rss


ang Kurrat
      Syahadan tersebutlah berwari hawa yang berbahang panas. Pada relung pegangan kuasa Bentan di bawah kekuasaan Bendahara Tun Perak juga mengepalainya. Hiduplah seorang panglima gagah pada tampuk kuasa negara Melaka yang menguasai gemilang Srivijaya kurun-17. Tubuh sasa berselaput otot tegar, tingginya sederhana matanya sepet berbinar tajam. Arakian terpacullah nama Hang Kurrat dari kemegahan ketika itu. Dipacu setiap taat setia pada kerajaan Melaka, yang di bawah perintah Sultan Alauddin Riayat Shah jualah baktinya disembah. Usai satu kerja, datang terus-terusan bertandang titah sultan yang satu. Hinggalah Kesuma berasa duka cita melihat suaminya cuma mempersembah  bakti pada raja yang satu. Pada terataknya mencukupi segala mewah syurgaloka dunia, cumanya cinta dan sayangnya saja kian menipis hilang buat Hang Kurrat. Dalam tiga purnama Hang Kurrat berbakti, tinggallah Kesuma menyendiri. Begitulah hidupnya menjadi sepi tanpa perolehnya kasih sayang suami. 
     Derap kaki yang terutus pada istana megah di Bentan, bahkan salah satu wilayah “Sri Tri Buana” menjadikan Hang Kurrat gementar setiap kali dia diutus melakukan tugas-tugas istana baik sebagai pengawal peribadi Tun Perak, mahupun sebagai utusan peminangan raja ke negeri-negeri orang. Ketika matanya memerhati latar istana serba perkasa ini cukup membuatkan hatinya gerun dan bertambah setianya lagi pada raja pemerintah, Hiasan serba kuning sebagai tata hias melambangkan kedaulatan pada raja yang memerintah, hulubalang yang mengitari ruang legar melihatkan raja menjadi bayangan tuhan dan wajar dilindungi. Namun, sah runsing benaknya tidak habis-habis memikirkan soal Kesuma yang sering saja bersendirian pabila dia menjalankan titah di raja. Mujur keberangkatannya diiringi kepercayaannya pada Damak yang diangapnya umpama bayangan dirinya. Kepercayaannya “belum berkilap sudah berkilau, bulan sangkap tiga puluh”. Hamba percayakan Damak dengan nyawa hamba sendiri, begitulah perihal percayanya Hang Kurrat pada Damak. Apabila selesai santap beradat, bukalah bicara Hang Kurrat menitah Damak. Hang Kurrat memerhati sirih junjung yang terhias indah, diambilnya sehelai daun dan dibentuk-bentuknya
      “hamba mohon jasa baik tuan hamba sebagai pesuruh setia pada hamba, kiranya keperluanlah bagi tuan hamba menyediakan barang kelengkapan harian bagi Puan Seri Kesuma mahupun seberhana pakaian pabila dia perlukannya. Hang Kurrat menepuk-nepuk bahu Damak kerana yakin pada hambanya yang seorang itu.
       “ ’Banyak air banyak minyak, minyak jugalah di atas’ segala titah tuan hamba patik junjunglah juga atas pundak hina patik“ Damak tersenyum senang dan Hang Kurrat juga berasa senang. 
      ’ “Pucuk dicita ulam mendatang“, tiadalah lagi perlunya risau apabila orang kananku sudah ada melihat-lihat Kesuma’, Hang Kurrat terus mengunyah sirihnya dengan hati berbunga riang.
            Malam kian larut, usai tabir hitam meniti langit, tiada langsung kejora mengisari langit malam. Pada ketika itu jualah Damak menggelepar jiwa menunggu hadirnya Kesuma.  Rambut ikal separas bahu, wajah bujur sirih, mata bundar bak kartika kejora, hidung mancung bak seludang, pipinya gebu bak pauh di layang, memikat jiwa mana-mana lelaki pun, namun Hang Kurrat tiada pernah menghargainya sebagai isteri. Datanglah pula bersembah cita pada Damak. Masa yang melewati malam menemukan dua benua yang tiada berikat, tanah berlainan zat bersatu dalam berkecindan, menyuburkan pula rumput malam, kicau serindit malam bersahut-sahutan bagai dijemput suara benua menyanyi sama lagu alpa. Sungai yang mengalir tenang, kian lesu dan berkocak terus melihat dua benua menempias pertemuan. Titis-titis embun membeku dan terus hilang ditelan fajar subuh. 
            Bunyi jalak berkokok keras menyentak tubuh kurus tingginya. Damak merasakan pandangannya berbalam-balam, mungkin akibat dari rasa mengantuk yang teramat. Kaki dan tangannya telah diikat pada rumpunan pohon buluh. Entah apa yang berlaku malam tadi, tiada langsung yang singgah di benaknya. Baru sahaja dibuka matanya, satu depaan tangan kasar menerpa mukanya. Kejung kaku dirinya melihat puluhan atau mungkin ratusan orang ramai berkumpul mengerumuninya. Perlahan-lahan matanya kembali terbuka memberanikan diri melihat ke hadapan. Kesuma sedang menangis-nangis sambil ditahan oleh orang ramai. ’ Ini bukan kesalahan hamba, cuka sama cuka, tidak bercampur dengan nasi, suka sama suka, orang lain apa peduli?’ dirinya kian pasrah menanti hukuman pasti terlaksana. Matahari kain meninggi sembilan puluh darjah mencucur ubun-ubun kepalanya yang berambut pendek tiada bertanjak, mungkin saja telah dicampakkan. Gegak gempita suara orang ramai yang memenuhi lapangan bagai sekawan singa lapar yang menanti masa meratahnya hidup-hidup.
          Wajah baran Hang Kurrat tiba-tiba menerpa benaknya Damak. ’tujahan keris kyai sengkelat berlok sebelas milik Hang Kurrat bakal meranapkan seluruh hidup dan nyawa hamba’ langsung tiada takut pada Allah melainkan Hang Kurrat semata-mata. Mungkin pada buah fikirnya hukum Allah itu kecil berbanding hukum manusia, wallahualam. Sekecil-kecil hukum dunia telah mulai dirasainya, kanak-kanak yang berjaya menjebloskan diri ke barisan hadapan telah memperhinakan tubuh perlaku zina itu. Batu-batu kecil sebesar ibu jari dikutip lalu dibaling ke arah Damak. Pedih lagi jerih seluruh tubuh badan merasai bisa dilempar batu kerikil. Hukum dunia sudah meletakkan pedih, masakan api akhirat yang tujuh puluh lapisan panasnya berbanding api dunia. Orang tua yang menjaga ketenteraman di situ menghalau kanak-kanak itu, takut sekali akan musibah tiada mengikut aturan perintah agama yang molek.. 
          Terpijat-pijat kakinya menahan berat badannya yang diikat sekian lama, tangisan mulai mengalir melepasi pipinya yang berkumis tebal dan berjanggut.
           “Sudahlah, hamba pinta dengan ihsan semua anak adam, umat rasul Muhammad, lepaskanlah hamba, terus sumbatkanlah hamba ke penjara. Cukup siksa ini“ begitulah pedih kesakitan yang dialami lantaran kulit tubuh sudah mulai terkoyak, luka merah sudah tersiat dan relanya dipenjara berbanding diseksa zahir dan batin. Satu lagi tamparan hinggap ke muka kasar hulubalang Bentan itu, bagai melayang sesaat nyawanya.
            Derap bunyi tapak kuda bersahut-sahutan memenuhi ruang legar tanah lapang bentan. Pada denai yang menghubung jalan, muncul seekor kuda hitam gagah mengetuai sepasukan askar berkuda yang lainnya. Penunggangnya memakai sepersalinan rasmi istana songket bunga tabur merah terletak kemas pada badan tegap dan ketinggian sederhananya menjadikan dia tampak mempersonakan. Hang Kurrat melompat turun dari kuda tunggangannya. Terus sahaja dia menerkam pandang pada Damak yang kelihatan gumam kerananya “ telur bagai di hujung tanduk“ lantaran ’’belukar sudah menjadi rimba“ tiadalah guna hubungan nyawa sebagai hijab dosa. 
             Hang Kurrat terus membuka ikatan yang merantai Damak pada rumpun buluh itu. Jatuh tersembam Damak pada tanah hitam, rumput merah. Hang Kurrat merentap rambut Damak dengan kasar, tiadalah lagi sisa kasihan pada perlaku zina itu, ’isteriku jadi habuan syahwat syaitan’ Hang Kurrat melepaskan rambut Damak perlahan-lahan. Nescaya marah itu sifatnya syaitan, syaitan itu asalnya api, hendak dipadamkan api, maka berwuduklah dengan sempurna.
             Sementelah sifat marah itu kerusut sifat waras. Tiadalah lainnya solat istikharah memohon petunjuk Illahi. Segeralah Hang Kurrat mengambil kumba berwuduk dengan sempurna, setelah pastinya jiwa tenang tiada ingat persoal dunia. Dijemput Illahi jualah dia mengadap memohon petunjuk. Usai solatnya tiba satu petunjuk ya-Khalik yang bagaimana sabda nabi “Akan datang suatu zaman pada ummatku, yang iman mereka hanya tinggal pada zahirnya saja, Islam hanya sebagai simbol mereka saja, Al-Qur’an hanya sebagai hiasan, mereka (ummatku) hanya memikirkan perut mereka, wang yang menjadi agama mereka, perempuan menjadi qiblat mereka, hilang sifat qona’ah, mereka lari menghindari dari ajaran ulama, seolah-olah kambing yang dikejar binatang buas.”.
           Terbundar jualah mata sepetnya mengenang kembali kisah Maiz Bin Malik yang pernah melakukan zina biarpun dia telah berkahwin. Datanglah Saidina Maiz menemui rasulullah dengan nawaitu taubat nasuha kepada Allah. Nabi Allah mendatangkan caranya dengan merejam penzina muhsan. Semoga itulah ikhtibar buat hamba-hamba yang mendatang. “Bagai manik putus pengarang” air mata Hang Kurrat mengalir deras apabila memikirkan itulah yang bakal diperhitungkan buat isterinya setelah hatinya mengikat sayang menagih rindu. Damak juga tidak disangka-sangka menjadi duri dalam daging dan tiadalah lagi erti sahabat yang menconteng arang pada mukanya. 
          Selesai tenang dirinya dalam tiada gegak gempita celaru minda, teruslah dia turun menemani kerumun orang ramai di bawah padang berkumpul. Damak juga kelihatan sudah sedar dan mampu untuk berkata-kata. Hang Kurrat melihat-lihat wajah isterinya Kesuma dengan jiwa yang benanah pedih. Bibirnya terus membaris syair nian.


Gelaran suami takhliknya hamba,
memberi sayang diberi tuba,
remuk redam jatuh ke  riba,
kasihkan putus langsung tak tiba.

Janji sehidup hingga ke mati,
dulunya pasti kanda mengerti,
tahulah kanda mananya hati,
memilih permata berhati-hati.


Putuslah sudah cinta berkasih,
ampunkan kanda mana selisih,
jiwanya kanda bukannya bersih,
harapkan kasih kini tersisih.


          ’Benarkanlah apa yang akanku perbuat, aku laksanakan semua ini untuk agamaku dan bangsaku yang mendatang, jikalau tiada barang keputusan dariku pasti bangsaku sesat menjual agama’. Hang Kurrat berdiri di tengah-tengah lapangan. Dengan menghadap di hadapan orang ramai. berteriaklah panglima raja dengan bersungguh.
           “ Siapakah di antara kalian yang menjadi saksi dan bersaksi kepada perilaku zina di antara Damak dan isteriku Kesuma?’’ Hang Kurrat menjaga pernafasannya takut jiwanya akan berkecamuk. Empat orang pemuda mengangkat tangan menjadi saksi yang pada hemat mereka yang adil. 
          “Kami berempat merupakan kiyai yang mengimarahkan istana dengan ajaran Al-Quran dan As-sunnah, hamba rakyat Bentan jugalah penuntut ilmu sementelah mereka mengajar pula kepada susur galur mereka“ khabar salah seorang dari mereka yang sememangnya guru pada ajaran agama Islam. Hang Kurrat memerhati setiap satu dari mereka, maka dilihatnya cukuplah akil dan baligh, waras juga dan mahunya menjadi saksi atas kebenaran yang diperlihat.
          Ceritera bertambah pedih lantaran cukuplah pula saksi yang adil, Hang Kurrat memerhati Tuan Imam lalu terus disuakan pertanyaan kepada Kesuma.
          “Apakah benar tuan hamba yang dilihat bersama-sama dengan Damak ketika bulan timbul semalam?“ Hang Kurrat perlu bersikap adil dalam setiap butir bicara, berat kemungkinan dosa itu perlu diselesaikan dengan hukum agama juga.
          "Maafkan hamba, tiadalah gelora jiwa ini tertahan kerananya tiadanya suami yang memberi erti dalam kehidupan hamba, Damak jualah tempat hamba mencemar diri“ Kesuma membuat pengakuan yang sebenarnya. Suara bisikan terus memenuhi lapangan padang hukuman. Melayang bebola matanya memandang tanah lapangan, tiadalah lagi perlu baginya bertanya lebih lanjut lantaran sudah genap jawapannya. 
          Hang Kurrat memandang Tuan Imam dengan penuh sayu, dipeluknya tuan Imam dengan kelembutan. Seberat-berat tugasan perang yang dijunjungnya tiadalah seberat tuntutannya yang ini.
        "izinkan hamba melafas talak, moga hukum halal yang dibenci tuhan ini tidaklah nanti mendatang azab pada hamba kelak“ Hang Kurrat bertambah gundah pada keputusannya saat itu.
         “Bertanyalah pada Kesuma, tidaklah nanti tuan hamba menyesal akan talak bid’ie dijatuhkan“ tuan imam mengingatkan Hang Kurrat akan segala keputusan yang akan diambil. Ditepuk-tepuknya bahu Hang Kurrat, namun tiadalah sebarang paksaan yang dilakukan,
          “Kesuma, makin tibalah detik kuperceraikan kamu, izinkanlah hamba bertanya, apakah kamu berkeadaan bersih ketika ini?“ Hang Kurrat benar-benar menekan setiap baris perkataannya, tanpa perlu diulanginya lagi.
         "Sesungguhnya tiadalah datangnya sebarang gering padaku“ Kesuma memberikan jawapannya dengan pasrah menanti detik sebagai munib panglima di raja, mungkin hukuman juga akan dipasungkan pada dirinya.
         ’’Akibat dari perbuatanmu tidak dapat kuterima aibnya padaku, dengan ini hamba jatuhkan talak kepadamu dengan jatuhnya talak satu“ dengan bersaksikan tuan Imam beserta orang ramai, jatuhlah sudah talak sunni seperti kebiasaan talak. Tersembam jatuh tubuh kecil Kesuma. Segalanya telah nyata, dirinya bukan sahaja membawa aib kepada Hang Kurrat, bahkan tubuhnya akan diaibkan di hadapan rakyat jelata.
         Sudah tamatlah kiranya perhubungan suami isteri yang selama ini terbina biarpun pada jiwa Hang Kurrat berjiwa jauhari mahupun Kesuma yang memikat tiada terperi. Datanglah kemudiannya hukuman yang bakal menentukan terletaknya nyawa Kesuma, tiadalah sebab melainkan peringatan kepada kaum-kaum yang mendatang. 
          ’’Kesuma, sudah tertera nyata kamu perlaku zina muhsan, dengan ini tiadalah lagi hukuman yang lebih elok berbanding rejam terhadap kamu“ Hang Kurrat mengucapkan kata putus dengan satu nafas. Tiada tertanggung gundah di hati, melihat kasih menunggu mati. Berlarilah Kesuma mendapatkan kaki Hang Kurrat, disujud mohonnya belas sepenuhnya. Jiwa dan raganya kini bakal terkorban, apatah lagi beberapa detik lagi.
          ’’Tolonglah hamba wahai orang kaya, kasihanilah hamba, ketahuilah bahawa anak dalam kandungan ini sudahlah subur, Damak jualah bapanya“ Kesuma menangis teresak-esak di kaki Hang Kurrat. Tapak tangan Hang Kurrat digenggam, namun tiadalah ditolaknya Hang Kurrat.
           “Tiadalah akanku menyentuhmu, kupinta hulubalang sekalian bawalah Kesuma ini masuk ke penjara. Setelah lahir bayinya dan tamat susuannya akanku hukumnya sebagaimana perlu“ Hang Kurrat melarikan kakinya dari pegangan Kesuma.
           Para pengawal mengiringi Kesuma memasung kaki beserta tangan bersalut ikatan besi waja. Melangkah layu Kesuma menerima titah hukuman yang ditetapkan. Hang Kurrat telahpun berjanji ’kalau lelaki anak itu, anaklah jua pada hamba, jikalau perempuan maka akan hamba serahkan pada nendanya“ tiadalah adil selain selurus keadilan.
            Suasana kian berbahang amarah, serata suara rakyat berkecamuk memohon keadilan dari tampuk kuasa Hang Kurrat. Nyatalah tiada terbendung lagi kesabaran rakyat memberi hukuman pada Damak sang perzina. Hang Kurrat berjalan mengelilingi Damak dengan pandangan berkaca amarah. Hulu keris dipegang kemas dan tiadalah gentar andai diceraikan kepada dari badan musuhnya.
            “Inilah harinya Damak, nan jauh telah berjemput, nan hampir kian tiba“ Hang Kurrat mengingatkan Damak terus-terusan tentang kesudahan yang bakal berlangsung.
            “Nafsu manusia tiadalah bertepi, tetapi beringatlah bahawa apa yang kita jatuhkan ini bukanlah Damak, tetapi sikapnya yang keji. Moga nanti tiadalah dijadikan ikut-ikutan oleh cucu cicit mendatang“ ditariknya hulu keris dan disua-suakan keris itu ke udara. Lalu dikucupnya perlahan-lahan.
              “Hang Kurrat, hamba benar-benar menyesal di atas perbuatan ini,  semoga nanti hukum Allah ini meruntuhkan dosa-dosa hamba“ Damak sudah tidak keruan, kakinya menggigil-gigil takut akan hukuman yang kian hampir. Damak menangis tiada keruan, bibirnya terkumat-kamit menyebut kalimah Allah lalu ditakhlikkan rasa taubat natijah keterlanjuran diri. 
             Hang Kurrat memandang beberapa hulubalangnya dan mengangguk-anggukkan kepala. Pantaslah hulubalang yang berkenaan menggali lubang sedalam hampir setinggi bahu seorang lelaki dewasa. Tanpa disuruh, Damak terus bangkit dengan kepayahannya masuk ke dalam lubang yang telah digali. Reda dengan segala ketentuan, menjadikan imannya mula bernyala gemilang, tiadalah gentar menanti hukuman itu kerana zat Allah mahu mengampunkan dosa hamba-hambanya yang tersilap. Damak terus mengucapkan kalimah Allah agar kehidupan selepas matinya menutupi kesengsaraannya di dunia.
              “Dengan izin dari-Nya, tiadalah bermukim di jiwaku sekelumit dendam atas perlakunya, cuma hukum Allah ini diharap dapat membuka ruang fikir dalam minda semua yang ada di sini tentang bahana zina“ Hang Kurrat menyorot pandang ke atas semua yang berhimpun pada siang itu. Batu-batu bersaiz sederhana digunakan untuk menghukum Damak. 
              Dengan perintah dari pemerintah Hang Kurrat, hujan batu menenggelami tubuh Damak yang telah basah dengan darah. Jeritan pedih yang tidaklah lama terus ditenggelami bunyi lemparan batu yang entah beratus jumlahnya. Tubuh yang tidak bernyawa itu kemudiannya diangkat dan disemadikan sebagaimana caranya seorang Muslimin.
             Hang Kurrat menghembuskan nafas dalam setelah segalanya selesai. ’Ketahuilah tiada berbalam kekusutan melainkan memikir pada sejahtera cucu-cicit mendatang, apakah munculnya suatu zaman, tiadalah lagi diikutnya hukum tuhan, dibinasakan sunnah dari pegangan ?’


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini