rss

Gerimis masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti sejak fajar menyinsing. Langit diselubungi mega kelabu. Tidak memberi peluang mentari untuk menyerlahkan sinarnya. Bunyi keriuk bumbung rumah beratap zink itu sesekali kedengaran apabila ditampar kuat oleh hembusan angin kencang. Haslina duduk di anak tangga yang paling atas, membuang pandang pada titis-titis gerimis yang membasahi lantai bumi.

Hari Sabtu begini selalunya dia akan ke sungai di hulu kampung. Menjala puyu dan sepat untuk mengisi perut sekeluarga. Itulah rutinnya setiap kali hujung minggu tiba. Hasil tangkapan, walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk bekalan sehari dua. Ikan-ikan yang ditangkap selalunya akan digoreng atau dibuat masak kicap. Jika ada lebihan, diminta ibunya untuk dibuat pekasam.

Haslina tahu pekasam puyu adalah kegemaran adik kecilnya yang berumur tujuh tahun itu. Kerapkali usai dia ke sungai, adiknya itu pasti meluru bertanyakan jika ada puyu yang singgah melekat di jala peninggalan arwah bapa mereka yang telah pergi menyahut seruan Ilahi dua tahun yang lalu kerana lemas di laut.

Begitulah hidup nelayan. Menyabung nyawa di tengah lautan, memburu hasil tangkapan untuk dibuat jualan bagi kelangsungan hidup. Haslina masih ingat utuh kata-kata arwah bapanya. Lautan adalah satu alam yang penuh misteri. Tidak selamanya tenang beralun. Kadang-kala bergelora. Sama seperti sebuah kehidupan. Sesekali akan datang onak dan ranjau untuk mematangkan diri.

Arwah bapanya seorang yang cekal dan gigih. Sentiasa bersemangat mencari rezeki supaya dia dan adik bongsunya dapat menimba ilmu di sekolah.  Bapanya selalu berpesan, Ilmu itu penyuluh jalan. Tanpa ilmu, seseorang itu buta hatinya. Ilmu mengajar manusia menjadi seorang yang tahu bersyukur dan membezakan mana yang hak, mana yang batil.Berbekalkan pesan arwah bapanya itulah dia tekun mendalami ilmu. Tambahan pula dia bakal menduduki peperiksaan besar tidak lama lagi. Peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya sama ada secerah-cerah sinar mentari, atau sekelam-kelam gelap malam.

17 tahun diberi kesempatan oleh Tuhan untuk terus bernafas, menjadikan dia tampak lebih matang dari usianya. Di rumah papan beratap zink ini hanya tinggal dia, adiknya dan emak yang semakin lanjut usia. Emak juga seperti bapa. Seorang yang cekal dan gigih. Tidak pernah berhenti mengukir senyum walau hidup dilalui dengan susah-payah. Kata emak, sentiasalah senyum kerana hidup ini indah! Senyum itu penawar hati yang lara, pengubat jiwa yang duka.

Pemergian bapa mulanya mendatangkan kesan pada ekonomi keluarga. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang entahkan dapat. Namun emak tidak sesekali patah semangat. Emak akan membuat nasi lemak di sebelah pagi untuk dijual dan sebelah petangnya emak akan ke kebun kelapa sawit milik ketua kampung, mengambil upah menebas lalang dan meracun. Kala malam tiba, emak akan menjahit pakaian yang ditempah oleh beberapa penduduk kampung.

Emak tidak mengenal erti penat. Asalkan dapat mencari duit supaya anak-anaknya dapat terus belajar, emak sudah puas hati. Dan sebagai seorang anak, sudah tentu Haslina harus belajar dengan bersungguh-sungguh asal segala penat-lelah emak dapat ditebus dengan kejayaannya dalam pelajaran.

“Kak Long, emak panggil,” tegur Alia, adik bongsunya sekaligus menyebabkan lamunannya terhenti.

Diusap lembut rambut adik kesayangannya itu. Satu-satunya adik yang boleh dikongsi suka-duka bersama. Lantas dia segera bangun dari duduk, menuju ke dapur. Sempat dikilas jam di dinding. Sudah menjangkau ke angka sepuluh. Beberapa jam lagi akan menemui waktu tengah hari.Kelihatan emaknya sedang menggoreng karipap di dalam kuali. Mungkin lebihan karipap yang dibuat Subuh tadi. Di belakang, Alia mengekori.

“Ada apa mak?” tanya Haslina.

“Kamu tetap nak ke sungai lepas hujan berhenti nanti?” soal emaknya yang menyarung baju kurung Kedah dengan kain batik itu.

“Iya mak... Lepas hujan begini, pasti banyak ikan yang tersangkut tu. Dah semalaman jala tu mak. Bimbang pula dihanyut air,” jawab Haslina.

“Kamu pergi dengan siapa?”

“Siti ada temankan Ina mak,” jawab Haslina, cuba mengusir kegusaran yang bermukim di hati emaknya.

“Adik nak ikut!” tiba-tiba Alia mencelah.

Haslina ketawa kecil. Adiknya itu membuat riak keliru. Mungkin fikir kakaknya dia sedang membuat lawak walhal dia serius.

“Hujan, mana boleh adik ikut,” ujar emaknya.

“Habis Kak Long boleh pergi?”

“Kak Long dah besar. Nanti kalau tak hujan, Kak Long bawa adik ikut ya,” pujuk Haslina.

“Mak, nanti mak buat pekasam puyu ya.” pinta Alia.

Haslina dan emaknya berbalas pandang lantas masing-masing mengukir senyum. Alia, Alia, suka benar dengan pekasam puyu.

*  *  *  *  *

Esoknya Haslina ke pekan untuk membeli beberapa peralatan tulis dan buku latihan. Dibawanya Alia bersama-sama kerana adiknya asyik merengek mahu mengikut. Bukan Haslina tidak mahu bawa tetapi mengenangkan dia ke sana menaiki bas, ditambah pula dengan cuaca yang tidak menentu, dia bimbang akan keselamatan adiknya yang seorang itu.

Namun bila difikirkan yang dia tidak lama di pekan, maka dibawa adiknya ikut sama. Bolehlah dibuat peneman. Lagipun memang mereka jarang ke pekan. Biasanya barang-barang keperluan dapur boleh di dapati di kedai runcit berhampiran dengan rumah. Kadang-kadang dua bulan sekali baru mereka sekeluarga ke pekan. Itupun jika emak mahu membeli barang-barang keperluan menjahit. Jika tidak, mereka lebih gemar duduk di rumah sahaja.

“Kak Long, adik nak anak patung tu,” tiba-tiba Alia bersuara apabila melihat set anak patung perempuan yang berpakaian gaun kembang rona merah jambu, lengkap dengan beberapa lagi persalinan pakaian yang dipamerkan di ruang depan sebuah kedai alat permainan.

“Nanti kita beli ya,” balas Haslina.

“Ala, adik nak juga! Kawan-kawan adik semua ada anak patung. Adik sorang aje yang tak ada,” rayu Alia seraya menarik-narik tangan kanan Haslina.

“Kak Long tak bawa duit sekarang ni. Nanti kita datang lagi,” lembut Haslina menutur kata dengan harapan hati adiknya juga akan lembut.

“Tak nak!” bentak Alia.

Sudah lama dia menginginkan anak patung tersebut. Alia tahu, jika dengan emak, dia tidak mungkin akan dapat membelinya tetapi fikir Alia, dengan kakaknya, pasti anak patung itu dapat diperoleh. Selama ini kakaknya tidak pernah menolak permintaannya. Mintalah apa saja pasti akan sedaya-upaya kakaknya itu tunaikan.

“Adik...” tegur Haslina.

“Kak Long jahat!”

Sedikit pun tidak terguris hati Haslina dengan kata-kata adiknya tadi. Dia tahu Alia tidak bermaksud begitu. Orang bila sudah marah, tidak sedar apa yang dicakapkan.

“Yalah, Kak Long jahat. Dah, jom balik,” pujuk Haslina lalu menarik tangan Alia pergi dari situ.

Alia dilihat sudah bergenang matanya. Mungkin sedih kerana tidak dapat apa yang dipinta. Bukan Haslina tidak mahu belikan, tetapi dia memang tidak membawa duit lebih waktu itu. Lagipun, melihat harga yang tertera, membuatkan Haslina meneguk liur. Berfikir dua tiga kali juga dia jika mahu anak patung itu untuk adiknya.Rasanya ada anak patung lain yang jauh lebih murah. Akan dibeli nanti jika dia berkunjung ke pekan sekali lagi. Buat masa ini, biarlah Alia merajuk kerana Haslina tahu, rajuk adiknya itu tidak lama.

*  *  *  *  *

“Adik marah Kak Long ya?” usik Haslina pada adiknya yang sedang menonton rancangan kartun di ruang tamu itu.

Alia menarik muka masam. Tidak sedikit pun melihat ke wajah kakaknya. Sakit benar hatinya kerana kakaknya itu tidak membelikan anak patung yang diminta.

“Mak rasa tak payahlah kamu pergi petang ni. Nampak macam nak hujan tu,” ujar emak yang sedang melipat pakaian.

“Tak apalah emak, pergi sekejap saja. Hujan malam semalam, pasti banyak ikan. Harap-harap adalah puyu yang melekat kali ni. Tak macam semalam, penuh dengan daun dan batang kayu. Kasihan pula adik tu tak dapat makan pekasam puyu,” ujar Haslina.

“Hati-hati ya Lina,” ujar emak, sedikit gusar.

Haslina mengangguk. Wajah adiknya dipandang lagi. “Nanti Kak Long balik, kita buat pekasam puyu sama-sama ya,”

“Tak naklah! Kacau aje orang nak tengok kartun ni. Nak pergi, pergi ajelah!” bentak Alia membuatkan Haslina sedikit tergamam.

“Adik...” tegur emak.

“Tak apalah mak. Lina pergi dulu ya,” kata Haslina seraya menuruni anak tangga, berjalan ke rumah Siti.

Langit semakin gelap disepuh mendung kelabu. Sesekali guruh berdentum bersama-sama angin yang bertiup kencang. Tidak beberapa lama kemudian, gerimis mula mencurah ke lantai bumi.

*  *  *  *  *

Alhamdulillah, banyak rezeki kita hari ni ya Siti,” ujar Haslina sambil mengangkat pukat dengan pertolongan Siti, rakan baiknya.

“Ha’ah. Nasib baik jala ni tak hanyut. Hujan malam semalam lebat betul. Tengoklah, air sungai pun naik sampai paras pinggang,”

“Cepatlah angkat jala ni, hujan makin lebat,” arah Haslina sambil menyeka titis-titis hujan yang membasahi wajahnya.

“Banyaknya ikan!”

Haslina tersentak. Begitu juga dengan Siti. Tidak percaya melihat susuk tubuh yang berada di hadapan mereka kala ini.

“Adik! Buat kat sini? Kan Kak Long kata jangan ikut! Mak tahu tak ni?” bertubi-tubi pertanyaan meluncur laju dari mulut Haslina.

Alia menggeleng. Dia menyusup keluar apabila dilihat emaknya sedang solat Asar. Sudah lama dia teringin ke sungai, melihat kakaknya menjala ikan. Kali ini peluangnya sudah tiba. Biarlah emak atau kakaknya marah, Alia tidak kisah. Yang pasti dia sengaja mahu sakitkan hati kakaknya.

“Kenapa degil ni?” Haslina sedikit marah.

“Sapa suruh Kak Long tak belikan adik anak patung tu. Adik sorang aje yang tak ada anak patung lagi. Nanti kawan-kawan adik ejek adik,”

Haslina menggeleng. Dia pantas menarik jala ke tebing sungai. Hujan semakin lebat turun mencurah-curah. Alia berasa teruja memerhati beberapa ekor ikan melompat-lompat. Seekor puyu terlepas dari jala dan menghala ke sungai semula. Alia pantas meluru mahu menangkap ikan tersebut namun malangnya dia tergelincir lalu terjerumus ke dalam sungai.

“Ya Allah! Adik!”

Haslina terus terjun tatkala melihat adiknya terkapai-kapai ditolak arus deras. Sedaya-upaya dia berenang ke arah adiknya. Apabila berjaya mencapai tangan adiknya, Haslina berenang semula ke tebing. Siti membantu dengan menghulurkan tangan untuk menyambut tubuh Alia yang kaku tidak bergerak.

Kilat sabung-menyabung dan dentuman guruh kuat kedengaran. Serentak dengan itu, ada arus yang mengalir deras membuatkan Haslina tidak sempat mencapai tangan Siti. Dia hilang dibawa arus dan jeritan Siti kuat kedengaran!

*  *  *  *  *

“KAK LONG!” Jerit Alia yang tiba-tiba tersedar dari pengsan.

“Kak Long? Mana Kak Long?” tanya Alia dengan suara yang meninggi.

Emak yang berada di sisi hanya mampu menarik Alia ke dalam dakapannya. Lidahnya kelu mahu menyatakan kebenaran pada anak bongsunya itu. Alia menolak tubuh emaknya. Telinganya menangkap suara orang membaca ayat-ayat suci Al-Quran di ruang tamu. Dia pantas bangun, turun dari katil lalu berlari ke ruang tamu. Dilihat sekujur tubuh terbaring kaku dilitupi kain batik. Alia terjelepuk ke atas lantai.

“Kak Long dah tak ada Lia,” beritahu Siti, rakan karib kakaknya.

Alia menekup mulut dengan kedua belah tapak tangan. Berjuraian air matanya.

Nak pergi, pergi ajelah!
Kata-katanya petang tadi menjelma di fikiran. Maafkan Lia, Kak Long! Di luar, hujan lebat sudah diganti dengan gerimis, seakan memahami hati Alia yang diselubungi sayu.

TAMAT


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini