CAHAYA sinaran
matahari tidak begitu terik hari ini. Hanya sekadar membiaskan cahayanya yang
terang bagi menaikkan semangat seisi bumi. Tumbuhan hijau tumbuh mekar dan
segar dengan adanya matahari. Manusia? Ada yang gembira akan kehadiran matahari
kerana mereka boleh bersiar-siar dan merencana pelbagai aktiviti luar. Ada juga
yang kurang senang kerana keadaan panas boleh menggelapkan kulit mereka dan
menimbulkan suasa melekit dan tidak selesa.
Tapi buat si gadis
ini, cuaca cerah atau gelap, matahari ada atau tiada…. Semuanya kelihatan sama.
Fazira tidak tahu sama ada dia sedang berhadapan dengan hari yang indah atau
hari mendung yang mengharukan. Baginya, semuanya gelap gelita. Tiada
permandangan indah, tiada sinaran biasan cahaya matahari.
Namun gadis buta
yang memiliki iris berwarna Violet ini tidak pernah mengalah. Setiap langkah
dalam kehidupannya adalah bermakna. Setiap rasa dan perasaan yang dilaluinya
mempunyai erti yang indah. Fazira adalah gadis bermata Violet yang istimewa.
Pagi itu seperti
biasa tugasannya berjalan. Menjual kuih bersama adiknya, Fatiha adalah kebiasan
sehari-seharian mereka. Kalau tak menjual, perut tidaklah beralas. Kalau
diikutkan perasaan letih dan penat, maka bergelandanganlah mereka.
DI SUATU sudut
restoran mamak, Nadim atau nama penuhnya Tengku Nadim Tengku Hamzah galak
bersembang bersama-sama temannya. Kadang-kadang gelak tawa, adakala pula
bernada amarah. Topik-topik perbincangan biasa lelaki, lain tak bukan mestilah
bola.
“Hey Nadim!
Asyik-asyik kita ni sembang pasal bola je… kau ni aku nak tanya..” celah
Zamarul, rakan sekelas Nadim semasa menuntut undang-undang di London dahulu.
“Kau bila nak
kahwin? Aritu aku dengar mak kau nak kahwinkan kau dengan Tasya kan?” usik
Zamarul. Hisyam pula tumpang ketawa mendengarkan pertanyaan Zamarul.
“Uish si Tasya
tu.. tak maulah! High maintenance. Aku nak cari yang simple-simple je.”
“Hai Nadim? Simple
yang macam mana tu?” pintas Hisyam pula.
“Yang macam….
Tu..” Kata-kata Nadim terhenti tanpa noktah jelas saat dia melihat susuk tubuh
seorang gadis remaja. Berbaju kurung biru pastel. Disampingnya ada seorang anak
gadis muda memimpin. Mereka membawa dua biji bakul yang berisi sesuatu yang
belum dia ketahui.
“Tu…. Mana?”
Zamarul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tertoleh-toleh kiri dan
kanan. Siapa pula?
“Tu siapa?” tanya
Nadim sambil menjuihkan bibirnya ke arah dua orang gadis berbaju kurung
tersebut. “Tak pernah nampak pun.”
“Oh… tu Fazira
dengan adiknya. Dia jual kuih,” jawab Hisyam sambil tersengih-sengih.
Ketiga-tiga mereka merenung gadis penjual kuih itu tak berkedip mata. Mungkin
terpesona dengan bebola matanya yang berwarna Violet.
Fazira dan Fatiha
mendekati ketiga-tiga jejaka bujang tersebut. Seperti biasa mereka bertanyakan
jika ada yang mahu membeli kuih mereka.
“Abang-abang nak
beli kuih? Ni kakak saya dan saya yang buat. Ada kuih seri muka, kuih talam,
karipap…”
“Kakak awak buat
kuih ni?” celah Nadim sambil matanya tak lekang merenung Fazira. Endahkanlah
nama kuih muih itu. Bukan dia pernah makan pun tapi… gadis ini memang menarik
perhatiannya. Matanya sungguh cantik. Berwarna Violet pula tu.
“Ye saya dan kakak
yang buat…” jawab Fatiha teragak-agak. Nak beli kuih ke abang ni? Atau dah
terpikat dengan kakak aku?
“Abang beli
semualah dik…” kata Nadim dengan selamba.
“Beli semua?”
Tiba-tiba Fazira bersuara. “Encik nak buat kenduri ke?” sambung Fazira sambil
bebola matanya bergerak mencari arah wajah Nadim melalui suaranya.
Nadim dan
teman-temannya tersenyum. Nak ketawa pun ada juga. Namun mereka tahan gelak
tawa kerana tidak mahu Fazira menyangka mereka mengejeknya pula.
“Bukan macam tu
cik. Tapi… saya rasa kuih cik ni sedap.” Nadim cuba mengambil hati Fazira.
Hatinya sudah terpaut pada gadis ini.
“Belum rasa dah
kata sedap?” balas Fazira dengan senyum simpulnya membuatkan Nadim terkedu
seketika.
‘SENYUMAN dia…
lirikan matanya yang berwarna Violet tu… ah!’
Hati Nadim
berbisik-bisik. Sungguh dia tidak dapat lupakan Fazira. Adakah dia sudah jatuh
cinta? Mustahil! Takkanlah dengan hanya sekilas pandang begitu saja sudah jatuh
cinta. Tapi kata orang itu cinta pandang pertama!
“Anak mama
sengih-sengih ni kenapa?” tegur Tengku Azwiya.
“Eh mama… tak ada
apalah.” Nadim cepat-cepat kembali ke alam realiti. Mama sudah perasan!
“Nadim, tak
contact Tasya?” Tengku Azwiya memulakan bicara. Mahu juga dia tahu perkembangan
perhubungan anaknya itu dengan anak Datuk Karim.
“Malaslah ma!
Nadim tak suka dia.”
“Nadim! Mama ni
dah semakin tua. Kamu tu pun dah dekat 30an. Ingat-ingat sikit. Mama ni
bukannya hidup seribu tahun. Kamu tak nak kahwin ke?” Tengku Azwiya mula
berleter. Kalau tak diketuk, mahu tak berjalan. Kalau tak disuruh, mahunya
budak ini tak berkahwin!
“Ma… stop it!
Nadim janji pada hari jadi mama minggu depan ni, Nadim akan bawa calon menantu
mama okey?” janji Nadim bersungguh-sungguh. Calonnya sudah ada mama. Cuma
tunggu masa saja.
Tengku Azwiya
hanya mengangguk perlahan. Entah betul entah tidak si Nadim ni. Kita tengok
saja nanti macam mana calon isteri yang dia berkehendakkan.
“TUNGGU!” jerit
Nadim. Sudah berjam-jam dia tunggu, akhirnya muncul juga gadis bermata Violet
ini.
“Saya?” Fazira
tertoleh ke kiri dan kanan sambil bebola matanya meliar-liar. Walaupun dia
tidak dapat melihat, namun pancainderanya yang lain masih lagi berfungsi dengan
baik. Arah suara itu datang dari belakang. Lalu dipusingkan perlahan-lahan
badannya ke belakang sambil mengetuk-ngetuk tongkat plastik berwarna putih.
“Iya awak… Fazira
kan?” Nadim berjalan dua tiga tapak untul lebih dekat dengan Fazira.
“Saya kenal awak?”
“Tak tahulah kalau
awak masih ingat. Tapi saya yang hari tu, yang borong semua kuih awak tu….”
Nadim cuba mengembalikan ingatan Fazira terhadap situasi dua hari lepas.
“Ohh awak… saya
ingat. Tapi macam mana awak tahu nama saya?” Fazira sedikit terkejut. Lelaki
ini mengetahui namanya? Pelik.
“Kawan-kawan saya
hari tu yang bagi tahu. Hmm… awak sorang hari ni? Mana adik awak?”
“Fatiha dia ada
aktiviti kat sekolah. Hari ni saya tak jual kuih tau, kalau awak nak memborong
kuih lagilah…” Fazira ketawa kecil. Dia tahu Nadim sedang cuba mendekati
dirinya. Lagak lelaki ini seperti cuba mencari topik untuk berbual.
“Tak! Saya tak nak
beli kuih hari ni. Tapi saya nak berkenalan dengan tuan empunya kuih.” Nadim
berseloroh dalam walaupun perasaannya berbaur malu. Dia takut kalau Fazira
menolak pelawaannya.
“Saya nak balik
rumah sekarang ni…” Fazira cuba untuk mengelak. Berkenalan dengan lelaki yang
tidak dia kenali adalah suatu perkara yang kurang baik baginya.
“Kalau saya nak
temankan awak?” Nadim masih tidak mengalah.
“Tapi…” Fazira
buntu mencari helah.
“Please…”
“Baiklah..”
Akhirnya Fazira terpaksa akur. Lelaki ini memang tidak kenal erti mengalah
kan?!
SEJAK dari
pertemuan pertama, Fazira dan Nadim semakin rapat. Padahal mereka baru
berkenalan seminggu yang lepas. Dalam pada itu, banyak perkara yang telah
mereka kongsikan bersama. Nadim mendapat tahu bahawa Fazira adalah anak yatim
piatu yang tinggal bersama adiknya di sebuah flat kos rendah di pinggir bandar.
Hidup mereka memang susah. Hanya Tuhan saja yang tahu dugaan yang telah mereka
tempuhi.
Fazira dilahirkan
buta sejak dari kecil. Dia tidak pernah ke sekolah mahupun mengambil apa-apa
kelas untuk belajar. Mujurlah Fatiha tidak buta sepertinya. Hanya dia sajalah
harapan Fazira untuk masa hadapan. Oleh sebab itulah Fazira sanggup menjual
kuih dan berjalan berbatu-batu jauhnya hanya kerana ingin mengumpul sedikit
wang untuk biaya pembelajaran Fatiha.
Nadim banyak
mendengar cerita dari Fazira. Manakala kisah hidupnya masih menjadi misteri
dari Fazira. Cuma kali ini, dia yakin benar perasaannya sudah tertaut pada
Fazira dan dia ingin meluahkannya.
“Fazira… awak
percaya tak kalau saya kata yang saya suka akan awak?”
“Suka? Suka ada
banyak makna Nadim.”
“Kalau suka itu
lebih dari seorang kawan, awak percaya?” Nadim tidak lagi berhelah seperti
dulu. Dia benar-benar ingin memiliki Fazira.
“Kita baru saja
berkenalan. Saya tak boleh beri apa-apa jawapan.” Air muka Fazira berubah serta
merta. Dia seperti tidak menyukai luahan rasa Nadim.
“Saya suka akan
awak. Lebih tepat, saya cintakan awak.”
“Nadim, awak
terlalu hijau untuk menilai cinta. Saya dapat merasakan yang kita tidak
setaraf, walaupun awak sedikit tidak pernah menceritakan kisah hidup awak
kepada saya.”
“Fazira, berilah
saya peluang untuk membuktikannya. Saya nak awak berjumpa dengan mama saya.
Esok harijadinya dan saya dah belikan baju yang cantik untuk awak pakai. Awak
ikut saya ke sana ye?” ajak Nadim. Dia masih tidak mahu mengalah. Memang dia
lelaki yang bukan mudah untuk berputus asa.
“Awak tak pernah
mengalah bukan?” Fazira melemparkan senyuman hambar. Lalu dia membalas,
“Baiklah, untuk kali ini saja.”
NADIM memimpin
Fazira yang berbaju kurung cotton merah jambu masuk ke dalam taman di kediaman
rumahnya. Taman tersebut dihiasi dengan lampu-lampu neon yang berwarna-warni.
Selain itu, dekorasi bunga ros di sekeliling taman menimbulkan suasana romantis
dan meriah.
“Kalau awak boleh
lihat apa yang terbentang di hadapan awak sekarang, awak pasti akan memujinya,”
bisik Nadim ke telinga Fazira.
Fazira hanya
mengangguk kecil dan tersenyum. Memang dia tidak mampu melihat, namun mata
hatinya mengatakan majlis ini memang sangat indah. Aroma bunga ros yang menebal
di hidungnya sudah cukup membuahkan rasa tenang di hatinya.
Disebalik
kesibukan tetamu yang sedang mejamu selera dan bersembang antara satu sama
lain, Tengku Azwiyah memunculkan dirinya. Dari tadi lagi orang sekelilingnya
sibuk bercerita mengenai teman wanita yang dibawa Nadim. Dia jadi kepingin
tahu. Namun jangkaannya meleset saat menatap gadis itu pertama kalinya.
“Nadim?” tegur
Tengku Azwiyah.
“Ma! Kat sini
rupanya… tadi Nadim ada jugak cari mama.” Nadim memegang tangan kanan Fazira
lalu menghulurkannya lembut ke arah mamanya. “Ni Fazira. Fazira ni mama saya.”
Namun salam itu
tidak berbalas malah Tengku Azwiyah memalingkan wajahnya ke sudut lain.
Perempuan buta? Dah gila ke apa Nadim ni?
Fazira dapat
merasakan salamannya tidak bersambut. Lalu tangannya dijatuhkan. Ada perkara
yang tidak kena sedang berlaku.
“Perempuan buta
kau bawak kat aku Tengku Nadim? This is not a joke!” Suhu amarah Tengku Azwiyah
meningkat secara mendadak.
“Ma! Apa ni?
Walaupun Fazira buta penglihatan tapi dia tak buta hati macam orang-orang kat
sini,” sindir Nadim. Mama langsung tidak mengendahkan perasaan Fazira!
“Nadim… tak
apalah. Saya boleh pergi dari sini.” Tengku Nadim? Aku memang patut mengagaknya
dari awal lagi.
“No Fazira.
Jangan! Saya ingin mengahwini awak. Saya cintakan awak.” Nadim masih tidak mahu
melepaskan pegangan erat tangannya pada lengan Fazira.
“Lepaskan saya!
Enggang dan pipit tidak boleh bersama. Saya tidak sempurna dan mungkin tidak
cukup sempurna untuk awak, Tengku Nadim.” Fazira merentap tangannya dengan
sepenuh hati. Lalu langkah diatur perlahan dan teragak-agak. Fazira membuat
keputusan untuk meninggalkan kediaman milik Nadim.
Nadim cuba
mengekorinya dari belakang. Namun dia dihalang Tengku Azwiyah.
“Kalau kau
melangkah keluar dari rumah ni, kau bukan anak mama lagi Nadim!” tegah Tengku
Azwiyah.
Langkah Nadim
terhenti. Dia hanya mampu membiarkan Fazira terus berjalan keseorangan di dalam
kepekatan malam yang semakin lama semakin hening.
September 27, 2012 at 11:10 AM
cerita yang tergantung xde makna.