rss


PANG! Aisha terasa seperti pipi kiri ditampar dengan kuat. Berdesing telinga akibat bunyi pinggan yang jatuh ke lantai. Sebenarnya, bukan jatuh tetapi dilempar oleh Yazid.

Wajah Yazid yang berdiri kaku di depan peti sejuk diperhatikan. Wajah lelaki di depan Aisha memerah, tidak pernah dilihat Yazid sebegitu. Reaksi wajah Yazid diselidik lagi. Jelas, lelaki itu marah betul kali ini. Aisha tunduk, mengacau air di dalam gelas, perlahan. Telinga pula sibuk cuba mengesan kalau-kalau ada bunyi tapak kaki adik Yazid.

' Awak dah gila?' Yazid bertanya, hampir tidak kedengaran disebabkan gigi yang diketap.

Aisha sekadar mengalih pandangan mata sahaja, itupun sekadar beberapa saat.

' Kenapa sampai begini tahap kejam awak?' Yazid bertanya sekali lagi.

Aisha mengeluh perlahan sambil berhenti mengacau air dengan penyedut minuman. Marah benar teman lelaki yang berdiri di depannya sekarang. Puncanya; bagi Aisha, kecil benar.

Majlis pernikahan mereka cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Sememangnya lumrah kalau pengantin kerap bertegang urat bila hari bersejarah semakin dekat. Begitulah juga dengan pasangan ini.

' Awak nak saya biarkan Luqman sendiri? Awak, awak tahukan dia budak lagi?'

Tidak perlu ditanya pun Aisha tahu. Tahun ini, Luqman baru sahaja masuk Tingkatan 1. Yazid tinggal dengan Luqman setelah kedua orang tua mereka meninggal dalam kemalangan tahun lepas. Sudah pastilah Luqman adalah tanggungjawab abangnya sendiri.

Aisha mengangguk.

' Kalau awak tahu, kenapa awak buat permintaan begitu?' suara Yazid kendur malah lelaki itu semakin mendekati Aisha. Ada sesuatu yang bergetar dalam dirinya bila terhidu haruman yang dipakai oleh Yazid.

Rasanya, permintaan Aisha tidak melampau. Mereka bakal memulakan hidup baru, takkanlah mereka perlu menjaga seorang budak seawal ini? Aisha tidak bersedia untuk itu. Apa salahnya hantar Luqman ke rumah saudara mereka di Sarawak?

' Kalau awak tak boleh terima syarat itu, kita sampai di sini sahaja,' Aisha berkata dalam nada mendatar.

' Aisha!' Yazid terjerit. ' Awak...awak..' Yazid seperti kehilangan kata-kata.

' Selamat tinggal, Yazid,' Aisha mengangkat beg tangan yang diletakkan di kerusi sebelah lalu bangun tanpa menoleh ke belakang.

' Aisha...' Yazid memanggil lembut namun, kaki Aisha terus melangkah meninggalkan rumah lelaki itu. Bagi dirinya, semua sudah berakhir.

Malam itu, Aisha menerima satu pesanan ringkas daripada Yazid.

' Awak kejam, Ash. Awak takde hati perut langsung.'

Menerusi pesanan itu, Aisha tahu bahawa segalanya bakal berakhir. Aisha cuma tersenyum.

Ini bukan kali pertama dia menerima pesanan ringkas sebegitu. Teman lelaki Aisha yang terakhir ditinggalkan kerana gaji yang tidak cukup bagus. Siapa sahaja yang tidak meleleh air liur melihat tubuh lelaki yang cukup sasa seperti Muiz? Tetapi Aisha tidak boleh menerima kalau gaji Muiz lebih kecil daripada dirinya.

' You earn at least ten thousand per month, Ash. How can I top that?' Muiz bertanya, merayu tidak mahu Aisha tinggalkan dia.

Rayuan Muiz dibiarkan sepi. Status Aisha penting bagi dirinya. Mana mahu disorok muka kalau ahli keluarga dan rakan-rakan dapat tahu Muiz siapa?

' He makes a good arm candy but that's just it,' Aisha menjawab dengan santai soalan seorang teman sekerja berkenaan hubungannya dengan Muiz.

Teman sekerja Aisha terlopong. ' You are heartless, Ash. You know that, right?'

Aisha cuma tertawa. Itu juga bukan kali pertama komen sebegitu didengar.

Heartless. Tiada hati perut. Ah apa yang mereka tahu?

Katil berkeriut saat Aisha meninggalkan pembaringan. Wanita itu berjalan menuju ke pejabat peribadi di bilik sebelah. Ada sesuatu yang perlu diperiksa.

Sebuah botol yang ditutup rapi terletak di atas meja. Botol itu diangkat sambil mata tidak lepas memerhatikan cecair kuning yang berkocak perlahan.

' Hai Muiz,' Aisha mengusap perlahan botol di tangan. Mungkin sudah sampai masanya untuk menggantikan jantung di dalam botol ini dengan organ kepunyaan Yazid.

' Yazid,' Aisha menyebut nama lelaki itu lembut. Serta-merta Aisha teringat kerambit di dalam laci di bilik tidur.

 

1 comments:

  1. gile kot pempuan ni...bikin seram je...

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini