ikutkan hati kau, tak nak balik kan? Nak merajuk lagi kan? Mengada-ngada!"

Yasmin tidak membalas. Malas hendak memanjangkan perkara ini. Dia terus menyusun buku-buku di rak buku tanpa mempedulikan kata-kata Nashriq yang tajam. Dia sudah biasa begini walaupun ini bukanlah sifatnya yang sebenar. Dia bukannya jenis yang terlalu lemah-lembut macam Kak Syadah. Mungkin kerana cintanya yang mendalam pada Nashriq menyebabkan dia beralah pada segala-galanya.

"Kau tahu tak, Syadah tu tak pernah tinggalkan rumah tanpa keizinan aku! Tapi kau ni, ikut suka kau je nak pergi mana-mana kau suka! Balik lewat malam! Kau sedar tak kau tu isteri aku?!" Kan betul? Nama Kak Syadah pasti masuk dalam setiap ayat yang dilemparkan Nashriq terhadapnya. Nashriq memang sangat suka membandingkan dirinya dengan Kak Syadah. Hatinya mula berasa panas. Dia terus mengemaskan bilik itu tanpa berkata apa-apa walau kolam mata sudah bergenang dan bila-bila  masa hujan akan turun.

Yasmin terus keluar daripada bilik itu tanpa mempedulikan Nashriq yang mengekori langkahnya ke dapur. Yasmin terkedu melihatkan keadaan dapur yang sangat teruk. Dengan bau busuknya lagi. Ish, teruknya nak berkemas!

"Kau tengok dapur ni! Aku ni ada isteri tapi tengoklah dapur rumah ni? Kalau setakat berkerjaya tapi tak tahu nak uruskan rumah, jangan berangan nak jadi isteri orang. Kenapa kau berangan nak jadi isteri aku hah?! Menyusahkan betul!"

Yasmin masih terus melakukan kerja-kerjanya tanpa menghiraukan Nashriq yang semakin menjadi-jadi dengan omelannya yang entah apa-apa. Sabar Min, sabar…

Setelah dapur siap diuruskan, Yasmin bergerak dari satu ruang ke satu ruang dan terus melakukan kerja mengemas tanpa rasa letih atau penat. Bukan tidak penat, tapi bebelan dan kata-kata ‘nasihat’ yang keluar dari mulut Nashriq yang mengekorinya dari tadi menyebabkan dia hilang rasa penat itu. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang ialah bersihkan dulu kandang tikus ni, kemudian dia ingin memasak.Apa yang dibebelkan Nashriq dia malas mahu melayan.

Ketika membuat keputusan untuk kembali ke rumah ini, dia nekad untuk memekakkan telinga dan membisukan saja lidahnya. Nashriq sendiri pernah membandingkan dirinya dengan Kak Syadah yang tidak menjawab bila dia membuat bising. Kak Syadah suka memasak, Kak Syadah suka bersolek di rumah, Kak Syadah tidak suka rumah yang kotor. Ah, aku pun sukakan rumah yang bersih! Cuma dulu, ada pembantu rumah yang buatkan.

"Abang nak makan apa?"

"Baru sekarang nak tanya? Kalau aku mati kebulur dalam rumah ni pun, kau ambil tahu ke?"

Yasmin menguatkan lagi kesabaran yang semakin tipis. Sudahlah sejak balik tadi dia tidak berhenti-henti mengemas, kini Nashriq seolah-olah sengaja mahu mencabar kesabarannya.

"Min masakkan abang ikan tenggiri, eh?" soal Yasmin seolah-olah tidak mendengar kata-kata pedas yang keluar daripada mulut Nashriq.

Melihatkan Nashriq yang hanya merenungnya tajam, Min menyambung soalannya. "Abang suka asam pedas ke, masak lemak?"

"Huh, dah berapa lama kau kahwin dengan aku? Takkan kau tak tahu apa yang aku suka makan? Kalau Syadah, tak payah susah-susah macam ni. Semuanya dia sediakan. Aku tinggal makan je, tau tak?"

Nama Kak Syadah lagi! Yasmin terus berpaling menghadap sinki dan meneruskan kerja menyiang ikannya tanpa mahu menoleh lagi. Cukuplah, abang! Cukuplah menghina Min. Airmata laju mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Semakin lama, Yasmin teresak kecil. Dan Nashriq tidak lagi bersuara apa-apa.

Di meja makan, Yasmin sedia menemankan Nashriq makan walau dia tidak lalu menjamah apa-apa. Anehnya, Nashriq makan tanpa banyak bicara. Tidak seperti selalu. Lauk Kak Syadah lebih sedap. Yang ini tak cukup garam, yang itu tak cukup rasa. Kak Syadah pandai masak, kenapa Min tak tahu masak?Urgh, persoalan yang cukup menyakitkan jiwa. Tidakkah dia tahu yang aku ni dibesarkan dalamkemewahan? Goreng telur pun kadang-kadang. Tapi disebabkan dia, aku berusaha untuk mengubah diri aku.

Tiga minggu di rumah ibu membuatkan Yasmin banyak berfikir. Bagaimana caranya untuk dia memenangi hati Nashriq? Dia cuba mengalah dengan Kak Syadah. Dia mesti mengubah sikapnya supaya menjadi macam Kak Syadah. Dengan itu, dapatlah hati Nashriq dimenangi. Agaknyalah.

Dengan penuh semangat, Yasmin belajar memasak dari ibunya. Belajar membasuh baju juga belajar cara-cara untuk mengemop lantai. Sewaktu bersama Nashriq dulu, seminggu sekali pembantu rumah ibu dipanggil untuk membereskan segala-galanya. Mungkin itulah punca Nashriq masih tidak menyukai dirinya.

"Min tak makan?" teguran Nashriq menerbangkan segala lamunannya tadi. Tidak sedar bila Nashriq selesai makan. Kata ganti nama sudah kembali kepada ‘Min’ menandakan Nashriq sudah tenang. Kalau Nashriq marah, dia akan ber’aku engkau’ sahaja dengannya.

Yasmin menggeleng perlahan. "Tak. Min tak lapar lagi," jawabnya jujur. Dia sangat penat dan benar-benar ingin berehat ketika ini. Mengemaskan rumah, membasuh baju dan memasak bukanlah satu kerja yang remeh. Tambahan pula dia melakukan semuanya sejak pagi tadi tanpa berhenti. Serius, hilang rasa laparnya.

"Kak Syadah tak pernah moody bila berhadapan dengan rezeki," ujarnya lalu meninggalkan meja. Sekali lagi airmata Yasmin tumpah. Min bukan Kak Syadah, abang…

****
Seminggu Yasmin mengambil cuti menemani Nashriq di rumah. Keadaan sudah kembali tenang. Nashriq juga sudah tenang. Cuma, perbuatan dan kata-katanya masih seperti dulu. Nama Kak Syadah tak pernah lekang dari bibirnya setiap hari. Setiap hari jugalah Min mengalirkan air mata. Sama saja keadaannya seperti dulu-dulu. Tiada apa yang berubah.

Sebaik tersedar pagi ini, Yasmin mendapat satu kekuatan. Semalam dia terjumpa diari lama Kak Syadah. Tulisan Kak Syadah barangkali dapat membantu dirinya untuk memenangi hati Nashriq. Dia tekad. Dia mesti melakukan sesuatu agar nama Kak Syadah tidak disebut-sebut lagi sebagai pesaingnya. Dia bukan cemburu dengan Kak Syadah, tetapi dia mesti menyedarkan Nashriq yang Rasyadah Nur sudah pergi selama-lamanya. Kalau Nashriq sakit, dia tidak mahu turut sama sakit seperti Nashriq.

Nashriq agak terkejut melihatkan sarapan yang tersedia di meja makan ketika melintasi ruang makan. Yasmin dah bangun ke? Dia tertanya-tanya di dalam hati.

"Abang nak minum?" sapa Yasmin.

Nashriq terkejut untuk kali kedua. Min pakai tudung!

"Err…," hanya itu yang mampu Nashriq luahkan.Belum habis kisah sarapan, tiba-tiba muncul Yasmin memakai tudung pula.

"Duduklah, bang. Kenapa abang pandang Min macam tu?" soal Yasmin sambil menyendukkan nasi goring cina ke dalam pinggan suaminya.

"Tak.. err… Min pakai tudung?" dalam gugup Nashriq bertanya.

Yasmin tersenyum kecil lalu duduk berhadapan suaminya. "Abang suka tak? Macam Kak Syadah, kan?" Nashriq menelan air liurnya. Kenapa tiba-tiba nama  Syadah keluar dari mulut Yasmin?

"Eh, bang. Makanlah cepat, nanti lewat pulak!" Yasmin mengingatkan. Nashriq yang masih terpinga-pinga segera menyuapkan nasi goreng cina ke dalam mulutnya.

"Ok tak rasanya, bang? Sama tak macam Kak Syadah buat?"

Nama Syadah lagi? Nashriq mengangguk-angguk kecil. Selesai sarapan, Yasmin segera mengemaskan pinggan mangkuk dan meja makan sebelum mereka sama-sama menuju ke kereta masing-masing.

Tanpa disedari Nashriq, tiba-tiba Yasmin meraih tangannya lalu bersalam dan menciumnya. Nashriq terkaku. Dan lebih membuatkan dia kaku, Yasmin secara tiba-tiba mencium kedua belah pipinya.

"Abang, Min pulak?" pintanya seperti anak kecil sambil menunjukkan kedua belah pipinya.

Nashriq yang masih separa sedar dengan kejadian itu mendorongkan bibirnya dan mencium kiri dan kanan pipi Yasmin. Apa aku buat ni? Dan Nashriq masih terkaku di pintu sehinggalah kenderaan Yasmin bergerak pergi.

Sepanjang hari bekerja memang banyak persoalan yang masih menjadi tanda tanya Nashriq. Sudahlah pagi tadi Yasmin berkelakuan pelik, sepanjang hari ini pun Yasmin berkelakuan pelik lagi. Setiap tiga jam dia akan menerima SMS daripada Yasmin yang mengucapkan kata sayang dan rindu. Aishh… apa kena Min ni?

Tengahari tadi Yasmin telefon bertanyakan dia makan tengahari di mana. Makan apa. Dengan siapa. Jangan lupa solat. Erk! Kenapa ya?


Nashriq tiba di rumah jam 6.30 petang. Sebaik pintu rumah dibuka, dia sudah menghidu aroma yang menyelerakan dari arah dapur rumahnya.

Memeranjatkan. Yasmin pulang awal? Segera langkah kakinya ditujukan ke dapur.Yasmin sedang berdiri menghadap sinki ketika dia masuk ke dapur. Tidak menyedari kehadiran Nashriq yang berada di belakangnya, Yasmin terus leka melakukan kerja-kerjanya dan Nashriq juga terus leka melihatkan penampilan baru Yasmin hari ini.

Berdebar jantungnya melihatkan Yasmin yang hanya memakai sleeveless shirt dan seluar pendek yang sangat sangat pendek! Hish… seksinya! Nashriq hampir tidak berkedip mata melihatkan ‘pendedahan’ ini. Tidak pernah sekalipun Yasmin berpakaian begini. Bisa gugur jantung gue!

"Eh, abang dah balik?" tegur Yasmin sebaik berpaling. Mungkin menyedari seseorang sedang asyik memerhatikannya. Nashriq hanya membalas dengan senyuman kecil.

 Eh? Pakai lipstick pulak? Aduiii… asyik terperanjat je hari ni! Kalau ada lemah jantung dah lama aku pengsan.

"Kita makan sebelum Maghrib, ya? Min tengah kupas kulit epal ni. Hari ni Min masak semua lauk favorite abang. Ayam goreng masak bercili, ketam masak lemak cili api dengan sayur. Ok tak?"

Nashriq mengangguk-ngangguk sambil tersenyum. "Ada lagi favorite abang. Ikan tenggiri jeruk.Gorengkan sikit boleh?"

"Boleh saja, pak! Nanti Min gorengkan ok?" jawab Yasmin berlucu.

"Kenapa Min seksi sangat ni? Bersolek kat rumah? Ada apa-apa ke?" soal Nashriq tiba-tiba. Dia sudah tidak sabar lagi untuk mendiamkan segala persoalan yang berada dalam benak fikirannya.

"Abang tak suka ke?"

"Bukan tak suka… tapi pelik sikit laa…"

"Ala, apa nak pelik? Kak Syadah pun macam ni jugak kan? Min nak jadi macam Kak Syadah je… abang suka kan?"

Terdiam Nashriq dengan kata-kata yang keluar dari mulut Yasmin. Sampai begitu sekali?

Seminggu berlarutan dan Nashriq rasa tidak tenteram. Setiap hari nama Syadah tidak lekangdari bibir Yasmin. Apa saja yang dilakukan, apa saja yang diperkatakan mestilah mengikuti rentak Syadah. Dari mana dia tahu Syadah sebegitu, Nashriq tidak pasti. Tetapi banyak yang sama.

Entah kenapa tiba-tiba Nashriq menjadi rimas dengan situasi ini. Bukan tidak suka tetapi entahlah…
Bukankah memang selama ini dia mengharapkan Yasmin mempunyai watak seperti Syadah? Namun apabila Hasnina Yasmin cuba bertukar menjadi Rasyadah Nur, ianya bagaikan sesuatu yang asing dan tidak kena. Yasmin sepatutnya menjadi diri Yasmin sendiri. Sedangkan setiap manusia mempunyai cap jari yang berlainan, kenapa Yasmin ingin menjadi seperti Syadah?

Adakah aku terlalu mendesaknya? Atau aku masih tak dapat terima kematian Syadah lalu aku mengharapkan seseorang menjadi pengganti dirinya? Argh, bingungnya…!

*****
Pindah ke tempat baru memang memenatkan. Baru sebulan lebih ambil cuti seminggu, kali ini Yasmin terpaksa mengambil cuti lagi kerana berpindah rumah. Dia sendiri tidak tahu apa-apa kerana tiba-tiba Nashriq menunjukkan kunci rumah baru kepadanya. Tidak sebesar rumah yang lama, tetapi sebuah pangsapuri mewah yang terletak tidak jauh dari rumah sebelum ini. Kebanyakan barang di dalam rumah lama tidak dibawa. Yasmin agak hairan tetapi tidak banyak bertanya. Dia akan bertanya bila masa yang sesuai itu tiba.

"Abang nak Min urutkan?"

Nashriq yang sedang menonton televisyen sekadar memberi ruang kepada Yasmin untuk mengurut badannya yang memang lenguh kerana sibuk mengemaskan barang siang tadi. Matanya juga sudah terasa berat.

"Abang…" panggil Yasmin perlahan. "Malam ni Min tidur mana?"

Nashriq agak terkejut dengan soalan itu. "Tidur dengan abanglah. Min nak tidur kat mana? Katil kan ada satu je."

Yasmin tidak menjawab. Dia meneruskan urutannya dengan lembut.

"Nanti abang nak gantungkan potret kahwin kitalah. What do you think?" soal Nashriq.

"Potret besar? Macam kat rumah lama?" soalan dibalas soalan. Yasmin sebenarnya tidak berapa gemar potret sebesar-besar alam digantung dalam rumah. Dia tidak berapa minat.

"Ya, macam kat rumah lama. Min tak nak?"

"Mmm… bolehlah kot…" jawabnya agak kabur. Kalau cakap tak suka nanti, dia cakap kita tak sama macam Kak Syadah pulak!

"Laaa… apasal jawab macam tu?"

"Takdelah… dulu rumah lama siapa yang nak gantung potret-potret tu? Kalau abang suka, Min ikut je…"

"Rumah lama tu, Kak Syadah yang suka potret-potret tu."

"Kalau macam tu, kita gantung je lah!" pintas Yasmin pantas.

Nashriq terdiam. Entah kenapa hatinya tiba-tiba mendidih.

"Sebenarnya Min suka ke tak?" suaranya mula keras. Rasa letih dan lesu tiba-tiba hilang. Lain yang disoal, lain yang dijawab.

Yasmin mengesan kelainan dalam suara Nashriq. Gentar pula dia hendak menjawab soalan Nashriq walaupun bukannya soalan itu sesusah soalan peperiksaan.

"Min tak kisah, bang… Gantung pun takpe…," jawabnya perlahan dan takut-takut.

"Abang tak mahu dengar kisah atau tak kisah! Abang nak tahu Min suka atau tidak?!" intonasi suaranya sudah melebihi paras yang sepatutnya. Sudah lama dia tidak berkeras begini. Entah kenapa malam ini, panas saja telinganya bila nama Syadah disebut.

"Err… sebenarnya Min tak berapa suka…" lirih saja suara Yasmin menjawab soalan Nashriq.

"Ok, kalau macam tu kita tak payah gantung. Senang cerita! Kenapa yang susah sangat nak jawab soalan abang tadi?"

Yasmin tidak menjawab. Bukan tidak mahu menjawab tetapi dia banyak menyabarkan diri. Kalau diikutkan belangnya yang sebenar, memang dia akan jawab. Pening! Dulu suruh kita jadi macam Kak Syadah. Apa yang Kak Syadah buat semuanya betul. Sekarang ni kenapa tanya kita balik? Penting ke apa yang Min suka atau tak suka, bang?Agak lama mereka berdiam dalam suasana yang tegang itu. Yasmin masih meneruskan urutannya seoalah-olah tiada apa yang berlaku. Kalau diikutkan hati, nak aje aku tumbuk-tumbuk dia ni!

"Pandai jugak Min mengurut ya? Hilang lenguh-lenguh abang. Bolehlah urut tiap-tiap harimacam ni," Nashriq bersuara. Nada suara yang sudah kendur.

Yasmin mencebik di dalam hati. Geramnya masih belum hilang.

"Boleh saja… tapi tak tahulah sama ke tidak macam Kak Syadah urut," Yasmin membalas dalam nada yang penuh provokasi.

Nashriq yang tadinya sudah mahu berdiplomasi tiba-tiba jadi baran bila nama Syadah disebut lagi. Pantas dia memusingkan badan lalu berhadapan dan bertentang mata dengan Yasmin. Wajah Yasmin ditekap dengan kedua-belah tangannya. Yasmin tergamam.

"Min, cukuplah tu. Abang tak mahu dengar lagi nama dia. Will you please stop it!" Nashriq bersuara keras.

Yasmin yang masih terkejut tidak mampu berkata apa-apa. Mereka saling berpandangan untuk seketika.

"Abang ajak kita pindah sini sebab abang nak kita lupakan dia. Mulai sekarang ni, kita mulakan hidup baru. Min tak payah lagi nak bersolek kat rumah sebab Min dah cukup cantik. Kak Syadah dulu tak berapa cantik, sebab tu dia bersolek. Min tak payah pakai seksi kat rumah lagi sebab Min pakai apa je dah cukup seksi. Min masak apa saja, abang akan makan. Kalau Min tak puas hati kat abang, Min cakap jelah. Jangan pendam-pendam. Abang tahu Min bukan sesabar Kak Syadah. Min jadilah diri Min yang sebenar. Boleh tak?"

Yasmin mengangguk-angguk perlahan. Airmata sudah bergenang di kelopak mata. Perasaannya bercampur aduk.

Nashriq menghela nafas lega. Seolah-olah beban yang mereka berdua tanggung selama ini hilang begitu sahaja. Dia tahu Yasmin melakukan semua itu untuk merebut cintanya. Satu perkara yang Yasmin tidak tahu, sudah wujud perasaan yang sama sejak dua minggu selepas Yasmin pulang ke rumah ibunya.

"Apa saja yang ada dalam rumah lama tu, kita tinggalkan. Sebab tu abang tak bawak apa-apa barang pun yang melibatkan Kak Syadah. Abang nak mulakan hidup baru dengan Min. Dan abang nak Min jadi diri Min semula. Sebab abang pun nak berubah. Kak Syadah manjakan abang dengan cara dia dan biarlah Min layan abang dengan cara Min sendiri."

Yasmin sudah mengalirkan airmata. Terbuainya perasaan dia ketika ini. Nashriq memeluk Yasmin erat. Yasmin membalas pelukan hangat itu. Tidak perlu lagi bertanya kenapa mereka berpindah kerana dia sudah mendapat jawapan itu.

"Abang sayangkan Min," bisik Nashriq di telinga Yasmin. Yasmin terkedu. Dia meleraikan pelukan mereka.

"Betul ke?" soal Yasmin. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

Nashriq mengangguk perlahan. Wajah Yasmin ditatap lama.

"Lepas Min balik rumah ibu, abang still okay. Tapi lepas dua minggu abang rasa semacam. Abang  rindukan Min. Sangat rindukan Min."

"Tapi kenapa abang tak call Min? Atau SMS?"

"Ada. Tapi abang call ibu Min. Hahaha… abang dah bocor rahsia sendiri!" Nashriq tergelak-gelak dengan jawapannya sendiri. Jawapan yang memalukan.

Yasmin membesarkan mata. "Abang call ibu?"

"Yup!" Nashriq kembali serius. "Abang call ibu setiap hari masa minggu ketiga tu. Tanya Min buat apa, tanya Min okay ke tak. Ibu yang bagi tahu abang Min belajar masaklah, belajar mengemaslah, mengemop lantai. Hmmm… nak beli jiwa abang ke?"

Yasmin tertunduk malu.

"Disebabkan abang terlalu rindu pada Min, abang terpaksa peluk gambar Min. Yalah, orangnya takde. So, dapat peluk gambar pun jadi lah…"

Yasmin teringat akan bingkai gambar yang dipeluk suaminya ketika dia pulang tempohari.

"Oh, jadi tu bukan gambar Kak Syadah?"

Nashriq menggeleng perlahan. "Rasanya dah lama sangat abang melayan perasaan abang yang tak betul ni. Iyalah, dah berapa tahun abang bersama Syadah.Daripada berkawan, bercinta, berkahwin sampailah dia sakit dan dia pergi dalam pangkuan abang. Abang tak boleh terima. Bila mak suruh abang kahwin dengan Min, abang ikutkan je. Terus-terang, abang memang tak boleh terima Min sehinggalah Min balik rumah ibu. Lepas tu abang rasa kenapalah abang ni bodoh sangat nak mengharapkan orang yang dah mati kembali?"

"Itu kan qada’ dan qadar dari Ilahi, bang…"

Nashriq mengangguk tanda bersetuju. Wajah Yasmin ditatap lagi. Betapa besarnya pengorbanan yang Yasmin lakukan untuknya. Pipi Yasmin diusap lembut. Sebuah kucupan hinggap di bibir Yasmin. Untuk pertama kali dia merasakan perasaan cinta pada Yasmin amat dalam sekali. Cinta untuk Syadah, disimpan kemas dalam memorinya yang semalam.

"Jom, rasmikan katil kita yang baru tu," bisiknya perlahan.

Yasmin terkedu. "Ha?"

"Abang ni isteri dah ada dua, tapi baby seorang pun takde lagi," usiknya. Yasmin tergelak lalu
mencubit manja lengan Nashriq.

****

Yasmin membetulkan tali leher Nashriq di hadapan pintu sebelum masing-masing keluar bekerja. Tangan Nashriq diraih lalu dicium. Sebaik Yasmin berdiri, sebuah kucupan hinggap di bibirnya. Agak lama. Yasmin terkaku. Selalunya cium pipi je. Habislah lipstick aku! Kemudian tubuhnya dirangkul erat Nashriq dan Yasmin masih lagi kaku. Eh, apasal berubah cara pulak ni? Fikirnya sendiri tanpa meluahkan dengan kata-kata. "I love you," bisik Nashriq perlahan di telinganya. Wah… bestnya! Macam dalam movie. Sempat lagi hati Yasmin berbisik nakal. Rasa nak terjelepok pun ada juga. Longlai je rasa lutut ni.

"Apasal tukar style?" tanya Yasmin sebaik Nashriq melepaskan pelukan.

"Oh, dengan Min kena modern style sikit! Kasi upgrade," jawab Nashriq bersahaja.

Yasmin tergelak-gelak. Upgrade? Hehehe…

"Min, lain kali tak payah pakai lipstick lah.Pakai dalam kereta je. Lidah abang terasa-rasa lipstick Min lah…!" ujar Nashriq sambil mengesat-ngesat bibirnya.

Yasmin ketawa lalu menunjal-nunjal belakang badan Nashriq. Dia yang main redah jer, salahkan kita pulak!

** tamat **

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini